Monday, January 4, 2021

Bab 11

 

Ayni tidak terus pulang, sebaliknya berjalan tanpa arah tuju. Akhirnya dia sampai ke padang permainan kanak-kanak. Memandangkan hari hampir menginjak senja, kawasan itu sudah lengang. Bagus juga, dia memang hendak bersendirian. Jadi dia memilih untuk duduk di buaian. Sampai senja menginjak malam pun, Ayni terus di situ.

Dulu masa Ayni kecil, setiap kali mama tidak sibuk mama selalu bawa Ayni berjalan-jalan hanya mereka berdua. Selalunya mereka akan ke taman permaianan kerana Ayni paling suka naik buaian. Ayni memang lebih rapat dengan mama berbanding dengan papa. Jadi setiap masa yang dihabiskan bersama dengan mama, merupakan saat-saat bahagia buat Ayni. Setiap kali bersama mama, Ayni akan bercerita macam-macam perkara. Ayni mahu mama tahu apa saja yang berlaku dalam hidupnya.

Hari itu juga sama. Ayni menaiki buaian yang ditolak mama. Cuma mereka berdua yang ada di taman pada masa itu.

“Mama tahu tak? Mama Aynilah yang paling cantik antara semua mama!” puji Ayni dengan mata yang bersinar-sinar.

Karina yang sedang menolak buaian itu, tersenyum girang. “Betulkah?”

Ayni mengangguk laju. “Mama Ayni paling cantik sekali! Tak ada mama lain yang lebih cantik dari mama Ayni! Semua mama kawan Ayni di tadika pun tak secantik mama Ayni! Mama Ayni paling cantik di dunia!”

Karina ketawa. Memang indah apabila dipuji oleh anak sendiri begitu.

“Anak mama pun cantik juga!” kata Karina.

“Betulkah?”

“Mestilah! Anak mama mestilah paling cantik di dunia! Ayni kan anak mama. Mestilah Ayni pun paling cantik sekali!”

Ayni tersenyum lebar mendengar kata-kata Karina. Anak mama, pasti seperti mama. Bagi Ayni, tak ada hubungan lain seistimewa mereka. Ayni paling sayangkan mama. Hampir petang barulah mereka berdua pulang ke rumah. Ada seorang lelaki yang sedang berbual dengan papanya. Dia bantu apa pun Ayni tak faham. Tapi dia memang selalu datang, jadi dia tidak begitu asing kepada Ayni. Lelaki itu tersenyum kepada Ayni apabila nampak Ayni.

“Tak habis-habis lagi dengan kerja,” kata Karina, bagaikan mengeluh, tapi tersenyum kepada dua orang lelaki itu. “Balik rumah pun nak kerja.”

“Salahkan Hazman, dia yang bawak kerja sampai ke sini,” kata Arman, menunjuk ke lelaki itu dengan fail di tangannya.

Hazman tersenyum lagi. “Kalau tak siapkan hari ni, entah sampai bila dia akan tangguhkan kerja ni.”

“Kadang-kadang aku rasa kau ni bukan pembantu aku tapi bos aku!” rungut Arman, meniliti dokumen-dokumen di dalam fail itu.

“Salah kau jugak sebab bersungguh-sungguh minta aku kerja dengan kau!” balas Hazman.

“Kalau kau kerja dengan orang lain, aku jugak yang rugi!”

Karina hanya menggeleng. Dia menarik tangan Ayni untuk masuk. Ayni sempat melihat papanya berbual dengan Hazman. Kalau melihat betapa rapatnya mereka, tidak ada siapa pun yang akan menyangka hubungan yang erat itu akan musnah dalam beberapa tahun lagi.

“Kita nak buat apa di dapur ni mama?” tanya Ayni.

“Kita masak masakan istimewa untuk papa! Ayni tolong mama, boleh?”

Ayni mengangguk. Memang dia suka menolong mama tidak kira apa pun. Ayni bersungguh mahu menghias makanan yang mereka masak pada hari itu. Bila tiba masa makan, Ayman yang juga apa melihat makanan di meja dengan mata yang bulat.

“Ini… Apa ni? Makanan kitakah?” tanya Ayman.

“Ya, Ayni tolong mama masak!” jawab Ayni dengan bangga.

Ayman menelan liur. Dia memang sayangkan adiknya itu tapi macam mana hendak bertanya lagi tanpa mengguris perasaan Ayni?

“Ayni hiaskan, mama yang masak!” kata Karina, mengenyit mata pada Ayman.

“Wah!!!” kata Ayman dengan hati yang sangat lega.

Nasib baik! Arman dan Ayman mengukir senyum lebar. Mereka ingat mereka akan mati keracunan. Malam itu semua orang makan dengan berselera. Memang rupa makanan itu tidak cantik tapi rasanya memang sedap.

Ayni tersenyum pahit. Semua itu kini hanya kenangan. Perkara yang paling sedih ialah orang yang memberikan kenangan itu enggan menjadi sebahagian dari hidupnya lagi. Dia benar-benar rindukan Karina. Tapi rindu itu bagaikan tidak ada ubatnya. Walaupun dia akhirnya berjumpa dengan Karina, tapi nampaknya mamanya sudah memilih untuk tidak ada kaitan lagi dengan Ayni. Jadi beginilah nampaknya keadaan Ayni? Papa menghilang untuk ke mana, mama tidak mahukan dia lagi, abang pula entah masih hidup atau tidak.

Semua orang tinggalkan Ayni, betul tak?

“Lama saya cari awak. Rupa-rupanya awak ada di sini.”

Ayni berpaling, melihat Luqman berjalan menghampirinya. Tapi Ayni tidak menjawab, sebaliknya perlahan-lahan menggerakkan buaian itu.

“Awak tahu tak buaian ni cuma untuk kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah?” tanya Luqman.

Ayni membisu, menggerakkan buaian dengan lebih laju. Besi buaian itu berkeriuk-keriuk, bagaikan memprotes tindakannya.

Luqman menghela nafas, bersandar pada tiang buaian itu. “Hmm, nampaknya awak tak gembira lagi. Kenapa agaknya?”

