Wednesday, September 23, 2020

Bab 10

 

Berdedar- debar jantungku bagaikan ia ingin tercabut dari dada. Dalam beberapa jam lagi, aku akan menjadi isteri yang sah kepada Mohd Furqan Fawwal bin Mohd Hadi. Aku tidak putus mengucapkan syukur kerana tiba juga hari ini. Bagaikan sekejap tempoh menunggu dan membuat persiapan itu berlalu.

Aku sudah hendak kahwin!

Aku meneliti inai di tanganku, tersenyum sendiri. Kedua- dua pihak telah bersetuju yang majlis akad nikah akan di adakan selepas solat asar dirumahku.

“Where’s the bride?”

Terkejut aku dibuatnya! Reesya, yang juga merupakan pemilik dan juga jurusolek Butik Reesya muncul dengan terlebih ceria secara tiba- tiba. Nasib baik aku tidak melatah.

“Assalamualaikum, are you ready?”

Tahu pula beri salam. Tetapi aku cuma menjawab salamnya tanpa merungut. Sebagai bakal pengantin, aku mesti mengekalkan aura keceriaan dan ketenangan dan zen yang positif.

Apa benda aku merepek ni?

Tetapi aku duduk, membenarkan Reesya memulakan proses menyolek wajahku untuk majlis akad nikah. Aku sedaya- upaya mengawal bibirku dari tersenyum lebar kerana terlalu gembira.

“Where’s the bridesmaid?” soal Reesya, merujuk kepada Dyana.

Dyana juga akan disolekkan oleh Reesya atas permintaan aku. Cuma aku berharap dalam diam yang Dyana tidak akan kelihatan lebih cantik dari aku walaupun itu agak sukar kerana dia sememangnya lebih cantik dari aku, walaupun tanpa sebarang solekkan di wajahnya.

“Dalam perjalanan, tak lama lagi sampailah,” jawabku.

Dyana telah menghantar mesej yang dia telah keluar dari rumah. Tapi itu beberapa jam yang lalu. Bukannya perjalanan dari Banting ke Damansara mengambil masa terlalu lama. Jadi aku tidak tahu mengapa dia masih belum di sini.

Aku merenung refleksi wanita yang sedang disolek Reesya itu. Itu akukah? Dia bagaikan wanita lain yang cantik! Walaupun aku mengambil keputusan untuk menggunakan konsep natural, Reesya masih mampu menyerlahkan seri di wajahku.

Reesya membantu aku mengenakan selendang putih, sebelum memakaikan tiara yang  ringkas tetapi cantik untuk melengkapkan hiasan kepala.

“You look gorgeous!” kata Reesya dengar senyum lebar.

Dia memuji hasil kerjanya sendirikah? Tetapi aku akui, hasil kerja Reesya memang hebat. Tidak sia- sia aku mendapatkan khidmatnya dengan bayaran yang mahal!

“Thanks,” kataku.

“So bila bridesmaid sampai tolong beritahu I, okey?” Reesya mengemas kotak alat soleknya , kemudian keluar untuk membantu dibahagian lain.

Aku terus merenung wajahku di cermin. Wanita itu bagaikan bukan aku. Dia kelihatan terlalu gembira, berseri- seri dan cantik. Aku pernah terfikir bagaimana aku akan rasa di hari bahagiaku, sekarang tidak perlu fikir lagi!

Aku tersenyum sendiri.

Terdengar ketukan di pintu sebelum ia dikuak perlahan. Terpacul wajah Dyana yang aku tunggu ketibaannya sejak semalam.

“Adik kenapa?”soalku hairan. Pada hari bahagiaku ini, wajah Dyana kelihatan pucat dan sugul.

Dia membisu seketika sebelum menjawab. “Adik tak berapa sihat.”

Aku berpaling, meneliti wajah Dyana. “Adik tak apa- apakah? Mungkin adik patut berbaring, berehat sekejap.”

Dyana tersenyum tawar. “Tak apa kak, adik tak perlu rehat. Pening sikit saja.”

“Betul ni?”

Dia cuma mengangguk. Dahiku berkerut, tidak berapa berpuas hati. Dyana memang nampak lemah dan kurang sihat.

“Oh, Reesya’s here! Dia cari adik untuk makeup,” kataku.

Raut wajah Dyana berubah. Dia seperti ingin termuntah.

“Adik rasa adik tak boleh mekap, bau alat solek tu buat adik rasa nak muntah.”

Seteruk itukah? Tetapi melihat raut wajahnya, aku rasa terlalu kejam jika aku memaksa dia. Dia memang tidak berlakon!

“Macam mana dengan solekkan kakak? Ada bau ke?”

Dyana menggeleng perlahan. “Tak, itu tak teruk. Cuma alat solek yang belum dipakai tu ada bau yang lain.”

Aku mengangguk, serba salah jadinya. Memang semua patut bergembira untuk aku hari ini tetapi tidak ada sesiapa pun yang boleh tahu bila dia akan jatuh sakit. Aku tidak boleh salahkan Dyana.

“Adik berbaringlah dulu,” usulku.

“Tak apa kak, tak elok kalau orang nampak.”

“Pedulikanlah apa orang nak kata. Adik nampak pucat sangat.” Dahiku berkerut.

“Sikit saja kak. Nanti baiklah. By the way, congratulations! Kakak nampak cantik sangat!” Dyana tersenyum tawar.

“Terima kasih!” balasku, senyum merkah di bibir.

Dyana kembali mendiamkan diri, mengurut kepalanya sedikit. Aku menghulurkan minyak angin untuk membantu mengurangkan peningnya tetapi dia menolak. Katanya bau itu juga membuatkan dia terasa ingin muntah. Hesy, teruk betul nampaknya!

Akhirnya aku membiarkan dia sendiri. Aku mencapai bunga pegang dan membetulkan lipatan yang aku rasa rosak sedikit. Selain kemeriahan di luar, kami berdua membisu di dalam bilik. Tiba- tiba pintu bilik dikuak, membuatkan aku sedikit terperanjat. Bau minyak atar menerjah lubang hidungku.

“Assalamualaikum,” kata Mak Ngah dengan suara ceria.

