Friday, September 25, 2020

Bab 11

 

Aku duduk di pelamin ringkas yang disediakan untuk majlis akad nikah ini. Sebentar saja lagi acara akad nikah akan dilangsungkan. Ibu yang berada disebelahku berbual dengan gembira bersama Aunty Sofea. Ayah yang berada di sebelah Uncle Hadi dan Imam Hisham sibuk melihat dokumen yang perlu aku dan Furqan tandatangani nanti. Semua orang kelihatan gembira di majlis ini. Semua orang, kecuali kami bertiga.

Furqan yang berada di depan Imam Hisham tunduk membisu. Dyana yang tiba entah bila berada tidak jauh dariku juga kelihatan sugul. Aku sendiri tidak jauh bezanya dengan mereka.

 

“Kami memang selalu bersama sebab tu awak rasa kami dah terlalu rapat. Mungkin awak patut lebih percayakan kami berdua.”

 

Kata- kata Furqan itu bagaikan satu memori yang sangat jauh di ingatanku. Aku sudah percayakan mereka, ini balasan yang aku dapat? Teringat semua janji- janji yang pernah dia lafazkan semasa kami bercinta, adakah dia pernah maksudkannya? Mungkin ya, mungkin tidak. Lagipun semua janji itu dibuat sebelum dia kenal Dyana. Jadi apabila mereka saling kenal, semuanya tidak bererti lagi?

Aku…sudah tidak bererti untuknya lagi?

 “Alhamdulillah.” Suara Imam Hisham membuatkan aku terkejut.

Akan bermulakah?

Dia mengangkat tangan, membaca doa untuk memulakan majlis. Aku mengerling Dyana sekilas. Matanya kelihatan berair. Bagi orang lain, dia pasti kelihatan terharu dengan majlis pernikahanku. Tapi aku pasti dia langsung tidak terharu! Kemungkinan besar dia bersedih lelaki yang dicintainya akan mengahwini perempuan lain. Tapi bergembirakah aku kerana Furqan akan menjadi milikku? Walaupun aku ingin katakan ya tapi jauh di sudut hati aku sedar sesuatu. Hanya raganya mungkin akan menjadi milikku, hatinya entah memang tidak akan aku miliki lagi.

“Aku nikahkan dikau dengan Nur Rania Aisyah binti Haji Luqman dengan mas kahwinnya RM80 tunai!”

Tergagap Furqan untuk membalas menyebabkan lafaznya menjadi tidak sah dan terpaksa dibuat sekali lagi. Dia tergagap sebab dia akan kahwin dengan akukah? Kalau tadi aku terkejut, sekarang aku marah. Marah dengan Furqan. Marah dengan Dyana. Marah dengan diri sendiri sebab terlalu bodoh!

Masih terbayang- bayang setiap pesanan WhatsApp yang aku baca. Semuanya tidak dapat aku lupakan. Tentang cinta mereka. Tentang menyembunyikan semuanya daripada aku. Segalanya bagaikan mereka mengetawakan aku.

Terdengar Imam Hisham melafazkan akad buat kali ketiga setelah Furqan terus tergagap- gagap pada kali kedua. Furqan menarik nafas panjang sebelum menjawab.

“Aku terima nikahnya-”

 

Abang menyesal jatuh cinta pada Dyana?

 

Habis Dyana nak abang buat apa? Abang dah tak cintakan dia!

 

Abang tak boleh kahwin dengan dia.

 

“Nur-”

 

Macam mana abang nak kahwin dengan Rania kalau hati dan badan abang dah jadi milik Dyana?

 

“DIAM!!!”

Semua terpinga- pinga dan memandang ke arah aku yang semakin tersekat- sekat bernafas. Aku sendiri tidak sedar bila aku menjerit.

“Rania, kenapa ni?” soal ibu, memegang lenganku.

Imam Hisham saling memandang- mandang dengan saksi- saksi yang berada di sekelilingnya.

“Kenapa kamu menjerit tiba- tiba ni?” tanya ayah pula.

“Saya…”

Dadaku berdebar kencang.

“Rania?” bisik ibu. Dia dan Aunty Sofea berbalas pandang.

“Saya…”

Aku mengerling Dyana dan kemudian Furqan. Makin meliut- liut perasaan marahku kepada mereka berdua!

“Saya tak dapat kahwin dengan dia!” kataku dengan rasa marah.

Riuh semua orang selepas itu. Furqan dan Dyana sendiri terkejut dengan keputusanku.

“Kamu ni kenapa Rania? Jangan buat malu di sini!” kata ibu. Wajahnya merah padam, sama seperti ayah.