Ayni membisu. Matanya merenung ke kejauhan.

“Awak ada ibu bapa lagi?” tanya Ayni dengan tiba-tiba.

“Saya anak yatim piatu,” jawab Luqman.

Ayni berpaling, memandang lelaki itu. “Maaf sebab saya bertanya.”

Luqman tersenyum, menjungkit bahu. “Tak apa. Awak boleh tanya saya apa saja. Lagipun dah lama mereka meninggal. Rupa mereka pun dah hampir saya lupa.”

Ayni menggigit bibir. “Bolehkah begitu?”

“Bolehkah apa?”

“Lupa,” jawab Ayni. “Kalau boleh saya pun ingin lupakan mereka. Seorang tinggalkan saya. Seorang lagi tidak mahukan saya. Kalau saya boleh lupakan mereka, saya pun ingin buat macam tu. Leganya hati saya kalau boleh. Hati saya tak akan sakit macam ni.”

Luqman hanya mendengar, tidak menjawab. Tapi Ayni sebenarnya memang tidak perlukan jawapan.

Ayni menggerakkan buaian perlahan-lahan. “Awak tahu tentang keluarga saya?”

“Saya tahu,” jawab Luqman.

“Macam mana?” tanya Ayni.

“Saya pernah cari awak. Sebab itu saya boleh tahu apa yang dah jadi pada keluarga awak. Masa awak pindah ke sini, saya tak dapat informasi. Awak macam hilang macam tu saja. Bertahun-tahun saya cuba cari tapi tak berjaya. Tapi entah macam mana, saya ingat rumah nenek awak. Sebab tu saya boleh datang ke sini. Dan awak memang menetap di sini sekarang.”

Ayni mengerut dahi. “Dah berapa lama kita kenal sebenarnya? Rumah mak tok saya pun awak tahu.”

Luqman berfikir seketika. “Lama.”

“Tapi kenapa saya tak ingat awak?”

“Sebab saya bukannya orang yang penting!”

Jawapan apakah itu?

“Awak nak cerita tentang keluarga awak tadi, kan?” kata Luqman.

Dia hendak ubah topikkah? Tapi Ayni cuma menghela nafas.

“Awak tahu tentang papa saya tapi awak tahu tak yang mama saya masih ada?” Ayni menggigit bibir. “Tapi saya tak tahu sama ada saya boleh panggil dia mama lagi?”

“Kenapa pulak tak boleh? Dia akan selamanya jadi mama awak,” jawab Luqman dengan hairan.

“Yakah? Jadi kenapa dia minta saya jangan panggil dia mama lagi?” tanya Ayni.

Luqman memandang Ayni, cuba memahami soalan gadis itu. Akhirnya dia menghela nafas.

“Cuba awak ceritakan dari mula, supaya saya dapat faham,” kata Luqman. “Saya sedia mendengar.”

Mungkin ada baiknya jika dia luahkan kepada seseorang. Dan jika Luqman ingin mendengar dari mula, jadi biar dia ceritakan dari mula. Ayni merenung tangannya cuba mengingat kembali perkara yang berlaku tujuh tahun yang lalu.

Dari padang permainan yang kini suram dengan lampu jalan, dia bagaikan berada kembali di ruang tamu sebuah rumah agam yang mewah. Pada hari yang bersejarah itu, kertas dan beberapa barang bertaburan di atas lantai. Ada yang pecah. Karina menangis perlahan-lahan. Arman pula mengusap kepala dengan marah. Ayni hanya mampu memerhatikan mereka dengan perasaan takut. Pertama kali dia lihat mama dan papanya bergaduh begini. Dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan.

“Macam mana boleh jadi macam ni?” tanya Karina.

“Macam mana? Awak boleh tanya penyangak tu!” tengking Arman.

“Tapi kamu berduakan kawan baik?”

“Dia bukan kawan saya! Kawan apa yang hancurkan hidup kawan dia sendiri macam ni?” soal Arman.

“Mungkin ada salah faham. Cuba awak cakap dengan dia,” pujuk Karina.

“Tak ada gunanya! Hari ni masa mesyuarat lembaga pengarah, dia dah umumkan semua saham saya dah jadi milik dia. Ada tandatangan saya untuk sahkan semua tu! Kalau itu tak cukup, semua harta saya pun dia dah rampas! Rumah ni pun dia dah rampas! Kita dah tak ada apa-apa pun lagi! Nak cakap apa lagi?” soal Arman.

Karina menggeleng. “Tapi Hazman bukan orang macam tu. Mesti ada sebab-”

“Sebab apa? Awak nak menangkan dia? Masa macam ni pun awak nak berpihak pada dia?” soal Arman dengan marah.

Karina menggeleng. “Bukan macam tu. Kita dah lama kenal Hazman. Sejak kolej lagi. Dia tak pernah nampak macam tu pun.”

Arman tergelak sinis. “Manusia memang boleh berubah sebab duit. Tak kan itu pun awak tak tahu?”

“Tapi kenapa tiba-tiba?”

Arman mendengus. “Mana tahu! Entah-entah memang dah lama dia rancang semua ni!”

“Habis sekarang macam mana?” tanya Karina.

“Kita perlu pindah hari ni jugak!” kata Arman.

“Tapi kita nak ke mana?” tanya Karina dengan terkejut.

“Entahlah! Tapi kita perlu pergi dengan cepat!”

“Tapi-”

Arman memotong dengan marah. “Eh, pergi! Pergi sajalah! Nak tunggu apa lagi? Sekejap lagi entah berapa orang akan datang untuk minta hutang! Nak tunggu lagi?”

Ayni tidak tahu apa yang mereka berdua cakap lagi selepas itu. Suara mereka berdua terlalu kuat dan mereka mula bertengkar lagi. Papanya juga mula melontar beberapa barang lagi. Yang Ayni ingat tidak lama selepas itu, Ayni mula menangis dengan kuat. Tangisan Ayni membuatkan Karina dan Arman tersentak dan terdiam. Sebentar tadi mereka berdua bagaikan lupa kewujudan Ayni.

“Pujuk anak awak!” kata Arman.

