Wednesday, October 21, 2020

Bab 32

 

Ketika aku sampai, Furqan sudah menanti bersama Danish. Dia tidak cakap pun yang dia hendak bawa anak kecil ini bersama. Tapi bagus juga. Aku pun sudah lama tidak berjumpa Danish. Rindu dengan si comel ini.

“Assalamualaikum,” sapaku, tersenyum mesra.

“Mak Yong!” suara Danish yang ceria menenggelamkan suara Furqan yang menjawab salamku.

Tidak cukup dengan itu, dia mula melompat- lompat di kerusinya, minta didukung. Aku tergelak, menghulurkan tangan kepadanya. Cepat- cepat dia ke pelukanku.

“Rindukan Mak Yong tak?” tanyaku.

Danish mengangguk laju. “Danish rindukan Mak Yong macam aiskrim!”

Huh? Apa maksudnya tu? Aku memandang Furqan tetapi lelaki itu cuma tergelak.

“Kenapa macam aiskrim?” tanyaku hairan.

“Bila nak jumpa, tak boleh! Macam masa Danish nak makan aiskrim tapi papa tak bagi!” jelas si comel itu dengan girang.

“Papa bukan tak bagi tapi Danish kalau boleh nak makan aiskrim tak henti- henti. Danish sampai batuk teruk hari tu,” Furqan cuba membela diri.

“Danish sayang Mak Yong!” kata Danish, memeluk aku tanpa memperdulikan kata- kata papanya.

Aku tergelak melihat reaksi Furqan yang nampak cemburu tapi lucu pada masa yang sama.

“Danish nak makan apa? Biar Mak Yong suapkan,” tawarku, mengambil tempat di depan Furqan.

Anak kecil itu terus menunjuk ke makanan di pinggan. Memandang dia membuatkan aku sayu. Dia benar- benar mirip kepada Dyana.

“Danish, jangan kacau Mak Yong. Mari duduk dengan papa,” kata Furqan.

Danish hanya tersengih, seraya menggeleng. “Nak Mak Yong!”

“Papa?” Furqan pura- pura sedih.

“Nak Mak Yong juga!”

Aku hanya tergelak kecil. “Jangan jealous, saya lebih popular nampaknya.”

“Macam mana ni? Anak sendiri lebih sayangkan orang lain,” kata Furqan, pura- pura sedih walaupun dia tersenyum herot.

Kami terus makan sambil sekali- sekala tergelak dengan telatah Danish. Anak kecil ini memang pengubat jiwa.

“Awak…apa khabar?” tanya Furqan.

“Bukankah saya patut tanyakan soalan tu pada awak,” kataku.

“Awak kakaknya.”

“Dan awak suaminya.”

Furqan tersenyum kecil. “Saya tak apa- apa.”

“Saya pun sama.”

“Dia tak cari Dyana?” tanyaku, memandang Danish yang makan sambil melihat- lihat sekeliling.

“Ada juga pada mulanya, tapi dia dah faham yang Dyana tak akan kembali lagi. Mula- mula susah juga hendak terangkan. Tapi selepas saya berterus- terang, dia dapat terima. Kita mungkin fikir anak kecil tidak akan faham tentang kematian. Tapi kita sebenarnya salah. Mereka mungkin masih muda tapi mereka masih mampu untuk faham jika kita jelaskan dengan baik.”

Aku hanya mengangguk, sekali lagi mengerling Danish. Anehnya bagaimana kami dapat berbual tanpa rasa kekok atau marah seperti dulu. Hubungan kami mungkin sudah bertambah baik. Tak perlu bertengkar, tak perlu marah- marah.

“Awak nak makan apa?” tanya Furqan, berpaling mencari pelayan.

“Tak perlu, cuma pesan minuman untuk saya,” jawabku.

“Betulkah? Saya nak belanja ni.”

Aku hanya tersenyum, mengangguk. Kami berbual tentang kerja sebelum Furqan terpaksa bangun untuk menjawab panggilan telefon. Aku terus melayan keletah Danish yang kini bercerita tentang kawan- kawan baru yang dikenalinya di pusat asuhan.

