Sunday, October 11, 2020

Bab 23

 

Hujung minggu barulah aku berkesempatan untuk berjumpa dengan Hazriq.

“Masamnya muka,” komen Hazriq.

“Sorry, penat sikit akhir- akhir ni,” jawabku.

“Banyak sangatkah kerja di pejabat?” tanya Hazriq.

Aku menjeling dia, pura- pura marah. “Ini semua salah syarikat awak!”

Hazriq menjungkit kening. “Apa yang kami dah buat?”

“Sebab promosi yang syarikat awak buat tu, pelanggan kami bertambah secara mendadak. Sebab tu lah kerja kami pun banyak,” jawabku.

“Syarikat kami memang yang terbaik!” kata Hazriq, seraya tersengih.

“Seronok pula dia,” perliku.

Hazriq masih tersengih, langsung tidak terkesan.

“Saya belanja awak aiskrim,” kata Hazriq.

“Untuk apa?” soalku cuak.

“Sebagai tanda minta maaf kerana kerja awak dah bertambah.”

Dia berguraukah? Dia ingat aiskrim boleh buat aku rasa gembira?

 

 

Aiskrim memang boleh menggembirakan aku, walaupun aku tidak akan sesekali mengaku kepada dia. Hazriq belikan juga aku aiskrim walaupun aku tidak memberi jawapan. Jadi kami berdua menikmati aiskrim sambil duduk di bangku di tepi jalan.

“Sedap juga makan aiskrim panas- panas macam ni,” komen Hazriq.

“Lagi sedap bila orang belanja!” kataku dengan selamba.

Hazriq tidak membalas, cuma tergelak.

“Sekarang jarang dapat jumpa awak? Sibukkah?” tanyaku.

“Boleh tahan. Kami pun banyak projek juga. Maklumlah pekerja syarikat kami pandai buat kerja!” jawab Hazriq, membangga diri.

Menyesal pula aku tanya!

Telefon Hazriq berdering ketika itu. Sempat aku mengerling skrin, melihat nama Azzwa yang terpamer. Hazriq tersenyum, bingkas bangun untuk  menjawab.

Pada ketika itu, aku tidak pasti kenapa, terselit rasa tidak senang hati. Kenapa rasa begini? Hesy, jangan fikir banyak! Aku segera menghabiskan aiskrim yang makin cair. Pembalutnya aku masukkan ke dalam tong sampah.

“Assalamualaikum.”

Aku kenal pemilik suara itu. Justeru aku tidak terus berpaling. Aneh bagaimana kami beberapa kali bertembung begini. Hari itu pun aku sedang berjumpa Hazriq, hari ini pun sama.

“Waalaikumsalam,” jawabku acuh tidak acuh.

“Kenapa awak ada di sini?” tanyanya.

Aku tidak menjawab. Pelik juga dia hendak menegur aku. Kali terakhir kami bercakap pun ialah semasa dia menengking aku di hospital tempoh hari. Dia sudah lupakah?

Dia mengeluh. “Hentikan perangai budak- budak awak. Belajarlah jadi dewasa. Sampai bila awak nak macam ni?”

Aku berpaling memandang wajah Furqan yang sangat menyakitkan hati pada ketika ini.

“Maksud menjadi dewasa itu apa? Terima saja apa yang orang lain buat? Kena pijak pun tak apa? Begitu?” sindirku.

“Belajar untuk terima yang dunia ini bukan berputar mengelilingi awak. Saya akui apa yang berlaku salah saya. Tapi saya dah berusaha untuk minta maaf. Dan saya minta maaf juga untuk apa yang saya cakapkan pada awak di hospital hari tu. Saya marah dengan apa yang berlaku sebab tu saya boleh cakap macam tu.”

“Maaf itu mudah sebenarnya. Setakat cakap, ‘Saya minta maaf’, macam tu saja. Tapi bila selalu diucap, ia bagaikan tak ikhlas,” kataku.

“Habis awak nak saya buat apa?”

