Selepas
satu tempoh berlalu, Ramadhan pertama selepas semua yang berlaku dalam hidupku
akhirnya mengunjung tiba. Tahun ini pun kami tiga beranak saja yang menyambung
ketibaan bulan mulia itu. Memang selalu begitu. Dyana memang jarang pulang
sejak dia mula bekerja. Sekarang pasti dia ingin menyambut Ramadhan dan Syawal
bersama keluarganya sendiri. Lagipun selepas habis pantang, dia kembali ke
Klang bersama Furqan.
Jadi
bulan yang mulia ini berlalu dengan aman. Tapi pada malam ketiga hari terakhir
sebelum menjelangnya satu Syawal, ibu membuat satu pengumuman.
“Mereka
akan pulang beraya di rumah esok. Bilik Dyana pun dah ibu kemaskan,” kata ibu.
Terdiam
aku sekejap apabila mendengar kata- kata ibu.
“Kenapa-”
Aku
tidak jadi terus bertanya. Jawapan ibu pasti mudah, ini juga rumah Dyana. Dia
memang sudah berkahwin tapi dia masih anak ibu dan ayah. Dia masih berhak untuk
pulang ke rumah ini. Walaupun aku tidak mahu berjumpa dengan mereka, ibu dan
ayah pasti mahu beraya dengan anak dan cucu mereka. Jadi apa alasan aku untuk
membantah?
“Berapa
hari mereka hendak tinggal di sini?” tanya ayah.
“Mungkin
cuma bermalam. Mereka pasti hendak melawat Sofea dan Hadi juga pada hari raya
pertama tu,” kata ibu.
Satu
malam itu satu tempoh yang terlalu panjang. Bagaimana aku hendak elakkan dari
bertemu? Tak kan tiba- tiba aku hendak pergi bercuti? Tambahan lagi hari raya
bakal menjelang. Habis apa patut aku buat?
Puas
aku berfikir tapi aku masih tidak ada jawapan. Hari berganti hari, akhirnya
tiba juga hari itu. Aku masih buntu. Memandangkan aku kehabisan alasan untuk
mengelak, jalan terakhir ialah menyembunyikan diri di dalam bilik. Kalau boleh
aku hendaklah lakukannya semuanya dari dalam bilik. Tapi itu pastinya mustahil.
Bilik air dan dapur tidak berada di dalam bilikku. Tambahan pula ibu pasti
meradang jika aku langsung tidak keluar, terutamanya untuk berbuka puasa dan
bersalaman di pagi Syawal. Tak apa, aku akan berusaha untuk mengelak mereka
selagi aku mampu.
“Rania,
nanti tolong tukarkan langsir dan alas meja!” arah ibu.
Dia
sibuk membuat persiapan untuk esok sejak pagi lagi. Aku akan menolong, kemudian
aku akan melarikan diri ke tempat yang paling selamat untukku iaitu bilikku.
Jadi aku segera berlalu ke ruang tamu tanpa menjawab. Lebih baik selesaikan
semuanya cepat sebelum mereka sekeluarga sampai.
Macam
lipas kudung aku bekerja. Siap mengemas setiap ruang dan mencuci bilik air
tanpa disuruh. Selesai semuanya aku kembali ke dapur.
“Nak
buat apa lagi ibu?” tanyaku.
“Tak
ada, semua dah siap,” jawab ibu.
Ayat
itu yang aku hendak dengar!
Tapi
kata orang, jangan terlalu gembira. Pada masa itulah terdengar loceng pintu.
“Pergi
tengokkan siapa yang datang,” arah ibu.
Aku
bagaikan dapat mengagak siapa yang menunggu di luar.
“Ayahkan
ada di depan,” kataku, cuba mengelak.
“Ayah
kamu baru keluar untuk bayar zakat,” jawab ibu.
Bila
masa pula ayah keluar? Akhirnya aku hayunkan langkah dengan hati yang berat.
Sampai di pintu depan aku merenung tombol pintu dengan lama. Sekali lagi loceng
pintu ditekan.
Ya
lah, aku bukalah ni!
Dengan
mendengus, aku membuka pintu. Benar jangkaanku, pasangan itu berdiri di depan
pintu. Sama seperti aku, senyuman mereka padam apabila nampak wajahku. Jangan
cakap mereka tidak dapat mengagak yang kami akan bertembung. Apa mereka fikir
aku akan pergi bercuti apabila tahu mereka akan pulang beraya di sini?
