Di
kawasan yang sunyi dan suasana yang menginjak senja, pasti tidak ada maksud
yang baik jika seorang lelaki menunggu seorang perempuan begini. Dari perangai
Zam Ayni juga boleh tahu, memang tidak ada perkara yang baik sedang bermain di
fikirannya. Tapi Ayni sedaya-upaya tidak mahu menunjukkan rasa takut. Jadi dia
menarik nafas panjang, menunjukkan raut wajah seberani mungkin.
“Kenapa
kau tunggu aku?” soal Ayni.
"Aku
masih ada urusan lagi dengan kau!"
"Urusan
apa lagi? Sebab kau aku kena buang kerja, tau tak? Jadi sepatutnya aku yang
marah sekarang!"
Zam
tergelak. "Cakap banyak pulak perempuan ni! Sekejap lagi kau tahulah nasib
kau!"
Nasib
apa? Dia hendak buat apa? Boleh tak kalau cakap dengan jelas? Tapi Ayni tidak
berani untuk bertanya. Raut muka Zam juga cukup menakutkan. Ayni pasti, tidak
kira apa pun yang terlintas di fikirannya, pasti bukan hal yang baik. Apatah
lagi Zam sedang menghampiri Ayni dengan senyum yang juga menakutkan. Biarpun
tidak mahu, Ayni mengundur beberapa langkah ke belakang tanpa sedar. Zam
bagaikan gembira melihat reaksi Ayni.
Tidak
ada banyak pilihan pun untuk Ayni. Hendak melawan, memanglah kudratnya tidak
sekuat Zam. Sekuat mana tenaga seorang perempuan berbanding seorang lelaki? Hendak
menjerit juga tidak berguna, tidak ada orang di kawasan ini. Jadi tidak ada
orang yang akan menolong dia. Tapi bukan bererti dia perlu mengalah begitu saja.
Dari meronta-ronta secara sia-sia, Ayni mendiamkan diri, membiarkan Zam yang
tiba-tiba menarik tangannya. Tapi apabila dia berada dekat dengan Zam, dia
terus mencucuk sebelah mata Zam dengan sekuat hatinya!
"Aduh!!!"
Menjerit lelaki itu.
Siapa
yang tidak terasa sakit diperlakukan begitu? Ayni sendiri tidak pasti terukkah
kecederaannya, dia hanya tahu yang dia berjaya. Dia membiarkan Zam
berguling-guling di atas tanah dengan tangannya menekup mata. Mata Ayni segera
melilau, mencari sesuatu yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri. Nampak
sebatang kayu, dia segera mencapai kayu itu, kemudian memukul Zam beberapa kali
sekuat hatinya. Sekarang bukan matanya saja sakit, badannya juga sakit!
"Kau
dah gila! Kau nak bunuh aku?" jerit Zam, berusaha untuk melindungi dirinya.
Tahu
pula dia menjerit. Tadi dia hendak buat apa pada Ayni? Ayni yang masih tidak
berpuas hati, memukul Zam beberapa kali lagi.
"Kau
ingat senang kau nak buli aku? Sebab aku perempuan? Kau nak buat apa tadi? Kau
nak rogol aku? Siapa yang gila?" soal Ayni bertalu-talu.
Tapi
soalan Ayni itu langsung tidak dapat dijawab oleh Zam. Dia hanya mampu
melindungi kepalanya dari terkena kayu yang dihayun oleh Ayni tanpa rasa belas
kasihan itu. Dalam fikiran Zam dia terfikir yang mungkin dia akan mati
dibelasah perempuan ini hari ini! Perempuan ini sudah hilang akal! Jadi
bukannya Ayni yang menjerit, tapi Zam yang akhirnya menjerit meminta tolong.
“Tolong!
Tolong!”
Ayni
memukul beberapa kali lagi. “Tahu takut? Jeritlah! Jerit! Memang kau patut kena
pukul!”
"Sudah!
Sudah!"
Tangan
Ayni yang memegang kayu dipegang erat oleh seseorang. Rakan kongsi? Jadi dia
tidak datang seorang? Memang dasar pengecut! Ayni cuba menarik tangannya untuk
melindungi diri dari orang yang baru tiba itu, tetapi pegangan lelaki itu
terlalu kuat.
