Hujung
minggu selepas jamuan antara syarikatku dan One Event, aku keluar ke kafe
berdekatan rumah. Aku sudah berjanji dengan Hazriq untuk ke pameran. Apabila
pulang nanti, bolehlah aku belanja dia makan seperti yang dijanjikan.
“Rania?”
Aku
mendongak, melihat Imani tercongak di hadapanku.
“Ya?”
“Awak
buat apa di sini?” tanya Imani.
“Tak
ada apa- apalah!”
Kenapa
pula dia di sini? Melihat dia mengingatkan aku pada mereka berdua itu. Dia
tahukah namanya sering disebut mereka berdua?
Dia
merenungku seketika. “Boleh saya duduk?”
Aku
cuma mengangguk. Dalam hatiku tertanya- tanya tujuannya. Kami bukannya rapat.
Malah aku dan dia tidak pernah berbual begini.
“Awak
nak minum tak?” tawarku.
Imani
menggeleng. “Saya nak cakap sekejap saja dengan awak.”
“Tentang
apa?” soalku.
“Pasal
Furqan dan Dyana. Awak dan Furqan tak jadi kahwin, kan?”
Ah,
dia pun tahu! Berapa ramai lagi yang tahu? Perlukah aku pakai topeng untuk
keluar selepas ini. Biarlah! Aku tak buat apa- apa salah pun!
“Ya,
kenapa?”
“Saya
pernah cuba nak beritahu awak, tapi Furqan halang saya,” kata Imani. “Saya
boleh agak apa yang berlaku antara mereka sejak game di Terengganu hari tu.”
“Benda
dah jadi pun,” kataku.
Dia
mengangguk.
“Sejak
itukah awak selalu jumpa Furqan? Sebab nak cakap dengan dia tentang hal tu?”
dugaku.
“Tak,
sebab dia bayar saya untuk tutup mulut!”
Bulat
mataku merenung dia. Tapi Imani nampak tenang.
“Dia
bayar awak?” soalku, bagaikan tidak percaya.
Imani
mengangguk.
“Berapa?”
“Cukup
untuk saya diam hingga majlis awak!”
“Demi
duit, awak sanggup diamkan diri? Awak tak rasa bersalahkah?”
Imani
menjungkit bahu. “Adalah juga. tapi saya memang betul- betul perlukan duit masa
tu. Bila dia tawarkan duit sebanyak tu, saya terimalah! Lagipun awak bukannya
sesiapa pun kepada saya!”
Terkejut
aku dengan jawapannya. Memanglah aku bukan sesiapa, tapi dia tak ada rasa
kasihankah?
“Habis
kalau kami jadi berkahwin, awak nak terus minta duit dari dia?”
“Entahlah,
saya tak fikir sejauh tu!”
Aku
menggeleng. Kenapa aku boleh berjumpa dengan orang sebegini?
“Saya
tak kisah apa yang awak nak fikir tentang saya, saya tak menyesal apa yang saya
buat. Tapi baguslah awak tak kahwin dengan dia, dia memang tak guna!”
“Awak
jumpa saya ni nak cakap tentang hal ni?” tanyaku dengan rasa jengkel terhadap
gadis ini.
Dia
menggeleng. “Saya jumpa awak pun kebetulan. Tapi dah berjumpa, biarlah saya
ceritakan saja. Tahniah sebab tak jadi kahwin dengan dia! Saya minta diri
dulu!”
Seperti
mana dia datang, seperti itu juga dia pergi. Dia terus bangun, berjalan
meneruskan arah tujunya. Aku pula, terhenyak di kerusi.
“Kenapa?”
Hazriq
berjalan ke arahku dengan dahi yang berkerut. Dia terus menarik kerusi untuk
duduk di depanku. Aku ceritakan padanya tentang pertemuanku dengan Imani.
“Kenapa
dia buat macam tu?” soalku perlahan.
“Entahlah,
cuma dia yang tahu. Anggaplah ini salah satu episod dalam hidup awak. Lagipun awak
patut bersyukur yang semuanya dah berlalu, kan?” nasihat Hazriq.
Aku
cuma mengangguk.
“Janganlah
sedih lagi! tak guna fikir banyak- banyak pasal orang macam tu!”
Sekali
lagi aku mengangguk.
“Nak
pergi pameran tu lagi tak?” tanya Hazriq.
“Jomlah!
Duduk di sini pun rasa sakit hati!” balasku.
Sesetengah
orang boleh jadi sangat pentingkan diri. mereka sanggup lakukan apa saja demi
wang, tidak kira siapa pun yang mereka sakiti. Benar kata Hazriq, semua ini
sudah berlalu. Aku harap aku tidak akan berjumpa lagi dengan manusia sebegini.