Tiba- tiba Dyana bangun dan berlari keluar dengan menekup mulut. Risau dengan reaksinya, cepat- cepat aku bangun mengikutnya dari belakang. Dyana masuk ke bilik air dan menutup pintu. Terdengar seperti dia muntah.

“Adik? Adik tak apa- apakah?” Aku mengetuk- ngetuk pintu.

“Tak apa, janganlah risau!” Perlahan sahaja dia menjawab.

Aku menunggu di depan pintu bilik air seketika sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke bilik. Mak Ngah masih ada di bilikku. Bau minyak atar yang dipakainya kembali menerjah hidungku.

“Kenapa dengan Dyana?” Mak Ngah seperti tidak berpuas hati.

“Dia tak sihat. Sejak pagi lagi dia nampak pucat,” jelasku kepada Mak Ngah.

Kalau aku dalam posisi Dyana, aku sendiri akan termuntah agaknya. Dia memang pening dan tidak tahan dengan sebarang bau sejak tadi. Dia pasti tidak tahan dengan bau dari minyak atar Mak Ngah. Aku sendiri mula rasa pening.

“Habis tu macam mana? Bukankah dia pengapit kamu?” soal Mak Ngah.

“Esok baiklah agaknya. Lagipun hari ini cuma akad nikah. Dia boleh berehat lagi,” jawab aku.

Mak Ngah mengangguk. “Baguslah macam tu. Mak Ngah cuma nak ucapkan tahniah.”

Mak Ngah memelukku ringkas sebelum memberitahu yang dia ingin turun mencari ibu untuk berbual. Aku kembali berseorangan di dalam bilik sebelum ibu masuk sekejap untuk memberitahuku yang rombongan pengantin lelaki akan tiba sebentar lagi. Aku diminta untuk menunggu sehingga dipanggil. Gementarnya hanya Allah yang tahu. Beberapa orang masuk untuk mengucapkan tahniah kepadaku selepas itu tetapi ia masih belum mampu untuk menghilangkan rasa gementar yang semakin bergelora ini. Kalau Dyana di sini sekarang mungkin kami boleh berbual- bual.

Sebut pasal Dyana, kenapa lama sangat dia di bilik air? Terukkah sakitnya. Risau pula aku dibuatnya. Lantas aku bingkas bangun untuk memeriksa keadaannya. Sebelum sempat aku melangkah, telefon Dyana yang berada di atas katil berbunyi. Ada mesej dari What’sAppnya.

Aku memang tidak bermaksud untuk mengintai. Tetapi apabila telefon dia berbunyi, secara automatik aku memandangnya. Dan aku langsung tidak berniat untuk membaca apa yang tertulis di skrin tetapi aku terbaca secara tidak sengaja.

 

Abang berharap situasi boleh berlainan demi cinta kita. Abang cintakan Dyana, bukan dia. Maafkan abang.

 

Maaf? Kenapa? Siapa lelaki ini? Dyana ada teman lelaki? Lagipun dia cakap dia cintakan Dyana. Jika benar, kenapa lelaki itu bagaikan ada perempuan lain?

Terlalu banyak persoalan bermain di mindaku. Sekali lagi aku memandang skrin, membaca nama pengirim.

 

Abang Furqan.

 

Abang Furqan?

Abang…Furqan?

Furqan?

Terkejut bukanlah perkataan paling sesuai untuk perasaanku sekarang kerana aku sendiri tidak dapat mengagak apa perasaanku. 

Tapi…

Tak mungkin! Cuma ada satu abang Furqan bagi Dyana ataupun ada abang Furqan lain yang aku tidak tahu. Tak mungkin Furqan yang menghantar mesej itu. Tak mungkin lelaki yang bakal menjadi suamiku sebentar nanti.

Tak mungkin!

Aku mencapai telefon, membuka kekunci dan mencari mesej- mesej lain yang berkaitan. Aku perlu pastikan yang bukan Furqan yang aku kenali itu yang menghantar mesej itu. Pastinya bukan dia!

Aku berharap yang aku salah kerana kalau benar, aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan nanti. Aku mencari mesej paling lama dan mula membaca.

 

Kita mesti lupakan.

 

Dyana faham. Kita mesti cuba, demi kakak.

 

Lupakan apa? Perasaan ingin tahu membuak- buak.

 

Abang juga tidak tahu bagaimana boleh jadi begini. Abang dah berusaha untuk mengelak dari berjumpa Dyana tapi perasaan ini tetap tidak hilang. Malah bertambah kuat. Abang sudah buntu.

 

Dyana juga sama. Dyana sedar kita tidak patut jatuh cinta tapi perasaan ini datang sendiri. Kita dah bersalah pada kakak.

 

Abang tahu.

 

Abang menyesal jatuh cinta pada Dyana?

 

Tak. Tapi…

 

Dyana faham abang. Itu juga apa yang Dyana rasa.

 

Pasal malam semalam, abang mahu bertanggungjawab.

 

Jangan abang! Abang dan kakak bakal berkahwin. Tinggal dua bulan saja lagi.

 

Macam mana abang nak kahwin dengan Rania kalau hati dan badan abang dah jadi milik Dyana?

 

Hati dan badan….

Apa yang mereka mainkan di belakang aku? Terasa air mata ingin merembas keluar tetapi aku mengawal diri. Aku perlu tahu apa yang berlaku seterusnya.

 

Tapi kakak akan kecewa nanti.

 

Kita dah berdosa Dyana. Kita mesti menanggung dosa kita.

 

Dyana faham abang tapi Dyana tak sanggup untuk lukakan kakak.

 

Kita dah pun lukakan dia. Rania saja belum tahu.

 

Tapi Dyana tak sanggup abang. Biarlah Dyana yang tanggung semua ni sendiri.

 

Abang tak sanggup biar orang yang abang cintai sengsara begini. Abang nak batalkan majlis perkahwinan kami. Abang tak boleh kahwin dengan dia.

 

Kalau abang buat macam tu, Dyana tak akan maafkan abang!

 

Habis Dyana nak abang buat apa? Abang dah tak cintakan dia!

 

Abang mesti teruskan dengan perkahwinan ni. Biarlah kita simpan saja perasaan kita.

