Monday, October 12, 2020

Bab 24

 

Selepas satu tempoh berlalu, Ramadhan pertama selepas semua yang berlaku dalam hidupku akhirnya mengunjung tiba. Tahun ini pun kami tiga beranak saja yang menyambung ketibaan bulan mulia itu. Memang selalu begitu. Dyana memang jarang pulang sejak dia mula bekerja. Sekarang pasti dia ingin menyambut Ramadhan dan Syawal bersama keluarganya sendiri. Lagipun selepas habis pantang, dia kembali ke Klang bersama Furqan.

Jadi bulan yang mulia ini berlalu dengan aman. Tapi pada malam ketiga hari terakhir sebelum menjelangnya satu Syawal, ibu membuat satu pengumuman.

“Mereka akan pulang beraya di rumah esok. Bilik Dyana pun dah ibu kemaskan,” kata ibu.

Terdiam aku sekejap apabila mendengar kata- kata ibu.

“Kenapa-”

Aku tidak jadi terus bertanya. Jawapan ibu pasti mudah, ini juga rumah Dyana. Dia memang sudah berkahwin tapi dia masih anak ibu dan ayah. Dia masih berhak untuk pulang ke rumah ini. Walaupun aku tidak mahu berjumpa dengan mereka, ibu dan ayah pasti mahu beraya dengan anak dan cucu mereka. Jadi apa alasan aku untuk membantah?

“Berapa hari mereka hendak tinggal di sini?” tanya ayah.

“Mungkin cuma bermalam. Mereka pasti hendak melawat Sofea dan Hadi juga pada hari raya pertama tu,” kata ibu.

Satu malam itu satu tempoh yang terlalu panjang. Bagaimana aku hendak elakkan dari bertemu? Tak kan tiba- tiba aku hendak pergi bercuti? Tambahan lagi hari raya bakal menjelang. Habis apa patut aku buat?

 

 

Puas aku berfikir tapi aku masih tidak ada jawapan. Hari berganti hari, akhirnya tiba juga hari itu. Aku masih buntu. Memandangkan aku kehabisan alasan untuk mengelak, jalan terakhir ialah menyembunyikan diri di dalam bilik. Kalau boleh aku hendaklah lakukannya semuanya dari dalam bilik. Tapi itu pastinya mustahil. Bilik air dan dapur tidak berada di dalam bilikku. Tambahan pula ibu pasti meradang jika aku langsung tidak keluar, terutamanya untuk berbuka puasa dan bersalaman di pagi Syawal. Tak apa, aku akan berusaha untuk mengelak mereka selagi aku mampu.

“Rania, nanti tolong tukarkan langsir dan alas meja!” arah ibu.

Dia sibuk membuat persiapan untuk esok sejak pagi lagi. Aku akan menolong, kemudian aku akan melarikan diri ke tempat yang paling selamat untukku iaitu bilikku. Jadi aku segera berlalu ke ruang tamu tanpa menjawab. Lebih baik selesaikan semuanya cepat sebelum mereka sekeluarga sampai.

Macam lipas kudung aku bekerja. Siap mengemas setiap ruang dan mencuci bilik air tanpa disuruh. Selesai semuanya aku kembali ke dapur.

“Nak buat apa lagi ibu?” tanyaku.

“Tak ada, semua dah siap,” jawab ibu.

Ayat itu yang aku hendak dengar!

Tapi kata orang, jangan terlalu gembira. Pada masa itulah terdengar loceng pintu.

“Pergi tengokkan siapa yang datang,” arah ibu.

Aku bagaikan dapat mengagak siapa yang menunggu di luar.

“Ayahkan ada di depan,” kataku, cuba mengelak.

“Ayah kamu baru keluar untuk bayar zakat,” jawab ibu.

Bila masa pula ayah keluar? Akhirnya aku hayunkan langkah dengan hati yang berat. Sampai di pintu depan aku merenung tombol pintu dengan lama. Sekali lagi loceng pintu ditekan.

Ya lah, aku bukalah ni!

Dengan mendengus, aku membuka pintu. Benar jangkaanku, pasangan itu berdiri di depan pintu. Sama seperti aku, senyuman mereka padam apabila nampak wajahku. Jangan cakap mereka tidak dapat mengagak yang kami akan bertembung. Apa mereka fikir aku akan pergi bercuti apabila tahu mereka akan pulang beraya di sini?

“Kakak,” kata Dyana perlahan, akhirnya mengukir senyum kecil.

Aku mengerling bayi yang sedang tidur nyenyak di tangannya. Jadi inilah anak kecil itu. Tanpa menyapa mereka, aku beredar naik terus ke bilik. Ibu sendiri yang cakap apabila semua persiapan sudah selesai, aku tidak perlu berada di bawah lagi. Terdengar suara ibu yang keluar dari dapur untuk menyambut mereka.

Masa selebihnya aku habiskan di bilik untuk cuba mengulangkaji. Tapi memandangkan aku langsung tidak dapat memberi tumpuan, aku langsung tidak dapat ingat apa yang aku baca. Sekali- sekala terdengar tangisan anak kecil itu, mengingatkan aku yang mereka ada di sini sekarang.

Akhirnya hampir masa untuk berbuka, ibu mengetuk pintu bilikku. Aku benar- benar ingin terus berada di bilik tapi itu bukan pilihan, kan? Jadi aku terpaksa turun juga ke bawah.

“Banyaknya ibu masak,” komenku, cuba untuk tidak memperdulikan Dyana yang juga berada di ruang makan.

“Ibu cuma masak nasi dan goreng sayur,” jawab ibu.

“Habis yang lain ni?” tanyaku.

“Lauk lain dan kuih tu semua Dyana dan Furqan yang belikan di bazar tadi.”

Terus aku terdiam.

