“Saya
minta maaf!” kata Furqan.
“Saya
pun. Saya tak sepatutnya mudah naik angin macam tu,” balasku.
Jadi
aku dan Furqan mulakan pagi ini dengan masing- masing meminta maaf sesama
sendiri. Selepas aku pulang semalam, aku terus matikan telefon. Jika tidak kami
akan terus bertengkar. Jadi pagi ini, selepas solat Subuh, aku menelefon
Furqan. Tetapi belum sempat aku menelefon dia, dia yang terlebih dahulu
menelefon aku. Aku benar- benar rasa bersalah tentang hal semalam. Tetapi
sebelum sempat aku mengutarakan permohonan maafku, Furqan yang bersuara
terlebih dahulu.
“Awak
terus pulang semalam?” tanya Furqan.
“Ya,
ada teksi semasa saya keluar. Awak pula?”
“Saya
terpaksa tunggu sekejap. Tapi nasib baik juga. Kalau tidak teruklah Dyana,”
jawab Furqan.
“Kenapa
dengan Dyana?” soalku hairan.
“Kereta
dia rosak. Entah apa masalahnya. Jadi saya terpaksa cari bengkel yang masih dibuka
untuk datang tunda.”
“Habis
Dyana balik naik apa?”
“Saya
hantar dia balik ke Banting.”
Tiba-
tiba perasaan cemburu semalam meluap- luap kembali. Jadi dia berdua saja dengan
Dyana semalam?
Ah,
sudahlah! Baru tadi aku minta maaf kepada dia, sekarang hendak bergaduh lagi?
Lagipun aku yang balik sendiri semalam. Kalau tidak mereka tidak berdua. Dyana
pun dalam kesusahan, salahkah kalau Furqan membantu?
Aku
harus rasional. Tak guna terlalu cepat cemburu dan naik marah. Kata orang masa
bertunang ini, darah manis. Jangan diikutkan sangat perasaan marah. Tak boleh
begini. Bersangka baik. Saling percaya. Ini baru bertunang, belum berkahwin.
Ujian hubungan kami sedang berjalan sekarang. Cemburu tidak bertempat hanya
akan menyusahkan aku kelak. Lagipun Dyanakan adik aku, dengan dia pun hendak
cemburu?
“Oh,
macam tu.” Itu saja respon dari aku setelah menarik nafas dan menenangkan diri.
“Awak ada rancangan apa hari ini?”
“Ada
latihan dengan Kaki Bowling petang nanti. Kami ada perlawanan di Terengganu
tidak lama lagi.”
“Jauhnya
perlawanan awak,” komenku, menyembunyikan rasa kecewa.
Aku
ingin bertemu dengan Furqan sebenarnya. Kalau boleh aku hendak cuba lebih
berbaik dengannya hari ini. Setakat bercakap di telefon tidak cukup.
“Kelab
kami kadang- kadang dapat jemputan luar. Tahun ini dah lima kali.”
“Yakah?
Baguslah macam tu,” komenku.
“Saya
ingat nak sarapan dengan awak pagi ni sebab mungkin kita susah nak jumpa lepas
ni. Awak pun sibuk kerja nanti,” kata Furqan.
Terus
aku tersengih lebar. Dia juga sama seperti aku rupanya. Terasa ingin bertemu
dan menatap wajah masing- masing. Hilang terus perasaan kecewa tadi.
“Nak tak?” tanya Furqan.
“Mestilah!”
Cepat- cepat aku menjawab.
Furqan
tergelak kecil. “Saya datang jemput awak nanti.”
“Ok,
sayang!”
Furqan
tergelak dengan jawapanku. Selepas putuskan talian terus aku bersiap- siap.
Sia- sia saja rasa cemburu aku. Sepatutnya aku percayakan dia, bukannya mudah
melenting. Bukankah cinta itu perlu rasa saling percaya? Kalau tidak bagaimana
ia akan bertahan?
Persiapan
untuk majlis pernikahan kami berjalan lancar. Dalam masa lima bulan lagi, aku
akan bergelar isteri kepada Furqan. Wah, tidak sabar rasanya!
“Hai
anak dara, kenapa tersengih macam kerang busuk?”
Soalan
ibu membuatkan aku kembali serius. Itulah, berangan masa tengah memasak. Ibu
pun dah perasan.
