Friday, October 23, 2020

Bab 34

 

Aku pasti Furqan akan terkejut dengan keputusan yang aku ambil. Jadi apabila dia menelefonku tengah hari esoknya, aku sudah tahu apa yang dia ingin tanyakan.

“Kenapa?” tanya Furqan. “Saya yakin awak tak cintakan saya!”

Aku tidak menjawab soalannya, sebaliknya bertanya kepada dia kembali. “Perlukah kita berkahwin kerana cinta?”

“Habis awak nak habiskan hidup awak dengan seseorang yang awak tak cinta?”

“Kalau kahwin atas dasar cinta pun bukannya boleh kekal!” desisku. “Kadang- kadang tak jadi kahwin pun!”

“Macam perli saya pula,” komennya.

“Yang awak terasa kenapa?”

Furqan diam seketika. Pastinya dia aneh dengan sikapku.

“Kenapa dengan awak ni?” soal Furqan akhirnya.

Aku juga tanyakan soalan yang sama. Aku sendiri tidak faham apa yang aku fikirkan sekarang. Yang aku tahu aku cuma ingin lari dari masalahku dengan Hazriq. Sekarang Furqan juga sudah terlibat.

“Saya harap awak fikirkan keputusan awak ni baik- baik. Soal kahwin jangan dibuat main,” nasihat Furqan.

“Saya dah beritahu ibu dan ayah saya, jadi saya memang dah fikir baik- baik,” jawabku. “Kenapa? Awak tak mahu kahwin dengan saya?”

Furqan menghela nafas. “Secara jujur, saya tak tahu nak cakap apa. Tapi kalau itu yang awak nak, saya ikut saja. Tapi saya harap awak benar- benar pasti dengan keputusan yang ambil ni.”

Semudah itukah? Tapi aku telan soalanku itu. Biarpun selepas perbualan kami selesai, aku masih lagi berfikir.

Telefonku bergetar lagi. Sejak semalam Hazriq berusaha untuk menghubungi aku. Aku pula masih berdegil untuk menjawab panggilannya. Tapi mungkin aku patut jawab saja dan beritahu aku akan kahwin dengan Furqan.

Hmm, cakap memanglah senang!

Aku mengeluh, memandang telefon yang kini sepi. Sudah menyerah kalah agaknya. Tapi Hazriq bukan begitu. Entah- entah dia rancang untuk lakukan perkara lain. Tak apa. Jika dia mencari aku nanti, aku akan beritahu dia secara terus- terang yang aku akan menikah.

 

 

Pulang dari kerja, dari jauh aku perasan kelibat Hazriq yang menunggu di kereta. Aku terus duduk di sebalik tembok bunga berdekatan tempat meletak kenderaan. Tadi beria- ia aku hendak beritahu dia, habis kenapa sekarang aku sembunyikan diri di sini?

Aku mengintai di sebalik celah- celah pokok bunga, melihat Hazriq yang bersandar ke keretaku sambil merenung ke kejauhan. Kalau dia memandang ke arah bangunan pejabat tadi, pasti dia perasan aku yang berjalan tadi. Beberapa kali dia mengeluh. Aku lihat dia mengeluarkan telefon, merenung dengan lama sebelum memasukkan kembali ke dalam poket. Aku ingat dia hendak telefon aku lagi.

Keluar dan cakap saja dengan dia. Apa yang aku takutkan? Perkara ini tidak akan selesai jika aku terus bersembunyi macam tikus di sini. Tapi berat betul kaki untuk ku langkah.

Lama juga aku duduk di sebalik tembok, sambil sekali- sekala mengintai Hazriq yang masih setia menunggu di keretaku. Dia langsung tidak ada tanda- tanda untuk beredar. Macam mana aku hendak balik?

Sekali lagi aku mengintai Hazriq. Posisinya masih sama, masih berdiri menunggu aku dengan tenang. Berapa kali aku fikir pun aku tidak dapat paksa diri untuk keluar dan bercakap dengan dia. Akhirnya aku beredar ke arah bertentangan, mencari jalan untuk mengeluk dari bertembung dengan dia. Akhirnya aku pulang dengan menaiki bas.

 

 

“Mana kereta kamu?” tanya ibu apabila aku turun untuk sarapan keesokkan paginya.

“Ada depan pejabat,” jawabku.

“Kenapa? Rosakkah?” tanya ayah.

“Umm…ada masalah untuk hidupkan enjin,” jawabku.

Pandai pula aku menipu pagi- pagi begini.

“Tak apa, nanti ayah hantarkan kamu. Boleh ayah tengokkan sekali kereta kamu tu,” kata ayah.

Aku hanya mengangguk, terasa bersalah kerana menipu mereka. Sampai di tempat letak kereta, ayah terus memeriksa keadaan keretaku. Memang tidak ada masalah, terus dapat hidupkan enjin dengan sekali cuba saja.

“Tak ada masalah pun,” komen ayah.

Aku tidak menjawab, cuma merenung dia mematikan enjin dan keluar dengan wajah keliru. Maafkan saya ayah!

“Tak apalah kalau macam tu, ayah balik dulu,” kata ayah.

“Terima kasih sebab hantarkan saya,” kataku.

“Naiklah dulu, nanti ayah balik.”

Aku tergesa- gesa berjalan masuk ke pejabat. Harap- harap dia tidak menunggu di pejabat pula kali ini.

 

 

dia memang tidak menunggu di pejabat. Tapi sekarang sekali lagi dia berdiri menungguku di kereta. Tak kan aku hendak pulang dengan bas lagi? Ibu dan ayah pasti tidak percaya kalau aku cakap keretaku rosak lagi.

Sekali lagi juga aku menunggu di sebalik tembok bunga, cuba mengintai dia yang setia berdiri di tepi keretaku. Aku mengeluh. Dulu semasa hubungan kami sekadar kawan, beria- ia aku hendak mendengar yang dia cintakan aku. Tapi bila dia lafazkan ayat itu, aku pula larikan diri dan bersembunyi begini. Tapi apa yang aku boleh buat? Aku tidak sanggup untuk menjadi orang ketiga yang menjadi penyebab musnahnya hubungan sepasang kekasih.

Tapi benarkah kerana aku? Hazriq cakap hubungan mereka memang sudah lama retak, cuma menunggu masa untuk belah saja. Jadi tidak ada kaitan dengan aku, kan?

Ah, itu ayat untuk sedapkan hati sendiri!

Telefonku tiba- tiba bergetar. Bukan panggilan, cuma pesanan WhatsApp.

