Apabila
membuat sebarang perjanjian dengan seseorang, pastikan anda menyemak secara
teliti sebelum berjanji. Pastikan janji-janji itu tidak mudah diubah atau anda
yang akan rugi. Itu penting! Ayni belajar banyak perkara berhubung tentang hal
ini!
Juli
memang tidak lagi menjadi pembantu rumah. Bersesuaian dengan janji Luqman pada
Ayni, Juli hanya tinggal bersama Ayni untuk menemani Ayni. Dia masih memanggil
Ayni sebagai Cik Ayni.
“Maaflah,
saya dah biasa. Orang yang berusia macam saya susah sikit nak ubah bila dah
biasa.”
Tapi
Ayni sangat pasti Juli masih dalam lingkungan usia 20-an!
Dia
juga mencuci dan mengemas rumah seperti biasa. Pakaian Ayni pun dia minta untuk
cuci dan gosokkan.
“Maaflah,
saya dah biasa. Orang yang biasa buat kerja macam saya susah untuk duduk-duduk
saja.”
Belajarlah
duduk-duduk saja! Ayni pun rasa segan untuk tidak buat apa-apa bila dia cakap
begitu.
Dia
juga masih masak makanan untuk Ayni. Sarapan, tengah hari, minum petang dan
makan malam.
“Maaflah
saya dah biasa. Saya masak untuk saya makan. Alang-alang dah masak, saya masak
untuk Cik Ayni juga.”
Semuanya
dia dah biasa! Apa yang tidak biasa? Habis apa yang berbezanya antara dulu dan
sekarang?
Akhirnya
Ayni terpaksa terima yang dia tidak akan menang dalam hal ini. Memang
perjanjian boleh dibuat tapi sentiasa ada titik kelemahan yang boleh dicari.
Tapi
Mat memang tidak lagi menjadi pemandu Ayni. Ayni sangat-sangat bersyukur. Kalau
tidak pelajar lain akan mula bercakap-cakap lagi. Awalnya mereka memang
bergosip selepas mereka nampak Ayni naik kereta mewah untuk pulang. Tapi
memandangkan hal itu cuma berlaku sekali, berita itu mati begitu saja.
Luqman
pula datang setiap hari untuk makan bersama. Kadang kala untuk sarapan pagi.
Kadang kala untuk makan malam.
“Saya
cuma nak temankan awak makan. Makan seorang diri, sunyi juga, kan?” kata
Luqman.
Ayni
hanya sekadar mengangguk. Luqman juga mungkin makan seorang diri di rumahnya,
jadi tak apa kalau mereka makan bersama.
“Saya
nak alamat pejabat awak,” kata Ayni.
“Untuk
apa?”
“Kerjalah!
Awak dah lupa?”
“Oh,
itu. Nanti akan ada orang jemput awak. Jadi awak tak perlulah risau,” jawab
Luqman.
“Tapi
awak dah janji-”
“Yang
saya tak akan jemput atau hantar awak ke sekolah. Tapi saya tak janji pun untuk
tempat lain. Saya tak mungkir janji, kan?” Luqman menjungkit kening.
Seperti
yang Ayni cakap, sebarang perjanjian ada titik kelemahan. Sekali lagi Ayni
kalah! Tapi sekurang-kurangnya masih ada yang pertama. Hujung bulan nanti Ayni
akan keluarkan duit untuk bayar sewa! Sikit atau banyak tak penting! Yang
penting dia bayar! Dia tidak akan mengaku kalah!
Ayni
tidak sabar menunggu hari minggu tiba. Akhirnya dia akan dapat bekerja. Dia
perlukan wang, tapi dia tidak mahu meminta kepada sesiapa. Jadi dia akan
bekerja untuk dapatkannya. Dan kalau Luqman hulurkan wang saku kepadanya, hari
ini juga dia akan bungkus semua pakaian dan tinggalkan rumah itu! Nasib baik Luqman
tidak pernah buat begitu. Dia dapat rasakan, Luqman sebenarnya memahami Ayni
lebih dari yang dia tunjukkan.
Satu
perubahan besar, Razmi dan Ayni tidak lagi bergaduh. Tapi hubungan mereka
menjadi kekok. Sebelum ini mereka pantang bersua, tapi sekarang mereka tidak
lagi bercakap pun. Selepas Razmi tiba-tiba menegurnya beberapa hari yang lepas,
mereka langsung tidak berbual lagi. Aku tidak pedulikan kau, kau pun jangan
pedulikan aku. Situasi yang begitu. Tapi kelakuan mereka berdua membuat rakan
sekelas bertambah risau jika ini hanya sementara.
Apa
sekalipun Ayni rasa lega. Dia mahu habiskan sisa persekolahan yang tinggal
beberapa bulan ini dengan aman. Ayni sudah ada terlalu banyak yang dia perlu
fikirkan, jadi dia tidak berminat untuk menambah lagi masalah. Jika dia tidak
mahu pedulikan Ayni, Ayni dengan gembiranya akan lakukan hal yang sama. Razmi
sama seperti makanan dan minuman misteri yang masih timbul di laci mejanya
hingga ke hari ini. Ayni tidak akan pedulikan mereka!
