Wednesday, October 14, 2020

Bab 26

 

Bercakap memang senang tapi untuk melaksanakannya itulah yang payah. Mencari seorang teman hidup bukan seperti membeli ikan di pasar. Pilih, bayar, kemudian bawa balik rumah. Selesai! Hah, kalau semudah itu aku tidak perlulah susah- susah berfikir!

Aku masih belum beritahu ibu dan ayah. Banyak kali telah aku cuba sebenarnya. Tapi setiap kali aku cuba suarakan, masalah yang sama tetap timbul. Setiap kali aku cuba, setiap kali itu juga aku rasakan wajahku merah. Malunya usah dicakap! Akhirnya hingga sekarang aku masih memendam soalan itu dari pengetahuan mereka. Bagaimana mereka yang berkahwin dengan meminta ibu dan ayah mereka carikan calon lakukannya? Mereka tak seperti akukah? Mereka tidak ada rasa apa- apakah?

Hazriq sendiri tidak habis- habis bertanya. Sejak aku beritahu hasratku untuk berkahwin, dialah yang paling sibuk.

“Awak dah beritahu ibu dan ayah awak?” tanya Hazriq.

“Belum, malulah!” Muncung aku menjawab soalannya itu.

Hazriq tergelak kecil. “Nak kahwin pun malu! Nak bantuan Power Ranger tak?”

“Kenapa? Awak nak beritahu mereka bagi pihak saya? Mereka kenal awak pun tak,” balasku, menjungkit kening.

“Saya boleh cari cara!” kata Hazriq dengan yakin.

“Tak payah!” kataku, menjegilnya. “Masalah sekarang pun dah banyak, buat apa hendak tambah lagi?”

“Awak yang mula- mula nak masalah ni!” bidas Hazriq dengan selamba.

“Sekarang saya tak nak!”

Hazriq tersenyum. “Habis tu macam mana masalah awak akan selesai nanti?”

Aku merenung dia dengan jengkel. Beria- ia pula dia hendak aku kahwin. Terasa sakit hati dengan sikapnya.

“Awak tak kisah?” tanyaku.

“Tentang apa?” tanya Hazriq kembali.

“Bila saya jadi tunangan awak, kita tak boleh jumpa selalu macam ni. Saya tak mahu pisang berbuah dua kali. Saya pun nak cepatkan majlis perkahwinan. Kalau suami saya tak benarkan saya jumpa awak, saya mungkin akan dengar kata- kata dia,” kataku.

Hazriq membisu seketika. “Mestilah saya kisah.”

Perlahan saja dia menjawab. Pun begitu hatiku berbunga- bunga. Kenapalah aku rasa seronok sangat dengan ayat itu?

Dia menghela nafas, merenungku. “Saya akan rindukan awak jika awak berkahwin nanti.”

“Cuma rindu?” desakku.

Aku ingin mendengar lebih dari itu keluar dari mulutnya. Tapi Hazriq tidak menjawab. Terasa kecewa pula dengan sikapnya. Ah, tapi apa yang aku harap dia akan katakan? Yang dia tidak mahu aku berkahwin?

“Kalau boleh saya tak mahu awak berkahwin.”

Terkejut aku mendengar kata- kata itu. Dia maksudkannyakah? Benarkah dia yang cakap tadi? Aku memang tak salah dengar, kan?

“Apa maksud awak?” tanyaku dengan dada yang berdebar- debar.

Hazriq yang sedar aku sedang merenungnya dengan mata membulat terus gesa- gesa menyambung. “Maksud saya, saya memang harap dapat bersama dengan awak selamanya. Tapi saya tahu sebagai kawan, saya patut mendoakan kebahagiaan awak. ”

Perkataan ‘kawan’ itu menghiris hati. Tapi aku paksa diri untuk tersenyum. Ini realiti, jangan terus bermimpi!

“Sebab kita kawan!” kataku.

“Sebab kita kawan!” ulang Hazriq.

Suasana bening menyelubungi kami berdua. Masing- masing memikirkan hal sendiri. Hazriq mengelamun entah apa, dari tadi mengacau minumannya dengan straw. Pandangannya terarah ke luar tingkap. Aku pula asyik memikirkan tentang ‘kalau’. Kalau perasaan Hazriq juga sama sepertiku. Kalau dia tidak ada Nurrul Azzwa. Kalau aku dan dia bukan setakat sahabat.

Tapi itulah, cuma ‘kalau’. Aku cuma dapat berfikir, tapi sukar untuk aku jadikan kenyataan. Sebab itulah aku perlu segera mencari penyelesaian. Tak boleh terus begini.

Telefon Hazriq yang diletakkan di atas meja bergetar. Nama Azzwa terpamer di skrin. Dia merenung skrin sebelum melarik untuk menjawab. Terasa seperti mencuri dengar perbualan mereka. Tapi apa boleh aku buat? Hazriq memilih untuk bercakap di sini. Patutkah aku yang bangun ke tempat lain? Oh, kekoknya!