 

Aku berhenti membaca. Tak sanggup aku teruskan lagi. Mereka berdua bercinta di belakang aku. Dia kekasihku sekian lama dan wanita itu adikku sendiri. jika benar apa yang aku baca ini, mereka telah…

Astagfirullahhalazim. Ya Allah, dugaan apakah yang kau ingin berikan padaku sekarang?

Nanti! Dyana kelihatan pucat dan muntah- muntah sejak tadi.

Dyana…hamil?

Aku jatuh terduduk ditepi katil. Hampir terlepas telefon dari tanganku. 

Nanti dulu! Ini bukan drama atau filem. Kalau muntah- muntah atau pitam maka konklusinya ialah perempuan itu hamil. Betul tu, ini realiti. Jangan kerana Dyana muntah- muntah tadi, aku boleh menganggap dia hamil. Malah kemungkinan hal tentang malam itu, mungkin tidak ada apa- apa berlaku antara mereka berdua. Mereka tak mungkin akan lakukan perkara sebegitu.

Betul, kan?

Lama aku duduk di bibir katil, tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang. Aku bakal menikahi lelaki ini, lelaki yang telah menyerahkan hati dan badannya kepada adikku sendiri. Siapa yang harus aku salahkan? Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Terdengar bunyi beberapa buah kereta masuk ke halaman rumah. Terdengar keriuhan tetamu.

Pihak pengantin lelaki telah sampai.

“Ya Allah!” ibu muncul di pintu. “Ibu suruh kamu tunggu di sini. Yang kamu duduk di lantai ni kenapa?”

Aku langsung tidak menjawab, cuma memandang wajah ibu. Bagaimana hendak aku ceritakan kepada ibu tentang apa yang telah berlaku? Selepas seketika, ibu menghampiri dan membantuku bangun.

“Kamu ni kenapa? Jom, kita turun terus ke bawah. Acara akad nikah akan bermula.”

Monday, September 21, 2020

Bab 9

 

Majlis mendekat tapi aku masih ada masa untuk keluar. Masih ada yang perlu dibeli, jadi terpaksalah aku ke beberapa tempat untuk mendapatkan barang- barang itu. Furqan sendiri pun sibuk dengan persiapannya untuk menolong. Tak ada sesiapa yang boleh bantu aku. Susahnya hendak kahwin!

Tapi jangan merungut, majlis sudah hampir pun. selepas ini aku tidak perlu bersusah- susah lagi. Jadi bersabar sajalah sampai semua hal ni selesai.

Aku terlalu sibuk ke sana- ke mari hingga aku hampir tidak perasan kelibat Furqan. Dia sedang duduk di kafe berdekatan bangunan yang aku lalu. Eh, kata sibuk? Ada masa pula duduk- duduk minum di sini?

Tapi alang- alang sudah jumpa, lebih baik aku tegur dia. Aku pun rasa haus ni, boleh minta dia belanja aku minuman. Dengan tersenyum lebar, aku berjalan ke arahnya.

“Nak rahsiakan sampai bila?”

Suara itu membuatkan aku tidak jadi menghampiri Furqan. Dia sedang bercakap dengan siapa? Tiba- tiba Furqan berpaling ke arah aku. Cepat- cepat aku berlindung di sebalik pokok hiasan yang besar. Harap- harap dia tidak nampak aku!

Kenapa pula aku sembunyi?

Selepas beberapa ketika, mereka berbual kembali. Aku mengintai melalui celah- celah daun. Eh, Imani!

 “Bukan saya nak rahsiakan,” kata Furqan.

“Habis tu?” soal Imani dengan raut wajah tidak berpuas hati. “Takut nak beritahu tunang awak?”

Furqan tidak menjawab. Dia merenung ke jalan dengan raut wajah yang marah.

“Saya tak suka rahsiakan hal- hal begini. Buatlah keputusan yang bijak. Orang yang pandai macam awak, tak kan tak boleh berfikir apa yang terbaik,” kata Imani. “Tak pun awak nak saya jumpa tunang awak tu?”

Menyingga wajah Furqan. “Awak jangan nak sibuk! Lagipun bukan urusan awak pun!”

Imani tergelak. “Saya pula menyibuk? Ikut awaklah. Memang betul awak cakap, bukan urusan saya. Tak ada kaitan pun dengan saya!”

Apa yang mereka bualkan? Apa yang dia takut untuk beritahu aku? Rahsia apa yang Furqan sembunyikan dari aku? Tak kan mereka berdua ada skandal?!

Hesy, jangan nak mengarut! Dia bakal suami aku! Dia tak kan menipu aku!

Aku terasa seperti hendak keluar dan menyoal mereka. Tetapi kalau aku buat begitu dan sebenarnya ini semua salah faham, Furqan akan marah dengan aku. Kami sudah hendak kahwin, tak kan kami hendak bertengkar?

Habis apa patut aku buat sekarang? Selepas berfikir, akhirnya aku menghayun langkah ke arah bertentangan.

 

 

Sampai di rumah pun, aku masih tidak habis- habis berfikir tentang mereka berdua. Aku betul- betul ingin tahu apa yang mereka berdua bualkan. Aku pasti ada kaitan dengan aku! Terasa menyesal tidak menerjah mereka berdua tadi. Kalau aku tanya tapi aku yang salah, masalah besar nanti. Tapi bila tak tanya, beginilah jadinya. Asyik fikir tak habis- habis. Padan dengan muka aku!

Telefonku tiba- tiba bergetar. Hampir melompat aku disebabkan terkejut. Eh, Furqan! Cepat- cepat aku menjawab panggilannya.

“Awak buat apa?” tanya Furqan.

Tengok, dari cara dia bercakap, langsung tidak ada tanda- tanda dia curang dengan aku!

“Tak ada buat apa- apalah,” jawabku. “Awak buat apa hari ni?”

“Tak ada apa- apa juga,” jawab Furqan.

“Tak keluarkah?”

“Keluar jumpa Imani sekejap tadi.”

Wah, dia berterus- terang! Tapi bukankah ini maksudnya dia tidak sembunyikan apa- apa?

“Ya kah?” Aku pura- pura terkejut. “Ada apa jumpa dia?”

“Dia nak cakap sikit.”

“Tentang apa?” desakku.

“Alah, hal bowlinglah!”

