Friday, October 16, 2020

Bab 27

 

“Esok awak ada temujanji lagi?” tanya Hazriq.

“Ya,” jawabku, bingkas bangun menuju ke tingkap. Sejak tadi berbaring sambil berbual di telefon, terasa lenguh pula.

Selepas hari itu, ini temujanji kali yang keempat, kelima atau keenam? Entahlah, aku pun sudah lupa. Lagipun aku bertemu dengan orang lain setiap kali. Secara jujur aku mula rasa bosan. Tapi aku ingatkan diri yang aku tidak boleh mengalah.

Berbeza dengan temujanji pertama, temujanji seterusnya lebih memuaskan hati. Setakat ini tidak ada masalah. Masing- masing juga beria untuk mencuba. Ya lah, apa gunanya menyertai portal mencari jodoh jika tidak mahu mencuba mencari jodoh. Masalahnya ialah pada aku.

Setiap kali, pasti ada saja yang tidak kena. Ada saja kekurangan mereka. Aku bukannya mencari lelaki yang sempurna tapi ada sesuatu yang aku rasakan tidak kena pada setiap kali. Jadi apabila mereka minta untuk pertemuan kedua, aku tolak dengan baik.

“Maaf, awak memang baik! Tapi saya rasa kita tak ada sefahaman!”

“Maaf, awak memang baik! Tapi saya tak rasa kita serasi!”

“Maaf, awak memang baik! Tapi entahlah, saya pun tak faham kenapa!”

Aku ulang- ulang alasan itu beberapa kali bagaikan membaca skrip.

 “Good luck!” kata Hazriq.

“Perlikah?” soalku, jengkel.

“Habis awak nak saya cakap apa?” soal Hazriq kembali. “Jangan pergi! Ramai buaya! Nanti awak kena makan! Jangan!!!”

“Mengarutlah awak ni!” cemuhku.

Hazriq tergelak. “Saya tak ada apa nak cakap. Ini yang awak nak buat, jadi saya cuma berikan sokongan untuk awak.”

“Sahabat yang baik katakan,” sindirku.

“Betul!” kata Hazriq, langsung tidak faham sindiranku.

Aku mendengus. Sakit hati pula dengan sikap dia. Tapi apa lagi yang dia hendak katakan?

“Tak apalah, saya nak tidur awal,” kataku.

“Betulkah?” soal Hazriq.

“Kenapa pula tidak?” soalku hairan.

“Hari tu pun cakap hendak tidur awal. Esoknya awak datang kerja dengan mata panda. Kali ni apa pula masalah awak?” tanya Hazriq.

Teringat hari tu dan mimpi aneh tentang aku, Hazriq dan Nurrul Azzwa. Esoknya aku ke tempat kerja dengan mata yang bengkak kerana tidak dapat tidur kembali selepas itu. Hazriq yang datang untuk mengajakku makan tengah hari ketawakan aku hampir setengah jam. Katanya mataku bagaikan panda.

“Kali ni tak ada apa- apa masalah!” kataku, hampir menjerit menjawab.

“Kenapa pula awak menjerit?” soal Hazriq, terkejut dengan jawapanku.

“Tak ada apa- apa! Assalamualaikum!”

Terus aku putuskan talian. Kenapa pula dia ingatkan aku tentang hal tu? Jangan aku mimpi lagi perkara yang sama sudahlah!

 

 

Untungnya kali ini tidak ada mimpi aneh seperti hari itu. Selepas bersarapan, aku keluar mencari restauran tempat pertemuan kami nanti. Sebaik saja aku masuk, seorang lelaki sudah menunggu di meja yang ditempah. Dia berdiri apabila melihat aku menghampirinya dengan wajah penuh tanda tanya.

“Cik Rania?” tanyanya.

“Ya, saya,” jawabku. “Encik Faiz?”

Dia mengangguk, menampakkan lesung pipitnya yang dalam di kedua- dua pipi.

“Panggil saya Faiz saja. Jemputlah duduk,” katanya.

“Awak pun boleh panggil saya Rania saja,” kataku, mengambil tempat di kerusi bertentangan. “Dah lamakah awak sampai?”

“Tak lah, baru saja. Awak nak order makanan tak?” Faiz menghulurkan menu kepadaku.

Selepas memesan makanan, aku cuba mentafsir lelaki di hadapanku. Entah kenapa dia mengingatkan aku kepada Hazriq. Ah, tak sama! Dia tersenyum apabila melihat aku memerhatikan dia.

“Kenapa tengok saya macam tu?” tanyanya.

Aku segera memandang meja. “Maaf, saya tak ada maksud lain. Cuma awak mengingatkan saya pada kawan saya.”

“Kawan awak dah ke mana?” tanya Faiz, dahi berkerut. “Kenapa pula saya macam dia?”

“Ada, dia di rumah agaknya. Perangai dan wajah awak hampir sama macam dia,” jawabku.

Faiz tersenyum herot. “Ah, pasti saya lebih kacak dan bergaya!”

Raut wajahnya menunjukkan dia sebenarnya bergurau. Tapi cara dia bergurau pun hampir sama dengan Hazriq. Aku tersenyum kecil.

“Ya, lebih sikit!” jawabku walaupun aku tidak berapa bersetuju sebenarnya.

Makanan sampai membuatkan kami berbual kecil sambil makan. Topik perbualan cuma tentang kerja dan hal yang remeh- temeh. Walaupun baru bertemu, aku bagaikan sudah lama kenal dia. Mungkin juga kerana dia hampir sama dengan Hazriq. Hesy, kenapa pula aku asyik ingatkan lelaki itu? Sudah- sudahlah! Fokus pada orang di hadapan aku ni!

Selesai makan, aku mula buntu tentang apa yang aku hendak lakukan selepas ini. Tak kan aku hendak ajak dia bersiar- siar?

“Awak hendak ke mana nanti?” tanya Faiz, bagai mengerti apa yang bermain di mindaku.

“Entahlah, saya tak ada rancangan lain,” jawabku jujur.

Faiz diam seketika. “Kalau macam tu, terima kasih sebab sudi jumpa saya hari ni.”

“Sama- sama, saya pun sama juga,” jawabku.

Aku menunggu ayat, ‘boleh kita jumpa lagi?’ tapi dia tidak suarakan.

