Saturday, October 3, 2020

Bab 16

 

Hujung minggu selepas jamuan antara syarikatku dan One Event, aku keluar ke kafe berdekatan rumah. Aku sudah berjanji dengan Hazriq untuk ke pameran. Apabila pulang nanti, bolehlah aku belanja dia makan seperti yang dijanjikan.

“Rania?”

Aku mendongak, melihat Imani tercongak di hadapanku.

“Ya?”

“Awak buat apa di sini?” tanya Imani.

“Tak ada apa- apalah!”

Kenapa pula dia di sini? Melihat dia mengingatkan aku pada mereka berdua itu. Dia tahukah namanya sering disebut mereka berdua?

Dia merenungku seketika. “Boleh saya duduk?”

Aku cuma mengangguk. Dalam hatiku tertanya- tanya tujuannya. Kami bukannya rapat. Malah aku dan dia tidak pernah berbual begini.

“Awak nak minum tak?” tawarku.

Imani menggeleng. “Saya nak cakap sekejap saja dengan awak.”

“Tentang apa?” soalku.

“Pasal Furqan dan Dyana. Awak dan Furqan tak jadi kahwin, kan?”

Ah, dia pun tahu! Berapa ramai lagi yang tahu? Perlukah aku pakai topeng untuk keluar selepas ini. Biarlah! Aku tak buat apa- apa salah pun!

“Ya, kenapa?”

“Saya pernah cuba nak beritahu awak, tapi Furqan halang saya,” kata Imani. “Saya boleh agak apa yang berlaku antara mereka sejak game di Terengganu hari tu.”

“Benda dah jadi pun,” kataku.

Dia mengangguk.

“Sejak itukah awak selalu jumpa Furqan? Sebab nak cakap dengan dia tentang hal tu?” dugaku.

“Tak, sebab dia bayar saya untuk tutup mulut!”

Bulat mataku merenung dia. Tapi Imani nampak tenang.

“Dia bayar awak?” soalku, bagaikan tidak percaya.

Imani mengangguk.

“Berapa?”

“Cukup untuk saya diam hingga majlis awak!”

“Demi duit, awak sanggup diamkan diri? Awak tak rasa bersalahkah?”

Imani menjungkit bahu. “Adalah juga. tapi saya memang betul- betul perlukan duit masa tu. Bila dia tawarkan duit sebanyak tu, saya terimalah! Lagipun awak bukannya sesiapa pun kepada saya!”

Terkejut aku dengan jawapannya. Memanglah aku bukan sesiapa, tapi dia tak ada rasa kasihankah?

“Habis kalau kami jadi berkahwin, awak nak terus minta duit dari dia?”

“Entahlah, saya tak fikir sejauh tu!”

Aku menggeleng. Kenapa aku boleh berjumpa dengan orang sebegini?

“Saya tak kisah apa yang awak nak fikir tentang saya, saya tak menyesal apa yang saya buat. Tapi baguslah awak tak kahwin dengan dia, dia memang tak guna!”

“Awak jumpa saya ni nak cakap tentang hal ni?” tanyaku dengan rasa jengkel terhadap gadis ini.

Dia menggeleng. “Saya jumpa awak pun kebetulan. Tapi dah berjumpa, biarlah saya ceritakan saja. Tahniah sebab tak jadi kahwin dengan dia! Saya minta diri dulu!”

Seperti mana dia datang, seperti itu juga dia pergi. Dia terus bangun, berjalan meneruskan arah tujunya. Aku pula, terhenyak di kerusi.

 “Kenapa?”

Hazriq berjalan ke arahku dengan dahi yang berkerut. Dia terus menarik kerusi untuk duduk di depanku. Aku ceritakan padanya tentang pertemuanku dengan Imani.

“Kenapa dia buat macam tu?” soalku perlahan.

“Entahlah, cuma dia yang tahu. Anggaplah ini salah satu episod dalam hidup awak. Lagipun awak patut bersyukur yang semuanya dah berlalu, kan?” nasihat Hazriq.

Aku cuma mengangguk.

“Janganlah sedih lagi! tak guna fikir banyak- banyak pasal orang macam tu!”

Sekali lagi aku mengangguk.

“Nak pergi pameran tu lagi tak?” tanya Hazriq.

“Jomlah! Duduk di sini pun rasa sakit hati!” balasku.

Sesetengah orang boleh jadi sangat pentingkan diri. mereka sanggup lakukan apa saja demi wang, tidak kira siapa pun yang mereka sakiti. Benar kata Hazriq, semua ini sudah berlalu. Aku harap aku tidak akan berjumpa lagi dengan manusia sebegini.

