Thursday, October 22, 2020

Bab 33

 

Lama juga aku menunggu Hazriq sampai. Aku duduk termenung di meja batu yang menghala ke tasik. Ramai orang yang lalu- lalang pada masa ini. Kawasan ini memang selalunya penuh dengan orang ramai yang melakukan aktiviti riadah.

“Assalamualaikum.”

Aku berpaling, melihat Hazriq yang berjalan mendekat. “Waalaikumsalam.”

“Lama awak tunggu saya? Maaflah, jalan sesak sikit tadi,” kata Hazriq.

“Tak adalah, duduklah.”

“Ada apa awak hendak jumpa saya?” tanya Hazriq yang melabuhkan punggung di kerusi berhadapan denganku.

Aku tidak terus menjawab, sebaliknya merenung ke tasik. Berat hati aku untuk luahkan tapi aku memang sudah bertekad untuk melakukannya.

“Saya dengar awak akan menikah hujung bulan ini, betulkah?” tanyaku.

“Siapa yang-” Hazriq merenung wajahku dengan rasa terkejut. “Azzwa beritahu awak?”

Aku tidak menjawab soalannya. “Dia juga beritahu saya…yang awak nak batalkan pertunangan awak, betulkah?”

Tapi sebelum sempat Hazriq menjawab, aku berpaling merenung dia. “Sebab sayakah?”

Pertama kali aku lihat Hazriq kelu begini. Beberapa kali dia membuka mulut untuk menjawab tapi tidak terluah apa yang ingin dikatakannya.

“Kenapa?” Itu saja soalanku kepadanya.

“Sebab saya-”

Sekali lagi dia kelu. Hazriq nampak gusar. Jadi benarlah?

“Saya tak pernah fikir yang awak akan buat macam ni! Macam mana dia boleh kaitkan dengan saya? Apa yang awak dah beritahu dia?” tanyaku.

“Saya tak beritahu dia apa- apa pun!”

“Habis kenapa dia salahkan saya?”

Hazriq mengeluh. “Saya nak batalkan sebab saya tak mahu kahwin dengan orang yang saya tak cinta. Saya langsung tak pernah sebut nama awak atau sesiapa pun sebagai alasan!”

“Tapi kenapa? Bukankah awak cintakan dia?” soalku.

“Sebab saya dapat rasakan yang saya tak lagi cintakan dia. Dah lama saya minta untuk batalkan sebenarnya tapi dia terus berdegil.”

Ah, jadi memang bukan sebab akulah? Hmm, kenapa rasa jengkel? Memang itu yang aku harapkan. Tapi ia masih belum menyelesaikan satu perkara sekarang.

“Saya rasa kita patut berhenti berjumpa!” kataku, membuat Hazriq terus berdiri memandang aku.

“Kenapa?” tanyanya dengan sangat terkejut.

“Selepas berjumpa dengan Azzwa tadi, saya mula sedar satu perkara. Kita tak patut terus jumpa macam ni.”

“Tapi kenapa?” tanya Hazriq sekali lagi.

“Sebab saya tak mahu dicemuh sebagai orang ketiga dalam hubungan awak berdua. Walhal awak bukannya ada perasaan cinta pada saya pun!”

“Tapi saya memang cintakan awak!”

Aku terdiam, memandang Hazriq dengan mata membulat. Dia sendiri nampak terkejut dengan apa yang diluahkannya. Nanti, mungkin dia salah cakap! Ataupun dia tak maksudkan apa yang aku fikir dia maksudkan. Ah, tak boleh! Perasaanku bercelaru sekarang.

“Saya….saya….” Hazriq mula tergagap, tidak keruan.

Aku yakin betapa merahnya wajahku sekarang. “Saya balik dulu!”

“Nanti!” Hazriq menghalang jalanku. “Dengar dulu penjelasan saya!”

Aku tidak menjawab tetapi berdiri menunggu apa yang dia hendak katakan. Tapi pandangan matanya buat aku rasa sangat berdebar- debar.

“Saya akui yang saya memang cintakan awak. Cinta sebagai seorang lelaki kepada seorang wanita. Cinta yang membuatkan saya ingin bersama dengan awak hingga ke Jannah. Saya benar benar cintakan awak!”