“Sebenarnya saya memang hendak minta kita bertemu sekali lagi. Tapi sekarang saya rasa itu bukan keputusan terbaik,” kata Faiz.

Eh, pertama kali begini! Aku ada buat salahkah sepanjang pertemuan kami tadi? Soalan itu aku suarakan kepadanya.

Faiz segera menjawab. “Bukan, awak tak buat salah apa pun! Malah saya rasa, awaklah yang terbaik yang saya ketemui dari portal mencari jodoh tu!”

“Habis kenapa?” soalku, benar- benar ingin tahu.

“Macam mana awak boleh sertai portal ni?” soalnya kepadaku kembali.

“Saya nak cari pasangan hidup,” jawabku jujur.

“Saya pun sama,” jawab Faiz. “Tapi saya boleh rasakan yang awak sama seperti saya.”

“Apa yang sama?” soalku hairan.

Faiz tersenyum kecil. “Hati kita berdua sebenarnya sudah dicuri!”

Terkejut aku mendengar kata- kata dia.

“Apa yang…”

Aku tidak jadi bertanya. Lama juga aku merenung dia. Jelas sangatkah hal itu sampai dia pun boleh perasan?

“Sebab saya pun sebenarnya ada seseorang yang istimewa di hati saya,” jawab lelaki itu dengan tenang.

“EH???”

Aku segera menekup mulut, memandang ke sekeliling. Suaraku yang agak kuat tadi membuatkan pelanggan lain memandang- mandang kami. Faiz tergelak kecil dengan kelakuanku. Hesy, malunya!

Aku berdehem, cuba untuk menenangkan diri kembali. “Macam mana awak boleh cakap macam tu? Seingat saya saya tak ada pun cakap apa- apa tentang hal tu.”

“Sebab sepanjang kita berbual, awak kadang- kadang mengerling telefon awak. Awak harapkan dia akan menelefon atau bertanya. Tak kira siapa pun yang awak jumpa, awak akan bandingkan dia dengan mereka. Saya rasa saya pun sudah dibandingkan juga. Hasilnya sama setiap kali, kan? Jadi tak kira siapa pun yang awak jumpa, tidak ada seorang pun yang lebih baik dari orang yang ada di hati awak tu,” kata Faiz.

Aku tidak menjawab, tetapi aku rasa raut wajahku sudah cukup untuk memberi jawapan kerana lelaki itu mengukir senyuman. Tapi aku masih berdegil untuk mengakui apa- apa.

“Tapi macam mana awak boleh yakin? Awak tak tahu pun apa- apa tentang saya,” kataku.

“Mungkin saya tak tahu apa- apa tentang awak tapi awak sendiri tak menidakkan kata- kata saya sejak tadi,” jelas Faiz, tersenyum lebar.

Terkena juga aku rupanya. Tapi betulkah apa yang dia cakap? Dia juga sama?

Faiz menghela nafas, memandang ke luar tingkap. “Dia sahabat baik saya sejak kecil. Tapi sejak dulu dia tak pernah cakap apa- apa pun tentang sukakan saya. Dia sendiri ramai teman lelaki. Jadi saya pendamkan perasaan saya. Saya takut kalau saya luahkan, saya akan hilang sahabat baik saya kalau dia menolak. Kami pasti tak boleh kembali macam dulu lagi.”

Ceritanya hampir sama denganku. Jadi dia pasti mengerti apa yang aku rasakan.

“Jadi awak harap awak akan jumpa seseorang yang boleh mengubah perasaan awak. Sebab tu awak sertai portal ni?” tanyaku.

Faiz mengangguk. “Awak juga, kan?”

“Ya,” jawabku dengan perlahan, mengaku juga akhirnya.

Tetapi aku dapat rasa lega kerana dapat luahkan apa yang terbuku kepada seseorang. Selama ini aku pendamkan saja kerana aku tidak tahu hendak beritahu kepada sesiapa. Lagipun aku tidak fikir semua akan mengerti.

“Jadi apa yang awak nak buat lepas ni?” tanyaku.

Faiz menghela nafas. “Saya rasa saya dah puas larikan diri. Saya rasa saya nak jumpa dia selepas ni, saya nak cuba luahkan perasaan saya. Kalau nasib saya baik, mungkin dia pun sama macam saya.”

“Baguslah kalau macam tu,” komenku.

“Awak pula macam mana?” tanya Faiz.

“Situasi saya tak sama, dia dah ada seseorang yang istimewa. Kalau saya luahkan perasaan, mungkin dia tidak dapat terima. Hubungan kami mungkin akan jadi kekok nanti,” jawabku.

“Saya boleh faham. Kalau macam tu, saya ucapkan selamat berjaya. Semoga nasib awak akan lebih baik nanti, tidak kira bersama dengan dia atau dengan orang lain,” kata Faiz.

“Saya juga ucapkan selamat berjaya kepada awak. Jika benar jodoh awak dengan dia, insya Allah awak akan bersama dengan dia juga.”

Faiz tersenyum dengan kata- kataku. Dari pertemuan mencari jodoh, nampaknya aku menemui seseorang yang senasib.

“Saya bayarkan makanan kita,” tawarku.

“Tak apa, saya yang bayarkan,” bantah Faiz.

“Osom?” usulku, tersenyum.

Faiz tersenyum. “Osom!”

Dia yang menang. Selepas itu, Faiz menghantarku hingga ke kereta.

“Terima kasih untuk hari ini,” kata Faiz.

“Terima kasih untuk awak juga,” kataku.

Faiz menghela nafas, tersenyum lebar. “Harap- harap nasib awak akan lebih baik nanti. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Masuk ke dalam kereta, aku menerima pesanan WhatsApp dari Hazriq.

 

Assalamualaikum. Awak sibukkah? Masih ada dengan dia?

 

Tidak ada apa yang lucu tapi tiba- tiba aku tergelak. Dia mencari aku ketika aku hendak mencari dia.

 

Kenapa? Nak jumpa sayakah? Saya tak ada dengan dia sekarang.Kami dah balik pun.

 

Selang beberapa saat dia membalas.

 

Ya, mestilah nak jumpa!Awak di mana sekarang?

 

Saya baru balik. Memang nak jumpa awak pun. Awak di mana?

 

Saya tunggu awak di kafe yang kita selalu jumpa.

 

Baiklah.