“Anak saya saja? Bukan anak awak jugak?” soal Karina, tapi dia pergi juga kepada Ayni.

Karina memeluk Ayni. “Jangan menangis lagi. Mama dan papa minta maaf. Jangan takut.”

“Kita perlu kemaskan barang-barang kita sekarang!” kata Arman.

Karina hanya memerhatikan dia bergegas naik ke bilik mereka di tingkat atas. Dia masih cuba untuk memujuk Ayni.

“Kita nak ke mana mama?” tanya Ayni yang masih tersedu-sedu.

“Mama tak tahu. Tapi jangan risau, tak akan ada apa-apa,” jawab Karina, mengukir senyum kecil.

Ayni betul-betul percayakan mama. Dia pasti semuanya pasti tidak akan ada apa-apa. Tapi semuanya bermula pada hari itu.

 

 

Dari satu tempat, mereka berpindah ke tempat yang lain. Kata Arman, mereka mesti mengelak dari ditangkap oleh pemiutang. Menurut Arman lagi, hutang Arman dan Karina terlalu banyak. Semasa masih hidup mewah memang tidak ada masalah. Tapi apabila mereka tiba-tiba muflis, mereka tidak ada duit langsung untuk bayar apa-apa pun lagi. Arman gadai dan jual beberapa barang milik mereka untuk membolehkan mereka menyara hidup pada masa itu.

“Sampai bila kita nak macam ni?” tanya Karina pada satu hari.

Pada masa itu mereka sudah berpindah ke lokasi yang entah ke berapa. Kadang-kala mereka akan habiskan masa seminggu atau paling lama sebulan di satu lokasi. Ayni sendiri sudah biasa dan tidak lagi merungut. Asalkan mama dan papanya ada, Ayni akan diam dan terima apa saja yang berlaku.

“Entahlah,” jawab Arman.

“Itu saja jawapan awak. Cuba awak fikirkan penyelesaian. Awak nak kita hidup sampai mati macam ni? Ayni pula tak perlu ke sekolah lagi?” soal Karina.

“Saya memang tengah cari jalan!” bentak Arman dengan marah.

“Carilah dengan lebih baik! Kita dah merempat ke sana-sini! Ayman pun entah apa yang dah jadi di sana!”

“Awak tahu nak marah! Cuba awak pun fikirkan sama! Bukan saya saja yang ada dalam masalah ni!”

“Sebab saya pun tak tahu nak buat apa! Sampai sekarang saya tak faham macam mana kita boleh ada dalam masalah macam ni! Macam mana saya nak fikirkan penyelesaian?”

Ayni duduk di penjuru, menekup telinganya. Ini bukan kali pertama Karina dan Arman bergaduh. Sejak hari itu hari-hari mereka bergaduh. Karina dan Arman pun sudah tidak peduli sama ada Ayni dengar mereka bergaduh atau tidak. Topik pergaduhan mereka cuma benda yang sama. Hari-hari begini, Ayni sudah biasa. Tapi itu bukan bererti dia suka. Jadi apabila mereka mula bergaduh, Ayni akan segera duduk di penjuru dan menekup telinga sekuat mungkin. Dia harap dia tidak akan dengar kata-kata mereka.

“Dari asyik lari, baik awak mula fikirkan cara untuk dapatkan kerja! Kalau awak cuma tahu jual apa saja yang kita ada, nanti kita semua akan mati kebulur!” kata Karina. “Kita pun dah tak ada apa pun untuk dijual!”

“Macam mana saya nak cari kerja kalau kita asyik kena kejar? Lagipun kerja apa yang boleh saya buat?” soal Arman.

“Awak fikirlah! Tak kan itu pun saya nak kena fikir?” marah Karina. “Carilah kerja apa pun asalkan kita boleh terus hidup!”

Arman mendengus marah, tapi dia tidak lagi menjawab. Tidak lama selepas itu dia keluar entah ke mana. Tinggal Karina yang termenung dan Ayni yang membisu di penjuru. Ayni sebenarnya lapar tapi dia tidak mahu mamanya menangis lagi jika dia minta makanan. Pertama kali dia minta makanan pada mamanya, Karina menangis teresak-esak. Sejak hari itu, jika dia lapar, dia akan duduk diam. Dia tidak mahu Karina menangis lagi kerana dia. Selagi dia boleh menahan lapar, dia tidak akan cakap apa-apa.

“Ayni nak makankah?” tanya Karina tiba-tiba.

Ayni tidak tahu jika dia patut mengangguk, mamanya masih nampak tertekan. Karina mengeluh. Dia mengeluarkan dompetnya, melihat beberapa keping wang yang masih berbaki di dalam. Melihat wang yang tidak banyak itu membuatkan mata Karina kembali berair. Tapi dia masih perlu isi perut anaknya. Bagi Karina, Ayni tidak sepatutnya kelaparan.

“Ayni tunggu sekejap, ya? Biar mama beli sesuatu di kedai,” kata Karina.

Ayni menggeleng. “Tak apa mama, Ayni tak lapar.”

Tapi perutnya yang tiba-tiba berbunyi itu tidak dapat menipu sesiapa. Ayni tunduk melindungi wajahnya yang merah padam.

Karina mengukir senyum pahit. “Biar mama belikan makanan untuk Ayni. Ayni duduk di sini diam-diam tau!”

Ayni hanya mengangguk. Wanita itu keluar dengan perasaan sebak. Ayni seperti sudah lebih matang selepas beberapa bulan ini. Dia sepatutnya hidup dengan gembira menikmati zaman kanak-kanaknya tapi dia terpaksa menjadi matang dengan cepat. Karina rasa yang dirinya gagal sebagai seorang ibu.

Karina pulang selepas itu dengan sebungkus roti. Ayni makan dengan perlahan-lahan. Roti itu cuma roti tawar yang kosong tapi anak kecil itu langsung tidak bersungut. Malah dia ucapkan terima kasih dengan senyum paling manis di bibir apabila Karina hulurkan roti itu kepadanya. Sekali lagi wanita itu rasa sebak.

“Mama tak laparkah? Mama makanlah,” kata Ayni.

Karina menggeleng. “Tak apa, Ayni makanlah. Makan sampai kenyang tau.”