“Masak lemak siput sedut yang kakak suka makan pun adik beli,” kata Dyana. “Ramai orang di gerai lauk tu tadi. Lama juga kami beratur.”

Aku membisu, terus berlalu masuk ke dapur. Tidak ada ada untuk dibuat tapi aku enggan berada di ruang yang sama dengan Dyana.

“Nak buat apa?” tanya ibu yang masuk melihat.

“Entah. Ada apa lagi yang perlu dibuat?” tanyaku.

“Semua dah siap. Duduklah di meja, dah dekat waktu berbuka pun,” jawab ibu.

Aku berdegil tidak mengikut ibu keluar. Tetapi apabila azan berkumandang, aku tidak ada pilihan lagi. Lebih malang, hanya satu saja tempat yang kosong, iaitu di sebelah Dyana.

“Cepatlah duduk, kita nak berbuka,” kata ayah apabila melihat aku terus membatu.

Apalah malang sangat hari ini? Perlahan- lahan aku duduk, cuba untuk tidak memandang wajah di sebelahku. Dyana meriba Danish yang terjaga dari tidur ketika hampir waktu berbuka. Masing- masing makan sambil tersenyum melihat telatah anak kecil itu. Aku saja yang mencuka.

Aku menghulur tangan untuk mencedok lauk tapi tangan aku tarik semula. Banyak pilihan di meja ini sebenarnya. Ada ayam bakar, tomyam, sayur goreng campur dan siput sedut masak lemak yang Dyana cakapkan tadi. Tapi aku tidak dapat memaksa diri untuk makan. Akhirnya aku cuma mencedok sayur goreng campur untuk makan.

“Kenapa tak ambil lauk lagi?” tanya ibu.

“Nanti saya ambillah,” balasku perlahan.

Puas hati dengan jawapanku, ibu kembali makan. Dia berbual tentang juadah untuk rumah terbuka esok. Furqan dan ayah pula ingin keluar untuk membuat persiapan akhir hari raya selepas solat Isyak nanti. Melihat mereka tiba- tiba aku terasa sunyi. Selepas beberapa suap aku berhenti makan. Aku rasa kenyang. Aku bingkas bangun, membawa pinggan dan gelas ke sinki.

“Cepatnya kamu habis makan,” komen ayah. “Banyak lagi lauk ni.”

“Saya nak naik solat dulu,” jawabku, memberi alasan.

Usai mencuci pinggan yang aku gunakan, aku bergegas ke bilik air untuk berwuduk. Selepas solat aku langsung tidak turun ke bawah. Untungnya kali ini tidak ada yang datang mencariku.

 

 

“Assalamualaikum,” sapa suara di hujung talian itu.

Kebelakangan ini masing- masing sibuk dengan pelbagai urusan, jadi kami langsung tidak berpeluang untuk berjumpa. Lagipun aku tidak keluar makan di waktu siang di bulan puasa seperti pada hari- hari biasa, manakala pada sebelah malam aku jarang keluar melainkan untuk ke surau bersama ibu dan ayah untuk Solat Terawih. Jadi memang tidak ada alasan untuk berjumpa seperti biasa. Teringat- ingat aku akan wajah dan perangainya.

“Waalaikumsalam. Awak apa khabar?” tanyaku.

“Saya sakit,” jawab Hazriq dengan lemah.

“Sakit apa?” tanyaku dengan rasa risau. Mana tahu sepanjang kami tidak bertemu dia tiba- tiba sakit teruk.

“Sakit tak sabar nak raya.”

“Mengada- ngada!” cemuhku.

“Nak raya pun boleh mengata saya?” soal Hazriq.

“Nanti saya minta maaflah. Kan esok dah nak raya?” jawabku, tersengih nakal.

“Pandai, ya?”

“Baru tahukah?”

Hazriq tergelak, membuatkan aku sendiri tersenyum. Terdengar sayup- sayup suara bayi menangis. Pasti Danish.

“Kenapa senyap?” tanya Hazriq.

“Tak ada apa- apalah,” jawabku.

“Macamlah saya tak kenal awak? Apa yang dah jadi?”

Aku menghela nafas. Terdengar suara anak kecil itu menangis lagi.

“Mereka pulang beraya di sini,” kataku perlahan.

Hazriq membisu seketika. “Awak tak suka?”

“Tak adalah.”

“Tak suka cakap saja tak suka. Saya boleh faham perasaan awak. Dah lupa yang saya penyokong kuat awak?”

Tersenyum aku mendengar kata- katanya itu.

“Saya bukan tak suka,” kataku.

“Cuma?”

“Saya rasa tak selesa jumpa mereka,” akui aku akhirnya.

“Begitu,” kata Hazriq. “Habis awak di mana sekarang?”

“Dalam bilik.”

“Sejak tadi?” Aku boleh bayangkan dahinya berkerut bila tanya soalan ini.

“Saya turun untuk berbuka. Esok pun saya perlu turun untuk beraya,” kataku. Ada keluhan pada nadaku. Hazriq pun boleh perasan.

“Sekurang- kurangnya awak tak meradang macam dulu bila nampak mereka,” kata Hazriq.

“Agaknya perlahan- lahan saya dah belajar untuk memaafkan agaknya,” balasku, mengakui kata- katanya.

“Dan mungkin awak belajar untuk terima mereka semula,” tambah Hazriq.

“Baguskah macam tu?”

“Kenapa tak bagus pula?” tanya Hazriq.

“Tak rasa saya ni kecil hati sangatkah? Sampai sekarang masih tak boleh terima mereka.”

“Bagi saya, awak dah buat yang terbaik. Kalau mereka tak dapat terima itu masalah mereka.”

Aku membisu mendengar. Dia memang selalu membuatkan aku rasa tenang.

“Awak?” panggil Hazriq.

“Ya?”

“Esok boleh datang beraya di rumah awak tak?”

