Friday, October 2, 2020

Bab 15

 

‘You never know how strong you are until being strong is the only choice you have’

-          Bob Marley

 

Cuti yang panjang berakhir jua. Aku akan kembali bekerja dan menghadap teman- teman yang pasti tertanya- tanya apa yang telah berlaku kepada majlis perkahwinan aku dan Furqan. Apa yang hendak aku ceritakan kepada mereka? Cerita sebenar?

Tapi…

Kalau boleh aku tidak mahu pergi kerja. Aku sudah membeku hampir sepuluh minit di dalam kereta. Sejak sampai aku belum berjaya memberanikan diri untuk turun. Bangun tidur tadi aku bagaikan anak kecil yang tidak ingin ke sekolah. Kalau boleh aku tidak mahu memandang mereka atau mencari alasan. Tetapi aku sendiri sudah berjanji tidak akan lari lagi. Lambat laun aku perlu hadapi semuanya juga.

Tapi…

Selepas memaksa diri, akhirnya aku bangun juga untuk membersihkan diri, bersolat dan turun bersarapan bersama ibu dan ayah. Mereka berdua tidak memberi komen dengan wajahku yang pastinya nampak pucat. Aku pasti mereka dapat mengagak tentang apa yang bermain di fikiranku. Masing- masing cuba memberikan kata semangat dan dorongan kepadaku tetapi perasaan gelisah di dalam hati tidak hilang. Sepanjang memandu datang ke sini, entah berapa kali aku fikir untuk berpatah balik tapi aku tahankan diri.

Come on, Rania! Jangan biarkan perkara sebegini mematahkan semangat kau! Hidup mesti diteruskan!

Aku menghulurkan tangan untuk membuka pintu kereta tapi membatalkan hasrat sebelum pintu kereta disentuh.

Kenapa susah sangat? Apa yang aku takutkan? Setakat mana kata- kata dan pandangan orang lain boleh menambahkan luka di hati aku? Aku boleh buat! Berusaha!

Sekali lagi tangan aku hulur untuk membuka pintu kereta tapi kecut perut juga sebelum pintu kereta aku buka.

Bunyi telefon membuatkan aku terperanjat. Kuat juga aku melatah. Aku mengeluarkan telefon dari beg tangan dan membuka kunci untuk membaca pesanan WhatsApp. Hazriq rupanya!

 

Assalamualaikum. Selamat kembali bekerja! Kalau ada masalah, jangan lupa…ada saya! Adiwira khas anda!

 

Ada gambar yang dihantar bersama. Aku tergelak besar melihat gambar Hazriq memakai topeng Power Ranger siap dengan aksi tangan macam dalam televisyen.

Hai, lelaki ini….

 

Terima kasih.

 

Aku menekan kekunci untuk menghantar dan menarik nafas, rasa lebih tenang berbanding tadi. Lagi sekali dia menolong aku. Entah bagaimana aku dapat balas budinya. Kali ini aku terus membuka pintu dan keluar dengan lebih yakin.

 

 

Zura dan Kak Diba berbisik- bisik sambil kadangkala mengerling aku. Macamlah aku tak tahu. Lagipun dinding bertentangan denganku dihiasi dengan cermin. Jadi aku memang perasan pun! Tapi biarlah. Bukan mereka berdua saja yang berperangai macam tu. Boleh dikatakan hampir kesemua staf syarikat ini menunjukkan reaksi yang hampir sama. Bezanya mereka tidak berbual secara terang- terangan. Aku tahu kenapa mereka berkelakuan begitu. Lagipun aku telah menjemput hampir kesemua staf pejabat ini ke majlis perkahwinanku. Pasti ada yang hadir untuk memenuhi jemputan dan kehairanan apabila pengantinnya tidak ada.

“Rania, lunch sekali dengan kami berdua, nak tak?” ajak Zura apabila tiba waktu rehat.

Hai, tak pernah ajak aku pun selama ini! Mimpi apa dia hari ini? Aku terfikir untuk menolak. Tapi apabila difikirkan balik, kenapa hendak buat begitu? Aku perlu berani, kan? Jadi aku tak perlu lari.

“Okay!” jawabku. “Jom!”