Kalau kawasan sekelilingku terbakar pun aku tidak akan perasan sekarang. Terngiang- ngiang pengakuannya itu. Sudah berada lama aku ingin mendengar kata- kata itu keluar dari mulutnya.

Tapi…

Dia teruskan kata- katanya, matanya masih merenung aku. “Saya tak tahu bila ia bermula. Saya juga tak tahu bagaimana. Tetapi secara tiba- tiba, saya sedar perasaan saya pada awak. Masa tu saya tahu yang saya memang benar- benar cintakan awak!”

“Awak mungkin salah! Mungkin awak tak cintakan saya tapi-”

Hazriq tergelak sinis, terus memotong kata- kataku. “Apa hak awak untuk cakap perasaan saya tu salah? Saya tahu apa yang saya rasa setiap kali saya pandang awak. Dengar suara awak pun buat saya rasa bahagia. Bila berada bersama awak, saya rasa sangat gembira. Walaupun masa tu kita cuma duduk tanpa lakukan apa- apa. Saya tak pernah main- main dengan hal begini. Jadi jangan cuba nak pertikaikan perasaan saya!”

“Habis bagaimana dengan Nurrul Azzwa?” soalku, masih enggan mengalah. “Awak tak cintakan dia lagi?”

“Dia…pernah ada di hati saya.”

“Jadi perasaan awak pada saya pun mungkin sementara macam tu!”

Hazriq benar- benar nampak marah. “That’s enough! Saya akui saya salah pada Azzwa. Saya sendiri tak tahu macam mana perasaan saya jadi macam ni. Tapi jangan cakap macam awak lebih tahu tentang masa depan lebih dari Allah! Jangan hina perasaan saya!”

Kata- katanya itu membuatkan aku terdiam. Dia sendiri memandang ke tasik, menarik nafas cuba mengawal kemarahannya.

“Saya minta maaf, saya tak patut cakap macam tu,” gumamku perlahan.

Hazriq tidak menjawab. Kami sama- sama membisu. Secara jujur, pengakuannya buat aku rasa diriku paling bahagia sekarang. Tapi kata- kata Nurrul Azzwa kembali menerjah apabila hatiku mula goyah.

Benar kata- katanya, akulah perempuan itu. Akulah orang ketiga yang merosakkan hubungan mereka. Kalau bukan kerana aku, mereka pasti sudah berkahwin sekarang.

 

Perasaan boleh berubah. Hati boleh goyah. Kalau awak tak mahu runtuhkan masjid orang lain, jangan beri sebab untuk ia berlaku.

 

Salah akukah perasaannya berubah? Salah akukah hatinya goyah? Kenapa aku sering jatuh seorang lelaki yang tidak akan bersama dengan aku?

“Awak patut selesaikan masalah ni dengan Nurrul Azzwa dengan segera,” kataku.

“Saya dah cuba, banyak kali pun!” balasnya dengan nada jengkel. “Masalahnya dia terlalu degil!”

Degilkah Nurrul Azzwa? Dia cuma seorang perempuan yang cuba menyelamatkan hubungannya. Aku benar- benar faham perasaan terdesaknya itu. Aku merenung Hazriq yang merenung ke tasik dengan wajah yang gusar. Tidak kira berapa kali aku fikir pun, jawapannya tetap satu.

“Ini kali terakhir kita berjumpa. Mungkin kita boleh kekal sebagai kawan, tapi buat masa sekarang biarlah jangan bertemu. Terima kasih sebab awak dah jadi kawan terbaik saya selama ini!” kataku dengan nada bergetar.

Hazriq memandang aku dengan mata membulat.

“Jangan macam ni Rania, jangan buat macam ni,” pujuk Hazriq.

“Saya minta maaf. Ini ialah keputusan terbaik untuk semua orang.”

“Untuk siapa? Awak? Saya? Atau Azzwa? Apa sekalipun semua ni salah! Ya, saya boleh kahwin dengan dia. Tapi macam mana saya boleh bahagia dengan dia kalau awak yang ada di hati saya?”

