Friday, September 25, 2020

Bab 11

 

Aku duduk di pelamin ringkas yang disediakan untuk majlis akad nikah ini. Sebentar saja lagi acara akad nikah akan dilangsungkan. Ibu yang berada disebelahku berbual dengan gembira bersama Aunty Sofea. Ayah yang berada di sebelah Uncle Hadi dan Imam Hisham sibuk melihat dokumen yang perlu aku dan Furqan tandatangani nanti. Semua orang kelihatan gembira di majlis ini. Semua orang, kecuali kami bertiga.

Furqan yang berada di depan Imam Hisham tunduk membisu. Dyana yang tiba entah bila berada tidak jauh dariku juga kelihatan sugul. Aku sendiri tidak jauh bezanya dengan mereka.

 

“Kami memang selalu bersama sebab tu awak rasa kami dah terlalu rapat. Mungkin awak patut lebih percayakan kami berdua.”

 

Kata- kata Furqan itu bagaikan satu memori yang sangat jauh di ingatanku. Aku sudah percayakan mereka, ini balasan yang aku dapat? Teringat semua janji- janji yang pernah dia lafazkan semasa kami bercinta, adakah dia pernah maksudkannya? Mungkin ya, mungkin tidak. Lagipun semua janji itu dibuat sebelum dia kenal Dyana. Jadi apabila mereka saling kenal, semuanya tidak bererti lagi?

Aku…sudah tidak bererti untuknya lagi?

 “Alhamdulillah.” Suara Imam Hisham membuatkan aku terkejut.

Akan bermulakah?

Dia mengangkat tangan, membaca doa untuk memulakan majlis. Aku mengerling Dyana sekilas. Matanya kelihatan berair. Bagi orang lain, dia pasti kelihatan terharu dengan majlis pernikahanku. Tapi aku pasti dia langsung tidak terharu! Kemungkinan besar dia bersedih lelaki yang dicintainya akan mengahwini perempuan lain. Tapi bergembirakah aku kerana Furqan akan menjadi milikku? Walaupun aku ingin katakan ya tapi jauh di sudut hati aku sedar sesuatu. Hanya raganya mungkin akan menjadi milikku, hatinya entah memang tidak akan aku miliki lagi.

“Aku nikahkan dikau dengan Nur Rania Aisyah binti Haji Luqman dengan mas kahwinnya RM80 tunai!”

Tergagap Furqan untuk membalas menyebabkan lafaznya menjadi tidak sah dan terpaksa dibuat sekali lagi. Dia tergagap sebab dia akan kahwin dengan akukah? Kalau tadi aku terkejut, sekarang aku marah. Marah dengan Furqan. Marah dengan Dyana. Marah dengan diri sendiri sebab terlalu bodoh!

Masih terbayang- bayang setiap pesanan WhatsApp yang aku baca. Semuanya tidak dapat aku lupakan. Tentang cinta mereka. Tentang menyembunyikan semuanya daripada aku. Segalanya bagaikan mereka mengetawakan aku.

Terdengar Imam Hisham melafazkan akad buat kali ketiga setelah Furqan terus tergagap- gagap pada kali kedua. Furqan menarik nafas panjang sebelum menjawab.

“Aku terima nikahnya-”

 

Abang menyesal jatuh cinta pada Dyana?

 

Habis Dyana nak abang buat apa? Abang dah tak cintakan dia!

 

Abang tak boleh kahwin dengan dia.

 

“Nur-”

 

Macam mana abang nak kahwin dengan Rania kalau hati dan badan abang dah jadi milik Dyana?

 

“DIAM!!!”

Semua terpinga- pinga dan memandang ke arah aku yang semakin tersekat- sekat bernafas. Aku sendiri tidak sedar bila aku menjerit.

“Rania, kenapa ni?” soal ibu, memegang lenganku.

Imam Hisham saling memandang- mandang dengan saksi- saksi yang berada di sekelilingnya.

“Kenapa kamu menjerit tiba- tiba ni?” tanya ayah pula.

“Saya…”

Dadaku berdebar kencang.

“Rania?” bisik ibu. Dia dan Aunty Sofea berbalas pandang.

“Saya…”

Aku mengerling Dyana dan kemudian Furqan. Makin meliut- liut perasaan marahku kepada mereka berdua!

“Saya tak dapat kahwin dengan dia!” kataku dengan rasa marah.

Riuh semua orang selepas itu. Furqan dan Dyana sendiri terkejut dengan keputusanku.

“Kamu ni kenapa Rania? Jangan buat malu di sini!” kata ibu. Wajahnya merah padam, sama seperti ayah.

“Saya tak dapat terima dia sebagai suami saya. Minta maaf, ibu, ayah, Aunty Sofea dan Uncle Hadi.”

“Rania!” herdik ayah. “Apa yang kamu mengarut ni?”

Herdikan ayah hampir membuatkan aku lemah kembali tetapi aku segera kuatkan diri. Aku tidak mahu semua ini berterusan.

 “Ibu, ayah, Aunty Sofea dan Uncle Hadi. Sebelum buat apa- apa keputusan, boleh tak kita masuk bercakap dulu. Ada sesuatu yang perlu semua orang tahu. Saya minta Furqan dan Dyana ikut sekali,” pintaku dengan setenang mungkin.

Selepas masing- masing terdiam dan saling berpandangan, mereka akhirnya setuju. Dari ruang tamu, kami berpindah ke bilik bacaan.

Aku menghulurkan telefon Dyana yang aku pegang sedari tadi kepada ibu. “Bacalah dulu. Saya harap semua orang akan faham keputusan saya selepas ini!”

 

 

Ibu terduduk di kerusi sejak tadi, mengurut dada sambil menangis dengan perlahan. Aunty Sofea ada di sebelahnya. Wajahnya sendiri pucat tetapi dia tidak menangis. Ayah pula terdiam selepas habis membaca. Uncle Hadi sendiri membisu. Aku langsung tidak memandang ke arah Furqan dan Dyana. Aku takut aku akan melakukan sesuatu yang drastik jika aku memandang ke arah salah seorang dari mereka.

