Sunday, October 11, 2020

Bab 23

 

Hujung minggu barulah aku berkesempatan untuk berjumpa dengan Hazriq.

“Masamnya muka,” komen Hazriq.

“Sorry, penat sikit akhir- akhir ni,” jawabku.

“Banyak sangatkah kerja di pejabat?” tanya Hazriq.

Aku menjeling dia, pura- pura marah. “Ini semua salah syarikat awak!”

Hazriq menjungkit kening. “Apa yang kami dah buat?”

“Sebab promosi yang syarikat awak buat tu, pelanggan kami bertambah secara mendadak. Sebab tu lah kerja kami pun banyak,” jawabku.

“Syarikat kami memang yang terbaik!” kata Hazriq, seraya tersengih.

“Seronok pula dia,” perliku.

Hazriq masih tersengih, langsung tidak terkesan.

“Saya belanja awak aiskrim,” kata Hazriq.

“Untuk apa?” soalku cuak.

“Sebagai tanda minta maaf kerana kerja awak dah bertambah.”

Dia berguraukah? Dia ingat aiskrim boleh buat aku rasa gembira?

 

 

Aiskrim memang boleh menggembirakan aku, walaupun aku tidak akan sesekali mengaku kepada dia. Hazriq belikan juga aku aiskrim walaupun aku tidak memberi jawapan. Jadi kami berdua menikmati aiskrim sambil duduk di bangku di tepi jalan.

“Sedap juga makan aiskrim panas- panas macam ni,” komen Hazriq.

“Lagi sedap bila orang belanja!” kataku dengan selamba.

Hazriq tidak membalas, cuma tergelak.

“Sekarang jarang dapat jumpa awak? Sibukkah?” tanyaku.

“Boleh tahan. Kami pun banyak projek juga. Maklumlah pekerja syarikat kami pandai buat kerja!” jawab Hazriq, membangga diri.

Menyesal pula aku tanya!

Telefon Hazriq berdering ketika itu. Sempat aku mengerling skrin, melihat nama Azzwa yang terpamer. Hazriq tersenyum, bingkas bangun untuk  menjawab.

Pada ketika itu, aku tidak pasti kenapa, terselit rasa tidak senang hati. Kenapa rasa begini? Hesy, jangan fikir banyak! Aku segera menghabiskan aiskrim yang makin cair. Pembalutnya aku masukkan ke dalam tong sampah.

“Assalamualaikum.”

Aku kenal pemilik suara itu. Justeru aku tidak terus berpaling. Aneh bagaimana kami beberapa kali bertembung begini. Hari itu pun aku sedang berjumpa Hazriq, hari ini pun sama.

“Waalaikumsalam,” jawabku acuh tidak acuh.

“Kenapa awak ada di sini?” tanyanya.

Aku tidak menjawab. Pelik juga dia hendak menegur aku. Kali terakhir kami bercakap pun ialah semasa dia menengking aku di hospital tempoh hari. Dia sudah lupakah?

Dia mengeluh. “Hentikan perangai budak- budak awak. Belajarlah jadi dewasa. Sampai bila awak nak macam ni?”

Aku berpaling memandang wajah Furqan yang sangat menyakitkan hati pada ketika ini.

“Maksud menjadi dewasa itu apa? Terima saja apa yang orang lain buat? Kena pijak pun tak apa? Begitu?” sindirku.

“Belajar untuk terima yang dunia ini bukan berputar mengelilingi awak. Saya akui apa yang berlaku salah saya. Tapi saya dah berusaha untuk minta maaf. Dan saya minta maaf juga untuk apa yang saya cakapkan pada awak di hospital hari tu. Saya marah dengan apa yang berlaku sebab tu saya boleh cakap macam tu.”

“Maaf itu mudah sebenarnya. Setakat cakap, ‘Saya minta maaf’, macam tu saja. Tapi bila selalu diucap, ia bagaikan tak ikhlas,” kataku.

“Habis awak nak saya buat apa?”

Pada ketika itu, Hazriq kembali dari berbual dengan Nurrul Azzwa. Furqan yang nampak Hazriq terus mencerlung mata.

“Awak datang dengan dia?” Furqan merenung Hazriq. Hazriq sendiri membalas renungan itu dengan wajah yang jengkel.

Aku tidak menjawab soalan Furqan itu. Bagiku siapa pun yang datang dengan aku, dia tidak perlu tahu. Namun sikapku itu membuatkan Furqan tidak puas hati.

“Kamu berdua memang tak habis- habis berjumpa. Betulkah tak bercinta? Atau tak mengaku?” soal Furqan.

“Betul atau tidak, itu bukannya urusan kau!” jawabku.

“Betul juga. Tapi aneh juga perangai awak. Saya tak pernah tahu awak macam ni. Memang bagus saya ambil keputusan untuk tinggalkan awak dulu,” kata Furqan dengan sinis.