“Saya tak dapat terima dia sebagai suami saya. Minta maaf, ibu, ayah, Aunty Sofea dan Uncle Hadi.”

“Rania!” herdik ayah. “Apa yang kamu mengarut ni?”

Herdikan ayah hampir membuatkan aku lemah kembali tetapi aku segera kuatkan diri. Aku tidak mahu semua ini berterusan.

 “Ibu, ayah, Aunty Sofea dan Uncle Hadi. Sebelum buat apa- apa keputusan, boleh tak kita masuk bercakap dulu. Ada sesuatu yang perlu semua orang tahu. Saya minta Furqan dan Dyana ikut sekali,” pintaku dengan setenang mungkin.

Selepas masing- masing terdiam dan saling berpandangan, mereka akhirnya setuju. Dari ruang tamu, kami berpindah ke bilik bacaan.

Aku menghulurkan telefon Dyana yang aku pegang sedari tadi kepada ibu. “Bacalah dulu. Saya harap semua orang akan faham keputusan saya selepas ini!”

 

 

Ibu terduduk di kerusi sejak tadi, mengurut dada sambil menangis dengan perlahan. Aunty Sofea ada di sebelahnya. Wajahnya sendiri pucat tetapi dia tidak menangis. Ayah pula terdiam selepas habis membaca. Uncle Hadi sendiri membisu. Aku langsung tidak memandang ke arah Furqan dan Dyana. Aku takut aku akan melakukan sesuatu yang drastik jika aku memandang ke arah salah seorang dari mereka.

“Kenapa boleh jadi macam ni?” soal ayah.

Dyana dan Furqan tidak menjawab. Mereka terus tunduk.

“Cakaplah!” tempik ayah.

“Abang!” teriak ibu. “Dengarlah dulu cakap mereka.”

“Nak dengar apa? Mereka berdua dah malukan keluarga kita. Aku tak pernah besarkan seorang anak yang akan jadi macam ni!” kata ayah.

Ayah jarang bercakap kasar begitu. Apabila dia bahasakan dirinya dengan ‘aku’, itu bererti dia memang benar- benar marah.

“Ayah, maafkan kami!” kata Dyana dengan sebak.

Anehnya aku langsung tidak merasa simpati. Buat pertama kali dalam hidupku, aku benci mempunyai hubungan darah dengan perempuan ini.

“Kami tidak sedar bila kami jatuh cinta. Perasaan tu datang sendiri. Kami berusaha menjauhkan diri, cuba untuk menjadi adik dan abang tapi…” kata Furqan.

“Kami minta maaf,” kata Dyana, mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

“Kamu dah lukakan perasaan kami, kamu berdua sedar tak? Sanggup kamu buat begini pada kakak kamu?” soal ibu. Air mata meleleh di pipinya membuatkan aku sendiri merasa sebak dan ingin menangis.

“Saya tahu-”

Terus ayah memotong cakap Dyana. “Tapi kamu buat juga!”

“Sebelah pihak saja tidak akan jadi begini. Kamu Furqan, kenapa kamu boleh buat semua ni? Mama dan papa tak pernah ajar kamu jadi manusia macam ni,” kata Aunty Sofea tapi Furqan tidak membalas.

Aku melihat mereka berdua dengan rasa marah tetapi aku masih berusaha menahan diri dari bangun dan memukul salah seorang dari mereka. Ada sesuatu yang perlu aku tanya.

“Kakak nak tanya kamu Dyana,” aku merenung ke wajahnya. “Kamu… mengandungkah?”

Semua mata tertumpu ke arahku, sebelum merenung Dyana dan kemudian Furqan. Dyana yang tunduk terus memandang aku dengan wajah terkejut.

Ibu mengurut dada. “Apa kamu cakap ni Rania?”

“Dyana, jawab soalan kakak kamu,” kata ayah dengan wajah merah padam. “Kalau bukan, baik kamu cakap bukan!”

Dyana kembali tunduk. Wajahnya pucat lesi. Furqan sendiri tidak jauh bezanya. Dia nampaknya tidak tahu keadaan Dyana.

Akhirnya Dyana mengangguk. Terasa kelam duniaku. Aku hampir pitam. Sedar- sedar ibu dan Aunty Sofea memanggil namaku. Ibu memegangku yang hampir jatuh. Aunty Sofea pula memintaku agar bertenang. Mereka berdua membantuku duduk di kerusi.

“Kurang ajar!”

Entah bila ayah telah menumbuk Furqan. Uncle Hadi berusaha menyabarkan ayah walaupun dia sendiri nampak marah dengan Furqan.

“Apa yang kamu dah buat ni Dyana? Kenapa kamu sanggup buat macam ni?” soal ibu. Dia mula menangis teresak- esak.

