Thursday, September 3, 2020

Bab 3

 

“Saya minta maaf!” kata Furqan.

“Saya pun. Saya tak sepatutnya mudah naik angin macam tu,” balasku.

Jadi aku dan Furqan mulakan pagi ini dengan masing- masing meminta maaf sesama sendiri. Selepas aku pulang semalam, aku terus matikan telefon. Jika tidak kami akan terus bertengkar. Jadi pagi ini, selepas solat Subuh, aku menelefon Furqan. Tetapi belum sempat aku menelefon dia, dia yang terlebih dahulu menelefon aku. Aku benar- benar rasa bersalah tentang hal semalam. Tetapi sebelum sempat aku mengutarakan permohonan maafku, Furqan yang bersuara terlebih dahulu.

“Awak terus pulang semalam?” tanya Furqan.

“Ya, ada teksi semasa saya keluar. Awak pula?”

“Saya terpaksa tunggu sekejap. Tapi nasib baik juga. Kalau tidak teruklah Dyana,” jawab Furqan.

“Kenapa dengan Dyana?” soalku hairan.

“Kereta dia rosak. Entah apa masalahnya. Jadi saya terpaksa cari bengkel yang masih dibuka untuk datang tunda.”

“Habis Dyana balik naik apa?”

“Saya hantar dia balik ke Banting.”

Tiba- tiba perasaan cemburu semalam meluap- luap kembali. Jadi dia berdua saja dengan Dyana semalam? 

Ah, sudahlah! Baru tadi aku minta maaf kepada dia, sekarang hendak bergaduh lagi? Lagipun aku yang balik sendiri semalam. Kalau tidak mereka tidak berdua. Dyana pun dalam kesusahan, salahkah kalau Furqan membantu?

Aku harus rasional. Tak guna terlalu cepat cemburu dan naik marah. Kata orang masa bertunang ini, darah manis. Jangan diikutkan sangat perasaan marah. Tak boleh begini. Bersangka baik. Saling percaya. Ini baru bertunang, belum berkahwin. Ujian hubungan kami sedang berjalan sekarang. Cemburu tidak bertempat hanya akan menyusahkan aku kelak. Lagipun Dyanakan adik aku, dengan dia pun hendak cemburu?

“Oh, macam tu.” Itu saja respon dari aku setelah menarik nafas dan menenangkan diri. “Awak ada rancangan apa hari ini?”

“Ada latihan dengan Kaki Bowling petang nanti. Kami ada perlawanan di Terengganu tidak lama lagi.”

“Jauhnya perlawanan awak,” komenku, menyembunyikan rasa kecewa.

Aku ingin bertemu dengan Furqan sebenarnya. Kalau boleh aku hendak cuba lebih berbaik dengannya hari ini. Setakat bercakap di telefon tidak cukup.

“Kelab kami kadang- kadang dapat jemputan luar. Tahun ini dah lima kali.”

“Yakah? Baguslah macam tu,” komenku.

“Saya ingat nak sarapan dengan awak pagi ni sebab mungkin kita susah nak jumpa lepas ni. Awak pun sibuk kerja nanti,” kata Furqan.

Terus aku tersengih lebar. Dia juga sama seperti aku rupanya. Terasa ingin bertemu dan menatap wajah masing- masing. Hilang terus perasaan kecewa tadi.

 “Nak tak?” tanya Furqan.

“Mestilah!” Cepat- cepat aku menjawab.

Furqan tergelak kecil. “Saya datang jemput awak nanti.”

“Ok, sayang!”

Furqan tergelak dengan jawapanku. Selepas putuskan talian terus aku bersiap- siap. Sia- sia saja rasa cemburu aku. Sepatutnya aku percayakan dia, bukannya mudah melenting. Bukankah cinta itu perlu rasa saling percaya? Kalau tidak bagaimana ia akan bertahan?

 

 

Persiapan untuk majlis pernikahan kami berjalan lancar. Dalam masa lima bulan lagi, aku akan bergelar isteri kepada Furqan. Wah, tidak sabar rasanya!

“Hai anak dara, kenapa tersengih macam kerang busuk?”

Soalan ibu membuatkan aku kembali serius. Itulah, berangan masa tengah memasak. Ibu pun dah perasan.

“Itu dipanggil senyum gatallah, ibu. Orang tengah bahagia ibu, biarlah,” perli Dyana.

Aku mencebik ke arah Dyana. “Cemburulah tu!”

“Tak kuasa!” Cebik Dyana kembali.

“Furqan datang tak nanti?” tanya ibu, tersenyum melihat gelagat kami.

“Tak, dia sibuk. Tapi Aunty Sofea dan Uncle Hadi akan datang,” jawabku.

“Dah nak jadi mentua pun masih aunty dan uncle? Bila nak panggil mama dan papa?” soal Dyana.

“Lepas kahwinlah panggil mama dan papa. Kamu yang sibuk bertanya tu bila nak kahwin?” usikku.

Dyana mencebik. “Nanti bila adik jumpa lelaki yang sesuai, adik kahwinlah.”

“Selamat berjaya,” perliku.

“Terima kasih,” balas Dyana, langsung tidak terkesan.

“Tapi Furqan ke mana? Kenapa dia tak dapat datang?” tanya ibu.

“Dia outstation. Ada di Johor sekarang.”

Aku terus memandang Dyana. Macam mana dia tahu? Aku pun baru tahu tadi selepas menelefon Furqan.

“Dia beritahu dalam WhatsApp lepas adik tanya tentang latihan bowling,” jelas Dyana apabila sedar aku merenungnya.

Jangan cemburu! Berkali- kali aku mengingatkan diri. Mereka memang saling berhubung atas urusan latihan untuk perlawanan akan datang. Cukuplah sekali kami bergaduh kerana aku curiga tentang mereka.

“Furqan cakap dia akan datang hujung minggu nanti untuk makan tengah hari dengan kita. Dia rasa bersalah tentang hari ni,” jelasku kepada ibu.