“Ayni kecil lagi, Ayni tak perlu makan banyak,” kata Ayni, mengoyak sedikit roti lalu dihulurkan ke bibir Karina. “Mama pun makanlah sama.”

Beberapa kali disua, akhirnya Karina makan juga. Air matanya menitis, membuatkan Ayni panik. Ayni hendak mama gembira, kenapa mama menangis pula?

“Mama janganlah menangis! Ayni minta maaf!” kata Ayni, cepat-cepat cuba mengesat air mata Karina.

Tapi Karina memegang tangan kecil Ayni, cuba mengukir senyum. “Bukan salah Ayni! Ayni jangan risau!”

“Habis kenapa mama menangis?”

Karina memeluk Ayni, tidak lagi menjawab. Tangisan yang kecil, kini menjadi tersedu-sedu. Ayni tidak tahu apa yang patut dia buat. Bukan salahnya tapi kenapa masih menangis?

“Mama minta maaf!” kata Karina. “Maafkan mama, ya sayang?”

Untuk apa? Tapi Ayni mengangguk. Dia tidak tahu kenapa Karina minta maaf. Tapi jika dia mengangguk boleh membuatkan Karina rasa lebih tenang, dia akan mengangguk saja. Tapi Karina masih lagi menangis membuatkan Ayni makin tidak faham. Jadi Ayni diam, membiarkan saja mamanya memeluknya.

 

 

Arman dapat mencari kerja juga akhirnya. Bukan kerja yang besar, cuma membantu di sebuah kedai perabot yang kecil. Upahnya pun tidak banyak, langsung tidak berbaloi dengan kerja yang dibuat. Bagi seorang yang sejak lahir memang tidak pernah buat kerja berat, kerja sebegini sangat susah untuknya. Tapi dia memang tidak ada banyak pilihan. Dia masih perlu bersembunyi dari pemiutang dan dia tidak ada banyak pengalaman kerja lain. Dia juga tidak dapat buktikan yang dia pernah memiliki syarikat yang besar. Jadi dalam erti kata lain, dia tidak ada apa-apa lagi. Tapi sekurang-kurangnya dia mampu membawa pulang wang untuk keluarganya dengan kerja itu, jadi dia tidak merungut.

Ayni masih lagi berkurung di rumah. Hendak ke sekolah adalah mustahil. Prosedur untuk mendaftar masuk terlalu rumit dan mereka tidak pasti berapa lama lagi mereka akan berada di sini. Bila-bila masa saja mereka mungkin akan lari lagi. Mereka bukannya hendak menetap di sini.

Suatu hari ketika Ayni duduk di luar, seorang lelaki menghampiri Ayni. Ayni memang kenal lelaki itu tetapi dia tetap bangun dan berlari mencari Karina dengan takut. Karina yang terperanjat apabila melihat Ayni tiba-tiba masuk terus memeluk anaknya. Dia lebih terkejut apabila melihat tetamu yang tidak diundang itu.

“Macam mana kau dapat cari kami di sini?” tanya Karina, memeluk Ayni dengan lebih erat.

Hazman melihat Karina dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. “Kau macam mana sekarang?”

“Kenapa kau nak tahu? Kau punca kami jadi macam ni!” kata Karina dengan marah.

“Itu yang dia beritahu kau? Karina, tak kira apa pun yang berlaku, itu semua kerana dia. Kau dan anak kau tak sepatutnya terlibat sama,” kata Hazman.

“Apa maksud kau?” tanya Karina dengan hairan.

“Aku tak rasa dia akan ceritakan hal sebenar kepada kau. Apa kata kau ikut aku balik? Aku akan sediakan tempat tinggal yang lebih selesa dari rumah buruk ni. Kau dan anak kau tak perlu hidup susah hanya disebabkan lelaki macam tu,” tawar Hazman.

“Aku tak faham apa yang kau nak sebenarnya. Dan kau perlu ingat, Arman tu suami aku! Kenapa pula aku nak tinggalkan dia? Lagipun kau punca keluarga kami jadi muflis! Kalau kau jadi aku sekalipun, tak mungkin kau akan terima tawaran kau tu!” tempelak Karina.

Hazman tersenyum tawar. “Aku tahu kau akan cakap macam tu. Dan aku faham kenapa kau fikir macam tu. Satu hari nanti kau akan faham kenapa aku buat macam tu pada Arman. Tapi tawaran aku untuk kau tak akan pernah habis. Bila kau berubah fikiran, kau telefon saja aku. Tak kira apa atau bila sekalipun, aku akan tolong kau.”

Dia pulang selepas itu. Ayni yang masih berada di dalam pelukan ibunya masih tidak mengerti apa yang berlaku. Tidak lama selepas itu Arman pulang dari kerja. Selepas Karina memberitahunya tentang kedatangan Hazman, Arman benar-benar marah dan mengamuk. Hari itu mereka berpindah lagi.

Thursday, December 31, 2020

Bab 10

 

Apabila membuat sebarang perjanjian dengan seseorang, pastikan anda menyemak secara teliti sebelum berjanji. Pastikan janji-janji itu tidak mudah diubah atau anda yang akan rugi. Itu penting! Ayni belajar banyak perkara berhubung tentang hal ini!

Juli memang tidak lagi menjadi pembantu rumah. Bersesuaian dengan janji Luqman pada Ayni, Juli hanya tinggal bersama Ayni untuk menemani Ayni. Dia masih memanggil Ayni sebagai Cik Ayni.

“Maaflah, saya dah biasa. Orang yang berusia macam saya susah sikit nak ubah bila dah biasa.”

Tapi Ayni sangat pasti Juli masih dalam lingkungan usia 20-an!

Dia juga mencuci dan mengemas rumah seperti biasa. Pakaian Ayni pun dia minta untuk cuci dan gosokkan.

“Maaflah, saya dah biasa. Orang yang biasa buat kerja macam saya susah untuk duduk-duduk saja.”

Belajarlah duduk-duduk saja! Ayni pun rasa segan untuk tidak buat apa-apa bila dia cakap begitu.