Pada ketika itu, Hazriq kembali dari berbual dengan Nurrul Azzwa. Furqan yang nampak Hazriq terus mencerlung mata.

“Awak datang dengan dia?” Furqan merenung Hazriq. Hazriq sendiri membalas renungan itu dengan wajah yang jengkel.

Aku tidak menjawab soalan Furqan itu. Bagiku siapa pun yang datang dengan aku, dia tidak perlu tahu. Namun sikapku itu membuatkan Furqan tidak puas hati.

“Kamu berdua memang tak habis- habis berjumpa. Betulkah tak bercinta? Atau tak mengaku?” soal Furqan.

“Betul atau tidak, itu bukannya urusan kau!” jawabku.

“Betul juga. Tapi aneh juga perangai awak. Saya tak pernah tahu awak macam ni. Memang bagus saya ambil keputusan untuk tinggalkan awak dulu,” kata Furqan dengan sinis.

Kurang ajar! Tapi sebelum sempat aku membalas, Hazriq yang bertanya dengan marah.

“Apa maksud kau ni?” herdik Hazriq. “Apa masalah kau ni sebenarnya?”

Takut pula aku tengok dia marah sebegitu.

“Aku tak bercakap dengan kau, jadi tak perlu masuk campur,” kata Furqan.

“Bila kau bercakap macam tu dengan dia, ini dah jadi masalah aku. Tak kira apa kau fikir, aku akan tetap masuk campur juga!” balas Hazriq.

Furqan tergelak sinis. “Dia boleh terus gembira dengan orang lain tapi dia tak benarkan adik sendiri bahagia. Sampai hendak berjumpa pun tak mahu. Dyana macam orang bodoh asyik minta maaf berkali- kali tapi kakak dia langsung tak mahu maafkan dia.”

“Aku dengan Hazriq bukannya ada apa- apa pun!” bentakku.

Furqan mengerling kami berdua. “Awak nak menipu siapa?”

“Jangan ingat kalau kau pernah curang, orang lain pun sama macam kau,” kataku dengan geram.

“Betul juga tu. Tapi sebab saya pernah lalui jadi saya tahu. Mungkin awak pun akan jadi macam saya!” balas Furqan.

Berkerut aku mendengar kata- kata Furqan. Sudahlah tidak membangkang, malah mengaku dan menasihati aku. Tapi nasihat itu lebih kepada sindiran bagiku.

Hazriq mendekati Furqan dengan wajah menyingga. “Kalau kau tak mahu aku patahkan rahang kau tu, baik kau diam! Sejak tadi, tak ada satu benda pun yang baik keluar dari mulut kau!”

Furqan tergelak mendengar kata- kata Hazriq. Entah apa yang lucunya.

“Kenapa? Kau nak kahwin dengan dia? Sebab tu sibuk nak pertahankan dia?” sindir Furqan.

“Apa salahnya! Kalau jodoh aku dengan dia, aku akan kahwin dengan dia. Rania terlalu baik untuk orang macam kau!” jawab Hazriq.

Aku tidak fikir yang dia sedar tentang kesan kata- katanya itu. Aku tahu dia tidak maksudkannya tapi aku rasa wajahku merona merah sekarang.

Furqan tergelak sinis. “Kau cakap macam kau kenal dia. Kau tahukah dia sebenarnya orang yang macam mana?”

“Walaupun aku kenal dia tak selama kau kenal dia, tapi aku yakin aku kenal dia lebih baik dari kau!” balas Hazriq.

“Jadi kau pun tahu betapa busuknya hati dia? Cuma dia yang boleh gembira, orang lain tidak! Semata- mata kerana ego dia, dia buat Dyana merana. Orang macam ni yang kau kata baik? Kau dah buta agaknya!” kata Furqan dengan keras.

Suaranya yang kuat itu menarik perhatian beberapa orang yang berada di kawasan ini. Mereka memerhatikan kami sambil berbisik- bisik sesama mereka.