“Benda kecil macam ni tak perlulah rasa bersalah. Kita pun dah nak jadi satu keluarga,” kata ibu.

Ibu kembali menyambung memasak. Aku menghidang makanan dan menyiapkan meja sambil ditolong oleh Dyana. Meriah makan malam hari ini. Selalunya cuma kami bertiga tapi hari ini Dyana akan sertai kami selain Aunty Sofea dan Uncle Hadi. Dyana jarang dapat balik kerana sibuk dengan kerja. Sekarang dia sertai pasukan bowling pula, bertambah sibuklah dia. Dia sempat bertemu janjikah dalam kesibukkannya itu?

Aku mengerling Dyana. Aneh juga jika dia tidak ada seseorang yang istimewa dalam hidupnya sekarang. Berbanding dengan aku, dia lebih segalanya. Lebih cantik, lebih berbakat dalam pelbagai bidang, lebih pandai memasak, lebih berjaya. Pendek kata, lebih hebat. Mungkin dia terlalu sibuk hingga tidak ada masa untuk peduli tentang urusan cinta.

“Kenapa kakak asyik renung adik macam tu?” soal Dyana merenungku dengan cuak.

“Kakak tengok makin hari…adik makin gemuk!” usikku, membuatkan terus wajah Dyana kelat.

“Mengarutlah kakak ni!”

Aku cuma ketawa. Tidak perlulah aku fikir banyak. Aku yakin yang orang seperti Dyana pasti akan bertemu jodoh juga suatu hari nanti.

 

 

Kad sudah dicetak, cuma menunggu siap untuk diedar. Aku juga sudah mencari katering dan hadiah untuk diberikan kepada tetamu. Masih ada beberapa perkara yang tidak dapat aku selesaikan sekarang. Tetapi aku pasti aku sempat lakukannya sebelum majlis perkahwinanku nanti. Furqan tidak banyak campur tangan. Semua urusan dan pemilihan diserahkan kepada aku. apa saja yang aku pilih, dia bersetuju saja.

“Ikut awaklah.”

Senang betul respon dia.

“Nanti awak tak puas hati pula,” balasku.

“Saya tak kisahlah. Saya tahu awak pandai pilih. Awak mesti akan buat pilihan yang terbaik tak kira apa pun. Saya pun salah satu pilihan awak, kan?”

Dia cakap macam tu pun hatiku berbunga- bunga. Tapi seronok betul menguruskan perkahwinan sendiri. Lebih teruja memikirkan yang tinggal tiga bulan lagi, aku dan Furqan akan sah menjadi suami isteri.

 “Lepas kahwin nanti macam mana? Masih hendak kerja di sini?” tanya Zura, rakan sekerjaku.

“Entahlah. Mungkin masih kerja. Tapi Furqan pernah cakap yang dia mungkin akan ditugaskan ke Sarawak. Tak kan nak berpisah lama- lama. Dia di sana paling kurang lima bulan,” jawabku.

“Zaman sekarang, susah nak cari kerja. Seorang bekerja belum tentu cukup untuk tampung perbelanjaan rumah. Sekarang semua benda dah mahal. Jadi fikirlah masak- masak sebelum berhenti. Lagipun Furqan ke sana bukannya selamanya. Nanti balik ke sini juga. Tak rugikah kalau berhenti nanti?” tanya Kak Diba yang nampaknya mendengar perbualan kami.

“Rasa rugi juga kak. Sebab tu lah saya tak buat keputusan lagi. Tengoklah nanti macam mana,” jawabku.

Kalau ikutkan, memang aku tidak berminat untuk bekerja lagi selepas berkahwin. Aku teringin untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku tidak ada impian besar untuk naik pangkat atau mempunyai gaji yang banyak. Tapi aku tidak pernah berbincang dengan Furqan tentang hal ini. Entah apa pendapat dia. Tapi dia tidak mahukah aku menyambutnya pulang setiap hari? Makanan tersedia di meja untuk dijamah. Dia tidak mahukah kehidupan begitu?

Hmm, mungkin aku patut berbincang dengan dia juga nanti.

Tapi macam mana? Furqan benar- benar sibuk akhir- akhir ini. Dia ingin menyelesaikan kerja sebelum bercuti untuk perkahwinan kami. Dalam masa yang sama, perlawanan bowling di Terengganu itu juga hujung bulan ini. Aku sendiri sibuk dengan kerja dan menguruskan persiapan majlis. Kami tidak ada masa untuk berjumpa. Setiap hari cuma berbual di telefon saja.

Rindunya!

Aku ingat hendak minta dia temankan aku selepas kerja nanti. Aku hendak pergi ke butik untuk mencuba gaun pengantin. Reesya, pemilik butik minta aku mencuba sebelum mereka membuat pengubahsuaian. Kemudian aku hendak melihat- lihat sama ada ada barangan yang sesuai untuk aku jadikan hantaran. Tetapi Furqan beritahu dia ada latihan bowling nanti. Mereka perlu bekerja keras sebelum perlawanan tiba.

“Perlawanan kali ini sangat besar dan penting. Hadiah yang mereka tawarkan pun sangat lumayan. Semua orang hendak menang kali ini,” jelas Furqan.

Bersungguh- sungguh betul mereka nampaknya. Kadang- kadang aku rasa aku bagaikan bercinta dengan seorang atlit yang mewakili negara. Semangat dan kesungguhannya terhadap sukan ini sangat kuat.

Habis aku hendak ajak siapa sekarang?

Aku mengeluh, mengetuk- ngetuk telefon bimbit ke dagu dengan perlahan- lahan. Aku bukannya ada teman rapat selain Dyana. Kalau aku ajak Dyana, dia hendak pergikah? Ah, cuba sajalah! Dyana menjawab selepas beberapa deringan.

“Maaf kakak, adik ada latihan bowling malam nanti,” kata Dyana.

“Macam tu,” balasku sedikit kecewa. Tapi aku sendiri sedar yang dia memang seringkali sibuk. Apa boleh buat.