 

 

Masa berlalu tanpa sedar. Beberapa bulan berlalu pergi begitu saja. Aku tidak pasti tentang masa boleh mengubat luka tapi sekurang- kurangnya aku tidak terlalu menderita seperti mula- mula aku disakiti. Ini mungkin juga kerana aku tidak bertembung dengan mereka itu. Selepas kahwin, mereka langsung tidak pulang menjenguk ibu dan ayah. Memang mereka ada berbual di telefon tapi cuma setakat itu saja.

Dyana, menurut ibu, sudah meletakkan jawatan. Buat masa sekarang dia ingin tinggal di rumah sehingga melahirkan anak. Lagipun terlalu banyak persoalan yang timbul mengenai perkahwinan yang secara tiba- tiba itu. Jadi keputusan itulah yang terbaik.

Aku lebih banyak menumpukan perhatian pada kerja. Bila sibuk begini, sedikit sebanyak aku akan lupa hal- hal yang lain. Tapi aku masih rasa ada yang boleh aku lakukan untuk mengubah diri aku lagi.

Aku tidak bermaksud perubahan sikap atau sebagainya. Aku cuma hendak jadi lebih baik. Mungkin dari segi ilmu atau sikap. Aku tidak boleh terus berada di takuk yang lama. Ketika melayari internet, aku terbaca komen tentang pengambilan pelajar untuk pengajian separuh masa di universiti tempatan. Pada masa itu aku terus terfikir, mungkin ini yang patut aku lakukan. Menambah ilmu di dada tidak pernah salah. Mungkin ada kebaikkannya untuk aku kelak.

 

 

“Saya nak belajar semula,” kataku kepada Hazriq apabila kami berbual melalui telefon.

“Betulkah?”

“Ya, saya ingat nak sambung belajar untuk dapat ijazah. Saya nak buat secara separuh masa,” kataku.

“Bagus juga tu. Dalam negarakah?” tanya Hazriq.

“Ya, mestilah dalam negara. Luar negara tak mampulah,” jawabku.

“Dalam negara pun tak apa. Awak dah memohon?”

“Dah, semalam! Awak tak nak belajar dengan saya?” tanyaku.

Hazriq tergelak. “Cukuplah bertahun- tahun masa saya di universiti. Sekarang saya nak bekerja. Awak apply universiti mana?”

“Pilihan pertama saya, UiTM. Kalau tak dapat mungkin saya akan cuba minta universiti yang lain. Kalau dapat alhamdulillah, ada rezeki saya untuk teruskan pengajian.”

“Amin,” kata Hazriq. “Saya yakin awak pasti boleh!”

Aku menghela nafas. “Saya tak nak terus macam ni. Kalau boleh, saya majukan hidup saya lagi. Saya akan berusaha untuk segulung ijazah!”

“Saya akan sokong awak infiniti peratus. Kalau dapat nanti giliran saya pula belanja awak makan!” janji Hazriq.

“Belanja makan saja? Penat saya belajar, buat assignment lagi. Tak kan cuma belanja makan?” tanyaku.

“Awak nak apa? Mintalah!” tawar Hazriq.

Aku tergelak. “Saya berguraulah. Belanja makan pun tak apa. Nak makanan yang mahal sikit, bolehkah?”

“Boleh! Demi awak, lautan api pun boleh saya renang!”

“Buat apa nak renang lautan api? Tak ada kaitan pun,” komenku.

“Nak tunjuk hero, mestilah kena renang lautan api,” jelas Hazriq, membuatkan aku tergelak besar.

“Mengarut betul awak ni. Tak payahlah renang lautan api tu, rentung nanti. Siapa pula hendak belanja saya lepas tu?”

“Betul juga. Tapi apa pun saya ucapkan selamat berjaya!”

“Terima kasih.”

 

 

Kepada ibu dan ayah juga aku sampaikan keputusan aku untuk menyambung pengajian. Kedua- duanya menyokong tindakan aku. Alhamdulillah, restu mereka penting untuk aku. Insya Allah, aku akan belajar hingga tahap yang tertinggi yang mampu aku capai.

            “Bila awak konvo nanti, saya akan hadiahkan awak sejambak besar bunga yang dibuat dari Ferrero Rocher tu,” kata Hazriq apabila kami berjumpa untuk makan bersama beberapa lama selepas itu.