 

Rania, we need to talk.

 

Aku tidak membalas.

 

Please, Rania!

 

Jangan larikan diri begini.

 

Saya akan tunggu awak sampai awak di kereta awak. Saya akan tunggu sampai awak sampai.

 

Tak boleh begini. Hampir jam sembilan tapi aku masih di sini. Aku tetap tidak mahu bercakap atau berjumpa dengan dia. Tapi dia nampaknya akan terus berdegil dan menunggu. Aku menggigit bibir, akhirnya menaip jawapan.

 

Saya ada di 7-Eleven berdekatan bangunan pejabat. Datanglah ke sini.

 

Aku lihat Hazriq terus bergegas ke kedai 7-Eleven itu selepas melihat telefonnya. Cepat- cepat aku sembunyikan diri agar dia tidak nampak aku. Apabila aku pasti dia sudah pergi, aku segera berlari ke kereta, kemudian beredar dari situ. Telefonku yang bergetar selepas itu pun aku tidak pedulikan.

 

 

Nasib baik hujung minggu akhirnya tiba. Jadi tidak perlulah aku fikirkan bagaimana untuk melarikan diri dari bertembung dengan Hazriq untuk dua hari ini. Dia masih cuba menelefon dan menghantar pesanan WhatsApp tetapi aku abaikan kesemua pesanan yang dihantarnya.

Hari ini keluarga Furqan datang ke rumahku. Memandangkan aku akhirnya memberi keputusan untuk menerima pinangan itu, mereka ingin berbincang tentang majlis pernikahan kami. Semuanya berlaku dengan terlalu cepat tetapi aku fikir ini yang terbaik. Danish yang kebetulan tinggal bersama Aunty Sofea dan Uncle Hadi juga ada. Cuma Furqan yang tidak dapat bercuti saja tidak datang.

“Nampaknya ada jodoh juga mereka berdua ni,” komen Uncle Hadi.

Mereka yang lain tersenyum mendengar kata- kata Uncle Hadi itu. Cuma aku tidak mampu mengukir senyuman.

“Majlis macam mana yang kita hendak adakan?” tanya Aunty Sofea yang kelihatan teruja. Masakan tidak, impiannya akhirnya terlaksana.

“Aunty, boleh saya cakap sikit?” kataku.

“Apa dia?” kata Aunty Sofea.

“Kalau boleh, saya tak nak majlis besar. Cukuplah sekadar jemput saudara terdekat dan kawan- kawan. Akad nikah pun cukuplah sekadar kita sahaja,” kataku.

Ibu mengerut dahi. “Kenapa? Majlis ini penting untuk kamu. Bukan selalu kamu bernikah. Mungkin cuma sekali ini. Kamu tak mahu raikan betul- betul?”

Agaknya ibu sudah lupa yang ini kali kedua aku cuba untuk menikah. Ironinya ialah dengan lelaki yang sama pula tu.

“Ini pun raikan juga. Majlis kenduri tu cuma untuk meraikan dan mewar- warkan pada orang yang dia sudah berkahwin. Besar atau kecil itu tak penting. Ikutlah cakap dia,” nasihat ayah.

“Hmm, ya lah. Lagipun dia yang hendak berkahwin.” Ibu bersetuju juga.

“Tak apa, asalkan buat dah cukup, kan?,” kata Aunty Sofea. “Nanti kita cetakkan kad untuk jemput siapa yang kita nak jemput.”

“Sebelum tu, kita kena tetapkan tarikh dulu!” kata Uncle Hadi.

Ayah tergelak. “Ya tak ya juga! Dari tadi berbual, tak teringat pasal hal tu!”

“Kalau dalam tiga bulan lagi sempatkah?” tanya ibu.

“Lebih dari sempat. Majlis kecil saja, kan?” jawab Aunty Sofea.

“Kecil pun perlukan perancangan,” bantah Uncle Hadi.

“Saya rasa dua bulan pun sempat. Tak banyak yang perlu kita buat pun,” tingkah ayah pula.

Aku membisu mendengar. Mereka terus berbincang tentang tarikh yang sesuai dalam masa dua bulan lagi.

 

Hujung bulan ini kami akan menikah

 

Teringat kata- kata Nurrul Azzwa tempoh hari. Jadi hujung bulan ini mereka akan berkahwin.

“Hujung bulan ini macam mana?” kataku tiba- tiba.

Mereka yang berbual terus terdiam, kemudian masing- masing saling berpandangan. Wah, aku sendiri tidak percaya aku akan cakap begitu!

“Hujung bulan ini apa?” tanya ibu, inginkan kepastian.

Aku menarik nafas. Alang- alang aku sudah luahkan, lebih baik aku teruskan.

“Kita adakan majlis akad nikah hujung bulan ini!” kataku, benar- benar bertekad.

Kali ini mereka benar- benar terperanjat dengan kata- kata aku.

“Kenapa?” tanya Aunty Sofea.

“Tak ada apa- apa. Cuma saya rasa bertangguh akan ada masalah nanti. Macam apa yang pernah terjadi dulu,” jawabku.

“Kamu berguraukah? Mana sempat nak rancang majlis dalam masa sebulan!” kata ayah.

“Tak perlu majlis kenduri terus, cuma majlis akad nikah,” jawabku.

Ibu dan ayah saling berpandangan. Pasti mereka ingat aku sudah hilang akal. Aku juga fikir perkara yang sama sekarang. Tapi aku tetap dengan pendirian aku tidak kira apa pun yang mereka fikirkan.

“Kalau setakat majlis akad nikah, tak apa rasanya kalau kita adakan hujung bulan nanti,” kata Aunty Sofea.

“Habis majlis kendurinya bila pula?” soal ibu.

“Seminggu dua selepas itu pun tak apa rasanya,” jawab Uncle Hadi.

Ayah berfikir seketika. “Kamu dah fikir masak- masak tentang hal ni, Rania?”

Aku cuma mengangguk.

“Tak cepat sangatkah?” sangkal ibu.

“Tak adalah cepat sangat. Lagipun siapa yang tahu kita nak adakan majlis ini bila? Dia hendak kahwin pun tidak ada yang tahu kecuali kita,” jawab ayah.

Ibu menghela nafas. “Baiklah kalau macam tu.”

“Kalau macam tu, nanti saya maklumkan pada Furqan yang kita akan adakan majlis akad nikah hujung bulan ini.”

