Aku
pasti Furqan akan terkejut dengan keputusan yang aku ambil. Jadi apabila dia
menelefonku tengah hari esoknya, aku sudah tahu apa yang dia ingin tanyakan.
“Kenapa?”
tanya Furqan. “Saya yakin awak tak cintakan saya!”
Aku
tidak menjawab soalannya, sebaliknya bertanya kepada dia kembali. “Perlukah
kita berkahwin kerana cinta?”
“Habis
awak nak habiskan hidup awak dengan seseorang yang awak tak cinta?”
“Kalau
kahwin atas dasar cinta pun bukannya boleh kekal!” desisku. “Kadang- kadang tak
jadi kahwin pun!”
“Macam
perli saya pula,” komennya.
“Yang
awak terasa kenapa?”
Furqan
diam seketika. Pastinya dia aneh dengan sikapku.
“Kenapa
dengan awak ni?” soal Furqan akhirnya.
Aku
juga tanyakan soalan yang sama. Aku sendiri tidak faham apa yang aku fikirkan sekarang.
Yang aku tahu aku cuma ingin lari dari masalahku dengan Hazriq. Sekarang Furqan
juga sudah terlibat.
“Saya
harap awak fikirkan keputusan awak ni baik- baik. Soal kahwin jangan dibuat
main,” nasihat Furqan.
“Saya
dah beritahu ibu dan ayah saya, jadi saya memang dah fikir baik- baik,”
jawabku. “Kenapa? Awak tak mahu kahwin dengan saya?”
Furqan
menghela nafas. “Secara jujur, saya tak tahu nak cakap apa. Tapi kalau itu yang
awak nak, saya ikut saja. Tapi saya harap awak benar- benar pasti dengan keputusan
yang ambil ni.”
Semudah
itukah? Tapi aku telan soalanku itu. Biarpun selepas perbualan kami selesai,
aku masih lagi berfikir.
Telefonku
bergetar lagi. Sejak semalam Hazriq berusaha untuk menghubungi aku. Aku pula
masih berdegil untuk menjawab panggilannya. Tapi mungkin aku patut jawab saja
dan beritahu aku akan kahwin dengan Furqan.
Hmm,
cakap memanglah senang!
Aku
mengeluh, memandang telefon yang kini sepi. Sudah menyerah kalah agaknya. Tapi
Hazriq bukan begitu. Entah- entah dia rancang untuk lakukan perkara lain. Tak
apa. Jika dia mencari aku nanti, aku akan beritahu dia secara terus- terang
yang aku akan menikah.
Pulang
dari kerja, dari jauh aku perasan kelibat Hazriq yang menunggu di kereta. Aku
terus duduk di sebalik tembok bunga berdekatan tempat meletak kenderaan. Tadi
beria- ia aku hendak beritahu dia, habis kenapa sekarang aku sembunyikan diri
di sini?
Aku
mengintai di sebalik celah- celah pokok bunga, melihat Hazriq yang bersandar ke
keretaku sambil merenung ke kejauhan. Kalau dia memandang ke arah bangunan
pejabat tadi, pasti dia perasan aku yang berjalan tadi. Beberapa kali dia
mengeluh. Aku lihat dia mengeluarkan telefon, merenung dengan lama sebelum
memasukkan kembali ke dalam poket. Aku ingat dia hendak telefon aku lagi.
Keluar
dan cakap saja dengan dia. Apa yang aku takutkan? Perkara ini tidak akan
selesai jika aku terus bersembunyi macam tikus di sini. Tapi berat betul kaki
untuk ku langkah.
Lama
juga aku duduk di sebalik tembok, sambil sekali- sekala mengintai Hazriq yang
masih setia menunggu di keretaku. Dia langsung tidak ada tanda- tanda untuk
beredar. Macam mana aku hendak balik?
Sekali
lagi aku mengintai Hazriq. Posisinya masih sama, masih berdiri menunggu aku
dengan tenang. Berapa kali aku fikir pun aku tidak dapat paksa diri untuk
keluar dan bercakap dengan dia. Akhirnya aku beredar ke arah bertentangan,
mencari jalan untuk mengeluk dari bertembung dengan dia. Akhirnya aku pulang
dengan menaiki bas.
