Selepas
itu banyak lagi gambar yang aku terima dari Hazriq. Kebanyakkannya tentang
makanan atau pemandangan. Tapi aku hendak ingatkan di sini, aku tidak sesekali
curang dengan Furqan. Aku tidak rahsiakan apa- apa pun dari dia. Semuanya aku
ceritakan pada dia, termasuklah pesanan WhatsApp yang aku terima daripada
Hazriq. Aku tidak mahu dia terbaca sesuatu hari nanti dan menuduh aku macam-
macam. Kalau boleh elakkan bergaduh, aku pasti akan cuba. Biar dia tahu aku dan
Hazriq tidak ada apa- apa hubungan yang serius.
Furqan
tidak memberi sebarang komen biarpun selepas aku tunjukkan semua mesej dan
gambar yang diterima. Dia sendiri jelas Hazriq sudah berpunya. Mungkin sebab
itu dia tidak marah.
“Saya
rindukan awak. Esok nak keluar tak?” ajakku.
Sudah
lama tidak berjalan berdua. Rindu pula hendak menetap wajahnya secara berdepan.
Hari hujung minggu seperti inilah masa untuk sesuai memandangkan kami sibuk dengan
kerja masing- masing pada hari- hari biasa.
“Maaflah,
saya ada hal sepanjang hari. Macam mana kalau malam saya ke rumah awak, boleh
tak?” pujuk Furqan.
“Tak
apakah? Awak mesti penat.”
“Tapi
awak nak jumpa saya, kan?”
Aku
menghela nafas. “Memanglah saya nak jumpa, tapi saya tak nak awak penat ke
sana- ke mari. Lain kali kita boleh jumpa lagi.”
“Betul?”
“Ya.”
Giliran
Furqan pula menghela nafas. “Saya minta maaf.”
“Benda
macam ni pun nak minta maaf? Tak apalah, saya faham.”
Faham
memanglah faham, tapi rindu tetap rindu. Hendak mengadu pada siapa pun aku
tidak tahu. Akhirnya aku habiskan cuti hujung minggu dengan merayau tanpa arah
tujuan. Dulu selalunya Dyana yang akan temankan. Tapi itu dulu, semasa dia
masih belajar dan tidak sibuk dengan kerja seperti sekarang. Sekarang hendak
jumpa dia pun susah. Apatah lagi dia sedang hangat bercinta sekarang. Pasti
banyak masa dihabiskan dengan si Roslan itu.
Rindunya
aku pada dia! Kali terakhir kami jumpa ialah dua minggu lepas semasa dia pulang
untuk hantarkan bunga telur yang dia tolong belikan. Itu pun dia cuma pulang
untuk sehari.
Aku
hendak buat apa sekarang? Hendak terperap di dalam rumah, aku rasa tertekan.
Majlis yang semakin mendekat membuatkan dadaku semakin berdebar- debar. Terasa
sesak nafas. Tak boleh jadi. Boleh hilang akal aku nanti. Hendak ajak Dyana,
aku sudah jangka jawapannya. Akhirnya aku merayau seorang diri.
Hujung
minggu begini pasaraya sesak dengan pengunjung. Bukan aku seorang yang
mengambil kesempatan untuk bersiar- siar pada hari cuti. Kenapalah aku memilih
untuk datang ke tempat yang agak jauh dari rumah ini? Sanggup aku turun naik
mrt dan lrt untuk sampai ke sini. Tapi bila difikiran balik, kadang- kala
bertukar angin pun baik juga. Mungkin aku akan jumpa sesuatu yang menarik
nanti.
Memandangkan
aku tidak ada arah tuju, aku merayau dari satu ke satu tempat tanpa arah tuju.
Lagipun ini kali pertama aku ke sampai ke sini. Aku tidak tahu apa yang menarik
atau boleh aku jumpa. Sedang aku asyik melihat- lihat, aku terpandang kelibat
seseorang yang aku kenal.