 

Aku meletakkan telefon ke bahagian penumpang, tersenyum sendiri. Enjin kereta segera aku hidupkan. Tiba- tiba terasa hendak memandang wajahnya secara berdepan.

 

 

Hazriq sedang bercakap di telefon ketika aku sampai. Dia tersenyum apabila nampak aku, mengisyaratkan agar aku duduk sementara menunggu dia habis berbual. Aku dapat rasakan dia sedang berbual dengan Nurrul Azzwa. Terasa semangat yang berkobar- kobar untuk bertemu dengan dia tadi tiba- tiba malap.

Aku memerhatikan Hazriq, berfikir tentang kata- kata Faiz tadi. Jika Faiz enggan melarikan diri lagi, aku tidak fikir aku boleh buat keputusan yang sama. Sekarang pun dia masih lagi berbual dengan Nurrul Azzwa. Tiba- tiba rasa cemburu yang teramat sangat kepada gadis itu. Pasti bahagia kerana dicintai oleh lelaki seperti Hazriq.

Aku mengeluh, kembali merenung ke meja. Sudah- sudahlah melihat dia. Buat apa rasa cemburu dan sakit hati yang tidak bertempat. Tak kan aku hendak mencuba untuk jadi orang ketiga? Telefonku bergetar. Aku segera melarik skrin, membaca pesanan WhatsApp yang dihantar oleh Faiz.

 

Dia terima.

 

Itu saja yang ditulis Faiz. Aku tersenyum, membalas mesejnya dengan mengucapkan tahniah. Nasibnya lebih baik daripada aku. Aku mengerling Hazriq yang masih berbual di telefon dengan Nurrul Azzwa, kemudian mengeluh sekali lagi.

“Kenapa dengan awak ni?” tanya Hazriq yang tiba- tiba kembali duduk di depanku.

Aku menggeleng. “Tak ada apalah.”

“Saya pernah dengar, kalau perempuan jawab tak ada apa tu, maksudnya seribu benda yang bersarang di kepala. Apa dah jadi? Temujanji yang teruk lagi?” tanya Hazriq.

“Tak lah, dia baik sebenarnya,” jawabku. “Paling baik yang saya jumpa setakat ni!”

“Oh, jadi kenapa?”

“Itulah, susah nak cakap,” keluhku.

Hazriq mengerut dahi. “Apa yang susahnya?”

“Saya dan dia tak boleh bersama. Dia sendiri ada orang lain.”

“Eh, habis kenapa pergi perjumpaan macam tu?” soal Hazriq.

“Sebab dia nak cari seseorang. Dia tak dapat luahkan perasaan. Masa jumpa saya tiba- tiba dia buat keputusan nak luah perasaan pada gadis tu.”

“Macam tu pula.”

Aku mengangguk. “Saya faham perasaan dia.”

“Jadi sebab tu kah muka awak masam macam ni?” soal Hazriq. “Awak sebenarnya tertarik dengan dia tadi?”

Soalan itu di tanya dengan nada yang kurang menyenangkan. Aku terus memandang dia.

“Saya rasa sedihlah!” kataku.

“Kenapa?”

“Sebab saya saja yang tak bertuah lagi!”

Hazriq tiba- tiba tergelak.

“Apa yang lucunya?” soalku dengan jengkel.

“Nada awak tu macam awak ni malang sangat. Nasib awak tak seburuk itulah,” kata Hazriq.

“Apa yang baiknya? Setakat ni semuanya tak baik,” rungutku.

Kahwin tak jadi. Cari pasangan pun tak jumpa. Hazriq pun aku tak dapat miliki! Malangnya!

“Awak ada keluarga, ada kerja. Bersyukurlah untuk semua tu. Jodoh awak ada. Malah saya yakin ada lelaki yang akan sayangkan awak sepenuhnya. Cuma sekarang mungkin awak tak jumpa lagi. Jadi jangan cakap semuanya tak baik. Macam tak bersyukur!” nasihat Hazriq.

“Kata- kata awak tu betul, tapi saya tak rasa juga gembira pun!”

Aku kembali sugul, merenung meja dengan menopang dagu. Hazriq menghela nafas, seperti menahan diri dari ketawakan aku. Seketika kemudian, dia bangun.

Cari susah, bila dah jumpa pun susah. Serabut kepala aku!

Hazriq kembali duduk bertentangan denganku dengan bibir masih tersenyum. Di tangannya ada semangkuk besar aiskrim, yang kemudiannya ditolak ke arahku. Aku menjungkit kening kepadanya.

“Untuk saya?” soalku.

“Mestilah untuk awak!” jawabnya.

“Kenapa tiba- tiba belanja aiskrim?” soalku lagi.

“Supaya manisnya meresap ke wajah awak. Tak lah monyok lagi macam ni,” jawab Hazriq.

Euww, dia hendak memujuk akukah dengan ayat menggelikan macam tu? Tapi aku capai mangkuk aiskrim itu juga. Hmm, sedap!

Hazriq tergelak melihat reaksiku.

“Sedapkah?” tanya Hazriq.

“Aiskrim mestilah sedap!” jawabku.

“Happy sikit?”

Aku mengangguk.

Hazriq menghela nafas, kali ini dia pula menopang dagu merenung aku yang cuba menghabiskan aiskrim.

“Saya tak boleh nak janji yang nasib awak akan jadi lebih baik, itu urusan Allah. Tapi sebagai kawan awak, saya boleh janji satu perkara dengan awak. Tak kira apa pun nanti, saya akan cuba berada di sisi awak,” kata Hazriq.

“Betulkah?” tanyaku, juga menopang dagu merenungnya kembali.

Hazriq mengangguk. “Ini janji saya!”

“Betulkah?” ulangku, kali ini lebih perlahan.

Laju saja dia mengangguk. Aku tersenyum sendiri melihat reaksinya. Memanglah dia janji begitu tapi aku pasti selepas dia sendiri berkahwin dengan kekasihnya, janji itu pasti sukar dilaksanakan. Tapi buat masa sekarang, cukuplah kalau aku rasa gembira begini.

“Awak tak nak makankah?” tanya Hazriq, mengerling aiskrimku. “Dah cair.”

“Saya makanlah ni!” jawabku.

“Tak nak makan bagi saya,” kata Hazriq, menghulurkan tangan untuk menarik mangkuk itu.

“Tak boleh! Buruk siku!” cemuhku, menarik mangkuk aiskrim lebih rapat.

