Seminggu
berlalu, Dyana akhirnya dibenarkan keluar dari hospital. Aunty Sofea meminta
dia tinggal bersama dia dan Uncle Hadi kerana risaukan keadaan dia yang hamil.
Memandangkan dia tinggal di sana, ibu kerap melawat Dyana di rumah mertuanya
pula. Ibu berkali- kali mengajak aku pergi bersama, tapi aku menolak. Untung
ibu tidak memaksa. Dari ibu aku dapat tahu yang Dyana semakin sihat.
Rutin
hidupku diteruskan seperti biasa. Dua minggu sekali aku perlu menghadiri kelas.
Ramai yang lebih muda dari aku dalam kelas. Kadang- kadang segan juga walaupun
aku bukanlah yang paling tua datang untuk belajar. Tapi tidak ada had untuk
menimba ilmu. Jadi aku tebalkan muka dan abaikan saja.
Memandangkan
minggu ini aku ada kelas, awal pagi lagi aku sudah sampai ke Shah Alam. Di
dalam kelas aku mendapat mesej dari Hazriq.
Assalamualaikum,
ada di mana?
Kelas. Petang nanti baru
balik.
Lepas
kelas awak, kita boleh jumpa tak?
Boleh! Di mana?
Selepas
seharian di kelas, aku memang hendak buat sesuatu yang menyeronokkan. Kepalaku
pening dengan fakta dan nombor. Selepas membaca tentang lokasi dan masa yang
dihantar, cepat- cepat aku kembali memberi tumpuan kepada kelas.
Aku
rasa aku dan Hazriq memang sering
bertemu akhir- akhir ini. Kadang- kadang Hazriq datang untuk makan tengah hari
bersama aku. Bila aku tanya tentang sama ada Nurrul Azzwa kisah atau tidak,
katanya gadis itu selalu sibuk dan dia sudah beritahu hendak makan bersama aku.
Aneh betul hubungan mereka!
“Kakak,
nak pergi makan sama- sama sebelum balik?” ajak seorang rakan sekelas yang
selalu membantu aku membuat tugasan.
Aku
tersenyum kecil. “Tak bolehlah, ada hal lagi lepas ni!”
Rakannya
tergelak. “Datinglah tu!”
Dating?
Aku dan Hazriq? Hmm, hubungan kami bukan begitu. Paling penting Hazriq tidak
fikir begitu. Tapi tidak perlulah aku terangkan pada mereka.
Hampir
setengah jam kami berdiri di tepi jalan sambil merenung kereta yang lalu-
lalang, aku mula rasa bosan.
“Apa
tujuan awak ajak saya keluar sebenarnya tadi?” tanyaku sambil melihat
sekeliling.
“Sebab
saya bosan!” jawab Hazriq.
“Setakat
nak tengok kereta macam ni ajaklah Azzwa keluar, kenapa ajak saya?” rungutku.
“Dia
ada ke Singapura. Dah seminggu pun! Dah tak ada siapa, saya ajaklah awak!”
jawabnya dengan selamba.
“Terharunya,
saya pilihan terakhir awak!” sindirku, menjeling dia.
Hazriq
hanya tersengih macam kerang busuk. Hmm, sudahlah! Marah pun tak ada guna! Tapi
lama- lama di sini bosan juga. Kena tukar strategi!
“Saya
lapar!” kataku.
“Tadi
masa saya tanya awak, awak cakap tak lapar! Nak pergi jalan, awak cakap penat!”
jawab Hazriq.
“Habis
tak kan tunggu di sini? Lama- lama macam ni, saya bosanlah!” kataku.
“Nak
makan di mana?” Hazriq menurut akhirnya.
“Mana-
manalah.”
“Mana-
mana?” Hazriq tersenyum nakal.
“Di situ! Kita makan di situ!” Cepat- cepat
aku menunjuk ke sebuah kafe kecil yang berada di belakang kami.
Hazriq
tergelak tapi berjalan ke kafe itu juga. Bahaya juga dia ni kadang- kadang.
Loyar buruknya boleh tahan!
Selesai
makan aku terus mencadangkan agar kami berjalan- jalan di sekitar kawasan ini.
Kalau tidak entah- entah kami akan merenung kereta yang lalu- lalang seperti
tadi. Pelik betul perangai Hazriq hari ini!
“Awak
ada masalah?” tanyaku.
“Kenapa
pula awak tanya macam tu?” tanya Hazriq.
“Saya
tengok awak lain sikit hari ni.”
Hazriq
menghela nafas. “Tak adalah masalah besar sangat.”
“Habis
masalah apa yang kecil tu.”
Hazriq
mengeluh. “Biasalah, tentang kerja.”
“Pasal
tu saja?” tanyaku.
“Habis
awak nak pasal apa lagi?”
“Manalah
tahu. Cintakah? Hidupkah? Lain- lainkah?”
“Lain-
lain?” Hazriq menjungkit kening.
“Habis
idea nak cakap apa.”
Hazriq
tergelak. “Macam- macamlah awak ni!”
Langkah
kami terhenti apabila perasan pasangan yang berdiri tidak jauh dari kami.
Melihat dari beg- beg yang dibawa, mereka mungkin baru pulang dari membeli-
belah barangan bayi. Masing- masing kelihatan gembira sehingga tidak sedar
dengan kehadiran aku dan Hazriq.
“Eh,
itu-”
Aku
segera memotong kata- kata Hazriq. “Jom, kita ke tempat lain!”
Terus
aku berjalan tanpa peduli Hazriq setuju atau tidak. Hazriq akhirnya mengekori
dari belakangku.
“Kakak!”
Terdengar Dyana memanggil tetapi aku pura- pura tidak mendengar.
Terdengar
suara Dyana berjalan sambil memanggil tapi aku masih tidak berpaling. Seketika
kemudian, dia akhirnya diam. Aku sempat berpaling melihat Furqan menarik tangan
Dyana sambil berkata sesuatu kepadanya sebelum aku teruskan perjalanan. Mungkin
dia sedang menenangkan Dyana yang menangis lagi.
Hazriq
mengerling aku tapi dia tidak memberi komen. Tengok, mudah untuk mengelak dari
bergaduh. Aku harap mereka tidak akan pedulikan aku selepas ini. Kalau kami
tidak bertemu, bagaimana hendak bertengkar, kan? Orang selalu cakap yang masa
boleh mengubati luka di hati. Kalau itu benar, aku rasa masa itu bukannya
sekarang.
No comments:
Post a Comment