"Pengecut!
Dua orang lelaki nak serang seorang perempuan! Kalian memang pengecut!"
seranah Ayni, masih enggan mengalah dan menarik tangannya.
"Saya
bukan nak serang awak!" kata lelaki yang baru sampai itu. "Saya kenal
dia pun tidak! Tapi saya kenal awak!"
“Jangan
nak tipu!”
Ayni
cuba menarik tangannya beberapa kali tapi tidak berjaya. Jadi dia cuba
menendang pula tetapi lelaki itu berjaya mengelak.
“Tak
tipu! Saya memang kenal awak! Tak kan awak tak kenal saya?”
"Eh?"
Baru
Ayni perasan lelaki ini nampak seperti seseorang yang dia kenal. Masakan tidak,
ini lelaki yang selalu datang ke kedai makan Kak Iti. Yang selalu datang dan
habiskan masa berjam-jam dengan komputer ribanya.
"Kalau
awak terus pukul dia, mati dia nanti. Tak pasal-pasal awak masuk penjara,"
nasihat lelaki itu.
"Memang
puas hati kalau sebab bunuh dia! Dia memang binatang!" balas Ayni, masih
lagi rasa marah.
"Aku
tak buat apa-apa pun! Kau yang dah gila!" kata Zam. Dia masih lagi
berbaring di atas tanah, terlalu sakit untuk bergerak.
"Habis
kau nak rogol aku dulu, baru aku boleh bunuh kau? Itu maksud kau?"
Tangan
Ayni masih dipegang, jadi dia tidak dapat memukul Zam lagi. Tapi dia terus
menyepak lelaki itu berkali-kali. Cepat-cepat Zam berguling, menjauhkan diri
daripada Ayni.
"Macam
ni lah, kita ke balai polis! Biar polis yang selesaikan masalah ni," kata
lelaki itu.
"Baguslah!
Biar polis kurung perempuan gila ni!" tempelak Zam.
Ayni
tergelak. "Kalau polis kurung aku sebab pertahankan diri, kau tunggu aku
keluar. Aku janji aku akan cari cara sampai dapat untuk potong XXX kau tu! Biar
kau tak boleh kenakan perempuan lain macam kau cuba buat pada aku! Kau ingat
janji aku ni!"
Walaupun
matanya masih tidak dapat dibuka, Zam dapat rasa renungan tajam Ayni. Dia dapat
rasa yang Ayni betul-betul serius dan akan buat apa yang dia cakap. Pertama
kali dalam hidupnya, lelaki itu tiba-tiba rasa takut pada seorang perempuan.
Tapi
bukan setakat masalah Zam sekarang. Kalau mereka ke balai polis, semua orang
akan tahu yang Zam dibelasah oleh seorang perempuan. Bukan sekali, tapi ini
kali kedua dalam masa satu hari. Itu lebih memalukan!
"Saya
rasa kita tak perlulah ke balai!" kata Zam tiba-tiba.
Lelaki
itu mengerut dahi. "Kenapa pulak? Tadi beria-ia kau nak polis tangkap
dia?"
"Tak
payahlah! Saya tak mahu buat laporan polis!"
"Habis
kau nak buat apa sekarang?"
"Kita
lupakan semua ni!"
"Kau
cakap dia serang kau. Sekarang kau nak lupakan semua ni macam tu saja?"
tanya lelaki itu lagi.
"Ya!
Hal kecik, tak payah nak besarkan!"
Ayni
sendiri mengerut dahi mendengar kata-kata Zam. Nampak sangat dia menipu! Dia
menarik tangan, terasa ingin memukul lelaki itu lagi tapi baru dia sedar yang
tangannya masih belum dilepaskan. Terus dia merentap tangannya dengan kuat,
menjegil lelaki itu. Buru-buru lelaki itu melepaskan tangan Ayni.
"Kau
tak mahu buat laporan polis sebab kau takut kau yang salahkah? Aku mengaku
memang aku pukul kau. Kalau polis tangkap pun, aku akan cakap aku pukul kau.