Kemudian mereka mula berbincang tentang majlis akad nikah yang akan diadakan hujung bulan ini. Masing- masing kelihatan teruja. Aku mengukir senyuman dan menjawab setiap kali mereka bertanya tentang sesuatu. Tetapi cuma bibirku yang tersenyum. Hatiku rasa kosong.

 

 

Furqan terus menghubungiku malam itu.

“Awak macam tidak sabar untuk kahwin dengan saya!” katanya.

Aku mendengus, tidak menjawab.

“Kenapa?” soalnya.

“Tidak ada sebab,” jawabku.

Dia tergelak. “Saya tahu awak menipu. Apa yang dah jadi? Awak macam hendak larikan diri dari sesuatu.”

Inilah susahnya jika seorang lelaki itu mengenali kita. Dia tahu apa yang kita fikirkan dan cuba lakukan.

“Awak tak perlu tahu!” jawabku.

“Excuse me? You’re marrying me!”

“So?”

“Saya rasa saya berhak untuk tahu!” tegas Furqan. “Apa yang berlaku antara awak dan dia?”

“Siapa dia?” soalku, biarpun aku memang tahu siapa yang dia maksudkan.

“Jantan itu lah!” jawab Furqan.

“Dia ada namalah!” bentakku.

Furqan tergelak- gelak. “Namanya tak penting. Awak pun macam dah lupa nama dia.”

Tak mungkin aku lupa!

“Tak ada apa- apa antara saya dan dia,” kataku.

“Dia tahu awak akan kahwin dengan saya?” soalnya lagi.

“Belum.”

“Awak tak mahu beritahu dia? Anehnya, awak dan dia memang rapat sebelum ni.”

Hmm, jangan ingatkan aku! Aku sedang belajar untuk lupakan dia. Kalau tidak kenapa aku hendak mengahwini lelaki lain!

Furqan menghela nafas. “Lebih baik awak beritahu dia secepat mungkin. Tidak kira apa yang awak anggap tentang hubungan awak dengan dia, saya rasa dia berhak tahu tentang hal ni. Sebab sebagai lelaki, saya boleh tahu perasaan dia pada awak. Mungkin awak dah buta, sebab itu selama ini awak tak pernah perasan!”

“Awak ni nak nasihatkan saya atau mengejek saya?” soalku dengan rasa jengkel.

“Terpulanglah kepada apa yang awak fikir.”

“Sakit hati pula berbual dengan awak!”

Furqan tergelak. “Saya tak kisah!”

Wah, ke mana menghilangnya Furqan yang lama? Siapa dia yang sedang berbual dengan aku sekarang ini? Aku tidak kenal Furqan ini!

Furqan menghela nafas. “Apa sekalipun, buatlah keputusan terbaik. Ini soal masa depan awak juga. Macam yang saya pernah cakap, saya akan sokong keputusan awak tak kira apa pun yang awak pilih. Kalau awak nak batalkan majlis kita, saya akan setuju. Kalau sebelum akad nikah awak nak batalkan pun, saya tetap akan setuju. Lagipun bukan kali pertama awak buat macam tu!”

Dalam beri nasihat itu pun sempat lagi dia mengejek aku! Tapi aku tidak boleh menyangkal kerana kata- katanya itu benar.

“Nanti saya buat macam tu! Awak tunggulah!” kataku dengan geram.

“Okay,” kata Furqan tergelak- gelak, langsung tidak terkesan.

Kerana aku semakin jengkel dengan sikapnya, cepat- cepat aku putuskan talian. Aku pasti Furqan sedang tergelak dengan sikapku.

 

 

Minggu baru bermula. Perkara pertama yang aku fikir ialah sama ada dia akan menunggu di kereta ketika aku pulang lagi hari ini. Benar kata Furqan, aku perlu beritahu dia tentang majlis perkahwinanku yang bakal berlangsung nanti. Jadi kalau dia menunggu lagi hari ini, aku akan pergi kepadanya dan cakap;

‘Saya akan kahwin dengan Furqan, jadi tak perlu tunggu lagi. Antara kita memang tak akan ada apa- apa.’

Kemudian aku akan masuk kereta dan terus balik.  Sepanjang pagi aku berlatih ayat itu. Asalkan aku tidak pandang wajahnya semasa bercakap, pasti tidak akan ada masalah. 

Hmm, senangnya bercakap! Macam mana hendak bercakap tanpa pandang wajahnya? Aku teringin hendak pandang dia puas- puas. Ya Allah, tetapkanlah hati aku!

Tamat waktu bekerja, perlahan- lahan aku melangkah pulang. Dadaku berdebar- debar memikirkan tentang apa yang akan berlaku nanti. Adakah dia akan marahkan aku nanti? Tak apa kalau dia marah, aku boleh terima. Tapi macam mana kalau dia sedih? Kuatkah aku nanti?

Tak boleh begini, aku mesti kuatkan hati aku!

Tapi apabila sampai di kereta, langsung tidak ada kelibat Hazriq. Entah kenapa aku rasa kecewa bercampur lega. Melilau aku memandang mencari tapi nampaknya dia tidak ada di mana- mana. Mungkin hari ini dia tidak datang.

 

 

Hari pertama dia tidak lagi menunggu di kereta, hari kedua dan seterusnya juga sama. Akhirnya hampir seminggu berlalu tanpa kelibat dia. Dia sudah berputus asakah? Kenapa terselit rasa kecewa? Bukan ini yang aku harapkan? Aku mengeluh, mengetuk- ngetuk papan kekunci dengan pen, menyebabkan barisan huruf ‘z’ ditaip hampir satu muka surat.

“Siapa yang dah mati?”

Aku tidak pedulikan teguran Zura. Kalau dia hendak tahu, aku terasa seperti separuh jasadku mati sekarang. Hai, apa hendak jadi dengan aku ni?

“Abaikan dia, memang begitu beberapa hari ini,” balas Kak Diba dari mejanya.

Cakaplah apa pun, aku tidak mahu peduli. Berkali- kali aku ingatkan supaya tidak fikirkan tentang Hazriq tetapi dia tetap bersarang di mindaku. Apa yang patut aku buat???

Ah, tidak boleh begini! Lebih baik aku teruskan kerja dari fikirkan tentang hal- hal tidak sepatutnya. Aku segera memadam huruf ‘z’ yang ditaip dan cuba memulakan kerja dengan bersungguh- sungguh.

“Tengok, dia dah hilang akal!” kata Kak Diba.

“Wah, apa kena dengan dia?” soal Zura.

“Boyfriend larilah! Apa lagi!” balas Kak Diba, langsung tidak kisah jika aku mendengar.