“Kenapa boleh jadi macam ni?” soal ayah.

Dyana dan Furqan tidak menjawab. Mereka terus tunduk.

“Cakaplah!” tempik ayah.

“Abang!” teriak ibu. “Dengarlah dulu cakap mereka.”

“Nak dengar apa? Mereka berdua dah malukan keluarga kita. Aku tak pernah besarkan seorang anak yang akan jadi macam ni!” kata ayah.

Ayah jarang bercakap kasar begitu. Apabila dia bahasakan dirinya dengan ‘aku’, itu bererti dia memang benar- benar marah.

“Ayah, maafkan kami!” kata Dyana dengan sebak.

Anehnya aku langsung tidak merasa simpati. Buat pertama kali dalam hidupku, aku benci mempunyai hubungan darah dengan perempuan ini.

“Kami tidak sedar bila kami jatuh cinta. Perasaan tu datang sendiri. Kami berusaha menjauhkan diri, cuba untuk menjadi adik dan abang tapi…” kata Furqan.

“Kami minta maaf,” kata Dyana, mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

“Kamu dah lukakan perasaan kami, kamu berdua sedar tak? Sanggup kamu buat begini pada kakak kamu?” soal ibu. Air mata meleleh di pipinya membuatkan aku sendiri merasa sebak dan ingin menangis.

“Saya tahu-”

Terus ayah memotong cakap Dyana. “Tapi kamu buat juga!”

“Sebelah pihak saja tidak akan jadi begini. Kamu Furqan, kenapa kamu boleh buat semua ni? Mama dan papa tak pernah ajar kamu jadi manusia macam ni,” kata Aunty Sofea tapi Furqan tidak membalas.

Aku melihat mereka berdua dengan rasa marah tetapi aku masih berusaha menahan diri dari bangun dan memukul salah seorang dari mereka. Ada sesuatu yang perlu aku tanya.

“Kakak nak tanya kamu Dyana,” aku merenung ke wajahnya. “Kamu… mengandungkah?”

Semua mata tertumpu ke arahku, sebelum merenung Dyana dan kemudian Furqan. Dyana yang tunduk terus memandang aku dengan wajah terkejut.

Ibu mengurut dada. “Apa kamu cakap ni Rania?”

“Dyana, jawab soalan kakak kamu,” kata ayah dengan wajah merah padam. “Kalau bukan, baik kamu cakap bukan!”

Dyana kembali tunduk. Wajahnya pucat lesi. Furqan sendiri tidak jauh bezanya. Dia nampaknya tidak tahu keadaan Dyana.

Akhirnya Dyana mengangguk. Terasa kelam duniaku. Aku hampir pitam. Sedar- sedar ibu dan Aunty Sofea memanggil namaku. Ibu memegangku yang hampir jatuh. Aunty Sofea pula memintaku agar bertenang. Mereka berdua membantuku duduk di kerusi.

“Kurang ajar!”

Entah bila ayah telah menumbuk Furqan. Uncle Hadi berusaha menyabarkan ayah walaupun dia sendiri nampak marah dengan Furqan.

“Apa yang kamu dah buat ni Dyana? Kenapa kamu sanggup buat macam ni?” soal ibu. Dia mula menangis teresak- esak.

“Kami cuma terlanjur sekali. Kami langsung tak sangka akan jadi begitu malam itu. Kami sendiri rasa menyesal,” kata Dyana. Dia juga mula menangis teresak- esak.

“Sekali ke, seratus kali ke, semua tu tak penting! Yang penting kamu berdua dah berbuat dosa besar! Sanggup kamu nak kahwin dengan Rania lagi lepas kamu dah rosakkan adik dia. Lelaki jenis apa kamu ni?!” herdik ayah dengan marah.

“Saya memang nak bertanggung jawab pada Dyana,” kata Furqan.

“Janganlah salahkan abang Furqan, saya yang tak benarkan dia,” kata Dyana pula.

“Habis kamu nak buat apa? Nak lahirkan anak luar nikah bila lelaki yang jadi ayah dia dah jadi pakcik dia dengan mengahwini kakak kamu sendiri? Cukup- cukuplah kamu buat dosa!” kata ayah.

Dyana membisu, tidak lagi menjawab.

“Rania, aunty minta maaf sangat- sangat pada Rania! Aunty sendiri tak sangka yang Furqan akan jadi tidak bertanggungjawab macam ni!” kata Aunty Sofea.

Aku cuma menggeleng. Semua ini bukan salah Aunty Sofea. Malah bukan salah ayah, ibu atau Uncle Hadi. Ini salah mereka berdua, manusia yang aku paling percayai tapi akhirnya menikam aku dari belakang!

“Kenapa kamu berdua sanggup buat macam ni?” soalku dengan lirih.

“Maafkanlah adik! Adik tahu abang Furqan milik kakak. Adik cuma harap dapat secebis kasihnya walaupun untuk seketika. Tapi adik tak sangka, kami akan hanyut sejauh ni.” Dyana terus menangis selepas itu.

Mengongoi- ngongoi ibu menangis selepas itu. Terasa air mata berlinang di mataku melihat ibu. Ibu tidak salah dalam hal ini, tidak perlulah dia menangis sebegini. Aku mengerling Dyana sekilas. Dia sendiri menangis tersedu- sedu.

Selepas apa yang kau buat, sekarang kau pandai hendak menangis? Baru kau rasa bersalah dan menyesal? Furqan sendiri tunduk, tidak jauh bezanya dengan Dyana.

“Apa patut kita buat sekarang?” kata Uncle Hadi.

“Ibu nak tahu, kamu masih nak kahwin dengan Furqan lepas apa yang dia dan Dyana dah buat?” tanya ibu kepadaku.

Aku cuma merenungnya kembali, kemudian menggeleng perlahan.

“Ibu tahu permintaan ibu ni kejam, tapi ibu merayu kepada kamu. Tolonglah selamatkan maruah Dyana. Benarkanlah dia berkahwin dengan Furqan! Ibu tak mahu dia lahir anak tanpa ayah!”

