Saturday, October 10, 2020

Bab 22

 

Kerja di pejabat bertambah- tambah akhir- akhir ini. Memandangkan produk yang dilancarkan baru- baru ini mendapat sambutan hangat, kami tidak menang tangan menguruskan permintaan dari pelanggan. Nampaknya syarikat Hazriq telah mengadakan promosi yang sangat berkesan!

Tapi kenapa kerja aku seperti lebih banyak dari orang lain?

Aku mengerling Zura dan Kak Diba yang berbual- bual. Kerja banyak begini pun masih ada masa untuk berbual- bual? Atau mereka tidak ada kerja untuk dibuat sebenarnya?

“Rania, siapkan laporan ni juga!” arah Encik Anas.

Di tangannya ada beberapa keping fail. Biar betul? Aku ada dua laporan yang aku berusaha untuk siapkan sejak semalam. Sekarang dia menambah kerjaku lagi? Macam mana aku hendak siapkan dengan segera? Semua laporan perlu di hantar awal pagi esok.

“Tapi saya ada dua laporan yang saya perlu buat sekarang,” bantahku.

Aku berpaling untuk mencadangkan Zura atau Kak Diba tapi mereka menaip dan membuat kerja dengan sangat serius. Baru tadi aku nampak mereka berbual- bual!

Encik Anas menghela nafas. “Tak ada orang lain yang akan buat. Semua orang pun sibuk, bukan cuma awak seorang. Jadi awak memang tak ada pilihan. Lagipun saya rasa awak boleh lakukannya. Cuma satu laporan saja lagi.”

Aku tidak sempat membantah apabila Encik Anas letakkan fail- fail itu dimejaku dengan kasar. Dia terus kembali ke biliknya. Makin bertambah kerja aku! Aku mengerling Zura dan Kak Diba yang tergelak- gelak. Mereka main- mainkan akukah?

Tapi terus meradang pun tak guna. Kerja bukannya akan selesai dengan sendiri. Akhirnya aku teruskan kerja dengan mengetap bibir. Nasib baik dua laporan yang awal sudah masuk fasa akhir. Boleh aku mulakan laporan yang baru ini.

Menjelang waktu rehat tengah hari, semua orang bergegas keluar. Aku masih ada beberapa perkara yang perlu ditaip sebelum aku bersedia untuk keluar makan. Tapi tiba- tiba komputerku padam.

“Eh, kenapa?!” Kuat juga aku menjerit.

Laporan yang aku hampir siapkan! Kenapa padam? Elektrik tidak ada masalah. Apa yang sudah berlaku? Tak kan komputer tiba- tiba rosak? Aku tunduk, melihat plug di tepi meja. Eh, tutup! Siapa yang tutup komputer aku?

“Siapa yang tutup?” tanyaku tanpa merujuk kepada sesiapa.

“Ah, komputer awakkah? Maaf! Saya nak tutup komputer saya sebenarnya,” balas Zura dengan raut wajah yang bersalah. Tapi aku tahu dia langsung tidak rasa begitu. Aku sudah kenal dia untuk tahu dia hanya berpura- pura.

“Tak kan tak kenal plug komputer sendiri? Awak dah kerja lama di sini! Duduk di meja yang sama sejak dulu pula tu!” kataku, meradang dengan sikapnya.

Aku berusaha gigih untuk siapkan laporan, sekarang pasti banyak yang hilang. Bagaimana aku hendak siapkan kerja dengan cepat?

“Janganlah kecil hati sangat! Saya dah minta maaf pun, awak nak saya buat apa lagi?” soal Zura dengan wajah masam.

“Kecil hati awak cakap? Ini bukan masalah kecil tau tak? Selama ni awak tak pernah tutup komputer pun bila nak pergi berehat. Kenapa tiba- tiba hari ni gatal pula nak tutup?” herdikku.

“Eh, saya punya sukalah nak tutup ke tidak! Saya dah cakap saya tak sengajalah!” Zura juga tidak kurangnya meninggi suara kembali.

“Betul tu, dia bukannya sengaja!” sokong Kak Diba.

“Habis laporan yang saya dah taip tadi macam mana? Banyak yang saya dah siapkan,” kataku.

“Manalah saya tahu! Saya memang tak sengajalah! Jomlah kak, orang dah minta maaf pun tengking- tengking lagi!” kata Zura, terus berjalan pergi.

Kak Diba mengikut di belakangnya. Habis macam mana dengan laporan aku yang hilang ni? Tak ada rasa tanggungjawab langsung!Aku terasa bagaikan hendak menangis.

Selepas seketika, aku hidupkan komputer kembali untuk melihat apa yang berjaya diselamatkan oleh fungsi Auto Recovery. Kecewa aku lihat apabila ada beberapa muka surat yang hilang kerana tidak disimpan oleh fungsi itu sebelum komputer dipadam. Tapi ini lebih baik daripada tidak ada langsung.

Aku menghela nafas. Nampaknya aku perlu lupakan rehat hari ini. Apa sekalipun aku akan hantar juga semua laporan ini awal pagi esok. Apa tak akan biarkan mereka kalahkan aku!

 

 

“Kenapa tak boleh?” tanya Hazriq.

“Saya ada banyak kerja nak buat. Memang tak sempat,” jelasku.