“Kakak,”
kata Dyana perlahan, akhirnya mengukir senyum kecil.
Aku
mengerling bayi yang sedang tidur nyenyak di tangannya. Jadi inilah anak kecil
itu. Tanpa menyapa mereka, aku beredar naik terus ke bilik. Ibu sendiri yang
cakap apabila semua persiapan sudah selesai, aku tidak perlu berada di bawah
lagi. Terdengar suara ibu yang keluar dari dapur untuk menyambut mereka.
Masa
selebihnya aku habiskan di bilik untuk cuba mengulangkaji. Tapi memandangkan
aku langsung tidak dapat memberi tumpuan, aku langsung tidak dapat ingat apa
yang aku baca. Sekali- sekala terdengar tangisan anak kecil itu, mengingatkan
aku yang mereka ada di sini sekarang.
Akhirnya
hampir masa untuk berbuka, ibu mengetuk pintu bilikku. Aku benar- benar ingin
terus berada di bilik tapi itu bukan pilihan, kan? Jadi aku terpaksa turun juga
ke bawah.
“Banyaknya
ibu masak,” komenku, cuba untuk tidak memperdulikan Dyana yang juga berada di
ruang makan.
“Ibu
cuma masak nasi dan goreng sayur,” jawab ibu.
“Habis
yang lain ni?” tanyaku.
“Lauk
lain dan kuih tu semua Dyana dan Furqan yang belikan di bazar tadi.”
Terus
aku terdiam.
“Masak
lemak siput sedut yang kakak suka makan pun adik beli,” kata Dyana. “Ramai
orang di gerai lauk tu tadi. Lama juga kami beratur.”
Aku
membisu, terus berlalu masuk ke dapur. Tidak ada ada untuk dibuat tapi aku
enggan berada di ruang yang sama dengan Dyana.
“Nak
buat apa?” tanya ibu yang masuk melihat.
“Entah.
Ada apa lagi yang perlu dibuat?” tanyaku.
“Semua
dah siap. Duduklah di meja, dah dekat waktu berbuka pun,” jawab ibu.
Aku
berdegil tidak mengikut ibu keluar. Tetapi apabila azan berkumandang, aku tidak
ada pilihan lagi. Lebih malang, hanya satu saja tempat yang kosong, iaitu di
sebelah Dyana.
“Cepatlah
duduk, kita nak berbuka,” kata ayah apabila melihat aku terus membatu.
Apalah
malang sangat hari ini? Perlahan- lahan aku duduk, cuba untuk tidak memandang
wajah di sebelahku. Dyana meriba Danish yang terjaga dari tidur ketika hampir
waktu berbuka. Masing- masing makan sambil tersenyum melihat telatah anak kecil
itu. Aku saja yang mencuka.
Aku
menghulur tangan untuk mencedok lauk tapi tangan aku tarik semula. Banyak
pilihan di meja ini sebenarnya. Ada ayam bakar, tomyam, sayur goreng campur dan
siput sedut masak lemak yang Dyana cakapkan tadi. Tapi aku tidak dapat memaksa
diri untuk makan. Akhirnya aku cuma mencedok sayur goreng campur untuk makan.
“Kenapa
tak ambil lauk lagi?” tanya ibu.
“Nanti
saya ambillah,” balasku perlahan.
Puas
hati dengan jawapanku, ibu kembali makan. Dia berbual tentang juadah untuk
rumah terbuka esok. Furqan dan ayah pula ingin keluar untuk membuat persiapan
akhir hari raya selepas solat Isyak nanti. Melihat mereka tiba- tiba aku terasa
sunyi. Selepas beberapa suap aku berhenti makan. Aku rasa kenyang. Aku bingkas
bangun, membawa pinggan dan gelas ke sinki.
“Cepatnya
kamu habis makan,” komen ayah. “Banyak lagi lauk ni.”
“Saya
nak naik solat dulu,” jawabku, memberi alasan.
Usai
mencuci pinggan yang aku gunakan, aku bergegas ke bilik air untuk berwuduk.
Selepas solat aku langsung tidak turun ke bawah. Untungnya kali ini tidak ada
yang datang mencariku.
“Assalamualaikum,”
sapa suara di hujung talian itu.