Enggan memperdulikan mereka, aku meneruskan kerja. Cakaplah apa pun. Lebih baik aku cuba untuk fokus pada kerja sekarang. Dengan cara ini, aku harap aku akan terlupa.

Thursday, October 22, 2020

Bab 33

 

Lama juga aku menunggu Hazriq sampai. Aku duduk termenung di meja batu yang menghala ke tasik. Ramai orang yang lalu- lalang pada masa ini. Kawasan ini memang selalunya penuh dengan orang ramai yang melakukan aktiviti riadah.

“Assalamualaikum.”

Aku berpaling, melihat Hazriq yang berjalan mendekat. “Waalaikumsalam.”

“Lama awak tunggu saya? Maaflah, jalan sesak sikit tadi,” kata Hazriq.

“Tak adalah, duduklah.”

“Ada apa awak hendak jumpa saya?” tanya Hazriq yang melabuhkan punggung di kerusi berhadapan denganku.

Aku tidak terus menjawab, sebaliknya merenung ke tasik. Berat hati aku untuk luahkan tapi aku memang sudah bertekad untuk melakukannya.

“Saya dengar awak akan menikah hujung bulan ini, betulkah?” tanyaku.

“Siapa yang-” Hazriq merenung wajahku dengan rasa terkejut. “Azzwa beritahu awak?”

Aku tidak menjawab soalannya. “Dia juga beritahu saya…yang awak nak batalkan pertunangan awak, betulkah?”

Tapi sebelum sempat Hazriq menjawab, aku berpaling merenung dia. “Sebab sayakah?”

Pertama kali aku lihat Hazriq kelu begini. Beberapa kali dia membuka mulut untuk menjawab tapi tidak terluah apa yang ingin dikatakannya.

“Kenapa?” Itu saja soalanku kepadanya.

“Sebab saya-”

Sekali lagi dia kelu. Hazriq nampak gusar. Jadi benarlah?

“Saya tak pernah fikir yang awak akan buat macam ni! Macam mana dia boleh kaitkan dengan saya? Apa yang awak dah beritahu dia?” tanyaku.

“Saya tak beritahu dia apa- apa pun!”

“Habis kenapa dia salahkan saya?”

Hazriq mengeluh. “Saya nak batalkan sebab saya tak mahu kahwin dengan orang yang saya tak cinta. Saya langsung tak pernah sebut nama awak atau sesiapa pun sebagai alasan!”

“Tapi kenapa? Bukankah awak cintakan dia?” soalku.

“Sebab saya dapat rasakan yang saya tak lagi cintakan dia. Dah lama saya minta untuk batalkan sebenarnya tapi dia terus berdegil.”

Ah, jadi memang bukan sebab akulah? Hmm, kenapa rasa jengkel? Memang itu yang aku harapkan. Tapi ia masih belum menyelesaikan satu perkara sekarang.

“Saya rasa kita patut berhenti berjumpa!” kataku, membuat Hazriq terus berdiri memandang aku.

“Kenapa?” tanyanya dengan sangat terkejut.

“Selepas berjumpa dengan Azzwa tadi, saya mula sedar satu perkara. Kita tak patut terus jumpa macam ni.”

“Tapi kenapa?” tanya Hazriq sekali lagi.

“Sebab saya tak mahu dicemuh sebagai orang ketiga dalam hubungan awak berdua. Walhal awak bukannya ada perasaan cinta pada saya pun!”

“Tapi saya memang cintakan awak!”

Aku terdiam, memandang Hazriq dengan mata membulat. Dia sendiri nampak terkejut dengan apa yang diluahkannya. Nanti, mungkin dia salah cakap! Ataupun dia tak maksudkan apa yang aku fikir dia maksudkan. Ah, tak boleh! Perasaanku bercelaru sekarang.

“Saya….saya….” Hazriq mula tergagap, tidak keruan.

Aku yakin betapa merahnya wajahku sekarang. “Saya balik dulu!”

“Nanti!” Hazriq menghalang jalanku. “Dengar dulu penjelasan saya!”

Aku tidak menjawab tetapi berdiri menunggu apa yang dia hendak katakan. Tapi pandangan matanya buat aku rasa sangat berdebar- debar.

“Saya akui yang saya memang cintakan awak. Cinta sebagai seorang lelaki kepada seorang wanita. Cinta yang membuatkan saya ingin bersama dengan awak hingga ke Jannah. Saya benar benar cintakan awak!”

Kalau kawasan sekelilingku terbakar pun aku tidak akan perasan sekarang. Terngiang- ngiang pengakuannya itu. Sudah berada lama aku ingin mendengar kata- kata itu keluar dari mulutnya.

Tapi…

Dia teruskan kata- katanya, matanya masih merenung aku. “Saya tak tahu bila ia bermula. Saya juga tak tahu bagaimana. Tetapi secara tiba- tiba, saya sedar perasaan saya pada awak. Masa tu saya tahu yang saya memang benar- benar cintakan awak!”

“Awak mungkin salah! Mungkin awak tak cintakan saya tapi-”

Hazriq tergelak sinis, terus memotong kata- kataku. “Apa hak awak untuk cakap perasaan saya tu salah? Saya tahu apa yang saya rasa setiap kali saya pandang awak. Dengar suara awak pun buat saya rasa bahagia. Bila berada bersama awak, saya rasa sangat gembira. Walaupun masa tu kita cuma duduk tanpa lakukan apa- apa. Saya tak pernah main- main dengan hal begini. Jadi jangan cuba nak pertikaikan perasaan saya!”

“Habis bagaimana dengan Nurrul Azzwa?” soalku, masih enggan mengalah. “Awak tak cintakan dia lagi?”

“Dia…pernah ada di hati saya.”

“Jadi perasaan awak pada saya pun mungkin sementara macam tu!”

Hazriq benar- benar nampak marah. “That’s enough! Saya akui saya salah pada Azzwa. Saya sendiri tak tahu macam mana perasaan saya jadi macam ni. Tapi jangan cakap macam awak lebih tahu tentang masa depan lebih dari Allah! Jangan hina perasaan saya!”

Kata- katanya itu membuatkan aku terdiam. Dia sendiri memandang ke tasik, menarik nafas cuba mengawal kemarahannya.

“Saya minta maaf, saya tak patut cakap macam tu,” gumamku perlahan.

Hazriq tidak menjawab. Kami sama- sama membisu. Secara jujur, pengakuannya buat aku rasa diriku paling bahagia sekarang. Tapi kata- kata Nurrul Azzwa kembali menerjah apabila hatiku mula goyah.