“Kami cuma terlanjur sekali. Kami langsung tak sangka akan jadi begitu malam itu. Kami sendiri rasa menyesal,” kata Dyana. Dia juga mula menangis teresak- esak.

“Sekali ke, seratus kali ke, semua tu tak penting! Yang penting kamu berdua dah berbuat dosa besar! Sanggup kamu nak kahwin dengan Rania lagi lepas kamu dah rosakkan adik dia. Lelaki jenis apa kamu ni?!” herdik ayah dengan marah.

“Saya memang nak bertanggung jawab pada Dyana,” kata Furqan.

“Janganlah salahkan abang Furqan, saya yang tak benarkan dia,” kata Dyana pula.

“Habis kamu nak buat apa? Nak lahirkan anak luar nikah bila lelaki yang jadi ayah dia dah jadi pakcik dia dengan mengahwini kakak kamu sendiri? Cukup- cukuplah kamu buat dosa!” kata ayah.

Dyana membisu, tidak lagi menjawab.

“Rania, aunty minta maaf sangat- sangat pada Rania! Aunty sendiri tak sangka yang Furqan akan jadi tidak bertanggungjawab macam ni!” kata Aunty Sofea.

Aku cuma menggeleng. Semua ini bukan salah Aunty Sofea. Malah bukan salah ayah, ibu atau Uncle Hadi. Ini salah mereka berdua, manusia yang aku paling percayai tapi akhirnya menikam aku dari belakang!

“Kenapa kamu berdua sanggup buat macam ni?” soalku dengan lirih.

“Maafkanlah adik! Adik tahu abang Furqan milik kakak. Adik cuma harap dapat secebis kasihnya walaupun untuk seketika. Tapi adik tak sangka, kami akan hanyut sejauh ni.” Dyana terus menangis selepas itu.

Mengongoi- ngongoi ibu menangis selepas itu. Terasa air mata berlinang di mataku melihat ibu. Ibu tidak salah dalam hal ini, tidak perlulah dia menangis sebegini. Aku mengerling Dyana sekilas. Dia sendiri menangis tersedu- sedu.

Selepas apa yang kau buat, sekarang kau pandai hendak menangis? Baru kau rasa bersalah dan menyesal? Furqan sendiri tunduk, tidak jauh bezanya dengan Dyana.

“Apa patut kita buat sekarang?” kata Uncle Hadi.

“Ibu nak tahu, kamu masih nak kahwin dengan Furqan lepas apa yang dia dan Dyana dah buat?” tanya ibu kepadaku.

Aku cuma merenungnya kembali, kemudian menggeleng perlahan.

“Ibu tahu permintaan ibu ni kejam, tapi ibu merayu kepada kamu. Tolonglah selamatkan maruah Dyana. Benarkanlah dia berkahwin dengan Furqan! Ibu tak mahu dia lahir anak tanpa ayah!”

Aku terkejut. Bulat mataku memandang ibu.

“Betul cakap ibu kamu tu Rania. Semuanya dah jadi bubur. Ayah tahu kamu sedih tapi ayah harap kamu faham. Tak kan kamu masih hendak menjadi isteri kepada dia?” pujuk ayah pula.

Aku menarik nafas dalam- dalam. Aku tidak mahu lagi menjadi isteri Furqan tetapi aku pernah menyintai lelaki ini sepenuh hatiku. Biarpun mereka berdua mengkhianati aku, bukan mudah untuk aku lupakan dia atau lepaskan dia. Malah bukan mudah untuk aku izinkan mereka berbahagia selepas mereka hancurkan hatiku.

Kejamkah jika aku ingin mementingkan diriku hanya kali ini?

“Rania.” Aku terkejut melihat ibu melutut dihadapanku. Cepat- cepat aku cuba membantunya bangun tetapi dia berkeras.

“Ibu, jangan macam ni,” rayuku tetapi dia tetap ingin berada di situ.

“Ibu minta sangat- sangat, tolonglah ibu Rania! Cukuplah dengan malu yang ibu rasa ini, biarlah mereka berkahwin! Ibu dah tak sanggup!”

Aku terdiam merenung ibu. Apa lagi pilihan yang aku ada? Apa lagi jalan yang boleh aku pilih?

Akhirnya aku mengangguk.

Ibu terus menangis dan memelukku. Aku memeluknya kembali. Air mataku langsung tidak tumpah sejak tadi. Terasa bangga dengan diriku sendiri. Aku perlu pertahanku setiap cebisan maruah yang masih tinggal. Aku tidak akan biarkan mereka berdua menang.

No comments:

Post a Comment