“Saya ada dengan Rania sekarang,” katanya.

Mendengar namaku disebut, aku berpaling memandang dia. Tapi Hazriq memandang ke luar tingkap. Dia kelihatan benar- benar serius. Mereka bergaduhkah? Hesy, jangan sibuk dengan masalah orang lain!

“Keputusan saya tetap sama, macam yang saya beritahu awak. Nanti kita bercakap lagi. Tak, lebih baik bercakap berdepan dari berbual macam ni. Tak ada kesudahan! Assalamualaikum!”

Hazriq memutuskan talian. Dia masih lagi kelihatan serius. Hendak tegur terasa serba- salah pula. Akhirnya dia sendiri sedar yang aku memerhatikan dia sejak tadi.

“Ada masalah sikit,” katanya.

“Boleh saya tolong?” tawarku walaupun tidak tahu apa masalah dia.

Hazriq tersenyum kecil. “Tak apa, terima kasih atas tawaran awak.”

“Tapi awak selalu tolong saya dengan masalah saya. Mungkin kali ini saya boleh tolong awak,” kataku.

“Masalah ni biarlah saya selesaikan dengan dia. Sebenarnya dah tak ada masalah pun, Azzwa yang nak panjangkan hal ni. Jadi awak tak perlulah risau,” jelas Hazriq.

Keliru pula aku dengan penerangannya. Sebenarnya apa yang sudah berlaku? Tapi kalau dia cakap begitu, tak kan aku hendak menyibuk lagi?

 

 

Akhirnya aku mendaftar juga di portal mencari jodoh. Walaupun terasa malu tapi aku tebalkan muka. Aku ingatkan diri sendiri yang ini ialah salah satu cara untuk selesaikan masalah aku. Lagipun aku bukannya buat salah apa- apa pun. Tapi kerana terasa malu, aku tidak ceritakan kepada sesiapa pun. Hazriq pun tidak tahu.

Aku mula mengikuti program dengan berkenalan dengan mereka yang lain. Kemudian, selepas beberapa hari, ada seseorang yang menarik perhatianku. Seorang lelaki yang berusia hampir sebaya dan mempunyai pekerjaan tetap. Wajahnya boleh tahan. Hmm, cubalah! Memang belum kenal betul- betul tapi kalau tidak cuba, aku tidak akan tahu. Tapi harap- haraplah dia bukan pembunuh atau penyangak. Maklumlah, lain di dunia maya kadangkala lain di dunia nyata. Jadi aku minta untuk bertemu di restauran yang terkenal dan sering padat dengan pengunjung. Kalau apa- apa berlaku pun, ada ramai orang di situ.

Berdebar- debar aku menunggu hari pertemuan kami itu. Pada sebelah malam sebelum temujanji, Hazriq menelefon.

“Esok ada pameran fotografi. Kita pergi nak tak? Lepas tu saya nak ajak awak cuba makanan food truck yang sedang viral sekarang. Selalunya food truck tu lalu di situ,” kata Hazriq.

“Esok tak bolehlah,” jawabku.

“Kenapa?” Hazriq kedengaran kecewa.

“Saya…” Ah, cakap sajalah! “Ada temujanji!”

“HAH?!”

Wah, terkejut benar dia nampaknya! Aku terpaksa jauhkan sedikit telefon kerana suaranya yang kuat itu.

“Kenapa awak menjerit?” soalku dengan jengkel.

“Ah, maaf! Maaf! Saya terkejut sikit tadi. Ada…kumbang lalu depan muka!” jelas Hazriq. “Awak ada temujanji?”

“Ya,” jawabku.

“Dengan siapa?”

Aku mencapai maklumat yang telah aku cetak.

“Nizar…Aswad,” jawabku sambil membaca maklumat lain yang tertulis di situ.

“Siapa dia? Ibu ayah awak kenalkan?”

“Tak, saya cari sendiri.”

Hazriq membisu seketika. “Macam tu. Di mana?”

Banyak pula soalan dia.

“Adalah. Kenapa awak nak tahu?”

“Saja tanya. Tapi kalau saya bosan esok, mungkin saya pergi stalk awak,” jawab Hazriq dengan selamba.

“Jangan kacaulah saya nak jumpa dia!” bentakku.

“Saya berguraulah!” katanya, tergelak- gelak.

Kenapa aku dapat rasa yang dia tidak bergurau?

“Betulkah? Kadang- kadang awak ni bukan boleh percaya sikit hal- hal macam ni. Tapi saya betul- betul minta maaf pasal esok. Lain kali sajalah kita pergi, boleh tak?” tanyaku.

“Umm…baiklah.”

Aku merenung skrin telefon yang kini gelap. Sekali lagi aku termenung panjang. Betulkah keputusan yang aku ambil ni? Ah, cuba sajalah!