Tapi
masalah selalunya akan cari Ayni biarpun Ayni berusaha untuk mengelak.
Beberapa
jam sebelum tamatnya hari terakhir persekolahan pada minggu itu, sekali lagi
Ayni dipanggil ke bilik disiplin. Kalau dulu memang salah Ayni tapi kali ini
Ayni memang tidak bersalah! Malah Ayni bagaikan seorang pelajar contoh sejak
balik ke sekolah selepas seminggu digantung persekolahan tempoh hari. Jadi Ayni
memang terpinga-pinga apabila ketua pengawas sekali lagi datang menjemputnya.
“Masuklah,”
kata ketua pengawas. “Saya cuma diminta untuk menghantar awak ke sini. Saya kena
pulang ke kelas.”
“Terima
kasih,” kata Ayni.
Ayni
membetulkan beg yang disandangnya, kemudian mengetuk pintu.
“Masuklah.”
Ayni
masuk tapi terus kaku apabila memandang seorang wanita yang turut berada di
dalam bilik itu.
‘Mulai hari ini, kau dan aku bukan
keluarga lagi! Hubungan kita sampai setakat ini!’
Ayni
masih teringat kata-kata itu. Kalau bukan kerana ayat itu, pasti Ayni sudah
memanggil wanita itu dengan panggilan istimewa yang sudah lama tidak disebutnya.
Tapi seperti katanya, Ayni sudah tidak layak lagi. Dia hanya mampu menyebut di
dalam hati.
Wanita
itu sendiri merenung wajah gadis yang sudah sekian lama tidak ditatapnya. Dia
tahu gadis itu siapa sebelum dia datang lagi. Tapi sejak dia ambil keputusan
untuk pergi beberapa tahun yang lepas, dia telah anggap yang mereka bukan
keluarga lagi. Dia sudah ada keluarga yang baru.
“Kenapa
kamu tak duduk?” tanya Cikgu Ayub.
Perlahan-lahan
Ayni mengambil tempat, agak jauh dari mereka. Dia ingin terus menatap wajah
wanita itu tapi dia tahu wanita itu tidak suka.
“Ini
Puan Karina. Dia datang untuk buat aduan tentang kamu. Katanya kamu ada pukul
anak dia beberapa hari yang lepas, betulkah?” tanya Cikgu Ayub.
“Siapa
anak... Puan ni?” tanya Ayni.
“Nama
dia Zamarul. Kamu mungkin kenal dia sebagai Zam. Dia cedera teruk selepas kamu
pukul dia!” kata Karina dengan tegas.
Jadi
Zam anak Karina? Eh, mereka…keluarga?
“Tapi
saya tak akan buat begitu kalau dia tak ganggu saya! Saya cuma nak pertahankan
diri!” kata Ayni, cuba membela diri.
“Apa
yang dia dah buat sampai kamu pukul dia macam tu sekali? Kamu tahu tak, sebelah
matanya hampir rosak! Dia boleh buta! Badannya penuh dengan lebam. Nasib baik
tak ada tulang yang patah. Padankah dengan apa yang dia cuba buat berbanding
apa yang kamu dah buat pada dia? Cakap! Dia nak buat apa?” tengking Karina.
“Dia
tarik tangan saya di tempat yang sunyi! Mestilah bukan sebab yang baik!” jawab
Ayni.
Karina
tergelak, sinis. “Setakat tarik tangan kamu, kamu dah fikir yang bukan-bukan.
Kamu terlalu pandang tinggi pada diri kamu sendiri. Entah-entah dia bukannya
nak buat apa-apa pun. Mungkin dia cuma nak takut-takutkan kamu. Kamu yang fikir
terlalu banyak!”
“Dia
yang cakap macam itukah? Kenapa m-Puan tak percayakan saya?” tanya Ayni.
“Saya
percayakan Zam. Dia bukannya jahat sangat sampai nak buat yang bukan-bukan pada
kamu,” jawab Karina, langsung tidak teragak-agak.
Mata
Ayni berkaca-kaca. Dia memang ingin menangis tapi bukan kerana takut. Tapi dia
rasa sangat sedih sekarang. Ayni masih dapat terima jika dihina oleh orang
lain. Dia masih akan bangun dan mempertahankan tindakkannya. Tapi bila seorang
wanita yang sepatutnya melindunginya melindungi orang lain dan tidak percaya
padanya, itu lebih menyakitkan.
“Saya
rasa baik semua orang bertenang dulu. Puan datang untuk berbincang, kan? Tak
perlulah marah-marah begini,” kata Cikgu Ayub.
“Berbincang?
Saya datang nak jumpa budak perempuan yang berani pukul anak saya. Saya nak pihak sekolah jatuhkan hukuman pada
dia! Saya tak boleh terima yang anak saya cedera tapi siapa pun tak ambil
tindakan! Budak perempuan ni dah melampau!”
