Saturday, August 29, 2020

Bab 1

 

Seperti biasa, rutin harian Zana bermula. Zana sibuk menyediakan sarapan. Dia jarang membeli makanan yang siap dimasak dari luar, jadi dia masak sendiri untuk kebanyakkan masa. Terdengar loceng pintu membuatkan dia bergegas.

“Penghantaran makanan,” kata lelaki itu.

“Terima kasih!” kata Zana.

Zana membawa masuk barangan basah yang dipesannya. Selalunya dia akan beli stok makanan untuk satu minggu. Dia membetulkan kameranya supaya menghala ke sinki, kemudian meletakkan barangan basah itu berdekatan dengan kamera. Kemudian dia mula memeriksa apa yang dihantar.

Selesai memeriksa, dia membawa kamera ke meja makan. Makan pun mesti dirakam! Bukan itu sahaja, mencuci barang basah yang sampai dan menyimpan di dalam peti sejuk pun Zana rakam! Pasti kalian ingat itu perkara yang ganjil, tapi itulah yang Zana lakukan selama ini. Perkara yang dia lakukan setiap hari itulah yang dia muatnaikkan selama ini.

Untuk hari ini, Zana ambil keputusan untuk belajar membuat macaroon. Dia sudah mendaftar kelas membuat macaroon secara online. Bahan- bahannya sampai semalam. sedang tekun Zana memasak, sekali lagi dia terkejut apabila terdengar bunyi benda terjatuh di rumah sebelah.

“Hantu ni buat apa sampai hari- hari jatuhkan barang? Tak ada kerja lain?” rungut Zana, mengerut dahi merenung dinding pemisah di antara rumah mereka.

Hmm, biarlah! Jatuhlah apa sekalipun asalkan dia tidak muncul di hadapan Zana. Zana kembali fokus dengan memasak.

Di rumah sebelah, ‘hantu’ itu mengutip kotak yang tidak sengaja dia jatuhkan. Ryzal yang kebosanan, nampak tidak tentu arah sejak pagi.

Apa yang manusia lakukan apabila mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah? Ah, susah nak difikirkan! Bagi seseorang yang sentiasa terlibat dengan dunia luar, dia tidak pernah terfikir akan ada suatu hari di mana dia tidak perlu berada di satu tempat begini. Akhirnya dia menelefon pengurusnya untuk merungut.

“Bosan!” rungut Ryzal.

Dani, pengurusnya menghela nafas. “Carilah benda untuk dibuat!”

“Tapi apa? Rumah ni apa pun tak ada!” bentak Ryzal.

“Habis nak buat macam mana? Aku nak belikan kau kondo, kau tak nak. Kau cakap nampak menunjuk- nunjuklah, nak low-profilelah. Lepas tu aku nak belikan banyak lagi perabot, pun kau tak nak. Kau cakap duduk sekejap saja, buat apa perabot banyak- banyak? Kau nak ke luar negara pun tak boleh masa- masa macam ni, tak boleh. Nak pergi bercuti pun tak berapa sesuai. Aku cadangkan kau balik rumah parents kau, kau cakap kerajaan cakap jangan balik kampung. Itu tak kena, ini tak kena.”

Berleter pula pengurusnya ini!

Ryzal menghela nafas. “Tapi sekarang aku dah mati akal nak buat apa. Dah jemu aku tengok tv. Aku dah tak tahu nak buat apa lagi.”

“Kau nak cuba belajar memasak?” cadang Dani. “Ada kelas memasak secara online. Jadi kau tak perlu keluar dari rumah pun.”

“Kau nak aku bakar rumah ni? Kau dah lupa aku tak boleh memasak?” soal Ryzal.

“Hmm, bukan idea yang baik! Lagipun bukan rumah kau saja yang terbakar nanti, habis satu bangunan tu nanti! Nanti keluar berita pelakon popular, Ryzal Adrian punca Apartment Suria terbakar! Semua orang lupa pasal virus ni sekejap disebabkan kau!”

“Tahu pun!”

Dani menghela nafas. “Habis nak buat apa kalau semuanya tak boleh? Kenapa tak ambil kesempatan ni untuk berehat? Lagipun dah berapa lama kau tak bercuti macam ni? sebelum ni kau nak tidur pun tak sempat. Sekarang kerajaan dah beri peluang untuk semua orang berehat, jadi ambil peluang ni. Carilah apa- apa aktiviti pun yang kau boleh buat di rumah. Habis sangat kau boleh tengok video dalam Youtube.”

