Sunday, December 6, 2020

Bab 3

 

Entah berapa doa yang Ayni baca pun Ayni tidak pasti. Yang pasti dia hendak mencuba lagi. Ini kedai yang ke sepuluh dia masuk. Setakat ini semuanya beri jawapan yang sama, ‘mereka tidak memerlukan pekerja baru!’. Kalau ada pun mereka tidak berminat untuk mengambil pelajar sepertinya. Lagipun dia tidak mahukan gaji bulanan, tapi gaji harian. Kalau menunggu sebulan baru dibayar, dia akan kebuluran.

Untuk diambil bekerja, Ayni pernah cuba berbohong tentang usianya.

"Yakah? Tapi adik ni nampak muda lagi! Nampak macam anak makcik yang tingkatan satu!"

Ayni nampak semuda itukah? Ayni pernah cuba berbohong yang dia bukan lagi pelajar.

"Anak kakak satu sekolah dengan anak, tak tahu anak kenal dia atau tidak. Anak ini anak Arman yang tinggal di rumah besar tu, kan?"

Nampaknya ada juga yang kenal dia. Ayni tidak pernah tahu yang dia dikenali oleh orang lain. Jadi untuk kedai yang kesepuluh ini, dia tidak mahu berbohong dan cuma memberitahu yang dia ini mencari kerja. Dia hendak berterus-terang. Ah, tidaklah sampai ceritakan semuanya! Setakat kenapa dia hendak mencari kerja. Semoga pemilik kedai makan ini akan bermurah hati untuk menggajinya. Jadi tidak putus-putus dia berdoa, kemudian mengaminkan doanya itu.

Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin. Amin.

"Ya, adik?"

"Amin! Eh!"

Pemilik kedai makan dan dia saling berpandangan sebelum masing-masing tergelak. Ah, impresi pertama yang gagal!

"Adik nak minum apa?" tanya si pemilik selepas tawanya reda.

Ayni menarik nafas, menguatkan azamnya. "Itu...saya nak tanya. Boleh saya kerja di sini?"

Laju soalan itu keluar dari mulut Ayni. Pemilik kedai makan itu mengelip mata beberapa kali, kemudian mengukir senyum.

"Adik tak sekolahkah?"

"Saya masih sekolah lagi tapi sekarang saya tak perlu ke sekolah. Jadi saya nak kerja!"

Wanita itu nampak terpinga-pinga. "Huh? Apa maksud adik?"

"Panjang ceritanya kak. Yang penting sekarang saya memang boleh kerja!" jawab Ayni.

"Adik pernah kerja di kedai makankah?" tanya wanita itu lagi.

"Tak, tapi saya cepat belajar! Jadi asal tengok, saya akan dapat buat!"

"Gaji tak besar dik!" kata wanita itu lagi.

"Tak apa, asalkan dapat gaji setiap hari, saya dah puas hati! Yang penting bagi saya, saya nak gaji harian kak! Berapa banyak yang kakak boleh bagi saya terima! Asal cukup makan saya!"

Jawapan-jawapan Ayni memang seperti seseorang yang beriya-iya hendak bekerja, tapi lain sikapnya selepas mendapat kerja. Tapi itulah sebenarnya isi hati Ayni. Ayni memang sangat-sangat terdesak sekarang!

Pemilik kedai makan menghela nafas panjang. "Baiklah, bila boleh mula?"

"Sekarang!" Penuh semangat Ayni menjawab, membuat pemilik hampir terperanjat sedikit.

Dia tergelak. "Ok, siapa nama adik? Dari tadi bercakap, langsung tak perkenalkan diri."

Oh, dia terlalu bersemangat untuk meminta kerja sampai terlupa perkara paling asas itu! Tapi dia sudah berjaya! Dia dah ada kerja!

Ayni tersengih. "Saya Ayni Nasmeen, kakak boleh panggil saya Ayni."

"Ayni boleh panggil kakak pulak, Kak Iti." Kak Iti berpaling, memanggil salah seorang pekerjanya. "Raudah!"

Menonong gadis yang bernama Raudah itu datang. Sempat dia mengerling Ayni yang masih tersengih. Agaknya dia pelik melihat wajah Ayni yang terlalu gembira.

"Ayni boleh ikut Raudah untuk belajar. Tak faham apa-apa tanya dia."

Jadi seharian itu, Ayni mengikut Raudah hampir ke mana saja. Penat itu memanglah penat. Tapi dia tak boleh mengalah! Dia mesti kuatkan semangat! Bila Kak Iti hulurkan beberapa keping wang merah di akhir kerja, Ayni rasa bagai ingin terbang ke langit!