Hazriq tergelak sinis, tidak membalas. Dia merenung Furqan seketika sebelum tiba- tiba menghayun penumbuk ke wajah lelaki itu. Aku yang terkejut menjerit kecil. Aku sendiri tidak menyangka Hazriq akan bertindak begitu.

Hazriq tersenyum puas. “Dah lama aku nak buat macam ni! Hari ni tercapai juga hasrat aku!”

Furqan bangun dengan marah, mencengkam kolar baju Hazriq. Tangannya diangkat, bersedia untuk membalas. Hazriq sendiri nampak seperti bersedia untuk melawan balik.

“Sudah!” tengkingku. “Kalian dah gila? Orang tengah tengok, tak malukah?”

Mereka menjauhkan diri dengan segera walaupun wajah masing- masing masih menyingga marah.

“Tak apa Hazriq, biarlah,” kataku, kemudian memandang Furqan. “Sampaikan kata- kata aku ini pada Dyana, tak perlu kejar aku untuk minta maaf lagi. Jauhkan saja diri dari aku. Lebih bagus kalau dia jangan tegur aku langsung! Terus bergaduh macam ni pun tak guna. Dan kau pun baik jangan tegur aku lagi lepas ni kalau tak mahu sakit hati macam ni. Antara kita bertiga tak mungkin akan kembali seperti dulu lagi. Baik kita uruskan hal masing- masing.”

Aku memandang Hazriq. “Jom, kita pergi tempat lain.”

Tanpa menunggu dia, aku terus berjalan. Tapi aku tahu dia akan mengikut di belakangku juga. Aku juga tidak peduli sama ada Furqan setuju atau tidak, itu bukan urusan aku.

Hazriq mengekoriku hingga aku masuk ke sebuah kafe. Aku terus duduk di meja yang kosong berdekatan dengan pintu masuk. Tanpa berkata apa- apa, Hazriq turut melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan.

Seorang pelayan terus datang untuk mengambil pesanan.  Dia meletakkan menu di depan kami.

“Cik nak order apa?” tanya pelayan itu dengan mesra.

“Air kosong,” jawabku.

“Saya pun sama,” jawab Hazriq.

“Makan?”

“Saya tak nak makan,” jawabku.

Pelayan itu memandang Hazriq. Dia tersenyum kambing, menggeleng. Raut wajah pelanggan itu terus berubah. Dia memandang kami berdua dengan jengkel sebelum mengambil menu dan berlalu.

“Awak okay?” tanya Hazriq.

Aku hanya mengangguk.

“Betul tak nak makan? Mereka dah tengok kita dengan pelik,” kata Hazriq.

“Biarlah apa mereka nak cakap,” kataku.

Suasana bening berlalu. Pelayan datang menghantar pesanan kami.

“Maaf awak pun terlibat tadi,” kataku dengan tiba- tiba.

Hazriq tersenyum, mengibas tangan. “Masalah awak, masalah saya juga, kan?”

“Tak, saya tak patut libatkan awak dalam hal ni. Saya minta maaf juga untuk kata- kata dia tadi.”

“Dia yang cakap, kenapa awak yang minta maaf?” Hazriq mengerut dahi.

“Sebab saya rasa bersalah pada awak,” jawabku dengan sugul.

“Tak perlulah rasa bersalah. Awak tak buat apa- apa salah pun pada saya. Lagi satu, puas hati saya tadi! Dah lama sangat saya nak buat macam tu. Tak sangka hari ni ada peluang!” kata Hazriq, tersenyum lebar.

Dahiku berkerut. “Tapi nanti kalau dia report polis macam mana? Tak pasal- pasal awak kena tangkap nanti!”

“Tangkaplah, saya tak takut! Bagi saya, saya tak buat apa- apa kesalahan pun!” jawab Hazriq dengan serius.

Macam mana aku hendak nasihat dia lagi? Tapi apa lagi yang aku boleh buat pun? Semuanya sudah terjadi. Harap- haraplah Furqan tidak memanjangkan hal tadi.