Benar kata- katanya, akulah perempuan itu. Akulah orang ketiga yang merosakkan hubungan mereka. Kalau bukan kerana aku, mereka pasti sudah berkahwin sekarang.

 

Perasaan boleh berubah. Hati boleh goyah. Kalau awak tak mahu runtuhkan masjid orang lain, jangan beri sebab untuk ia berlaku.

 

Salah akukah perasaannya berubah? Salah akukah hatinya goyah? Kenapa aku sering jatuh seorang lelaki yang tidak akan bersama dengan aku?

“Awak patut selesaikan masalah ni dengan Nurrul Azzwa dengan segera,” kataku.

“Saya dah cuba, banyak kali pun!” balasnya dengan nada jengkel. “Masalahnya dia terlalu degil!”

Degilkah Nurrul Azzwa? Dia cuma seorang perempuan yang cuba menyelamatkan hubungannya. Aku benar- benar faham perasaan terdesaknya itu. Aku merenung Hazriq yang merenung ke tasik dengan wajah yang gusar. Tidak kira berapa kali aku fikir pun, jawapannya tetap satu.

“Ini kali terakhir kita berjumpa. Mungkin kita boleh kekal sebagai kawan, tapi buat masa sekarang biarlah jangan bertemu. Terima kasih sebab awak dah jadi kawan terbaik saya selama ini!” kataku dengan nada bergetar.

Hazriq memandang aku dengan mata membulat.

“Jangan macam ni Rania, jangan buat macam ni,” pujuk Hazriq.

“Saya minta maaf. Ini ialah keputusan terbaik untuk semua orang.”

“Untuk siapa? Awak? Saya? Atau Azzwa? Apa sekalipun semua ni salah! Ya, saya boleh kahwin dengan dia. Tapi macam mana saya boleh bahagia dengan dia kalau awak yang ada di hati saya?”

Aku tidak menjawab. Langkah segera aku atur ke kereta. Hazriq mengekori dari belakang, masih tidak dapat menerima keputusan yang aku ambil. Aku langsung tidak pedulikan dia semasa dia memanggil- manggil namaku. Sebelum sempat aku tutup pintu kereta, Hazriq segera menahan.

“Kenapa awak nak sangat saya kahwin dengan dia? Saya langsung tak faham!” soal Hazriq.

Aku masih lagi membisu. Berkali- kali aku cuba menarik pintu kereta tetapi tidak berhasil.

Hazriq menghela nafas. “Saya cuma nak tanya satu soalan.”

“Apa dia?” soalku.

“Selama ni, awak tak pernah ada apa- apa perasaan pada saya?”

Aku terkejut dengan soalannya tetapi cepat- cepat aku menarik nafas.

“Awak seseorang yang penting buat saya,” jawabku tanpa memandang wajahnya. “Tapi kita hanya boleh kekal sebagai kawan!”

Hazriq yang terkejut dengan jawapanku melonggarkan pegangannya pada pintu kereta. Kesempatan itu aku gunakan untuk menutup pintu kereta. Segera aku hidupkan enjin, kemudian berlalu pergi. Hazriq terus berdiri mematung biarpun aku sudah menjauh.

 

 

Aku merenung keluar jendela. Telefonku yang bergetar sejak aku pulang dari berjumpa dengan Hazriq aku abaikan saja. Aku tidak tahu apa lagi yang dia ingin bincangkan tapi lebih baik kami tidak bercakap langsung sekarang.

Masalahnya sekarang ialah aku, bukannya dia. Secara jujur hatiku memang benar- benar goyah dengan pengakuan dari Hazriq. Wah, tidak sangka dia cintakan aku! Aku rasa bagaikan di awang- awangan ketika dia lafazkan pengakuannya itu.

Tapi, hatiku terlalu kuat membantah. Dia cintakan aku, aku juga cintakan dia. Tapi dia sudah bertunang, sepatutnya berkahwin pun. Menerima dia bererti menjadi orang ketiga. Memang lelaki boleh beristeri empat, tapi aku tidak dapat terima jika kebahagiaanku hasil dari kekecewaan orang lain.  

Tidak habis- habis kata- kata Nurrul Azzwa menghantui aku. Boleh gila aku begini. Di matanya aku pastinya seorang perampas, orang ketiga dan pelbagai lagi gelaran lain. Sekarang aku mengerti perasaan Dyana kerana beginilah cara aku memandang dia dulu. Aku mengeluh buat sekian kalinya pada malam ini.

Sekali lagi telefonku bergetar dengan nama Hazriq terpamer di skrin. Aku cuma merenung telefon itu sehingga ia berhenti bergetar.

 

Selama ni, awak tak pernah ada apa- apa perasaan pada saya?

 

Ya, ada! Sama seperti Hazriq, aku juga cintakan dia. Tapi aku tak boleh akui! Sebab semua ini salah! Aku perlu tamatkan semua ini. Mungkin ada satu lagi jalan yang boleh aku ambil.

Selagi aku tidak bersama seseorang, selagi itulah aku tidak akan belajar melupakan cinta yang salah ini. Mungkin aku tidak berjaya mencari seseorang dengan janji temu yang pernah aku buat, tapi masih ada satu pilihan terahkir untuk aku. Aku bingkas bangun, turun ke ruang tamu.

Ibu dan ayah sedang menonton televisyen sambil berbual- bual perlahan. Mereka terus memandang ke arahku apabila perasan kehadiranku.

“Kamu belum tidur lagi? Ibu ingat kamu dah tidur tadi,” tegur ibu.

Aku tidak menjawab, sebaliknya mengambil tempat di kerusi bertentangan dengan mereka.

“Kenapa Rania?” tanya ayah.

Aku menggigit bibir, menyusun ayat untuk memulakan bicara.

“Ibu, ayah, saya nak cakap sesuatu,” kataku.

“Cakaplah,” kata ibu.

“Tentang lamaran keluarga Furqan, saya dah buat keputusan,” kataku.

“Ya? Apa dia?” tanya ibu.

“Saya dah ambil keputusan untuk terima lamaran tu!” kataku.

Wednesday, October 21, 2020

Bab 32

 

Ketika aku sampai, Furqan sudah menanti bersama Danish. Dia tidak cakap pun yang dia hendak bawa anak kecil ini bersama. Tapi bagus juga. Aku pun sudah lama tidak berjumpa Danish. Rindu dengan si comel ini.