Tak habis- habis tentang bowling! Biar betul!

“Kita nak kahwin pun awak masih boleh bincang tentang bowling lagi?” soalku dengan nada tidak percaya.

“Habis awak nak saya bincang pasal persiapan majlis kita dengan dia? Tentang baju? Tentang makanan? Tentang jemputan?”

“Tak adalah macam tu,” gumamku.

“Saya dan dia cuma kenal disebabkan bowling. Lain dari tu, kami memang tak ada topik nak bincang pun.”

Membisu aku mendengar. Mesti dia perasan yang aku cemburu!

Furqan menghela nafas. “Awak nak ajak saya bergaduhkah? Majlis kita tinggal dua hari saja lagi.”

“Tak adalah, saya minta maaf,” gumamku lagi.

“Saya tak mahu kita bergaduh,” katanya.

“Saya pun!” balasku dengan serta- merta.

“Jadi macam mana sekarang?” tanya Furqan.

“Saya minta maaf,” kataku dengan perlahan. “Awak marahkah?”

Furqan membisu seketika. “Tak adalah, biarlah.”

“Betul?”

“Ya.”

Tapi rasa bersalah juga sebab mencurigai dia.

“Esok mereka akan datang untuk buat persiapan,” kataku dengan tiba- tiba, segera mengubah topik.

“Hmm, betul juga! Pukul berapa?” balas Furqan.

Sedikit- sebanyak kami berbual seperti biasa. Kepercayaan ialah sesuatu yang sukar. Tapi untuk menjayakan sesebuah hubungan, ia adalah keperluan. Walaupun sehingga sekarang hubungan kami masih belum sempurna, aku pasti kami akan ada sepanjang hayat kami untuk menyempurnakan ikatan antara kami.

 

 

Aku memerhatikan persiapan yang sedang berjalan lancar di luar dari balkoni rumah. Semuanya berjalan mengikut perancangan. Pekerja- pekerja dari Butik Reesya sibuk ke sana ke mari. Selain memasang khemah di luar, mereka juga memasang pelamin dan menghiasi kamarku. Sebab itulah aku berada di sini sekarang. Aku ‘dihalau’ keluar dari bilik!

Berdebar- debar aku menunggu majlis akad nikahku esok. Entah- entah aku tidak dapat tidur lena pada malam ini. Tapi sebagai bakal pengantin, aku harus mengawal diri dan emosi supaya nampak elegan dan menawan di hari bahagiaku nanti. Ah, apa aku merepek ni?

Bakal pengantin. Hehe, rasa puas asyik menyebutnya. Tidak sabar menunggu harinya tiba. Ya Allah, bahagianya aku!

Dyana akan pulang pada hari akad nikah. Dia tidak beritahu kenapa tetapi aku rasa mungkin kerana dia sibuk dengan kerjanya. Berkali- kali dia minta maaf kerana tidak dapat pulang awal untuk menemaniku. Tak apa, aku tak kisah. Jangan dia tidak pulang langsung sudah!

Furqan terus menyepi. Mungkin sibuk dengan persiapan pihak lelaki. Aku biarkan dia sendiri. Lagipun aku cuma  perlu bersabar untuk sehari saja lagi kerana esok kami akan diijabkabul. Wah! Sekali- sekala ternampak inai yang telah dilukis oleh Reesya tadi apabila dia dan pekerjanya datang memasang pelamin untuk untuk aktiviti esok. Inai yang dilukis cantik ini membuatkan hatiku semakin teruja.

Tiba- tiba telefonku berdering. Nama Hazriq terpapar di skrin. Kenapa pula dia mencari aku? Hendak tanya tentang majlis esokkah?

“Assalamualaikum,” sapaku dengan nada ceria.

“Waalaikumsalam. Saya nak jumpa awak,” katanya tanpa berbasa- basi.

“Saya tak boleh keluarlah. Ada banyak hal nak dibuat di rumah. Esok kan majlis akad nikah saya,” jawabku, cuba menolak dengan baik. Lagipun tak manis kalau aku keluar hari ini.

“Sekejap saja. Saya betul- betul ada hal penting yang saya nak sampaikan pada awak. Kalau awak tak dapat datang, saya boleh jumpa awak di rumah awak!” desak Hazriq.

Dia sudah hilang akal agaknya? Nanti apa hendak aku beritahu ibu dan ayah. Tak kan aku nak cakap, ‘Saya dan Hazriq memang kenal rapat. Sebab tu lah dia datang.’

Mengarut!

“Kenapa dengan awak ni? Apa yang penting sangat sampai awak beria- ia nak jumpa saya?” soalku dengan hairan.

“Saya tak boleh cakap dalam telefon.”

Aku menghela nafas. Nampaknya nekad betul dia. Kalau aku menolak, mesti dia sampai di depan pintu pagar rumah aku.

“Baiklah. Jumpa di mana?” Terpaksa aku akur.

Hazriq memberitahu nama taman berdekatan kawasan kejiranan rumahku dan dia akan menunggu di sana. Taman itu sering menjadi tumpuan orang ramai yang datang beriadah dan berehat bersama keluarga di tepi tasik yang besar terdapat dalam taman pada begini, jadi aku bersetuju.

“Hendak ke mana Rania?” tanya ibu apabila nampak aku turun.

“Keluar sekejap untuk jumpa kawan. Saya pergi dulu, ibu,” balasku sambil menyalaminya.

“Jangan lama sangat. Esok kamu dah nak berkahwin. Darah manis, tak elok keluar kerap sangat,” pesan ibu.

“Baik bu.”

Sepanjang memandu ke taman, aku berfikir- fikir sebab mengapa Hazriq ingin berjumpa denganku. Sampai di taman, kelihatan kereta putih dan pemiliknya berada di tempat meletak kenderaan. Ramai pengunjung berada di kawasan tasik, jadi tempat letak kenderaan agak lengang. Aku memilih untuk meletakkan kereta di sebelah keretanya. Hazriq datang berdiri bersebelahan pintu pemandu, menunggu aku keluar. Nampaknya dia tidak sabar untuk beritahu aku.

“Assalamualaikum,” sapanya.

“Waalaikumsalam. Ada apa awak hendak jumpa saya?”

