“Esok awak ada temujanji lagi?” tanya Hazriq.
“Ya,” jawabku, bingkas bangun menuju ke tingkap. Sejak
tadi berbaring sambil berbual di telefon, terasa lenguh pula.
Selepas hari itu, ini temujanji kali yang keempat,
kelima atau keenam? Entahlah, aku pun sudah lupa. Lagipun aku bertemu dengan
orang lain setiap kali. Secara jujur aku mula rasa bosan. Tapi aku ingatkan
diri yang aku tidak boleh mengalah.
Berbeza dengan temujanji pertama, temujanji seterusnya
lebih memuaskan hati. Setakat ini tidak ada masalah. Masing- masing juga beria
untuk mencuba. Ya lah, apa gunanya menyertai portal mencari jodoh jika tidak
mahu mencuba mencari jodoh. Masalahnya ialah pada aku.
Setiap kali, pasti ada saja yang tidak kena. Ada saja
kekurangan mereka. Aku bukannya mencari lelaki yang sempurna tapi ada sesuatu
yang aku rasakan tidak kena pada setiap kali. Jadi apabila mereka minta untuk
pertemuan kedua, aku tolak dengan baik.
“Maaf, awak memang baik! Tapi saya rasa kita tak ada
sefahaman!”
“Maaf, awak memang baik! Tapi saya tak rasa kita
serasi!”
“Maaf, awak memang baik! Tapi entahlah, saya pun tak
faham kenapa!”
Aku ulang- ulang alasan itu beberapa kali bagaikan
membaca skrip.
“Good luck!”
kata Hazriq.
“Perlikah?” soalku, jengkel.
“Habis awak nak saya cakap apa?” soal Hazriq kembali.
“Jangan pergi! Ramai buaya! Nanti awak kena makan! Jangan!!!”
“Mengarutlah awak ni!” cemuhku.
Hazriq tergelak. “Saya tak ada apa nak cakap. Ini yang
awak nak buat, jadi saya cuma berikan sokongan untuk awak.”
“Sahabat yang baik katakan,” sindirku.
“Betul!” kata Hazriq, langsung tidak faham sindiranku.
Aku mendengus. Sakit hati pula dengan sikap dia. Tapi
apa lagi yang dia hendak katakan?
“Tak apalah, saya nak tidur awal,” kataku.
“Betulkah?” soal Hazriq.
“Kenapa pula tidak?” soalku hairan.
“Hari tu pun cakap hendak tidur awal. Esoknya awak
datang kerja dengan mata panda. Kali ni apa pula masalah awak?” tanya Hazriq.
Teringat hari tu dan mimpi aneh tentang aku, Hazriq
dan Nurrul Azzwa. Esoknya aku ke tempat kerja dengan mata yang bengkak kerana
tidak dapat tidur kembali selepas itu. Hazriq yang datang untuk mengajakku
makan tengah hari ketawakan aku hampir setengah jam. Katanya mataku bagaikan
panda.
“Kali ni tak ada apa- apa masalah!” kataku, hampir
menjerit menjawab.
“Kenapa pula awak menjerit?” soal Hazriq, terkejut
dengan jawapanku.
“Tak ada apa- apa! Assalamualaikum!”
Terus aku putuskan talian. Kenapa pula dia ingatkan
aku tentang hal tu? Jangan aku mimpi lagi perkara yang sama sudahlah!
Untungnya
kali ini tidak ada mimpi aneh seperti hari itu. Selepas bersarapan, aku keluar
mencari restauran tempat pertemuan kami nanti. Sebaik saja aku masuk, seorang
lelaki sudah menunggu di meja yang ditempah. Dia berdiri apabila melihat aku menghampirinya
dengan wajah penuh tanda tanya.
“Cik Rania?” tanyanya.
“Ya, saya,” jawabku. “Encik Faiz?”
Dia mengangguk, menampakkan lesung pipitnya yang dalam
di kedua- dua pipi.