Aku tak takut beritahu hal sebenar dan kenapa aku buat macam tu!" kata
Ayni.
Kalau
Ayni tidak takut, Zam yang rasa takut sekarang!
“Saya
boleh jadi saksi kalau awak nak ke balai. Sebab saya nampak dari mula kejadian
lagi. Tapi kalau dia tak mahu ke balai sekalipun, rasanya baik kita ke
hospital,” kata lelaki itu, kemudian merenung Zam. “Mata kau tu nampak teruk.
Entah-entah dah buta!”
Walaupun
ayat itu seperti dia ingin menolong, tapi nada lelaki itu langsung tidak
menunjukkan dia rasa simpati pada Zam. Mendengar kata-kata lelaki itu
membuatkan Zam semakin takut. Dia masih muda, dia tak mahu tiba-tiba jadi
cacat! Tapi hendak bangun, matanya masih belum dapat dibuka. Tambahan lagi
badannya juga rasa sakit. Dia bagaikan tidak keruan sekarang. Mahu tidak mahu,
terpaksa dia merayu kepada lelaki itu.
“Encik
tolong hantarkan saya ke hospital. Tolong saya encik. Jangan tinggalkan saya
dengan perempuan ni. Mungkin dia akan bunuh saya nanti.”
Ayni
terasa ingin tergelak. Tadi bukan main sombong bercakap, sekarang sudah boleh
merayu? Lelaki itu menyilang tangan, tidak menjawab permintaan Zam. Sebaliknya
dia berpaling melihat Ayni.
“Awak
ok tak?” tanya lelaki itu.
“Encik,
mata saya tak boleh dibuka ni! Mestilah tak ok!” jawab Zam.
“Aku
tak tanya kau!” desis lelaki itu dengan kasar, membuatkan Zam terus tutup mulut.
Tapi apabila berpaling kepada Ayni, nadanya itu berubah 100%. “Awak ok? Saya nampak dia cuba dekat dengan
awak tadi. Dia sempat buat apa-apa?”
“Saya
ok. Dia tak sempat buat apa-apa lagi,” jawab Ayni.
“Betul?”
“Ya!”
Lelaki
itu menghela nafas. “Baguslah kalau macam tu.”
“Tapi
kalau awak nampak tadi, kenapa tak datang tolong?”
Tiba-tiba
muncul pun boleh timbulkan rasa syak wasangka. Kalau lelaki itu tidak memegang
tangannya tadi, Ayni pasti tidak teragak-agak untuk memukul dia juga. Ayni cuma
fikir untuk selamatkan diri, hal yang lain semuanya boleh difikirkan kemudian.
Lelaki
itu tergelak kecil. “Saya memang nak tolong awak. Tapi tiba-tiba awak pukul dia
macam tu. Terkejut juga! Tapi saya rasa bagus juga tindakan awak tu. Jadi saya
biarkan awak pukul dia dulu. Itu yang tak datang tolong terus.”
“Oh!”
Ayni
rasa malu pula mengenangkan bagaimana dia menjerit bagaikan orang hilang akal
tadi. Tapi apa boleh buat. Benda dah jadi pun. Lagipun Ayni langsung tidak rasa
bersalah.
“Saya
masih di sini! Tolong bawa saya ke hospital!”
Suara
Zam membuatkan mereka berdua berhenti berbual.
“Dia
macam mana? Nak biarkan?” tanya lelaki itu.
Ayni
tidak rasa lelaki itu bergurau. Memang dia terasa ingin membiarkan saja Zam di
sini tapi….
Ah,
susah masih ada perasaan belas!
“Hantarlah
dia ke hospital,” kata Ayni, merenung Zam yang masih menekup sebelah matanya.
“Awak
tak mahu ke balai polis untuk buat laporan?” tanya lelaki itu.
“Saya
dah cakap tak mahu!” bentak Zam.
“Aku
tak cakap dengan kau! Lebih baik kau diam!” Sekali lagi lelaki itu menjawab
dengan keras.