Dia juga masih masak makanan untuk Ayni. Sarapan, tengah hari, minum petang dan makan malam.

“Maaflah saya dah biasa. Saya masak untuk saya makan. Alang-alang dah masak, saya masak untuk Cik Ayni juga.”

Semuanya dia dah biasa! Apa yang tidak biasa? Habis apa yang berbezanya antara dulu dan sekarang?

Akhirnya Ayni terpaksa terima yang dia tidak akan menang dalam hal ini. Memang perjanjian boleh dibuat tapi sentiasa ada titik kelemahan yang boleh dicari.

Tapi Mat memang tidak lagi menjadi pemandu Ayni. Ayni sangat-sangat bersyukur. Kalau tidak pelajar lain akan mula bercakap-cakap lagi. Awalnya mereka memang bergosip selepas mereka nampak Ayni naik kereta mewah untuk pulang. Tapi memandangkan hal itu cuma berlaku sekali, berita itu mati begitu saja.

Luqman pula datang setiap hari untuk makan bersama. Kadang kala untuk sarapan pagi. Kadang kala untuk makan malam.

“Saya cuma nak temankan awak makan. Makan seorang diri, sunyi juga, kan?” kata Luqman.

Ayni hanya sekadar mengangguk. Luqman juga mungkin makan seorang diri di rumahnya, jadi tak apa kalau mereka makan bersama.

“Saya nak alamat pejabat awak,” kata Ayni.

“Untuk apa?”

“Kerjalah! Awak dah lupa?”

“Oh, itu. Nanti akan ada orang jemput awak. Jadi awak tak perlulah risau,” jawab Luqman.

“Tapi awak dah janji-”

“Yang saya tak akan jemput atau hantar awak ke sekolah. Tapi saya tak janji pun untuk tempat lain. Saya tak mungkir janji, kan?” Luqman menjungkit kening.

Seperti yang Ayni cakap, sebarang perjanjian ada titik kelemahan. Sekali lagi Ayni kalah! Tapi sekurang-kurangnya masih ada yang pertama. Hujung bulan nanti Ayni akan keluarkan duit untuk bayar sewa! Sikit atau banyak tak penting! Yang penting dia bayar! Dia tidak akan mengaku kalah!

Ayni tidak sabar menunggu hari minggu tiba. Akhirnya dia akan dapat bekerja. Dia perlukan wang, tapi dia tidak mahu meminta kepada sesiapa. Jadi dia akan bekerja untuk dapatkannya. Dan kalau Luqman hulurkan wang saku kepadanya, hari ini juga dia akan bungkus semua pakaian dan tinggalkan rumah itu! Nasib baik Luqman tidak pernah buat begitu. Dia dapat rasakan, Luqman sebenarnya memahami Ayni lebih dari yang dia tunjukkan.

Satu perubahan besar, Razmi dan Ayni tidak lagi bergaduh. Tapi hubungan mereka menjadi kekok. Sebelum ini mereka pantang bersua, tapi sekarang mereka tidak lagi bercakap pun. Selepas Razmi tiba-tiba menegurnya beberapa hari yang lepas, mereka langsung tidak berbual lagi. Aku tidak pedulikan kau, kau pun jangan pedulikan aku. Situasi yang begitu. Tapi kelakuan mereka berdua membuat rakan sekelas bertambah risau jika ini hanya sementara.

Apa sekalipun Ayni rasa lega. Dia mahu habiskan sisa persekolahan yang tinggal beberapa bulan ini dengan aman. Ayni sudah ada terlalu banyak yang dia perlu fikirkan, jadi dia tidak berminat untuk menambah lagi masalah. Jika dia tidak mahu pedulikan Ayni, Ayni dengan gembiranya akan lakukan hal yang sama. Razmi sama seperti makanan dan minuman misteri yang masih timbul di laci mejanya hingga ke hari ini. Ayni tidak akan pedulikan mereka!

Tapi masalah selalunya akan cari Ayni biarpun Ayni berusaha untuk mengelak.

Beberapa jam sebelum tamatnya hari terakhir persekolahan pada minggu itu, sekali lagi Ayni dipanggil ke bilik disiplin. Kalau dulu memang salah Ayni tapi kali ini Ayni memang tidak bersalah! Malah Ayni bagaikan seorang pelajar contoh sejak balik ke sekolah selepas seminggu digantung persekolahan tempoh hari. Jadi Ayni memang terpinga-pinga apabila ketua pengawas sekali lagi datang menjemputnya.

“Masuklah,” kata ketua pengawas. “Saya cuma diminta untuk menghantar awak ke sini. Saya kena pulang ke kelas.”

“Terima kasih,” kata Ayni.

Ayni membetulkan beg yang disandangnya, kemudian mengetuk pintu.

“Masuklah.”

Ayni masuk tapi terus kaku apabila memandang seorang wanita yang turut berada di dalam bilik itu.

 

‘Mulai hari ini, kau dan aku bukan keluarga lagi! Hubungan kita sampai setakat ini!’

 

Ayni masih teringat kata-kata itu. Kalau bukan kerana ayat itu, pasti Ayni sudah memanggil wanita itu dengan panggilan istimewa yang sudah lama tidak disebutnya. Tapi seperti katanya, Ayni sudah tidak layak lagi. Dia hanya mampu menyebut di dalam hati.

Wanita itu sendiri merenung wajah gadis yang sudah sekian lama tidak ditatapnya. Dia tahu gadis itu siapa sebelum dia datang lagi. Tapi sejak dia ambil keputusan untuk pergi beberapa tahun yang lepas, dia telah anggap yang mereka bukan keluarga lagi. Dia sudah ada keluarga yang baru.

“Kenapa kamu tak duduk?” tanya Cikgu Ayub.

Perlahan-lahan Ayni mengambil tempat, agak jauh dari mereka. Dia ingin terus menatap wajah wanita itu tapi dia tahu wanita itu tidak suka.

“Ini Puan Karina. Dia datang untuk buat aduan tentang kamu. Katanya kamu ada pukul anak dia beberapa hari yang lepas, betulkah?” tanya Cikgu Ayub.

“Siapa anak... Puan ni?” tanya Ayni.