“Panggil saya Faiz saja. Jemputlah duduk,” katanya.
“Awak pun boleh panggil saya Rania saja,” kataku,
mengambil tempat di kerusi bertentangan. “Dah lamakah awak sampai?”
“Tak lah, baru saja. Awak nak order makanan tak?” Faiz
menghulurkan menu kepadaku.
Selepas memesan makanan, aku cuba mentafsir lelaki di
hadapanku. Entah kenapa dia mengingatkan aku kepada Hazriq. Ah, tak sama! Dia
tersenyum apabila melihat aku memerhatikan dia.
“Kenapa tengok saya macam tu?” tanyanya.
Aku segera memandang meja. “Maaf, saya tak ada maksud
lain. Cuma awak mengingatkan saya pada kawan saya.”
“Kawan awak dah ke mana?” tanya Faiz, dahi berkerut.
“Kenapa pula saya macam dia?”
“Ada, dia di rumah agaknya. Perangai dan wajah awak
hampir sama macam dia,” jawabku.
Faiz tersenyum herot. “Ah, pasti saya lebih kacak dan
bergaya!”
Raut wajahnya menunjukkan dia sebenarnya bergurau.
Tapi cara dia bergurau pun hampir sama dengan Hazriq. Aku tersenyum kecil.
“Ya, lebih sikit!” jawabku walaupun aku tidak berapa
bersetuju sebenarnya.
Makanan sampai membuatkan kami berbual kecil sambil
makan. Topik perbualan cuma tentang kerja dan hal yang remeh- temeh. Walaupun
baru bertemu, aku bagaikan sudah lama kenal dia. Mungkin juga kerana dia hampir
sama dengan Hazriq. Hesy, kenapa pula aku asyik ingatkan lelaki itu? Sudah-
sudahlah! Fokus pada orang di hadapan aku ni!
Selesai makan, aku mula buntu tentang apa yang aku
hendak lakukan selepas ini. Tak kan aku hendak ajak dia bersiar- siar?
“Awak hendak ke mana nanti?” tanya Faiz, bagai
mengerti apa yang bermain di mindaku.
“Entahlah, saya tak ada rancangan lain,” jawabku
jujur.
Faiz diam seketika. “Kalau macam tu, terima kasih
sebab sudi jumpa saya hari ni.”
“Sama- sama, saya pun sama juga,” jawabku.
Aku menunggu ayat, ‘boleh kita jumpa lagi?’ tapi dia
tidak suarakan.
“Sebenarnya saya memang hendak minta kita bertemu
sekali lagi. Tapi sekarang saya rasa itu bukan keputusan terbaik,” kata Faiz.
Eh, pertama kali begini! Aku ada buat salahkah
sepanjang pertemuan kami tadi? Soalan itu aku suarakan kepadanya.
Faiz segera menjawab. “Bukan, awak tak buat salah apa
pun! Malah saya rasa, awaklah yang terbaik yang saya ketemui dari portal
mencari jodoh tu!”
“Habis kenapa?” soalku, benar- benar ingin tahu.
“Macam mana awak boleh sertai portal ni?” soalnya kepadaku
kembali.
“Saya nak cari pasangan hidup,” jawabku jujur.
“Saya pun sama,” jawab Faiz. “Tapi saya boleh rasakan
yang awak sama seperti saya.”
“Apa yang sama?” soalku hairan.
Faiz tersenyum kecil. “Hati kita berdua sebenarnya sudah
dicuri!”
Terkejut aku mendengar kata- kata dia.
“Apa yang…”
Aku tidak jadi bertanya. Lama juga aku merenung dia.
Jelas sangatkah hal itu sampai dia pun boleh perasan?
“Sebab saya pun sebenarnya ada seseorang yang istimewa
di hati saya,” jawab lelaki itu dengan tenang.
“EH???”
Aku segera menekup mulut, memandang ke sekeliling.
Suaraku yang agak kuat tadi membuatkan pelanggan lain memandang- mandang kami.