Aku terkejut. Bulat mataku memandang ibu.

“Betul cakap ibu kamu tu Rania. Semuanya dah jadi bubur. Ayah tahu kamu sedih tapi ayah harap kamu faham. Tak kan kamu masih hendak menjadi isteri kepada dia?” pujuk ayah pula.

Aku menarik nafas dalam- dalam. Aku tidak mahu lagi menjadi isteri Furqan tetapi aku pernah menyintai lelaki ini sepenuh hatiku. Biarpun mereka berdua mengkhianati aku, bukan mudah untuk aku lupakan dia atau lepaskan dia. Malah bukan mudah untuk aku izinkan mereka berbahagia selepas mereka hancurkan hatiku.

Kejamkah jika aku ingin mementingkan diriku hanya kali ini?

“Rania.” Aku terkejut melihat ibu melutut dihadapanku. Cepat- cepat aku cuba membantunya bangun tetapi dia berkeras.

“Ibu, jangan macam ni,” rayuku tetapi dia tetap ingin berada di situ.

“Ibu minta sangat- sangat, tolonglah ibu Rania! Cukuplah dengan malu yang ibu rasa ini, biarlah mereka berkahwin! Ibu dah tak sanggup!”

Aku terdiam merenung ibu. Apa lagi pilihan yang aku ada? Apa lagi jalan yang boleh aku pilih?

Akhirnya aku mengangguk.

Ibu terus menangis dan memelukku. Aku memeluknya kembali. Air mataku langsung tidak tumpah sejak tadi. Terasa bangga dengan diriku sendiri. Aku perlu pertahanku setiap cebisan maruah yang masih tinggal. Aku tidak akan biarkan mereka berdua menang.

Wednesday, September 23, 2020

Bab 10

 

Berdedar- debar jantungku bagaikan ia ingin tercabut dari dada. Dalam beberapa jam lagi, aku akan menjadi isteri yang sah kepada Mohd Furqan Fawwal bin Mohd Hadi. Aku tidak putus mengucapkan syukur kerana tiba juga hari ini. Bagaikan sekejap tempoh menunggu dan membuat persiapan itu berlalu.

Aku sudah hendak kahwin!

Aku meneliti inai di tanganku, tersenyum sendiri. Kedua- dua pihak telah bersetuju yang majlis akad nikah akan di adakan selepas solat asar dirumahku.

“Where’s the bride?”

Terkejut aku dibuatnya! Reesya, yang juga merupakan pemilik dan juga jurusolek Butik Reesya muncul dengan terlebih ceria secara tiba- tiba. Nasib baik aku tidak melatah.

“Assalamualaikum, are you ready?”

Tahu pula beri salam. Tetapi aku cuma menjawab salamnya tanpa merungut. Sebagai bakal pengantin, aku mesti mengekalkan aura keceriaan dan ketenangan dan zen yang positif.

Apa benda aku merepek ni?

Tetapi aku duduk, membenarkan Reesya memulakan proses menyolek wajahku untuk majlis akad nikah. Aku sedaya- upaya mengawal bibirku dari tersenyum lebar kerana terlalu gembira.

“Where’s the bridesmaid?” soal Reesya, merujuk kepada Dyana.

Dyana juga akan disolekkan oleh Reesya atas permintaan aku. Cuma aku berharap dalam diam yang Dyana tidak akan kelihatan lebih cantik dari aku walaupun itu agak sukar kerana dia sememangnya lebih cantik dari aku, walaupun tanpa sebarang solekkan di wajahnya.

“Dalam perjalanan, tak lama lagi sampailah,” jawabku.

Dyana telah menghantar mesej yang dia telah keluar dari rumah. Tapi itu beberapa jam yang lalu. Bukannya perjalanan dari Banting ke Damansara mengambil masa terlalu lama. Jadi aku tidak tahu mengapa dia masih belum di sini.

Aku merenung refleksi wanita yang sedang disolek Reesya itu. Itu akukah? Dia bagaikan wanita lain yang cantik! Walaupun aku mengambil keputusan untuk menggunakan konsep natural, Reesya masih mampu menyerlahkan seri di wajahku.

Reesya membantu aku mengenakan selendang putih, sebelum memakaikan tiara yang  ringkas tetapi cantik untuk melengkapkan hiasan kepala.

“You look gorgeous!” kata Reesya dengar senyum lebar.

Dia memuji hasil kerjanya sendirikah? Tetapi aku akui, hasil kerja Reesya memang hebat. Tidak sia- sia aku mendapatkan khidmatnya dengan bayaran yang mahal!

“Thanks,” kataku.

“So bila bridesmaid sampai tolong beritahu I, okey?” Reesya mengemas kotak alat soleknya , kemudian keluar untuk membantu dibahagian lain.

Aku terus merenung wajahku di cermin. Wanita itu bagaikan bukan aku. Dia kelihatan terlalu gembira, berseri- seri dan cantik. Aku pernah terfikir bagaimana aku akan rasa di hari bahagiaku, sekarang tidak perlu fikir lagi!

Aku tersenyum sendiri.

Terdengar ketukan di pintu sebelum ia dikuak perlahan. Terpacul wajah Dyana yang aku tunggu ketibaannya sejak semalam.

“Adik kenapa?”soalku hairan. Pada hari bahagiaku ini, wajah Dyana kelihatan pucat dan sugul.

Dia membisu seketika sebelum menjawab. “Adik tak berapa sihat.”

Aku berpaling, meneliti wajah Dyana. “Adik tak apa- apakah? Mungkin adik patut berbaring, berehat sekejap.”

Dyana tersenyum tawar. “Tak apa kak, adik tak perlu rehat. Pening sikit saja.”

“Betul ni?”

Dia cuma mengangguk. Dahiku berkerut, tidak berapa berpuas hati. Dyana memang nampak lemah dan kurang sihat.

“Oh, Reesya’s here! Dia cari adik untuk makeup,” kataku.

Raut wajah Dyana berubah. Dia seperti ingin termuntah.