“Kita cakap di sana,” ajak Hazriq, menunjuk ke kerusi batu yang berada berdekatan kami.

Aku mengangguk, mengikutnya ke sana. Selepas aku melabuhkan punggung dan Hazriq mengambil tempat di hadapanku, dia terus membisu. Dia nampak gelisah tapi masih belum membuka mulut.

“Kenapa ni? Cakaplah!” gesaku.

Dia melurut rambutnya, bersandar pada kerusi. “Susah saya nak cakap.”

“Kenapa awak serius sangat ni? Ada apa masalahkah?”

Dia merenungku lama. “Saya…saya tak tahu bagaimana nak cakap. Saya harap, awak bersabar dan faham yang saya tak menipu atau berniat jahat.”

Makin berdebar hatiku dengan perangai peliknya. “Apa dia? Cakaplah!”

“Awak perlu tahu sesuatu. Saya rasa…saya rasa tunang awak tak setia dengan awak.”

Menyingga, terus aku memandang wajahnya. “Awak jangan nak buat cerita!”

“Saya tak buat cerita!” balasnya dengan serta- merta.

“Habis awak nak tuduh tunang saya curang tu kenapa? Saya percayakan dia! Saya pasti dia tidak akan curang dengan saya!”

“Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri tadi!” Hazriq sendiri mula meninggi suara.

“Awak dah silap oranglah!”

“Saya betul- betul nampak dia! Orang ketiga tu pun saya nampak!”

“Awak nampak muka perempuan tu?” soalku.

“Ya, awak tak akan percaya kalau saya beritahu dia siapa!” jawab Hazriq.

Memang aku tidak mahu percaya!

“Mungkin dia berbual saja tak lebih dari tu!” sangkalku.

“Saya boleh tahu yang mereka bukan sekadar kawan. Saya terdengar apa yang mereka bualkan.”

“Kenapa awak buat semua ni? Awak sengaja nak kenakan saya?” soalku, menahan rasa marah yang amat sangat.

Wajah Hazriq merah padam. “Buat apa saya nak kenakan awak? Awak ingat saya seronok nak mainkan perasaan awak?”

“Habis tu kenapa?”

“Saya tak menipu! Saya cakap perkara yang betul!”

“Apa yang betulnya kalau awak menipu?”

“Demi Allah, saya sanggup bersumpah yang saya cakap hal yang betul! Saya tak kan main- main dengan hal- hal macam ni!” kata Hazriq dengan serius.

Aku mati akal dibuatnya. Tapi nanti dulu! Aku merenung wajahnya.

“Awak sengaja buat cerita supaya saya tinggalkan Furqan? Sebab tu awak cakap dia curang?”

Mata Hazriq membulat membalas renunganku. “Saya tak sekeji tu! Lagipun apa tujuan saya nak buat macam tu?”

“Sudah! Jangan cakap lagi!” herdikku. “Lepas ni saya tak nak jumpa awak lagi! Jangan awak telefon saya lagi! Assalamualaikum!”

Cepat- cepat aku bangun, meninggalkan Hazriq yang masih nampak marah tetapi sedikit terkejut dengan keputusanku. Dalam hati terselit rasa percaya dengan kata- kata Hazriq tetapi berkali- kali aku mengingatkan diri yang aku mesti percayakan Furqan. Dia tidak akan buat begitu kepada aku!

Apabila masuk ke dalam kereta, aku mengeluarkan telefon mendail nombor Furqan. Selepas satu deringan, aku memutuskan talian. Aku tidak boleh menyoal Furqan kesahihan cerita ini, Furqan akan menganggap yang aku tidak mempercayai dia. Sudah berapa kali aku biarkan sikap cemburuku menjadi punca pergaduhan kami? Kali ini bolehkah dia maafkan aku kalau dia tahu aku lebih percayakan orang lain?

Apa patut aku buat sekarang? Buntu aku dibuatnya. Aku mendail nombor Dyana tetapi membatalkannya sebelum sempat dihubung lagi. Semuanya bagaikan tidak kena. Dari jauh kelihatan Hazriq sudah dalam perjalanan ke keretanya. Cepat- cepat aku hidupkan enjin dan memandu keluar dari kawasan tempat meletak kenderaan. Aku tidak memandu pulang tapi tanpa arah tujuan. Yang aku tahu aku perlu ke satu tempat, asalkan bukan di sini.

Selepas seketika aku dapat berfikir semula. Mungkin dia cuma mereka- reka cerita. Aku dan Furqan lebih mengenali satu sama lain berbanding orang lain. Aku tahu Furqan pasti setia kepadaku. Betul tu. Aku mesti percayakan Furqan, bukannya rang lain yang mungkin berniat jahat. Aku tidak pasti apa tujuan Hazriq buat semua ini tapi aku lebih percayakan Furqan.

Aku menghela nafas dan beristighfar. Ini pasti satu dugaan dalam hubungan kami. Aku tidak patut membiarkan ia menjadi duri.

Telefonku berbunyi. Hazriq lagi! Tapi baik selesaikan hal ini dengan dia sekarang. Aku melarik skrin, kemudian membisu. Aku menunggu apa lagi yang dia cuba mainkan.

“Assalamualaikum,” sapanya perlahan.

“Waalaikumsalam,” jawabku dengan sedikit kasar.

“Saya nak minta maaf atas pergaduhan kita  tadi. Saya tak patut naik angin dengan awak.”

“Jadi awak mengaku yang awak reka cerita?” soalku.

Dengan segera dia menyangkal. “Saya tak buat cerita! Saya memang nampak dengan mata saya sendiri!”

“Jadi kita tak ada benda yang nak dicakapkan!” tegasku.

“Please Rania, jangan buat keputusan yang salah.”

Aku mula terasa marah kembali. “Excuse me?”

“Dia tak cintakan awak. Dia ada orang lain. Orang yang awak sangat kenal. Perempuan tu ialah-”

Terus aku memotong. “Jangan nak buat cerita lagi. Saya dan Furqan bakal berkahwin esok. Jadi jangan nak buat cerita yang bukan- bukan!”

“Rania…”

“Saya percayakan dia sepenuh hati saya. Saya percaya dia pun sama.”