Kebelakangan
ini masing- masing sibuk dengan pelbagai urusan, jadi kami langsung tidak
berpeluang untuk berjumpa. Lagipun aku tidak keluar makan di waktu siang di
bulan puasa seperti pada hari- hari biasa, manakala pada sebelah malam aku
jarang keluar melainkan untuk ke surau bersama ibu dan ayah untuk Solat
Terawih. Jadi memang tidak ada alasan untuk berjumpa seperti biasa. Teringat-
ingat aku akan wajah dan perangainya.
“Waalaikumsalam.
Awak apa khabar?” tanyaku.
“Saya
sakit,” jawab Hazriq dengan lemah.
“Sakit
apa?” tanyaku dengan rasa risau. Mana tahu sepanjang kami tidak bertemu dia
tiba- tiba sakit teruk.
“Sakit
tak sabar nak raya.”
“Mengada-
ngada!” cemuhku.
“Nak
raya pun boleh mengata saya?” soal Hazriq.
“Nanti
saya minta maaflah. Kan esok dah nak raya?” jawabku, tersengih nakal.
“Pandai,
ya?”
“Baru
tahukah?”
Hazriq
tergelak, membuatkan aku sendiri tersenyum. Terdengar sayup- sayup suara bayi
menangis. Pasti Danish.
“Kenapa
senyap?” tanya Hazriq.
“Tak
ada apa- apalah,” jawabku.
“Macamlah
saya tak kenal awak? Apa yang dah jadi?”
Aku
menghela nafas. Terdengar suara anak kecil itu menangis lagi.
“Mereka
pulang beraya di sini,” kataku perlahan.
Hazriq
membisu seketika. “Awak tak suka?”
“Tak
adalah.”
“Tak
suka cakap saja tak suka. Saya boleh faham perasaan awak. Dah lupa yang saya
penyokong kuat awak?”
Tersenyum
aku mendengar kata- katanya itu.
“Saya
bukan tak suka,” kataku.
“Cuma?”
“Saya
rasa tak selesa jumpa mereka,” akui aku akhirnya.
“Begitu,”
kata Hazriq. “Habis awak di mana sekarang?”
“Dalam
bilik.”
“Sejak
tadi?” Aku boleh bayangkan dahinya berkerut bila tanya soalan ini.
“Saya
turun untuk berbuka. Esok pun saya perlu turun untuk beraya,” kataku. Ada
keluhan pada nadaku. Hazriq pun boleh perasan.
“Sekurang-
kurangnya awak tak meradang macam dulu bila nampak mereka,” kata Hazriq.
“Agaknya
perlahan- lahan saya dah belajar untuk memaafkan agaknya,” balasku, mengakui
kata- katanya.
“Dan
mungkin awak belajar untuk terima mereka semula,” tambah Hazriq.
“Baguskah
macam tu?”
“Kenapa
tak bagus pula?” tanya Hazriq.
“Tak
rasa saya ni kecil hati sangatkah? Sampai sekarang masih tak boleh terima
mereka.”
“Bagi
saya, awak dah buat yang terbaik. Kalau mereka tak dapat terima itu masalah
mereka.”
Aku
membisu mendengar. Dia memang selalu membuatkan aku rasa tenang.
“Awak?”
panggil Hazriq.
“Ya?”
“Esok
boleh datang beraya di rumah awak tak?”
Aku
hendak memberi kebenaran tapi apa aku hendak beritahu ibu dan ayah nanti? Macam
mana kalau mereka pernah teringat tentang dia memandangkan nama Hazriq pernah
disebut di rumah ini dulu. Ayah mungkin sudah terlupa tapi ibu mungkin dapat
ingat semula. Tapi esokkan hari raya?
“Saya
berguraulah,” kata Hazriq.
“Saya
tahu,” balasku, tergelak- gelak kononnya aku tahu.
“Mesti
ibu dan ayah awak pelik kalau lelaki yang mereka tak kenal datang beraya
seorang diri. Kemudian cakap rapat dengan awak,” kata Hazriq.
“Tapi
esokkan hari raya,” kataku.
“Kalau
saya mengaku saya boyfriend awak, macam mana?”
“Jangan
nak merepek!”
Wah,
kuat juga suara aku! Aku segera berpusing melihat jika ada yang mendengar,
kemudian datang menjenguk. Nasib baik tak ada.
“Saya
berguraulah!” Hazriq tergelak- gelak.
“Awak
nak girlfriend awak bunuh saya?”