“Kedekut!”

Aku pura- pura tidak mendengar. Tapi dia hanya tersenyum. Aku sedar yang saat- saat begini, antara aku dan dia tidak akan kekal. Jadi biarkan aku menikmatinya, biarpun hanya untuk seketika.

Wednesday, October 14, 2020

Bab 26

 

Bercakap memang senang tapi untuk melaksanakannya itulah yang payah. Mencari seorang teman hidup bukan seperti membeli ikan di pasar. Pilih, bayar, kemudian bawa balik rumah. Selesai! Hah, kalau semudah itu aku tidak perlulah susah- susah berfikir!

Aku masih belum beritahu ibu dan ayah. Banyak kali telah aku cuba sebenarnya. Tapi setiap kali aku cuba suarakan, masalah yang sama tetap timbul. Setiap kali aku cuba, setiap kali itu juga aku rasakan wajahku merah. Malunya usah dicakap! Akhirnya hingga sekarang aku masih memendam soalan itu dari pengetahuan mereka. Bagaimana mereka yang berkahwin dengan meminta ibu dan ayah mereka carikan calon lakukannya? Mereka tak seperti akukah? Mereka tidak ada rasa apa- apakah?

Hazriq sendiri tidak habis- habis bertanya. Sejak aku beritahu hasratku untuk berkahwin, dialah yang paling sibuk.

“Awak dah beritahu ibu dan ayah awak?” tanya Hazriq.

“Belum, malulah!” Muncung aku menjawab soalannya itu.

Hazriq tergelak kecil. “Nak kahwin pun malu! Nak bantuan Power Ranger tak?”

“Kenapa? Awak nak beritahu mereka bagi pihak saya? Mereka kenal awak pun tak,” balasku, menjungkit kening.

“Saya boleh cari cara!” kata Hazriq dengan yakin.

“Tak payah!” kataku, menjegilnya. “Masalah sekarang pun dah banyak, buat apa hendak tambah lagi?”

“Awak yang mula- mula nak masalah ni!” bidas Hazriq dengan selamba.

“Sekarang saya tak nak!”

Hazriq tersenyum. “Habis tu macam mana masalah awak akan selesai nanti?”

Aku merenung dia dengan jengkel. Beria- ia pula dia hendak aku kahwin. Terasa sakit hati dengan sikapnya.

“Awak tak kisah?” tanyaku.

“Tentang apa?” tanya Hazriq kembali.

“Bila saya jadi tunangan awak, kita tak boleh jumpa selalu macam ni. Saya tak mahu pisang berbuah dua kali. Saya pun nak cepatkan majlis perkahwinan. Kalau suami saya tak benarkan saya jumpa awak, saya mungkin akan dengar kata- kata dia,” kataku.

Hazriq membisu seketika. “Mestilah saya kisah.”

Perlahan saja dia menjawab. Pun begitu hatiku berbunga- bunga. Kenapalah aku rasa seronok sangat dengan ayat itu?

Dia menghela nafas, merenungku. “Saya akan rindukan awak jika awak berkahwin nanti.”

“Cuma rindu?” desakku.

Aku ingin mendengar lebih dari itu keluar dari mulutnya. Tapi Hazriq tidak menjawab. Terasa kecewa pula dengan sikapnya. Ah, tapi apa yang aku harap dia akan katakan? Yang dia tidak mahu aku berkahwin?

“Kalau boleh saya tak mahu awak berkahwin.”

Terkejut aku mendengar kata- kata itu. Dia maksudkannyakah? Benarkah dia yang cakap tadi? Aku memang tak salah dengar, kan?

“Apa maksud awak?” tanyaku dengan dada yang berdebar- debar.

Hazriq yang sedar aku sedang merenungnya dengan mata membulat terus gesa- gesa menyambung. “Maksud saya, saya memang harap dapat bersama dengan awak selamanya. Tapi saya tahu sebagai kawan, saya patut mendoakan kebahagiaan awak. ”

Perkataan ‘kawan’ itu menghiris hati. Tapi aku paksa diri untuk tersenyum. Ini realiti, jangan terus bermimpi!

“Sebab kita kawan!” kataku.

“Sebab kita kawan!” ulang Hazriq.

Suasana bening menyelubungi kami berdua. Masing- masing memikirkan hal sendiri. Hazriq mengelamun entah apa, dari tadi mengacau minumannya dengan straw. Pandangannya terarah ke luar tingkap. Aku pula asyik memikirkan tentang ‘kalau’. Kalau perasaan Hazriq juga sama sepertiku. Kalau dia tidak ada Nurrul Azzwa. Kalau aku dan dia bukan setakat sahabat.

Tapi itulah, cuma ‘kalau’. Aku cuma dapat berfikir, tapi sukar untuk aku jadikan kenyataan. Sebab itulah aku perlu segera mencari penyelesaian. Tak boleh terus begini.

Telefon Hazriq yang diletakkan di atas meja bergetar. Nama Azzwa terpamer di skrin. Dia merenung skrin sebelum melarik untuk menjawab. Terasa seperti mencuri dengar perbualan mereka. Tapi apa boleh aku buat? Hazriq memilih untuk bercakap di sini. Patutkah aku yang bangun ke tempat lain? Oh, kekoknya!

“Saya ada dengan Rania sekarang,” katanya.

Mendengar namaku disebut, aku berpaling memandang dia. Tapi Hazriq memandang ke luar tingkap. Dia kelihatan benar- benar serius. Mereka bergaduhkah? Hesy, jangan sibuk dengan masalah orang lain!

“Keputusan saya tetap sama, macam yang saya beritahu awak. Nanti kita bercakap lagi. Tak, lebih baik bercakap berdepan dari berbual macam ni. Tak ada kesudahan! Assalamualaikum!”

Hazriq memutuskan talian. Dia masih lagi kelihatan serius. Hendak tegur terasa serba- salah pula. Akhirnya dia sendiri sedar yang aku memerhatikan dia sejak tadi.

“Ada masalah sikit,” katanya.

“Boleh saya tolong?” tawarku walaupun tidak tahu apa masalah dia.

Hazriq tersenyum kecil. “Tak apa, terima kasih atas tawaran awak.”

“Tapi awak selalu tolong saya dengan masalah saya. Mungkin kali ini saya boleh tolong awak,” kataku.

