Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Friday, September 5, 2014

Cerpen : Saya Suka Awak Bahagian III

Menjelang masa makan tengahari, jantung Hanis bagaikan hendak tercabut dari dadanya. Dia masih belum percaya yang King mengajaknya makan tengahari bersama. Langkahnya ke kafeteria juga bagaikan berduri. Hampir sepuluh minit, barulah dia sampai. Matanya terus mencari King.

King duduk di meja yang paling tengah, dikerumuni gadis dan jejaka yang biasa ada. Malah, rasanya sudah bertambah beberapa orang.

Hanis bagaikan ingin menangis. King pasti cuba mahu main- mainkan dia.

King yang nampak bosan tiba- tiba terpandang Hanis yang masih berdiri di pintu masuk. Lelaki itu terus bangun dan mendekatinya. Kumpulan peminatnya terpinga- pinga.

“Lambatnya! Dah lama saya tunggu,” King tersengih lebar.

Sekarang, bukan peminat King ternganga, malah satu kafeteria termasuk pekerja yang menghidang makanan terdiam, melopong memandang mereka berdua. Wajah Hanis merona merah.

“Kenapa?” tanya King, hairan.

“Awak betul- betul nak makan dengan saya?” Hanis bertanya sekali lagi.

“Betullah, berapa kali nak ulang? Nak kena tulis memo atau rakam supaya awak percaya?”

Hanis mencebik. Bergurau pula King ni!

“Siapa perempuan ni?”

Hanis berpaling melihat peminat- peminat tegar King sudah mengerumuninya. Mereka memandangnya dengan jelik.

“Hanis Affira, kelas aku.” Hanis mengenali gadis ini, Juwita.

“Kenapa King cakap dengan dia?” seorang pelajar lelaki yang tidak kenali bertanya.

“Dia pun sukakan King?” gadis yang berdiri paling dekat dengan King bertanya.

“Jangan pedulikan dia, marilah kita pergi makan,” manja sahaja suara gadis lain bersuara.

Hanis menggigit bibir. Mungkin King dah berubah fikiran tapi Hanis malu untuk bertanya. Biarlah dia pergi.

“Awak nak ke mana?” King menarik tangannya. Kedengaran suara- suara mereka yang terkejut di seluruh kafeteria.

Tanpa berkata apa- apa, King menarik tangannya keluar. Dia langsung tidak menghiraukan teriakan peminat- peminatnya. Hanis pula terlalu tergamam untuk berkata apa- apa. Mereka tiba di mesin makanan layan diri berdekatan Dewan Utama.

“Maaf, saya rasa susah kita nak balik ke kafeteria dengan perangai mereka macam tu. Kita beli makanan dalam mesin ni, boleh tak?” tanya King.

Hanis mengangguk laju.

King membelanjanya dengan roti, makanan ringan dan air dan membeli banyak makanan untuk dirinya sendiri. Mereka duduk untuk makan di bangku berdekatan padang.

Hanis dapat rasakan perbezaan King bila berbual dengannya. Dia bukan lelaki cool, serius dan pendiam seperti yang dibayangkan. King tidak banyak bercakap tetapi kelakar dan baik. Dia seperti tidak mempedulikan statusnya sebagai pelajar paling popular.

“Esok saya jumpa awak lagi untuk makan tengahari?” tanya King apabila dia menghantar Hanis balik ke kelas. Hanis tersenyum dan mengangguk.

Hanis duduk di meja, tunduk mengeluarkan buku. Tiba- tiba, sepasang tangan menepuk meja dan bertanya dengan kuat;

“Kenapa King tarik kau tadi?”

Wednesday, September 3, 2014

Cerpen: Saya Suka Awak Bahagian II

Esoknya, Hanis sekali lagi tiba awal di sekolah. Hari ini ialah gilirannya untuk membersihkan kelas. Tetapi semasa di koridor, seorang lelaki telah berdiri di situ.

King berdiri seorang diri dan merenung ke luar tingkap.

Wajah Hanis terus merona merah.

‘Nanti! Dia bukannya kenal aku. Kenapa mesti malu?’ Hanis berdialog di dalam hati.