“Sorry,
sorry,” katanya sambil tergelak- gelak. Langsung tidak kedengaran seperti
menyesal. “Lama tak jumpa awak, rindu nak mengusik awak.”
“Seronok
pula dia,” komenku, geram dengan sikapnya.
“Mestilah
seronok. Muka awak masa marah tu comel sangat. Sayangnya saya tak nampak
sekarang,” kata Hazriq.
“Hesy,
awak ni!” desisku.
“Okay,
kali ni betul- betul minta maaf,” kata Hazriq.
“Ya
lah tu!”
“Ya,
betul! Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya minta maaf kalau ada salah dan
silap.” Akhirnya serius juga dia.
“Saya
pun sama,” jawabku. “Sampaikan salam saya pada keluarga awak.”
“Insya
Allah,” jawab Hazriq. “Awak?”
“Ya?”
“Saya
tak menipu.”
“Tentang
apa?” soalku.
“Bila
awak marah, memang comel sangat!”
“Awa-"
Tak
sempat aku marah, dia sudah putuskan talian sambil tergelak. Baru tadi dia
minta maaf! Aku melihat wajahku di cermin. Hesy, yang wajah aku merah ni kenapa?!
Awal
pagi, usai solat Subuh aku terus turun ke dapur. Ibu sudah berada di situ,
menyediakan juadah untuk dihidang pada tetamu yang akan datang berhari raya
nanti. Kelibat Dyana atau Furqan tidak kelihatan. Entah- entah mereka belum
bangun. Semalam beberapa kali aku terjaga apabila terdengar Danish menangis.
Tanpa menegur ibu, aku terus menolong apa yang patut.
“Awal
kamu tidur semalam,” komen ibu apabila sedar kehadiranku.
“Letih!”
Sepatah saja jawapanku.
“Macam
mana tak letih, macam- macam kamu buat kelmarin,” kata ibu.
Bukan
itu yang buatkan aku rasa letih. Tapi aku membisu, tidak menjawab. Selesai di
dapur, aku membersihkan bahagian hadapan dan ruang tengah. Sibuk mengemas, tiga
sekeluarga itu turun, siap berpakaian cantik untuk beraya. Lama juga Dyana dan
Furqan merenung aku. Dengan berkain batik, t-shirt lengan panjang dan tudung
hitam, aku pasti nampak seperti bibik yang sibuk mengemas untuk beraya. Tanpa
memperdulikan mereka, aku terus menyapu lantai.
“Kakak
tak siap lagi? Ibu cakap semua hendak ke masjid untuk solat Aidilfitri nanti,”
tegur Dyana.
Aku
diam tidak menjawab. Selesai menyapu, terus aku pergi. Sempat aku melihat raut
wajah Furqan yang tidak puas hati dengan sikapku.
Selesai
mandi dan memakai pakaian untuk beraya, aku turun dengan menjinjing beg
telekung. Semua orang berkumpul untuk bersalaman. Aku awalnya berada di
penjuru, enggan berada di lingkungan mereka bertiga. Tapi selepas seketika aku
mendekatkan diri juga. Nampak saja wajahku, Dyana terus meluru menghulurkan
tangan.
Lama
juga aku merenung tangannya, membuatkan semua orang lain perasan. Aku memang
hendak sambut huluran tangannya tapi aku tak dapat angkat tanganku. Perlahan-
lahan aku cuba angkat, berusaha juga untuk menyalami dia.
Tiba-
tiba Danish menangis. Semua orang terus berpaling melihat dia. Aku terus
bingkas bangun, beredar ke tempat lain. Lama aku duduk ‘bersembunyi’ di
belakang, berdekatan kebun sayur ayah. Nasib baik ayah bina dangau kecil di
sini.
“Jadi
kamu di sini.”
Ibu
yang jumpa aku akhirnya.
“Kami
nak ke masjid, nak ikutkah?” tanya ibu.
Aku
hanya menggeleng. Kalau boleh aku tidak mahu ke mana- mana pun hari ini.
Bolehkah kalau aku berada di dalam bilik saja sepanjang hari?
Ibu
mengeluh. Sebelum sempat dia beredar, aku segera bangun, meraih tangannya dan bersalam.
Tangannya aku cium.
“Saya
minta maaf.”
Untuk
segalanya.
Ibu
mengerti, mencium dahiku. “Ibu pun sama. Dan ibu faham.”
Aku
kembali duduk termenung di situ biarpun ibu sudah lama berlalu.