“Adik rasa adik tak boleh mekap, bau alat solek tu buat adik rasa nak muntah.”

Seteruk itukah? Tetapi melihat raut wajahnya, aku rasa terlalu kejam jika aku memaksa dia. Dia memang tidak berlakon!

“Macam mana dengan solekkan kakak? Ada bau ke?”

Dyana menggeleng perlahan. “Tak, itu tak teruk. Cuma alat solek yang belum dipakai tu ada bau yang lain.”

Aku mengangguk, serba salah jadinya. Memang semua patut bergembira untuk aku hari ini tetapi tidak ada sesiapa pun yang boleh tahu bila dia akan jatuh sakit. Aku tidak boleh salahkan Dyana.

“Adik berbaringlah dulu,” usulku.

“Tak apa kak, tak elok kalau orang nampak.”

“Pedulikanlah apa orang nak kata. Adik nampak pucat sangat.” Dahiku berkerut.

“Sikit saja kak. Nanti baiklah. By the way, congratulations! Kakak nampak cantik sangat!” Dyana tersenyum tawar.

“Terima kasih!” balasku, senyum merkah di bibir.

Dyana kembali mendiamkan diri, mengurut kepalanya sedikit. Aku menghulurkan minyak angin untuk membantu mengurangkan peningnya tetapi dia menolak. Katanya bau itu juga membuatkan dia terasa ingin muntah. Hesy, teruk betul nampaknya!

Akhirnya aku membiarkan dia sendiri. Aku mencapai bunga pegang dan membetulkan lipatan yang aku rasa rosak sedikit. Selain kemeriahan di luar, kami berdua membisu di dalam bilik. Tiba- tiba pintu bilik dikuak, membuatkan aku sedikit terperanjat. Bau minyak atar menerjah lubang hidungku.

“Assalamualaikum,” kata Mak Ngah dengan suara ceria.

Tiba- tiba Dyana bangun dan berlari keluar dengan menekup mulut. Risau dengan reaksinya, cepat- cepat aku bangun mengikutnya dari belakang. Dyana masuk ke bilik air dan menutup pintu. Terdengar seperti dia muntah.

“Adik? Adik tak apa- apakah?” Aku mengetuk- ngetuk pintu.

“Tak apa, janganlah risau!” Perlahan sahaja dia menjawab.

Aku menunggu di depan pintu bilik air seketika sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke bilik. Mak Ngah masih ada di bilikku. Bau minyak atar yang dipakainya kembali menerjah hidungku.

“Kenapa dengan Dyana?” Mak Ngah seperti tidak berpuas hati.

“Dia tak sihat. Sejak pagi lagi dia nampak pucat,” jelasku kepada Mak Ngah.

Kalau aku dalam posisi Dyana, aku sendiri akan termuntah agaknya. Dia memang pening dan tidak tahan dengan sebarang bau sejak tadi. Dia pasti tidak tahan dengan bau dari minyak atar Mak Ngah. Aku sendiri mula rasa pening.

“Habis tu macam mana? Bukankah dia pengapit kamu?” soal Mak Ngah.

“Esok baiklah agaknya. Lagipun hari ini cuma akad nikah. Dia boleh berehat lagi,” jawab aku.

Mak Ngah mengangguk. “Baguslah macam tu. Mak Ngah cuma nak ucapkan tahniah.”

Mak Ngah memelukku ringkas sebelum memberitahu yang dia ingin turun mencari ibu untuk berbual. Aku kembali berseorangan di dalam bilik sebelum ibu masuk sekejap untuk memberitahuku yang rombongan pengantin lelaki akan tiba sebentar lagi. Aku diminta untuk menunggu sehingga dipanggil. Gementarnya hanya Allah yang tahu. Beberapa orang masuk untuk mengucapkan tahniah kepadaku selepas itu tetapi ia masih belum mampu untuk menghilangkan rasa gementar yang semakin bergelora ini. Kalau Dyana di sini sekarang mungkin kami boleh berbual- bual.

Sebut pasal Dyana, kenapa lama sangat dia di bilik air? Terukkah sakitnya. Risau pula aku dibuatnya. Lantas aku bingkas bangun untuk memeriksa keadaannya. Sebelum sempat aku melangkah, telefon Dyana yang berada di atas katil berbunyi. Ada mesej dari What’sAppnya.

Aku memang tidak bermaksud untuk mengintai. Tetapi apabila telefon dia berbunyi, secara automatik aku memandangnya. Dan aku langsung tidak berniat untuk membaca apa yang tertulis di skrin tetapi aku terbaca secara tidak sengaja.

 

Abang berharap situasi boleh berlainan demi cinta kita. Abang cintakan Dyana, bukan dia. Maafkan abang.

 

Maaf? Kenapa? Siapa lelaki ini? Dyana ada teman lelaki? Lagipun dia cakap dia cintakan Dyana. Jika benar, kenapa lelaki itu bagaikan ada perempuan lain?

Terlalu banyak persoalan bermain di mindaku. Sekali lagi aku memandang skrin, membaca nama pengirim.

 

Abang Furqan.

 

Abang Furqan?

Abang…Furqan?

Furqan?

Terkejut bukanlah perkataan paling sesuai untuk perasaanku sekarang kerana aku sendiri tidak dapat mengagak apa perasaanku. 

Tapi…

Tak mungkin! Cuma ada satu abang Furqan bagi Dyana ataupun ada abang Furqan lain yang aku tidak tahu. Tak mungkin Furqan yang menghantar mesej itu. Tak mungkin lelaki yang bakal menjadi suamiku sebentar nanti.

Tak mungkin!

Aku mencapai telefon, membuka kekunci dan mencari mesej- mesej lain yang berkaitan. Aku perlu pastikan yang bukan Furqan yang aku kenali itu yang menghantar mesej itu. Pastinya bukan dia!

Aku berharap yang aku salah kerana kalau benar, aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan nanti. Aku mencari mesej paling lama dan mula membaca.

 

Kita mesti lupakan.

 

Dyana faham. Kita mesti cuba, demi kakak.

 

Lupakan apa? Perasaan ingin tahu membuak- buak.