“Assalamualaikum,” sapaku, tersenyum mesra.

“Mak Yong!” suara Danish yang ceria menenggelamkan suara Furqan yang menjawab salamku.

Tidak cukup dengan itu, dia mula melompat- lompat di kerusinya, minta didukung. Aku tergelak, menghulurkan tangan kepadanya. Cepat- cepat dia ke pelukanku.

“Rindukan Mak Yong tak?” tanyaku.

Danish mengangguk laju. “Danish rindukan Mak Yong macam aiskrim!”

Huh? Apa maksudnya tu? Aku memandang Furqan tetapi lelaki itu cuma tergelak.

“Kenapa macam aiskrim?” tanyaku hairan.

“Bila nak jumpa, tak boleh! Macam masa Danish nak makan aiskrim tapi papa tak bagi!” jelas si comel itu dengan girang.

“Papa bukan tak bagi tapi Danish kalau boleh nak makan aiskrim tak henti- henti. Danish sampai batuk teruk hari tu,” Furqan cuba membela diri.

“Danish sayang Mak Yong!” kata Danish, memeluk aku tanpa memperdulikan kata- kata papanya.

Aku tergelak melihat reaksi Furqan yang nampak cemburu tapi lucu pada masa yang sama.

“Danish nak makan apa? Biar Mak Yong suapkan,” tawarku, mengambil tempat di depan Furqan.

Anak kecil itu terus menunjuk ke makanan di pinggan. Memandang dia membuatkan aku sayu. Dia benar- benar mirip kepada Dyana.

“Danish, jangan kacau Mak Yong. Mari duduk dengan papa,” kata Furqan.

Danish hanya tersengih, seraya menggeleng. “Nak Mak Yong!”

“Papa?” Furqan pura- pura sedih.

“Nak Mak Yong juga!”

Aku hanya tergelak kecil. “Jangan jealous, saya lebih popular nampaknya.”

“Macam mana ni? Anak sendiri lebih sayangkan orang lain,” kata Furqan, pura- pura sedih walaupun dia tersenyum herot.

Kami terus makan sambil sekali- sekala tergelak dengan telatah Danish. Anak kecil ini memang pengubat jiwa.

“Awak…apa khabar?” tanya Furqan.

“Bukankah saya patut tanyakan soalan tu pada awak,” kataku.

“Awak kakaknya.”

“Dan awak suaminya.”

Furqan tersenyum kecil. “Saya tak apa- apa.”

“Saya pun sama.”

“Dia tak cari Dyana?” tanyaku, memandang Danish yang makan sambil melihat- lihat sekeliling.

“Ada juga pada mulanya, tapi dia dah faham yang Dyana tak akan kembali lagi. Mula- mula susah juga hendak terangkan. Tapi selepas saya berterus- terang, dia dapat terima. Kita mungkin fikir anak kecil tidak akan faham tentang kematian. Tapi kita sebenarnya salah. Mereka mungkin masih muda tapi mereka masih mampu untuk faham jika kita jelaskan dengan baik.”

Aku hanya mengangguk, sekali lagi mengerling Danish. Anehnya bagaimana kami dapat berbual tanpa rasa kekok atau marah seperti dulu. Hubungan kami mungkin sudah bertambah baik. Tak perlu bertengkar, tak perlu marah- marah.

“Awak nak makan apa?” tanya Furqan, berpaling mencari pelayan.

“Tak perlu, cuma pesan minuman untuk saya,” jawabku.

“Betulkah? Saya nak belanja ni.”

Aku hanya tersenyum, mengangguk. Kami berbual tentang kerja sebelum Furqan terpaksa bangun untuk menjawab panggilan telefon. Aku terus melayan keletah Danish yang kini bercerita tentang kawan- kawan baru yang dikenalinya di pusat asuhan.

“Assalamualaikum.”

Aku mendongak, melihat seorang wanita yang hampir sebaya dengan ibu berdiri di tepiku.

“Waalaikumsalam.”

Wanita itu tersenyum. “Makcik saja datang tegur. Dari tadi makcik perhatikan kamu bertiga. Comel sangat anak kamu, sebab tu makcik rasa nak datang dekat.”

“Oh-terima kasih,” kataku.

 “Comelnya anak kamu!” Wanita itu tersenyum kepada Danish yang turut membalas. “Mak dan ayah pun cantik dan tampan, anak mestilah comel!”

Mak dan ayah? Aku dan Furqankah? Alamak, makcik sudah salah faham nampaknya! Tapi aku tidak fikir aku patut perbetulkan kata- katanya. Dia bukannya kenal aku pun untuk aku ceritakan dengan lebih panjang lebar.

“Dia memang ikut muka mama dan papa dia,” kataku.

“Betul tu!” Laju saja makcik itu bersetuju.

Terasa tidak sopan membiarkan dia terus berdiri, jadi aku mempelawa dia duduk. Lagi sekali makcik itu terus bersetuju. Wanita itu terus bertanya tentang umur Danish sebelum bercerita tentang cucunya yang hampir sebaya. Furqan kembali ke meja kami tidak lama selepas itu. Dia menjungkit kening melihat seseorang yang tidak dikenali di meja kami.

“Apa khabar? Jangan risau, makcik duduk sekejap saja,” kata makcik itu apabila perasan dengan kehadiran Furqan.

Furqan cuma mengangguk.

Makcik itu tersenyum melihat ke arah pintu. “Makcik minta diri dulu, suami makcik pun dah sampai.”

Aku berpaling, melihat ke arah pintu juga. Ada seorang lelaki yang sebaya ayah sedang berdiri memandang ke arah kami. Sebelum dia berlalu sempat dia bercakap kepada Furqan.

“Untung kamu dapat isteri cantik dan baik macam ni. Makcik harap kamu berdua akan bahagia selamanya!”

Eh!!!

 Aku dan Furqan sempat berpandangan dengan wajah yang terkejut. Segera aku alihkan wajah dengan rasa malu dan kekok. Pandai- pandai pula makcik ni buat kesimpulan! Setakat cakap depan aku tak apa, ini dia cakap depan Furqan. Selepas itu tanpa rasa apa- apa, makcik itu berlalu pergi bersama suaminya.

Furqan masih berdiri mematung. Aku sendiri membisu. Danish pun boleh perasan suasana kekok antara kami berdua. Furqan yang segera sedar terlebih dahulu. Dia berdehem perlahan, kembali mengambil tempat di depanku.

“Siapa makcik tu?” tanya Furqan.

“Entahlah, tak kenal pun,” jawabku.