Kami memang selalu makan bersama bila masing- masing tidak sibuk dengan kerja. Siapa yang belanja makan bergantung kepada giliran. Hari ini giliran aku.

“Insya Allah, tapi saya kena diterima masuk dulu. Baru boleh graduasi,” kataku.

“Saya yakin awak akan diterima masuk!”

Yakinnya dia. Jadi apabila keputusan keluar tidak lama selepas itu, selepas ibu dan ayah, dialah orang yang aku telefon untuk memaklumkan yang aku telah diterima masuk.

“Tahniah, kan saya dah cakap! Awak tak percayakan saya,” kata Hazriq.

“Mana ada tak percaya?” sungutku.

“Jadi nanti kita jumpa untuk makan macam yang saya janji,” kata Hazriq.

“Okay!”

Aku tersenyum, berasa teruja. Nampaknya aku akan kembali menjadi pelajar tidak lama lagi.

 

 

Selepas mendaftar, aku secara rasmi menjadi pelajar separuh masa. Orang pertama yang menelefon ialah Hazriq.

“Dah daftarkah?” tanya Hazriq.

“Ya, dah selesai pun.”

“Jom makan, saya belanja!” katanya dengan ceria.

“Belanja makan lagi? Sebab daftar saja?”

“Mestilah! Cepat, awak nak makan di mana?” gesa Hazriq.

Tergelak aku dibuatnya. Beria betul dia.

“Saya nak makan tomyam!” jawabku selepas berfikir seketika.

“Tomyam saja? Kata nak makanan mahal?”

“Saya berguraulah. Makanan biasa pun tak apa!”

“Okay, jom! Jumpa di mana?” tanya Hazriq.

Selepas menghantar maklumat kafe, aku segera bergegas ke kereta. Nampaknya aku perlu belajar lebih rajin nanti. Selain ibu dan ayah, ada orang lain yang mengharapkan kejayaan aku.

 

 

Suasana di Le Café agak sunyi apabila aku sampai. Selalunya kafe ini sesak dengan pengunjung hari ini sepi tanpa pengunjung. Aku mengeluarkan telefon untuk menelefon Hazriq tetapi telefon itu berdering sebelum sempat aku menekan lagi.

“Assalamualaikum,” sapaku.

“Waalaikumsalam, saya dah di sinilah!”

“Mana ‘sini’?”

“Pusing kiri!”

Aku berpaling, melihat Hazriq yang melambai dengan sengih lebar di meja berdekatan dinding. Bagaikan terjangkit, aku tersenyum membalas.

“Lama awak tunggu?” tanyaku apabila sampai kepadanya.

“Tak, baru sampai,” jawab Hazriq. Kalau lama menunggu pun dia akan memberi jawapan yang sama.

Dia menghulurkan menu kepada aku. “Awak nak makan apa, awak order saja!”

“Betul ni?” tanyaku.

“Mestilah! Cepatlah, saya dah lapar ni!” kata Hazriq.

“Amboi, siapa yang nak makan sebenarnya ni?”

“Mestilah awak! Tapi saya pun lapar.”

Mengaku sajalah kalau lapar! Tapi enggan terus bergaduh, aku segera membuat pesanan. Lagipun perutku sudah mendidih minta diisi. Agaknya kami berdua memang lapar. Cepat kami habiskan makanan!

Selepas makan dan berbual- bual, Hazriq meminta diri untuk menjawab panggilan. Nurrul Azzwa yang menelefon agaknya kerana dia keluar dengan senyum lebar di bibirnya. Dia ke luar kafe untuk bercakap. Sementara menunggu, aku termangu, melihat- lihat keadaan di sekeliling.

“Assalamualaikum.”

Suara itu membuatkan aku berpaling dengan serta- merta. Mataku bulat merenung wajah Furqan yang tersenyum memandangku.

“Lama tak jumpa awak. Awak apa khabar?”

Apa yang membuatkan dia berfikir yang dia boleh menyapaku semesra itu? Dia fikir aku sudah lupa apa yang dia dan Dyana telah buat? Aku mendengus, mencapai tas tangan. Satu saat pun aku tidak mahu memandang wajahnya yang menjengkelkan itu!

“Rania, tunggu!” Dia meraih lenganku tetapi aku cepat- cepat mengelak.

“Jangan cuba nak sentuh saya! Sekali lagi awak cuba sentuh saya, nahas awak!” ugutku dengan marah.

Selama ini pun tidak pernah boleh pegang aku, berani pula dia sekarang!