Memandangkan
semua orang keluar untuk ke masjid, tinggallah aku seorang diri di rumah.
Secara jujur, aku memang tidak terasa untuk meraikan Aidilfitri ini pun. Tapi
aku gagahkan diri untuk memaniskan muka apabila beberapa orang tetamu kecil
datang untuk beraya. Aku tidak bukakan pintu pagar sebenarnya tapi mereka
menekan loceng pintu sehinggalah aku bukakan pintu untuk mereka.
“Kami
tak mahu makan, makcik!” kata salah seorang dari mereka.
Makcik?
Tua sangatkah aku? Tapi dari gayanya, mungkin dia berumur tujuh hingga sembilan
tahun. Baginya aku mungkin sangat tua dan layak digelar makcik. Terima sajalah.
Nasib baik tak dipanggil nenek!
“Tak
makan dulu? Sedap tau!” pujukku walaupun tahu mereka tidak akan mengalah.
“Kami
dah kenyang,” jawab seorang lagi yang lain. “Kami nak balik, makcik!”
Baru
pukul sembilan pagi sudah kenyang? Aku menghela nafas. Biarlah, cepat sikit
mereka balik. Aku pun terasa hendak duduk dan termenung sekarang.
“Siapa
hendak duit raya?” tanyaku dengan seceria mungkin.
Cepat-
cepat mereka mengangkat tangan. Selepas mereka pulang, ada beberapa tetamu
kecil lain yang datang. Semuanya tidak berminat untuk makan atau minum. Aku
dengan senang hati memberi duit raya kepada mereka.
Semasa
aku menghantar tetamu- tetamu kecil yang terakhir keluar, kereta milik Furqan
membelok masuk ke ruang hadapan. Nampaknya mereka sudah pulang dari masjid.
Cepat- cepat aku berlalu masuk ke dalam bilik.
Lama
aku memerap di bilik. Biarpun perutku berkeroncong tetapi aku masih enggan
keluar. Aku tahu mereka masih ada di rumah. Aku terdengar kata- kata Furqan
yang mereka akan ke rumah Aunty Sofea dan Uncle Hadi pada sebelah petang.
Aku
menghela nafas. Telefonku bergetar, membuatkan aku berpaling. Hazriqkah yang
menghantar mesej? Segera aku melarik skrin. Benar telahanku, ada pesanan
WhatsApp darinya.
Buat
Cik Bidadari, Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Aku
yang awalnya marah dengan panggilan bidadari itu terus tergelak besar apabila
melihat gambar Hazriq yang berbaju melayu lengkap dengan sampin tapi memakai
topeng Power Ranger.
Selamat Hari Raya
Aidilfitri, Encik Power Ranger.
Aku
menggit bibir, tersenyum nakal sebelum menambah:
Dari Cik Bidadari.
Kemudian
aku menekan butang Send untuk menghantar. Seketika kemudian, dia membalas.
Saya
rindu nak jumpa awak secara berdepan.
Aku
rasa aku patut memberitahu dia yang jangan memainkan penggunaan perkataan
sensitif seperti rindu. Tapi mungkin aku sendiri yang berfikir banyak. Aku
pasti Hazriq tidak ada niat lain melainkan teringatkan aku sahabatnya ini. Baik
jangan malukan diri dengan perasan terlalu cepat!
Lepas raya kita jumpa.
Okay.
Sampaikan salam saya pada
ummi dan walid awak. Assalamualaikum.
Waalaikumsalam.
Aku
menghela nafas. Terdengar pintu bilik diketuk. Ibu masuk selepas itu. Dia duduk
di sebelahku di bibir katil.
“Tak
nak turunkah?” tanya ibu. “Sampai bila nak berkurung di sini?”
“Nanti
saya turunlah,” jawabku.
“Mereka
dah pergi rumah mentua Dyana pun. Mereka akan balik terus ke rumah lepas tu.
Tak perlulah kamu risau bertembung dengan mereka,” kata ibu.
Aku
tidak menjawab.
“Nanti
turunlah untuk makan sama- sama,” kata ibu sebelum keluar. “Ayah pun merungut
yang kamu berdua belum lagi beraya.”
Aku
mengangguk pada kata- kata ibu. Mereka sepatutnya pulang petang ini tapi
nampaknya mereka pulang lebih awal. Agaknya Furqan tidak senang hati dengan
layanan aku terhadap isteri kesayangannya itu.
No comments:
Post a Comment