“Sekali lagi adik minta maaf ya, kak. Sepatutnya adik tolong kakak buat persiapan. Tapi adik selalu sibuk.”

“Tak apalah adik. Kakak faham.”

“'Nanti kakak pergi dengan siapa? Abang Furqan pun ada latihan bowling juga nanti,” tanya Dyana.

“Entahlah. Tengoklah macam mana nanti.”

Akhirnya aku pergi seorang diri. Habis apa pilihan yang aku ada?

 

 

Berjalan seorang ke sana ke mari kadang- kadang seronok juga. Hmm, yalah tu. Tapi apa boleh buat? Semua orang sibuk sekarang. Banyak yang perlu aku lakukan untuk membuat persiapan.

Tapi, bila difikirkan balik, kadang- kadang terasa bagai cuma aku yang terlalu teruja. Furqan tidak begitu berminat untuk membuat persiapan untuk pernikahan kami. Dia asyik sibuk dengan bowling atau kerja.

Aku menghela nafas. Bukankah selalunya lelaki memang begitu? Mereka tidak gemar untuk peduli hal- hal remeh sebegini. Aku perlu lebih memahami.

Setelah penat merayau- rayau, aku kembali ke kereta dengan beberapa beg dan plastik. Perutku mula berkeroncong, minta diisi. Aku sudah berjanji untuk makan malam bersama ibu dan abah, jadi lebih baik aku cepat- cepat pulang.

Petang yang menginjak senja membuatkan keadaan agak suram. Jalan yang aku lalui juga agak lengang. Terasa seperti melalui jalan yang berhantu. Biarpun aku kerap melalui jalan ini untuk mengambil jalan pintas, laluan ini masih menakutkan aku. Tambahan pula pelbagai cerita pernah aku dengar tentang kawasan ini. Dari hantu yang tidak berkepala menahan kenderaan yang lalu hinggalah perompak menahan kereta kemudian merompak, merogol dan membunuh.

Hesy, jangan fikir bukan- bukan!

Tetapi tiba- tiba keretaku tersentak- sentak. Kemudian secara perlahan- lahan dia mati.

Eh, kenapa? Tak kan rosak? Tak kanlah!

“Janganlah macam ni!” teriakku seorang diri.

Aku cuba menghidupkan kembali enjin kereta tetapi gagal. Hendak keluar untuk melihat- lihat enjin, bukannya aku tahu pun apa yang rosak. Aku cuma tahu memandu, bukannya membaiki.

Tanganku terus mencapai telefon. Mungkin aku boleh minta telefon Furqan untuk minta pertolongan dia. Memanglah dia ada latihan bowling malam ini tapi masalahku sekarang lebih besar dari permainan bowling dia.

Bateri habis.

Aku merenung skrin telefon agak lama. Rasa panik mula mencengkam hati. Apa patut aku buat sekarang? Kenapa lepas satu, satu lagi masalah timbul? Tadi aku tengok bateri telefon ini masih tinggal separuh. Kenapa sekarang sudah habis? Powerbank pun tertinggal hari ni. Kenapa jadi macam ni? Bila satu masalah timbul, masalah lain bertimpa- timpa.

Aku melihat- lihat keadaan sekeliling yang kini semakin gelap. Sudahlah begitu, tidak ada sebuah kenderaan pun yang melalui kawasan ini sejak tadi. Air mata mula bergenang tetapi aku segera menyeka. Aku sedaya upaya menahan diri dari menangis.

“Kenapa pula kau rosak masa- masa macam ni? Di tempat macam ni pula tu?” kataku, mengomel seorang diri, cuba untuk membuatkan diri merasa lebih bertenang.

Tetapi sekuat mana pun aku cuba bertahan, masa tetap berlalu. Kawasan sekitar kini gelap sepenuhnya. Sesuatu yang tidak berubah ialah aku masih di sini dan enjin kereta masih belum dapat aku hidupkan. Sejak tadi, aku langsung tidak keluar. Aku terlalu takut untuk berbuat begitu.

Tiba- tiba terlihat dua cahaya lampu menuju ke arahku dari belakang. Nampaknya setelah sekian lama, ada sebuah kenderaan yang melalui kawasan ini. Patutkah aku keluar dan minta pertolongan? Tunggu! Macam mana kalau dia orang jahat? Nanti dia apa- apakan aku pula.

Lampu itu semakin mendekat. Rasanya ia adalah kereta atau van. Keluar dari kereta dan minta tolong? Diamkan diri sahaja? Apa- apa sekalipun aku perlu cepat.

Akhirnya aku tidak keluar dari kereta. Aku cuba untuk tidak kelihatan dengan menundukkan badan ke kerusi penumpang. Harapanku agar pemandu itu tidak nampak aku dan pergi begitu sahaja.

Berdebar- debar aku menunggu kereta itu melepasiku. Apabila tidak dengar bunyi enjin lagi, aku menarik nafas lega dan membetulkan kembali duduk. Tetapi ada seorang lelaki berdiri di luar kereta.

Terus aku menjerit.

Terdengar lelaki itu mengetuk- ngetuk cermin tingkap tetapi aku terlalu takut untuk mendengar apa pun yang dia sedang katakan. Kemungkinan besar dia suruh aku buka pintu supaya dia boleh rompak atau rogol aku.

Tiba- tiba aku terdengar lelaki itu melaungkan azan.

Terdiam aku merenung dia, terpinga- pinga dengan tindakkannya. Kenapa pula dia laung azan ni? Dia ingat aku kena rasukkah? Selesai azan dia merenungku, menarik nafas lega.

“Cik okey ke?” tanya lelaki itu.

Perlahan- lahan aku mengangguk.

“Boleh bukakan pintu ni?”tanya lelaki itu lagi.

Kenapa pula hendak buka pintu? Dia nak buat apa? Cepat- cepat aku menggeleng. Lelaki itu menggigit bibir dengan reaksiku. Dia seperti berfikir sesuatu.