"Esok datang awal sikit. Pukul tujuh mesti dah ada di sini," pesan Kak Iti.

Laju Ayni mengangguk. Dia pulang dengan hati yang sangat girang. Tengok, asal terus berdoa dan berusaha, pasti Allah akan tunjukkan jalan.

 

 

Hari kedua dan ketiga berlalu, Ayni masih lagi bertahan. Dia berfikir untuk meminta kebenaran Kak Iti untuk bekerja pada hari minggu selepas hukuman gantung sekolah tamat. Kerja ini memang memenatkan. Berdiri dan berjalan ke sana sini sepanjang hari. Melayan karenah orang yang datang ke kedai makan ini. Tapi Ayni tidak mahu memilih kerja. Asalkan ada duit yang masuk, tak apa berpenat lelah. Sepatutnya dia buat begini sejak dulu. Kenapalah dia tidak terfikir semua ini dulu?

Tapi Ayni memang tidak bohong, macam-macam perangai manusia yang datang ke kedai makan ini. Ada yang duduk lama tapi tidak pesan hingga ke akhirnya. Ada yang datang semata-mata untuk minum air kosong. Ada yang datang jual pelbagai produk. Malah setengah produk yang dijual langsung tidak ada kaitan dengan kedai makan.

Dan yang paling mencuri perhatian Ayni ialah seorang lelaki yang tampak dalam lingkungan usia 20-an. Dia datang, membuat pesanan minuman dengan senyuman manis menghias bibir dan akhirnya keluarkan sebuah komputer riba. Berjam-jam dia disitu menyiapkan kerjanya yang entah apa. Dia akan datang sebelum waktu makan tengah hari dan beredar apabila waktu makan tengah hari tamat. Kemudian dia akan datang pada waktu petang, mengulangi rutin yang sama di waktu pagi. Mereka juga tidak pernah berbual panjang. Sepanjang dua hari cuma dialog yang sama.

"Encik nak order apa?"

"Teh ais!"

"Minum di sini?"

"Ya!"

“Encik nak makan tak?”

Lelaki itu menggeleng.

"Sekejap ya!"

Ya, itu saja perbualan di antara mereka sepanjang dua hari Ayni di sini!

Tapi asalkan dia tidak menganggu Ayni, biarlah dia dengan perangai peliknya. Seorang pelanggan tetap seorang pelanggan. Hmm, baru dua hari kerja di sini, macam-macam perangai manusia yang datang. Kalau dua bulan entah apa lagi yang Ayni akan jumpa.

Ayni ternampak kelibat pelanggan masuk, membuatkan Ayni keluar untuk mengambil pesanan. Tapi baru dua langkah dia berhenti. Razmi sedang duduk di meja hujung seorang diri, bercakap di telefon.

Ayni mendengus. Dunia ini memang kecil, tapi kenapa secepat ini mereka berjumpa? Kenapa kedai makan ini dipilih dia? Ayni tahu memang lambat-laun akan ada pelajar sekolah itu yang terserempak dengan dia. Tapi… kenapa Razmi???

"Ayni, cepat ambil pesanan tu!" arah Kak Iti. Wajahnya berkerut, hairan dengan sikap Ayni.

Lari pun tak guna, jadi tak perlulah mengelak. Apa hendak jadi, jadilah!

Razmi yang masih bercakap di telefon, langsung tidak perasan Ayni menghampiri mejanya. Kalau boleh, sila jangan perasan hingga pulang. Sudahlah, itu memang mustahil! Ayni menarik nafas panjang.

"Encik nak order apa?" tanya Ayni, sesopan mungkin.

Dia hendak tersenyum tapi wajahnya yang agak kaku membuatkan senyumannya nampak mengerikan. Razmi terus berhenti bercakap di telefon, mendongak, memandang Ayni dengan mulut yang ternganga. Ayni mengetap bibir. Sabar! Sabar!

"Kenapa kau ada di sini?" soal Razmi.

"Encik nak order apa?" tanya Ayni sekali lagi, kali ini sedikit keras.

Cepatlah pesan, supaya dia boleh pergi dari meja ini!

"Oh...um....milo ais."

"Minum di sini?"

Razmi mengangguk.

“Makan?”

