Kata orang, jangan bertunang terlalu lama
kerana bertunang itu banyak dugaannya. Darah manis, macam- macam boleh berlaku.
Tapi apakan daya, jadual kerja dan tempoh membuat persiapan membuatkan kami
mengambil masa untuk melangsungkan perkahwinan. Aku bukannya nak berkahwin
berkali- kali, cuma sekali saja, kan? Jadi aku mesti buat persiapan supaya
segalanya berjalan lancar.
Tempoh pertunangan yang agak lama itu juga
membuatkan hubungan Dyana dan Furqan bertambah rapat. Tambahan pula mereka
sering bersama untuk perlawanan bowling. Aku enggan berasa cemburu dengan
tunang dan adikku sendiri, biarpun hatiku tidak tenang setiap kali memikirkan
keakraban mereka. Aku sering ingatkan diri untuk tidak membuatkan api cemburu
merosakkan hubungan kami bertiga. Lagipun dia bakal suami dan Dyana adikku. Tak
mungkin mereka mengkhianati aku.
Tapi setiap kali bertemu Furqan, nama Dyana
meniti di bibirnya. Topiknya sentiasa berkaitan dengan bowling. Naik muak aku
dibuatnya. Tapi aku tak patut salahkan dia. Jangan kerana aku tidak berminat
dengan permainan itu, aku menghalang dia dari menunjukkan minatnya. Hari ini
juga sama. Furqan masih berbual tentang sukan kegemarannya itu.
“Game hari tu antara perlawanan yang Kaki
Bowling dah menang. Untuk pemain amatur macam kami, kami boleh dikira hebat.
Abang Sham, ketua pasukan cadangkan kami lawan pasukan lain pula lepas ni.
Kalau menang lagi boleh bertanding dalam local tournament.”
Aku mendengar cerita Furqan, cuba
menunjukkan yang aku benar- benar berminat. Jika dia berkongsi minatnya
denganku, aku mesti memberi sokongan dengan mendengar dan cuba memberi
pendapat. Masalahnya aku tidak berapa arif tentang bowling.
Aku tidak boleh bercakap macam orang yang
arif di hadapan orang yang tahu apa yang aku cuba cakapkan. Aku sendiri tidak
pandai bermain bowling. Aku pernah mengikut kawan- kawan semasa belajar dulu
berseronok dengan bermain bowling tetapi aku tidak pernah sertai mereka. Aku
setakat menjadi tukang sorak di tepi. Yang aku tahu, kalau ada pin yang jatuh,
pemain itu memang hebat. Apatah lagi kalau semua pin dijatuhkan, pemain itu memang
sangat hebat. Jadi entah apa yang Furqan cuba terangkan dari tadi pun aku tidak
faham.
“Macam mana dengan Dyana?”soalku, cuba
menyumbang sesuatu dalam perbualan kami setelah aku mati akal untuk
memperkatakan sesuatu tentang bowling.
“Macam mana apa?”
“Cara dia main. Okey tak?”
Furqan tersenyum. “She’s our female ace!”
Dia macam bangga la pula! Hai hati,
janganlah buruk sangka! Mungkin itu cuma rasa bangga seorang abang untuk
adiknya.
Hmmp, aku hendak menipu siapa? Memang aku
rasa cemburu sekarang.
“Rapat awak dengan Dyana.” Aku merenung
wajahnya.
Furqan merenung aku kembali. “Memanglah,
kami satu kumpulan bowling.”
“Dia adik saya.”
Tiga patah perkataan yang membawa maksud,
‘Awak jangan nak main- main! Dyana adik saya, awak tunang saya. Awak dah
terlalu rapat dengan dia! Kena awak nanti!’
Seperti biasa, mentaliti Furqan secara
tipikalnya tidak pernah faham sebarang maksud tersirat. Dia sekali merenungku
setelah mendengar kata- kataku itu.
“Saya tahu.”
Macam mana hendak aku jelaskan? Perlukah
aku terangkan secara mendalam? Hmm, lebih baik cakap, memandangkan lelaki ini
nampaknya memang tidak faham langsung!
“Saya tak suka awak rapat sangat dengan
dia,” jelasku tanpa berselindung.
“Sebab?”
“Awak tunang saya!”
Furqan
menghela nafas. “Ya, saya memang tunang awak. Tapi tak kan cuma sebab tu? Kami
memang selalu bersama sebab tu awak rasa kami dah terlalu rapat. Mungkin awak
patut lebih percayakan kami berdua. Tak kan awak tak percayakan saya?”
“Saya
percayakan awak,” kataku.
“Jadi percayalah juga pada dia. Saya dan
dia banyak habiskan masa dengan Kaki Bowling. Kalau awak main bowling juga,
awak boleh join kumpulan kami juga,” katanya lagi.
Aku tidak rasa dia bersungguh- sungguh
mengajakku. Aku membuka mulut untuk menolak tetapi berfikir semula dengan lebih
mendalam. Mereka selalu bersama, sebab itulah mereka rapat. Bila mereka menjadi
rapat, aku pula cemburu.