“Assalamualaikum.”

Aku mendongak, melihat seorang wanita yang hampir sebaya dengan ibu berdiri di tepiku.

“Waalaikumsalam.”

Wanita itu tersenyum. “Makcik saja datang tegur. Dari tadi makcik perhatikan kamu bertiga. Comel sangat anak kamu, sebab tu makcik rasa nak datang dekat.”

“Oh-terima kasih,” kataku.

 “Comelnya anak kamu!” Wanita itu tersenyum kepada Danish yang turut membalas. “Mak dan ayah pun cantik dan tampan, anak mestilah comel!”

Mak dan ayah? Aku dan Furqankah? Alamak, makcik sudah salah faham nampaknya! Tapi aku tidak fikir aku patut perbetulkan kata- katanya. Dia bukannya kenal aku pun untuk aku ceritakan dengan lebih panjang lebar.

“Dia memang ikut muka mama dan papa dia,” kataku.

“Betul tu!” Laju saja makcik itu bersetuju.

Terasa tidak sopan membiarkan dia terus berdiri, jadi aku mempelawa dia duduk. Lagi sekali makcik itu terus bersetuju. Wanita itu terus bertanya tentang umur Danish sebelum bercerita tentang cucunya yang hampir sebaya. Furqan kembali ke meja kami tidak lama selepas itu. Dia menjungkit kening melihat seseorang yang tidak dikenali di meja kami.

“Apa khabar? Jangan risau, makcik duduk sekejap saja,” kata makcik itu apabila perasan dengan kehadiran Furqan.

Furqan cuma mengangguk.

Makcik itu tersenyum melihat ke arah pintu. “Makcik minta diri dulu, suami makcik pun dah sampai.”

Aku berpaling, melihat ke arah pintu juga. Ada seorang lelaki yang sebaya ayah sedang berdiri memandang ke arah kami. Sebelum dia berlalu sempat dia bercakap kepada Furqan.

“Untung kamu dapat isteri cantik dan baik macam ni. Makcik harap kamu berdua akan bahagia selamanya!”

Eh!!!

 Aku dan Furqan sempat berpandangan dengan wajah yang terkejut. Segera aku alihkan wajah dengan rasa malu dan kekok. Pandai- pandai pula makcik ni buat kesimpulan! Setakat cakap depan aku tak apa, ini dia cakap depan Furqan. Selepas itu tanpa rasa apa- apa, makcik itu berlalu pergi bersama suaminya.

Furqan masih berdiri mematung. Aku sendiri membisu. Danish pun boleh perasan suasana kekok antara kami berdua. Furqan yang segera sedar terlebih dahulu. Dia berdehem perlahan, kembali mengambil tempat di depanku.

“Siapa makcik tu?” tanya Furqan.

“Entahlah, tak kenal pun,” jawabku.

“Habis macam mana dia boleh berbual di sini?”

“Dia cakap Danish comel, sebab tu dia datang tegur. Dia kata muka Danish macam muka saya,” jawabku.

Furqan merenung kami berdua. “Ya kah?”

“Entahlah, dia yang cakap.”

Furqan tidak membalas. Nampaknya aku tidak boleh lama di sini. Nanti ada lagi yang salah faham macam ni. Memandangkan Furqan tidak ada bercakap, biarlah aku yang mula membuka mulut.

“Ada apa awak nak jumpa saya hari ni?” tanyaku.

“Oh, pasal pinangan dari mama,” kata Furqan.

Aku tidak menjawab, menunggu dia meneruskan.

“Awak tak perlulah terima pinangan dari mama tu. Danish memang perlukan seorang ibu tapi bukan dengan cara ini,” kata Furqan.

“Betulkah?” tanyaku, merenung wajahnya.

Dia memang maksudkan apa yang dikatakannya.

Furqan mengangguk. “Saya tahu perasaan awak bukan lagi pada saya. Biarlah saya cakap dengan dia nanti. Tak perlulah awak risau.”