Masa
berlalu tanpa sedar. Beberapa bulan berlalu pergi begitu saja. Aku tidak pasti
tentang masa boleh mengubat luka tapi sekurang- kurangnya aku tidak terlalu
menderita seperti mula- mula aku disakiti. Ini mungkin juga kerana aku tidak
bertembung dengan mereka itu. Selepas kahwin, mereka langsung tidak pulang menjenguk
ibu dan ayah. Memang mereka ada berbual di telefon tapi cuma setakat itu saja.
Dyana,
menurut ibu, sudah meletakkan jawatan. Buat masa sekarang dia ingin tinggal di
rumah sehingga melahirkan anak. Lagipun terlalu banyak persoalan yang timbul
mengenai perkahwinan yang secara tiba- tiba itu. Jadi keputusan itulah yang
terbaik.
Aku
lebih banyak menumpukan perhatian pada kerja. Bila sibuk begini, sedikit
sebanyak aku akan lupa hal- hal yang lain. Tapi aku masih rasa ada yang boleh
aku lakukan untuk mengubah diri aku lagi.
Aku
tidak bermaksud perubahan sikap atau sebagainya. Aku cuma hendak jadi lebih
baik. Mungkin dari segi ilmu atau sikap. Aku tidak boleh terus berada di takuk
yang lama. Ketika melayari internet, aku terbaca komen tentang pengambilan
pelajar untuk pengajian separuh masa di universiti tempatan. Pada masa itu aku
terus terfikir, mungkin ini yang patut aku lakukan. Menambah ilmu di dada tidak
pernah salah. Mungkin ada kebaikkannya untuk aku kelak.
“Saya nak
belajar semula,” kataku kepada Hazriq apabila kami berbual melalui telefon.
“Betulkah?”
“Ya,
saya ingat nak sambung belajar untuk dapat ijazah. Saya nak buat secara separuh
masa,” kataku.
“Bagus
juga tu. Dalam negarakah?” tanya Hazriq.
“Ya,
mestilah dalam negara. Luar negara tak mampulah,” jawabku.
“Dalam
negara pun tak apa. Awak dah memohon?”
“Dah,
semalam! Awak tak nak belajar dengan saya?” tanyaku.
Hazriq
tergelak. “Cukuplah bertahun- tahun masa saya di universiti. Sekarang saya nak
bekerja. Awak apply universiti mana?”
“Pilihan
pertama saya, UiTM. Kalau tak dapat mungkin saya akan cuba minta universiti
yang lain. Kalau dapat alhamdulillah, ada rezeki saya untuk teruskan
pengajian.”
“Amin,”
kata Hazriq. “Saya yakin awak pasti boleh!”
Aku
menghela nafas. “Saya tak nak terus macam ni. Kalau boleh, saya majukan hidup
saya lagi. Saya akan berusaha untuk segulung ijazah!”
“Saya
akan sokong awak infiniti peratus. Kalau dapat nanti giliran saya pula belanja
awak makan!” janji Hazriq.
“Belanja
makan saja? Penat saya belajar, buat assignment lagi. Tak kan cuma belanja
makan?” tanyaku.
“Awak
nak apa? Mintalah!” tawar Hazriq.
Aku
tergelak. “Saya berguraulah. Belanja makan pun tak apa. Nak makanan yang mahal
sikit, bolehkah?”
“Boleh!
Demi awak, lautan api pun boleh saya renang!”
“Buat
apa nak renang lautan api? Tak ada kaitan pun,” komenku.
“Nak
tunjuk hero, mestilah kena renang lautan api,” jelas Hazriq, membuatkan aku
tergelak besar.
“Mengarut
betul awak ni. Tak payahlah renang lautan api tu, rentung nanti. Siapa pula
hendak belanja saya lepas tu?”
“Betul
juga. Tapi apa pun saya ucapkan selamat berjaya!”
“Terima
kasih.”
Kepada ibu dan ayah juga aku sampaikan keputusan
aku untuk menyambung pengajian. Kedua- duanya menyokong tindakan aku.
Alhamdulillah, restu mereka penting untuk aku. Insya Allah, aku akan belajar
hingga tahap yang tertinggi yang mampu aku capai.
“Bila awak konvo nanti, saya akan
hadiahkan awak sejambak besar bunga yang dibuat dari Ferrero Rocher tu,” kata
Hazriq apabila kami berjumpa untuk makan bersama beberapa lama selepas itu.