“Nama dia Zamarul. Kamu mungkin kenal dia sebagai Zam. Dia cedera teruk selepas kamu pukul dia!” kata Karina dengan tegas.

Jadi Zam anak Karina? Eh, mereka…keluarga?

“Tapi saya tak akan buat begitu kalau dia tak ganggu saya! Saya cuma nak pertahankan diri!” kata Ayni, cuba membela diri.

“Apa yang dia dah buat sampai kamu pukul dia macam tu sekali? Kamu tahu tak, sebelah matanya hampir rosak! Dia boleh buta! Badannya penuh dengan lebam. Nasib baik tak ada tulang yang patah. Padankah dengan apa yang dia cuba buat berbanding apa yang kamu dah buat pada dia? Cakap! Dia nak buat apa?” tengking Karina.

“Dia tarik tangan saya di tempat yang sunyi! Mestilah bukan sebab yang baik!” jawab Ayni.

Karina tergelak, sinis. “Setakat tarik tangan kamu, kamu dah fikir yang bukan-bukan. Kamu terlalu pandang tinggi pada diri kamu sendiri. Entah-entah dia bukannya nak buat apa-apa pun. Mungkin dia cuma nak takut-takutkan kamu. Kamu yang fikir terlalu banyak!”

“Dia yang cakap macam itukah? Kenapa m-Puan tak percayakan saya?” tanya Ayni.

“Saya percayakan Zam. Dia bukannya jahat sangat sampai nak buat yang bukan-bukan pada kamu,” jawab Karina, langsung tidak teragak-agak.

Mata Ayni berkaca-kaca. Dia memang ingin menangis tapi bukan kerana takut. Tapi dia rasa sangat sedih sekarang. Ayni masih dapat terima jika dihina oleh orang lain. Dia masih akan bangun dan mempertahankan tindakkannya. Tapi bila seorang wanita yang sepatutnya melindunginya melindungi orang lain dan tidak percaya padanya, itu lebih menyakitkan.

“Saya rasa baik semua orang bertenang dulu. Puan datang untuk berbincang, kan? Tak perlulah marah-marah begini,” kata Cikgu Ayub.

“Berbincang? Saya datang nak jumpa budak perempuan yang berani pukul anak saya.  Saya nak pihak sekolah jatuhkan hukuman pada dia! Saya tak boleh terima yang anak saya cedera tapi siapa pun tak ambil tindakan! Budak perempuan ni dah melampau!”

“Saya cuma pertahankan diri saya! Maruah saya! Salahkah apa saya buat?” tanya Ayni.

“Saya rasa kamu ni suka membesar-besarkan cerita! Tak ada apa pun yang berlaku hari tu. Tapi disebabkan kamu, Zam tak keluar dari rumah sekarang. Entah samseng mana kamu dah upah untuk ugut dia sampai laporan polis pun dia dah tarik balik!”

“Samseng apa? Saya tak faham,” kata Ayni.

“Apa yang kamu dah buat, kamu lebih tahu,” kata Karina, yang kemudian berpaling kepada Cikgu Ayub. “Sama ada sekolah ini ambil tindakan atas budak perempuan ni atau saya akan saman sekolah ni sebab mempertahankan seorang penyangak macam ni!”

Sekali lagi Ayni tersentap dengan kata-kata itu. Sampai sebegitu sekalikah dia mahu memutuskan hubungan mereka? Karina langsung tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus bangun dan keluar. Ayni hanya memerhati dengan pandangan mata yang sayu.

Ayni tidak tahu bagaimana dia menghabiskan hari itu. Dia termenung, memikirkan banyak perkara dengan hati yang lara. Apabila sesi persekolahan tamat, dia terus berjalan keluar. Tiba di pintu pagar sekolah, seorang lelaki menunggunya di pagar.

“Puan Karina sedang menunggu di dalam kereta,” katanya tanpa sebarang emosi.

Ayni termangu. Dia memerhatikan lelaki yang berjalan ke kereta, menunggu Ayni mengikutnya. Akhirnya Ayni berjalan ke kereta juga. Lelaki itu membukakan pintu untuk Ayni. Benar seperti kata-katanya, Karina duduk, langsung tidak memandang ke arahnya.

“Tunggu apa lagi? Cepat masuk! Ada benda yang aku nak cakap!” desis Karina.

Ayni menggigit bibir. Biarpun dia tidak mahu masuk ke dalam kereta, dia masih ingin bersama wanita itu selama mungkin. Dia terlalu rindukan wanita ini. Hari inilah kali pertama mereka bertemu selepas hampir lima tahun. Entah bila lagi baru mereka dapat bersua begini. Jadi Ayni masuk juga, duduk sehampir mungkin dengan pintu. Dia tahu Karina tidak suka Ayni berada dekat dengannya.

“Mana kau upah samseng-samseng tu?” soal Karina. “Sejak bila kau berperangai macam ni? Mereka datang ke rumah ugut Zam supaya tarik report polis. Berani betul kau!”

“Saya tak upah mana-mana samseng pun!” jawab Ayni.

Ayni mana ada duit. Mana mungkin dia mampu buat begitu!

“Kalau bukan kau, habis mereka tawarkan diri untuk buat macam tu? Jangan nak mengarut!”

Ayni tidak puas hati dituduh begitu, cepat-cepat dia membangkang. “Tapi saya memang tak tahu! Kenapa mama tak percayakan saya?”

“Aku bukan lagi mama kau!” tengking Karina, membuatkan Ayni tersentak. “Aku dah pernah cakap jangan panggil aku dengan nama tu lagi!”

“Tapi-”

“Lepas kau ambil keputusan untuk ikut lelaki tak berguna tu, kau dan aku memang bukan keluarga! Kau yang buat keputusan ni. Macam mana dia didik kau pun aku tak tahu,” rungut Karina dengan raut wajah mencuka.

Ayni menahan sebak, memerhatikan Karina dengan mata yang berkaca-kaca. Dia dan Karina memang anak-beranak. Karina yang lahirkan dia. Dia yakin tentang hal itu. Jadi kenapa begitu mudah untuk abaikan ikatan yang sangat kukuh ini?

