Showing posts with label Mini Novel : Rindu. Show all posts
Showing posts with label Mini Novel : Rindu. Show all posts

Wednesday, November 4, 2020

Mini Novel : Rindu

            “Abang ke mana?”

“Abang pergi jumpa dia?”

“Abang memang tak sayangkan saya lagi?”

Soalan- soalan itu antara selalu yang aku pernah tanya kepada Reza. Sepuluh tahun mendirikan rumah tangga, ada saja yang menjadi punca pergaduhan antara kami. Dari sekecil- kecil hal hingga hal yang besar seperti salah faham begini.

Tapi, mesti ada yang bertanya;

“Bagaimana dapat kekal hingga sepuluh tahun kalau selalu bergaduh macam ni?”

Bukan ada pahit semuanya, masih ada kenangan masih antara mereka. Lagipun, aku dan Reza bercinta sejak dari bangku sekolah. Jadi kalau diikutkan, hubungan kami sebenarnya lebih lima belas tahun. Biarpun selalu bergaduh, masing- masing masih ada cara untuk mengekalkan hidup bersama.

Tapi, bagaimana hubungan sebegitu lama jadi begini?

Awal perkahwinan memang tidak banyak masalah. Bergaduh itu biasa. Nama pun suami isteri. Tapi tidak banyak pergaduhan besar. Reza dan aku sama- sama bekerja untuk membina keluarga kami. Tentang anak, aku mahukan keluarga yang besar. Reza langsung tidak ada komen.

“Awak nak macam mana pun tak apa. Saya tak kisah!”

Senang saja jawapan dia. Ya lah, yang nak lahirkan tu aku!

“Jangan tunggu lama- lama sangat, cepat- cepat sikit beranak! Mak dah lama teringin nak timang cucu!” pesan mama, emak mentua aku.

“Insya Allah, mak!” balasku.

Tapi, sebulan, menganjak ke tiga bulan, kemudian setahun dan sekarang sepuluh tahun, kami tidak diberikan nikmat itu. Kalau sebulan dua masih boleh memberi alasan. Sekarang aku sudah tidak ada alasan lagi. Senyum dan layanan mama semakin lama semakin pudar untukku. Reza pula anak tunggalnya. Papa meninggal sejak Reza masih kecil lagi. Jadi kepada siapa lagi mama hendak berharap?

“Agaknya kamu terlalu sibuk bekerja?” komen mama.

“Tapi saya dan abang tinggal serumah la, mama,” balasku.

“Habis tu kenapa?” soal mama.

Aku tidak ada jawapan. Mana mungkin aku tahu kenapa. Aku dan Reza pernah melakukan ujian dan memang kami berdua tidak ada masalah. Jadi, kenapa?

“Mungkin tak ada rezeki kita,” pujuk Reza apabila secara tidak sengaja aku mengadu kepadanya pada suatu hari.

“Tapi…”

“Tak ada tapi- tapi! Kita cuba sebaik mungkin, kalau dah ada tu ada! Pedulikan kata orang!” tegas Reza.

Kalau orang lain memang aku akan pedulikan. Tapi ini dari keluarga sendiri. Kalaulah aku boleh beranak dengan mudah, sekarang jugak aku buat! Tapi, macam mana?

Mama yang semakin tidak senang denganku. Akhirnya beberapa tahun yang lepas, mama memperkenalkan seseorang ketika perjumpaan keluarga kami.

“Ini Safia, anak Pakcik Hamdan kamu,” kata mama.

Safia yang cantik manis itu hanya tersenyum apabila mama memperkenalkan dia. Aku dan Reza tidak ada komen. Aku langsung tidak kenal gadis ini. Menurut mama, Pakcik Hamdan ialah bekas jiran mereka. Jadi Safia dan Reza kenal antara satu- sama lain sejak dari kecil lagi.

Mama terus- terusan memuji Safia. Katanya, Safia ialah seorang wanita muda yang berkerjaya. Selain dari cantik, dia juga berkebolehan. Tapi kerana terlalu sibuk bekerja, dia langsung tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga.