 

Abang juga tidak tahu bagaimana boleh jadi begini. Abang dah berusaha untuk mengelak dari berjumpa Dyana tapi perasaan ini tetap tidak hilang. Malah bertambah kuat. Abang sudah buntu.

 

Dyana juga sama. Dyana sedar kita tidak patut jatuh cinta tapi perasaan ini datang sendiri. Kita dah bersalah pada kakak.

 

Abang tahu.

 

Abang menyesal jatuh cinta pada Dyana?

 

Tak. Tapi…

 

Dyana faham abang. Itu juga apa yang Dyana rasa.

 

Pasal malam semalam, abang mahu bertanggungjawab.

 

Jangan abang! Abang dan kakak bakal berkahwin. Tinggal dua bulan saja lagi.

 

Macam mana abang nak kahwin dengan Rania kalau hati dan badan abang dah jadi milik Dyana?

 

Hati dan badan….

Apa yang mereka mainkan di belakang aku? Terasa air mata ingin merembas keluar tetapi aku mengawal diri. Aku perlu tahu apa yang berlaku seterusnya.

 

Tapi kakak akan kecewa nanti.

 

Kita dah berdosa Dyana. Kita mesti menanggung dosa kita.

 

Dyana faham abang tapi Dyana tak sanggup untuk lukakan kakak.

 

Kita dah pun lukakan dia. Rania saja belum tahu.

 

Tapi Dyana tak sanggup abang. Biarlah Dyana yang tanggung semua ni sendiri.

 

Abang tak sanggup biar orang yang abang cintai sengsara begini. Abang nak batalkan majlis perkahwinan kami. Abang tak boleh kahwin dengan dia.

 

Kalau abang buat macam tu, Dyana tak akan maafkan abang!

 

Habis Dyana nak abang buat apa? Abang dah tak cintakan dia!

 

Abang mesti teruskan dengan perkahwinan ni. Biarlah kita simpan saja perasaan kita.

 

Aku berhenti membaca. Tak sanggup aku teruskan lagi. Mereka berdua bercinta di belakang aku. Dia kekasihku sekian lama dan wanita itu adikku sendiri. jika benar apa yang aku baca ini, mereka telah…

Astagfirullahhalazim. Ya Allah, dugaan apakah yang kau ingin berikan padaku sekarang?

Nanti! Dyana kelihatan pucat dan muntah- muntah sejak tadi.

Dyana…hamil?

Aku jatuh terduduk ditepi katil. Hampir terlepas telefon dari tanganku. 

Nanti dulu! Ini bukan drama atau filem. Kalau muntah- muntah atau pitam maka konklusinya ialah perempuan itu hamil. Betul tu, ini realiti. Jangan kerana Dyana muntah- muntah tadi, aku boleh menganggap dia hamil. Malah kemungkinan hal tentang malam itu, mungkin tidak ada apa- apa berlaku antara mereka berdua. Mereka tak mungkin akan lakukan perkara sebegitu.

Betul, kan?

Lama aku duduk di bibir katil, tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang. Aku bakal menikahi lelaki ini, lelaki yang telah menyerahkan hati dan badannya kepada adikku sendiri. Siapa yang harus aku salahkan? Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Terdengar bunyi beberapa buah kereta masuk ke halaman rumah. Terdengar keriuhan tetamu.

Pihak pengantin lelaki telah sampai.

“Ya Allah!” ibu muncul di pintu. “Ibu suruh kamu tunggu di sini. Yang kamu duduk di lantai ni kenapa?”

Aku langsung tidak menjawab, cuma memandang wajah ibu. Bagaimana hendak aku ceritakan kepada ibu tentang apa yang telah berlaku? Selepas seketika, ibu menghampiri dan membantuku bangun.

“Kamu ni kenapa? Jom, kita turun terus ke bawah. Acara akad nikah akan bermula.”

Monday, September 21, 2020

Bab 9

 

Majlis mendekat tapi aku masih ada masa untuk keluar. Masih ada yang perlu dibeli, jadi terpaksalah aku ke beberapa tempat untuk mendapatkan barang- barang itu. Furqan sendiri pun sibuk dengan persiapannya untuk menolong. Tak ada sesiapa yang boleh bantu aku. Susahnya hendak kahwin!

Tapi jangan merungut, majlis sudah hampir pun. selepas ini aku tidak perlu bersusah- susah lagi. Jadi bersabar sajalah sampai semua hal ni selesai.

Aku terlalu sibuk ke sana- ke mari hingga aku hampir tidak perasan kelibat Furqan. Dia sedang duduk di kafe berdekatan bangunan yang aku lalu. Eh, kata sibuk? Ada masa pula duduk- duduk minum di sini?

Tapi alang- alang sudah jumpa, lebih baik aku tegur dia. Aku pun rasa haus ni, boleh minta dia belanja aku minuman. Dengan tersenyum lebar, aku berjalan ke arahnya.

“Nak rahsiakan sampai bila?”

Suara itu membuatkan aku tidak jadi menghampiri Furqan. Dia sedang bercakap dengan siapa? Tiba- tiba Furqan berpaling ke arah aku. Cepat- cepat aku berlindung di sebalik pokok hiasan yang besar. Harap- harap dia tidak nampak aku!

Kenapa pula aku sembunyi?

Selepas beberapa ketika, mereka berbual kembali. Aku mengintai melalui celah- celah daun. Eh, Imani!

 “Bukan saya nak rahsiakan,” kata Furqan.

“Habis tu?” soal Imani dengan raut wajah tidak berpuas hati. “Takut nak beritahu tunang awak?”

Furqan tidak menjawab. Dia merenung ke jalan dengan raut wajah yang marah.

“Saya tak suka rahsiakan hal- hal begini. Buatlah keputusan yang bijak. Orang yang pandai macam awak, tak kan tak boleh berfikir apa yang terbaik,” kata Imani. “Tak pun awak nak saya jumpa tunang awak tu?”

Menyingga wajah Furqan. “Awak jangan nak sibuk! Lagipun bukan urusan awak pun!”