Aku hendak memberi kebenaran tapi apa aku hendak beritahu ibu dan ayah nanti? Macam mana kalau mereka pernah teringat tentang dia memandangkan nama Hazriq pernah disebut di rumah ini dulu. Ayah mungkin sudah terlupa tapi ibu mungkin dapat ingat semula. Tapi esokkan hari raya?

“Saya berguraulah,” kata Hazriq.

“Saya tahu,” balasku, tergelak- gelak kononnya aku tahu.

“Mesti ibu dan ayah awak pelik kalau lelaki yang mereka tak kenal datang beraya seorang diri. Kemudian cakap rapat dengan awak,” kata Hazriq.

“Tapi esokkan hari raya,” kataku.

“Kalau saya mengaku saya boyfriend awak, macam mana?”

“Jangan nak merepek!”

Wah, kuat juga suara aku! Aku segera berpusing melihat jika ada yang mendengar, kemudian datang menjenguk. Nasib baik tak ada.

“Saya berguraulah!” Hazriq tergelak- gelak.

“Awak nak girlfriend awak bunuh saya?”

“Sorry, sorry,” katanya sambil tergelak- gelak. Langsung tidak kedengaran seperti menyesal. “Lama tak jumpa awak, rindu nak mengusik awak.”

“Seronok pula dia,” komenku, geram dengan sikapnya.

“Mestilah seronok. Muka awak masa marah tu comel sangat. Sayangnya saya tak nampak sekarang,” kata Hazriq.

“Hesy, awak ni!” desisku.

“Okay, kali ni betul- betul minta maaf,” kata Hazriq.

“Ya lah tu!”

“Ya, betul! Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya minta maaf kalau ada salah dan silap.” Akhirnya serius juga dia.

“Saya pun sama,” jawabku. “Sampaikan salam saya pada keluarga awak.”

“Insya Allah,” jawab Hazriq. “Awak?”

“Ya?”

“Saya tak menipu.”

“Tentang apa?” soalku.

“Bila awak marah, memang comel sangat!”

“Awa-"

Tak sempat aku marah, dia sudah putuskan talian sambil tergelak. Baru tadi dia minta maaf! Aku melihat wajahku di cermin. Hesy, yang wajah aku merah ni kenapa?!

 

 

Awal pagi, usai solat Subuh aku terus turun ke dapur. Ibu sudah berada di situ, menyediakan juadah untuk dihidang pada tetamu yang akan datang berhari raya nanti. Kelibat Dyana atau Furqan tidak kelihatan. Entah- entah mereka belum bangun. Semalam beberapa kali aku terjaga apabila terdengar Danish menangis. Tanpa menegur ibu, aku terus menolong apa yang patut.

“Awal kamu tidur semalam,” komen ibu apabila sedar kehadiranku.

“Letih!” Sepatah saja jawapanku.

“Macam mana tak letih, macam- macam kamu buat kelmarin,” kata ibu.

Bukan itu yang buatkan aku rasa letih. Tapi aku membisu, tidak menjawab. Selesai di dapur, aku membersihkan bahagian hadapan dan ruang tengah. Sibuk mengemas, tiga sekeluarga itu turun, siap berpakaian cantik untuk beraya. Lama juga Dyana dan Furqan merenung aku. Dengan berkain batik, t-shirt lengan panjang dan tudung hitam, aku pasti nampak seperti bibik yang sibuk mengemas untuk beraya. Tanpa memperdulikan mereka, aku terus menyapu lantai.

“Kakak tak siap lagi? Ibu cakap semua hendak ke masjid untuk solat Aidilfitri nanti,” tegur Dyana.

Aku diam tidak menjawab. Selesai menyapu, terus aku pergi. Sempat aku melihat raut wajah Furqan yang tidak puas hati dengan sikapku.

Selesai mandi dan memakai pakaian untuk beraya, aku turun dengan menjinjing beg telekung. Semua orang berkumpul untuk bersalaman. Aku awalnya berada di penjuru, enggan berada di lingkungan mereka bertiga. Tapi selepas seketika aku mendekatkan diri juga. Nampak saja wajahku, Dyana terus meluru menghulurkan tangan.

Lama juga aku merenung tangannya, membuatkan semua orang lain perasan. Aku memang hendak sambut huluran tangannya tapi aku tak dapat angkat tanganku. Perlahan- lahan aku cuba angkat, berusaha juga untuk menyalami dia.

Tiba- tiba Danish menangis. Semua orang terus berpaling melihat dia. Aku terus bingkas bangun, beredar ke tempat lain. Lama aku duduk ‘bersembunyi’ di belakang, berdekatan kebun sayur ayah. Nasib baik ayah bina dangau kecil di sini.

“Jadi kamu di sini.”

Ibu yang jumpa aku akhirnya.

“Kami nak ke masjid, nak ikutkah?” tanya ibu.

Aku hanya menggeleng. Kalau boleh aku tidak mahu ke mana- mana pun hari ini. Bolehkah kalau aku berada di dalam bilik saja sepanjang hari?

Ibu mengeluh. Sebelum sempat dia beredar, aku segera bangun, meraih tangannya dan bersalam. Tangannya aku cium.

“Saya minta maaf.”

Untuk segalanya.

Ibu mengerti, mencium dahiku. “Ibu pun sama. Dan ibu faham.”

Aku kembali duduk termenung di situ biarpun ibu sudah lama berlalu.

 

 

Memandangkan semua orang keluar untuk ke masjid, tinggallah aku seorang diri di rumah. Secara jujur, aku memang tidak terasa untuk meraikan Aidilfitri ini pun. Tapi aku gagahkan diri untuk memaniskan muka apabila beberapa orang tetamu kecil datang untuk beraya. Aku tidak bukakan pintu pagar sebenarnya tapi mereka menekan loceng pintu sehinggalah aku bukakan pintu untuk mereka.