“Cik jangan takut, saya nak tolong cik,” kata lelaki itu lagi. “Nama saya Hazriq.”

Habis kenapa? Kalau nama kau Aaron Aziz atau Johnny Depp sekalipun, aku tetap tidak akan buka pintu ni. Sudahlah aku cuma nampak wajah dia secara samar- samar saja sekarang. Jadi aku terus membeku merenung dia, cuba menduga niatnya sebaik mungkin.

Hazriq, lelaki itu merenung keretaku sekilas sebelum berpaling memandang aku. “Kereta rosak?”

Aku mengangguk.

“Dah telefon mekanik?” tanyanya lagi.

Aku menggeleng, menunjuk telefonku.

“Bateri habis…” kataku perlahan tetapi dia tetap dapat menduga jawapanku.

Hazriq mengangguk, mengeluarkan telefonnya. “Biar saya telefonkan.”

Dia tidak menunggu jawapanku. Jarinya pantas menekan- nekan sebelum bercakap di telefon. Terfikir juga jika dia ada niat jahat. Tetapi apabila difikirkan semula, mungkin aku boleh percayakan dia sedikit. Setakat ini dia nampak dipercayai. Ah, terlalu awal untuk buat kesimpulan. Jadi aku akan terus mengurung diri di dalam kereta.

Selepas seketika, Hazriq kembali semula. “Saya dah telefon mekanik. Mereka akan hantar kereta tunda ke sini.”

Aku langsung tidak memberi tindak balas. Hazriq kembali ke keretanya, kemudian kembali semula dengan sekotak minuman. Dia menghulurkan minuman itu kepadaku.

“Cik nak minum dulu sementara menunggu? Pemandu trak tunda tu cakap mereka mungkin akan ambil masa untuk sampai,” kata Hazriq.

Dia hendak umpan aku dengan minumankah? Tidak semudah itu aku akan percaya. Segera aku menggeleng.

Hazriq mengeluh. Dia akhirnya kembali ke keretanya, bersandar di bonet sambil minum minuman yang tadinya hendak di berikan kepada aku. Tak ikhlas betul! Buruk siku!

Memandangkan aku tidak ada apa untuk dibuat, aku merenung kereta Hazriq, cuba menghafal sebanyak mungkin maklumat. Jika berlaku sesuatu, aku perlu ingat sesuatu, kan? Tapi kalau dia bunuh aku, tak guna juga aku hafal.

Menggigil aku seketika.

Hesy, jangan fikir bukan- bukan!

Kalau betul dia orang jahat, sudah lama dia pecahkan cermin kereta ni dan seret aku keluar. Setakat ini dia tidak buat apa- apa pun. Aku boleh percayakan dia sedikitkan? Tetapi boleh jadi juga dia tidak ada alat untuk buat macam tu. Sebab tu dia telefon kawan dia datang?

Sekali lagi aku menggigil.

Tiba- tiba lelaki itu tidak lagi bersandar, sebaliknya berjalan ke arahku. Alamak, dia hendak buat apa ni? Apa patut aku buat?

“Betul tak nak apa- apa?” tanya Hazriq apabila berada disebelahku.

Dengan pantas aku menggeleng.

Yang aku mahu ialah berada di rumah sekarang dengan keluarga aku. Bolehkah dia tunaikan permintaan aku ni?

Dua buah lampu tersorot menghala ke arah kami. Hazriq turut merenung lampu itu sehingga ia mendekat. Derdebar- debar aku melihat kereta tunda yang berhenti bersebelahan kereta Hazriq. Pemandunya turun dan berbual dengan Hazriq, sebelum dia kembali ke keretaku.

“Mereka nak tarik kereta awak ke bengkel, senang nak baiki. Awak nak naik dengan saya atau terus nak duduk dalam kereta?” tanya Hazriq.

“Dalam kereta,” balasku dengan serta- merta.

Bibir Hazriq tersenyum herot. Kenapa? Ketawakan akukah? Bukan selalu boleh duduk dalam kereta yang sedang di tunda. Ia akan jadi pengalaman yang akan aku ingat seumur hidup! Bukan semua orang boleh merasa. Paling penting aku tidak akan turun sehingga aku rasa selamat.

Hazriq menerangkan situasiku kepada pemandu trak tunda, yang akhirnya juga ketawa kecil. Mengata akulah tu. Lelaki pun suka bergosip?

Akhirnya aku ke bengkel dengan menaiki kereta yang sedang ditunda. Memang aku tidak akan lupakan hari ini sampai bila- bila. Aku ingatkan Hazriq sudah pergi, tetapi nampaknya dia mengekori dari belakang dengan keretanya. Aku dapat rasakan yang dia sedang ketawakan aku sepanjang perjalanan.

“Ada beberapa alat yang kita kena ganti. You kena tinggal kereta sini. Abang you tu hantar balikkah?” tanya pemilik bengkel selepas memeriksa keretaku.

“Abang I?” soalku hairan.

“Itulah, abang you,” jelas pemilik, menunjuk ke arah Hazriq. Dia masih menunggu dan berbual- bual dengan pemandu trak tunda bagai rakan baik pula.

“Eh, dia bukan abang I!”

Kenal pun tidak!

Pemilik bengkel sedikit keliru. “Oh, sorry! I ingat abang you. Cara dia macam rapat dengan you. Habis macam mana? Mau telefon teksikah?”

“Nanti I telefon tunang I dulu.”

Aku menggunakan telefon pemilik bengkel untuk menelefon Furqan. Dia masih lagi ada di pusat bowling semasa aku menelefon.

“Macam mana boleh rosak?” tanya Furqan.

“Manalah tahu!” bentakku geram.

Kalau aku tahu apa dan bagaimana ia rosak, baik aku baiki sendiri. Buat apa aku duduk menunggu sampai berjam- jam. Dia bagaikan menyalahkan aku pula.

“Awak di mana sekarang?” tanya Furqan.