Razmi cuma menggeleng. Wajahnya tidak lepas memandang Ayni. Mesti dia tidak percaya dia terjumpa dengan Ayni di sini. Selepas mengambil pesanan, Ayni terus berjalan ke dapur dengan laju. Air minuman Razmi pun dihantar Raudah. Nasib baik bukan Ayni yang hantar. Kalau tidak entah apa yang jadi. Ayni langsung tidak keluar selepas itu. Sibuk dia cari sesuatu untuk dilakukan di belakang. Asal tidak perlu keluar, kerja paling kotor di kedai itu pun dia sanggup buat. Entah bila Razmi pulang selepas itu pun dia tidak pasti. Terasa bagaikan bala pergi apabila tidak nampak Razmi di meja itu lagi.

 

 

Esoknya Razmi datang lagi. Kalau semalam cuma seorang, hari ini dia bawa kawan-kawannya datang sekali. Meja hujung penuh dengan kumpulan mereka. Bising pula tu! Dan bagaikan nasib malang yang tidak sudah, Ayni juga yang perlu ambil pesanan mereka.

Kenapa?

Kenapa??

Kenapa???

Ayni hanya mampu menjerit di dalam hati. Berat kakinya untuk ke meja mereka tapi Kak Iti sempat menjeling beberapa kali sebagai amaran sebelum wanita itu keluar. Ayni masih perlukan kerja ini, jadi dia kuatkan semangat. Biar apa pun mereka cakap nanti, Ayni akan bersabar. Pekakkan saja telinga!

"Nama siapa?" tanya seorang dari mereka dengan senyuman gatal. Nampaknya dia bukan pelajar sekolah Ayni.

"Nak order apa?" tanya Ayni, langsung tidak pedulikan soalan itu.

"Sombong!" kata yang lain pula, tergelak-gelak. Apa yang kelakar sangat pun Ayni tidak pasti. Dua orang kawan baik Razmi melihat-lihat tanpa berkata apa-apa.

Razmi mendengus. "Cepatlah order, kita nak kena ke tempat lain lagi!"

"Eh, kau yang ajak kami ke sini tadi! Lagipun kedai motor tu tengah rehat sekarang. Buat apa nak cepat?" sanggah yang pertama tadi.

"Rehat setengah jam, bukan setahun!" balas Razmi.

"Bisinglah kau ni! Tadi kau jugak beria-ia nak datang sini. Sekarang kau pulak sibuk-sibuk nak pergi! Susahlah!" sungut seorang lagi yang sejak tadi cuma mendengar. "Zam, order cepat! Bos besar dah marah!"

Yang pertama, yang bernama Zam itu mendengus. "Yalah! Yalah! Bising mengalahkan perempuan!"

Yang berdiri tunggu ambil order ni perempuanlah! Kutuk pun tengok-tengoklah sikit! Tapi Ayni diam membisu. Kalau dia bersuara, nanti lain pula jadinya. Lagipun dia tidak mahu timbulkan masalah di sini.

Selepas mengambil pesanan (yang cuma minuman), Ayni terus masuk ke dapur. Niatnya, biarlah orang lain yang hantarkan pesanan mereka. Tapi semua orang terlalu sibuk, Ayni terpaksa ke meja itu lagi! Kenapa malang sangat nasib Ayni?

Ayni mengetap bibir, membawa minuman mereka. Biar mereka cepat-cepat minum, cepat-cepat pergi. Zam yang nampak Ayni membawa minuman mereka, tersengih gatal. Sekali lagi Ayni mengetap bibir, menahan diri dari hilang sabar. Ingat! Dia perlukan kerja ini!

"Tak beratkah angkat banyak-banyak?" soal Zam, ketika Ayni meletakkan minuman mereka.

"Dia dah biasalah!" kata Razmi.

Ayni masih lagi membisu. Satu-persatu pesanan dia letakkan. Zam yang masih cuba mengganggu Ayni tiba-tiba cuba memegang tangannya. Kaget, Ayni pantas ke tepi. Nasib baik minuman itu tidak tumpah. Matanya bulat memandang Zam yang langsung tidak merasa bersalah. Malah dia ketawa melihat reaksi Ayni.

"Pegang sikit pun tak boleh? Bukannya kurang apa-apa pun," kata Zam.

"Jangan kurang ajar boleh tak?" balas Ayni.

"Kurang ajar apanya? Bukannya aku raba kau pun."

"Macam ni tak kurang ajar? Siapa ajar kau yang kau boleh sentuh perempuan sesuka hati?"

Zam tergelak. "Aku rasa kau ni terlebih reaksi. Setakat sentuh macam tu, tak ada yang tak sopannya."