“Tapi terima kasih kerana pertahankan saya. Awak memang adiwira yang hebat!” kataku, membuatkan Hazriq tersenyum bangga.

“Saya dah cakap saya ni Power Ranger awak! Mempertahankan awak tu kan tanggungjawab saya!”

Aku hanya tergelak. Nampaknya aku terhutang budi lagi kepada dia.

 

 

Beberapa bulan berlalu dengan pantas. Tuntutan kerja dan kesibukkan belajar membuatkan aku tidak sedar ia berlalu pergi secepat itu. Satu hari, semasa bekerja ibu menghantar pesanan melalui WhatsApp;

 

Dyana sudah selamat melahirkan anak lelaki pagi tadi. Ibu nak melawat dia. Kamu nak ikut?

 

Aku tahu ibu tidak bersungguh- sungguh mengajakku. Dia sudah maklum dengan jawapanku. Jadi aku membalas mesejnya, menolak dengan baik. Aku pasti ibu mengerti kenapa. Lagipun sejak dari hari itu, aku memang mengelak dari bertemu dengan mereka. Furqan sendiri menjauh dan pura- pura tidak mengenali aku jika kami bertembung.

Aku menghela nafas, merenung ke depan tanpa benar melihat. Otakku memikirkan banyak perkara. Secara jujur, aku tidak pernah salahkan bayi itu.

 

“Setiap anak dilahirkan dlm keadaan fitrah (Islam), maka kedua orang tuanyalah yg menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.” (HR. al-Bukhari&Muslim)

 

Aku sedar yang anak itu langsung tidak bersalah. Tapi mungkin kerana ibu bapanya, aku sukar untuk menerima kewujudan dia. Tapi lain bagi ibu dan ayah. Kehadiran seorang cucu membuatkan ibu dan ayah berasa teruja. Tidak lekang pujian dari mulut mereka setiap kali pulang dari melawat anak kecil itu. Comellah. Sihatlah. Pandailah. Apa yang pandainya seorang bayi pun aku tidak faham. Boleh dikatakan hampir setiap hati mereka melawat bayi itu yang merupakan cucu sulung mereka. Tambahan pula, ayah telah bersara sekarang. Jika aku balik ke rumah yang kosong selepas pulang dari kerja, hampir besar kemungkinan mereka berada di rumah Aunty Sofea dan Uncle Hadi.

Danish namanya. Kata ibu, dia saling tidak tumpah wajah Dyana. Malah lesung pipit yang menyerikan wajah Dyana juga kelihatan di kedua pipi bayi itu. Entah setakat mana kebenarannya kerana aku tidak pernah melihat anak itu.

Masa semua orang terus berlalu biarpun masaku berhenti. Aku patut berusaha lebih keras untuk terus melangkah ke depan, kan?

Saturday, October 10, 2020

Bab 22

 

Kerja di pejabat bertambah- tambah akhir- akhir ini. Memandangkan produk yang dilancarkan baru- baru ini mendapat sambutan hangat, kami tidak menang tangan menguruskan permintaan dari pelanggan. Nampaknya syarikat Hazriq telah mengadakan promosi yang sangat berkesan!

Tapi kenapa kerja aku seperti lebih banyak dari orang lain?

Aku mengerling Zura dan Kak Diba yang berbual- bual. Kerja banyak begini pun masih ada masa untuk berbual- bual? Atau mereka tidak ada kerja untuk dibuat sebenarnya?

“Rania, siapkan laporan ni juga!” arah Encik Anas.

Di tangannya ada beberapa keping fail. Biar betul? Aku ada dua laporan yang aku berusaha untuk siapkan sejak semalam. Sekarang dia menambah kerjaku lagi? Macam mana aku hendak siapkan dengan segera? Semua laporan perlu di hantar awal pagi esok.

“Tapi saya ada dua laporan yang saya perlu buat sekarang,” bantahku.