Aku merenung Danish. Ada persoalan yang masih bermain di mindaku hingga kini. Mungkin ini masa yang terbaik untuk bertanya.

“Awak..masih belum lupakan Dyana?” tanyaku.

Furqan membisu, membuatkan aku rasa serba- salah kerana bertanya. Sebelum aku minta maaf, dia bercakap terlebih dahulu.

“Tak mungkin saya lupakan dia secepat itu.”

“Sebab itukah awak nak saya tolak pinangan mama awak?” tanyaku.

Furqan menggeleng. “Saya tak mahu awak terima saya sebab simpati. Cukuplah awak kecewa kerana saya selama ni. Awak dah ada orang yang awak suka, kan?”

Aku tidak menjawab. Perasaan aku pada Hazriq bukanlah mudah. Dia tidak akan jadi milikku kerana dia milik orang lain.

“Awak bagi saya awak seorang yang istimewa kerana pernah hadir dalam hidup saya. tapi itu tak bererti saya nak awak kahwin dengan saya hanya disebabkan oleh Danish. Fikirkanlah masak- masak dan buat keputusan yang terbaik untuk awak. Tak kira apa pun keputusan yang awak ambil, saya akan terima dan sokong keputusan awak,” kata Furqan dengan tenang.

Aku diam mendengar. Akhirnya aku mengangguk. Sekurang- kurangnya Furqan mengerti apa yang aku fikirkan.

 

 

Esoknya Furqan sekali lagi menelefon.

“Mama terima keputusan saya. Nanti awak sampaikanlah keputusan awak kepada keluarga awak,” kata Furqan.

“Keluarga saya dah tahu. Aunty Sofea tak marahkan awak?” tanyaku.

“Dia tak marah, cuma sedih. Saya faham perasaan dia tapi itu tak bermakna saya boleh terima.”

Aku membisu seketika.

“Terima kasih,” kataku.

“Untuk apa?”

“Sebab faham perasaan saya.”

Furqan tergelak kecil. “Awak dan saya ada hubungan yang istimewa. Biarpun kita sekarang cuma kakak ipar dan adik ipar… eh, macam pelik pula! Kitakan kawan sekarang!”

Dia mengakhiri ayatnya itu dengan nada yang ganjil, membuatkan aku tergelak.

“Ya, kita kawan sekarang!”

Ah, kekoknya. Jadi aku segera tamatkan perbualan sebelum menjadi lebih kekok. Apabila pulang nanti, bolehlah aku ceritakan tentang hal ini kepada ibu dan ayah.

Aku teruskan kerja dengan semangat yang berkobar- kobar. Hari ini nampaknya hal yang lain juga berjalan dengan lancar. Tak ada sebarang masalah yang timbul. Malah Zura dan Kak Diba pun tidak membuatkan aku marah hari ini.

Hampir waktu tengah hari, telefonku berdering. Aku segera meraih telefon. Sangkaku Hazriq hendak mengajak makan tengah hari. Tapi aku segera mengerut dahi apabila merenung skrin.

Ini nombor siapa? Ada telemarketer lagikah yang mencari aku? Tapi bagaimana kalau ada panggilan penting? Lagipun tak nampak macam nombor telemarketer. Hmm, jawablah dulu!

“Hello.”

“Ini Cik Rania Aisyah?” tanya wanita di hujung talian itu.

“Ya, siapa ni?”

“Saya Nurrul Azzwa, tunang Hazriq.”

“Oh.”

Itu saja respon aku. Menyedihkan, aku tahu. Tapi aku terus kelu apabila dia memperkenalkan diri.

“Ada apa Cik Nurrul Azzwa telefon saya?” tanyaku, setelah hilang sedikit rasa terkejutku tadi.

Hatiku penuh tanda tanya. Macam mana dia dapat nombor telefon aku? Ah, mungkin dia minta dari Hazriq. Tapi kenapa dia telefon? Bukannya kami pernah berbual pun.