Furqan
sedang berbual dengan seorang gadis yang aku tidak kenal. Dari cara mereka
berbual, mereka nampak sangat mesra. Perasaan cemburuku terus meluap- luap tapi
aku segera beristighfar. Mungkin bukan apa yang aku sangka. Jangan mudah naik
angin, kemudian menyesal di kemudian hari. Lebih baik aku perhatikan mereka
dulu. Tapi pelik juga. Furqan cakap dia sibuk hari ini. Jadi dia ada urusan di
sini?
“Assalamualaikum.”
Aku
berpaling, melihat Hazriq berdiri di sebelah dengan senyum lebar.
“Waalaikumsalam,”
balasku dengan nada ceria.
“Awak
membeli- belahkah?” tanya Hazriq.
“Tak
adalah, saja berjalan- jalan di sini. Seorangkah?”
“Saya
hantarkan girlfriend saya tadi. Lepas tu singgahlah sekejap di sini. Tak sangka
pula jumpa awak,” jawab Hazriq.
“Saja
saya merayau jauh dari rumah hari ni,” kataku, mengerling ke arah mereka berdua
tadi.
“Awak
tengok siapa?” tanya Hazriq, turut memandang ke arah yang sama. “Eh, itu bukan
tunang awak? Siapa perempuan tu?”
“Entahlah,
saya pun tak kenal dia. Kawan dia agaknya.”
Aku
terus mencerlung mata apabila ‘kawan’ Furqan itu tiba- tiba menampar bahunya.
Berbual saja tak boleh? Kenapa hendak main bertepuk- tampar pula? Nanti aku
tumpang tepuk- tampar juga, baru dia tahu!
Hazriq
sendiri seperti tertanya- tanya melihat mereka berdua. “Awak tak tahukah mereka
di sini? Mereka macam tak perasan awak ada pun.”
“Saya
tak beritahu pun yang saya nak berjalan- jalan di sini.”
Aku
memandang ke arah mereka berdua. Mereka berdua masih berbual di situ. Lebih
baik aku tegur. Makin lama, makin kuat rasa cemburuku. Nanti tak pasal- pasal
aku melenting di sini macam orang gila.
“Saya
nak tegur merekalah,” kataku pada Hazriq.
“Okay,”
balas Hazriq.
Aku
ingat Hazriq akan minta diri tapi dia berjalan di sebelah aku pula. Tak kan aku
hendak halau dia. Furqan dan gadis itu sedar kehadiran kami apabila kami
mendekat.
“Awak buat apa di sini?” tanya Furqan pula,
juga nampak terkejut.
Kenapa
terkejut sangat melihat aku? Pelikkah kalau aku ada di sini? Memang pasaraya
ini agak jauh dari rumah, tapi kadangkala aku pun boleh merayau dan sampai ke
sini. Makin kuat rasa cemburu dan curiga aku dibuatnya!
“Awak
pun ada di sini?” tegurku. “Siapa ni?”
“Oh,
ini Imani! Kami…kebetulan jumpa di sini,” balas Furqan, kemudian memandang
Hazriq yang berdiri di sebelahku. “Awak pun ada?”
“Kami
pun kebetulan berjumpa,” balas Hazriq.
“Semua
kebetulan berjumpa hari ni,” komenku.
“Kakak!”
Aku
berpaling, melihat Dyana menghampiri kami. Eh, dia pun ada!
“Macam
mana adik boleh ada di sini?” tanyaku dengan hairan.
“Ada
kerja sikit di kawasan ni,” jawab Dyana. “Abang Furqan dan Kak Imani pun ada?”
“Ya,
ada kerja juga di kawasan ni,” jawab Furqan. “Kebetulan masa ada di sini,
terserempak dengan Imani. Dia pun kebetulan datang ke sini.”
“Siapa ni kakak?” tanya Dyana, memandang
Hazriq yang berdiri di sebelahku.