“Itu
dipanggil senyum gatallah, ibu. Orang tengah bahagia ibu, biarlah,” perli
Dyana.
Aku
mencebik ke arah Dyana. “Cemburulah tu!”
“Tak
kuasa!” Cebik Dyana kembali.
“Furqan
datang tak nanti?” tanya ibu, tersenyum melihat gelagat kami.
“Tak,
dia sibuk. Tapi Aunty Sofea dan Uncle Hadi akan datang,” jawabku.
“Dah
nak jadi mentua pun masih aunty dan uncle? Bila nak panggil mama dan papa?”
soal Dyana.
“Lepas
kahwinlah panggil mama dan papa. Kamu yang sibuk bertanya tu bila nak kahwin?”
usikku.
Dyana
mencebik. “Nanti bila adik jumpa lelaki yang sesuai, adik kahwinlah.”
“Selamat
berjaya,” perliku.
“Terima
kasih,” balas Dyana, langsung tidak terkesan.
“Tapi
Furqan ke mana? Kenapa dia tak dapat datang?” tanya ibu.
“Dia
outstation. Ada di Johor sekarang.”
Aku
terus memandang Dyana. Macam mana dia tahu? Aku pun baru tahu tadi selepas
menelefon Furqan.
“Dia
beritahu dalam WhatsApp lepas adik tanya tentang latihan bowling,” jelas Dyana
apabila sedar aku merenungnya.
Jangan
cemburu! Berkali- kali aku mengingatkan diri. Mereka memang saling berhubung
atas urusan latihan untuk perlawanan akan datang. Cukuplah sekali kami bergaduh
kerana aku curiga tentang mereka.
“Furqan
cakap dia akan datang hujung minggu nanti untuk makan tengah hari dengan kita.
Dia rasa bersalah tentang hari ni,” jelasku kepada ibu.
“Benda
kecil macam ni tak perlulah rasa bersalah. Kita pun dah nak jadi satu
keluarga,” kata ibu.
Ibu
kembali menyambung memasak. Aku menghidang makanan dan menyiapkan meja sambil
ditolong oleh Dyana. Meriah makan malam hari ini. Selalunya cuma kami bertiga
tapi hari ini Dyana akan sertai kami selain Aunty Sofea dan Uncle Hadi. Dyana
jarang dapat balik kerana sibuk dengan kerja. Sekarang dia sertai pasukan
bowling pula, bertambah sibuklah dia. Dia sempat bertemu janjikah dalam
kesibukkannya itu?
Aku
mengerling Dyana. Aneh juga jika dia tidak ada seseorang yang istimewa dalam
hidupnya sekarang. Berbanding dengan aku, dia lebih segalanya. Lebih cantik,
lebih berbakat dalam pelbagai bidang, lebih pandai memasak, lebih berjaya.
Pendek kata, lebih hebat. Mungkin dia terlalu sibuk hingga tidak ada masa untuk
peduli tentang urusan cinta.
“Kenapa
kakak asyik renung adik macam tu?” soal Dyana merenungku dengan cuak.
“Kakak
tengok makin hari…adik makin gemuk!” usikku, membuatkan terus wajah Dyana
kelat.
“Mengarutlah
kakak ni!”
Aku
cuma ketawa. Tidak perlulah aku fikir banyak. Aku yakin yang orang seperti
Dyana pasti akan bertemu jodoh juga suatu hari nanti.
Kad
sudah dicetak, cuma menunggu siap untuk diedar. Aku juga sudah mencari katering
dan hadiah untuk diberikan kepada tetamu. Masih ada beberapa perkara yang tidak
dapat aku selesaikan sekarang. Tetapi aku pasti aku sempat lakukannya sebelum
majlis perkahwinanku nanti. Furqan tidak banyak campur tangan. Semua urusan dan
pemilihan diserahkan kepada aku. apa saja yang aku pilih, dia bersetuju saja.
“Ikut
awaklah.”
Senang
betul respon dia.
“Nanti
awak tak puas hati pula,” balasku.
“Saya
tak kisahlah. Saya tahu awak pandai pilih. Awak mesti akan buat pilihan yang
terbaik tak kira apa pun. Saya pun salah satu pilihan awak, kan?”