“Kita perlu berbual dengan segera. Awak boleh jumpa saya hari ini?” tanya Nurrul Azzwa.

“Kenapa nak jumpa saya? Tak bolehkah kita bercakap di telefon?” tanyaku.

“Tak boleh!” tegasnya.

Wah, aku dapat rasakan yang dia seorang yang tegas dan degil!

“Baiklah, di mana kita nak jumpa?” tanyaku dengan nada setenang mungkin. Aku tidak mahu mengalah dengan dia.

Wah, kenapa pula terasa hendak bersaing?

Nurrul Azzwa memaklumkan lokasi dan masa sebelum memutuskan talian. Aku pula merenung skrin dengan lama selepas itu. Dadaku berdebar- debar. Tidak habis- habis aku tertanya- tanya tujuan dia hendak berjumpa dengan aku.

 

 

Aku tiba di restauran yang ditetapkan lebih awal dari sepatutnya. Kalau dia belum sampai, aku boleh menunggu dia di dalam. Aku segera bergegas masuk.

            Tapi wajahnya pun aku tidak tahu. Hazriq tidak pernah tunjukkan gambar dia, jadi bagaimana aku boleh kenal dia. Mataku melilau mencari gadis yang aku tidak dapat bayangkan wajahnya.

“Cik Rania Aisyah?”

Seorang gadis bertudung biru merenungku. Diakah?

“Cik Nurrul Azzwa?” tanyaku, ingin kepastian.

Dia mengangguk. Perlahan- lahan aku berjalan ke mejanya. Jadi dialah Nurrul Azzwa. Aku melabuhkan punggung di kerusi bertentangan dengannya. Mataku tidak lepas- lepas memandang wajahnya. Wah, cantiknya dia! Terasa rendah diri apabila bersama dia. Dia kelihatan seperti seorang yang lemah lembut. Tapi di sebalik kelembutannya itu, aku dapat rasakan tersembunyinya ketegasan. Pandangan matanya lembut tapi tajam.

“Cik Rania nak minum apa?” tanya Nurrul Azzwa apabila pelayan sampai.

“Saya nak jus oren. Dan awak boleh panggil saja saya Rania,” kataku.

“Kalau macam tu, awak boleh panggil saya Azzwa.”

Nurrul Azzwa tidak berkata apa- apa selepas itu, sebaliknya cuma merenungku. Lama- lama aku mula rasa tidak selesa. Kalau dia tidak mahu bercakap, biar aku saja yang mulakan dulu.

“Ada apa Azzwa nak jumpa saya?” tanyaku.

“Saya nak tengok perempuan yang berjaya rampas hati tunang saya!”

Wah, kenapa tiba- tiba…

“Apa yang awak mengarut ni? Saya tak rampas dia!” bantahku dengan kasar.

Walaupun aku memang sukakan Hazriq tapi aku tidak pernah luahkan. Cuma aku yang tahu apa yang tersimpan di hati. Jadi bagaimana pula aku merampas dia?

“Hazriq nak batalkan pertunangan kami,” kata Nurrul Azzwa.

“Eh, kenapa?” tanyaku dengan terkejut.

“Dia cakap perasaan dia dah berubah. Dia tidak cakap kerana siapa tapi saya boleh teka siapa orangnya,” jawab Nurrul Azzwa. Matanya masih tidak lepas merenungku sejak tadi.

“Tapi mungkin orang tu bukan saya. Kami tak pernah ada hubungan yang macam tu,” bantahku lagi.

“Mungkin pada awak tapi tidak pada dia.”

“Jadi jangan salahkan saya! Saya tak pernah cuba nak pisahkan kamu berdua!”

Pelayan yang datang menghantar minumanku pun terkejut mendengar nada suaraku yang agak tinggi.

Nurrul Azzwa menghela nafas. “Hujung bulan ini kami akan menikah!”

Nah, tiba- tiba dia lemparkan kata- kata itu!

“Jadi?” tanyaku dengan suara perlahan.