 

 

Sebaik saja melangkah masuk ke restauran yang ditetapkan, aku melilau mencari lelaki itu. Tapi bayangnya pun tidak nampak. Dia belum sampaikah? Tapi kerana sudah menempah meja, aku mengambil keputusan untuk menunggu saja sehingga dia sampai saja.

Dari sepuluh minit, satu jam berlalu selepas itu. Mana dia ni? Aku mengeluarkan telefon, memeriksa sama ada ada pesanan atau panggilan telefon darinya. Tapi tak ada pun. Aku cuba menghubungi dia tapi tidak diangkat. Hantar pesanan WhatsApp sajalah.

 

Assalamualaikum. Saya Rania. Saya sudah berada di restauran. Nizar belum sampaikah?

 

Hantar. Lima minit berlalu tak ada jawapan. Aku cuba sekali lagi.

 

Nizar, awak masih belum sampaikah?

 

Lama menunggu. Pun masih belum ada jawapan. Aku melihat jam. Hampir satu jam aku menunggu. Dia hendak datang atau tidak? Jarang aku menunggu begini. Aku mendengus, menaip mesej terakhir.

 

Sudah hampir satu jam saya menunggu. Awak hendak datang atau tidak?

 

Selang beberapa ketika, ada jawapan.

 

Saya tak boleh datang hari ni. Boleh tak kalau kita jumpa lain kali?

 

Dia berguraukah? Aku tidak membalas mesejnya. Selepas aku membayar minumanku, aku terus pulang. Habis masa saja aku datang. Kalau tahu, baik aku pergi jumpa Hazriq saja!

 

 

“Macam mana temujanji awak semalam?” tanya Hazriq apabila kami bertemu untuk makan tengah hari keesokkan harinya.

“Biasa saja,” balasku.

Hendak mengaku yang orang itu tidak datang? Tidak mungkin!

“Lepas ni awak nak jumpa lagi dengan dia?” tanya Hazriq lagi.

“Tak!” Aku tidak dapat menyembunyikan nada marah dalam jawapanku.

“Kenapa?” Hazriq nampak teruja.

“Kami tak sesuai!”

“Oh, okay!” Hazriq tersengih lebar.

“Jadi saya akan jumpa orang lain pula beberapa hari lagi,” kataku dengan selamba, menyebabkan Hazriq terlopong memandang aku.

“Secepat itu?” soal Hazriq.

“Secepat itu!” ulangku.

“Siapa pula kali ni?”

Nadanya kedengaran jengkel.

“Adalah, awak tak kenal pun,” jawabku.

Aku pun tidak kenal. Malah aku terlupa namanya. Nasib baik aku cetakkan maklumatnya semalam. Hazriq membisu dengan jawapanku. Aku mengerling jam. Waktu rehat sudah hampir tamat, lebih baik aku bergegas balik ke pejabat.

“Rehat dah nak habis, saya nak balik pejabat,” kataku pada Hazriq.

Lelaki itu tidak menjawab. Dia tak dengarkah? Aku bangun membayar bil untuk kami berdua. Lagipun hari ini giliran aku untuk belanja makan. Aku kembali ke meja. Hazriq masih diam, merenung ke luar tingkap.

“Awak?” panggilku.

Tidak ada jawapan.

“Awak?” panggilku lebih kuat sedikit.

Hazriq tersentak merenung aku. “Kenapa awak berdiri?”

“Waktu rehat saya hampir habislah, saya nak balik ke pejabat,” kataku.

“O-oh, sekejap saya bayarkan dulu.” Dia buru- buru bangun.

“Saya dah bayarkanlah. Kan saya yang patut belanja minggu ni,” kataku.

Dia mengusap rambut. “Betul juga. Jom, saya hantarkan sampai ke bangunan pejabat awak.”

Sepanjang jalan dia masih membisu. Kenapa pula dia ni?

“Awak ada masalah? Dari tadi awak senyap,” tanyaku.

Dia menggeleng. “Bukan macam tu.”

“Habis tu?”

“Banyak yang saya fikirkan,” jawabnya, menghela nafas.

“Contohnya apa?” soalku, hairan.

“Yang tak dapat, yang tak mahu, yang tak mungkin, yang tak pergi. Nak cuba tapi tak boleh. Susahnya nak buat keputusan,” keluh Hazriq.

Sajakkah? Aku langsung tidak faham.

“Cakaplah betul- betul, pening saya dengar,” rungutku.

Hazriq hanya tersenyum kecil tapi dia tidak menjelaskan kata- katanya tadi. Apa maksud dia sebenarnya?

Selepas menghantarku hingga ke pintu masuk, dia berlalu tanpa menjelaskan kata- katanya tadi. Aku benar- benar tertanya- tanya.

No comments:

Post a Comment