Ayni
menggeleng. Akhirnya mereka bertiga ke hospital dengan kereta lelaki itu. Ayni
sendiri tidak pasti kenapa dia pergi bersama. Selesai mendaftar masuk Zam untuk
rawatan, dia minta untuk ditinggalkan di situ. Tanpa berfikir langsung, terus
mereka berdua pulang. Lelaki itu berkeras pula mahu menghantar Ayni pulang ke
rumah.
“Bahaya
biarkan seorang gadis pulang seorang diri malam-malam begini,” kata lelaki itu.
“Tapi
awak pun saya tak kenal!” bantah Ayni.
Betul
juga. Mereka berbual sekian lama, tapi tidak ada seorang pun yang
memperkenalkan diri.
“Saya
Luqman,” kata lelaki itu Luqman.
“Saya
Ayni,” kata Ayni selepas beberapa ketika.
Selepas
beberapa jam, baru mereka tahu nama masing-masing. Ayni memerhatikan Luqman.
Lelaki itu nampak seperti jauh lebih tua darinya. Jadi dia patut panggil lelaki
itu dengan gelaran yang lebih hormat dan sopan.
“Terima
kasih sebab tolong saya tadi pakcik!” kata Ayni.
Tapi
Luqman terkedu dengan kata-kata Ayni. “Saya tak setua itu! Saya baru 25 tahun!”
“Oh,
yakah! Saya minta maaf,” kata Ayni. “Tapi saya boleh balik sendiri. Masih ada
bas ke kawasan rumah saya waktu-waktu begini.”
Secara
jujur, Ayni pun tidak pasti sama ada masih ada bas atau tidak. Tapi dia tidak
begitu kenal dengan Luqman untuk naik kereta berseorangan dengannya.
“Saya
pasti bas dah tak ada masa-masa begini. Saya tak mahu awak merayau seorang
diri. Bahaya!”
Yang
mana lebih bahaya? Pergi ke stesen bas yang sunyi dan tidak pasti sama ada bas
masih ada atau tidak atau menaiki kenderaan dengan seseorang yang dia tidak
berapa kenal? Ayni berfikir panjang sebelum akhirnya akur juga. Secara jujur
dia memang tidak ada banyak pilihan. Ayni tidak ada wang pun untuk naik
kenderaan lain. Tapi kalau lelaki ini pun sama macam Zam, Ayni akan cucuk mata
dia!
Sepanjang
jalan mereka berdua membisu. Radio pun tidak dipasang. Ayni tidak tahu hendak
berbual apa dengan lelaki ini.
“Saya
Luqman Hakim, umur 25 tahun. Ada perniagaan kecil sendiri.”
“Huh?”
Tiba-tiba
dia perkenalkan diri. Terdiam sekejap Ayni.
Luqman
tersengih. “Memandangkan awak masih lagi kekok dengan saya, jadi saya rasa saya
patut kenalkan diri. Biar kita saling kenal.”
“Saya…Ayni
Nasmeen, umur 17 tahun. Pelajar sekolah.”
“Sekarang
kita dah saling kenal,” kata Luqman.
“Tapi
kita cuma tahu nama, umur dan pekerjaan,” rungut Ayni. “Kenal apanya?”
“Lebih
baik dari tak tahu apa-apa. Macam mana dengan sekolah?” tanya Luqman.
“Ok.”
Cuma
Ayni tak pergi ke sekolah beberapa hari ini.
Luqman
tahu Ayni bekerja di kedai makan tetapi dia tidak bangkitkan isu itu.
Sebaliknya dia bertanya tentang makanan kegemaran dan hal-hal remeh temeh yang
langsung tidak ada kena mengena dengan Ayni. Sedar tidak sedar, mereka sampai
ke depan rumah Ayni.
“Terima
kasih sebab hantarkan saya,” kata Ayni.
Luqman
hanya mengangguk. Dia menunggu sehingga Ayni masuk ke dalam rumah sebelum
pergi. Ayni tidak terus ke bilik, tetapi berdiri di depan pintu apabila dia
sedar sesuatu yang penting. Dia tidak pernah beritahu di mana dia tinggal
kepada Luqman. Sepanjang jalan mereka cuma berbual, jadi Ayni tidak tunjukkan
arah langsung. Habis bagaimana lelaki itu tahu di mana dia tinggal?
No comments:
Post a Comment