Dia
cakap macam tu pun hatiku berbunga- bunga. Tapi seronok betul menguruskan
perkahwinan sendiri. Lebih teruja memikirkan yang tinggal tiga bulan lagi, aku
dan Furqan akan sah menjadi suami isteri.
“Lepas kahwin nanti macam mana? Masih hendak
kerja di sini?” tanya Zura, rakan sekerjaku.
“Entahlah.
Mungkin masih kerja. Tapi Furqan pernah cakap yang dia mungkin akan ditugaskan
ke Sarawak. Tak kan nak berpisah lama- lama. Dia di sana paling kurang lima
bulan,” jawabku.
“Zaman
sekarang, susah nak cari kerja. Seorang bekerja belum tentu cukup untuk tampung
perbelanjaan rumah. Sekarang semua benda dah mahal. Jadi fikirlah masak- masak
sebelum berhenti. Lagipun Furqan ke sana bukannya selamanya. Nanti balik ke
sini juga. Tak rugikah kalau berhenti nanti?” tanya Kak Diba yang nampaknya
mendengar perbualan kami.
“Rasa
rugi juga kak. Sebab tu lah saya tak buat keputusan lagi. Tengoklah nanti macam
mana,” jawabku.
Kalau
ikutkan, memang aku tidak berminat untuk bekerja lagi selepas berkahwin. Aku
teringin untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku tidak ada impian besar
untuk naik pangkat atau mempunyai gaji yang banyak. Tapi aku tidak pernah
berbincang dengan Furqan tentang hal ini. Entah apa pendapat dia. Tapi dia
tidak mahukah aku menyambutnya pulang setiap hari? Makanan tersedia di meja
untuk dijamah. Dia tidak mahukah kehidupan begitu?
Hmm,
mungkin aku patut berbincang dengan dia juga nanti.
Tapi
macam mana? Furqan benar- benar sibuk akhir- akhir ini. Dia ingin menyelesaikan
kerja sebelum bercuti untuk perkahwinan kami. Dalam masa yang sama, perlawanan
bowling di Terengganu itu juga hujung bulan ini. Aku sendiri sibuk dengan kerja
dan menguruskan persiapan majlis. Kami tidak ada masa untuk berjumpa. Setiap
hari cuma berbual di telefon saja.
Rindunya!
Aku
ingat hendak minta dia temankan aku selepas kerja nanti. Aku hendak pergi ke
butik untuk mencuba gaun pengantin. Reesya, pemilik butik minta aku mencuba
sebelum mereka membuat pengubahsuaian. Kemudian aku hendak melihat- lihat sama
ada ada barangan yang sesuai untuk aku jadikan hantaran. Tetapi Furqan beritahu
dia ada latihan bowling nanti. Mereka perlu bekerja keras sebelum perlawanan
tiba.
“Perlawanan
kali ini sangat besar dan penting. Hadiah yang mereka tawarkan pun sangat
lumayan. Semua orang hendak menang kali ini,” jelas Furqan.
Bersungguh-
sungguh betul mereka nampaknya. Kadang- kadang aku rasa aku bagaikan bercinta
dengan seorang atlit yang mewakili negara. Semangat dan kesungguhannya terhadap
sukan ini sangat kuat.
Habis
aku hendak ajak siapa sekarang?
Aku
mengeluh, mengetuk- ngetuk telefon bimbit ke dagu dengan perlahan- lahan. Aku
bukannya ada teman rapat selain Dyana. Kalau aku ajak Dyana, dia hendak
pergikah? Ah, cuba sajalah! Dyana menjawab selepas beberapa deringan.
“Maaf
kakak, adik ada latihan bowling malam nanti,” kata Dyana.
“Macam
tu,” balasku sedikit kecewa. Tapi aku sendiri sedar yang dia memang seringkali
sibuk. Apa boleh buat.
“Sekali
lagi adik minta maaf ya, kak. Sepatutnya adik tolong kakak buat persiapan. Tapi
adik selalu sibuk.”
“Tak
apalah adik. Kakak faham.”
“'Nanti
kakak pergi dengan siapa? Abang Furqan pun ada latihan bowling juga nanti,”
tanya Dyana.
“Entahlah.
Tengoklah macam mana nanti.”