Aku berpaling untuk mencadangkan Zura atau Kak Diba tapi mereka menaip dan membuat kerja dengan sangat serius. Baru tadi aku nampak mereka berbual- bual!

Encik Anas menghela nafas. “Tak ada orang lain yang akan buat. Semua orang pun sibuk, bukan cuma awak seorang. Jadi awak memang tak ada pilihan. Lagipun saya rasa awak boleh lakukannya. Cuma satu laporan saja lagi.”

Aku tidak sempat membantah apabila Encik Anas letakkan fail- fail itu dimejaku dengan kasar. Dia terus kembali ke biliknya. Makin bertambah kerja aku! Aku mengerling Zura dan Kak Diba yang tergelak- gelak. Mereka main- mainkan akukah?

Tapi terus meradang pun tak guna. Kerja bukannya akan selesai dengan sendiri. Akhirnya aku teruskan kerja dengan mengetap bibir. Nasib baik dua laporan yang awal sudah masuk fasa akhir. Boleh aku mulakan laporan yang baru ini.

Menjelang waktu rehat tengah hari, semua orang bergegas keluar. Aku masih ada beberapa perkara yang perlu ditaip sebelum aku bersedia untuk keluar makan. Tapi tiba- tiba komputerku padam.

“Eh, kenapa?!” Kuat juga aku menjerit.

Laporan yang aku hampir siapkan! Kenapa padam? Elektrik tidak ada masalah. Apa yang sudah berlaku? Tak kan komputer tiba- tiba rosak? Aku tunduk, melihat plug di tepi meja. Eh, tutup! Siapa yang tutup komputer aku?

“Siapa yang tutup?” tanyaku tanpa merujuk kepada sesiapa.

“Ah, komputer awakkah? Maaf! Saya nak tutup komputer saya sebenarnya,” balas Zura dengan raut wajah yang bersalah. Tapi aku tahu dia langsung tidak rasa begitu. Aku sudah kenal dia untuk tahu dia hanya berpura- pura.

“Tak kan tak kenal plug komputer sendiri? Awak dah kerja lama di sini! Duduk di meja yang sama sejak dulu pula tu!” kataku, meradang dengan sikapnya.

Aku berusaha gigih untuk siapkan laporan, sekarang pasti banyak yang hilang. Bagaimana aku hendak siapkan kerja dengan cepat?

“Janganlah kecil hati sangat! Saya dah minta maaf pun, awak nak saya buat apa lagi?” soal Zura dengan wajah masam.

“Kecil hati awak cakap? Ini bukan masalah kecil tau tak? Selama ni awak tak pernah tutup komputer pun bila nak pergi berehat. Kenapa tiba- tiba hari ni gatal pula nak tutup?” herdikku.

“Eh, saya punya sukalah nak tutup ke tidak! Saya dah cakap saya tak sengajalah!” Zura juga tidak kurangnya meninggi suara kembali.

“Betul tu, dia bukannya sengaja!” sokong Kak Diba.

“Habis laporan yang saya dah taip tadi macam mana? Banyak yang saya dah siapkan,” kataku.

“Manalah saya tahu! Saya memang tak sengajalah! Jomlah kak, orang dah minta maaf pun tengking- tengking lagi!” kata Zura, terus berjalan pergi.

Kak Diba mengikut di belakangnya. Habis macam mana dengan laporan aku yang hilang ni? Tak ada rasa tanggungjawab langsung!Aku terasa bagaikan hendak menangis.

Selepas seketika, aku hidupkan komputer kembali untuk melihat apa yang berjaya diselamatkan oleh fungsi Auto Recovery. Kecewa aku lihat apabila ada beberapa muka surat yang hilang kerana tidak disimpan oleh fungsi itu sebelum komputer dipadam. Tapi ini lebih baik daripada tidak ada langsung.

Aku menghela nafas. Nampaknya aku perlu lupakan rehat hari ini. Apa sekalipun aku akan hantar juga semua laporan ini awal pagi esok. Apa tak akan biarkan mereka kalahkan aku!

