Masalah
yang tidak akan selesai dalam hidup Ayni, masalah wang yang sentiasa tidak
mencukupi. Dan sekarang, Ayni tidak ada kerja lagi. Jadi dari mana akan
datangnya wang? Dia perlu cari kerja tetapi dia juga perlu kembali ke sekolah
dalam tempoh beberapa hari lagi. Wang penting, pelajaran juga penting. Kalau
tidak ke sekolah, bagaimana hendak ubah masa depan? Kalau tidak bekerja, siapa
akan sara dia?
Ayni
mengeluh untuk sekian kali.
Arman
tidak ada di rumah beberapa hari ini. Ayni tidak tahu di mana hendak mencari
dia. Risau memanglah risau, tapi ini bukan kali pertama. Ayni sudah mati akal
dengan perangai papanya itu. Dia hanya mampu berdoa yang Arman suatu hari nanti
akan berubah seperti yang dulu. Menjadi papa yang disanjung dan disayanginya
seperti suatu ketika dulu. Kalaulah mama masih ada, mungkin papa tak macam ni.
Hmm,
tak usahlah terkenangkan orang yang tidak ada di sini lagi!
Esoknya
Ayni keluar mencari kerja lagi. Kalau kali pertama sukar, kali ini lebih teruk.
Namanya bagaikan dikenali oleh semua orang di kawasan ini. Jadi bila
diperkenalkan diri saja, terus dia tidak diterima. Bagaimana boleh jadi begini
dalam masa satu hari? Tak kan Kak Iti yang ceritakan pada mereka? Bagi Ayni,
dia bukan orang yang sebegitu.
Tapi
itulah yang sebenarnya berlaku. Peniaga di kawasan ini bukanlah ramai. Jadi
mereka boleh dikatakan saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Mereka ada
kumpulan WhatsApp mereka sendiri untuk memudahkan mereka berhubung. Hanya perlu
taip, semua orang ada dapat maklumat dengan segera. Jadi bila perkara begini
berlaku, tak perlu beberapa minit pun untuk berita tersebar! Mereka tidak tahu
apa yang mereka tahu cuma bahagian kecil dari perkara yang sangat besar. Mereka
percaya apa yang mereka dengar tanpa menyiasat hal yang sebenar.
Natijahnya,
Ayni pulang ke rumah dengan perasaan hampa hari itu. Langkahnya berat. Upah dari
kerjanya di kedai makan Kak Iti makin berkurang. Jika ini berterusan, dia
benar-benar akan mati kebuluran satu hari nanti.
Bunyi
hon kereta membuatkan Ayni terperanjat. Sebuah kereta hitam berhenti ditepinya.
Eh, Ayni kenal pemandunya!
“Dari
mana? Jom, saya hantar!” pelawa Luqman.
“Tak
apalah, dah dekat pun!” tolak Ayni.
Ayni
masih ingat hal semalam. Tak mungkin Ayni berani naik kereta dengan dia lagi!
Luqman
mengerut dahi. “Dekat apanya? Jauh lagi ni!”
“Tak
apa! Betul!” balas Ayni, pura-pura gelak kecil.
Dalam
hatinya tidak habis-habis berdoa agar Luqman segera pergi. Tapi lelaki itu
terus matikan enjin kereta dan keluar. Kecut perut Ayni tapi dia pantas
pura-pura seperti tidak ada apa-apa. Ada kayu di kawasan ini? Cepat-cepat dia
mencari.
“Awak
cari apa?” tanya Luqman.
Ayni
tergelak lagi. “Tak ada apa-apa. Umm…. awak buat apa di sini? Saya tak pernah
nampak awak di kawasan ni pun.”
“Saya
ada urusan di kawasan ini,” jawab lelaki itu.
“Oh.”
Suasana
tiba-tiba jadi kekok.
“Umm…
awak… baliklah dulu. Saya pun nak balik ni. Ok, bye!” kata Ayni, kemudian
cepat-cepat berjalan.
Tetapi
Luqman mengikutnya dengan mudah. “Eh, saya nak hantarlah! Jom!”
“Tak
payah!”
“Tapi
jauh lagi rumah awak ni!”
Ayni
berhenti, berpaling memandang Luqman. “Kenapa?”
“Kenapa
apa?”