Karina mendengus. “Memang bagus hasil didikan dia!”

“Mama-” Jelingan tajam Karina membuatkan Ayni terdiam seketika. “Puan jangan salahkan papa. Dia tak ada kena mengena dengan hal ni.”

“Habis aku nak salahkan kau?” soal Karina. “Aku tak mahu tahu! Yang penting, lepas ni aku tak mahu kau muncul depan keluarga aku lagi! Kau dengan papa kau tu sama saja!”

“Kita… memang boleh jadi orang asing macam tu saja?” tanya Ayni.

“Kenapa pula tak boleh?” soal Karina.

Ayni turun dari kereta itu selepas itu. Dia hanya memerhatikan kereta itu memecut pergi dengan hati yang sayu.

Semudah itukah mama dapat berubah? Semudah itukah mama dapat lupakan Ayni? Semudah itukah mereka bukan ibu dan anak lagi?

Tapi Ayni…masih ingatkan mama.

 

Friday, December 25, 2020

Bab 9

 

Ayni menjenguk dari sebalik pagar, mencari kereta yang bagaikan satu sumpahan itu. Datangkah? Tak nampak pun. Sebentar lagi bas akan datang, jadi dia ingin ke perhentian bas. Kalau tidak dia akan ketinggalan bas. Tapi dia tak mahu kereta itu tiba-tiba muncul semasa dia sedang menunggu bas.

Nampaknya memang tak ada! Baguslah! Ayni menarik nafas lega. Dia membetulkan beg, ingin segera sampai ke perhentian bas.

“Awak cari siapa tadi?”

Luqman bersandar di pagar, hanya tergelak melihat Ayni yang menjerit kerana terkejut.

“Awak buat apa di sin?” tanya Ayni, mengurut dada.

“Memandangkan awak tak mahu naik dengan pemandu, saya datang jemput awak sendirilah,” jawab Luqman.

Ayni segera melihat ke sekeliling. Ada segelintir pelajar yang sedang melihat-lihat dia sambil berbisik-bisik sesama mereka. Ayni menarik tudungnya, menutup separuh muka.

“Jomlah!” kata Luqman. “Saya hantarkan.”

Ayni cepat-cepat menggeleng. “Awak dah hilang akalkah? Kenapa buat macam ni?”

Luqman berfikir sesuatu. “Saya pernah dengar sesetengah pelajar sekolah malu kalau ibu bapa mereka datang jemput? Sebab itukah?”

Langsung bukan!

“Tapi saya bukan ibu bapa awak, malah saya nampak muda lagi. Jadi tak perlu malulah.”

Ya Allah, kenapalah dia tak faham? Nampaknya dia tidak akan mengalah. Kalau Ayni berkeras, entah-entah dia akan ikut Ayni naik bas. Lagipun dia pernah ikut Ayni jalan kaki sampai ke rumah. Buru-buru Ayni berjalan keluar.

“Awak nak ke mana?” tanya Luqman, mengikut dari belakang.

“Mana kereta awak?” tanya Ayni.

“Sini,” kata Luqman berjalan ke keretanya.

Sudahlah keretanya begitu, dia letakkan pula dekat dengan pagar. Semua orang boleh nampak dan pasti tertanya-tanya siapa pemilik kereta mewah itu. Habislah!

Tanpa menunggu Luqman, Ayni terus buka pintu dan masuk sendiri. Kalau tadi cuma menutup muka dengan tudung, kali ini dia tutup mukanya dengan beg. Dia tak tahu sama ada cermin kereta ini cukup gelap sehingga boleh nampak ke dalam atau tidak tapi dia tidak mahu ambil risiko. Luqman terpinga-pinga melihat kelakuan Ayni tapi dia tidak memberi sebarang komen. Dia terus masuk ke bahagian pemandu dan memandu pergi. Selepas jauh dari kawasan sekolah barulah Ayni bertenang sedikit.

“Awak nak makan dulu?” tanya Luqman.

Ayni tidak menjawab. Rasa tidak puas hatinya kepada Luqman memuncak sekarang. Jadi dia membisu, merenung ke luar tingkap. Dia hanya mahu pulang dan kemudian mengurung diri di dalam bilik.

“Awak marahkan saya?” tanya Luqman.

Sudah tahu, mahu bertanya lagikah?

“Kenapa?” tanya Luqman lagi. “Cakaplah, kalau tidak macam mana saya nak tahu.”

Ayni menyilang tangan, masih merenung ke luar tingkap. Fikirlah sendiri!

“Mungkin saya patut hantar dan jemput awak balik dari sekolah setiap hari. Barulah awak tak marah,” kata Luqman.

Terus Ayni berpaling. “Jangan nak mengarut!”

“Tak bolehkah?”

“Tak boleh!”

“Tapi kenapa?”

“Sebab saya tak mahu!”

“Kenapa awak tak mahu?”

“Awak ni…” Ayni menarik nafas. “Kenapa awak buat semua ni? Kita bukannya kenal sangat pun.”

“Awak tanya soalan tu lagi?” tanya Luqman kembali. “Saya rasa saya dah jelaskan pun kenapa.”

“Jawapan awak terlalu kabur untuk saya percaya,” rungut Ayni.

Luqman menghela nafas. “Saya dan awak bukan kali pertama berjumpa beberapa hari yang lepas. Rasanya awak memang dah lupakan saya. Saya tak salahkan awak sebab pertemuan kita masa tu terlalu singkat. Lagipun saya tahu saya bukan orang yang penting. Tapi tak apa, saya tak pernah lupa dan tak akan sesekali lupa. Orang yang pernah buat salah pada saya pun saya ingat, apatah lagi orang yang pernah berbudi. Bagi saya, awaklah orang yang penting sebab awak pernah tolong saya.”

“Apa yang saya dah buat?” tanya Ayni, cuba mengingat kembali di mana dia pernah bertemu lelaki ini.

Seingat Ayni dia tidak pernah jumpa Luqman. Dia juga tidak pernah tolong sesiapa seumur hidupnya sehingga memerlukan orang itu membalas budi hingga ke tahap ini.