“Habis macam mana dia boleh berbual di sini?”

“Dia cakap Danish comel, sebab tu dia datang tegur. Dia kata muka Danish macam muka saya,” jawabku.

Furqan merenung kami berdua. “Ya kah?”

“Entahlah, dia yang cakap.”

Furqan tidak membalas. Nampaknya aku tidak boleh lama di sini. Nanti ada lagi yang salah faham macam ni. Memandangkan Furqan tidak ada bercakap, biarlah aku yang mula membuka mulut.

“Ada apa awak nak jumpa saya hari ni?” tanyaku.

“Oh, pasal pinangan dari mama,” kata Furqan.

Aku tidak menjawab, menunggu dia meneruskan.

“Awak tak perlulah terima pinangan dari mama tu. Danish memang perlukan seorang ibu tapi bukan dengan cara ini,” kata Furqan.

“Betulkah?” tanyaku, merenung wajahnya.

Dia memang maksudkan apa yang dikatakannya.

Furqan mengangguk. “Saya tahu perasaan awak bukan lagi pada saya. Biarlah saya cakap dengan dia nanti. Tak perlulah awak risau.”

Aku merenung Danish. Ada persoalan yang masih bermain di mindaku hingga kini. Mungkin ini masa yang terbaik untuk bertanya.

“Awak..masih belum lupakan Dyana?” tanyaku.

Furqan membisu, membuatkan aku rasa serba- salah kerana bertanya. Sebelum aku minta maaf, dia bercakap terlebih dahulu.

“Tak mungkin saya lupakan dia secepat itu.”

“Sebab itukah awak nak saya tolak pinangan mama awak?” tanyaku.

Furqan menggeleng. “Saya tak mahu awak terima saya sebab simpati. Cukuplah awak kecewa kerana saya selama ni. Awak dah ada orang yang awak suka, kan?”

Aku tidak menjawab. Perasaan aku pada Hazriq bukanlah mudah. Dia tidak akan jadi milikku kerana dia milik orang lain.

“Awak bagi saya awak seorang yang istimewa kerana pernah hadir dalam hidup saya. tapi itu tak bererti saya nak awak kahwin dengan saya hanya disebabkan oleh Danish. Fikirkanlah masak- masak dan buat keputusan yang terbaik untuk awak. Tak kira apa pun keputusan yang awak ambil, saya akan terima dan sokong keputusan awak,” kata Furqan dengan tenang.

Aku diam mendengar. Akhirnya aku mengangguk. Sekurang- kurangnya Furqan mengerti apa yang aku fikirkan.

 

 

Esoknya Furqan sekali lagi menelefon.

“Mama terima keputusan saya. Nanti awak sampaikanlah keputusan awak kepada keluarga awak,” kata Furqan.

“Keluarga saya dah tahu. Aunty Sofea tak marahkan awak?” tanyaku.

“Dia tak marah, cuma sedih. Saya faham perasaan dia tapi itu tak bermakna saya boleh terima.”

Aku membisu seketika.

“Terima kasih,” kataku.

“Untuk apa?”

“Sebab faham perasaan saya.”

Furqan tergelak kecil. “Awak dan saya ada hubungan yang istimewa. Biarpun kita sekarang cuma kakak ipar dan adik ipar… eh, macam pelik pula! Kitakan kawan sekarang!”

Dia mengakhiri ayatnya itu dengan nada yang ganjil, membuatkan aku tergelak.

“Ya, kita kawan sekarang!”

Ah, kekoknya. Jadi aku segera tamatkan perbualan sebelum menjadi lebih kekok. Apabila pulang nanti, bolehlah aku ceritakan tentang hal ini kepada ibu dan ayah.

Aku teruskan kerja dengan semangat yang berkobar- kobar. Hari ini nampaknya hal yang lain juga berjalan dengan lancar. Tak ada sebarang masalah yang timbul. Malah Zura dan Kak Diba pun tidak membuatkan aku marah hari ini.

Hampir waktu tengah hari, telefonku berdering. Aku segera meraih telefon. Sangkaku Hazriq hendak mengajak makan tengah hari. Tapi aku segera mengerut dahi apabila merenung skrin.

Ini nombor siapa? Ada telemarketer lagikah yang mencari aku? Tapi bagaimana kalau ada panggilan penting? Lagipun tak nampak macam nombor telemarketer. Hmm, jawablah dulu!

“Hello.”

“Ini Cik Rania Aisyah?” tanya wanita di hujung talian itu.

“Ya, siapa ni?”

“Saya Nurrul Azzwa, tunang Hazriq.”

“Oh.”

Itu saja respon aku. Menyedihkan, aku tahu. Tapi aku terus kelu apabila dia memperkenalkan diri.

“Ada apa Cik Nurrul Azzwa telefon saya?” tanyaku, setelah hilang sedikit rasa terkejutku tadi.

Hatiku penuh tanda tanya. Macam mana dia dapat nombor telefon aku? Ah, mungkin dia minta dari Hazriq. Tapi kenapa dia telefon? Bukannya kami pernah berbual pun.

“Kita perlu berbual dengan segera. Awak boleh jumpa saya hari ini?” tanya Nurrul Azzwa.

“Kenapa nak jumpa saya? Tak bolehkah kita bercakap di telefon?” tanyaku.

“Tak boleh!” tegasnya.

Wah, aku dapat rasakan yang dia seorang yang tegas dan degil!

“Baiklah, di mana kita nak jumpa?” tanyaku dengan nada setenang mungkin. Aku tidak mahu mengalah dengan dia.

Wah, kenapa pula terasa hendak bersaing?

Nurrul Azzwa memaklumkan lokasi dan masa sebelum memutuskan talian. Aku pula merenung skrin dengan lama selepas itu. Dadaku berdebar- debar. Tidak habis- habis aku tertanya- tanya tujuan dia hendak berjumpa dengan aku.

 

 

Aku tiba di restauran yang ditetapkan lebih awal dari sepatutnya. Kalau dia belum sampai, aku boleh menunggu dia di dalam. Aku segera bergegas masuk.

            Tapi wajahnya pun aku tidak tahu. Hazriq tidak pernah tunjukkan gambar dia, jadi bagaimana aku boleh kenal dia. Mataku melilau mencari gadis yang aku tidak dapat bayangkan wajahnya.

“Cik Rania Aisyah?”

Seorang gadis bertudung biru merenungku. Diakah?

“Cik Nurrul Azzwa?” tanyaku, ingin kepastian.