Kak Diba yang tadinya cuma berdiri mendengar turut mengikut. Aku dapat rasakan mereka ada niat lain untuk mengajakku makan tengah hari bersama mereka. Tak apa, tunggu dan lihat!

“Nak makan apa?” tanya Zura tanpa merujuk kepada sesiapa pun.

“Entahlah. Rania nak makan apa?” tanya Kak Diba.

“Saya tak kisah,” jawabku.

“Pengantin baru tak terasa nak makan apa- apa lagi?” tanya Zura.

Sudah bermula sesi hendak menyibuk mereka? Aku cuma tersenyum seraya menggeleng.

“Macam mana dengan honeymoon? Seronok tak?” tanya Zura lagi.

Aku tidak pasti tentang bulan madu tapi percutian itu memang akhirnya menggembirakan aku.

“Langkawi memang best!” jawabku.

“Pergi dengan cik abang, mestilah seronok!” usik Kak Diba.

“Tak ada kaitan dengan dia tapi Langkawi memang seronok!”

“Ya kah?” balas Zura.

Dia dan Kak Diba saling berpandangan sebelum keduanya akhirnya menukar topik. Sudah selesaikah? Aku ingat dia akan bertanya dengan lebih banyak lagi.

 

 

Selesai makan, kami terus pulang ke pejabat. Zura dan Kak Diba berbual tentang jualan murah di sebuah pasaraya berdekatan. Masing- masing berjanji untuk pergi bersama- sama selepas kerja. Telefonku bergetar. Ada pesanan WhatsApp dari Hazriq.

 

Assalamualaikum. Macam mana hari ini? Perlukan bantuan superhero tak?

 

Aku tersenyum, segera menaip jawapan membalas.

 

Waalaikumsalam. Hari ini tak ada masalah setakat ni. Terima kasih Encik Power Ranger!

 

Sama- sama! Saya memang suka berkhidmat untuk masyarakat!

 

Aku tergelak kecil sebelum segera menutup mulut. Zura dan Kak Diba yang tadi berbual kini merenung aku dengan hairan.

“Berbual dengan cik abanglah tu,” usik Zura.

“Tak adalah,” jawabku, masih lagi tersenyum.

“Malu lagi. Dah kahwin pun masih malu- malu,” kata Kak Diba pula.

Aku tergelak mendengar kata- katanya. Kami sudah berjalan masuk ke pejabat pada masa itu. Aku berhenti berjalan, memandang mereka berdua dengan senyum lebar di bibir.

“Dia bukan cik abang yang kamu berdua fikirkan tu. Dan saya tak ada cik abang pun,” kataku. “Orang tu dah mati!”

Aku terus berjalan ke meja, meninggalkan mereka berdua yang melopong.

 

 

Aneh bagaimana tempat itu boleh menjadi tempat di mana kebanyakkan orang menggunakan peluang untuk mengutuk seseorang tanpa pengetahuannya. Adakah kerana mereka fikir aku tidak akan tahu mereka sedang berbual tentang aku sedangkan ramai orang boleh menggunakan tempat itu pada masa yang sama? Sekali lagi, aku berada di tandas apabila terdengar perbualan sebegitu.

“Kakak pergi majlis kahwin Rania hari tu?” soal suara yang aku rasakan milik Zura.

“Kakak pun pergi majlis dia hari tu. Terkejut juga bila tak dapat jumpa dia. Semua orang datang untuk makan tapi ibu dan ayah pengantin langsung nampak tak ceria. Malah tak ada sesiapa yang dapat jumpa pengantin pun. Hairan juga!” kata suara yang aku hampir pasti milik Kak Diba.

“Mereka cakap, bukan Rania yang kahwin, tapi adik dia!” kata Zura lagi.

“Ya, kakak dengar orang bercakap.”

“Apa yang dah jadi?” tanya Zura.

“Entahlah, tapi mesti benda yang dah memalukan dah berlaku!” jawab Kak Diba penuh konspirasi. “Tak tahulah pada si Dyana, adik dia ataupun Rania tu sendiri!”

“Dah jadi buburkah? Yang mana satu?” Zura tergelak- gelak.