“Yalah! Aku faham!” dengus Ryzal.

Ryzal menghela nafas, melihat siling. Sejak tadi dia berbaring di atas sofa. Ikutlah idea Dani. Mungkin ada video menarik di dalam Youtube.

Ryzal mencari video- video menarik untuk ditonton. Dia mengelak dari mencari videonya sendiri. Kadang- kala tidak ada yang bagusnya dari mencari video sendiri. Netizen terlalu banyak kritikan. Kadang- kala dia rasa mereka tidak masuk akal. Mungkin mereka ada pendapat sendiri, jadi dia hormati pendapat mereka. Tapi kalau tidak mahu sakit hati dengan kritikan yang tidak benar, elakkan saja dari mencari video sendiri. Selalunya Dani akan sampaikan apa yang penting kepadanya.

“Banyaknya video kucing,” gumam Ryzal sendiri.

Adakah sebab kucing sangat comel sehingga lebih popular dari yang lain? Tapi manusia memang mudah tertarik dengan haiwan berbulu yang comel itu. Ryzal pasti kalau dia ada bela kucing sekalipun, pasti kucing itu lebih popular dari dia nanti.

Tapi sudah- sudahlah dengan kucing! Kali ini Ryzal melihat video- video masakan. Kalau dia tengok, dia boleh belajarkah nanti?

“Nope, not happening!” katanya, segera mencari video yang lain.

Apa ni? Video tentang kehidupan seharian? Vlog? Siapa yang berminat tentang perkara begini? Tapi Ryzal buka salah satu video, melihat video kehidupan seharian seorang wanita yang tinggal seorang diri di Jepun.

“Agaknya kalau aku buat video macam ni orang berminat tak?” soal Ryzal kepada diri sendiri.

Ryzal melirik ke bawah, melihat bahagian komen. Ramai juga yang beri komen. Menarik juga ni. Kalau dia buat video begini, agak- agak Dani akan setuju tak? Tapi dia sempatkah? Kalau sekarang mungkin dia ada masa, tapi bila semua huru- hara ini reda, dia akan kembali bekerja seperti biasa. Macam Dani cakap tadi, hendak tidur pun tak sempat.

Ryzal menghela nafas, melupakan terus ideanya itu. Wanita di dalam video itu kini keluar berjumpa dengan kawan- kawannya. Ryzal menonton tanpa sebarang emosi. Untuk seseorang yang awalnya tidak berminat dengan video sebegini, bagaimana dia boleh habiskan hampir sepuluh minit menonton?

“Orang Jepun memang naik keretapi ke sana- sini,” komen Ryzal

Ryzal melarik ke bawah, melihat video rekomendasi yang lain. Semuanya ada kaitan dengan vlog. Ramai juga orang muatnaikkan kehidupan mereka seharian di Youtube. Apa ni?

How I Spend My Day at Home.

Hmm, bagus juga! Mungkin Rizal boleh dapatkan idea dari ini. Ryzal memilih video itu. tak nampak pun wajahnya. Tapi dari tangannya, Ryzal pasti dia seorang wanita. Dan wanita itu sibuk menanam pokok. Tidak ada sebarang bunyi kecuali muzik latar instrumental. Kadang- kadang akan timbul kata- kata yang berkaitan dengan aktiviti yang dilakukannya. Habis menanam pokok, wanita itu memasak dan makan. Habis makan, dia mengemas rumah. Hampir ke akhir video tidak ada perkara yang istimewa pun yang wanita itu lakukan.

“Macam ni pun boleh buat video?” komen Ryzal.

Tapi Ryzal tonton hampir lima video wanita itu selepas itu secara berturut- turut. Semuanya hanya mengenai bagaimana dia habiskan masanya dengan pelbagai aktiviti di rumah.

Ryzal sendiri tidak faham tapi dia boleh menonton lebih banyak video dari MissZa, nama wanita yang memuatnaik video- video itu selepas itu. apa yang menariknya? Entahlah, Ryzal sendiri tidak pasti. kenapa dia berminat? Ryzal pun tidak dapat terangkan kenapa. Paling Ryzal tidak faham, dia sendiri melanggan laman Youtube MissZa selepas itu!

No comments:

Post a Comment