“Ni
Hazriq, orang yang pernah tolong kakak masa kereta rosak hari tu. Kakak pun
kebetulan jumpa dengan dia.” Aku berpaling memandang Hazriq. “Ini adik saya,
Dyana.”
Hazriq
hanya mengangkat tangan dan tersenyum.
“Tapi kenapa awak boleh ada di sini?” tanya
Furqan sekali lagi.
“Saya
tak ada nak dibuat di rumah. Jadi saya merayau seorang diri,” jelasku. “Awak
sibuk lagikah?”
“Huh?”
Furqan kelihatan terpinga- pinga.
“Awak
cakap awak ada hal sepanjang hari,” jawabku.
“Oh,
yang tu. Memanglah sepatutnya macam tu. Tapi semua yang saya nak buat tu dah selesai
lebih awal,” jelas Furqan.
Jadi
dia datang ke sini dan secara kebetulan berjumpa dengan Imani itu? Susah aku
hendak percaya!
“Betulkah?”
tanyaku.
“Betullah,
tak kan nak tipu pulak?” balas Furqan, seperti meradang dengan soalanku itu.
Aku
menghela nafas. Jangan cemburu, jangan cemburu, jangan cemburu. Entah berapa
kali aku ulang ayat itu.
“Saya
nak minta diri dulu. Thanks for today!” kata Imani.
Terima
kasih untuk apa? Aku melihat Furqan, menunggu dia menjawab. Tetapi lelaki itu
langsung tidak pandang aku!
“Saya
pun nak minta diri, nak beli barang sikit sebelum balik,” kata Hazriq.
Selepas
itu Dyana juga minta diri. Katanya ada urusan yang belum selesai. Sebaik semua
orang pergi, aku terus berpaling kepada Furqan.
“Kenapa
dia ucapkan terima kasih?” tanyaku.
Furqan
menjungkit kening. “Siapa?”
“Imani.”
“Oh..itu!
Dia minta pendapat saya tadi.”
Aku
merenung Furqan dengan rasa tidak percaya. “Sebab tu saja?”
“Yalah!
Kenapa awak asyik tanya? Awak tak percayakan sayakah? Tak mungkin saya ada
hubungan dengan Imani!”
Ya!
Memang betul! Walaupun banyak kali aku ingatkan diri untuk lebih percayakan
dia, rasa cemburu terlalu kuat menyebabkan aku sukar untuk terima jawapannya.
Kalau terus- terusan begini, boleh bergaduh lagi kami nanti!
Aku
menarik nafas panjang. Cuba menenangkan diri. Furqan sendiri mendiamkan diri.
Barangkali dia juga cuba menenangkan diri.
Selepas
beberapa lama, akhirnya dia yang bercakap terlebih dahulu. “Nak pergi makan
tak?”
Aku
cuma mengangguk.
Hubungan
kami ini melibatkan dua orang yang bercinta. Jika tidak lebih memahami,
bagaimana ia akan berjaya?
Aku
tersengih sendiri melihat sekeping kertas yang tercetak di hadapanku. Ini ialah
perancangan bulan madu yang telah aku buat untuk memberi kejutan kepada Furqan.
Destinasiku ialah pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri, Pulau Langkawi.
Aku
dan Furqan pernah merancang untuk berbulan madu. Kata Furqan, dia hendak
bercuti selama satu minggu hanya untuk tujuan itu. Tapi dia hendak pergi
beberapa bulan lepas perkahwinan kami. Jadi anggap saja kejutan ini sebagai
bulan madu pertama yang pendek. Lain kali bolehlah pergi bulan madu yang lebih
lama itu.
Sebenarnya
aku teringin juga untuk berbulan ke luar negara seperti ke Bali atau Korea
Selatan. Tapi buat masa sekarang aku memang tak mampu pun. Jadi tak perlulah
berangan besar sangat. Lagipun asalkan aku bersama dengan dia, bulan madu akan
tetap jadi pengalaman yang indah tidak kira di mana pun kami berada. Tak sabar
untuk tunjukkan kepada Furqan selepas perkahwinan kami nanti! Aku tergelak-
gelak seorang diri.