Imani tergelak. “Saya pula menyibuk? Ikut awaklah. Memang betul awak cakap, bukan urusan saya. Tak ada kaitan pun dengan saya!”

Apa yang mereka bualkan? Apa yang dia takut untuk beritahu aku? Rahsia apa yang Furqan sembunyikan dari aku? Tak kan mereka berdua ada skandal?!

Hesy, jangan nak mengarut! Dia bakal suami aku! Dia tak kan menipu aku!

Aku terasa seperti hendak keluar dan menyoal mereka. Tetapi kalau aku buat begitu dan sebenarnya ini semua salah faham, Furqan akan marah dengan aku. Kami sudah hendak kahwin, tak kan kami hendak bertengkar?

Habis apa patut aku buat sekarang? Selepas berfikir, akhirnya aku menghayun langkah ke arah bertentangan.

 

 

Sampai di rumah pun, aku masih tidak habis- habis berfikir tentang mereka berdua. Aku betul- betul ingin tahu apa yang mereka berdua bualkan. Aku pasti ada kaitan dengan aku! Terasa menyesal tidak menerjah mereka berdua tadi. Kalau aku tanya tapi aku yang salah, masalah besar nanti. Tapi bila tak tanya, beginilah jadinya. Asyik fikir tak habis- habis. Padan dengan muka aku!

Telefonku tiba- tiba bergetar. Hampir melompat aku disebabkan terkejut. Eh, Furqan! Cepat- cepat aku menjawab panggilannya.

“Awak buat apa?” tanya Furqan.

Tengok, dari cara dia bercakap, langsung tidak ada tanda- tanda dia curang dengan aku!

“Tak ada buat apa- apalah,” jawabku. “Awak buat apa hari ni?”

“Tak ada apa- apa juga,” jawab Furqan.

“Tak keluarkah?”

“Keluar jumpa Imani sekejap tadi.”

Wah, dia berterus- terang! Tapi bukankah ini maksudnya dia tidak sembunyikan apa- apa?

“Ya kah?” Aku pura- pura terkejut. “Ada apa jumpa dia?”

“Dia nak cakap sikit.”

“Tentang apa?” desakku.

“Alah, hal bowlinglah!”

Tak habis- habis tentang bowling! Biar betul!

“Kita nak kahwin pun awak masih boleh bincang tentang bowling lagi?” soalku dengan nada tidak percaya.

“Habis awak nak saya bincang pasal persiapan majlis kita dengan dia? Tentang baju? Tentang makanan? Tentang jemputan?”

“Tak adalah macam tu,” gumamku.

“Saya dan dia cuma kenal disebabkan bowling. Lain dari tu, kami memang tak ada topik nak bincang pun.”

Membisu aku mendengar. Mesti dia perasan yang aku cemburu!

Furqan menghela nafas. “Awak nak ajak saya bergaduhkah? Majlis kita tinggal dua hari saja lagi.”

“Tak adalah, saya minta maaf,” gumamku lagi.

“Saya tak mahu kita bergaduh,” katanya.

“Saya pun!” balasku dengan serta- merta.

“Jadi macam mana sekarang?” tanya Furqan.

“Saya minta maaf,” kataku dengan perlahan. “Awak marahkah?”

Furqan membisu seketika. “Tak adalah, biarlah.”

“Betul?”

“Ya.”

Tapi rasa bersalah juga sebab mencurigai dia.

“Esok mereka akan datang untuk buat persiapan,” kataku dengan tiba- tiba, segera mengubah topik.

“Hmm, betul juga! Pukul berapa?” balas Furqan.

Sedikit- sebanyak kami berbual seperti biasa. Kepercayaan ialah sesuatu yang sukar. Tapi untuk menjayakan sesebuah hubungan, ia adalah keperluan. Walaupun sehingga sekarang hubungan kami masih belum sempurna, aku pasti kami akan ada sepanjang hayat kami untuk menyempurnakan ikatan antara kami.

 

 

Aku memerhatikan persiapan yang sedang berjalan lancar di luar dari balkoni rumah. Semuanya berjalan mengikut perancangan. Pekerja- pekerja dari Butik Reesya sibuk ke sana ke mari. Selain memasang khemah di luar, mereka juga memasang pelamin dan menghiasi kamarku. Sebab itulah aku berada di sini sekarang. Aku ‘dihalau’ keluar dari bilik!

Berdebar- debar aku menunggu majlis akad nikahku esok. Entah- entah aku tidak dapat tidur lena pada malam ini. Tapi sebagai bakal pengantin, aku harus mengawal diri dan emosi supaya nampak elegan dan menawan di hari bahagiaku nanti. Ah, apa aku merepek ni?

Bakal pengantin. Hehe, rasa puas asyik menyebutnya. Tidak sabar menunggu harinya tiba. Ya Allah, bahagianya aku!

Dyana akan pulang pada hari akad nikah. Dia tidak beritahu kenapa tetapi aku rasa mungkin kerana dia sibuk dengan kerjanya. Berkali- kali dia minta maaf kerana tidak dapat pulang awal untuk menemaniku. Tak apa, aku tak kisah. Jangan dia tidak pulang langsung sudah!

Furqan terus menyepi. Mungkin sibuk dengan persiapan pihak lelaki. Aku biarkan dia sendiri. Lagipun aku cuma  perlu bersabar untuk sehari saja lagi kerana esok kami akan diijabkabul. Wah! Sekali- sekala ternampak inai yang telah dilukis oleh Reesya tadi apabila dia dan pekerjanya datang memasang pelamin untuk untuk aktiviti esok. Inai yang dilukis cantik ini membuatkan hatiku semakin teruja.

Tiba- tiba telefonku berdering. Nama Hazriq terpapar di skrin. Kenapa pula dia mencari aku? Hendak tanya tentang majlis esokkah?

“Assalamualaikum,” sapaku dengan nada ceria.

“Waalaikumsalam. Saya nak jumpa awak,” katanya tanpa berbasa- basi.