Aku memberitahu lokasi bengkel dan bagaimana aku ke sini.

“Macam mana awak boleh biarkan sampai telefon awak habis bateri? Cuai betullah awak ni!”

“Saya tak perasanlah. Awak nak datang ke tidak ni?” soalku, meradang dengan sikapnya.

Furqan mengeluh. “Tunggu di situ. Nanti saya sampai.”

Aku keluar memaklumkan pemilik bengkel selepas itu. Aku perasan Hazriq tidak ada lagi di depan.

“Bukan abang you tu dah balik,” kata pemilik bengkel.

“Oh, yakah.”

Pandai pula uncle ni bergurau. Tetapi terkilan juga aku. Kalau bukan kerana dia pasti aku masih tersadai di tengah jalan itu. Tidak sempat aku ucapkan terima kasih.

Saturday, August 29, 2020

Bab 1

 

Seperti biasa, rutin harian Zana bermula. Zana sibuk menyediakan sarapan. Dia jarang membeli makanan yang siap dimasak dari luar, jadi dia masak sendiri untuk kebanyakkan masa. Terdengar loceng pintu membuatkan dia bergegas.

“Penghantaran makanan,” kata lelaki itu.

“Terima kasih!” kata Zana.

Zana membawa masuk barangan basah yang dipesannya. Selalunya dia akan beli stok makanan untuk satu minggu. Dia membetulkan kameranya supaya menghala ke sinki, kemudian meletakkan barangan basah itu berdekatan dengan kamera. Kemudian dia mula memeriksa apa yang dihantar.

Selesai memeriksa, dia membawa kamera ke meja makan. Makan pun mesti dirakam! Bukan itu sahaja, mencuci barang basah yang sampai dan menyimpan di dalam peti sejuk pun Zana rakam! Pasti kalian ingat itu perkara yang ganjil, tapi itulah yang Zana lakukan selama ini. Perkara yang dia lakukan setiap hari itulah yang dia muatnaikkan selama ini.

Untuk hari ini, Zana ambil keputusan untuk belajar membuat macaroon. Dia sudah mendaftar kelas membuat macaroon secara online. Bahan- bahannya sampai semalam. sedang tekun Zana memasak, sekali lagi dia terkejut apabila terdengar bunyi benda terjatuh di rumah sebelah.

“Hantu ni buat apa sampai hari- hari jatuhkan barang? Tak ada kerja lain?” rungut Zana, mengerut dahi merenung dinding pemisah di antara rumah mereka.

Hmm, biarlah! Jatuhlah apa sekalipun asalkan dia tidak muncul di hadapan Zana. Zana kembali fokus dengan memasak.

Di rumah sebelah, ‘hantu’ itu mengutip kotak yang tidak sengaja dia jatuhkan. Ryzal yang kebosanan, nampak tidak tentu arah sejak pagi.

Apa yang manusia lakukan apabila mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah? Ah, susah nak difikirkan! Bagi seseorang yang sentiasa terlibat dengan dunia luar, dia tidak pernah terfikir akan ada suatu hari di mana dia tidak perlu berada di satu tempat begini. Akhirnya dia menelefon pengurusnya untuk merungut.

“Bosan!” rungut Ryzal.

Dani, pengurusnya menghela nafas. “Carilah benda untuk dibuat!”

“Tapi apa? Rumah ni apa pun tak ada!” bentak Ryzal.

“Habis nak buat macam mana? Aku nak belikan kau kondo, kau tak nak. Kau cakap nampak menunjuk- nunjuklah, nak low-profilelah. Lepas tu aku nak belikan banyak lagi perabot, pun kau tak nak. Kau cakap duduk sekejap saja, buat apa perabot banyak- banyak? Kau nak ke luar negara pun tak boleh masa- masa macam ni, tak boleh. Nak pergi bercuti pun tak berapa sesuai. Aku cadangkan kau balik rumah parents kau, kau cakap kerajaan cakap jangan balik kampung. Itu tak kena, ini tak kena.”

Berleter pula pengurusnya ini!

Ryzal menghela nafas. “Tapi sekarang aku dah mati akal nak buat apa. Dah jemu aku tengok tv. Aku dah tak tahu nak buat apa lagi.”

“Kau nak cuba belajar memasak?” cadang Dani. “Ada kelas memasak secara online. Jadi kau tak perlu keluar dari rumah pun.”

“Kau nak aku bakar rumah ni? Kau dah lupa aku tak boleh memasak?” soal Ryzal.

“Hmm, bukan idea yang baik! Lagipun bukan rumah kau saja yang terbakar nanti, habis satu bangunan tu nanti! Nanti keluar berita pelakon popular, Ryzal Adrian punca Apartment Suria terbakar! Semua orang lupa pasal virus ni sekejap disebabkan kau!”

“Tahu pun!”

Dani menghela nafas. “Habis nak buat apa kalau semuanya tak boleh? Kenapa tak ambil kesempatan ni untuk berehat? Lagipun dah berapa lama kau tak bercuti macam ni? sebelum ni kau nak tidur pun tak sempat. Sekarang kerajaan dah beri peluang untuk semua orang berehat, jadi ambil peluang ni. Carilah apa- apa aktiviti pun yang kau boleh buat di rumah. Habis sangat kau boleh tengok video dalam Youtube.”

“Yalah! Aku faham!” dengus Ryzal.

Ryzal menghela nafas, melihat siling. Sejak tadi dia berbaring di atas sofa. Ikutlah idea Dani. Mungkin ada video menarik di dalam Youtube.

Ryzal mencari video- video menarik untuk ditonton. Dia mengelak dari mencari videonya sendiri. Kadang- kala tidak ada yang bagusnya dari mencari video sendiri. Netizen terlalu banyak kritikan. Kadang- kala dia rasa mereka tidak masuk akal. Mungkin mereka ada pendapat sendiri, jadi dia hormati pendapat mereka. Tapi kalau tidak mahu sakit hati dengan kritikan yang tidak benar, elakkan saja dari mencari video sendiri. Selalunya Dani akan sampaikan apa yang penting kepadanya.