“Masalah ni biarlah saya selesaikan dengan dia. Sebenarnya dah tak ada masalah pun, Azzwa yang nak panjangkan hal ni. Jadi awak tak perlulah risau,” jelas Hazriq.

Keliru pula aku dengan penerangannya. Sebenarnya apa yang sudah berlaku? Tapi kalau dia cakap begitu, tak kan aku hendak menyibuk lagi?

 

 

Akhirnya aku mendaftar juga di portal mencari jodoh. Walaupun terasa malu tapi aku tebalkan muka. Aku ingatkan diri sendiri yang ini ialah salah satu cara untuk selesaikan masalah aku. Lagipun aku bukannya buat salah apa- apa pun. Tapi kerana terasa malu, aku tidak ceritakan kepada sesiapa pun. Hazriq pun tidak tahu.

Aku mula mengikuti program dengan berkenalan dengan mereka yang lain. Kemudian, selepas beberapa hari, ada seseorang yang menarik perhatianku. Seorang lelaki yang berusia hampir sebaya dan mempunyai pekerjaan tetap. Wajahnya boleh tahan. Hmm, cubalah! Memang belum kenal betul- betul tapi kalau tidak cuba, aku tidak akan tahu. Tapi harap- haraplah dia bukan pembunuh atau penyangak. Maklumlah, lain di dunia maya kadangkala lain di dunia nyata. Jadi aku minta untuk bertemu di restauran yang terkenal dan sering padat dengan pengunjung. Kalau apa- apa berlaku pun, ada ramai orang di situ.

Berdebar- debar aku menunggu hari pertemuan kami itu. Pada sebelah malam sebelum temujanji, Hazriq menelefon.

“Esok ada pameran fotografi. Kita pergi nak tak? Lepas tu saya nak ajak awak cuba makanan food truck yang sedang viral sekarang. Selalunya food truck tu lalu di situ,” kata Hazriq.

“Esok tak bolehlah,” jawabku.

“Kenapa?” Hazriq kedengaran kecewa.

“Saya…” Ah, cakap sajalah! “Ada temujanji!”

“HAH?!”

Wah, terkejut benar dia nampaknya! Aku terpaksa jauhkan sedikit telefon kerana suaranya yang kuat itu.

“Kenapa awak menjerit?” soalku dengan jengkel.

“Ah, maaf! Maaf! Saya terkejut sikit tadi. Ada…kumbang lalu depan muka!” jelas Hazriq. “Awak ada temujanji?”

“Ya,” jawabku.

“Dengan siapa?”

Aku mencapai maklumat yang telah aku cetak.

“Nizar…Aswad,” jawabku sambil membaca maklumat lain yang tertulis di situ.

“Siapa dia? Ibu ayah awak kenalkan?”

“Tak, saya cari sendiri.”

Hazriq membisu seketika. “Macam tu. Di mana?”

Banyak pula soalan dia.

“Adalah. Kenapa awak nak tahu?”

“Saja tanya. Tapi kalau saya bosan esok, mungkin saya pergi stalk awak,” jawab Hazriq dengan selamba.

“Jangan kacaulah saya nak jumpa dia!” bentakku.

“Saya berguraulah!” katanya, tergelak- gelak.

Kenapa aku dapat rasa yang dia tidak bergurau?

“Betulkah? Kadang- kadang awak ni bukan boleh percaya sikit hal- hal macam ni. Tapi saya betul- betul minta maaf pasal esok. Lain kali sajalah kita pergi, boleh tak?” tanyaku.

“Umm…baiklah.”

Aku merenung skrin telefon yang kini gelap. Sekali lagi aku termenung panjang. Betulkah keputusan yang aku ambil ni? Ah, cuba sajalah!

 

 

Sebaik saja melangkah masuk ke restauran yang ditetapkan, aku melilau mencari lelaki itu. Tapi bayangnya pun tidak nampak. Dia belum sampaikah? Tapi kerana sudah menempah meja, aku mengambil keputusan untuk menunggu saja sehingga dia sampai saja.

Dari sepuluh minit, satu jam berlalu selepas itu. Mana dia ni? Aku mengeluarkan telefon, memeriksa sama ada ada pesanan atau panggilan telefon darinya. Tapi tak ada pun. Aku cuba menghubungi dia tapi tidak diangkat. Hantar pesanan WhatsApp sajalah.

 

Assalamualaikum. Saya Rania. Saya sudah berada di restauran. Nizar belum sampaikah?

 

Hantar. Lima minit berlalu tak ada jawapan. Aku cuba sekali lagi.

 

Nizar, awak masih belum sampaikah?

 

Lama menunggu. Pun masih belum ada jawapan. Aku melihat jam. Hampir satu jam aku menunggu. Dia hendak datang atau tidak? Jarang aku menunggu begini. Aku mendengus, menaip mesej terakhir.

 

Sudah hampir satu jam saya menunggu. Awak hendak datang atau tidak?

 

Selang beberapa ketika, ada jawapan.

 

Saya tak boleh datang hari ni. Boleh tak kalau kita jumpa lain kali?

 

Dia berguraukah? Aku tidak membalas mesejnya. Selepas aku membayar minumanku, aku terus pulang. Habis masa saja aku datang. Kalau tahu, baik aku pergi jumpa Hazriq saja!

 

 

“Macam mana temujanji awak semalam?” tanya Hazriq apabila kami bertemu untuk makan tengah hari keesokkan harinya.

“Biasa saja,” balasku.

Hendak mengaku yang orang itu tidak datang? Tidak mungkin!

“Lepas ni awak nak jumpa lagi dengan dia?” tanya Hazriq lagi.

“Tak!” Aku tidak dapat menyembunyikan nada marah dalam jawapanku.

“Kenapa?” Hazriq nampak teruja.

“Kami tak sesuai!”

“Oh, okay!” Hazriq tersengih lebar.

“Jadi saya akan jumpa orang lain pula beberapa hari lagi,” kataku dengan selamba, menyebabkan Hazriq terlopong memandang aku.

“Secepat itu?” soal Hazriq.

“Secepat itu!” ulangku.

“Siapa pula kali ni?”

Nadanya kedengaran jengkel.

“Adalah, awak tak kenal pun,” jawabku.

Aku pun tidak kenal. Malah aku terlupa namanya. Nasib baik aku cetakkan maklumatnya semalam. Hazriq membisu dengan jawapanku. Aku mengerling jam. Waktu rehat sudah hampir tamat, lebih baik aku bergegas balik ke pejabat.