Dia mengangguk. Perlahan- lahan aku berjalan ke mejanya. Jadi dialah Nurrul Azzwa. Aku melabuhkan punggung di kerusi bertentangan dengannya. Mataku tidak lepas- lepas memandang wajahnya. Wah, cantiknya dia! Terasa rendah diri apabila bersama dia. Dia kelihatan seperti seorang yang lemah lembut. Tapi di sebalik kelembutannya itu, aku dapat rasakan tersembunyinya ketegasan. Pandangan matanya lembut tapi tajam.

“Cik Rania nak minum apa?” tanya Nurrul Azzwa apabila pelayan sampai.

“Saya nak jus oren. Dan awak boleh panggil saja saya Rania,” kataku.

“Kalau macam tu, awak boleh panggil saya Azzwa.”

Nurrul Azzwa tidak berkata apa- apa selepas itu, sebaliknya cuma merenungku. Lama- lama aku mula rasa tidak selesa. Kalau dia tidak mahu bercakap, biar aku saja yang mulakan dulu.

“Ada apa Azzwa nak jumpa saya?” tanyaku.

“Saya nak tengok perempuan yang berjaya rampas hati tunang saya!”

Wah, kenapa tiba- tiba…

“Apa yang awak mengarut ni? Saya tak rampas dia!” bantahku dengan kasar.

Walaupun aku memang sukakan Hazriq tapi aku tidak pernah luahkan. Cuma aku yang tahu apa yang tersimpan di hati. Jadi bagaimana pula aku merampas dia?

“Hazriq nak batalkan pertunangan kami,” kata Nurrul Azzwa.

“Eh, kenapa?” tanyaku dengan terkejut.

“Dia cakap perasaan dia dah berubah. Dia tidak cakap kerana siapa tapi saya boleh teka siapa orangnya,” jawab Nurrul Azzwa. Matanya masih tidak lepas merenungku sejak tadi.

“Tapi mungkin orang tu bukan saya. Kami tak pernah ada hubungan yang macam tu,” bantahku lagi.

“Mungkin pada awak tapi tidak pada dia.”

“Jadi jangan salahkan saya! Saya tak pernah cuba nak pisahkan kamu berdua!”

Pelayan yang datang menghantar minumanku pun terkejut mendengar nada suaraku yang agak tinggi.

Nurrul Azzwa menghela nafas. “Hujung bulan ini kami akan menikah!”

Nah, tiba- tiba dia lemparkan kata- kata itu!

“Jadi?” tanyaku dengan suara perlahan.

“Saya tak mahu majlis kami terbatal disebabkan pengantin lelakinya jatuh cinta pada awak,” jawab Nurrul Azzwa.

Aku bagaikan ingin tergelak. Tidak kelakar, langsung tidak. Tetapi semua ini bagaikan tidak masuk akal. Kenapa pula Hazriq hendak batalkan majlis disebabkan aku? Kecewa, marah, sedih, semuanya bercampur baur sekarang.

“Sekali kali saya nak tegaskan yang kami berdua cuma berkawan!” kataku.

“Kalau begitu, jauhkan diri dari dia! Cukuplah apa yang awak buat selama ni. Dia tunang orang, tunang saya! Awak selalu berjumpa dia, awak tak rasa berdosa? Perasaan boleh berubah. Hati boleh goyah. Kalau awak tak mahu runtuhkan masjid orang lain, jangan beri sebab untuk ia berlaku. Sebagai seseorang yang pernah terluka dengan cara ini, awak pasti lebih faham betapa sakitnya hati bila dikhianati!”

Kenapa pula dia mengungkit kisah lama aku? Aku menggenggam tangan erat, menggetap bibir menahan marah. Aku tahu kata- katanya memang benar tapi sakitnya tetap terasa.

Nurrul Azzwa merenung jam, mengerut dahi. “Maaf, saya terpaksa minta diri! Saya ada urusan lain lagi selepas ni. Terima kasih sebab awak sudi luangkan masa jumpa saya. Saya harap awak akan fikirkan kata- kata saya tadi baik- baik!”

Aku tidak menjawab, cuma merenungnya tajam. Tapi gadis itu langsung tidak terkesan. Dia mengeluarkan sekeping wang kertas lima puluh ringgit, lalu diletakkan di atas meja.

“Ini untuk minuman awak juga, saya belanja!” katanya.

“Tak perlu, saya boleh bayar sendiri!” balasku.

Dia tersenyum kecil. “Tak apa, saya yang patut belanja. Saya yang ajak awak berjumpa tadi. Bakinya nanti awak ambillah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

Selepas itu Nurrul Azzwa terus berjalan pergi. Apa yang dia hendak sampaikan di sini dengan membayar lima puluh ringgit untuk segelas air oren dan secawan kopi panas? Malah minta aku ambil bakinya. Aku merenung wang kertas lima puluh ringgit yang masih berada di atas meja itu dengan rasa jengkel. Aku mendengus, mengeluarkan dompet lalu membayar minumanku sebelum meninggalkan kafe itu.

 

 

Seharian aku bekerja dengan perasaan tertekan. Kata- kata Nurrul Azzwa terus terngiang- ngiang. Yang mana satu hendak aku fikirkan? Mereka bakal berkahwin hujung bulan ini? Habis kenapa Hazriq tidak pernah beritahu aku? Atau kenapa Hazriq hendak membatalkan perkahwinan. Jika benar, kenapa? Tidak mungkin kerana aku!

Ah, semua ini benar- benar memeningkan kepala aku!

Tapi ada sesuatu dari kata- kata Nurrul Azzwa yang aku tidak dapat nafikan. Aku seorang pendosa. Mungkin selama ini aku anggap remeh apa yang aku lakukan, tapi itu tidak bermaksud aku tidak berdosa. Aku sudah tahu dia milik orang lain tapi aku masih berhubung. Tak apa, cuma sebagai kawan, itu yang aku selalu anggap. Biarlah kami jarakkan diri secara perlahan- lahan, kataku. Tapi dalam masa yang sama aku menyakiti hati orang lain. Aku cintakan dia, itu memang benar. Tapi itu tidak bererti aku boleh hancurkan kebahagiaan seorang wanita lain atas kepentinganku sendiri.

Aku mengetuk- ngetuk meja dengan pen. Cuba berfikir tetapi semua ini bagai tidak ada penyelesaian. Sampai masa untuk aku betulkan kesilapan. Aku mencapai telefon, menghubungi Hazriq. Biarlah aku tamatkan semuanya hari ini.