“Mana
kereta kamu?” tanya ibu apabila aku turun untuk sarapan keesokkan paginya.
“Ada
depan pejabat,” jawabku.
“Kenapa?
Rosakkah?” tanya ayah.
“Umm…ada
masalah untuk hidupkan enjin,” jawabku.
Pandai
pula aku menipu pagi- pagi begini.
“Tak
apa, nanti ayah hantarkan kamu. Boleh ayah tengokkan sekali kereta kamu tu,”
kata ayah.
Aku
hanya mengangguk, terasa bersalah kerana menipu mereka. Sampai di tempat letak
kereta, ayah terus memeriksa keadaan keretaku. Memang tidak ada masalah, terus
dapat hidupkan enjin dengan sekali cuba saja.
“Tak
ada masalah pun,” komen ayah.
Aku
tidak menjawab, cuma merenung dia mematikan enjin dan keluar dengan wajah
keliru. Maafkan saya ayah!
“Tak
apalah kalau macam tu, ayah balik dulu,” kata ayah.
“Terima
kasih sebab hantarkan saya,” kataku.
“Naiklah
dulu, nanti ayah balik.”
Aku
tergesa- gesa berjalan masuk ke pejabat. Harap- harap dia tidak menunggu di
pejabat pula kali ini.
dia
memang tidak menunggu di pejabat. Tapi sekarang sekali lagi dia berdiri
menungguku di kereta. Tak kan aku hendak pulang dengan bas lagi? Ibu dan ayah
pasti tidak percaya kalau aku cakap keretaku rosak lagi.
Sekali
lagi juga aku menunggu di sebalik tembok bunga, cuba mengintai dia yang setia
berdiri di tepi keretaku. Aku mengeluh. Dulu semasa hubungan kami sekadar
kawan, beria- ia aku hendak mendengar yang dia cintakan aku. Tapi bila dia
lafazkan ayat itu, aku pula larikan diri dan bersembunyi begini. Tapi apa yang
aku boleh buat? Aku tidak sanggup untuk menjadi orang ketiga yang menjadi
penyebab musnahnya hubungan sepasang kekasih.
Tapi
benarkah kerana aku? Hazriq cakap hubungan mereka memang sudah lama retak, cuma
menunggu masa untuk belah saja. Jadi tidak ada kaitan dengan aku, kan?
Ah,
itu ayat untuk sedapkan hati sendiri!
Telefonku
tiba- tiba bergetar. Bukan panggilan, cuma pesanan WhatsApp.
Rania,
we need to talk.
Aku
tidak membalas.
Please,
Rania!
Jangan
larikan diri begini.
Saya
akan tunggu awak sampai awak di kereta awak. Saya akan tunggu sampai awak
sampai.
Tak
boleh begini. Hampir jam sembilan tapi aku masih di sini. Aku tetap tidak mahu
bercakap atau berjumpa dengan dia. Tapi dia nampaknya akan terus berdegil dan
menunggu. Aku menggigit bibir, akhirnya menaip jawapan.
Saya ada di 7-Eleven
berdekatan bangunan pejabat. Datanglah ke sini.
Aku
lihat Hazriq terus bergegas ke kedai 7-Eleven itu selepas melihat telefonnya.
Cepat- cepat aku sembunyikan diri agar dia tidak nampak aku. Apabila aku pasti
dia sudah pergi, aku segera berlari ke kereta, kemudian beredar dari situ.
Telefonku yang bergetar selepas itu pun aku tidak pedulikan.
Nasib
baik hujung minggu akhirnya tiba. Jadi tidak perlulah aku fikirkan bagaimana
untuk melarikan diri dari bertembung dengan Hazriq untuk dua hari ini. Dia
masih cuba menelefon dan menghantar pesanan WhatsApp tetapi aku abaikan kesemua
pesanan yang dihantarnya.