“Kenapa awak tak percayakan saya? Saya tak boleh terima lelaki yang curang dengan awak menjadi suami awak! Awak layak untuk dapat seseorang yang lebih baik dari itu,” bantahnya.

Aku mendengus. “Fine! It’s nice knowing you. Terima kasih untuk segalanya sebelum ini!”

“Tunggu-”

Terus aku memetuskan talian. Telefon sekali lagi berdering tetapi cepat- cepat menekan butang Cancel.

Selamat tinggal Hazriq! Kita tak akan berjumpa lagi selepas ini!

 

 

Aku mengerling telefon yang berkelip- kelip sejak tadi. Selepas aku pulang, Hazriq beberapa kali cuba menghubungiku tetapi aku langsung tidak hiraukan dia. Majlis perkahwinanku ialah pada hari esok. Aku tidak mahu peduli dengan hal- hal negatif sebegini. Aku juga tak perlukan seorang kawan yang bermulut jahat seperti dia.

“Rania, kenapa dengan telefon kamu tu?” soal ayah.

“Tak ada apalah ayah, kadang- kadang memang macam ni pun,” balasku, mencapai telefon dan terus mematikannya.

Ayah kembali berbual dengan ibu tentang majlis esok. Aku kembali mengelamun, merenung televisyen.

“Dari kamu termenung tu, pergilah tidur. Esok hari penting kamu,” kata ibu.

Aku akur, bangun memeluk ibu dan ayah untuk mengucapkan selamat malam. Kalau terus di sini pun aku cuma menghabiskan masa dengan termenung. Lagipun sejak pulang tadi, hatiku terus gelisah.

Setelah kembali ke bilik tidur, aku kembali mengelamun. Tiba- tiba aku terasa ingin mendengar suara Furqan. Harap- harap dia menjawab panggilanku. Selepas dua kali mencuba, suara Furqan kedengaran di hujung talian.

“Assalamualaikum.”

Sepatah perkataan sudah cukup membuatkan aku ingin menangis. Apa yang berlaku hari ini dan sudah lama tidak berjumpa dia membuatkan aku terlalu rindu padanya. Kalau boleh aku ingin menatap wajahnya sekarang tapi dia akan nampak wajahku bila aku mula menangis.

“Waalaikumsalam,” jawabku perlahan.

“Ada apa?”

“Awak tengah buat apa?” soalku.

“Berehat di bilik.”

“Awal awak tidur?”

“Mama mahu saya banyak berehat.”

Tidak dapat aku jelaskan bagaimana segala keresahan tadi hilang apabila aku mendengar suaranya. Aku tidak mahu dia berhenti bercakap.

“Esok jangan lupa datang!” kataku, cuba bergurau.

“Boleh buat- buat lupakah?” tanya Furqan.

“Lupa siap awak!” ugutku.

“Tak lupalah, tak mungkin lupa! Awak rehatlah. Awak pun perlu bangun awal esok, kan?” katanya.

“Tak apa, saya cuma nak berbual dengan awak lama sikit malam ni. Boleh tak?”

Dia diam, lama juga berfikir. “Cakaplah apa yang awak nak cakap.”

Aku tergelak kecil. “Bila cakap macam tu, saya tak tahu nak cakap apa.”

Dia menghela nafas. “Awak sibuk hari ini?”

“Bolehlah.”

“Buat apa?”

“Macam- macam.”

Kami terus berbual sehingga malam larut. Resah di hatiku menghilang selepas itu. Cinta memang penawar terbaik. Aku yakin Furqan akan membahagiakan aku. InsyaAllah, aku yakin dengan keputusanku ini.

Friday, September 18, 2020

Bab 8

 

Selepas itu banyak lagi gambar yang aku terima dari Hazriq. Kebanyakkannya tentang makanan atau pemandangan. Tapi aku hendak ingatkan di sini, aku tidak sesekali curang dengan Furqan. Aku tidak rahsiakan apa- apa pun dari dia. Semuanya aku ceritakan pada dia, termasuklah pesanan WhatsApp yang aku terima daripada Hazriq. Aku tidak mahu dia terbaca sesuatu hari nanti dan menuduh aku macam- macam. Kalau boleh elakkan bergaduh, aku pasti akan cuba. Biar dia tahu aku dan Hazriq tidak ada apa- apa hubungan yang serius.

Furqan tidak memberi sebarang komen biarpun selepas aku tunjukkan semua mesej dan gambar yang diterima. Dia sendiri jelas Hazriq sudah berpunya. Mungkin sebab itu dia tidak marah.

“Saya rindukan awak. Esok nak keluar tak?” ajakku.

Sudah lama tidak berjalan berdua. Rindu pula hendak menetap wajahnya secara berdepan. Hari hujung minggu seperti inilah masa untuk sesuai memandangkan kami sibuk dengan kerja masing- masing pada hari- hari biasa.

“Maaflah, saya ada hal sepanjang hari. Macam mana kalau malam saya ke rumah awak, boleh tak?” pujuk Furqan.

“Tak apakah? Awak mesti penat.”

“Tapi awak nak jumpa saya, kan?”

Aku menghela nafas. “Memanglah saya nak jumpa, tapi saya tak nak awak penat ke sana- ke mari. Lain kali kita boleh jumpa lagi.”

“Betul?”

“Ya.”

Giliran Furqan pula menghela nafas. “Saya minta maaf.”

“Benda macam ni pun nak minta maaf? Tak apalah, saya faham.”

Faham memanglah faham, tapi rindu tetap rindu. Hendak mengadu pada siapa pun aku tidak tahu. Akhirnya aku habiskan cuti hujung minggu dengan merayau tanpa arah tujuan. Dulu selalunya Dyana yang akan temankan. Tapi itu dulu, semasa dia masih belajar dan tidak sibuk dengan kerja seperti sekarang. Sekarang hendak jumpa dia pun susah. Apatah lagi dia sedang hangat bercinta sekarang. Pasti banyak masa dihabiskan dengan si Roslan itu.

Rindunya aku pada dia! Kali terakhir kami jumpa ialah dua minggu lepas semasa dia pulang untuk hantarkan bunga telur yang dia tolong belikan. Itu pun dia cuma pulang untuk sehari.