“Tak tahulah. Tapi mesti ada sesuatulah. Kalau tidak macam mana perkahwinan sendiri boleh batal, kan?”

“Muka nampak baik, kak. Susah nak percaya!”

“Entahlah, kakak pun susah nak percaya. Tapi orang zaman sekarang ni macam- macam. Kita tak tahu dia sebenarnya macam mana, kan?”

Rasa geram kepada mereka berdua meluap- luap. Cakap macam tahu walhal langsung tidak tahu apa- apa! Kenapa pula aku yang hamil? Aku yang membatalkan perkahwinan, bukannya Furqan! Makin melampau mereka berdua ini. Sedap betul mereka mengutuk aku!

Aku menarik nafas panjang, kemudian membuka pintu dan keluar ke sinki. Mereka berdua tersentak apabila nampak aku. Hah, tahu pun takut! Masa mengata aku tadi bukan main lagi!

Aku mencuci tangan, menunggu apa yang mereka ingin katakan. Tetapi masing- masing cuma membisu, berpandangan sesama- sendiri. Akhirnya mereka buru- buru keluar. Tergelak aku melihat mereka.

Sembang saja lebih!

 

 

Menjelang tamatnya hari pertama bekerja selepas bercuti panjang ini, satu pejabat tahu tentang perkahwinanku yang tidak menjadi itu. Pelbagai telahan telah timbul. Melainkan mereka ada di majlis akad nikahku hari itu, mereka belum tentu tahu cerita sebenar. Itupun belum tentu mereka yang hadir pun tahu apa yang sudah berlaku.

Aku sekali lagi memilih untuk mendiamkan diri. Biarlah mereka bercerita apa pun, aku tidak berminat untuk ambil tahu. Tidak ada gunanya menyemarakkan api. Tanpa ditiup pun sudah kuat sekarang.

 

Dah nak balikkah? Macam mana? Nak meraikan tamatnya hari pertama?

 

Aku tersenyum membaca pesanan WhatsApp dari Hazriq itu.

 

Terima kasih. Tapi rasanya nak baliklah. Rasa betul- betul penat!

 

Baiklah. Tahniah!JJJ

 

Dia tidak perlu tahu tentang pandangan, renungan, bisik- bisik, mengata di belakang dan drama lain yang berlaku kepadaku hari ini. Yang penting untuk dia tahu ialah aku telah berjaya harungi segalanya.

Aku mengerling Zura dan Kak Diba yang berbisik- bisik lagi sambil sekali- sekala memandang aku. Mereka memang tak serik langsung! Bergosiplah sepuas hati kalian. Lebih baik aku balik!

 

 

Untuk beberapa minggu, status perkahwinanku menjadi perbualan hangat di pejabat. Hebat betul! Rasa macam artis pula! Tapi memandangkan aku memilih untuk lebih banyak mendiamkan diri, lama- kelamaan mereka mula bosan mula berhenti berbual.

Aku sendiri mula meneruskan hidup secara biasa. Biarpun perlahan- lahan, aku mula melupakan perasaan marah. Aku masih tidak dapat maafkan mereka berdua, tapi sekurang- kurang aku tidak lagi murung seperti hari itu. Nasib baik aku belum mengambil keputusan untuk tidak berhenti berkerja. Kalau tidak pening kepala aku sekarang. Sudahlah tidak jadi berkahwin, kerja pun tak ada.

Projek kerjasama antara syarikat Hazriq, One Event dan syarikatku berlangsung sepanjang tempoh aku bercuti. Memandangkan projek itu telah tamat dengan jayanya, One Event dijemput untuk datang ke jamuan meraikan kejayaan itu. Seperti biasa, apabila syarikat tempat lelaki itu bekerja akan datang, staf wanita syarikat aku sibuk menghias diri. Aku tidak fikir dengan cara itu akan membuatkan Hazriq akan tertarik dengan mereka. Tapi biarlah mereka berhias sepuas hati. Kalau cakap pun nanti aku juga yang kena kutuk.

Seperti biasa, aku memilih untuk duduk jauh dari orang lain. Jika dulu kerana aku lebih senang menyendiri, kali ini aku memang tidak berminat untuk bercampur dengan mereka yang lain. Lebih ramai orang yang bermuka- muka di sekeliling aku, membuatkan aku rasa muak untuk memandang wajah mereka.