“Saya
cuma pertahankan diri saya! Maruah saya! Salahkah apa saya buat?” tanya Ayni.
“Saya
rasa kamu ni suka membesar-besarkan cerita! Tak ada apa pun yang berlaku hari
tu. Tapi disebabkan kamu, Zam tak keluar dari rumah sekarang. Entah samseng
mana kamu dah upah untuk ugut dia sampai laporan polis pun dia dah tarik
balik!”
“Samseng
apa? Saya tak faham,” kata Ayni.
“Apa
yang kamu dah buat, kamu lebih tahu,” kata Karina, yang kemudian berpaling
kepada Cikgu Ayub. “Sama ada sekolah ini ambil tindakan atas budak perempuan ni
atau saya akan saman sekolah ni sebab mempertahankan seorang penyangak macam ni!”
Sekali
lagi Ayni tersentap dengan kata-kata itu. Sampai sebegitu sekalikah dia mahu
memutuskan hubungan mereka? Karina langsung tidak berkata apa-apa lagi. Dia
terus bangun dan keluar. Ayni hanya memerhati dengan pandangan mata yang sayu.
Ayni
tidak tahu bagaimana dia menghabiskan hari itu. Dia termenung, memikirkan
banyak perkara dengan hati yang lara. Apabila sesi persekolahan tamat, dia
terus berjalan keluar. Tiba di pintu pagar sekolah, seorang lelaki menunggunya
di pagar.
“Puan
Karina sedang menunggu di dalam kereta,” katanya tanpa sebarang emosi.
Ayni
termangu. Dia memerhatikan lelaki yang berjalan ke kereta, menunggu Ayni
mengikutnya. Akhirnya Ayni berjalan ke kereta juga. Lelaki itu membukakan pintu
untuk Ayni. Benar seperti kata-katanya, Karina duduk, langsung tidak memandang
ke arahnya.
“Tunggu
apa lagi? Cepat masuk! Ada benda yang aku nak cakap!” desis Karina.
Ayni
menggigit bibir. Biarpun dia tidak mahu masuk ke dalam kereta, dia masih ingin
bersama wanita itu selama mungkin. Dia terlalu rindukan wanita ini. Hari inilah
kali pertama mereka bertemu selepas hampir lima tahun. Entah bila lagi baru
mereka dapat bersua begini. Jadi Ayni masuk juga, duduk sehampir mungkin dengan
pintu. Dia tahu Karina tidak suka Ayni berada dekat dengannya.
“Mana
kau upah samseng-samseng tu?” soal Karina. “Sejak bila kau berperangai macam
ni? Mereka datang ke rumah ugut Zam supaya tarik report polis. Berani betul
kau!”
“Saya
tak upah mana-mana samseng pun!” jawab Ayni.
Ayni
mana ada duit. Mana mungkin dia mampu buat begitu!
“Kalau
bukan kau, habis mereka tawarkan diri untuk buat macam tu? Jangan nak
mengarut!”
Ayni
tidak puas hati dituduh begitu, cepat-cepat dia membangkang. “Tapi saya memang
tak tahu! Kenapa mama tak percayakan saya?”
“Aku
bukan lagi mama kau!” tengking Karina, membuatkan Ayni tersentak. “Aku dah
pernah cakap jangan panggil aku dengan nama tu lagi!”
“Tapi-”
“Lepas
kau ambil keputusan untuk ikut lelaki tak berguna tu, kau dan aku memang bukan
keluarga! Kau yang buat keputusan ni. Macam mana dia didik kau pun aku tak
tahu,” rungut Karina dengan raut wajah mencuka.
Ayni
menahan sebak, memerhatikan Karina dengan mata yang berkaca-kaca. Dia dan
Karina memang anak-beranak. Karina yang lahirkan dia. Dia yakin tentang hal
itu. Jadi kenapa begitu mudah untuk abaikan ikatan yang sangat kukuh ini?
Karina
mendengus. “Memang bagus hasil didikan dia!”
“Mama-”
Jelingan tajam Karina membuatkan Ayni terdiam seketika. “Puan jangan salahkan
papa. Dia tak ada kena mengena dengan hal ni.”
“Habis
aku nak salahkan kau?” soal Karina. “Aku tak mahu tahu! Yang penting, lepas ni
aku tak mahu kau muncul depan keluarga aku lagi! Kau dengan papa kau tu sama
saja!”
“Kita…
memang boleh jadi orang asing macam tu saja?” tanya Ayni.
“Kenapa
pula tak boleh?” soal Karina.
Ayni
turun dari kereta itu selepas itu. Dia hanya memerhatikan kereta itu memecut
pergi dengan hati yang sayu.
Semudah
itukah mama dapat berubah? Semudah itukah mama dapat lupakan Ayni? Semudah
itukah mereka bukan ibu dan anak lagi?
Tapi
Ayni…masih ingatkan mama.
No comments:
Post a Comment