“Kami tak mahu makan, makcik!” kata salah seorang dari mereka.

Makcik? Tua sangatkah aku? Tapi dari gayanya, mungkin dia berumur tujuh hingga sembilan tahun. Baginya aku mungkin sangat tua dan layak digelar makcik. Terima sajalah. Nasib baik tak dipanggil nenek!

“Tak makan dulu? Sedap tau!” pujukku walaupun tahu mereka tidak akan mengalah.

“Kami dah kenyang,” jawab seorang lagi yang lain. “Kami nak balik, makcik!”

Baru pukul sembilan pagi sudah kenyang? Aku menghela nafas. Biarlah, cepat sikit mereka balik. Aku pun terasa hendak duduk dan termenung sekarang.

“Siapa hendak duit raya?” tanyaku dengan seceria mungkin.

Cepat- cepat mereka mengangkat tangan. Selepas mereka pulang, ada beberapa tetamu kecil lain yang datang. Semuanya tidak berminat untuk makan atau minum. Aku dengan senang hati memberi duit raya kepada mereka.

Semasa aku menghantar tetamu- tetamu kecil yang terakhir keluar, kereta milik Furqan membelok masuk ke ruang hadapan. Nampaknya mereka sudah pulang dari masjid. Cepat- cepat aku berlalu masuk ke dalam bilik.

Lama aku memerap di bilik. Biarpun perutku berkeroncong tetapi aku masih enggan keluar. Aku tahu mereka masih ada di rumah. Aku terdengar kata- kata Furqan yang mereka akan ke rumah Aunty Sofea dan Uncle Hadi pada sebelah petang.

Aku menghela nafas. Telefonku bergetar, membuatkan aku berpaling. Hazriqkah yang menghantar mesej? Segera aku melarik skrin. Benar telahanku, ada pesanan WhatsApp darinya.

 

Buat Cik Bidadari, Selamat Hari Raya Aidilfitri.

 

Aku yang awalnya marah dengan panggilan bidadari itu terus tergelak besar apabila melihat gambar Hazriq yang berbaju melayu lengkap dengan sampin tapi memakai topeng Power Ranger.

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Encik Power Ranger.

 

Aku menggit bibir, tersenyum nakal sebelum menambah:

 

Dari Cik Bidadari.

 

Kemudian aku menekan butang Send untuk menghantar. Seketika kemudian, dia membalas.

 

Saya rindu nak jumpa awak secara berdepan.

 

Aku rasa aku patut memberitahu dia yang jangan memainkan penggunaan perkataan sensitif seperti rindu. Tapi mungkin aku sendiri yang berfikir banyak. Aku pasti Hazriq tidak ada niat lain melainkan teringatkan aku sahabatnya ini. Baik jangan malukan diri dengan perasan terlalu cepat!

 

Lepas raya kita jumpa.

 

Okay.

 

Sampaikan salam saya pada ummi dan walid awak. Assalamualaikum.

 

Waalaikumsalam.

 

Aku menghela nafas. Terdengar pintu bilik diketuk. Ibu masuk selepas itu. Dia duduk di sebelahku di bibir katil.

“Tak nak turunkah?” tanya ibu. “Sampai bila nak berkurung di sini?”

“Nanti saya turunlah,” jawabku.

“Mereka dah pergi rumah mentua Dyana pun. Mereka akan balik terus ke rumah lepas tu. Tak perlulah kamu risau bertembung dengan mereka,” kata ibu.

Aku tidak menjawab.

“Nanti turunlah untuk makan sama- sama,” kata ibu sebelum keluar. “Ayah pun merungut yang kamu berdua belum lagi beraya.”

Aku mengangguk pada kata- kata ibu. Mereka sepatutnya pulang petang ini tapi nampaknya mereka pulang lebih awal. Agaknya Furqan tidak senang hati dengan layanan aku terhadap isteri kesayangannya itu.

Sunday, October 11, 2020

Bab 23

 

Hujung minggu barulah aku berkesempatan untuk berjumpa dengan Hazriq.

“Masamnya muka,” komen Hazriq.

“Sorry, penat sikit akhir- akhir ni,” jawabku.

“Banyak sangatkah kerja di pejabat?” tanya Hazriq.

Aku menjeling dia, pura- pura marah. “Ini semua salah syarikat awak!”

Hazriq menjungkit kening. “Apa yang kami dah buat?”

“Sebab promosi yang syarikat awak buat tu, pelanggan kami bertambah secara mendadak. Sebab tu lah kerja kami pun banyak,” jawabku.

“Syarikat kami memang yang terbaik!” kata Hazriq, seraya tersengih.

“Seronok pula dia,” perliku.

Hazriq masih tersengih, langsung tidak terkesan.

“Saya belanja awak aiskrim,” kata Hazriq.

“Untuk apa?” soalku cuak.

“Sebagai tanda minta maaf kerana kerja awak dah bertambah.”

Dia berguraukah? Dia ingat aiskrim boleh buat aku rasa gembira?

 

 

Aiskrim memang boleh menggembirakan aku, walaupun aku tidak akan sesekali mengaku kepada dia. Hazriq belikan juga aku aiskrim walaupun aku tidak memberi jawapan. Jadi kami berdua menikmati aiskrim sambil duduk di bangku di tepi jalan.

“Sedap juga makan aiskrim panas- panas macam ni,” komen Hazriq.

“Lagi sedap bila orang belanja!” kataku dengan selamba.

Hazriq tidak membalas, cuma tergelak.

“Sekarang jarang dapat jumpa awak? Sibukkah?” tanyaku.

“Boleh tahan. Kami pun banyak projek juga. Maklumlah pekerja syarikat kami pandai buat kerja!” jawab Hazriq, membangga diri.

Menyesal pula aku tanya!