Kurang ajar! Tapi sebelum sempat aku membalas, Hazriq yang bertanya dengan marah.

“Apa maksud kau ni?” herdik Hazriq. “Apa masalah kau ni sebenarnya?”

Takut pula aku tengok dia marah sebegitu.

“Aku tak bercakap dengan kau, jadi tak perlu masuk campur,” kata Furqan.

“Bila kau bercakap macam tu dengan dia, ini dah jadi masalah aku. Tak kira apa kau fikir, aku akan tetap masuk campur juga!” balas Hazriq.

Furqan tergelak sinis. “Dia boleh terus gembira dengan orang lain tapi dia tak benarkan adik sendiri bahagia. Sampai hendak berjumpa pun tak mahu. Dyana macam orang bodoh asyik minta maaf berkali- kali tapi kakak dia langsung tak mahu maafkan dia.”

“Aku dengan Hazriq bukannya ada apa- apa pun!” bentakku.

Furqan mengerling kami berdua. “Awak nak menipu siapa?”

“Jangan ingat kalau kau pernah curang, orang lain pun sama macam kau,” kataku dengan geram.

“Betul juga tu. Tapi sebab saya pernah lalui jadi saya tahu. Mungkin awak pun akan jadi macam saya!” balas Furqan.

Berkerut aku mendengar kata- kata Furqan. Sudahlah tidak membangkang, malah mengaku dan menasihati aku. Tapi nasihat itu lebih kepada sindiran bagiku.

Hazriq mendekati Furqan dengan wajah menyingga. “Kalau kau tak mahu aku patahkan rahang kau tu, baik kau diam! Sejak tadi, tak ada satu benda pun yang baik keluar dari mulut kau!”

Furqan tergelak mendengar kata- kata Hazriq. Entah apa yang lucunya.

“Kenapa? Kau nak kahwin dengan dia? Sebab tu sibuk nak pertahankan dia?” sindir Furqan.

“Apa salahnya! Kalau jodoh aku dengan dia, aku akan kahwin dengan dia. Rania terlalu baik untuk orang macam kau!” jawab Hazriq.

Aku tidak fikir yang dia sedar tentang kesan kata- katanya itu. Aku tahu dia tidak maksudkannya tapi aku rasa wajahku merona merah sekarang.

Furqan tergelak sinis. “Kau cakap macam kau kenal dia. Kau tahukah dia sebenarnya orang yang macam mana?”

“Walaupun aku kenal dia tak selama kau kenal dia, tapi aku yakin aku kenal dia lebih baik dari kau!” balas Hazriq.

“Jadi kau pun tahu betapa busuknya hati dia? Cuma dia yang boleh gembira, orang lain tidak! Semata- mata kerana ego dia, dia buat Dyana merana. Orang macam ni yang kau kata baik? Kau dah buta agaknya!” kata Furqan dengan keras.

Suaranya yang kuat itu menarik perhatian beberapa orang yang berada di kawasan ini. Mereka memerhatikan kami sambil berbisik- bisik sesama mereka.

Hazriq tergelak sinis, tidak membalas. Dia merenung Furqan seketika sebelum tiba- tiba menghayun penumbuk ke wajah lelaki itu. Aku yang terkejut menjerit kecil. Aku sendiri tidak menyangka Hazriq akan bertindak begitu.

Hazriq tersenyum puas. “Dah lama aku nak buat macam ni! Hari ni tercapai juga hasrat aku!”

Furqan bangun dengan marah, mencengkam kolar baju Hazriq. Tangannya diangkat, bersedia untuk membalas. Hazriq sendiri nampak seperti bersedia untuk melawan balik.

“Sudah!” tengkingku. “Kalian dah gila? Orang tengah tengok, tak malukah?”

Mereka menjauhkan diri dengan segera walaupun wajah masing- masing masih menyingga marah.

“Tak apa Hazriq, biarlah,” kataku, kemudian memandang Furqan. “Sampaikan kata- kata aku ini pada Dyana, tak perlu kejar aku untuk minta maaf lagi. Jauhkan saja diri dari aku. Lebih bagus kalau dia jangan tegur aku langsung! Terus bergaduh macam ni pun tak guna. Dan kau pun baik jangan tegur aku lagi lepas ni kalau tak mahu sakit hati macam ni. Antara kita bertiga tak mungkin akan kembali seperti dulu lagi. Baik kita uruskan hal masing- masing.”

Aku memandang Hazriq. “Jom, kita pergi tempat lain.”

Tanpa menunggu dia, aku terus berjalan. Tapi aku tahu dia akan mengikut di belakangku juga. Aku juga tidak peduli sama ada Furqan setuju atau tidak, itu bukan urusan aku.

Hazriq mengekoriku hingga aku masuk ke sebuah kafe. Aku terus duduk di meja yang kosong berdekatan dengan pintu masuk. Tanpa berkata apa- apa, Hazriq turut melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan.