“Saya tak mahu majlis kami terbatal disebabkan pengantin lelakinya jatuh cinta pada awak,” jawab Nurrul Azzwa.

Aku bagaikan ingin tergelak. Tidak kelakar, langsung tidak. Tetapi semua ini bagaikan tidak masuk akal. Kenapa pula Hazriq hendak batalkan majlis disebabkan aku? Kecewa, marah, sedih, semuanya bercampur baur sekarang.

“Sekali kali saya nak tegaskan yang kami berdua cuma berkawan!” kataku.

“Kalau begitu, jauhkan diri dari dia! Cukuplah apa yang awak buat selama ni. Dia tunang orang, tunang saya! Awak selalu berjumpa dia, awak tak rasa berdosa? Perasaan boleh berubah. Hati boleh goyah. Kalau awak tak mahu runtuhkan masjid orang lain, jangan beri sebab untuk ia berlaku. Sebagai seseorang yang pernah terluka dengan cara ini, awak pasti lebih faham betapa sakitnya hati bila dikhianati!”

Kenapa pula dia mengungkit kisah lama aku? Aku menggenggam tangan erat, menggetap bibir menahan marah. Aku tahu kata- katanya memang benar tapi sakitnya tetap terasa.

Nurrul Azzwa merenung jam, mengerut dahi. “Maaf, saya terpaksa minta diri! Saya ada urusan lain lagi selepas ni. Terima kasih sebab awak sudi luangkan masa jumpa saya. Saya harap awak akan fikirkan kata- kata saya tadi baik- baik!”

Aku tidak menjawab, cuma merenungnya tajam. Tapi gadis itu langsung tidak terkesan. Dia mengeluarkan sekeping wang kertas lima puluh ringgit, lalu diletakkan di atas meja.

“Ini untuk minuman awak juga, saya belanja!” katanya.

“Tak perlu, saya boleh bayar sendiri!” balasku.

Dia tersenyum kecil. “Tak apa, saya yang patut belanja. Saya yang ajak awak berjumpa tadi. Bakinya nanti awak ambillah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

Selepas itu Nurrul Azzwa terus berjalan pergi. Apa yang dia hendak sampaikan di sini dengan membayar lima puluh ringgit untuk segelas air oren dan secawan kopi panas? Malah minta aku ambil bakinya. Aku merenung wang kertas lima puluh ringgit yang masih berada di atas meja itu dengan rasa jengkel. Aku mendengus, mengeluarkan dompet lalu membayar minumanku sebelum meninggalkan kafe itu.

 

 

Seharian aku bekerja dengan perasaan tertekan. Kata- kata Nurrul Azzwa terus terngiang- ngiang. Yang mana satu hendak aku fikirkan? Mereka bakal berkahwin hujung bulan ini? Habis kenapa Hazriq tidak pernah beritahu aku? Atau kenapa Hazriq hendak membatalkan perkahwinan. Jika benar, kenapa? Tidak mungkin kerana aku!

Ah, semua ini benar- benar memeningkan kepala aku!

Tapi ada sesuatu dari kata- kata Nurrul Azzwa yang aku tidak dapat nafikan. Aku seorang pendosa. Mungkin selama ini aku anggap remeh apa yang aku lakukan, tapi itu tidak bermaksud aku tidak berdosa. Aku sudah tahu dia milik orang lain tapi aku masih berhubung. Tak apa, cuma sebagai kawan, itu yang aku selalu anggap. Biarlah kami jarakkan diri secara perlahan- lahan, kataku. Tapi dalam masa yang sama aku menyakiti hati orang lain. Aku cintakan dia, itu memang benar. Tapi itu tidak bererti aku boleh hancurkan kebahagiaan seorang wanita lain atas kepentinganku sendiri.

Aku mengetuk- ngetuk meja dengan pen. Cuba berfikir tetapi semua ini bagai tidak ada penyelesaian. Sampai masa untuk aku betulkan kesilapan. Aku mencapai telefon, menghubungi Hazriq. Biarlah aku tamatkan semuanya hari ini.

No comments:

Post a Comment