Telefon Hazriq berdering ketika itu. Sempat aku mengerling skrin, melihat nama Azzwa yang terpamer. Hazriq tersenyum, bingkas bangun untuk  menjawab.

Pada ketika itu, aku tidak pasti kenapa, terselit rasa tidak senang hati. Kenapa rasa begini? Hesy, jangan fikir banyak! Aku segera menghabiskan aiskrim yang makin cair. Pembalutnya aku masukkan ke dalam tong sampah.

“Assalamualaikum.”

Aku kenal pemilik suara itu. Justeru aku tidak terus berpaling. Aneh bagaimana kami beberapa kali bertembung begini. Hari itu pun aku sedang berjumpa Hazriq, hari ini pun sama.

“Waalaikumsalam,” jawabku acuh tidak acuh.

“Kenapa awak ada di sini?” tanyanya.

Aku tidak menjawab. Pelik juga dia hendak menegur aku. Kali terakhir kami bercakap pun ialah semasa dia menengking aku di hospital tempoh hari. Dia sudah lupakah?

Dia mengeluh. “Hentikan perangai budak- budak awak. Belajarlah jadi dewasa. Sampai bila awak nak macam ni?”

Aku berpaling memandang wajah Furqan yang sangat menyakitkan hati pada ketika ini.

“Maksud menjadi dewasa itu apa? Terima saja apa yang orang lain buat? Kena pijak pun tak apa? Begitu?” sindirku.

“Belajar untuk terima yang dunia ini bukan berputar mengelilingi awak. Saya akui apa yang berlaku salah saya. Tapi saya dah berusaha untuk minta maaf. Dan saya minta maaf juga untuk apa yang saya cakapkan pada awak di hospital hari tu. Saya marah dengan apa yang berlaku sebab tu saya boleh cakap macam tu.”

“Maaf itu mudah sebenarnya. Setakat cakap, ‘Saya minta maaf’, macam tu saja. Tapi bila selalu diucap, ia bagaikan tak ikhlas,” kataku.

“Habis awak nak saya buat apa?”

Pada ketika itu, Hazriq kembali dari berbual dengan Nurrul Azzwa. Furqan yang nampak Hazriq terus mencerlung mata.

“Awak datang dengan dia?” Furqan merenung Hazriq. Hazriq sendiri membalas renungan itu dengan wajah yang jengkel.

Aku tidak menjawab soalan Furqan itu. Bagiku siapa pun yang datang dengan aku, dia tidak perlu tahu. Namun sikapku itu membuatkan Furqan tidak puas hati.

“Kamu berdua memang tak habis- habis berjumpa. Betulkah tak bercinta? Atau tak mengaku?” soal Furqan.

“Betul atau tidak, itu bukannya urusan kau!” jawabku.

“Betul juga. Tapi aneh juga perangai awak. Saya tak pernah tahu awak macam ni. Memang bagus saya ambil keputusan untuk tinggalkan awak dulu,” kata Furqan dengan sinis.

Kurang ajar! Tapi sebelum sempat aku membalas, Hazriq yang bertanya dengan marah.

“Apa maksud kau ni?” herdik Hazriq. “Apa masalah kau ni sebenarnya?”

Takut pula aku tengok dia marah sebegitu.

“Aku tak bercakap dengan kau, jadi tak perlu masuk campur,” kata Furqan.

“Bila kau bercakap macam tu dengan dia, ini dah jadi masalah aku. Tak kira apa kau fikir, aku akan tetap masuk campur juga!” balas Hazriq.

Furqan tergelak sinis. “Dia boleh terus gembira dengan orang lain tapi dia tak benarkan adik sendiri bahagia. Sampai hendak berjumpa pun tak mahu. Dyana macam orang bodoh asyik minta maaf berkali- kali tapi kakak dia langsung tak mahu maafkan dia.”

“Aku dengan Hazriq bukannya ada apa- apa pun!” bentakku.

Furqan mengerling kami berdua. “Awak nak menipu siapa?”

“Jangan ingat kalau kau pernah curang, orang lain pun sama macam kau,” kataku dengan geram.

“Betul juga tu. Tapi sebab saya pernah lalui jadi saya tahu. Mungkin awak pun akan jadi macam saya!” balas Furqan.

Berkerut aku mendengar kata- kata Furqan. Sudahlah tidak membangkang, malah mengaku dan menasihati aku. Tapi nasihat itu lebih kepada sindiran bagiku.

Hazriq mendekati Furqan dengan wajah menyingga. “Kalau kau tak mahu aku patahkan rahang kau tu, baik kau diam! Sejak tadi, tak ada satu benda pun yang baik keluar dari mulut kau!”

Furqan tergelak mendengar kata- kata Hazriq. Entah apa yang lucunya.

“Kenapa? Kau nak kahwin dengan dia? Sebab tu sibuk nak pertahankan dia?” sindir Furqan.

“Apa salahnya! Kalau jodoh aku dengan dia, aku akan kahwin dengan dia. Rania terlalu baik untuk orang macam kau!” jawab Hazriq.

Aku tidak fikir yang dia sedar tentang kesan kata- katanya itu. Aku tahu dia tidak maksudkannya tapi aku rasa wajahku merona merah sekarang.

Furqan tergelak sinis. “Kau cakap macam kau kenal dia. Kau tahukah dia sebenarnya orang yang macam mana?”

“Walaupun aku kenal dia tak selama kau kenal dia, tapi aku yakin aku kenal dia lebih baik dari kau!” balas Hazriq.

“Jadi kau pun tahu betapa busuknya hati dia? Cuma dia yang boleh gembira, orang lain tidak! Semata- mata kerana ego dia, dia buat Dyana merana. Orang macam ni yang kau kata baik? Kau dah buta agaknya!” kata Furqan dengan keras.