Faiz tergelak kecil dengan kelakuanku. Hesy, malunya!
Aku berdehem, cuba untuk menenangkan diri kembali.
“Macam mana awak boleh cakap macam tu? Seingat saya saya tak ada pun cakap apa-
apa tentang hal tu.”
“Sebab sepanjang kita berbual, awak kadang- kadang
mengerling telefon awak. Awak harapkan dia akan menelefon atau bertanya. Tak
kira siapa pun yang awak jumpa, awak akan bandingkan dia dengan mereka. Saya
rasa saya pun sudah dibandingkan juga. Hasilnya sama setiap kali, kan? Jadi tak
kira siapa pun yang awak jumpa, tidak ada seorang pun yang lebih baik dari
orang yang ada di hati awak tu,” kata Faiz.
Aku tidak menjawab, tetapi aku rasa raut wajahku sudah
cukup untuk memberi jawapan kerana lelaki itu mengukir senyuman. Tapi aku masih
berdegil untuk mengakui apa- apa.
“Tapi macam mana awak boleh yakin? Awak tak tahu pun
apa- apa tentang saya,” kataku.
“Mungkin saya tak tahu apa- apa tentang awak tapi awak
sendiri tak menidakkan kata- kata saya sejak tadi,” jelas Faiz, tersenyum
lebar.
Terkena juga aku rupanya. Tapi betulkah apa yang dia
cakap? Dia juga sama?
Faiz menghela nafas, memandang ke luar tingkap. “Dia
sahabat baik saya sejak kecil. Tapi sejak dulu dia tak pernah cakap apa- apa
pun tentang sukakan saya. Dia sendiri ramai teman lelaki. Jadi saya pendamkan
perasaan saya. Saya takut kalau saya luahkan, saya akan hilang sahabat baik
saya kalau dia menolak. Kami pasti tak boleh kembali macam dulu lagi.”
Ceritanya hampir sama denganku. Jadi dia pasti
mengerti apa yang aku rasakan.
“Jadi awak harap awak akan jumpa seseorang yang boleh
mengubah perasaan awak. Sebab tu awak sertai portal ni?” tanyaku.
Faiz mengangguk. “Awak juga, kan?”
“Ya,” jawabku dengan perlahan, mengaku juga akhirnya.
Tetapi aku dapat rasa lega kerana dapat luahkan apa
yang terbuku kepada seseorang. Selama ini aku pendamkan saja kerana aku tidak
tahu hendak beritahu kepada sesiapa. Lagipun aku tidak fikir semua akan
mengerti.
“Jadi apa yang awak nak buat lepas ni?” tanyaku.
Faiz menghela nafas. “Saya rasa saya dah puas larikan
diri. Saya rasa saya nak jumpa dia selepas ni, saya nak cuba luahkan perasaan
saya. Kalau nasib saya baik, mungkin dia pun sama macam saya.”
“Baguslah kalau macam tu,” komenku.
“Awak pula macam mana?” tanya Faiz.
“Situasi saya tak sama, dia dah ada seseorang yang
istimewa. Kalau saya luahkan perasaan, mungkin dia tidak dapat terima. Hubungan
kami mungkin akan jadi kekok nanti,” jawabku.
“Saya boleh faham. Kalau macam tu, saya ucapkan
selamat berjaya. Semoga nasib awak akan lebih baik nanti, tidak kira bersama
dengan dia atau dengan orang lain,” kata Faiz.
“Saya juga ucapkan selamat berjaya kepada awak. Jika
benar jodoh awak dengan dia, insya Allah awak akan bersama dengan dia juga.”
Faiz tersenyum dengan kata- kataku. Dari pertemuan
mencari jodoh, nampaknya aku menemui seseorang yang senasib.
“Saya bayarkan makanan kita,” tawarku.
“Tak apa, saya yang bayarkan,” bantah Faiz.
“Osom?” usulku, tersenyum.
Faiz tersenyum. “Osom!”
