Hazriq
menjadi pemandu sepanjang perjalanan pulang setelah beberapa kali bergaduh
dengan aku. Katanya dia lebih percaya yang teknik pemanduannya lebih hebat
dariku.
“Kalau
kita kemalangan pun, saya percaya ia disebabkan oleh masalah yang tak dapat
dielakkan, bukan sebab- sebab lain,” kata Hazriq.
“Sebab
yang macam mana?” tanyaku.
“Teknik
pemanduan yang dahsyat!” balas Hazriq, mengerling aku.
Kurang
ajar betul! Mengata akukah? Sedahsyat mana sangat teknik pemanduan aku? Sehebat
manakah dia? Malah aku telah memandu sampai ke Kedah seorang diri hari itu! Tetapi
kerana sikap keras kepalanya, aku terpaksa biarkan dia yang memandu.
Aku
masih belum membuat keputusan sama ada akan terus pulang atau menetap di tempat
lain buat sementara waktu. Perjalanan yang panjang memberi aku banyak masa
untuk berfikir.
Kalau
boleh aku memang ingin pulang ke rumah, tapi bagaimana jika dua orang itu terus
berada di rumah untuk tempoh yang lebih lama? Macam mana kalau kami
terserempak? Tapi tak mungkinlah! Lelaki itu bekerja di Klang. Selama ini dia
menetap di Shah Alam supaya lebih dekat dengan aku. Sekarang kami sudah tidak
ada kaitan lagi. Buat apa dia terus di sana, kan?
Ouch,
tiba- tiba rasa sakit hati lagi!
Aku
boleh cuba untuk tinggal di rumah seorang kenalan untuk beberapa hari. Walaupun
aku dan dia memang tidak berapa rapat kerana kami cuma rakan sepejabat tetapi
aku pasti dia akan mengizinkan aku menumpang untuk seketika. Tapi dia pasti
akan bertanya kerana dia ialah salah seorang yang telah berjanji untuk hadir ke
resepsiku. Lagipun aku terasa segan untuk meminta izinnya kerana hubungan kami
yang tidak rapat itu.
“Kita
berhenti di R&R Seberang Perak untuk makan tengah hari dan solat dulu?”
cadang Hazriq.
“Bagus
juga tu, saya pun dah rasa lapar,” balasku.
“Kalau
dah lapar kenapa tak cakap, saya boleh berhenti di R&R Gurun tadi.”
“Tadi
tak lapar lagi.”
“Hmm…okey!
Nanti kita berhenti berehat sekejap.”
Aku
kembali merenung ke luar tingkap, cuba mencari solusi untuk masalahku. Akhirnya
aku membuat keputusan untuk tinggal di rumah temanku itu. Jika temanku itu
tidak bersetuju, aku boleh tinggal di hotel bajet untuk beberapa hari.
Sekarang
bagaimana harus aku maklumkan kepada ayah dan ibu tentang hal ini. Tapi ibu dan
ayah belum tahu aku sedang dalam perjalanan pulang. Aku cuma perlu beritahu
mereka yang aku masih perlu mengambil masa untuk pulang. Betul, aku boleh buat
begitu!
Setibanya
di R&R Seberang Perak, aku mengambil peluang untuk menelefon ibu sementara
Hazriq pergi bersolat. Selepas tiga dering ibu menjawab.
“Assalamualaikum.”
Lembut suara ibu di hujung talian, membuatkan rinduku padanya membuak- buak.
“Waalaikumsalam.
Ibu dan ayah apa khabar?” tanyaku.
“Alhamdulillah,
kami sihat. Kamu bagaimana?”
Ibu
ingin tahu keadaanku atau perasaanku?
“Alhamdulillah
ibu, saya tak apa- apa.” Jawapanku mewakili kedua- duanya.
“Baguslah,
ibu dan ayah risaukan keadaan kamu. Baliklah Rania!”
Terasa
ingin pulang sekarang apabila ibu merayu begini tapi aku tahankan hati.
“Insya
Allah ibu, saya akan pulang nanti.”
“Nanti
itu bila? Sudah seminggu kamu bawa diri. Cukuplah tu!”
“Maaf
ibu, saya akan pulang juga nanti.”
Ibu
menarik nafas panjang. “Ibu tahu kamu masih marahkan mereka berdua tapi yang
lepas itu biarlah lepas. Mereka sudah diijabkabul pun. Dyana pun sudah mengikut
suaminya tinggal di Klang. Ibu harap mereka boleh bahagia biarpun dengan apa
yang telah berlaku. Ibu juga harap kamu pun sama.”