“Semua itu dah tak penting. Yang penting sekarang biar saya tolong awak. Awak pernah hidup bagai seorang puteri dulu, jadi saya nak awak hidup seperti itu lagi. Jadi tak apa kalau saya buat semua ni?”

Pantas Ayni menggeleng. “Saya tak mahu!”

“Tapi kenapa?”

“Sebab saya tak mahu terhutang budi!” Ayni memandang Luqman dengan serius. “Saya tak suka dan saya tak mahu. Saya akan hidup seperti dulu suatu hari nanti, tapi itu atas usaha saya sendiri. Kalau saya gagal bererti setakat itu saja kemampuan saya. Tapi sekurang-kurangnya saya mencuba.”

“Jadi sebelum sampai masa tu, biarlah saya layan awak macam puteri dulu.”

“Awak faham tak saya cakap tadi???”

Luqman mengangguk. “Hendak terima itu keputusan awak. Hendak buat baik pada awak itu pula keputusan saya. Awak dah buat keputusan awak. Ini pula keputusan saya.”

Ayni hampir-hampir menjerit kerana marah. Bercakap dengan Luqman bagaikan berpusing di dalam bulatan. Tidak ada penghujungnya. Jadi dia lakukan apa yang dia boleh lakukan pada masa itu. Ayni menyilang tangan, merenung ke luar tingkap dengan raut wajah mencuka.

“Awak marah lagikah?” tanya Luqman.

Ayni cuma mencebik.

“Marah pulak tuan puteri saya ni. Macam mana saya nak pujuk ya?”

Jangan panggil Ayni tuan puteri! Tapi disebabkan dia masih memprotes, dia hanya menjerit di dalam hati.

“Bila marah, pipi kembang macam tu, nampak macam ikan buntal!”

Kurang ajar! Ini hendak memujuk atau mengutuk?

“Jangan marah lagilah. Awak cakap apa yang awak nak, saya akan tunaikan,” pujuk Luqman.

“Awak bukannya nak dengar pun apa yang saya nak. Nanti awak buat ikut suka hati awak jugak,” rungut Ayni dengan sebal.

“Saya minta maaf. Saya akan dengar kali ni. Boleh maafkan saya tak?”

Ayni berpaling, merenung lelaki itu. “Betulkah?”

Luqman mengangguk.

“Janji ni?”

“Ya! Cakaplah!”

“Satu…”

“Satu? Ada berapa banyak permintaan awak?” Luqman mengerut dahi.

“Jangan potong cakap saya boleh tak? Tadi awak jugak yang janji!”

“Tapi saya rasa tak boleh banyak sangatlah. Nanti mesti banyak yang awak nak minta. Bukan saya tak boleh tunaikan tapi mesti saya tak sanggup.”

Macam dia boleh tahu apa yang Ayni nak minta.

“Habis berapa?” soal Ayni.

Luqman berfikir seketika. “Satu saja.”

“Mana boleh! Lima!” bantah Ayni.

“Tiga!” balas Luqman.

“Tiga? Sikitnya!”

“Lebih banyak dari satu.”

Ayni mendengus. “Yalah! Tiga!”

“Deal!”

“Okey, satu,” kata Ayni, menekan perkataan satu itu dengan geram. “Saya akan bayar sewa sepanjang saya tinggal di rumah awak.”

“Kenapa pulak?” tanya Luqman.

“Tadi dah janji!”

Luqman mengeluh. “Menyesal pulak saya janji dengan awak. Ini baru satu. Lagi dua macam mana agaknya.”

Ayni tergelak. “Ini yang kedua. Saya tak mahu ada pembantu rumah!”

“Tapi….”

“Janji? Ingat tak?”

“Pembantu rumah tu untuk senangkan awak. Saya masih ingat ‘benda hitam’ kelmarin. Sekurang-kurangnya dia boleh tolong masakkan untuk awak,” kata Luqman, cuba memujuk.

Kenapa dia masih tak lupa? Tolonglah lupakan!

“Untuk pengetahuan awak, itu bukan paling teruk yang saya masak. Setakat ni saya masih hidup dengan sihat sampai sekarang. Jadi dia tak relevan,” balas Ayni.

“Tapi apa kata biarkan saja dia di rumah tu. Sekurang-kurangnya dia boleh temankan awak. Tak perlulah awak tinggal berseorangan,” pujuk Luqman lagi.

“Setakat temankan saja?” tanya Ayni.

Laju Luqman mengangguk.

Ayni menghela nafas. “Okey.”

“Okey, jadi yang ketiga?”

“Yang ketiga, saya tak mahu dihantar atau dijemput saya ke sekolah. Baik pemandu ataupun awak. Saya boleh naik bas. Tak susah pun! Lagi satu saya tak suka orang nampak saya naik kereta pergi balik ke sekolah. Semua orang tahu saya orang susah. Tiba-tiba naik kereta, semua orang akan fikir yang bukan-bukan!”

“Kenapa perlu peduli apa orang fikir? Mereka bukannya membantu dalam hidup awak pun? Bila susah, tak ada siapa pandang. Bila senang sikit, semua kawan baik awak. Setakat tahu mengkritik, semua orang boleh buat?” rungut Luqman, benar-benar nampak tidak berpuas hati.

“Saya nak habiskan persekolahan saya dengan tenang. Tak habis-habis mereka bercakap tentang saya. Lama-lama saya boleh jadi tertekan!”

“Macam mana kalau kecemasan? Saya boleh jemput atau hantar awak?”

“Kecemasan lainlah. Tapi tak kan kecemasan setiap hari?”

Luqman mengeluh. “Yalah! Baiklah!”

“Janji?”

“Ya, janji!” jawab Luqman, menghela nafas. “Susahnya nak senangkan hati tuan puteri.”

“Jangan panggil saya tuan puteri!” marah Ayni.

“Tapi tak ada dalam perjanjian kita pun!” bantah Luqman.

“Memanglah tak tapi gelilah!”

“Okey, saya tak akan panggil di depan awak.”

Salah satu pelajaran penting dalam hidup, jangan terlalu cepat meraikan sesuatu. Ayni masih perlu banyak belajar tentang hidup!