“Kenapa
awak beria-ia nak hantar saya balik?”
Apa
niat awak? Itu yang Ayni ingin tanyakan sebenarnya.
“Kena
ada sebabkah?”
Ayni
merenung lelaki itu, tidak percaya. “Siapa yang tolong orang lain tanpa sebab?”
“Saya!”
Ayni
mendengus, meneruskan perjalanan.
“Saya
betul-betul nak hantar awak!”
“Tapi
saya tak nak!”
Luqman
mengeluh. “Saya rasa tak senang hati awak jalan kaki balik ke rumah seorang
diri, sebab tu saya nak hantar awak. Bukan ada niat lain pun. Kalau awak tak
mahu naik kereta, biar saya jalan kaki juga. Saya akan ikut belakang awak
sampai awak selamat sampai ke rumah!”
Macamlah
Ayni nak percaya dengan dia!
Tapi
Luqman memang mengekori Ayni dari belakang tanpa sepatah kata lagi. Ayni pula
sudah tidak tahu bagaimana hendak menghalau dia, jadi Ayni biarkan. Tetapi dia
keluarkan kunci rumahnya. Cuma itu benda paling tajam yang dia ada. Kalau
lelaki itu cuba apa-apakan dia, dia akan cucuk mata lelaki itu dengan kunci
rumah ini sekuat hati!
Anehnya
lelaki itu hanya mengekori dengan diam. Malah langkahnya mengikut langkah Ayni.
Ayni berjalan, dia pun berjalan. Kalau Ayni berhenti, dia pun berhenti. Ayni
terfikir untuk berlari, adakah dia juga akan berlari? Langkah demi langkah,
mereka sampai ke rumah Ayni. Luqman berhenti di pagar, membiarkan Ayni masuk hingga
ke dalam rumah. Kemudian dia berjalan pulang.
Lagi
sekali Ayni termangu di pintu. Anehnya lelaki itu. Apa yang dia mahu
sebenarnya? Adakah dia benar-benar risaukan Ayni sampai sanggup berjalan
menghantar Ayni pulang? Ayni rasa keliru sekarang.
Arman akhirnya pulang juga,
tapi terus mengurung diri di dalam bilik. Entah apa yang dia buat Ayni tidak
pasti. Surat dari guru disiplin tempoh hari Ayni selitkan ke bawah pintu,
dengan harapan Arman akan membaca surat itu. Dia mengetuk pintu beberapa kali
tapi tidak ada jawapan dari Arman.
“Papa,
surat ni dari cikgu. Cikgu minta papa datang ke sekolah,” kata Ayni. “Papa
dengar tak?”
Tidak
ada jawapan. Itu yang lebih normal. Kalau tiba-tiba Arman bercakap banyak, Ayni
yang rasa Arman bukan papanya lagi. Entah bertukar dengan siapa.
Hari
ini Ayni tidak keluar mencari kerja, sebaliknya berfikir panjang sambil
menongkat dagu di dapur. Dia terfikir untuk menjual makanan seperti nasi lemak
tapi dia segera batalkan niatnya itu. Sebenarnya kelemahan terbesar Ayni ialah
dia tidak pandai memasak. Sepanjang bekerja di kedai makan Kak Iti pun dia
tidak pernah memasak. Ayni sendiri tidak pasti kenapa dia tidak ada kemahiran
itu, walhal mama dan mak tok sangat pandai memasak. Biarpun Ayni cuba mengikut
resepi dengan teliti, makanan yang dihasilkannya sangat jauh berbeza dengan
contoh yang diberi. Ayni boleh cuba tapi mungkin ada yang akan mati keracunan
nanti.
Habis
apa sekarang? Ayni masih perlu cari wang. Ah, entah ke berapa kali dia mengeluh
hari ini.
Terdengar
ketukan di pintu. Ayni merenung ke tangga. Nampaknya papanya tidak ada menunggu
sesiapapun datang kerana dia masih mengurung diri di dalam bilik. Lagipun,
selain dari penghantar bil elektrik dan air, tetamu yang datang boleh dikira
dengan jari. Ayni bingkas bangun, berfikir seketika sebelum membuka pintu. Eh,
polis!
“Assalamuaikum.
Cik Ayni Nasmeen?”
“Ya?”
“Sila
ikut kami ke balai!”
No comments:
Post a Comment