Suaranya yang kuat itu menarik perhatian beberapa orang yang berada di kawasan ini. Mereka memerhatikan kami sambil berbisik- bisik sesama mereka.

Hazriq tergelak sinis, tidak membalas. Dia merenung Furqan seketika sebelum tiba- tiba menghayun penumbuk ke wajah lelaki itu. Aku yang terkejut menjerit kecil. Aku sendiri tidak menyangka Hazriq akan bertindak begitu.

Hazriq tersenyum puas. “Dah lama aku nak buat macam ni! Hari ni tercapai juga hasrat aku!”

Furqan bangun dengan marah, mencengkam kolar baju Hazriq. Tangannya diangkat, bersedia untuk membalas. Hazriq sendiri nampak seperti bersedia untuk melawan balik.

“Sudah!” tengkingku. “Kalian dah gila? Orang tengah tengok, tak malukah?”

Mereka menjauhkan diri dengan segera walaupun wajah masing- masing masih menyingga marah.

“Tak apa Hazriq, biarlah,” kataku, kemudian memandang Furqan. “Sampaikan kata- kata aku ini pada Dyana, tak perlu kejar aku untuk minta maaf lagi. Jauhkan saja diri dari aku. Lebih bagus kalau dia jangan tegur aku langsung! Terus bergaduh macam ni pun tak guna. Dan kau pun baik jangan tegur aku lagi lepas ni kalau tak mahu sakit hati macam ni. Antara kita bertiga tak mungkin akan kembali seperti dulu lagi. Baik kita uruskan hal masing- masing.”

Aku memandang Hazriq. “Jom, kita pergi tempat lain.”

Tanpa menunggu dia, aku terus berjalan. Tapi aku tahu dia akan mengikut di belakangku juga. Aku juga tidak peduli sama ada Furqan setuju atau tidak, itu bukan urusan aku.

Hazriq mengekoriku hingga aku masuk ke sebuah kafe. Aku terus duduk di meja yang kosong berdekatan dengan pintu masuk. Tanpa berkata apa- apa, Hazriq turut melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan.

Seorang pelayan terus datang untuk mengambil pesanan.  Dia meletakkan menu di depan kami.

“Cik nak order apa?” tanya pelayan itu dengan mesra.

“Air kosong,” jawabku.

“Saya pun sama,” jawab Hazriq.

“Makan?”

“Saya tak nak makan,” jawabku.

Pelayan itu memandang Hazriq. Dia tersenyum kambing, menggeleng. Raut wajah pelanggan itu terus berubah. Dia memandang kami berdua dengan jengkel sebelum mengambil menu dan berlalu.

“Awak okay?” tanya Hazriq.

Aku hanya mengangguk.

“Betul tak nak makan? Mereka dah tengok kita dengan pelik,” kata Hazriq.

“Biarlah apa mereka nak cakap,” kataku.

Suasana bening berlalu. Pelayan datang menghantar pesanan kami.

“Maaf awak pun terlibat tadi,” kataku dengan tiba- tiba.

Hazriq tersenyum, mengibas tangan. “Masalah awak, masalah saya juga, kan?”

“Tak, saya tak patut libatkan awak dalam hal ni. Saya minta maaf juga untuk kata- kata dia tadi.”

“Dia yang cakap, kenapa awak yang minta maaf?” Hazriq mengerut dahi.

“Sebab saya rasa bersalah pada awak,” jawabku dengan sugul.

“Tak perlulah rasa bersalah. Awak tak buat apa- apa salah pun pada saya. Lagi satu, puas hati saya tadi! Dah lama sangat saya nak buat macam tu. Tak sangka hari ni ada peluang!” kata Hazriq, tersenyum lebar.

Dahiku berkerut. “Tapi nanti kalau dia report polis macam mana? Tak pasal- pasal awak kena tangkap nanti!”

“Tangkaplah, saya tak takut! Bagi saya, saya tak buat apa- apa kesalahan pun!” jawab Hazriq dengan serius.

Macam mana aku hendak nasihat dia lagi? Tapi apa lagi yang aku boleh buat pun? Semuanya sudah terjadi. Harap- haraplah Furqan tidak memanjangkan hal tadi.

“Tapi terima kasih kerana pertahankan saya. Awak memang adiwira yang hebat!” kataku, membuatkan Hazriq tersenyum bangga.

“Saya dah cakap saya ni Power Ranger awak! Mempertahankan awak tu kan tanggungjawab saya!”

Aku hanya tergelak. Nampaknya aku terhutang budi lagi kepada dia.

 

 

Beberapa bulan berlalu dengan pantas. Tuntutan kerja dan kesibukkan belajar membuatkan aku tidak sedar ia berlalu pergi secepat itu. Satu hari, semasa bekerja ibu menghantar pesanan melalui WhatsApp;

 

Dyana sudah selamat melahirkan anak lelaki pagi tadi. Ibu nak melawat dia. Kamu nak ikut?

 

Aku tahu ibu tidak bersungguh- sungguh mengajakku. Dia sudah maklum dengan jawapanku. Jadi aku membalas mesejnya, menolak dengan baik. Aku pasti ibu mengerti kenapa. Lagipun sejak dari hari itu, aku memang mengelak dari bertemu dengan mereka. Furqan sendiri menjauh dan pura- pura tidak mengenali aku jika kami bertembung.

Aku menghela nafas, merenung ke depan tanpa benar melihat. Otakku memikirkan banyak perkara. Secara jujur, aku tidak pernah salahkan bayi itu.