“Banyaknya video kucing,” gumam Ryzal sendiri.

Adakah sebab kucing sangat comel sehingga lebih popular dari yang lain? Tapi manusia memang mudah tertarik dengan haiwan berbulu yang comel itu. Ryzal pasti kalau dia ada bela kucing sekalipun, pasti kucing itu lebih popular dari dia nanti.

Tapi sudah- sudahlah dengan kucing! Kali ini Ryzal melihat video- video masakan. Kalau dia tengok, dia boleh belajarkah nanti?

“Nope, not happening!” katanya, segera mencari video yang lain.

Apa ni? Video tentang kehidupan seharian? Vlog? Siapa yang berminat tentang perkara begini? Tapi Ryzal buka salah satu video, melihat video kehidupan seharian seorang wanita yang tinggal seorang diri di Jepun.

“Agaknya kalau aku buat video macam ni orang berminat tak?” soal Ryzal kepada diri sendiri.

Ryzal melirik ke bawah, melihat bahagian komen. Ramai juga yang beri komen. Menarik juga ni. Kalau dia buat video begini, agak- agak Dani akan setuju tak? Tapi dia sempatkah? Kalau sekarang mungkin dia ada masa, tapi bila semua huru- hara ini reda, dia akan kembali bekerja seperti biasa. Macam Dani cakap tadi, hendak tidur pun tak sempat.

Ryzal menghela nafas, melupakan terus ideanya itu. Wanita di dalam video itu kini keluar berjumpa dengan kawan- kawannya. Ryzal menonton tanpa sebarang emosi. Untuk seseorang yang awalnya tidak berminat dengan video sebegini, bagaimana dia boleh habiskan hampir sepuluh minit menonton?

“Orang Jepun memang naik keretapi ke sana- sini,” komen Ryzal

Ryzal melarik ke bawah, melihat video rekomendasi yang lain. Semuanya ada kaitan dengan vlog. Ramai juga orang muatnaikkan kehidupan mereka seharian di Youtube. Apa ni?

How I Spend My Day at Home.

Hmm, bagus juga! Mungkin Rizal boleh dapatkan idea dari ini. Ryzal memilih video itu. tak nampak pun wajahnya. Tapi dari tangannya, Ryzal pasti dia seorang wanita. Dan wanita itu sibuk menanam pokok. Tidak ada sebarang bunyi kecuali muzik latar instrumental. Kadang- kadang akan timbul kata- kata yang berkaitan dengan aktiviti yang dilakukannya. Habis menanam pokok, wanita itu memasak dan makan. Habis makan, dia mengemas rumah. Hampir ke akhir video tidak ada perkara yang istimewa pun yang wanita itu lakukan.

“Macam ni pun boleh buat video?” komen Ryzal.

Tapi Ryzal tonton hampir lima video wanita itu selepas itu secara berturut- turut. Semuanya hanya mengenai bagaimana dia habiskan masanya dengan pelbagai aktiviti di rumah.

Ryzal sendiri tidak faham tapi dia boleh menonton lebih banyak video dari MissZa, nama wanita yang memuatnaik video- video itu selepas itu. apa yang menariknya? Entahlah, Ryzal sendiri tidak pasti. kenapa dia berminat? Ryzal pun tidak dapat terangkan kenapa. Paling Ryzal tidak faham, dia sendiri melanggan laman Youtube MissZa selepas itu!

Bab 2

 

Kata orang, jangan bertunang terlalu lama kerana bertunang itu banyak dugaannya. Darah manis, macam- macam boleh berlaku. Tapi apakan daya, jadual kerja dan tempoh membuat persiapan membuatkan kami mengambil masa untuk melangsungkan perkahwinan. Aku bukannya nak berkahwin berkali- kali, cuma sekali saja, kan? Jadi aku mesti buat persiapan supaya segalanya berjalan lancar.

Tempoh pertunangan yang agak lama itu juga membuatkan hubungan Dyana dan Furqan bertambah rapat. Tambahan pula mereka sering bersama untuk perlawanan bowling. Aku enggan berasa cemburu dengan tunang dan adikku sendiri, biarpun hatiku tidak tenang setiap kali memikirkan keakraban mereka. Aku sering ingatkan diri untuk tidak membuatkan api cemburu merosakkan hubungan kami bertiga. Lagipun dia bakal suami dan Dyana adikku. Tak mungkin mereka mengkhianati aku.

Tapi setiap kali bertemu Furqan, nama Dyana meniti di bibirnya. Topiknya sentiasa berkaitan dengan bowling. Naik muak aku dibuatnya. Tapi aku tak patut salahkan dia. Jangan kerana aku tidak berminat dengan permainan itu, aku menghalang dia dari menunjukkan minatnya. Hari ini juga sama. Furqan masih berbual tentang sukan kegemarannya itu.

“Game hari tu antara perlawanan yang Kaki Bowling dah menang. Untuk pemain amatur macam kami, kami boleh dikira hebat. Abang Sham, ketua pasukan cadangkan kami lawan pasukan lain pula lepas ni. Kalau menang lagi boleh bertanding dalam local tournament.”

Aku mendengar cerita Furqan, cuba menunjukkan yang aku benar- benar berminat. Jika dia berkongsi minatnya denganku, aku mesti memberi sokongan dengan mendengar dan cuba memberi pendapat. Masalahnya aku tidak berapa arif tentang bowling.

Aku tidak boleh bercakap macam orang yang arif di hadapan orang yang tahu apa yang aku cuba cakapkan. Aku sendiri tidak pandai bermain bowling. Aku pernah mengikut kawan- kawan semasa belajar dulu berseronok dengan bermain bowling tetapi aku tidak pernah sertai mereka. Aku setakat menjadi tukang sorak di tepi. Yang aku tahu, kalau ada pin yang jatuh, pemain itu memang hebat. Apatah lagi kalau semua pin dijatuhkan, pemain itu memang sangat hebat. Jadi entah apa yang Furqan cuba terangkan dari tadi pun aku tidak faham.