“Ni
kenapa gelak- gelak gatal ni? Apa tu?” tanya Zura.
Aku
terfikir juga untuk tidak menjawab tapi apa salahnya, kan? Kalau mereka terus
mengutuk pun, biar saja. Aku akan anggap yang mereka sebenarnya cemburukan aku.
“Ini
pakej honeymoon,” jawabku dengan senyum lebar di bibir.
“Honeymoon!
Di mana?” tanya Zura dengan teruja.
Tidak
cukup dengan itu, dia terus bangun lalu menghampiri mejaku. Kak Diba yang tadi
hanya mendengar turun bangun. Masing- masing meniliti pakej yang telah aku
cetak.
“Dah
tempah?” tanya Kak Diba.
“Dah,
semua dah siap. Tinggal nak pergi saja,” jawabku.
“Seronoknya,
honeymoon di Langkawi,” kata Zura. “Hotel ni betul- betul depan pantai pula
tu.”
“Seronok,
kahwinlah! Lepas tu pergi,” ujar Kak Diba.
“Habis
kalau tak kahwin tak boleh pergi?” tanya Zura.
“Boleh,
tapi kalau kena tangkap basah kakak tak tahu,” balas Kak Diba, seraya tergelak-
gelak.
Aku
hanya tersenyum mendengar perbualan mereka. Kalau kali ini pun mereka cuma baik
di depan tapi menikam di belakang, aku tidak peduli. Aku terlalu gembira untuk
pedulikan hal- hal remeh sebegini.
Hari
terakhir bekerja sebelum mula bercuti akhirnya tiba. Aku masih belum buat
keputusan untuk terus bekerja di sini atau berhenti. Selepas difikir- fikir,
baik aku tentukan selepas pulang dari bercuti nanti. Aku ada masa selama dua
minggu untuk berfikir panjang. Lagipun aku perlu berbincang dengan Furqan
sebelum membuat keputusan.
Hari
ini juga perjumpaan terakhir dengan One Event sebelum projek dilancarkan pada
minggu hadapan. Walaupun sudah jelas aku tidak akan terlibat memandangkan aku
bercuti selama dua minggu, aku masih diwajibkan untuk turut serta dalam
perjumpaan ini. Pergi sajalah. Siapa aku untuk membangkang?
Selesai
mesyuarat, seperti biasa, semua berkumpul di ruang tengah untuk jamuan. Dan
seperti biasa juga, Hazriq yang nampak aku duduk di penjuru bilik terus
mendekati aku apabila ambil makanannya.
“Join
sekali?” katanya.
Aku
menunjukkan kerusi yang kosong di hadapanku. “Duduklah.”
“Bila
awak mula cuti?” tanyanya.
“Hari
ni last.”
“Berapa
lama awak cuti?”
“Dua
minggu,” jawabku. “Jangan lupa datang tau.”
“Insya
Allah, kalau tak ada aral mesti saya sampai.”
“Bawalah
hadiah sekali.”
“Amboi!”
Aku
tergelak. “Saya berguraulah. Datang makan saja pun tak apa.”
“Tak
apa, nanti saya belikanlah apa- apa yang patut untuk awak. Apa- apa pun boleh,
kan?” balas Hazriq, tergelak- gelak.
“Boleh,
tapi saya nak hadiah yang mahal!”
“Memilih!”
Aku
tahu beberapa rakan sepejabat yang sememangnya tidak suka aku berbual dengan
Hazriq menjeling kami sejak dari tadi. pedulikanlah! Aku bukannya buat apa- apa
salah pun. Lagipun tak kira apa yang aku buat, mereka nampaknya tidak berpuas
hati. Jadi biarlah mereka. Aku tak peduli lagi.
No comments:
Post a Comment