Aku hendak buat apa sekarang? Hendak terperap di dalam rumah, aku rasa tertekan. Majlis yang semakin mendekat membuatkan dadaku semakin berdebar- debar. Terasa sesak nafas. Tak boleh jadi. Boleh hilang akal aku nanti. Hendak ajak Dyana, aku sudah jangka jawapannya. Akhirnya aku merayau seorang diri.

 

 

Hujung minggu begini pasaraya sesak dengan pengunjung. Bukan aku seorang yang mengambil kesempatan untuk bersiar- siar pada hari cuti. Kenapalah aku memilih untuk datang ke tempat yang agak jauh dari rumah ini? Sanggup aku turun naik mrt dan lrt untuk sampai ke sini. Tapi bila difikiran balik, kadang- kala bertukar angin pun baik juga. Mungkin aku akan jumpa sesuatu yang menarik nanti.

Memandangkan aku tidak ada arah tuju, aku merayau dari satu ke satu tempat tanpa arah tuju. Lagipun ini kali pertama aku ke sampai ke sini. Aku tidak tahu apa yang menarik atau boleh aku jumpa. Sedang aku asyik melihat- lihat, aku terpandang kelibat seseorang yang aku kenal.

Furqan sedang berbual dengan seorang gadis yang aku tidak kenal. Dari cara mereka berbual, mereka nampak sangat mesra. Perasaan cemburuku terus meluap- luap tapi aku segera beristighfar. Mungkin bukan apa yang aku sangka. Jangan mudah naik angin, kemudian menyesal di kemudian hari. Lebih baik aku perhatikan mereka dulu. Tapi pelik juga. Furqan cakap dia sibuk hari ini. Jadi dia ada urusan di sini?

“Assalamualaikum.”

Aku berpaling, melihat Hazriq berdiri di sebelah dengan senyum lebar.

“Waalaikumsalam,” balasku dengan nada ceria.

“Awak membeli- belahkah?” tanya Hazriq.

“Tak adalah, saja berjalan- jalan di sini. Seorangkah?”

“Saya hantarkan girlfriend saya tadi. Lepas tu singgahlah sekejap di sini. Tak sangka pula jumpa awak,” jawab Hazriq.

“Saja saya merayau jauh dari rumah hari ni,” kataku, mengerling ke arah mereka berdua tadi.

“Awak tengok siapa?” tanya Hazriq, turut memandang ke arah yang sama. “Eh, itu bukan tunang awak? Siapa perempuan tu?”

“Entahlah, saya pun tak kenal dia. Kawan dia agaknya.”

Aku terus mencerlung mata apabila ‘kawan’ Furqan itu tiba- tiba menampar bahunya. Berbual saja tak boleh? Kenapa hendak main bertepuk- tampar pula? Nanti aku tumpang tepuk- tampar juga, baru dia tahu!

Hazriq sendiri seperti tertanya- tanya melihat mereka berdua. “Awak tak tahukah mereka di sini? Mereka macam tak perasan awak ada pun.”

“Saya tak beritahu pun yang saya nak berjalan- jalan di sini.”

Aku memandang ke arah mereka berdua. Mereka berdua masih berbual di situ. Lebih baik aku tegur. Makin lama, makin kuat rasa cemburuku. Nanti tak pasal- pasal aku melenting di sini macam orang gila.

“Saya nak tegur merekalah,” kataku pada Hazriq.

“Okay,” balas Hazriq.

Aku ingat Hazriq akan minta diri tapi dia berjalan di sebelah aku pula. Tak kan aku hendak halau dia. Furqan dan gadis itu sedar kehadiran kami apabila kami mendekat.

 “Awak buat apa di sini?” tanya Furqan pula, juga nampak terkejut.

Kenapa terkejut sangat melihat aku? Pelikkah kalau aku ada di sini? Memang pasaraya ini agak jauh dari rumah, tapi kadangkala aku pun boleh merayau dan sampai ke sini. Makin kuat rasa cemburu dan curiga aku dibuatnya!

“Awak pun ada di sini?” tegurku. “Siapa ni?”

“Oh, ini Imani! Kami…kebetulan jumpa di sini,” balas Furqan, kemudian memandang Hazriq yang berdiri di sebelahku. “Awak pun ada?”

“Kami pun kebetulan berjumpa,” balas Hazriq.

“Semua kebetulan berjumpa hari ni,” komenku.

“Kakak!”

Aku berpaling, melihat Dyana menghampiri kami. Eh, dia pun ada!

“Macam mana adik boleh ada di sini?” tanyaku dengan hairan.

“Ada kerja sikit di kawasan ni,” jawab Dyana. “Abang Furqan dan Kak Imani pun ada?”

“Ya, ada kerja juga di kawasan ni,” jawab Furqan. “Kebetulan masa ada di sini, terserempak dengan Imani. Dia pun kebetulan datang ke sini.”

 “Siapa ni kakak?” tanya Dyana, memandang Hazriq yang berdiri di sebelahku.

“Ni Hazriq, orang yang pernah tolong kakak masa kereta rosak hari tu. Kakak pun kebetulan jumpa dengan dia.” Aku berpaling memandang Hazriq. “Ini adik saya, Dyana.”

Hazriq hanya mengangkat tangan dan tersenyum.

 “Tapi kenapa awak boleh ada di sini?” tanya Furqan sekali lagi.

“Saya tak ada nak dibuat di rumah. Jadi saya merayau seorang diri,” jelasku. “Awak sibuk lagikah?”

“Huh?” Furqan kelihatan terpinga- pinga.

“Awak cakap awak ada hal sepanjang hari,” jawabku.

“Oh, yang tu. Memanglah sepatutnya macam tu. Tapi semua yang saya nak buat tu dah selesai lebih awal,” jelas Furqan.

Jadi dia datang ke sini dan secara kebetulan berjumpa dengan Imani itu? Susah aku hendak percaya!

“Betulkah?” tanyaku.

“Betullah, tak kan nak tipu pulak?” balas Furqan, seperti meradang dengan soalanku itu.

Aku menghela nafas. Jangan cemburu, jangan cemburu, jangan cemburu. Entah berapa kali aku ulang ayat itu.

“Saya nak minta diri dulu. Thanks for today!” kata Imani.