“Macam mana dengan Dyana?”soalku, cuba menyumbang sesuatu dalam perbualan kami setelah aku mati akal untuk memperkatakan sesuatu tentang bowling.

“Macam mana apa?”

“Cara dia main. Okey tak?”

Furqan tersenyum. “She’s our female ace!”

Dia macam bangga la pula! Hai hati, janganlah buruk sangka! Mungkin itu cuma rasa bangga seorang abang untuk adiknya.

Hmmp, aku hendak menipu siapa? Memang aku rasa cemburu sekarang.

“Rapat awak dengan Dyana.” Aku merenung wajahnya.

Furqan merenung aku kembali. “Memanglah, kami satu kumpulan bowling.”

“Dia adik saya.”

Tiga patah perkataan yang membawa maksud, ‘Awak jangan nak main- main! Dyana adik saya, awak tunang saya. Awak dah terlalu rapat dengan dia! Kena awak nanti!’

Seperti biasa, mentaliti Furqan secara tipikalnya tidak pernah faham sebarang maksud tersirat. Dia sekali merenungku setelah mendengar kata- kataku itu.

“Saya tahu.”

Macam mana hendak aku jelaskan? Perlukah aku terangkan secara mendalam? Hmm, lebih baik cakap, memandangkan lelaki ini nampaknya memang tidak faham langsung!

“Saya tak suka awak rapat sangat dengan dia,” jelasku tanpa berselindung.

“Sebab?”

“Awak tunang saya!”

Furqan menghela nafas. “Ya, saya memang tunang awak. Tapi tak kan cuma sebab tu? Kami memang selalu bersama sebab tu awak rasa kami dah terlalu rapat. Mungkin awak patut lebih percayakan kami berdua. Tak kan awak tak percayakan saya?”

“Saya percayakan awak,” kataku.

“Jadi percayalah juga pada dia. Saya dan dia banyak habiskan masa dengan Kaki Bowling. Kalau awak main bowling juga, awak boleh join kumpulan kami juga,” katanya lagi.

Aku tidak rasa dia bersungguh- sungguh mengajakku. Aku membuka mulut untuk menolak tetapi berfikir semula dengan lebih mendalam. Mereka selalu bersama, sebab itulah mereka rapat. Bila mereka menjadi rapat, aku pula cemburu.

Jadi, itu idea yang baik! Aku memang patut bermain bowling. Kalau aku boleh bermain bowling bersama mereka, mesti aku juga boleh luangkan lebih banyak masa bersama Furqan. Aku juga tidak perlu cemburu atau fikir yang bukan- bukan lagi mengenai mereka berdua. Masalah selesai!

“Bagus juga idea tu! Nanti awak cubalah ajar saya, mana tahu saya boleh main,” usulku dengan tersenyum lebar. Furqan nampak terpinga- pinga dengan keputusanku tetapi dia mengangguk juga.

Apa yang susah kalau setakat hayun bola dan jatuhkan pin. Senanglah! Budak- budak pun boleh buat. Apatah lagi aku. Lagipun kalau ada cikgu mengajar, mesti lebih cepat untuk aku menjadi pandai, kan?

 

 

“Rendahkan lagi tangan awak!”

Okey, rendahkan sedikit tangan dan hayun bola.

Opps, ke longkang lagi!

Okey, aku tarik balik kata- kataku. Susah sebenarnya hendak hayun bola berat ini dan jatuhkan pin. Aku patut minta maaf kepada peminat bowling kerana memandang rendah sukan ini. Aku masih tak faham teknik atau cara yang sesuai walaupun berkali- kali mencuba.

Aku cuma tersenyum kambing kepada Furqan yang nampak naik angin apabila aku masih tidak dapat mencapai mutu permainan yang dikehendakinya walaupun dengan tunjuk ajarnya sejak mula bermain. Aku rasa Furqan meletakkan harapan yang terlalu tinggi padaku. Mungkin dia patut sedar, kebolehan aku mungkin tidak mencapai taraf yang diinginnya.

Dyana dan dua orang ahli kumpulan Kaki Bowling lain yang datang bersama cuma memerhatikan aku bermain. Sementara menunggu, mereka berlawan sesama mereka. Kalau diikutkan, aku rasa malu dengan tahap kebolehanku tetapi aku menebalkan muka. Biarpun kebolehanku belum mencapai taraf mereka, jika aku terus mencuba pasti akan berjaya.

“Cuba sekali lagi,” usul Furqan.

Biarpun mula naik angin, dia masih mahu mengajar aku. Jadi aku patut cuba sebaik mungkin.

Opps, lagi sekali ke longkang!

Dyana ketawa kecil. “Kakak, janganlah gopoh sangat. Hayun bola dengan keadaan tenang.”

Kau ingat aku tak cuba dari tadi? Aku mendengus geram. Pun begitu aku mencapai bola, ingin mencuba sekali lagi.

Okey, bertenang! Apa yang susah sangat? Aku menghayun bola setenang mungkin. Wah, kali ini tidak ke longkang! Pencapaian baik! Bola itu bergolek dengan perlahan dan akhirnya menjatuhkan satu pin.

Furqan merenung ke pin- pin yang masih tinggal tanpa sebarang komen ataupun riak di wajahnya. Aku rasa dia patut memuji aku. Sejak mula bermain, akhirnya aku berjaya menjatuhkan satu pin. Itu dikira hebat! Ini sesuatu yang patut diraikan!

“Cuba sekali lagi. Kali ini jatuhkan lebih banyak pin. Kuatkan sedikit hayunan awak tu,” katanya.

Aku mencebik tetapi menurut juga.

Opps, masuk longkang lagi!

Furqan terkebil- kebil sebelum menepuk dahi. Dia bergumam entah apa. Hesy, apa yang susah sangat main bowling? Kenapa bola aku asyik masuk longkang ni? Kawan- kawan Furqan ketawa melihat corak permainanku. Malunya!