Jadi, itu idea yang baik! Aku memang patut
bermain bowling. Kalau aku boleh bermain bowling bersama mereka, mesti aku juga
boleh luangkan lebih banyak masa bersama Furqan. Aku juga tidak perlu cemburu
atau fikir yang bukan- bukan lagi mengenai mereka berdua. Masalah selesai!
“Bagus juga idea tu! Nanti awak cubalah
ajar saya, mana tahu saya boleh main,” usulku dengan tersenyum lebar. Furqan
nampak terpinga- pinga dengan keputusanku tetapi dia mengangguk juga.
Apa yang susah kalau setakat hayun bola
dan jatuhkan pin. Senanglah! Budak- budak pun boleh buat. Apatah lagi aku.
Lagipun kalau ada cikgu mengajar, mesti lebih cepat untuk aku menjadi pandai,
kan?
“Rendahkan lagi tangan awak!”
Okey, rendahkan sedikit tangan dan hayun
bola.
Opps, ke longkang lagi!
Okey, aku tarik balik kata- kataku. Susah
sebenarnya hendak hayun bola berat ini dan jatuhkan pin. Aku patut minta maaf
kepada peminat bowling kerana memandang rendah sukan ini. Aku masih tak faham
teknik atau cara yang sesuai walaupun berkali- kali mencuba.
Aku cuma tersenyum kambing kepada Furqan
yang nampak naik angin apabila aku masih tidak dapat mencapai mutu permainan
yang dikehendakinya walaupun dengan tunjuk ajarnya sejak mula bermain. Aku rasa
Furqan meletakkan harapan yang terlalu tinggi padaku. Mungkin dia patut sedar,
kebolehan aku mungkin tidak mencapai taraf yang diinginnya.
Dyana dan dua orang ahli kumpulan Kaki
Bowling lain yang datang bersama cuma memerhatikan aku bermain. Sementara
menunggu, mereka berlawan sesama mereka. Kalau diikutkan, aku rasa malu dengan
tahap kebolehanku tetapi aku menebalkan muka. Biarpun kebolehanku belum
mencapai taraf mereka, jika aku terus mencuba pasti akan berjaya.
“Cuba sekali lagi,” usul Furqan.
Biarpun mula naik angin, dia masih mahu
mengajar aku. Jadi aku patut cuba sebaik mungkin.
Opps,
lagi sekali ke longkang!
Dyana
ketawa kecil. “Kakak, janganlah gopoh sangat. Hayun bola dengan keadaan
tenang.”
Kau
ingat aku tak cuba dari tadi? Aku mendengus geram. Pun begitu aku mencapai
bola, ingin mencuba sekali lagi.
Okey,
bertenang! Apa yang susah sangat? Aku menghayun bola setenang mungkin. Wah,
kali ini tidak ke longkang! Pencapaian baik! Bola itu bergolek dengan perlahan
dan akhirnya menjatuhkan satu pin.
Furqan
merenung ke pin- pin yang masih tinggal tanpa sebarang komen ataupun riak di
wajahnya. Aku rasa dia patut memuji aku. Sejak mula bermain, akhirnya aku
berjaya menjatuhkan satu pin. Itu dikira hebat! Ini sesuatu yang patut
diraikan!
“Cuba
sekali lagi. Kali ini jatuhkan lebih banyak pin. Kuatkan sedikit hayunan awak
tu,” katanya.
Aku
mencebik tetapi menurut juga.
Opps,
masuk longkang lagi!
Furqan
terkebil- kebil sebelum menepuk dahi. Dia bergumam entah apa. Hesy, apa yang
susah sangat main bowling? Kenapa bola aku asyik masuk longkang ni? Kawan-
kawan Furqan ketawa melihat corak permainanku. Malunya!
“Awak,
tak apalah. Awak join kawan- kawan awak dan Dyana main di sebelah. Biar saya
cuba sendiri. Kalau terus belajar, lama- lama pandai juga, kan?” pujukku. Kalau
Furqan terus berada di sisiku dan mengajar, dia juga akan dapat malu nanti.
Furqan
merenungku. “Betul ni?”
“Ya.
Lagipun awak cuma main di lane sebelah. Bukan jauh pun. Apa- apa hal awak boleh
tegur cara saya bermain dari situ,” kataku lagi.
Selepas
seketika, Furqan bersetuju. Aku terus mencuba seorang diri. Dari longkang, aku
berjaya menjatuhkan dua pin, kemudian satu pin dan akhirnya bola masuk kembali
ke longkang.
Hmmp!
Akhirnya
aku duduk di bangku, melihat mereka bermain. Sepanjang malam, aku bagaikan
orang asing. Hendak sertai mereka, aku langsung tidak pandai. Malah aku pasti
akan diketawakan pula nanti. Furqan dan Dyana juga pasti akan rasa malu. Jadi
duduk saja termenung di situ, sekali- sekala melihat mereka bermain dengan
gembira.