Dengan itu, Hanis memberanikan diri dan melangkah. Dia berjalan melepasi King apabila terdengar suara lelaki itu.

“Awal awak hari ni.”

Bulat mata Hanis, terus kakinya kaku. Adakah King baru menegur dirinya atau dia perasan sahaja? Hanis tidak berani menoleh, takut- takut dia cuma berkhayal.

“Kenapa dengan awak?”

Kali ini King betul- betul di belakangnya. Perlahan- lahan Hanis berpusing, memandang wajah King.

“Awak…awak tegur…saya?” terketar- ketar Hanis bertanya.

King tersenyum gelihati. “Ada orang lain lagikah di sini?”

Hanis menggeleng. Dia mungkin bermimpi. Tak mungkin dia sedang bercakap dengan King!
Hanis mencubit tangan King.

“Sakitlah!” lelaki itu mencelang Hanis. Hanis tak bermimpi!

“Kenapa cubit saya?”

“Sebab kalau cubit saya, saya yang sakit nanti,” jawapan itu keluar dengan bergumam dari bibir Hanis.

King menghela nafas. “Macam- macam awak ni.”

“Mana peminat- peminat awak?” pelik melihat King sendirian.

“Entah!” jawab King selamba. “Saya tak peduli. Mereka yang asyik ikut saya.”

Mereka berdua berdiri mematung. Hanis tiba- tiba terasa malu kembali.

“Saya minta diri dulu!” katanya cepat- cepat, ingin beredar ke kelas secepat mungkin.

“Nanti!” panggil King. Lelaki itu berdiri di depan Hanis.

Dia menggaru kepala yang tidak gatal sebelum menyambung kata- katanya. “Saya nak ajak awak join saya lunch hari ni.”

Tergamam, Hanis merenung lelaki itu. Wajah King sedekit kemerahan. King…malu?

“Awak tak setuju?” tanya King.

“Tak, err…bukan! Setuju!” berterabur Hanis menjawab.

King tersenyum lebar. “Kita jumpa di kafeteria rehat nanti!”

Hanis memandang belakang lelaki yang sedang berlalu itu. Mulutnya terlopong. Adakah King cuba bermain- main? Tetapi dia tidak mendapat apa jika buat begitu. Tapi kalau King mengajaknya, bagaimana dengan mereka yang selalu mengerumuni King?


Kalau betul King mengajaknya makan bersama, Hanis dapat rasakan yang dia akan dibunuh oleh kumpulan peminat King di kafeteria nanti!

Sunday, August 31, 2014

Saya Suka Awak : Bahagian 1

Hari ini genap satu tahun, lima bulan dan dua puluh hari Hanis menyukai dia.

Dia yang tampan, pintar, lembut berkata- kata, menarik, bergaya, hebat bersukan, berkarisma, hebat berpidato, handal dalam seni mempertahankan diri dan berbakat dalam segala hal yang Hanis tak dapat fikir untuk senaraikan di sini. Sebab itulah, Hanis cuma sukakan dia dari jauh.

Siapa dia? Mohd Amsyar Jauhari atau nama panggilannya di mana- mana, King.

Kenapa? Entah. Rasanya dia tak ada kaitan dengan mana- mana kerabat pun.

Tapi nama itulah yang dipanggil oleh semua orang, termasuklah Hanis sendiri.

Pertemuan mereka lebih dari cerita dalam novel atau drama. Pernah tengok dalam drama Korea, hero terlanggar heroin dan mereka saling bertentang mata? Tak, bukan itu situasinya di sini. Dalam cerita ini, Hanis yang pada masa itu belajar di Tingkatan Empat tergesa- gesa mencari guru untuk menghantar kerja rumah telah terlanggar King dan hampir terjatuh tangga. Nasib baik King yang menyelamatkan Hanis dengan menarik tangannya, Tapi, selepas menarik, King seperti melempar dia ke tepi dinding, di mana dia terlanggar dan hidungnya berdarah. Kata- kata King selepas itu:

“Jalan pakai lutut, sebab itulah buta! Mujur tak mati tadi!”