 

 

“Kenapa tak boleh?” tanya Hazriq.

“Saya ada banyak kerja nak buat. Memang tak sempat,” jelasku.

Hazriq seperti tidak berpuas hati. Dia menelefonku untuk mengajakku makan tengah hari memandangkan dia berada di kawasan berdekatan. Kalau boleh aku memang hendak berjumpa dengan dia tapi apa boleh buat.

“Habis tak kan awak tak makan tengah hari?”

“Alah setakat makan tengah apa, tak apalah! Lagipun masa bulan puasa tak makan tengah hari tak apa pun.”

“Itu bulan puasa. Bulan puasa tak apa, memang tak rasa lapar,” kata Hazriq.

“Tak apalah awak, jangan risau. Okay, saya memang sibuk ni. Lain kalilah kita makan tengah hari sama- sama, ya?” pujukku.

“Hmm, ya lah,” kata Hazriq, setuju juga akhirnya.

Aku kembali sibuk dengan kerja. Ruang pejabat sunyi kerana hampir kesemua pekerja keluar berehat. Hanya bunyi papan kekunci komputer aku yang kedengaran.

Tiba- tiba pintu depan dikuak. Terkejut besar aku! Maklumlah pejabat terlalu sunyi, bunyi pintu pun kedengaran terlalu kuat. Seorang pengawal keselamatan melangkah masuk. Dia memandang ke sekeliling sebelum terpandang aku yang memerhatikan dia dari mejaku.

“Cik ni Cik Rania?” tanya pengawal itu.

Aku mengangguk, terkejut apabila dia tahu namaku. Pengawal itu melangkah masuk dengan beg kertas di tangan.

“Ini untuk cik,” katanya, menghulurkan beg kertas itu kepadaku.

“Untuk saya?” Ulangku, merenung beg itu. “Siapa yang bagi?”

“Seorang lelaki. Katanya, cik kenal dia.”

“Siapa?” tanya hairan.

“Katanya nama dia Power Ranger,” jawab si pengawal dengan muka lucu.

Tergelak aku mendengarnya. Aku mengambil beg kertas yang dihulurkannya kemudian mengucapkan terima kasih kepada pengawal itu. Macam- macamlah Hazriq ni. Tapi apa yang dia hantar ni? Aku membuka beg kertas itu dengan penuh rasa ingin tahu.

Tersenyum aku melihat makanan dan minuman yang berada dalam beg kertas itu. Ada nota yang diletakkan di dalam.

 

Buat Cik Bidadari,

Kerja kuat tak apa, tapi jangan lupa untuk makan. Jaga diri awak, ya?

 

Dari Power Ranger.

 

Nasib baik dia tak beritahu pengawal untuk cari ‘Cik Bidadari’. Kalau tidak malu besar aku! Aku mencapai telefon.

 

Terima kasih Encik Power Ranger, saya akan makan.

 

Okay, selamat menjamu seleraJ

 

Aku tersenyum sendiri, membuka bungkusan makanan. Boleh aku makan sambil teruskan kerja. Bertimbang rasa juga adiwira aku ni!

 

 

Zura dan Kak Diba yang pulang dari rehat juga saling berpandangan apabila nampak aku masih duduk di meja, tekun menyiapkan kerja. Ingat aku akan mengalahkah? Jangan harap! Sabotajlah sepuas hati kalian!

Bila tiba waktu pulang, aku masih lagi duduk di meja. Ada beberapa fail yang tidak dibenarkan untuk dibawa keluar dari pejabat. Jadi aku perlu siapkan bahagian- bahagian yang perlu di rujuk dahulu. Selebihnya akan aku teruskan di rumah. Hampir pukul sepuluh baru aku tinggalkan pejabat.

“Lewat kamu pulang hari ni,” tegur ibu.

“Kerja banyak ibu,” jawabku.

“Makanlah dulu, nanti buat apa yang kamu hendak buat,” kata ibu.