Kami memang selalu makan bersama bila
masing- masing tidak sibuk dengan kerja. Siapa yang belanja makan bergantung
kepada giliran. Hari ini giliran aku.
“Insya Allah, tapi saya kena diterima
masuk dulu. Baru boleh graduasi,” kataku.
“Saya yakin awak akan diterima masuk!”
Yakinnya dia. Jadi apabila keputusan
keluar tidak lama selepas itu, selepas ibu dan ayah, dialah orang yang aku
telefon untuk memaklumkan yang aku telah diterima masuk.
“Tahniah, kan saya dah cakap! Awak tak
percayakan saya,” kata Hazriq.
“Mana ada tak percaya?” sungutku.
“Jadi nanti kita jumpa untuk makan macam
yang saya janji,” kata Hazriq.
“Okay!”
Aku tersenyum, berasa teruja. Nampaknya
aku akan kembali menjadi pelajar tidak lama lagi.
Selepas mendaftar, aku secara rasmi menjadi
pelajar separuh masa. Orang pertama yang menelefon ialah Hazriq.
“Dah daftarkah?” tanya Hazriq.
“Ya, dah selesai pun.”
“Jom makan, saya belanja!” katanya dengan
ceria.
“Belanja makan lagi? Sebab daftar saja?”
“Mestilah! Cepat, awak nak makan di
mana?” gesa Hazriq.
Tergelak aku dibuatnya. Beria betul dia.
“Saya nak makan tomyam!” jawabku selepas
berfikir seketika.
“Tomyam saja? Kata nak makanan mahal?”
“Saya berguraulah. Makanan biasa pun tak
apa!”
“Okay, jom! Jumpa di mana?” tanya Hazriq.
Selepas menghantar maklumat kafe, aku
segera bergegas ke kereta. Nampaknya aku perlu belajar lebih rajin nanti.
Selain ibu dan ayah, ada orang lain yang mengharapkan kejayaan aku.
Suasana
di Le Café agak sunyi apabila aku sampai. Selalunya kafe ini sesak dengan
pengunjung hari ini sepi tanpa pengunjung. Aku mengeluarkan telefon untuk
menelefon Hazriq tetapi telefon itu berdering sebelum sempat aku menekan lagi.
“Assalamualaikum,”
sapaku.
“Waalaikumsalam,
saya dah di sinilah!”
“Mana
‘sini’?”
“Pusing
kiri!”
Aku
berpaling, melihat Hazriq yang melambai dengan sengih lebar di meja berdekatan
dinding. Bagaikan terjangkit, aku tersenyum membalas.
“Lama
awak tunggu?” tanyaku apabila sampai kepadanya.
“Tak,
baru sampai,” jawab Hazriq. Kalau lama menunggu pun dia akan memberi jawapan
yang sama.
Dia menghulurkan menu kepada aku. “Awak
nak makan apa, awak order saja!”
“Betul ni?” tanyaku.
“Mestilah! Cepatlah, saya dah lapar ni!”
kata Hazriq.
“Amboi, siapa yang nak makan sebenarnya
ni?”
“Mestilah awak! Tapi saya pun lapar.”
Mengaku
sajalah kalau lapar! Tapi enggan terus bergaduh, aku segera membuat pesanan.
Lagipun perutku sudah mendidih minta diisi. Agaknya kami berdua memang lapar.
Cepat kami habiskan makanan!
Selepas
makan dan berbual- bual, Hazriq meminta diri untuk menjawab panggilan. Nurrul
Azzwa yang menelefon agaknya kerana dia keluar dengan senyum lebar di bibirnya.
Dia ke luar kafe untuk bercakap. Sementara menunggu, aku termangu, melihat-
lihat keadaan di sekeliling.
“Assalamualaikum.”
Suara
itu membuatkan aku berpaling dengan serta- merta. Mataku bulat merenung wajah
Furqan yang tersenyum memandangku.
“Lama
tak jumpa awak. Awak apa khabar?”
Apa
yang membuatkan dia berfikir yang dia boleh menyapaku semesra itu? Dia fikir
aku sudah lupa apa yang dia dan Dyana telah buat? Aku mendengus, mencapai tas
tangan. Satu saat pun aku tidak mahu memandang wajahnya yang menjengkelkan itu!
“Rania,
tunggu!” Dia meraih lenganku tetapi aku cepat- cepat mengelak.
“Jangan
cuba nak sentuh saya! Sekali lagi awak cuba sentuh saya, nahas awak!” ugutku
dengan marah.
Selama
ini pun tidak pernah boleh pegang aku, berani pula dia sekarang!
“Awak
masih marah? Sampai bila awak nak marah?” tanya Furqan. Nadanya bagai bercakap
dengan anak kecil yang degil.