“Rehat dah nak habis, saya nak balik pejabat,” kataku pada Hazriq.

Lelaki itu tidak menjawab. Dia tak dengarkah? Aku bangun membayar bil untuk kami berdua. Lagipun hari ini giliran aku untuk belanja makan. Aku kembali ke meja. Hazriq masih diam, merenung ke luar tingkap.

“Awak?” panggilku.

Tidak ada jawapan.

“Awak?” panggilku lebih kuat sedikit.

Hazriq tersentak merenung aku. “Kenapa awak berdiri?”

“Waktu rehat saya hampir habislah, saya nak balik ke pejabat,” kataku.

“O-oh, sekejap saya bayarkan dulu.” Dia buru- buru bangun.

“Saya dah bayarkanlah. Kan saya yang patut belanja minggu ni,” kataku.

Dia mengusap rambut. “Betul juga. Jom, saya hantarkan sampai ke bangunan pejabat awak.”

Sepanjang jalan dia masih membisu. Kenapa pula dia ni?

“Awak ada masalah? Dari tadi awak senyap,” tanyaku.

Dia menggeleng. “Bukan macam tu.”

“Habis tu?”

“Banyak yang saya fikirkan,” jawabnya, menghela nafas.

“Contohnya apa?” soalku, hairan.

“Yang tak dapat, yang tak mahu, yang tak mungkin, yang tak pergi. Nak cuba tapi tak boleh. Susahnya nak buat keputusan,” keluh Hazriq.

Sajakkah? Aku langsung tidak faham.

“Cakaplah betul- betul, pening saya dengar,” rungutku.

Hazriq hanya tersenyum kecil tapi dia tidak menjelaskan kata- katanya tadi. Apa maksud dia sebenarnya?

Selepas menghantarku hingga ke pintu masuk, dia berlalu tanpa menjelaskan kata- katanya tadi. Aku benar- benar tertanya- tanya.

Tuesday, October 13, 2020

Bab 25

 

Aidilfitri itu ialah kali terakhir mereka pulang untuk bermalam sebelum satu Syawal. Mereka masih pulang beraya tapi setakat melawat dan tidak lagi bermalam. Selain dari hari raya pun mereka jarang pulang. Seboleh- bolehnya, kami mengelak dari bertembung.

Ibu dan ayah tidak memberi komen tentang situasi ini. Jika mereka rindukan cucu mereka, mereka akan pergi melawat Danish di rumah. Kadang- kadang ibu akan bermalam beberapa hari untuk melepaskan rindu. Sedar tidak sedar, dua tahun berlalu begitu saja.

Hidupku diteruskan seperti biasa. Biarpun terkial- kial dengan bebanan kerja dan tugasan pengajian yang makin bertambah- tambah, setakat ini aku masih mampu menangani kedua- duanya. Kerjaku dipejabat juga semakin baik apabila aku dapat menyelesaikan projek dengan sempurna. Aku juga diberi kesempatan untuk menjadi ketua dalam beberapa projek kumpulan.

Aku dan Hazriq juga masih bertemu seperti biasa. Kami banyak habiskan masa bersama. Tapi itu yang bahayanya. Aku tidak sepatutnya terlalu dekat bermain dengan api. Silap langkah aku akan terbakar nanti.

Hari itu kami bertemu seperti biasa. Hujung minggu memang banyak aku luangkan bersama dia jika aku tidak sibuk atau ada kuliah. Tapi sejak datang dia melihat skrin telefonnya. Kata hendak temankan aku hari ini tapi dia tidak habis- habis merenung telefon.

“Kenapa muka masam macam tu?” tanyaku, mengerut dahi melihat wajah Hazriq.

“Azzwa nak jumpa,” kata Hazriq.

“Bila?” tanyaku kembali.

“Sekarang tapi saya beritahu saya ada dengan awak,” jawab Hazriq.

Jadi dia hendak pergi berjumpa dengan Nurrul Azzwalah sekarang? Macam mana hendak rancangan yang kami atur hari ini? Petang nanti kami bercadang untuk ke pameran kamera yang diadakan di kawasan ini. Nampaknya terpaksalah kami pergi lain kali.

Tapi anehnya, entah kenapa, ada perasaan tidak senang timbul apabila memikirkan yang dia akan berjumpa dengan Nurul Azzwa nanti. Hesy, kenapa ni? Normallah kalau mereka hendak berjumpa. Kenapa aku kerap rasa tidak senang hati? Mungkin kerana kami selalu bersama, aku bagaikan terlupa satu perkara yang penting.

Aku bagaikan terlupa siapa sebenarnya Hazriq kepada aku.

Jadi sedarlah diri dan jangan terus berangan- angan! Dia dan aku hanya sahabat baik, tidak lebih dari itu! Jika Nurrul Azzwa hendak berjumpa dengan Hazriq, aku tidak boleh menghalang atau berperasaan yang bukan- bukan!

“Awak ni, pergilah jumpa dia! Nanti dia marah pula,” kataku.

“Nanti, bukan sekarang!” kata Hazriq. “Tak kisahlah kalau dia marah. Kalau awak nak tahu sejak akhir- akhir ni dia asyik marah saja. Lagipun, saya dah janji nak temankan awak, kan?”

Tersenyum lebar aku mendengar kata- katanya. Anehnya kata- kata yang langsung tidak ada maksud mendalam itu membuatkan aku rasa sangat gembira.

“Tak apa, saya faham,” kataku. “Jadi pergilah temankan dia. Nanti dia merajuk, susah awak nak pujuk.”

“Awak ni macam menghalau saya pula!” Muncung mulut Hazriq.

Aku tergelak kecil dengan reaksinya itu. “Tak adalah macam tu. Tapi saya tak nak awak berdua bergaduh disebabkan saya.”

“Dia tahu yang awak kawan saya,” kata Hazriq.

 “Tapi-”

Hazriq segera memotong kata- kataku. “Tak ada tapi! Sekarang saya cuma nak habiskan masa dengan awak. Saya nak makan aiskrim. Jom!”

Terus dia menonong pergi. Laju pula tu. Terkejar- kejar aku di belakang. Kalau ya pun hendak mengelak dari terus bergaduh, tak perlulah lari.