 Aku segera berlalu, menurut kata- kata ibu. Lebih cepat aku makan, lebih cepat aku boleh sambung kerja kembali. Semangatku untuk menyiapkan semua laporan sangat berkobar- kobar.

 

 

Awal- awal pagi aku letakkan laporan di atas meja Encik Anas. Dia perlu bawa masuk ke mesyuarat tengah hari nanti. Walaupun aku berjaga hingga pukul tiga pagi semalam, aku masih boleh bangun awal untuk datang kerja.

“Hebat juga awak. Biarpun saya tambah beban kerja awak, awak masih boleh siapkan laporan yang baik macam ni tepat pada masanya,” komen Encik Anas sambil meniliti laporanku.

Aku hanya tersenyum. Bangga juga bila dipuji begitu.

“Awak sambung belajar lagi, kan?” tanya Encik Anas.

“Ya, PJJ di UiTM,” jawabku.

“Ijazah? Bidang apa?”

“Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan bahagian Pengurusan Operasi.”

Encik Anas tersenyum mendengar penjelasanku.

“Teruskan belajar. Dengan sikap awak ni, insya Allah ada peluang yang cerah untuk awak nanti!” kata Encik Anas.

“Baik, encik!” balasku dengan senyum lebar. “Terima kasih!”

Selepas kembali ke mejaku pun, senyum masih tidak lekang di bibir. Aku tidak peduli dengan Zura dan Kak Diba yang berbisik- bisik sesama mereka. Cakaplah apa saja yang kamu berdua mahu, aku tidak akan biarkan kamu berdua atau orang lain jatuhkan aku lagi.

Bab 21

 

Seminggu berlalu, Dyana akhirnya dibenarkan keluar dari hospital. Aunty Sofea meminta dia tinggal bersama dia dan Uncle Hadi kerana risaukan keadaan dia yang hamil. Memandangkan dia tinggal di sana, ibu kerap melawat Dyana di rumah mertuanya pula. Ibu berkali- kali mengajak aku pergi bersama, tapi aku menolak. Untung ibu tidak memaksa. Dari ibu aku dapat tahu yang Dyana semakin sihat.

Rutin hidupku diteruskan seperti biasa. Dua minggu sekali aku perlu menghadiri kelas. Ramai yang lebih muda dari aku dalam kelas. Kadang- kadang segan juga walaupun aku bukanlah yang paling tua datang untuk belajar. Tapi tidak ada had untuk menimba ilmu. Jadi aku tebalkan muka dan abaikan saja.

Memandangkan minggu ini aku ada kelas, awal pagi lagi aku sudah sampai ke Shah Alam. Di dalam kelas aku mendapat mesej dari Hazriq.

 

Assalamualaikum, ada di mana?

 

Kelas. Petang nanti baru balik.

 

Lepas kelas awak, kita boleh jumpa tak?

 

Boleh! Di mana?

 

Selepas seharian di kelas, aku memang hendak buat sesuatu yang menyeronokkan. Kepalaku pening dengan fakta dan nombor. Selepas membaca tentang lokasi dan masa yang dihantar, cepat- cepat aku kembali memberi tumpuan kepada kelas.

Aku rasa aku dan Hazriq  memang sering bertemu akhir- akhir ini. Kadang- kadang Hazriq datang untuk makan tengah hari bersama aku. Bila aku tanya tentang sama ada Nurrul Azzwa kisah atau tidak, katanya gadis itu selalu sibuk dan dia sudah beritahu hendak makan bersama aku. Aneh betul hubungan mereka!

“Kakak, nak pergi makan sama- sama sebelum balik?” ajak seorang rakan sekelas yang selalu membantu aku membuat tugasan.

Aku tersenyum kecil. “Tak bolehlah, ada hal lagi lepas ni!”

Rakannya tergelak. “Datinglah tu!”

Dating? Aku dan Hazriq? Hmm, hubungan kami bukan begitu. Paling penting Hazriq tidak fikir begitu. Tapi tidak perlulah aku terangkan pada mereka.