Dia yang menang. Selepas itu, Faiz menghantarku hingga
ke kereta.
“Terima kasih untuk hari ini,” kata Faiz.
“Terima kasih untuk awak juga,” kataku.
Faiz menghela nafas, tersenyum lebar. “Harap- harap
nasib awak akan lebih baik nanti. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Masuk ke dalam kereta, aku menerima pesanan WhatsApp
dari Hazriq.
Assalamualaikum.
Awak sibukkah? Masih ada dengan dia?
Tidak ada apa yang lucu tapi tiba- tiba aku tergelak.
Dia mencari aku ketika aku hendak mencari dia.
Kenapa? Nak jumpa
sayakah? Saya tak ada dengan dia sekarang.Kami dah balik pun.
Selang beberapa saat dia membalas.
Ya,
mestilah nak jumpa!Awak di mana sekarang?
Saya baru balik.
Memang nak jumpa awak pun. Awak di mana?
Saya
tunggu awak di kafe yang kita selalu jumpa.
Baiklah.
Aku meletakkan telefon ke bahagian penumpang,
tersenyum sendiri. Enjin kereta segera aku hidupkan. Tiba- tiba terasa hendak memandang
wajahnya secara berdepan.
Hazriq
sedang bercakap di telefon ketika aku sampai. Dia tersenyum apabila nampak aku,
mengisyaratkan agar aku duduk sementara menunggu dia habis berbual. Aku dapat
rasakan dia sedang berbual dengan Nurrul Azzwa. Terasa semangat yang berkobar-
kobar untuk bertemu dengan dia tadi tiba- tiba malap.
Aku memerhatikan Hazriq, berfikir tentang kata- kata
Faiz tadi. Jika Faiz enggan melarikan diri lagi, aku tidak fikir aku boleh buat
keputusan yang sama. Sekarang pun dia masih lagi berbual dengan Nurrul Azzwa.
Tiba- tiba rasa cemburu yang teramat sangat kepada gadis itu. Pasti bahagia
kerana dicintai oleh lelaki seperti Hazriq.
Aku mengeluh, kembali merenung ke meja. Sudah-
sudahlah melihat dia. Buat apa rasa cemburu dan sakit hati yang tidak
bertempat. Tak kan aku hendak mencuba untuk jadi orang ketiga? Telefonku
bergetar. Aku segera melarik skrin, membaca pesanan WhatsApp yang dihantar oleh
Faiz.
Dia
terima.
Itu saja yang ditulis Faiz. Aku tersenyum, membalas
mesejnya dengan mengucapkan tahniah. Nasibnya lebih baik daripada aku. Aku
mengerling Hazriq yang masih berbual di telefon dengan Nurrul Azzwa, kemudian
mengeluh sekali lagi.
“Kenapa dengan awak ni?” tanya Hazriq yang tiba- tiba
kembali duduk di depanku.
Aku menggeleng. “Tak ada apalah.”
“Saya pernah dengar, kalau perempuan jawab tak ada apa
tu, maksudnya seribu benda yang bersarang di kepala. Apa dah jadi? Temujanji
yang teruk lagi?” tanya Hazriq.
“Tak lah, dia baik sebenarnya,” jawabku. “Paling baik
yang saya jumpa setakat ni!”
“Oh, jadi kenapa?”
“Itulah, susah nak cakap,” keluhku.
Hazriq mengerut dahi. “Apa yang susahnya?”
“Saya dan dia tak boleh bersama. Dia sendiri ada orang
lain.”
“Eh, habis kenapa pergi perjumpaan macam tu?” soal
Hazriq.
“Sebab dia nak cari seseorang. Dia tak dapat luahkan
perasaan. Masa jumpa saya tiba- tiba dia buat keputusan nak luah perasaan pada
gadis tu.”
“Macam tu pula.”
Aku mengangguk. “Saya faham perasaan dia.”
“Jadi sebab tu kah muka awak masam macam ni?” soal
Hazriq. “Awak sebenarnya tertarik dengan dia tadi?”