 

 

Tidak habis di situ, aku terus memikirkan tentang perasaanku tadi selepas pulang. Bagaimana ia bermula, aku sendiri tidak pasti. Mungkin sebab kami selalu berjumpa, perasaan yang tidak sepatutnya sudah berputik? Adakah aku sudah mula…

Hesy, tak kanlah!

Aku tidak sepatutnya ada perasaan yang lebih dari seorang sahabat terhadap dia. Lagipun dia sudah ada Nurrul Azzwa. Jangan fikir yang bukan- bukan!  

Hazriq memang seorang yang baik. Dia juga kelakar dan pandai mengambil hati. Setiap kali bersama dia aku rasa selamat. Adakah disebabkan semua ini perasaanku mula berubah? Aku sudah kelirukah tentang perasaan sebenar aku?

Aku sukakan diakah? Ya.

Aku selalu ingin bersama dia? Ya.

Aku selalu memikirkan dia? Umm…ya? Hesy, buat apa hendak menipu? Ya!

Aku gembira setiap kali berjumpa dia? Ya, memang ya!

Aku…cintakan dia? Err…ya? Tidak? Aku tak tahu!

Perasaan ini cintakah atau cuma sayang? Atau aku cuma perlukan seseorang di sisi aku kerana tidak ada orang lain?

Mengarutlah!

Hesy, tapi… tapi…. Hesy!!!

Ya Allah,tapi  jika benar aku cintakan dia, apa yang aku patut lakukan sekarang?

Cukuplah sekali aku kehilangan seorang sahabat baik. Kali ini aku tidak mahu sahabatku hilang hanya kerana aku ada menyimpan perasaan yang tidak sepatutnya kepada dia. Aku perlu lakukan sesuatu.

Mungkin apa yang aku perlu lakukan ialah mengubah pandanganku. Pilihan terbaik ialah mencari seorang teman lelaki. Apabila ada lelaki lain yang aku cintai, aku pasti dapat belajar melupakan perasaan yang bukan- bukan kepadanya ini. Betul tu, ini jalan paling baik!

 

 

Beberapa hari selepas itu, aku asyik memikirkan cara untuk mencari seorang lelaki untukku. Wah, macam gatal bunyinya! Tapi memang itu yang aku ingin lakukan. Habis bagaimana untuk bercinta lagi jika aku berdiam diri? Istilah perigi cari timba itu sangat sesuai sekarang untuk menggambarkan keadaanku. Ah, tapi Nabi Muhammad S.A.W. pun dipinang oleh Siti Khadijah! Jadi apa yang aku buat ini tidak salah!

Aku berkira- kira untuk mendaftar di beberapa portal mencari jodoh. Tapi takut juga hendak berjumpa orang asing dengan cara itu. Pilihan yang lain ialah meminta bantuan ibu dan ayah. Mereka pasti akan carikan seseorang yang sesuai untukku. Tapi untuk membuka mulut dan meminta bantuan mereka, aku rasa malu. Mungkin aku patut tebalkan saja muka dan cakap saja.

“Kenapa muka awak macam tu?”

Aku memandang Hazriq yang memerhatikan aku dengan dahi berkerut. Air minuman yang ditempahnya pun langsung tidak dihirup.

“Muka yang macam mana?” tanyaku kembali.

“Macam awak tengah fikirkan sesuatu,” jawab Hazriq. “Jangan fikir banyak sangat, meletup otak awak nanti!”

Aku menjeling dia, tidak membalas. Mungkin ini masa yang sesuai untuk aku beritahu dia tentang keputusan yang telah aku ambil. Aku pun teringin juga hendak tahu pendapat dia.

“Awak?” panggilku.

“Hmm?”

“Saya ingat saya nak minta ibu dan ayah carikan seorang lelaki untuk saya,” kataku.

Di luar jangkaanku, Hazriq kelihatan benar- benar terperanjat. Dia terus duduk dengan tegak, memandang aku dengan mata membulat.

“Untuk apa?” tanya Hazriq dengan suara separuh meninggi.

“Kahwinlah! Apa lagi?” Aku juga terperanjat dengan reaksinya.

“Eh..tapi…”

Kenapa pula Hazriq ni? Terkejut sangatkah kalau aku hendak kahwin? Apa yang peliknya?

“Yang awak reaksi sampai macam ni kenapa?” tanyaku dengan jengkel.

“Tak adalah!” Dia mengusap rambut. “Kenapa tiba- tiba awak nak kahwin?”

“Bukan tiba- tiba, dah lama pun saya fikir. Lagipun saya dah lama cukup umur. Dah layak pun. Sampai bila saya nak bersedih pasal majlis kahwin saya yang tak jadi tu? Lelaki tu pun dah ada anak. Dah hidup bahagia. Saya pun patut teruskan hidup juga,” jelasku.

“Macam tu.”

Itu saja komennya. Pelik sangatkah kalau aku hendak kahwin?

“Awak rasa saya tak patut buat begitu?” tanyaku.

“Buat apa?” Dia terpinga- pinga.

“Minta ibu dan ayah carikan jodoh untuk saya.”

Hazriq menjawab dengan acuh tidak acuh. “Buatlah apa yang awak suka. Ini soal masa depan awak. Tak ada kaitan dengan saya.”

Jawapan apa begitu?

“Hmm, macam tu. Nanti saya akan jemput awak ke majlis perkahwinan saya,” kataku, tiba- tiba meradang dengan sikapnya.

“Okay!”

Makin marah aku dibuatnya. Walaupun aku tahu memang bukan salah dia, aku masih tidak dapat menahan diri dari rasa marah dan kecewa. Hmm, apa yang aku harapkan? Tak kan dia hendak menghalang aku dari berkahwin? Dia bukannya ada perasaan kepada aku. Lagipun dia sudah ada Nurrul Azzwa di hatinya. Sejak awal lagi aku patut sedar. Tapi kenapa aku rasa marah bila dia tidak membantah jika aku hendak berkahwin? Anehnya semua ini buat aku rasa tidak senang hati!

“Saya nak balik,” kataku tiba- tiba.

“Kenapa? Makan pun belum!” Hazriq nampak terkejut.

“Tak jadi! Ada hal di rumah secara tiba- tiba! Nanti awak makanlah bahagian saya,” jawabku.

“Nanti!” Hazriq bangun mengikutku. “Kenapa dengan awak?”