Akhirnya
aku pergi seorang diri. Habis apa pilihan yang aku ada?
Berjalan
seorang ke sana ke mari kadang- kadang seronok juga. Hmm, yalah tu. Tapi apa
boleh buat? Semua orang sibuk sekarang. Banyak yang perlu aku lakukan untuk
membuat persiapan.
Tapi,
bila difikirkan balik, kadang- kadang terasa bagai cuma aku yang terlalu
teruja. Furqan tidak begitu berminat untuk membuat persiapan untuk pernikahan
kami. Dia asyik sibuk dengan bowling atau kerja.
Aku
menghela nafas. Bukankah selalunya lelaki memang begitu? Mereka tidak gemar
untuk peduli hal- hal remeh sebegini. Aku perlu lebih memahami.
Setelah
penat merayau- rayau, aku kembali ke kereta dengan beberapa beg dan plastik.
Perutku mula berkeroncong, minta diisi. Aku sudah berjanji untuk makan malam
bersama ibu dan abah, jadi lebih baik aku cepat- cepat pulang.
Petang
yang menginjak senja membuatkan keadaan agak suram. Jalan yang aku lalui juga
agak lengang. Terasa seperti melalui jalan yang berhantu. Biarpun aku kerap
melalui jalan ini untuk mengambil jalan pintas, laluan ini masih menakutkan
aku. Tambahan pula pelbagai cerita pernah aku dengar tentang kawasan ini. Dari
hantu yang tidak berkepala menahan kenderaan yang lalu hinggalah perompak menahan
kereta kemudian merompak, merogol dan membunuh.
Hesy,
jangan fikir bukan- bukan!
Tetapi
tiba- tiba keretaku tersentak- sentak. Kemudian secara perlahan- lahan dia
mati.
Eh,
kenapa? Tak kan rosak? Tak kanlah!
“Janganlah
macam ni!” teriakku seorang diri.
Aku
cuba menghidupkan kembali enjin kereta tetapi gagal. Hendak keluar untuk
melihat- lihat enjin, bukannya aku tahu pun apa yang rosak. Aku cuma tahu
memandu, bukannya membaiki.
Tanganku
terus mencapai telefon. Mungkin aku boleh minta telefon Furqan untuk minta
pertolongan dia. Memanglah dia ada latihan bowling malam ini tapi masalahku
sekarang lebih besar dari permainan bowling dia.
Bateri
habis.
Aku
merenung skrin telefon agak lama. Rasa panik mula mencengkam hati. Apa patut
aku buat sekarang? Kenapa lepas satu, satu lagi masalah timbul? Tadi aku tengok
bateri telefon ini masih tinggal separuh. Kenapa sekarang sudah habis?
Powerbank pun tertinggal hari ni. Kenapa jadi macam ni? Bila satu masalah
timbul, masalah lain bertimpa- timpa.
Aku
melihat- lihat keadaan sekeliling yang kini semakin gelap. Sudahlah begitu,
tidak ada sebuah kenderaan pun yang melalui kawasan ini sejak tadi. Air mata
mula bergenang tetapi aku segera menyeka. Aku sedaya upaya menahan diri dari
menangis.
“Kenapa
pula kau rosak masa- masa macam ni? Di tempat macam ni pula tu?” kataku,
mengomel seorang diri, cuba untuk membuatkan diri merasa lebih bertenang.
Tetapi
sekuat mana pun aku cuba bertahan, masa tetap berlalu. Kawasan sekitar kini
gelap sepenuhnya. Sesuatu yang tidak berubah ialah aku masih di sini dan enjin
kereta masih belum dapat aku hidupkan. Sejak tadi, aku langsung tidak keluar.
Aku terlalu takut untuk berbuat begitu.
Tiba-
tiba terlihat dua cahaya lampu menuju ke arahku dari belakang. Nampaknya
setelah sekian lama, ada sebuah kenderaan yang melalui kawasan ini. Patutkah
aku keluar dan minta pertolongan? Tunggu! Macam mana kalau dia orang jahat?
Nanti dia apa- apakan aku pula.
Lampu
itu semakin mendekat. Rasanya ia adalah kereta atau van. Keluar dari kereta dan
minta tolong? Diamkan diri sahaja? Apa- apa sekalipun aku perlu cepat.