 

“Setiap anak dilahirkan dlm keadaan fitrah (Islam), maka kedua orang tuanyalah yg menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.” (HR. al-Bukhari&Muslim)

 

Aku sedar yang anak itu langsung tidak bersalah. Tapi mungkin kerana ibu bapanya, aku sukar untuk menerima kewujudan dia. Tapi lain bagi ibu dan ayah. Kehadiran seorang cucu membuatkan ibu dan ayah berasa teruja. Tidak lekang pujian dari mulut mereka setiap kali pulang dari melawat anak kecil itu. Comellah. Sihatlah. Pandailah. Apa yang pandainya seorang bayi pun aku tidak faham. Boleh dikatakan hampir setiap hati mereka melawat bayi itu yang merupakan cucu sulung mereka. Tambahan pula, ayah telah bersara sekarang. Jika aku balik ke rumah yang kosong selepas pulang dari kerja, hampir besar kemungkinan mereka berada di rumah Aunty Sofea dan Uncle Hadi.

Danish namanya. Kata ibu, dia saling tidak tumpah wajah Dyana. Malah lesung pipit yang menyerikan wajah Dyana juga kelihatan di kedua pipi bayi itu. Entah setakat mana kebenarannya kerana aku tidak pernah melihat anak itu.

Masa semua orang terus berlalu biarpun masaku berhenti. Aku patut berusaha lebih keras untuk terus melangkah ke depan, kan?

Saturday, October 10, 2020

Bab 22

 

Kerja di pejabat bertambah- tambah akhir- akhir ini. Memandangkan produk yang dilancarkan baru- baru ini mendapat sambutan hangat, kami tidak menang tangan menguruskan permintaan dari pelanggan. Nampaknya syarikat Hazriq telah mengadakan promosi yang sangat berkesan!

Tapi kenapa kerja aku seperti lebih banyak dari orang lain?

Aku mengerling Zura dan Kak Diba yang berbual- bual. Kerja banyak begini pun masih ada masa untuk berbual- bual? Atau mereka tidak ada kerja untuk dibuat sebenarnya?

“Rania, siapkan laporan ni juga!” arah Encik Anas.

Di tangannya ada beberapa keping fail. Biar betul? Aku ada dua laporan yang aku berusaha untuk siapkan sejak semalam. Sekarang dia menambah kerjaku lagi? Macam mana aku hendak siapkan dengan segera? Semua laporan perlu di hantar awal pagi esok.

“Tapi saya ada dua laporan yang saya perlu buat sekarang,” bantahku.

Aku berpaling untuk mencadangkan Zura atau Kak Diba tapi mereka menaip dan membuat kerja dengan sangat serius. Baru tadi aku nampak mereka berbual- bual!

Encik Anas menghela nafas. “Tak ada orang lain yang akan buat. Semua orang pun sibuk, bukan cuma awak seorang. Jadi awak memang tak ada pilihan. Lagipun saya rasa awak boleh lakukannya. Cuma satu laporan saja lagi.”

Aku tidak sempat membantah apabila Encik Anas letakkan fail- fail itu dimejaku dengan kasar. Dia terus kembali ke biliknya. Makin bertambah kerja aku! Aku mengerling Zura dan Kak Diba yang tergelak- gelak. Mereka main- mainkan akukah?

Tapi terus meradang pun tak guna. Kerja bukannya akan selesai dengan sendiri. Akhirnya aku teruskan kerja dengan mengetap bibir. Nasib baik dua laporan yang awal sudah masuk fasa akhir. Boleh aku mulakan laporan yang baru ini.

Menjelang waktu rehat tengah hari, semua orang bergegas keluar. Aku masih ada beberapa perkara yang perlu ditaip sebelum aku bersedia untuk keluar makan. Tapi tiba- tiba komputerku padam.

“Eh, kenapa?!” Kuat juga aku menjerit.

Laporan yang aku hampir siapkan! Kenapa padam? Elektrik tidak ada masalah. Apa yang sudah berlaku? Tak kan komputer tiba- tiba rosak? Aku tunduk, melihat plug di tepi meja. Eh, tutup! Siapa yang tutup komputer aku?

“Siapa yang tutup?” tanyaku tanpa merujuk kepada sesiapa.

“Ah, komputer awakkah? Maaf! Saya nak tutup komputer saya sebenarnya,” balas Zura dengan raut wajah yang bersalah. Tapi aku tahu dia langsung tidak rasa begitu. Aku sudah kenal dia untuk tahu dia hanya berpura- pura.

“Tak kan tak kenal plug komputer sendiri? Awak dah kerja lama di sini! Duduk di meja yang sama sejak dulu pula tu!” kataku, meradang dengan sikapnya.

Aku berusaha gigih untuk siapkan laporan, sekarang pasti banyak yang hilang. Bagaimana aku hendak siapkan kerja dengan cepat?

“Janganlah kecil hati sangat! Saya dah minta maaf pun, awak nak saya buat apa lagi?” soal Zura dengan wajah masam.

“Kecil hati awak cakap? Ini bukan masalah kecil tau tak? Selama ni awak tak pernah tutup komputer pun bila nak pergi berehat. Kenapa tiba- tiba hari ni gatal pula nak tutup?” herdikku.

“Eh, saya punya sukalah nak tutup ke tidak! Saya dah cakap saya tak sengajalah!” Zura juga tidak kurangnya meninggi suara kembali.

“Betul tu, dia bukannya sengaja!” sokong Kak Diba.

“Habis laporan yang saya dah taip tadi macam mana? Banyak yang saya dah siapkan,” kataku.

“Manalah saya tahu! Saya memang tak sengajalah! Jomlah kak, orang dah minta maaf pun tengking- tengking lagi!” kata Zura, terus berjalan pergi.

Kak Diba mengikut di belakangnya. Habis macam mana dengan laporan aku yang hilang ni? Tak ada rasa tanggungjawab langsung!Aku terasa bagaikan hendak menangis.

Selepas seketika, aku hidupkan komputer kembali untuk melihat apa yang berjaya diselamatkan oleh fungsi Auto Recovery. Kecewa aku lihat apabila ada beberapa muka surat yang hilang kerana tidak disimpan oleh fungsi itu sebelum komputer dipadam. Tapi ini lebih baik daripada tidak ada langsung.