“Saya tak boleh keluarlah. Ada banyak hal nak dibuat di rumah. Esok kan majlis akad nikah saya,” jawabku, cuba menolak dengan baik. Lagipun tak manis kalau aku keluar hari ini.

“Sekejap saja. Saya betul- betul ada hal penting yang saya nak sampaikan pada awak. Kalau awak tak dapat datang, saya boleh jumpa awak di rumah awak!” desak Hazriq.

Dia sudah hilang akal agaknya? Nanti apa hendak aku beritahu ibu dan ayah. Tak kan aku nak cakap, ‘Saya dan Hazriq memang kenal rapat. Sebab tu lah dia datang.’

Mengarut!

“Kenapa dengan awak ni? Apa yang penting sangat sampai awak beria- ia nak jumpa saya?” soalku dengan hairan.

“Saya tak boleh cakap dalam telefon.”

Aku menghela nafas. Nampaknya nekad betul dia. Kalau aku menolak, mesti dia sampai di depan pintu pagar rumah aku.

“Baiklah. Jumpa di mana?” Terpaksa aku akur.

Hazriq memberitahu nama taman berdekatan kawasan kejiranan rumahku dan dia akan menunggu di sana. Taman itu sering menjadi tumpuan orang ramai yang datang beriadah dan berehat bersama keluarga di tepi tasik yang besar terdapat dalam taman pada begini, jadi aku bersetuju.

“Hendak ke mana Rania?” tanya ibu apabila nampak aku turun.

“Keluar sekejap untuk jumpa kawan. Saya pergi dulu, ibu,” balasku sambil menyalaminya.

“Jangan lama sangat. Esok kamu dah nak berkahwin. Darah manis, tak elok keluar kerap sangat,” pesan ibu.

“Baik bu.”

Sepanjang memandu ke taman, aku berfikir- fikir sebab mengapa Hazriq ingin berjumpa denganku. Sampai di taman, kelihatan kereta putih dan pemiliknya berada di tempat meletak kenderaan. Ramai pengunjung berada di kawasan tasik, jadi tempat letak kenderaan agak lengang. Aku memilih untuk meletakkan kereta di sebelah keretanya. Hazriq datang berdiri bersebelahan pintu pemandu, menunggu aku keluar. Nampaknya dia tidak sabar untuk beritahu aku.

“Assalamualaikum,” sapanya.

“Waalaikumsalam. Ada apa awak hendak jumpa saya?”

“Kita cakap di sana,” ajak Hazriq, menunjuk ke kerusi batu yang berada berdekatan kami.

Aku mengangguk, mengikutnya ke sana. Selepas aku melabuhkan punggung dan Hazriq mengambil tempat di hadapanku, dia terus membisu. Dia nampak gelisah tapi masih belum membuka mulut.

“Kenapa ni? Cakaplah!” gesaku.

Dia melurut rambutnya, bersandar pada kerusi. “Susah saya nak cakap.”

“Kenapa awak serius sangat ni? Ada apa masalahkah?”

Dia merenungku lama. “Saya…saya tak tahu bagaimana nak cakap. Saya harap, awak bersabar dan faham yang saya tak menipu atau berniat jahat.”

Makin berdebar hatiku dengan perangai peliknya. “Apa dia? Cakaplah!”

“Awak perlu tahu sesuatu. Saya rasa…saya rasa tunang awak tak setia dengan awak.”

Menyingga, terus aku memandang wajahnya. “Awak jangan nak buat cerita!”

“Saya tak buat cerita!” balasnya dengan serta- merta.

“Habis awak nak tuduh tunang saya curang tu kenapa? Saya percayakan dia! Saya pasti dia tidak akan curang dengan saya!”

“Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri tadi!” Hazriq sendiri mula meninggi suara.

“Awak dah silap oranglah!”

“Saya betul- betul nampak dia! Orang ketiga tu pun saya nampak!”

“Awak nampak muka perempuan tu?” soalku.

“Ya, awak tak akan percaya kalau saya beritahu dia siapa!” jawab Hazriq.

Memang aku tidak mahu percaya!

“Mungkin dia berbual saja tak lebih dari tu!” sangkalku.

“Saya boleh tahu yang mereka bukan sekadar kawan. Saya terdengar apa yang mereka bualkan.”

“Kenapa awak buat semua ni? Awak sengaja nak kenakan saya?” soalku, menahan rasa marah yang amat sangat.

Wajah Hazriq merah padam. “Buat apa saya nak kenakan awak? Awak ingat saya seronok nak mainkan perasaan awak?”

“Habis tu kenapa?”

“Saya tak menipu! Saya cakap perkara yang betul!”

“Apa yang betulnya kalau awak menipu?”

“Demi Allah, saya sanggup bersumpah yang saya cakap hal yang betul! Saya tak kan main- main dengan hal- hal macam ni!” kata Hazriq dengan serius.

Aku mati akal dibuatnya. Tapi nanti dulu! Aku merenung wajahnya.

“Awak sengaja buat cerita supaya saya tinggalkan Furqan? Sebab tu awak cakap dia curang?”

Mata Hazriq membulat membalas renunganku. “Saya tak sekeji tu! Lagipun apa tujuan saya nak buat macam tu?”

“Sudah! Jangan cakap lagi!” herdikku. “Lepas ni saya tak nak jumpa awak lagi! Jangan awak telefon saya lagi! Assalamualaikum!”

Cepat- cepat aku bangun, meninggalkan Hazriq yang masih nampak marah tetapi sedikit terkejut dengan keputusanku. Dalam hati terselit rasa percaya dengan kata- kata Hazriq tetapi berkali- kali aku mengingatkan diri yang aku mesti percayakan Furqan. Dia tidak akan buat begitu kepada aku!

Apabila masuk ke dalam kereta, aku mengeluarkan telefon mendail nombor Furqan. Selepas satu deringan, aku memutuskan talian. Aku tidak boleh menyoal Furqan kesahihan cerita ini, Furqan akan menganggap yang aku tidak mempercayai dia. Sudah berapa kali aku biarkan sikap cemburuku menjadi punca pergaduhan kami? Kali ini bolehkah dia maafkan aku kalau dia tahu aku lebih percayakan orang lain?