Seorang pelayan terus datang untuk mengambil pesanan.  Dia meletakkan menu di depan kami.

“Cik nak order apa?” tanya pelayan itu dengan mesra.

“Air kosong,” jawabku.

“Saya pun sama,” jawab Hazriq.

“Makan?”

“Saya tak nak makan,” jawabku.

Pelayan itu memandang Hazriq. Dia tersenyum kambing, menggeleng. Raut wajah pelanggan itu terus berubah. Dia memandang kami berdua dengan jengkel sebelum mengambil menu dan berlalu.

“Awak okay?” tanya Hazriq.

Aku hanya mengangguk.

“Betul tak nak makan? Mereka dah tengok kita dengan pelik,” kata Hazriq.

“Biarlah apa mereka nak cakap,” kataku.

Suasana bening berlalu. Pelayan datang menghantar pesanan kami.

“Maaf awak pun terlibat tadi,” kataku dengan tiba- tiba.

Hazriq tersenyum, mengibas tangan. “Masalah awak, masalah saya juga, kan?”

“Tak, saya tak patut libatkan awak dalam hal ni. Saya minta maaf juga untuk kata- kata dia tadi.”

“Dia yang cakap, kenapa awak yang minta maaf?” Hazriq mengerut dahi.

“Sebab saya rasa bersalah pada awak,” jawabku dengan sugul.

“Tak perlulah rasa bersalah. Awak tak buat apa- apa salah pun pada saya. Lagi satu, puas hati saya tadi! Dah lama sangat saya nak buat macam tu. Tak sangka hari ni ada peluang!” kata Hazriq, tersenyum lebar.

Dahiku berkerut. “Tapi nanti kalau dia report polis macam mana? Tak pasal- pasal awak kena tangkap nanti!”

“Tangkaplah, saya tak takut! Bagi saya, saya tak buat apa- apa kesalahan pun!” jawab Hazriq dengan serius.

Macam mana aku hendak nasihat dia lagi? Tapi apa lagi yang aku boleh buat pun? Semuanya sudah terjadi. Harap- haraplah Furqan tidak memanjangkan hal tadi.

“Tapi terima kasih kerana pertahankan saya. Awak memang adiwira yang hebat!” kataku, membuatkan Hazriq tersenyum bangga.

“Saya dah cakap saya ni Power Ranger awak! Mempertahankan awak tu kan tanggungjawab saya!”

Aku hanya tergelak. Nampaknya aku terhutang budi lagi kepada dia.

 

 

Beberapa bulan berlalu dengan pantas. Tuntutan kerja dan kesibukkan belajar membuatkan aku tidak sedar ia berlalu pergi secepat itu. Satu hari, semasa bekerja ibu menghantar pesanan melalui WhatsApp;

 

Dyana sudah selamat melahirkan anak lelaki pagi tadi. Ibu nak melawat dia. Kamu nak ikut?

 

Aku tahu ibu tidak bersungguh- sungguh mengajakku. Dia sudah maklum dengan jawapanku. Jadi aku membalas mesejnya, menolak dengan baik. Aku pasti ibu mengerti kenapa. Lagipun sejak dari hari itu, aku memang mengelak dari bertemu dengan mereka. Furqan sendiri menjauh dan pura- pura tidak mengenali aku jika kami bertembung.

Aku menghela nafas, merenung ke depan tanpa benar melihat. Otakku memikirkan banyak perkara. Secara jujur, aku tidak pernah salahkan bayi itu.

 

“Setiap anak dilahirkan dlm keadaan fitrah (Islam), maka kedua orang tuanyalah yg menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.” (HR. al-Bukhari&Muslim)

 

Aku sedar yang anak itu langsung tidak bersalah. Tapi mungkin kerana ibu bapanya, aku sukar untuk menerima kewujudan dia. Tapi lain bagi ibu dan ayah. Kehadiran seorang cucu membuatkan ibu dan ayah berasa teruja. Tidak lekang pujian dari mulut mereka setiap kali pulang dari melawat anak kecil itu. Comellah. Sihatlah. Pandailah. Apa yang pandainya seorang bayi pun aku tidak faham. Boleh dikatakan hampir setiap hati mereka melawat bayi itu yang merupakan cucu sulung mereka. Tambahan pula, ayah telah bersara sekarang. Jika aku balik ke rumah yang kosong selepas pulang dari kerja, hampir besar kemungkinan mereka berada di rumah Aunty Sofea dan Uncle Hadi.

Danish namanya. Kata ibu, dia saling tidak tumpah wajah Dyana. Malah lesung pipit yang menyerikan wajah Dyana juga kelihatan di kedua pipi bayi itu. Entah setakat mana kebenarannya kerana aku tidak pernah melihat anak itu.

Masa semua orang terus berlalu biarpun masaku berhenti. Aku patut berusaha lebih keras untuk terus melangkah ke depan, kan?

No comments:

Post a Comment