Akhirnya
aku tidak keluar dari kereta. Aku cuba untuk tidak kelihatan dengan menundukkan
badan ke kerusi penumpang. Harapanku agar pemandu itu tidak nampak aku dan
pergi begitu sahaja.
Berdebar-
debar aku menunggu kereta itu melepasiku. Apabila tidak dengar bunyi enjin
lagi, aku menarik nafas lega dan membetulkan kembali duduk. Tetapi ada seorang
lelaki berdiri di luar kereta.
Terus
aku menjerit.
Terdengar
lelaki itu mengetuk- ngetuk cermin tingkap tetapi aku terlalu takut untuk
mendengar apa pun yang dia sedang katakan. Kemungkinan besar dia suruh aku buka
pintu supaya dia boleh rompak atau rogol aku.
Tiba-
tiba aku terdengar lelaki itu melaungkan azan.
Terdiam
aku merenung dia, terpinga- pinga dengan tindakkannya. Kenapa pula dia laung
azan ni? Dia ingat aku kena rasukkah? Selesai azan dia merenungku, menarik
nafas lega.
“Cik
okey ke?” tanya lelaki itu.
Perlahan-
lahan aku mengangguk.
“Boleh
bukakan pintu ni?”tanya lelaki itu lagi.
Kenapa
pula hendak buka pintu? Dia nak buat apa? Cepat- cepat aku menggeleng. Lelaki
itu menggigit bibir dengan reaksiku. Dia seperti berfikir sesuatu.
“Cik
jangan takut, saya nak tolong cik,” kata lelaki itu lagi. “Nama saya Hazriq.”
Habis
kenapa? Kalau nama kau Aaron Aziz atau Johnny Depp sekalipun, aku tetap tidak
akan buka pintu ni. Sudahlah aku cuma nampak wajah dia secara samar- samar saja
sekarang. Jadi aku terus membeku merenung dia, cuba menduga niatnya sebaik
mungkin.
Hazriq,
lelaki itu merenung keretaku sekilas sebelum berpaling memandang aku. “Kereta
rosak?”
Aku
mengangguk.
“Dah
telefon mekanik?” tanyanya lagi.
Aku
menggeleng, menunjuk telefonku.
“Bateri
habis…” kataku perlahan tetapi dia tetap dapat menduga jawapanku.
Hazriq
mengangguk, mengeluarkan telefonnya. “Biar saya telefonkan.”
Dia
tidak menunggu jawapanku. Jarinya pantas menekan- nekan sebelum bercakap di
telefon. Terfikir juga jika dia ada niat jahat. Tetapi apabila difikirkan
semula, mungkin aku boleh percayakan dia sedikit. Setakat ini dia nampak
dipercayai. Ah, terlalu awal untuk buat kesimpulan. Jadi aku akan terus
mengurung diri di dalam kereta.
Selepas
seketika, Hazriq kembali semula. “Saya dah telefon mekanik. Mereka akan hantar
kereta tunda ke sini.”
Aku
langsung tidak memberi tindak balas. Hazriq kembali ke keretanya, kemudian
kembali semula dengan sekotak minuman. Dia menghulurkan minuman itu kepadaku.
“Cik
nak minum dulu sementara menunggu? Pemandu trak tunda tu cakap mereka mungkin
akan ambil masa untuk sampai,” kata Hazriq.
Dia
hendak umpan aku dengan minumankah? Tidak semudah itu aku akan percaya. Segera
aku menggeleng.
Hazriq
mengeluh. Dia akhirnya kembali ke keretanya, bersandar di bonet sambil minum
minuman yang tadinya hendak di berikan kepada aku. Tak ikhlas betul! Buruk
siku!
Memandangkan
aku tidak ada apa untuk dibuat, aku merenung kereta Hazriq, cuba menghafal
sebanyak mungkin maklumat. Jika berlaku sesuatu, aku perlu ingat sesuatu, kan?
Tapi kalau dia bunuh aku, tak guna juga aku hafal.
Menggigil
aku seketika.
Hesy,
jangan fikir bukan- bukan!
Kalau
betul dia orang jahat, sudah lama dia pecahkan cermin kereta ni dan seret aku
keluar. Setakat ini dia tidak buat apa- apa pun. Aku boleh percayakan dia
sedikitkan? Tetapi boleh jadi juga dia tidak ada alat untuk buat macam tu.