Selepas itu, King terus berjalan seperti tidak ada apa pun yang berlaku. Hanis pula terjelepok di dinding, merenung belakang King dengan penuh perasaan. Hanis sudah jatuh cinta!

Sejak Hanis sedar akan perasaannya, Hanis seperti dapat melihat King di mana- mana. Semasa di perpustakaan, boleh nampak King juga sedang belajar di kerumuni sekumpulan gadis dan beberapa orang pelajar lelaki yang mengaguminya. Semasa makan di kantin, dia nampak King juga sedang makan dan dikerumuni oleh mereka yang sama. Semasa berada di padang untuk bersukan, dia nampak King sedang bersukan dan mereka itu berada di tepi padang untuk bersorak. Cuma yang dia tidak pasti adakah mereka juga mengikut King ke tandas kerana dia tidak pernah masuk tandas lelaki.

Hari demi hari, perasaan Hanis kepada King semakin menebal. Tapi, Hanis seorang yang pemalu. Dia cuma memendamkannya di dalam hati. Lagipun, siapalah dia berbanding King.

Sekarang, Hanis belajar di Tingkatan Lima. Selain bertungkus- lumus untuk bersedia bagi menghadapi peperiksaan SPM, Hanis juga sibuk dengan aktiviti Kelab Seni. Ahlinya cuma seramai sepuluh orang tetapi mereka banyak mendapat aktiviti untuk dilakukan di sekeliling sekolah. Salah satunya ialah melukis mural di dinding- dinding sekolah.

Hari ini, Hanis dan ahli- ahli lain akan melukis mural di dalam stadium. Awal pagi lagi Hanis sudah bergegas untuk sampai awal kerana dia perlu melakukan persiapan sebelum mereka boleh melukis. Itu ialah tugasnya sebagai Ketua Kelab. Ketika Hanis masuk ke stadium, ruang penonton suku penuh dan ahli kelab bola keranjang sedang berlatih. Hanis mengeluh. Dia tahu kenapa ramai penonton.

King ada di tengah gelanggang.

Dengan berat hati, dia mengalih pandangan dari King dan melakukan persiapan untuk aktiviti kelabnya nanti. Selepas lima belas minit, seorang demi seorang ahli datang. Mereka mula melukis di sebalik hiruk pikuk jeritan penonton di dalam stadium.

“Hebatkan dia?” tegur Jaafar, setiausaha kelab. Dia dan Jaafar berada agak jauh dari ahli- ahli kelab yang lain.

“Siapa?” Hanis pura- pura tidak mengerti.

“King,” Jaafar melihat ke arah penonton.

“Mereka datang pun sebab dia.”

“Belum tentu lagi,” tingkah Hanis.

“Kau pun asyik pandang dia,” sambung Jaafar.

Pucat wajah Hanis memandang Jaafar tetapi anak muda itu cuma tersenyum tawar.

“Aku dah lama kenal kau Hanis, mestilah aku tahu.”

Hanis mencebik, kembali mewarna dinding untuk menyiapkan mural. Tiba- tiba terasa pipinya basah. Dia mengesat dan mendapati jarinya biru. Jaafar tersengih dengan berus yang tercelup cat biru di tangan.

Hanis menghela nafas sebelum mengecat hidung Jaafar dengan warna kuning di berusnya. Hanis ketawa melihat reaksi Jaafar tapi tawanya tidak lama apabila Jaafar pula mengecat rambutnya. Selepas itu telinga Jaafar berwarna kuning, hujung hidung Hanis berwarna biru dan rambut Jaafar berwarna kuning. Mereka berhenti apabila terasa aura yang sangat marah di belakang mereka.

“Ketua, Jaafar, kerja mesti disiapkan cepat!” kata Mei Ling, Penolong Ketua dengan nada mendatar tapi mempunyai nada amaran yang keras.

 Hanis dan Jaafar cepat- cepat kembali menyambung kerja.

Namun, Hanis dan Jaafar tidak sedar ada mata lain yang memerhatikan mereka dengan rasa tidak senang.


*bersambung*