Hari
ini keluarga Furqan datang ke rumahku. Memandangkan aku akhirnya memberi
keputusan untuk menerima pinangan itu, mereka ingin berbincang tentang majlis
pernikahan kami. Semuanya berlaku dengan terlalu cepat tetapi aku fikir ini
yang terbaik. Danish yang kebetulan tinggal bersama Aunty Sofea dan Uncle Hadi
juga ada. Cuma Furqan yang tidak dapat bercuti saja tidak datang.
“Nampaknya
ada jodoh juga mereka berdua ni,” komen Uncle Hadi.
Mereka
yang lain tersenyum mendengar kata- kata Uncle Hadi itu. Cuma aku tidak mampu
mengukir senyuman.
“Majlis
macam mana yang kita hendak adakan?” tanya Aunty Sofea yang kelihatan teruja.
Masakan tidak, impiannya akhirnya terlaksana.
“Aunty,
boleh saya cakap sikit?” kataku.
“Apa
dia?” kata Aunty Sofea.
“Kalau
boleh, saya tak nak majlis besar. Cukuplah sekadar jemput saudara terdekat dan
kawan- kawan. Akad nikah pun cukuplah sekadar kita sahaja,” kataku.
Ibu
mengerut dahi. “Kenapa? Majlis ini penting untuk kamu. Bukan selalu kamu
bernikah. Mungkin cuma sekali ini. Kamu tak mahu raikan betul- betul?”
Agaknya
ibu sudah lupa yang ini kali kedua aku cuba untuk menikah. Ironinya ialah
dengan lelaki yang sama pula tu.
“Ini
pun raikan juga. Majlis kenduri tu cuma untuk meraikan dan mewar- warkan pada
orang yang dia sudah berkahwin. Besar atau kecil itu tak penting. Ikutlah cakap
dia,” nasihat ayah.
“Hmm,
ya lah. Lagipun dia yang hendak berkahwin.” Ibu bersetuju juga.
“Tak
apa, asalkan buat dah cukup, kan?,” kata Aunty Sofea. “Nanti kita cetakkan kad
untuk jemput siapa yang kita nak jemput.”
“Sebelum
tu, kita kena tetapkan tarikh dulu!” kata Uncle Hadi.
Ayah
tergelak. “Ya tak ya juga! Dari tadi berbual, tak teringat pasal hal tu!”
“Kalau
dalam tiga bulan lagi sempatkah?” tanya ibu.
“Lebih
dari sempat. Majlis kecil saja, kan?” jawab Aunty Sofea.
“Kecil
pun perlukan perancangan,” bantah Uncle Hadi.
“Saya
rasa dua bulan pun sempat. Tak banyak yang perlu kita buat pun,” tingkah ayah
pula.
Aku
membisu mendengar. Mereka terus berbincang tentang tarikh yang sesuai dalam
masa dua bulan lagi.
Hujung bulan ini kami
akan menikah
Teringat
kata- kata Nurrul Azzwa tempoh hari. Jadi hujung bulan ini mereka akan
berkahwin.
“Hujung
bulan ini macam mana?” kataku tiba- tiba.
Mereka
yang berbual terus terdiam, kemudian masing- masing saling berpandangan. Wah,
aku sendiri tidak percaya aku akan cakap begitu!
“Hujung
bulan ini apa?” tanya ibu, inginkan kepastian.
Aku
menarik nafas. Alang- alang aku sudah luahkan, lebih baik aku teruskan.
“Kita
adakan majlis akad nikah hujung bulan ini!” kataku, benar- benar bertekad.
Kali
ini mereka benar- benar terperanjat dengan kata- kata aku.
“Kenapa?”
tanya Aunty Sofea.
“Tak
ada apa- apa. Cuma saya rasa bertangguh akan ada masalah nanti. Macam apa yang
pernah terjadi dulu,” jawabku.
“Kamu
berguraukah? Mana sempat nak rancang majlis dalam masa sebulan!” kata ayah.
“Tak
perlu majlis kenduri terus, cuma majlis akad nikah,” jawabku.
Ibu
dan ayah saling berpandangan. Pasti mereka ingat aku sudah hilang akal. Aku
juga fikir perkara yang sama sekarang. Tapi aku tetap dengan pendirian aku
tidak kira apa pun yang mereka fikirkan.