Sebab tu dia telefon kawan dia datang?
Sekali
lagi aku menggigil.
Tiba-
tiba lelaki itu tidak lagi bersandar, sebaliknya berjalan ke arahku. Alamak,
dia hendak buat apa ni? Apa patut aku buat?
“Betul
tak nak apa- apa?” tanya Hazriq apabila berada disebelahku.
Dengan
pantas aku menggeleng.
Yang
aku mahu ialah berada di rumah sekarang dengan keluarga aku. Bolehkah dia
tunaikan permintaan aku ni?
Dua
buah lampu tersorot menghala ke arah kami. Hazriq turut merenung lampu itu
sehingga ia mendekat. Derdebar- debar aku melihat kereta tunda yang berhenti
bersebelahan kereta Hazriq. Pemandunya turun dan berbual dengan Hazriq, sebelum
dia kembali ke keretaku.
“Mereka
nak tarik kereta awak ke bengkel, senang nak baiki. Awak nak naik dengan saya
atau terus nak duduk dalam kereta?” tanya Hazriq.
“Dalam
kereta,” balasku dengan serta- merta.
Bibir
Hazriq tersenyum herot. Kenapa? Ketawakan akukah? Bukan selalu boleh duduk
dalam kereta yang sedang di tunda. Ia akan jadi pengalaman yang akan aku ingat
seumur hidup! Bukan semua orang boleh merasa. Paling penting aku tidak akan
turun sehingga aku rasa selamat.
Hazriq
menerangkan situasiku kepada pemandu trak tunda, yang akhirnya juga ketawa
kecil. Mengata akulah tu. Lelaki pun suka bergosip?
Akhirnya
aku ke bengkel dengan menaiki kereta yang sedang ditunda. Memang aku tidak akan
lupakan hari ini sampai bila- bila. Aku ingatkan Hazriq sudah pergi, tetapi
nampaknya dia mengekori dari belakang dengan keretanya. Aku dapat rasakan yang
dia sedang ketawakan aku sepanjang perjalanan.
“Ada
beberapa alat yang kita kena ganti. You kena tinggal kereta sini. Abang you tu
hantar balikkah?” tanya pemilik bengkel selepas memeriksa keretaku.
“Abang
I?” soalku hairan.
“Itulah,
abang you,” jelas pemilik, menunjuk ke arah Hazriq. Dia masih menunggu dan
berbual- bual dengan pemandu trak tunda bagai rakan baik pula.
“Eh,
dia bukan abang I!”
Kenal
pun tidak!
Pemilik
bengkel sedikit keliru. “Oh, sorry! I ingat abang you. Cara dia macam rapat
dengan you. Habis macam mana? Mau telefon teksikah?”
“Nanti
I telefon tunang I dulu.”
Aku
menggunakan telefon pemilik bengkel untuk menelefon Furqan. Dia masih lagi ada
di pusat bowling semasa aku menelefon.
“Macam
mana boleh rosak?” tanya Furqan.
“Manalah
tahu!” bentakku geram.
Kalau
aku tahu apa dan bagaimana ia rosak, baik aku baiki sendiri. Buat apa aku duduk
menunggu sampai berjam- jam. Dia bagaikan menyalahkan aku pula.
“Awak
di mana sekarang?” tanya Furqan.
Aku
memberitahu lokasi bengkel dan bagaimana aku ke sini.
“Macam
mana awak boleh biarkan sampai telefon awak habis bateri? Cuai betullah awak
ni!”
“Saya
tak perasanlah. Awak nak datang ke tidak ni?” soalku, meradang dengan sikapnya.
Furqan
mengeluh. “Tunggu di situ. Nanti saya sampai.”
Aku
keluar memaklumkan pemilik bengkel selepas itu. Aku perasan Hazriq tidak ada
lagi di depan.
“Bukan
abang you tu dah balik,” kata pemilik bengkel.
“Oh,
yakah.”
Pandai
pula uncle ni bergurau. Tetapi terkilan juga aku. Kalau bukan kerana dia pasti
aku masih tersadai di tengah jalan itu. Tidak sempat aku ucapkan terima kasih.
No comments:
Post a Comment