Aku tidak menjawab. Langkah segera aku atur ke kereta. Hazriq mengekori dari belakang, masih tidak dapat menerima keputusan yang aku ambil. Aku langsung tidak pedulikan dia semasa dia memanggil- manggil namaku. Sebelum sempat aku tutup pintu kereta, Hazriq segera menahan.

“Kenapa awak nak sangat saya kahwin dengan dia? Saya langsung tak faham!” soal Hazriq.

Aku masih lagi membisu. Berkali- kali aku cuba menarik pintu kereta tetapi tidak berhasil.

Hazriq menghela nafas. “Saya cuma nak tanya satu soalan.”

“Apa dia?” soalku.

“Selama ni, awak tak pernah ada apa- apa perasaan pada saya?”

Aku terkejut dengan soalannya tetapi cepat- cepat aku menarik nafas.

“Awak seseorang yang penting buat saya,” jawabku tanpa memandang wajahnya. “Tapi kita hanya boleh kekal sebagai kawan!”

Hazriq yang terkejut dengan jawapanku melonggarkan pegangannya pada pintu kereta. Kesempatan itu aku gunakan untuk menutup pintu kereta. Segera aku hidupkan enjin, kemudian berlalu pergi. Hazriq terus berdiri mematung biarpun aku sudah menjauh.

 

 

Aku merenung keluar jendela. Telefonku yang bergetar sejak aku pulang dari berjumpa dengan Hazriq aku abaikan saja. Aku tidak tahu apa lagi yang dia ingin bincangkan tapi lebih baik kami tidak bercakap langsung sekarang.

Masalahnya sekarang ialah aku, bukannya dia. Secara jujur hatiku memang benar- benar goyah dengan pengakuan dari Hazriq. Wah, tidak sangka dia cintakan aku! Aku rasa bagaikan di awang- awangan ketika dia lafazkan pengakuannya itu.

Tapi, hatiku terlalu kuat membantah. Dia cintakan aku, aku juga cintakan dia. Tapi dia sudah bertunang, sepatutnya berkahwin pun. Menerima dia bererti menjadi orang ketiga. Memang lelaki boleh beristeri empat, tapi aku tidak dapat terima jika kebahagiaanku hasil dari kekecewaan orang lain.  

Tidak habis- habis kata- kata Nurrul Azzwa menghantui aku. Boleh gila aku begini. Di matanya aku pastinya seorang perampas, orang ketiga dan pelbagai lagi gelaran lain. Sekarang aku mengerti perasaan Dyana kerana beginilah cara aku memandang dia dulu. Aku mengeluh buat sekian kalinya pada malam ini.

Sekali lagi telefonku bergetar dengan nama Hazriq terpamer di skrin. Aku cuma merenung telefon itu sehingga ia berhenti bergetar.

 

Selama ni, awak tak pernah ada apa- apa perasaan pada saya?

 

Ya, ada! Sama seperti Hazriq, aku juga cintakan dia. Tapi aku tak boleh akui! Sebab semua ini salah! Aku perlu tamatkan semua ini. Mungkin ada satu lagi jalan yang boleh aku ambil.

Selagi aku tidak bersama seseorang, selagi itulah aku tidak akan belajar melupakan cinta yang salah ini. Mungkin aku tidak berjaya mencari seseorang dengan janji temu yang pernah aku buat, tapi masih ada satu pilihan terahkir untuk aku. Aku bingkas bangun, turun ke ruang tamu.

Ibu dan ayah sedang menonton televisyen sambil berbual- bual perlahan. Mereka terus memandang ke arahku apabila perasan kehadiranku.

“Kamu belum tidur lagi? Ibu ingat kamu dah tidur tadi,” tegur ibu.

Aku tidak menjawab, sebaliknya mengambil tempat di kerusi bertentangan dengan mereka.

“Kenapa Rania?” tanya ayah.

Aku menggigit bibir, menyusun ayat untuk memulakan bicara.

“Ibu, ayah, saya nak cakap sesuatu,” kataku.

“Cakaplah,” kata ibu.

“Tentang lamaran keluarga Furqan, saya dah buat keputusan,” kataku.

“Ya? Apa dia?” tanya ibu.

“Saya dah ambil keputusan untuk terima lamaran tu!” kataku.

No comments:

Post a Comment