“Sampai
saya mati!” desisku membalas.
“Rania,
saya tahu awak bukan begini orangnya. Saya tahu saya dah buat salah tapi saya
harap awak maafkan kami.”
Aku
memandang dia dengan wajah yang merah menahan marah. “Awak tak tahu saya orang
yang macam mana? In fact, I don’t think you ever know me! Dan untuk maafkan
kamu berdua, itu langsung tak terlintas di fikiran saya!”
“Apa
dah jadi pada Rania yang saya kenal dulu?” Furqan bagaikan mengeluh.
Berani
dia tanya soalan itu. Dia sengaja mencari nahas?
“Dia
dah mati! Awak berdua yang bunuh dia! So please, don’t ever talk like you know
me!” balasku.
Furqan
menghela nafas. “Rania, apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Awak sendiri
percaya pada Qada’ dan Qadar, kan? Saya tahu saya buat silap tapi saya anggap
semua itu adalah ketentuan dari Allah. Awak tak fikir yang semua yang berlaku
ini takdir?”
Terasa
menyirap darahku. “Awak nak ceramah pada saya sekarang?”
“Bukan
macam tu,” Dengan beraninya, Furqan mengeluh. “Setelah apa yang terjadi, saya
terima jodoh saya bukan dengan awak. Awak pun nampaknya dah jumpa pengganti
saya. Saya nampak awak mesra dengan Hazriq-”
Kata-
kata Furqan mati di situ. Sedar- sedar dia sudah basah. Aku tidak sedar bila
aku mencapai gelas jus orenku yang masih berbaki dan menyimbahnya. Dia patut
bernasib baik aku tidak mencapai mangkuk yang masih berbaki dengan kuah tomyam
yang berada di sebelah gelas jus oren itu. Dadaku berombak menahan marah.
“Rania,
apa dah jadi ni?” Hazriq yang baru masuk tergesa- gesa menghampiri kami.
Dia
sendiri terkejut melihat Furqan yang basah dan aku yang bagaikan ingin menangis
kerana marah masih berbaki. Tanpa perlu dicerita, dia sudah mengagak apa yang
telah berlaku.
“I’m
sorry Hazriq, I have to go!” kataku sambil meletakkan gelas dan keluar dengan
terburu- buru. “Terima kasih untuk hari ni.”
“Nanti!”
Hazriq ke kaunter dan menghulurkan dua keping duit lima puluh ringgit kepada
juruwang. “Tak perlu baki!”
Dia
segera menghantar aku ke kereta. “Awak tak apa- apa?”
“Ya,
jangan risau!” balasku perlahan. Tanganku mencari- cari kunci di dalam tas
tangan tetapi agak susah kerana pandanganku mula kabur dengan air mata yang
bergenang.
Hazriq
mengeluarkan sapu tangan dan menghulurkan kepadaku. Dengan diam, aku mengambil
sapu tangan itu dan mengesat air mata dengan rasa geram. Aku merasa marah pada
dia sendiri kerana menangis. Aku juga malu kerana hilang kawalan dan bergaduh
di tempat awam begini.
“Awak
dah okey?” tanya Hazriq.
Aku
cuma mengangguk.
“Baguslah!
Tapi jujur saya nak tanya awak. Kalau saya masuk balik tumbuk dia, awak kisah
tak?”
Terus
aku memandang wajahnya dengan dahi berkerut. “Awak serius ke ni?”
“Mestilah!
Lepas apa dia dah buat, saya betul- betul teringin nak tumbuk dia,” jawab
Hazriq dengan bersungguh- sungguh.
“Tak
payahlah. Jangan timbulkan masalah! Lagipun dah ada orang yang dah tumbuk dia,
jadi awak tak perlu susah- payah!”
“Ya
kah? Siapa?” tanya Hazriq dengan hairan.
“Ayah
saya.”
Hazriq
nampak terkejut, kemudian tergelak kecil.
“Memang
patut dia buat macam tu,” kata Hazriq dengan bibir masih menguntum senyum. Aku
sendiri mengukir senyum.
“Saya
balik dulu,” kataku.
Hazriq
menghela nafas. “Saya telefon awak malam nanti boleh?”
“Nak
buat apa?”
“Saja.”
Aku
tersengih dan mengangguk. “Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Hazriq
berdiri di bibir jalan, menunggu aku memandu pergi. Macam mana Furqan boleh ada
di sini? Tapi rasa puas hati juga lepas simbah jus oren tadi. Sepatutnya dari
dulu aku buat macam ni. Hahaha, padan muka!