Semua yang berada di kedai makan itu memerhatikan pertelingkahan mereka. Rakan-rakan Zam, terutamanya Razmi tampak gelisah. Nampaknya mereka tidak terfikir yang Zam akan timbulkan masalah di kedai itu.

"Kita datang cuma nak minum, jadi tak payahlah cari pasal dengan dia," kata Razmi.

"Aku tak cari pasallah! Dia yang naik angin dulu!" sanggah Zam, yang makin naik marah.

 "Eh, jangan bergaduhlah! Cepat minum, cepat kita boleh pergi!" desak seorang lagi.

Dua rakan baik Razmi mengangguk bagai burung.

Walaupun tidak puas hati, Zam mencapai minumannya juga. Tapi matanya tidak lepas-lepas mengekori Ayni. Semakin lama, semakin tajam renungannya. Dia bagaikan memikirkan sesuatu. Ayni yang terasa tidak selesa dengan renungannya cuba untuk mengelakkan diri. Tapi kedai makan ini bukannya besar. Mahu tidak mahu dia terpaksa ke meja yang berdekatan dengan meja mereka untuk mengambil pesanan.

"Aku rasa aku kenal kau ni siapa," kata Zam tiba-tiba. "Kau yang kena gantung sekolah sebab toreh tayar motor Razmi, kan? Eh, perempuan ni, kan?"

Menyirap darah Ayni. Perkara yang dia cuba rahsiakan dicanang dengan mudah oleh Zam dengan suaranya yang kuat. Semua orang yang ada sudah mendengar hal itu. Razmi tidak menjawab pertanyaan Zam.

Zam tergelak. "Muka nampak suci tapi hati hitam! Pandai kau berlakon depan semua orang. Mesti semua orang di kedai ni tertipu dengan muka kononnya suci kau tu. Eh, jangan berlagak baik sangatlah!"

"Sudahlah!" kata Razmi. "Kenapa kau cakap pasal hal ni tiba-tiba?"

Soalan itu membuatkan Zam terdiam seketika. Dia merenung Razmi, bagaikan tidak percaya kata-kata itu keluar dari mulut kawannya itu.

"Yang kau bela dia ni kenapa? Kau sukakan dia?" soal Zam.

"Kau jangan nak mengarut boleh? Dari kita mula datang, sampai sekarang, tak habis-habis mulut kau merepek!" balas Razmi, yang mula nampak marah.

"Tak merepek kalau semua yang aku cakap tu betul!" Zam berpaling kepada Ayni. "Tapi aku betul-betul tak sangka yang kau ni kasar sampai macam tu. Patutlah kena gantung sekolah!"

Kecuali Razmi dan dua orang rakannya, mereka yang lain tergelak-gelak. Kelakar sangatkah cerita itu? Ayni mengetap bibir, menarik nafas panjang. Apa sekalipun dia mesti bersabar. Dia segera mengatur langkah untuk masuk menyiapkan pesanan yang baru diambilnya itu.

"Nak lari ke mana?" tanya Zam, tiba-tiba menghadang Ayni.

"Jangan ganggu saya boleh tak?"

Zam tersenyum herot. "Macam ni pun ganggu? Habis macam ni macam mana?”

Tiba-tiba tangan Zam cuba memegang dada Ayni. Spontan, Ayni terus menampar lelaki itu. Razmi dan kawan-kawannya yang memerhatikan sejak tadi terus bingkas bangun.

“Eh, aku tak ajak kau datang sini nak buat hal macam ni!” tempelak Razmi.

Zam yang ditampar merenung Ayni dengan marah. “Belum pernah ada orang berani pukul aku! Kau ni memang nak mati dengan aku!”

“Cubalah bunuh aku! Kalau aku mati, aku akan tarik kau masuk lubang kubur sama macam aku!” balas Ayni.

Razmi terus datang kepada mereka berdua. “Dari tadi aku dah cukup bersabar dengan karenah kau. Sekarang kau nak balik atau tak? Aku tak berminat untuk terlibat dalam apa-apa masalah pun di sini.”

Zam merenung Razmi tajam. “Kau pulak dari tadi naikkan darah aku. Jadi kau nak berpihak pada perempuan ni dari kawan kau?”

“Kalau macam ni perangai kau, baik aku dan kau tak berkawan pun. Mak bapak aku pun tak ajar aku jadi kurang ajar pada perempuan.”

Kalau tidak kerana situasi sekarang yang agak serius, pasti Ayni tergelak sinis. Baru beberapa hari yang lepas dia dan Razmi bergaduh. Pandai pula dia cakap macam ni.