Jadi
mereka tidak ada di rumah? Aku boleh pulang?
“Sebenarnya
ibu…saya memang dalam perjalanan pulang.”
“Yakah?
Alhamdulillah, ayah kamu pasti gembira nanti. Bila kamu akan sampai?” Nada ibu
yang ceria membuatkan aku sendiri merasa sangat gembira.
“Mungkin
dalam beberapa jam lagi. Nanti saya maklumkan kepada ibu lagi.”
“Baiklah.
Ibu pun nak maklumkan pada ayah tentang hal ni. Telefon ibu nanti, ya?”
“Baik,
ibu!”
Aku
memutuskan talian dengan hati yang sangat senang dan lapang. Hilang masalahku
tadi. Hazriq yang baru selesai dengan urusannya menghampiri aku dengan
menjungkit kening, aneh dengan senyum lebar di bibirku.
“Kenapa?”
tanyanya.
“Tak
ada apa- apa, saya cuma teruja untuk balik,” jawabku.
Hazriq
mengukir senyum. “Jom, makan dulu! Kita boleh sambung perjalanan selepas ini.”
Aku
mengangguk, bangun dan berjalan beriringan dengannya ke medan selera. Tidak
sabar rasanya untuk sampai ke rumah.
Hazriq
memandu sehinggalah ke kawasan perumahan tempat aku tinggal.
“Biar
saya hantar awak dulu. Macam mana awak nak balik nanti?” tawarku.
Aku
tidak tahu rumahnya di mana tapi dia masih perlu pulang ke rumahnya nanti. Ini
kereta aku, jadi bagaimana dia harus pulang apabila aku sampai di rumah?
“Saya
dah telefon Azzwa, dia yang datang jemput saya,” kata Hazriq.
“Azzwa?”
“Buah
hati sayalah, Nurrul Azzwa!” balas Hazriq sambil tersengih macam kerang busuk.
Sukalah
tu, nak jumpa kekasih hati. Aku hanya tersenyum lucu melihat gelagatnya. Hazriq
menghentikan kereta di stesen bas berdepan dengan jalan masuk ke taman. Aku
turun dari kereta untuk menghantar dia.
“Sampaikan
salam saya pada Azzwa,” kataku.
“Baiklah.
Bawa kereta baik- baik balik tau!” pesannya dengan senyum herot.
“Saya
memang pemandu yang baiklah!” balasku, geram.
Hazriq
tergelak- gelak. “Jumpa lagi! Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam,”
jawabku.
Aku
memandu pulang dengan hati yang berdebar- debar. Aku telah menelefon ibu ketika
hampir sampai tadi, memaklumkan yang aku sudah berada di Selangor. Aku maklum
yang ibu teruja aku akhirnya pulang tapi bagaimana dengan ayah? Marahkah dia
kerana aku larikan diri begitu?
Selepas
meletakkan kereta dan mengunci pagar kembali, aku menarik bagasi ke pintu.
Sebelum sempat aku membuka pintu, pintu dibuka terlebih dahulu. Wajah ibu
terpacul di pintu. Tanpa sebarang kata, dia terus memeluk aku. Mujur dia tidak
menangis kerana aku tahu aku juga akan menangis jika dia berbuat begitu.
Selang
beberapa saat selepas ibu memelukku, ayah pula muncul di pintu. Ayah cuma
memandang kami berdua dengan senyum di bibir. Dia seperti ibu, nampak sangat
gembira aku akhirnya pulang ke rumah.
“Saya
minta maaf, ibu, ayah,” kataku.
“Tak
ada apa untuk di maafkan. Syukurlah kamu dah balik. Ibu kamu risau kamu akan
terus merajuk dan tidak akan pulang lagi,” kata ayah.
Memang
aku ada merancang begitu pada asalnya tapi di sini ada ibu dan ayah. Marah
sekalipun, aku tidak boleh meninggalkan mereka begitu saja. Mereka tidak
berdosa dan tidak patut dipersalahkan.
“Masuklah
ke dalam dulu. Kita boleh berbual di dalam,” kata ibu sambil menarik tanganku.
Ayah
membantu membawa bagasi masuk. Kami duduk di ruang tamu. Aku tahu ibu dan ayah
ada banyak soalan yang mereka ingin tanyakan tetapi masing- masing menahan
diri. Mereka cuma bertanya tentang keadaanku.
“Saya
ke Pulau Langkawi,” kataku, menjawab soalan yang belum mereka tanyakan walaupun
mereka ingin tahu.