“Awak, tak apalah. Awak join kawan- kawan awak dan Dyana main di sebelah. Biar saya cuba sendiri. Kalau terus belajar, lama- lama pandai juga, kan?” pujukku. Kalau Furqan terus berada di sisiku dan mengajar, dia juga akan dapat malu nanti.

Furqan merenungku. “Betul ni?”

“Ya. Lagipun awak cuma main di lane sebelah. Bukan jauh pun. Apa- apa hal awak boleh tegur cara saya bermain dari situ,” kataku lagi.

Selepas seketika, Furqan bersetuju. Aku terus mencuba seorang diri. Dari longkang, aku berjaya menjatuhkan dua pin, kemudian satu pin dan akhirnya bola masuk kembali ke longkang.

Hmmp!

Akhirnya aku duduk di bangku, melihat mereka bermain. Sepanjang malam, aku bagaikan orang asing. Hendak sertai mereka, aku langsung tidak pandai. Malah aku pasti akan diketawakan pula nanti. Furqan dan Dyana juga pasti akan rasa malu. Jadi duduk saja termenung di situ, sekali- sekala melihat mereka bermain dengan gembira.

Suara sorakan di sebelah menyebabkan aku berpaling. Nampaknya sampai giliran Dyana untuk membuat hayunan. Dia bermain dengan penuh yakin dan akhirnya mendapat strike. Mudahnya! Kawan- kawannya dan Furqan bertepuk tangan dengan lebih kuat.

Terselit perasaan cemburu. Aku segera menggeleng kepala dan menarik nafas panjang. Kenapa mesti cemburu pada Dyana? Aku yang tidak cukup hebat. Memang selalunya Dyana dapat lakukan hampir segala hal lebih baik dari aku.

Kemudian Furqan bangun menghampiri Dyana yang kembali ke tempat duduk mereka dan memberi komen mengenai cara Dyana membuat hayunan. Bibir Furqan mengukir senyuman manis, sama seperti Dyana. Kemesraan mereka menyebabkan rasa cemburuku kembali berganda- ganda.

“Hebatlah Dyana!” puji salah seorang teman mereka.

“Tak adalah. Kalau saya hebat, dah lama saya wakil negara dalam acara bowling ni. Abang Furqan lebih pandai dari saya,” balas Dyana. Bibirnya menguntum senyuman lebar.

“Kamu berdua memang sama- sama hebat. Memang sesuai kamu berdua jadi partner dalam game akan datang,” kata seorang yang lain pula.

“Beregu yang sama- sama handal dan cantik!” tambah seorang yang lain.

“Bagai pinang dibelah dua!”

Mereka yang lain tergelak- gelak. Amboi, itu sudah lebih! Perasaan cemburuku sudah tidak dapat dikawal lagi. Mereka tahu aku tunangan Furqan tetapi kenapa mereka boleh keluarkan kata- kata begitu? Bergurau pun ada hadnya. Aku bingkas bangun, mencapai beg, bergegas keluar. Aku harus pergi sebelum aku lakukan sesuatu yang bodoh.

“Rania, awak nak ke mana?”

Entah bila Furqan mengejar dan mengekoriku di belakang. Aku ingat dia tidak perasan dengan kewujudan aku lagi.

“Saya nak balik!” desisku membalas.

“Game tak habis lagilah,” balas Furqan.

“Awak duduklah di sini, habiskan game awak tu. Saya tak nak tunggu lagi. Lagipun saya ada atau tak, sama saja!”

“Awak ni kenapa? Awak yang beria- ia nak datang. Sekarang awak naik angin tak tentu pasal pula,” rungut Furqan.

Makin geram aku mendengar kata- katanya. Dia langsung tidak tahu kenapa aku marahkah? Aku membisu, enggan menjawab.

“Rania!” panggil Furqan apabila aku terus- terusan tidak memperdulikan dia. “Jangan buat kerja bodoh boleh tak? Awak nak malukan saya depan kawan- kawan saya?”

“Excuse me?” Menyingga aku berpaling memandang dia. “Kenapa pula saya memalukan awak? Awak sepanjang malam tak pedulikan saya, awak tak memalukan saya?”

“Awak juga yang suruh saya pergi main. Awak cakap awak nak main sendiri,” balas Furqan, membela diri.

“Jadi sekarang salah sayalah?” soalku.

“Saya tak cakap pun.”

“Tapi awak salahkan saya!” bantahku. Aku sedar nadaku itu keanak- anakkan tetapi aku terlalu marah untuk peduli sekarang.

Furqan menghela nafas. “Saya malas nak bertengkar di sini. Malu orang tengok. Sekarang awak nak masuk balik atau tidak?”

“Saya nak balik!”

“Awak jangan macam ni boleh tak?” soal Furqan.

“Saya cuma nak balik, tak bolehkah?” soalku kembali, tidak ingin mengalah. “Kalau awak nak tunggu lagi, tunggulah. Saya tetap nak balik.”

“Saya…” Furqan mengeluh, membuatkan aku terasa semakin tersinggung. “Saya pergi beritahu semua orang yang saya nak balik.”

“Tak payah! Saya boleh naik teksi, Uber atau Grab car. Paling tidak saya boleh naik bas! Kalau tak ada apa- apa saya boleh jalan kaki!”

Terus aku berlalu. Aku tidak pedulikan Furqan yang memanggil namaku. Dalam fikiranku cuma satu, aku hendak segera meninggalkan tempat itu. Kalau Furqan beritahu mereka yang dia perlu pulang kerana aku ingin pulang, pasti mereka akan mula bercakap- cakap tentang hal ini. Jadi lebih baik aku balik sendiri.

Furqan tidak lagi mengejar. Dia mungkin kembali ke dalam dan menerangkan kepada mereka yang aku mengambil keputusan untuk pulang. Entah apa alasan yang dia berikan kepada mereka.