“Tak ada apa- apa. Lain kalilah kita jumpa.”

Cepat- cepat aku berjalan ke kereta. Hazriq cuba untuk mengikut tapi pelayan restauran telah menahannya kerana makanan kami belum dibayar. Kesempatan itu aku gunakan untuk masuk ke kereta dan memandu pulang.

 

 

Malu pula apabila di fikirkan sikapku tadi. Sudahlah tidak rasional, cemburu tidak bertempat. Lepas tu aku balik macam itu saja. Aku sendiri cakap yang aku patut belajar lupakan perasaan yang tidak sepatutnya pada dia, tapi sekarang aku bergaduh dengan dia pula. Pasti dia keliru dengan sikapku.

Hesy, apa yang aku fikirkan tadi!

Tapi mengeluh pun tidak berguna. Sekarang macam mana aku hendak selesaikan perkara ini? Lebih baik aku telefon Hazriq untuk meminta maaf. Aku tidak mahu kehilangan dia hanya kerana tindakan bodohku tadi.

Lama juga aku menunggu dia mengangkat telefon. Marahkah dia pada aku sampai panggilan aku pun tidak terjawab? Mungkin aku patut cuba lain kali. Biar hatinya sejuk dahulu. Tapi belum sempat aku memutuskan talian, Hazriq menjawab panggilanku.

“Assalamualaikum,” katanya dengan termengah- mengah.

“Waalaikumsalam,” jawabku dengan dahi berkerut. “Kenapa dengan awak?”

“Saya berlari dari tingkat atas ke bawah. Saya tak perasan telefon berbunyi. Penat juga saya berlari,” jawab Hazriq apabila dia dapat bernafas seperti biasa.

“Awak sibukkah?” tanyaku.

“Tak adalah. Kenapa?”

Aku menarik nafas. “Saya nak minta maaf pasal tadi. Saya harap awak tak tersinggung dengan perangai saya tadi.”

Hazriq membisu seketika. “Awak ingat senang- senang saya nak maafkan awak? Dah la marah saya, lepas tu tinggal macam tu saja. Bil pun tak bayar!”

“Huh?” Terkejut aku mendengarnya.

Lupa pula masa aku balik, aku tidak bayar pun makanan kami. Kali ini giliran aku untuk belanja pula tu.

“Saya minta maaf awak! Saya betul- betul lupa tadi!” kataku.

“Kalau awak nak saya maafkan awak, belanja saya makan minggu ni,” katanya.

“Belanja makan?”

“Ya, itu saja!” jawab Hazriq.

“Senangnya,” komenku. “Tadi cakap macam betul- betul marah. Saya ingat awak nak saya buat apa tadi. Tak apa, nanti saya belanja awak.”

“Heh, macamlah saya boleh marahkan awak! Hal kecillah, tak perlu simpan dalam hati. Tentang bil tadi pun tak payahlah risau. Saya belanja kali ni,” balas Hazriq.

Hesy, bergurau pula dia! Aku ingatkan dia memang betul- betul serius tadi.

“Awak ni buat saya terkejut tau tak? Saya betul- betul ingat awak marahkan saya,” kataku.

Hazriq tergelak kecil. “Tapi seronok bila mengusik awak.”

“Awak yang seronok, saya tak rasa seronok pun!” bentakku.

“Ya, sebab tu lah saya yang mengusik,” kata Hazriq.

Amboi, seronok betul dia! Geram juga aku dibuatnya.

“Ya lah, saya belanja awak nanti!” kataku, mengalah akhirnya.

“Saya nak makan steak di hotel lima bintang,” selorohnya.

“Jangan nak mengada- ngada!” jawabku, membuatkan dia tergelak.

“Tapi awak seriuskah tentang apa yang awak cakap tu?” tanya Hazriq setelah tawanya reda.

“Tentang apa?” tanyaku.

“Tentang kahwin tu.”

“Ya,” jawabku dengan jujur.

“Dengan siapa?” Hazriq seperti serius.

“Entahlah, saya tak tahu lagi. Sebab tu saya nak mula mencari,” jawabku.

“Tapi tak apakah kahwin dengan orang yang awak tak kenal? Awak tak kenal dia sebenarnya bagaimana.”

“Bertahun- tahun saya bercinta dengan Furqan tapi saya tetap tidak kenal dia juga akhirnya. Jadi apa bezanya berkahwin dengan orang yang memang saya tak kenal?” soalku.

Hazriq diam seketika. “Tapi bukan semua orang seperti Furqan. Masih ada lelaki yang boleh hargai awak seadanya.”

“Kalau benar dia ada, saya masih belum jumpa dia.”

Kali ini nampaknya dia tidak ada jawapan untuk itu kerana dia membisu.

“Lain kalilah kita berbual tentang hal ini. Saya pun nak tidur awal malam ni,” kataku.

“Hmm, baiklah. Kita jumpa untuk makan sama- sama esok. Saya akan ke kawasan pejabat awak,” kata Hazriq. “Mimpikan saya malam ni?”

“Kenapa pula?” soalku.

“Wajah kacak saya ni akan buatkan mimpi awak jadi indah,” jawabnya.

“Itu benda paling mengarut pernah saya dengar,” kataku dengan mendatar. “Gelinya!”

Hazriq tergelak besar. “Kita jumpa esok. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Mimpikan dia? Heh, mengarut betul!

 

 

“Saya dah jumpa lelaki yang sesuai untuk awak,” kata Hazriq, merenung wajahku.

“Siapa?” tanyaku penuh tanda tanya.

Dia menunjuk dirinya. “Saya!”

Wah, terkejut aku dibuatnya! Sebelum sempat aku membalas, seorang wanita tiba- tiba muncul dan menamparku dengan kuat. Terus aku terjaga.

Wanita tadi Nurrul Azzwakah? Aku tidak nampak wajahnya tapi aku boleh rasa yang dia memang betul- betul marah. Walaupun mimpi terasa bagaikan benar- benar ditampar. Aku segera meraba pipi. Tak sakit, nasib baik cuma mimpi.

Ini semua salah Hazriq! Sebab dia cakap macam tu lah aku boleh sampai terbawa- bawa ke dalam mimpi! Hmmp! Aku terus merebahkan badan kembali, menarik selimut dengan rasa marah. Lebih baik aku tidur. Esok aku perlu pergi kerja.