Soalan itu di tanya dengan nada yang kurang
menyenangkan. Aku terus memandang dia.
“Saya rasa sedihlah!” kataku.
“Kenapa?”
“Sebab saya saja yang tak bertuah lagi!”
Hazriq tiba- tiba tergelak.
“Apa yang lucunya?” soalku dengan jengkel.
“Nada awak tu macam awak ni malang sangat. Nasib awak
tak seburuk itulah,” kata Hazriq.
“Apa yang baiknya? Setakat ni semuanya tak baik,”
rungutku.
Kahwin tak jadi. Cari pasangan pun tak jumpa. Hazriq
pun aku tak dapat miliki! Malangnya!
“Awak ada keluarga, ada kerja. Bersyukurlah untuk semua
tu. Jodoh awak ada. Malah saya yakin ada lelaki yang akan sayangkan awak
sepenuhnya. Cuma sekarang mungkin awak tak jumpa lagi. Jadi jangan cakap
semuanya tak baik. Macam tak bersyukur!” nasihat Hazriq.
“Kata- kata awak tu betul, tapi saya tak rasa juga gembira
pun!”
Aku kembali sugul, merenung meja dengan menopang dagu.
Hazriq menghela nafas, seperti menahan diri dari ketawakan aku. Seketika
kemudian, dia bangun.
Cari susah, bila dah jumpa pun susah. Serabut kepala
aku!
Hazriq kembali duduk bertentangan denganku dengan
bibir masih tersenyum. Di tangannya ada semangkuk besar aiskrim, yang
kemudiannya ditolak ke arahku. Aku menjungkit kening kepadanya.
“Untuk saya?” soalku.
“Mestilah untuk awak!” jawabnya.
“Kenapa tiba- tiba belanja aiskrim?” soalku lagi.
“Supaya manisnya meresap ke wajah awak. Tak lah monyok
lagi macam ni,” jawab Hazriq.
Euww, dia hendak memujuk akukah dengan ayat
menggelikan macam tu? Tapi aku capai mangkuk aiskrim itu juga. Hmm, sedap!
Hazriq tergelak melihat reaksiku.
“Sedapkah?” tanya Hazriq.
“Aiskrim mestilah sedap!” jawabku.
“Happy sikit?”
Aku mengangguk.
Hazriq menghela nafas, kali ini dia pula menopang dagu
merenung aku yang cuba menghabiskan aiskrim.
“Saya tak boleh nak janji yang nasib awak akan jadi
lebih baik, itu urusan Allah. Tapi sebagai kawan awak, saya boleh janji satu
perkara dengan awak. Tak kira apa pun nanti, saya akan cuba berada di sisi
awak,” kata Hazriq.
“Betulkah?” tanyaku, juga menopang dagu merenungnya
kembali.
Hazriq mengangguk. “Ini janji saya!”
“Betulkah?” ulangku, kali ini lebih perlahan.
Laju saja dia mengangguk. Aku tersenyum sendiri
melihat reaksinya. Memanglah dia janji begitu tapi aku pasti selepas dia
sendiri berkahwin dengan kekasihnya, janji itu pasti sukar dilaksanakan. Tapi
buat masa sekarang, cukuplah kalau aku rasa gembira begini.
“Awak tak nak makankah?” tanya Hazriq, mengerling
aiskrimku. “Dah cair.”
“Saya makanlah ni!” jawabku.
“Tak nak makan bagi saya,” kata Hazriq, menghulurkan
tangan untuk menarik mangkuk itu.
“Tak boleh! Buruk siku!” cemuhku, menarik mangkuk
aiskrim lebih rapat.
“Kedekut!”
Aku pura- pura tidak mendengar. Tapi dia hanya
tersenyum. Aku sedar yang saat- saat begini, antara aku dan dia tidak akan
kekal. Jadi biarkan aku menikmatinya, biarpun hanya untuk seketika.
No comments:
Post a Comment