Terima kasih untuk apa? Aku melihat Furqan, menunggu dia menjawab. Tetapi lelaki itu langsung tidak pandang aku!

“Saya pun nak minta diri, nak beli barang sikit sebelum balik,” kata Hazriq.

Selepas itu Dyana juga minta diri. Katanya ada urusan yang belum selesai. Sebaik semua orang pergi, aku terus berpaling kepada Furqan.

“Kenapa dia ucapkan terima kasih?” tanyaku.

Furqan menjungkit kening. “Siapa?”

“Imani.”

“Oh..itu! Dia minta pendapat saya tadi.”

Aku merenung Furqan dengan rasa tidak percaya. “Sebab tu saja?”

“Yalah! Kenapa awak asyik tanya? Awak tak percayakan sayakah? Tak mungkin saya ada hubungan dengan Imani!”

Ya! Memang betul! Walaupun banyak kali aku ingatkan diri untuk lebih percayakan dia, rasa cemburu terlalu kuat menyebabkan aku sukar untuk terima jawapannya. Kalau terus- terusan begini, boleh bergaduh lagi kami nanti!

Aku menarik nafas panjang. Cuba menenangkan diri. Furqan sendiri mendiamkan diri. Barangkali dia juga cuba menenangkan diri.

Selepas beberapa lama, akhirnya dia yang bercakap terlebih dahulu. “Nak pergi makan tak?”

Aku cuma mengangguk.

Hubungan kami ini melibatkan dua orang yang bercinta. Jika tidak lebih memahami, bagaimana ia akan berjaya?

 

 

Aku tersengih sendiri melihat sekeping kertas yang tercetak di hadapanku. Ini ialah perancangan bulan madu yang telah aku buat untuk memberi kejutan kepada Furqan. Destinasiku ialah pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri, Pulau Langkawi.

Aku dan Furqan pernah merancang untuk berbulan madu. Kata Furqan, dia hendak bercuti selama satu minggu hanya untuk tujuan itu. Tapi dia hendak pergi beberapa bulan lepas perkahwinan kami. Jadi anggap saja kejutan ini sebagai bulan madu pertama yang pendek. Lain kali bolehlah pergi bulan madu yang lebih lama itu.  

Sebenarnya aku teringin juga untuk berbulan ke luar negara seperti ke Bali atau Korea Selatan. Tapi buat masa sekarang aku memang tak mampu pun. Jadi tak perlulah berangan besar sangat. Lagipun asalkan aku bersama dengan dia, bulan madu akan tetap jadi pengalaman yang indah tidak kira di mana pun kami berada. Tak sabar untuk tunjukkan kepada Furqan selepas perkahwinan kami nanti! Aku tergelak- gelak seorang diri.

“Ni kenapa gelak- gelak gatal ni? Apa tu?” tanya Zura.

Aku terfikir juga untuk tidak menjawab tapi apa salahnya, kan? Kalau mereka terus mengutuk pun, biar saja. Aku akan anggap yang mereka sebenarnya cemburukan aku.

“Ini pakej honeymoon,” jawabku dengan senyum lebar di bibir.

“Honeymoon! Di mana?” tanya Zura dengan teruja.

Tidak cukup dengan itu, dia terus bangun lalu menghampiri mejaku. Kak Diba yang tadi hanya mendengar turun bangun. Masing- masing meniliti pakej yang telah aku cetak.

“Dah tempah?” tanya Kak Diba.

“Dah, semua dah siap. Tinggal nak pergi saja,” jawabku.

“Seronoknya, honeymoon di Langkawi,” kata Zura. “Hotel ni betul- betul depan pantai pula tu.”

“Seronok, kahwinlah! Lepas tu pergi,” ujar Kak Diba.

“Habis kalau tak kahwin tak boleh pergi?” tanya Zura.

“Boleh, tapi kalau kena tangkap basah kakak tak tahu,” balas Kak Diba, seraya tergelak- gelak.

Aku hanya tersenyum mendengar perbualan mereka. Kalau kali ini pun mereka cuma baik di depan tapi menikam di belakang, aku tidak peduli. Aku terlalu gembira untuk pedulikan hal- hal remeh sebegini.

 

 

Hari terakhir bekerja sebelum mula bercuti akhirnya tiba. Aku masih belum buat keputusan untuk terus bekerja di sini atau berhenti. Selepas difikir- fikir, baik aku tentukan selepas pulang dari bercuti nanti. Aku ada masa selama dua minggu untuk berfikir panjang. Lagipun aku perlu berbincang dengan Furqan sebelum membuat keputusan.

Hari ini juga perjumpaan terakhir dengan One Event sebelum projek dilancarkan pada minggu hadapan. Walaupun sudah jelas aku tidak akan terlibat memandangkan aku bercuti selama dua minggu, aku masih diwajibkan untuk turut serta dalam perjumpaan ini. Pergi sajalah. Siapa aku untuk membangkang?

Selesai mesyuarat, seperti biasa, semua berkumpul di ruang tengah untuk jamuan. Dan seperti biasa juga, Hazriq yang nampak aku duduk di penjuru bilik terus mendekati aku apabila ambil makanannya.

“Join sekali?” katanya.

Aku menunjukkan kerusi yang kosong di hadapanku. “Duduklah.”

“Bila awak mula cuti?” tanyanya.

“Hari ni last.”

“Berapa lama awak cuti?”

“Dua minggu,” jawabku. “Jangan lupa datang tau.”

“Insya Allah, kalau tak ada aral mesti saya sampai.”

“Bawalah hadiah sekali.”

“Amboi!”

Aku tergelak. “Saya berguraulah. Datang makan saja pun tak apa.”

“Tak apa, nanti saya belikanlah apa- apa yang patut untuk awak. Apa- apa pun boleh, kan?” balas Hazriq, tergelak- gelak.

“Boleh, tapi saya nak hadiah yang mahal!”

“Memilih!”

Aku tahu beberapa rakan sepejabat yang sememangnya tidak suka aku berbual dengan Hazriq menjeling kami sejak dari tadi. pedulikanlah! Aku bukannya buat apa- apa salah pun. Lagipun tak kira apa yang aku buat, mereka nampaknya tidak berpuas hati. Jadi biarlah mereka. Aku tak peduli lagi.