“Eh, bukan kau yang bergaduh dengan dia sampai dia toreh tayar motor kau tu? Jadi yang kau buat tu tak kurang ajar?” soal Zam.

Tengok, Zam pun fikir hal yang sama!

Terkedu sekejap Razmi jadinya. “Hal tu tak ada kena-mengena dengan hal ni! Lagipun kau bukannya tahu hal yang sebenar, jadi baik kau diam! Sekarang aku nak tanya kau buat kali terakhir, kau nak pergi atau tak?”

“Aku tak nak! Kau nak buat apa?” soal Zam dengan bongkak.

Ayni segera berjalan meninggalkan mereka. Tapi sekali lagi Zam memintas, kali ini terus menangkap tangan Ayni. Dari merentap tangannya kembali, Ayni mencapai segelas air yang berdekatan, terus menyimbah lelaki itu.

“Kau ni memang kurang ajar!”

Wajah Zam merah menyingga. Dia bagaikan ingin menelan Ayni hidup-hidup dengan cara dia merenung Ayni.

“Aku rasa aku memang patut ajar kau cukup-cukup sekarang. Kalau tidak aku tak akan puas hati!”

“Aku dah cakap jangan cari pasal, kan?”

“SUDAH!”

Suara Kak Iti yang kuat menyebabkan mereka semua terkejut. Entah bila Kak Iti pulang dan melihat situasi tegang ini.

“Kamu semua buat apa? Nak bergaduh? Minta maaf, di sini bukan tempat untuk kamu bertengkar. Tolong balik atau kakak akan panggil polis sekarang!” ugut Kak Iti.

Zam mendengus. Jelas sekali dia masih tidak berpuas hati tetapi keadaan nampaknya tidak memihak kepada dia. Dengan renungan ke arah Ayni dan Razmi, akhirnya dia pergi. Tapi sempat dia menendang kerusi yang berdekatan pintu keluar. Rakan-rakannya yang lain, kecuali dua rakan baik Razmi terus bangun mengikut dia keluar. Razmi merenung Ayni sekilas, bagaikan ingin berkata sesuatu. Tapi akhirnya dia juga pergi tanpa berkata apa-apa pun.

“Ayni, ikut kakak!”

Suara Kak Iti yang masih marah membuatkan Ayni mengikut dia tanpa banyak bicara. Lagipun dia faham yang Kak Iti pasti mahu penjelasan. Mereka ke dapur dan Ayni jelaskan bagaikan mereka boleh mula bergaduh. Bahagian yang tidak diceritakan Ayni ditambah oleh Raudah.

“Jadi betullah kamu yang toreh tayar motor dia?” soal Kak Iti.

Ayni tunduk. “Ya.”

“Kenapa?”

“Dia…”

‘Tidak faham keadaan saya’. Tapi Ayni tidak dapat luahkan ayat itu. Bila diulang berkali- kali, biarpun pada orang yang berlainan, terasa seperti dia merungut bagaikan anak kecil. Ayni akhirnya membisu. Kak Iti merenung Ayni dengan lama, membuatkan Ayni terasa tidak selesa.

"Kak Iti rasa esok Ayni tak payah datang lagi!"

Terkejut Ayni mendengar kata-kata itu. "Tapi kenapa? Apa salah Ayni?"

"Kak Iti tak mahu ada masalah kemudian hari."

“Tapi kak…”

“Ini gaji untuk hari ni, dan duit lebih ni anggaplah ganti rugi.”

Ayni mengetap bibir. Dia rasa dia tidak diperlakukan dengan adil. Harga diri dan perasaan marah yang membuak-buak di dalam hati membuatkan Ayni terasa ingin menolak wang itu.

Tapi harga diri tak dapat isi perut bila lapar.

Ayni mengambil wang itu, kemudian berlalu tanpa sepatah kata. Wang ini mungkin akan bertambah paling lama dua minggu jika dia benar-benar berjimat. Tapi itu agak mustahil. Sekali lagi dia menemui jalan buntu.

Berat langkah kakinya untuk berjalan pulang pada hari itu. Dia tahu dia tidak boleh mengalah dan terus bersedih. Dia masih boleh cari kerja yang lain. Pasti masih ada rezekinya di bumi Allah yang luas ini. Dia tahu semua itu tapi hatinya terasa kusut. Perlahan-lahan dia berjalan pulang ke rumah.

“Lama aku tunggu kau! Jadi memang ini jalan balik ke rumah kau!”

Ayni mengangkat kepala, melihat Zam sedang duduk di motor. Apa maksud dia menunggu Ayni?

No comments:

Post a Comment