Hazriq seperti tidak berpuas hati. Dia menelefonku untuk mengajakku makan tengah hari memandangkan dia berada di kawasan berdekatan. Kalau boleh aku memang hendak berjumpa dengan dia tapi apa boleh buat.

“Habis tak kan awak tak makan tengah hari?”

“Alah setakat makan tengah apa, tak apalah! Lagipun masa bulan puasa tak makan tengah hari tak apa pun.”

“Itu bulan puasa. Bulan puasa tak apa, memang tak rasa lapar,” kata Hazriq.

“Tak apalah awak, jangan risau. Okay, saya memang sibuk ni. Lain kalilah kita makan tengah hari sama- sama, ya?” pujukku.

“Hmm, ya lah,” kata Hazriq, setuju juga akhirnya.

Aku kembali sibuk dengan kerja. Ruang pejabat sunyi kerana hampir kesemua pekerja keluar berehat. Hanya bunyi papan kekunci komputer aku yang kedengaran.

Tiba- tiba pintu depan dikuak. Terkejut besar aku! Maklumlah pejabat terlalu sunyi, bunyi pintu pun kedengaran terlalu kuat. Seorang pengawal keselamatan melangkah masuk. Dia memandang ke sekeliling sebelum terpandang aku yang memerhatikan dia dari mejaku.

“Cik ni Cik Rania?” tanya pengawal itu.

Aku mengangguk, terkejut apabila dia tahu namaku. Pengawal itu melangkah masuk dengan beg kertas di tangan.

“Ini untuk cik,” katanya, menghulurkan beg kertas itu kepadaku.

“Untuk saya?” Ulangku, merenung beg itu. “Siapa yang bagi?”

“Seorang lelaki. Katanya, cik kenal dia.”

“Siapa?” tanya hairan.

“Katanya nama dia Power Ranger,” jawab si pengawal dengan muka lucu.

Tergelak aku mendengarnya. Aku mengambil beg kertas yang dihulurkannya kemudian mengucapkan terima kasih kepada pengawal itu. Macam- macamlah Hazriq ni. Tapi apa yang dia hantar ni? Aku membuka beg kertas itu dengan penuh rasa ingin tahu.

Tersenyum aku melihat makanan dan minuman yang berada dalam beg kertas itu. Ada nota yang diletakkan di dalam.

 

Buat Cik Bidadari,

Kerja kuat tak apa, tapi jangan lupa untuk makan. Jaga diri awak, ya?

 

Dari Power Ranger.

 

Nasib baik dia tak beritahu pengawal untuk cari ‘Cik Bidadari’. Kalau tidak malu besar aku! Aku mencapai telefon.

 

Terima kasih Encik Power Ranger, saya akan makan.

 

Okay, selamat menjamu seleraJ

 

Aku tersenyum sendiri, membuka bungkusan makanan. Boleh aku makan sambil teruskan kerja. Bertimbang rasa juga adiwira aku ni!

 

 

Zura dan Kak Diba yang pulang dari rehat juga saling berpandangan apabila nampak aku masih duduk di meja, tekun menyiapkan kerja. Ingat aku akan mengalahkah? Jangan harap! Sabotajlah sepuas hati kalian!

Bila tiba waktu pulang, aku masih lagi duduk di meja. Ada beberapa fail yang tidak dibenarkan untuk dibawa keluar dari pejabat. Jadi aku perlu siapkan bahagian- bahagian yang perlu di rujuk dahulu. Selebihnya akan aku teruskan di rumah. Hampir pukul sepuluh baru aku tinggalkan pejabat.

“Lewat kamu pulang hari ni,” tegur ibu.

“Kerja banyak ibu,” jawabku.

“Makanlah dulu, nanti buat apa yang kamu hendak buat,” kata ibu.

 Aku segera berlalu, menurut kata- kata ibu. Lebih cepat aku makan, lebih cepat aku boleh sambung kerja kembali. Semangatku untuk menyiapkan semua laporan sangat berkobar- kobar.

 

 

Awal- awal pagi aku letakkan laporan di atas meja Encik Anas. Dia perlu bawa masuk ke mesyuarat tengah hari nanti. Walaupun aku berjaga hingga pukul tiga pagi semalam, aku masih boleh bangun awal untuk datang kerja.

“Hebat juga awak. Biarpun saya tambah beban kerja awak, awak masih boleh siapkan laporan yang baik macam ni tepat pada masanya,” komen Encik Anas sambil meniliti laporanku.

Aku hanya tersenyum. Bangga juga bila dipuji begitu.

“Awak sambung belajar lagi, kan?” tanya Encik Anas.

“Ya, PJJ di UiTM,” jawabku.

“Ijazah? Bidang apa?”

“Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan bahagian Pengurusan Operasi.”

Encik Anas tersenyum mendengar penjelasanku.

“Teruskan belajar. Dengan sikap awak ni, insya Allah ada peluang yang cerah untuk awak nanti!” kata Encik Anas.

“Baik, encik!” balasku dengan senyum lebar. “Terima kasih!”

Selepas kembali ke mejaku pun, senyum masih tidak lekang di bibir. Aku tidak peduli dengan Zura dan Kak Diba yang berbisik- bisik sesama mereka. Cakaplah apa saja yang kamu berdua mahu, aku tidak akan biarkan kamu berdua atau orang lain jatuhkan aku lagi.

No comments:

Post a Comment