“Kalau
setakat majlis akad nikah, tak apa rasanya kalau kita adakan hujung bulan
nanti,” kata Aunty Sofea.
“Habis
majlis kendurinya bila pula?” soal ibu.
“Seminggu
dua selepas itu pun tak apa rasanya,” jawab Uncle Hadi.
Ayah
berfikir seketika. “Kamu dah fikir masak- masak tentang hal ni, Rania?”
Aku
cuma mengangguk.
“Tak
cepat sangatkah?” sangkal ibu.
“Tak
adalah cepat sangat. Lagipun siapa yang tahu kita nak adakan majlis ini bila?
Dia hendak kahwin pun tidak ada yang tahu kecuali kita,” jawab ayah.
Ibu
menghela nafas. “Baiklah kalau macam tu.”
“Kalau
macam tu, nanti saya maklumkan pada Furqan yang kita akan adakan majlis akad
nikah hujung bulan ini.”
Kemudian
mereka mula berbincang tentang majlis akad nikah yang akan diadakan hujung
bulan ini. Masing- masing kelihatan teruja. Aku mengukir senyuman dan menjawab
setiap kali mereka bertanya tentang sesuatu. Tetapi cuma bibirku yang
tersenyum. Hatiku rasa kosong.
Furqan
terus menghubungiku malam itu.
“Awak
macam tidak sabar untuk kahwin dengan saya!” katanya.
Aku
mendengus, tidak menjawab.
“Kenapa?”
soalnya.
“Tidak
ada sebab,” jawabku.
Dia
tergelak. “Saya tahu awak menipu. Apa yang dah jadi? Awak macam hendak larikan
diri dari sesuatu.”
Inilah
susahnya jika seorang lelaki itu mengenali kita. Dia tahu apa yang kita
fikirkan dan cuba lakukan.
“Awak
tak perlu tahu!” jawabku.
“Excuse
me? You’re marrying me!”
“So?”
“Saya
rasa saya berhak untuk tahu!” tegas Furqan. “Apa yang berlaku antara awak dan
dia?”
“Siapa
dia?” soalku, biarpun aku memang tahu siapa yang dia maksudkan.
“Jantan
itu lah!” jawab Furqan.
“Dia
ada namalah!” bentakku.
Furqan
tergelak- gelak. “Namanya tak penting. Awak pun macam dah lupa nama dia.”
Tak
mungkin aku lupa!
“Tak
ada apa- apa antara saya dan dia,” kataku.
“Dia
tahu awak akan kahwin dengan saya?” soalnya lagi.
“Belum.”
“Awak
tak mahu beritahu dia? Anehnya, awak dan dia memang rapat sebelum ni.”
Hmm,
jangan ingatkan aku! Aku sedang belajar untuk lupakan dia. Kalau tidak kenapa
aku hendak mengahwini lelaki lain!
Furqan
menghela nafas. “Lebih baik awak beritahu dia secepat mungkin. Tidak kira apa
yang awak anggap tentang hubungan awak dengan dia, saya rasa dia berhak tahu
tentang hal ni. Sebab sebagai lelaki, saya boleh tahu perasaan dia pada awak.
Mungkin awak dah buta, sebab itu selama ini awak tak pernah perasan!”
“Awak
ni nak nasihatkan saya atau mengejek saya?” soalku dengan rasa jengkel.
“Terpulanglah
kepada apa yang awak fikir.”
“Sakit
hati pula berbual dengan awak!”
Furqan
tergelak. “Saya tak kisah!”
Wah,
ke mana menghilangnya Furqan yang lama? Siapa dia yang sedang berbual dengan
aku sekarang ini? Aku tidak kenal Furqan ini!
Furqan
menghela nafas. “Apa sekalipun, buatlah keputusan terbaik. Ini soal masa depan
awak juga. Macam yang saya pernah cakap, saya akan sokong keputusan awak tak
kira apa pun yang awak pilih. Kalau awak nak batalkan majlis kita, saya akan
setuju. Kalau sebelum akad nikah awak nak batalkan pun, saya tetap akan setuju.