Apa patut aku buat sekarang? Buntu aku dibuatnya. Aku mendail nombor Dyana tetapi membatalkannya sebelum sempat dihubung lagi. Semuanya bagaikan tidak kena. Dari jauh kelihatan Hazriq sudah dalam perjalanan ke keretanya. Cepat- cepat aku hidupkan enjin dan memandu keluar dari kawasan tempat meletak kenderaan. Aku tidak memandu pulang tapi tanpa arah tujuan. Yang aku tahu aku perlu ke satu tempat, asalkan bukan di sini.

Selepas seketika aku dapat berfikir semula. Mungkin dia cuma mereka- reka cerita. Aku dan Furqan lebih mengenali satu sama lain berbanding orang lain. Aku tahu Furqan pasti setia kepadaku. Betul tu. Aku mesti percayakan Furqan, bukannya rang lain yang mungkin berniat jahat. Aku tidak pasti apa tujuan Hazriq buat semua ini tapi aku lebih percayakan Furqan.

Aku menghela nafas dan beristighfar. Ini pasti satu dugaan dalam hubungan kami. Aku tidak patut membiarkan ia menjadi duri.

Telefonku berbunyi. Hazriq lagi! Tapi baik selesaikan hal ini dengan dia sekarang. Aku melarik skrin, kemudian membisu. Aku menunggu apa lagi yang dia cuba mainkan.

“Assalamualaikum,” sapanya perlahan.

“Waalaikumsalam,” jawabku dengan sedikit kasar.

“Saya nak minta maaf atas pergaduhan kita  tadi. Saya tak patut naik angin dengan awak.”

“Jadi awak mengaku yang awak reka cerita?” soalku.

Dengan segera dia menyangkal. “Saya tak buat cerita! Saya memang nampak dengan mata saya sendiri!”

“Jadi kita tak ada benda yang nak dicakapkan!” tegasku.

“Please Rania, jangan buat keputusan yang salah.”

Aku mula terasa marah kembali. “Excuse me?”

“Dia tak cintakan awak. Dia ada orang lain. Orang yang awak sangat kenal. Perempuan tu ialah-”

Terus aku memotong. “Jangan nak buat cerita lagi. Saya dan Furqan bakal berkahwin esok. Jadi jangan nak buat cerita yang bukan- bukan!”

“Rania…”

“Saya percayakan dia sepenuh hati saya. Saya percaya dia pun sama.”

“Kenapa awak tak percayakan saya? Saya tak boleh terima lelaki yang curang dengan awak menjadi suami awak! Awak layak untuk dapat seseorang yang lebih baik dari itu,” bantahnya.

Aku mendengus. “Fine! It’s nice knowing you. Terima kasih untuk segalanya sebelum ini!”

“Tunggu-”

Terus aku memetuskan talian. Telefon sekali lagi berdering tetapi cepat- cepat menekan butang Cancel.

Selamat tinggal Hazriq! Kita tak akan berjumpa lagi selepas ini!

 

 

Aku mengerling telefon yang berkelip- kelip sejak tadi. Selepas aku pulang, Hazriq beberapa kali cuba menghubungiku tetapi aku langsung tidak hiraukan dia. Majlis perkahwinanku ialah pada hari esok. Aku tidak mahu peduli dengan hal- hal negatif sebegini. Aku juga tak perlukan seorang kawan yang bermulut jahat seperti dia.

“Rania, kenapa dengan telefon kamu tu?” soal ayah.

“Tak ada apalah ayah, kadang- kadang memang macam ni pun,” balasku, mencapai telefon dan terus mematikannya.

Ayah kembali berbual dengan ibu tentang majlis esok. Aku kembali mengelamun, merenung televisyen.

“Dari kamu termenung tu, pergilah tidur. Esok hari penting kamu,” kata ibu.

Aku akur, bangun memeluk ibu dan ayah untuk mengucapkan selamat malam. Kalau terus di sini pun aku cuma menghabiskan masa dengan termenung. Lagipun sejak pulang tadi, hatiku terus gelisah.

Setelah kembali ke bilik tidur, aku kembali mengelamun. Tiba- tiba aku terasa ingin mendengar suara Furqan. Harap- harap dia menjawab panggilanku. Selepas dua kali mencuba, suara Furqan kedengaran di hujung talian.

“Assalamualaikum.”

Sepatah perkataan sudah cukup membuatkan aku ingin menangis. Apa yang berlaku hari ini dan sudah lama tidak berjumpa dia membuatkan aku terlalu rindu padanya. Kalau boleh aku ingin menatap wajahnya sekarang tapi dia akan nampak wajahku bila aku mula menangis.

“Waalaikumsalam,” jawabku perlahan.

“Ada apa?”

“Awak tengah buat apa?” soalku.

“Berehat di bilik.”

“Awal awak tidur?”

“Mama mahu saya banyak berehat.”

Tidak dapat aku jelaskan bagaimana segala keresahan tadi hilang apabila aku mendengar suaranya. Aku tidak mahu dia berhenti bercakap.

“Esok jangan lupa datang!” kataku, cuba bergurau.

“Boleh buat- buat lupakah?” tanya Furqan.

“Lupa siap awak!” ugutku.

“Tak lupalah, tak mungkin lupa! Awak rehatlah. Awak pun perlu bangun awal esok, kan?” katanya.

“Tak apa, saya cuma nak berbual dengan awak lama sikit malam ni. Boleh tak?”

Dia diam, lama juga berfikir. “Cakaplah apa yang awak nak cakap.”

Aku tergelak kecil. “Bila cakap macam tu, saya tak tahu nak cakap apa.”

Dia menghela nafas. “Awak sibuk hari ini?”

“Bolehlah.”

“Buat apa?”

“Macam- macam.”

Kami terus berbual sehingga malam larut. Resah di hatiku menghilang selepas itu. Cinta memang penawar terbaik. Aku yakin Furqan akan membahagiakan aku. InsyaAllah, aku yakin dengan keputusanku ini.