Aku menghela nafas. Nampaknya aku perlu lupakan rehat hari ini. Apa sekalipun aku akan hantar juga semua laporan ini awal pagi esok. Apa tak akan biarkan mereka kalahkan aku!

 

 

“Kenapa tak boleh?” tanya Hazriq.

“Saya ada banyak kerja nak buat. Memang tak sempat,” jelasku.

Hazriq seperti tidak berpuas hati. Dia menelefonku untuk mengajakku makan tengah hari memandangkan dia berada di kawasan berdekatan. Kalau boleh aku memang hendak berjumpa dengan dia tapi apa boleh buat.

“Habis tak kan awak tak makan tengah hari?”

“Alah setakat makan tengah apa, tak apalah! Lagipun masa bulan puasa tak makan tengah hari tak apa pun.”

“Itu bulan puasa. Bulan puasa tak apa, memang tak rasa lapar,” kata Hazriq.

“Tak apalah awak, jangan risau. Okay, saya memang sibuk ni. Lain kalilah kita makan tengah hari sama- sama, ya?” pujukku.

“Hmm, ya lah,” kata Hazriq, setuju juga akhirnya.

Aku kembali sibuk dengan kerja. Ruang pejabat sunyi kerana hampir kesemua pekerja keluar berehat. Hanya bunyi papan kekunci komputer aku yang kedengaran.

Tiba- tiba pintu depan dikuak. Terkejut besar aku! Maklumlah pejabat terlalu sunyi, bunyi pintu pun kedengaran terlalu kuat. Seorang pengawal keselamatan melangkah masuk. Dia memandang ke sekeliling sebelum terpandang aku yang memerhatikan dia dari mejaku.

“Cik ni Cik Rania?” tanya pengawal itu.

Aku mengangguk, terkejut apabila dia tahu namaku. Pengawal itu melangkah masuk dengan beg kertas di tangan.

“Ini untuk cik,” katanya, menghulurkan beg kertas itu kepadaku.

“Untuk saya?” Ulangku, merenung beg itu. “Siapa yang bagi?”

“Seorang lelaki. Katanya, cik kenal dia.”

“Siapa?” tanya hairan.

“Katanya nama dia Power Ranger,” jawab si pengawal dengan muka lucu.

Tergelak aku mendengarnya. Aku mengambil beg kertas yang dihulurkannya kemudian mengucapkan terima kasih kepada pengawal itu. Macam- macamlah Hazriq ni. Tapi apa yang dia hantar ni? Aku membuka beg kertas itu dengan penuh rasa ingin tahu.

Tersenyum aku melihat makanan dan minuman yang berada dalam beg kertas itu. Ada nota yang diletakkan di dalam.

 

Buat Cik Bidadari,

Kerja kuat tak apa, tapi jangan lupa untuk makan. Jaga diri awak, ya?

 

Dari Power Ranger.

 

Nasib baik dia tak beritahu pengawal untuk cari ‘Cik Bidadari’. Kalau tidak malu besar aku! Aku mencapai telefon.

 

Terima kasih Encik Power Ranger, saya akan makan.

 

Okay, selamat menjamu seleraJ

 

Aku tersenyum sendiri, membuka bungkusan makanan. Boleh aku makan sambil teruskan kerja. Bertimbang rasa juga adiwira aku ni!

 

 

Zura dan Kak Diba yang pulang dari rehat juga saling berpandangan apabila nampak aku masih duduk di meja, tekun menyiapkan kerja. Ingat aku akan mengalahkah? Jangan harap! Sabotajlah sepuas hati kalian!

Bila tiba waktu pulang, aku masih lagi duduk di meja. Ada beberapa fail yang tidak dibenarkan untuk dibawa keluar dari pejabat. Jadi aku perlu siapkan bahagian- bahagian yang perlu di rujuk dahulu. Selebihnya akan aku teruskan di rumah. Hampir pukul sepuluh baru aku tinggalkan pejabat.

“Lewat kamu pulang hari ni,” tegur ibu.

“Kerja banyak ibu,” jawabku.

“Makanlah dulu, nanti buat apa yang kamu hendak buat,” kata ibu.

 Aku segera berlalu, menurut kata- kata ibu. Lebih cepat aku makan, lebih cepat aku boleh sambung kerja kembali. Semangatku untuk menyiapkan semua laporan sangat berkobar- kobar.

 

 

Awal- awal pagi aku letakkan laporan di atas meja Encik Anas. Dia perlu bawa masuk ke mesyuarat tengah hari nanti. Walaupun aku berjaga hingga pukul tiga pagi semalam, aku masih boleh bangun awal untuk datang kerja.

“Hebat juga awak. Biarpun saya tambah beban kerja awak, awak masih boleh siapkan laporan yang baik macam ni tepat pada masanya,” komen Encik Anas sambil meniliti laporanku.

Aku hanya tersenyum. Bangga juga bila dipuji begitu.

“Awak sambung belajar lagi, kan?” tanya Encik Anas.

“Ya, PJJ di UiTM,” jawabku.

“Ijazah? Bidang apa?”

“Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan bahagian Pengurusan Operasi.”

Encik Anas tersenyum mendengar penjelasanku.

“Teruskan belajar. Dengan sikap awak ni, insya Allah ada peluang yang cerah untuk awak nanti!” kata Encik Anas.

“Baik, encik!” balasku dengan senyum lebar. “Terima kasih!”

Selepas kembali ke mejaku pun, senyum masih tidak lekang di bibir. Aku tidak peduli dengan Zura dan Kak Diba yang berbisik- bisik sesama mereka. Cakaplah apa saja yang kamu berdua mahu, aku tidak akan biarkan kamu berdua atau orang lain jatuhkan aku lagi.