 

 

Hampir setengah jam kami berdiri di tepi jalan sambil merenung kereta yang lalu- lalang, aku mula rasa bosan.

“Apa tujuan awak ajak saya keluar sebenarnya tadi?” tanyaku sambil melihat sekeliling.

“Sebab saya bosan!” jawab Hazriq.

“Setakat nak tengok kereta macam ni ajaklah Azzwa keluar, kenapa ajak saya?” rungutku.

“Dia ada ke Singapura. Dah seminggu pun! Dah tak ada siapa, saya ajaklah awak!” jawabnya dengan selamba.

“Terharunya, saya pilihan terakhir awak!” sindirku, menjeling dia.

Hazriq hanya tersengih macam kerang busuk. Hmm, sudahlah! Marah pun tak ada guna! Tapi lama- lama di sini bosan juga. Kena tukar strategi!

“Saya lapar!” kataku.

“Tadi masa saya tanya awak, awak cakap tak lapar! Nak pergi jalan, awak cakap penat!” jawab Hazriq.

“Habis tak kan tunggu di sini? Lama- lama macam ni, saya bosanlah!” kataku.

“Nak makan di mana?” Hazriq menurut akhirnya.

“Mana- manalah.”

“Mana- mana?” Hazriq tersenyum nakal. 

 “Di situ! Kita makan di situ!” Cepat- cepat aku menunjuk ke sebuah kafe kecil yang berada di belakang kami.

Hazriq tergelak tapi berjalan ke kafe itu juga. Bahaya juga dia ni kadang- kadang. Loyar buruknya boleh tahan!

Selesai makan aku terus mencadangkan agar kami berjalan- jalan di sekitar kawasan ini. Kalau tidak entah- entah kami akan merenung kereta yang lalu- lalang seperti tadi. Pelik betul perangai Hazriq hari ini!

“Awak ada masalah?” tanyaku.

“Kenapa pula awak tanya macam tu?” tanya Hazriq.

“Saya tengok awak lain sikit hari ni.”

Hazriq menghela nafas. “Tak adalah masalah besar sangat.”

“Habis masalah apa yang kecil tu.”

Hazriq mengeluh. “Biasalah, tentang kerja.”

“Pasal tu saja?” tanyaku.

“Habis awak nak pasal apa lagi?”

“Manalah tahu. Cintakah? Hidupkah? Lain- lainkah?”

“Lain- lain?” Hazriq menjungkit kening.

“Habis idea nak cakap apa.”

Hazriq tergelak. “Macam- macamlah awak ni!”

Langkah kami terhenti apabila perasan pasangan yang berdiri tidak jauh dari kami. Melihat dari beg- beg yang dibawa, mereka mungkin baru pulang dari membeli- belah barangan bayi. Masing- masing kelihatan gembira sehingga tidak sedar dengan kehadiran aku dan Hazriq.

“Eh, itu-”

Aku segera memotong kata- kata Hazriq. “Jom, kita ke tempat lain!”

Terus aku berjalan tanpa peduli Hazriq setuju atau tidak. Hazriq akhirnya mengekori dari belakangku.

“Kakak!” Terdengar Dyana memanggil tetapi aku pura- pura tidak mendengar.

Terdengar suara Dyana berjalan sambil memanggil tapi aku masih tidak berpaling. Seketika kemudian, dia akhirnya diam. Aku sempat berpaling melihat Furqan menarik tangan Dyana sambil berkata sesuatu kepadanya sebelum aku teruskan perjalanan. Mungkin dia sedang menenangkan Dyana yang menangis lagi.

Hazriq mengerling aku tapi dia tidak memberi komen. Tengok, mudah untuk mengelak dari bergaduh. Aku harap mereka tidak akan pedulikan aku selepas ini. Kalau kami tidak bertemu, bagaimana hendak bertengkar, kan? Orang selalu cakap yang masa boleh mengubati luka di hati. Kalau itu benar, aku rasa masa itu bukannya sekarang.