“Assalamualaikum cik adik, boleh saya join awak yang kesepian ni?”

Aku tergelak mendengar ayat itu. “Waalaikumsalam. Mengada- ngada betul ayat tu! Bila masa pula saya kesepian?”

Hazriq tergelak. “Boleh duduk ke tak ni?”

“Duduklah! Pernah cakap tak bolehkah?”

Hazriq tersengih, mengambil tempat di depanku. Dia langsung tidak peduli mata- mata yang sekali- sekala menjeling kami.

“Macam mana awak sekarang?” tanya Hazriq.

“Okay, setakat ni masih boleh bertahan. Insya Allah, saya tak akan apa- apa!” jawabku.

“Alhamdulillah, lega saya dengar.”

“Terima kasih juga pada awak,” kataku.

“Saya tak buat apa- apa pun.”

“Sebab awak kawan yang baiklah saya berjaya bangkit semula. Awak memang kawan yang baik,” kataku dengan terus- terang.

“Saya cuma boleh menyokong, yang perlu bangkit semula itu ialah awak. Tapi, memang betul. Saya memang seorang yang hebat!” kata Hazriq, dengan tersenyum herot di ayat terakhir itu.

“Saya kata kawan yang baik, bukan hebat!”

“Samalah!”

“Awak ni memang perasan yang Encik Power Ranger!” kutukku.

“Terima kasih!”

“Saya tak memujilah.”

“Saya tahu!” balasnya, langsung tidak terkesan.

Mati akal aku dibuatnya. Aku cuma menggeleng kepala dengan sikapnya.

“Hai!”

Kami sama- sama memandang Zura dan Kak Diba yang entah bila menghampiri kami berdua. Berani betul mereka berdua menghampiri aku! Sejak hal di tandas tempoh hari, mereka berdua memang tidak lagi berani menegur aku.

“Hai!” balas Hazriq.

“Encik Hazriq setiap kali datang cuma berbual dengan Rania, kami semua Encik Hazriq tak pandang pun,” komen Zura.

“Ya kah? Tapi saya memang kenal rapat dengan dia,” balas Hazriq.

Sejak bila pula kami kenal rapat tu? Tapi aku diam mendengar.

“Kamu berdua dah lama kenalkah?” tanya Kak Diba.

“Ya!” jawab Hazriq.

“Sejak bila?” tanya Zura.

Hazriq berfikir seketika. “Entahlah, memang dah lama. Tak teringat bila. Kenapa?”

Zura tergelak- gelak kecil. “Tak adalah, saja tanya. Kami pun kawan rapat dia juga!”

“Jadi cik berdua kawan rapat Rania?” tanya Hazriq.

Mencerlung mata aku memandang mereka berdua yang senyum dan mengangguk- angguk. Rapat sangatkah kami? Mengarut betul!

“Baguslah macam tu. Rania banyak masalah akhir- akhir ni. Saya tak boleh selalu di samping dia. Jadi baguslah dia ada rakan sekerja yang rapat dan boleh dipercayai macam cik berdua. Lega hati saya,” kata Hazriq.

Aku menahan gelak di dalam hati apabila melihat wajah mereka berdua yang kelat apabila mendengar kata- kata yang aku rasakan sangat ikhlas dari Hazriq.

“Umm…jangan risau. Kamikan memang rapat. Rania memang boleh harapkan kami berdua!” kata Kak Diba.

Zura di sebelahnya hanya mengangguk. Mereka terus minta diri selepas itu, apatah lagi selepas perasan dengan senyum sinisku kepada mereka.

“Kenapa?” tanya Hazriq apabila nampak aku tersenyum- senyum sejak tadi.

“Tak ada apa- apa. Nanti saya belanja awak makan!” jawabku.

Hazriq semakin keliru tapi akhirnya tersenyum apabila melihat aku tersenyum.

“Janji?”

“Janji!”

“Saya nak makanan yang mahal! Buffet di hotel lima bintang!”

“Jangan nak memilih!”

No comments:

Post a Comment