“Jauh
kamu sampai,” komen ibu.
“Saya
memang ada rancangan untuk ke sana selepas kenduri untuk berbulan madu. Tapi
keadaan dah jadi macam ni. Pakej pun saya dah bayar, jadi saya teruskan
percutian seorang diri. Tapi bagus juga saya ke sana. Saya banyak berfikir dan
bertenang,” jelasku.
“Alhamdulillah,
baguslah. Kita memang banyak merancang dalam hidup kita tapi tidak semuanya
kesampaian. Ayah harap kamu banyakkanlah bersabar. Setiap apa yang berlaku ada
hikmahnya.”
Memang
aku juga fikir begitu, cuma aku tidak nampak di mana hikmahnya sekarang. Apa
yang aku tahu, Allah tidak akan menduga seseorang itu melebihi kemampuannya.
Sebab itulah aku masih dapat bertahan kerana dugaan ini pasti tidak akan
melebihi kemampuanku.
“Apa
rancangan kamu selepas ini?” tanya ibu.
Aku
menghela nafas. “Saya nak teruskan hidup macam biasa dan belajar untuk lupakan
semua ini.”
Ibu
dan ayah saling bertukar pandang.
“Dyana
tahu kamu akan pulang hari ini. Dia minta untuk cakap dengan kamu bila kamu
bersedia,” kata ibu.
Aku
ingin ketawa mendengar ayat itu. Aku rasa sampai bila- bila pun aku tidak akan
bersedia.
“Belajarlah
untuk maafkan mereka, Rania. Ayah tahu lebih senang untuk bercakap dari
melakukannya tapi ayah juga tak ingin kamu putus hubungan dengan satu- satunya
adik kamu hanya kerana seorang lelaki.”
Maaf
ibu, ayah tapi hal itulah paling sukar untuk aku lakukan! Ini bukan setakat
merebut seorang lelaki tetapi berkaitan dengan kepercayaanku yang telah hilang
terhadap mereka berdua. Mungkin lebih mudah untuk aku maafkan jika mereka bukan
orang yang rapat seperti ini.
Pun
begitu aku patuh menjawab. “Baik ibu, ayah. Saya akan cuba.”
“Ibu
tahu memang sukar tapi ibu harap sangat satu hari nanti, kamu adik beradik akan
berbaik- baik semula.”
Aku
cuma mengangguk.
“Pergilah
naik ke bilik kamu dulu. Nanti turun untuk makan sama- sama,” kata ayah.
“Baik,
ayah.”
Aku
bangun dan menarik bagasi beratku ke bilik. Tetapi perasaan gembira sejak
pulang terus mati sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilik. Di dalam bilikku
penuh dengan anak patung beruang, gambar dan hiasan yang menjadi kenangan aku
dan dia. Semua kenangan cinta dia dan aku masih ada di dalam bilik ini.
Bagaimana aku boleh lupa tentang hal ini?
Aku
mendengus, mengeluarkan sebuah kotak. Semuanya berkaitan dengan dia, aku lempar
ke dalam kotak itu dengan kasar. Aku tidak peduli sama ada ia rosak, pecah atau
apa sekalipun. Yang penting bagi aku sekarang ialah ‘membersihkan’ bilikku.
Bunyi beberapa hiasan yang pecah memenuhi bilik.
Baru
aku perasan pipiku sebenarnya basah. Bila aku mula menangis? Aku mengesat pipi
tetapi lebih banyak air mata mengalir. Air mata yang mula mengalir susah hendak
dihentikan. Terdengar pintu bilik diketuk.
“Rania,
ibu dengar bunyi benda pecah. Apa dah jadi?” Terdengar suara ibu.
Aku
segera menarik nafas untuk menenangkan diri. Buru- buru aku menjawab dengan
suara yang masih serak. “Tak ada apa ibu. Ada bekas kaca jatuh.”
“Betulkah?”
tanya ibu lagi.
“Ya!
Saya dah bersihkan pun.”
“Hmm…baiklah
kalau macam tu. Dah siap nanti turunlah, kita makan sama- sama.”
“Baik,
ibu!”
Terdengar
bunyi tapak kaki ibu berlalu. Aku mengesat air mata, cuba untuk tidak lagi
menangis tapi agak susah. Aku bangun, mencapai tuala dan terus ke bilik air.
Mudah- mudahan selepas wuduk dan solat, hatiku akan menjadi lebih tenang.
No comments:
Post a Comment