Lagipun bukan kali pertama awak buat macam tu!”
Dalam
beri nasihat itu pun sempat lagi dia mengejek aku! Tapi aku tidak boleh
menyangkal kerana kata- katanya itu benar.
“Nanti
saya buat macam tu! Awak tunggulah!” kataku dengan geram.
“Okay,”
kata Furqan tergelak- gelak, langsung tidak terkesan.
Kerana
aku semakin jengkel dengan sikapnya, cepat- cepat aku putuskan talian. Aku
pasti Furqan sedang tergelak dengan sikapku.
Minggu
baru bermula. Perkara pertama yang aku fikir ialah sama ada dia akan menunggu
di kereta ketika aku pulang lagi hari ini. Benar kata Furqan, aku perlu
beritahu dia tentang majlis perkahwinanku yang bakal berlangsung nanti. Jadi
kalau dia menunggu lagi hari ini, aku akan pergi kepadanya dan cakap;
‘Saya
akan kahwin dengan Furqan, jadi tak perlu tunggu lagi. Antara kita memang tak
akan ada apa- apa.’
Kemudian
aku akan masuk kereta dan terus balik.
Sepanjang pagi aku berlatih ayat itu. Asalkan aku tidak pandang wajahnya
semasa bercakap, pasti tidak akan ada masalah.
Hmm,
senangnya bercakap! Macam mana hendak bercakap tanpa pandang wajahnya? Aku
teringin hendak pandang dia puas- puas. Ya Allah, tetapkanlah hati aku!
Tamat
waktu bekerja, perlahan- lahan aku melangkah pulang. Dadaku berdebar- debar
memikirkan tentang apa yang akan berlaku nanti. Adakah dia akan marahkan aku
nanti? Tak apa kalau dia marah, aku boleh terima. Tapi macam mana kalau dia
sedih? Kuatkah aku nanti?
Tak
boleh begini, aku mesti kuatkan hati aku!
Tapi
apabila sampai di kereta, langsung tidak ada kelibat Hazriq. Entah kenapa aku
rasa kecewa bercampur lega. Melilau aku memandang mencari tapi nampaknya dia
tidak ada di mana- mana. Mungkin hari ini dia tidak datang.
Hari
pertama dia tidak lagi menunggu di kereta, hari kedua dan seterusnya juga sama.
Akhirnya hampir seminggu berlalu tanpa kelibat dia. Dia sudah berputus asakah?
Kenapa terselit rasa kecewa? Bukan ini yang aku harapkan? Aku mengeluh,
mengetuk- ngetuk papan kekunci dengan pen, menyebabkan barisan huruf ‘z’ ditaip
hampir satu muka surat.
“Siapa
yang dah mati?”
Aku
tidak pedulikan teguran Zura. Kalau dia hendak tahu, aku terasa seperti separuh
jasadku mati sekarang. Hai, apa hendak jadi dengan aku ni?
“Abaikan
dia, memang begitu beberapa hari ini,” balas Kak Diba dari mejanya.
Cakaplah
apa pun, aku tidak mahu peduli. Berkali- kali aku ingatkan supaya tidak
fikirkan tentang Hazriq tetapi dia tetap bersarang di mindaku. Apa yang patut
aku buat???
Ah,
tidak boleh begini! Lebih baik aku teruskan kerja dari fikirkan tentang hal-
hal tidak sepatutnya. Aku segera memadam huruf ‘z’ yang ditaip dan cuba
memulakan kerja dengan bersungguh- sungguh.
“Tengok,
dia dah hilang akal!” kata Kak Diba.
“Wah,
apa kena dengan dia?” soal Zura.
“Boyfriend
larilah! Apa lagi!” balas Kak Diba, langsung tidak kisah jika aku mendengar.
Enggan
memperdulikan mereka, aku meneruskan kerja. Cakaplah apa pun. Lebih baik aku
cuba untuk fokus pada kerja sekarang. Dengan cara ini, aku harap aku akan
terlupa.
No comments:
Post a Comment