“Awak masih marah? Sampai bila awak nak marah?” tanya Furqan. Nadanya bagai bercakap dengan anak kecil yang degil.

“Sampai saya mati!” desisku membalas.

“Rania, saya tahu awak bukan begini orangnya. Saya tahu saya dah buat salah tapi saya harap awak maafkan kami.”

Aku memandang dia dengan wajah yang merah menahan marah. “Awak tak tahu saya orang yang macam mana? In fact, I don’t think you ever know me! Dan untuk maafkan kamu berdua, itu langsung tak terlintas di fikiran saya!”

“Apa dah jadi pada Rania yang saya kenal dulu?” Furqan bagaikan mengeluh.

Berani dia tanya soalan itu. Dia sengaja mencari nahas?

“Dia dah mati! Awak berdua yang bunuh dia! So please, don’t ever talk like you know me!” balasku.

Furqan menghela nafas. “Rania, apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Awak sendiri percaya pada Qada’ dan Qadar, kan? Saya tahu saya buat silap tapi saya anggap semua itu adalah ketentuan dari Allah. Awak tak fikir yang semua yang berlaku ini takdir?”

Terasa menyirap darahku. “Awak nak ceramah pada saya sekarang?”

“Bukan macam tu,” Dengan beraninya, Furqan mengeluh. “Setelah apa yang terjadi, saya terima jodoh saya bukan dengan awak. Awak pun nampaknya dah jumpa pengganti saya. Saya nampak awak mesra dengan Hazriq-”

Kata- kata Furqan mati di situ. Sedar- sedar dia sudah basah. Aku tidak sedar bila aku mencapai gelas jus orenku yang masih berbaki dan menyimbahnya. Dia patut bernasib baik aku tidak mencapai mangkuk yang masih berbaki dengan kuah tomyam yang berada di sebelah gelas jus oren itu. Dadaku berombak menahan marah.

“Rania, apa dah jadi ni?” Hazriq yang baru masuk tergesa- gesa menghampiri kami.

Dia sendiri terkejut melihat Furqan yang basah dan aku yang bagaikan ingin menangis kerana marah masih berbaki. Tanpa perlu dicerita, dia sudah mengagak apa yang telah berlaku.

“I’m sorry Hazriq, I have to go!” kataku sambil meletakkan gelas dan keluar dengan terburu- buru. “Terima kasih untuk hari ni.”

“Nanti!” Hazriq ke kaunter dan menghulurkan dua keping duit lima puluh ringgit kepada juruwang. “Tak perlu baki!”

Dia segera menghantar aku ke kereta. “Awak tak apa- apa?”

“Ya, jangan risau!” balasku perlahan. Tanganku mencari- cari kunci di dalam tas tangan tetapi agak susah kerana pandanganku mula kabur dengan air mata yang bergenang.

Hazriq mengeluarkan sapu tangan dan menghulurkan kepadaku. Dengan diam, aku mengambil sapu tangan itu dan mengesat air mata dengan rasa geram. Aku merasa marah pada dia sendiri kerana menangis. Aku juga malu kerana hilang kawalan dan bergaduh di tempat awam begini. 

“Awak dah okey?” tanya Hazriq.

Aku cuma mengangguk.

“Baguslah! Tapi jujur saya nak tanya awak. Kalau saya masuk balik tumbuk dia, awak kisah tak?”

Terus aku memandang wajahnya dengan dahi berkerut. “Awak serius ke ni?”

“Mestilah! Lepas apa dia dah buat, saya betul- betul teringin nak tumbuk dia,” jawab Hazriq dengan bersungguh- sungguh.

“Tak payahlah. Jangan timbulkan masalah! Lagipun dah ada orang yang dah tumbuk dia, jadi awak tak perlu susah- payah!”

“Ya kah? Siapa?” tanya Hazriq dengan hairan.

“Ayah saya.”

Hazriq nampak terkejut, kemudian tergelak kecil.

“Memang patut dia buat macam tu,” kata Hazriq dengan bibir masih menguntum senyum. Aku sendiri mengukir senyum.

“Saya balik dulu,” kataku.

Hazriq menghela nafas. “Saya telefon awak malam nanti boleh?”

“Nak buat apa?”

“Saja.”

Aku tersengih dan mengangguk. “Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Hazriq berdiri di bibir jalan, menunggu aku memandu pergi. Macam mana Furqan boleh ada di sini? Tapi rasa puas hati juga lepas simbah jus oren tadi. Sepatutnya dari dulu aku buat macam ni. Hahaha, padan muka!

No comments:

Post a Comment