“Kami jumpa masa mama pergi country club hari tu. Dah besar panjang macam ni, mama langsung tak kenal dia!” kata mama.

“Abang Reza apa khabar? Lama tak jumpa?” sapa Safia.

“Umm…baik, alhamdulillah,” balas Reza.

Adakah cuma perasaan aku atau Reza seperti gementar sedikit? Bagaimana pun makan malam berlalu dengan tenang selepas itu. Mama memang melayan Safia dengan baik. Terlalu baik sebenarnya.

Reza menjadi semakin pendiam selepas makan malam di rumah mama hari itu. Sepuluh aku tanya, sepatah dia jawab. Kalau sepatah tu, tak payah cakaplah. Kadang- kadang main angguk geleng saja. Selepas beberapa minggu, kami ke rumah mama lagi. Reza nampak keberatan sebenarnya tapi aku paksa dia.

“Mama ada perkara nak cakap.”

Aku lihat raut wajah Reza berubah.

“Mama nak Reza kahwin dengan Safia!” kata mama.

“Mama!”

Pertama kali aku dengar Reza tinggikan suara dengan ibunya. Lelaki itu sentiasa bertutur dengan sopan dengan orang yang lebih berusia, apatah lagi mamanya sendiri.

“Mama nak kamu ada anak! Jadi apa salahnya kamu kahwin dengan Safia?” Mama masih tidak berpuas hati.

“Mama yakin saya boleh dapat anak kalau kahwin dengan Safia? Kalau dia tak beranak jugak, macam mana?” soal Reza.

“Kalau tak beranak jugak, nak buat macam mana! Tak ada rezeki!”

“Jadi tak ada bezanya saya kahwin dengan dia atau tak!” bangkang Reza.

“Isteri kamu pun tak beranak jugak! Jadi tak salah kalau kita cuba cara lain!” tegas mama.

Aku, isterinya yang tidak beranak ini, cuma terdiam mendengar mereka bertengkar. Apa yang boleh aku cakap?

“Kamu yakin isteri kamu tak mandul?”

“Ya!” jawab Reza.

“Atau kamu yang ada masalah?”

“Tak mungkin!”

“Habis tu kenapa?”

“Saya tak tahu! Jangan timbulkan isu ni lagi!” jawab Reza. “Saya tak mahu bertengkar dengan mama! Saya minta maaf! Saya minta diri dulu!”

Reza bingkas bangun, menarik tanganku. Aku langsung tidak menyalami tangan mama. Sepanjang jalan kami berdua membisu. Hingga ke kamar pun tidak bercakap sepatah pun. Esoknya selepas aku sediakan sarapan dan kami makan tanpa sepatah kata, Reza merenungku.

“Saya tak akan kahwin dengan dia!” katanya.

Aku tidak membalas. Mungkin aku patut katakan sesuatu pada masa itu. Tapi lidahku kelu.

Hal itu tidak tamat di situ. Hampir seminggu, aku melalui kawasan pejabat Reza. Jadi aku ingin lakukan kejutan.

“Dia tak ada,” jawab si penyambut tetamu.

“Sudah lama dia keluar?” soalku.

Mungkin Reza ada urusan di luar.

“Baru saja. Tak sampai setengah jam pun. Apa kata puan cuba hubungi dia.”

Kalau telefon, bukan kejutanlah namanya. Habis hendak buat apa sekarang? Bos pun dah tahu aku kerja setengah hari hari ni. Jadi akhirnya aku merayau seorang diri di kawasan ini. Lagipun kawasan ini agak terkenal, jadi pelbagai premis perniagaan ada di sini. Kafe pun ada. Mungkin aku patut beli sesuatu sebelum pulang.

“Siapa yang beritahu?”

Aku berpaling apabila mendengar suara itu. Reza! Itu…Safia?

“Aunt Naz yang cakap,” jawab Safia.

Aunt Naz itu ialah mama kepada Reza.

Tak, persoalan paling penting kenapa mereka berdua makan berdua di sini?