Suara
sorakan di sebelah menyebabkan aku berpaling. Nampaknya sampai giliran Dyana
untuk membuat hayunan. Dia bermain dengan penuh yakin dan akhirnya mendapat
strike. Mudahnya! Kawan- kawannya dan Furqan bertepuk tangan dengan lebih kuat.
Terselit
perasaan cemburu. Aku segera menggeleng kepala dan menarik nafas panjang.
Kenapa mesti cemburu pada Dyana? Aku yang tidak cukup hebat. Memang selalunya
Dyana dapat lakukan hampir segala hal lebih baik dari aku.
Kemudian
Furqan bangun menghampiri Dyana yang kembali ke tempat duduk mereka dan memberi
komen mengenai cara Dyana membuat hayunan. Bibir Furqan mengukir senyuman
manis, sama seperti Dyana. Kemesraan mereka menyebabkan rasa cemburuku kembali
berganda- ganda.
“Hebatlah
Dyana!” puji salah seorang teman mereka.
“Tak
adalah. Kalau saya hebat, dah lama saya wakil negara dalam acara bowling ni.
Abang Furqan lebih pandai dari saya,” balas Dyana. Bibirnya menguntum senyuman
lebar.
“Kamu
berdua memang sama- sama hebat. Memang sesuai kamu berdua jadi partner dalam
game akan datang,” kata seorang yang lain pula.
“Beregu
yang sama- sama handal dan cantik!” tambah seorang yang lain.
“Bagai
pinang dibelah dua!”
Mereka
yang lain tergelak- gelak. Amboi, itu sudah lebih! Perasaan cemburuku sudah
tidak dapat dikawal lagi. Mereka tahu aku tunangan Furqan tetapi kenapa mereka
boleh keluarkan kata- kata begitu? Bergurau pun ada hadnya. Aku bingkas bangun,
mencapai beg, bergegas keluar. Aku harus pergi sebelum aku lakukan sesuatu yang
bodoh.
“Rania,
awak nak ke mana?”
Entah
bila Furqan mengejar dan mengekoriku di belakang. Aku ingat dia tidak perasan
dengan kewujudan aku lagi.
“Saya
nak balik!” desisku membalas.
“Game
tak habis lagilah,” balas Furqan.
“Awak
duduklah di sini, habiskan game awak tu. Saya tak nak tunggu lagi. Lagipun saya
ada atau tak, sama saja!”
“Awak
ni kenapa? Awak yang beria- ia nak datang. Sekarang awak naik angin tak tentu
pasal pula,” rungut Furqan.
Makin
geram aku mendengar kata- katanya. Dia langsung tidak tahu kenapa aku marahkah?
Aku membisu, enggan menjawab.
“Rania!”
panggil Furqan apabila aku terus- terusan tidak memperdulikan dia. “Jangan buat
kerja bodoh boleh tak? Awak nak malukan saya depan kawan- kawan saya?”
“Excuse
me?” Menyingga aku berpaling memandang dia. “Kenapa pula saya memalukan awak?
Awak sepanjang malam tak pedulikan saya, awak tak memalukan saya?”
“Awak
juga yang suruh saya pergi main. Awak cakap awak nak main sendiri,” balas
Furqan, membela diri.
“Jadi
sekarang salah sayalah?” soalku.
“Saya
tak cakap pun.”
“Tapi
awak salahkan saya!” bantahku. Aku sedar nadaku itu keanak- anakkan tetapi aku
terlalu marah untuk peduli sekarang.
Furqan
menghela nafas. “Saya malas nak bertengkar di sini. Malu orang tengok. Sekarang
awak nak masuk balik atau tidak?”
“Saya
nak balik!”
“Awak
jangan macam ni boleh tak?” soal Furqan.
“Saya
cuma nak balik, tak bolehkah?” soalku kembali, tidak ingin mengalah. “Kalau awak
nak tunggu lagi, tunggulah. Saya tetap nak balik.”
“Saya…”
Furqan mengeluh, membuatkan aku terasa semakin tersinggung. “Saya pergi
beritahu semua orang yang saya nak balik.”
“Tak
payah! Saya boleh naik teksi, Uber atau Grab car. Paling tidak saya boleh naik
bas! Kalau tak ada apa- apa saya boleh jalan kaki!”
Terus
aku berlalu. Aku tidak pedulikan Furqan yang memanggil namaku. Dalam fikiranku
cuma satu, aku hendak segera meninggalkan tempat itu. Kalau Furqan beritahu
mereka yang dia perlu pulang kerana aku ingin pulang, pasti mereka akan mula
bercakap- cakap tentang hal ini. Jadi lebih baik aku balik sendiri.
Furqan
tidak lagi mengejar. Dia mungkin kembali ke dalam dan menerangkan kepada mereka
yang aku mengambil keputusan untuk pulang. Entah apa alasan yang dia berikan
kepada mereka.
No comments:
Post a Comment