Awal Ayni bangun pagi ini. Berat hatinya untuk ke sekolah. Tapi pelajaran itu penting. Bagaimana hendak mengubah nasib diri kalau tidak bersungguh-sungguh belajar? Jadi Ayni paksa diri untuk ke sekolah.
Sarapan
hanya ala kadar. Lagipun tidak ada banyak makanan yang tinggal di dapur dan
Ayni pun bukannya pandai masak sangat. Selama ini Ayni akan makan saja apa yang
ada. Ayni bungkuskan sedikit makanan untuk makan tengah hari. Arman masih
mengurung diri di dalam bilik. Barangkali dia masih tidur. Ayni terus ke
sekolah selepas itu. Pahit semalam masih terasa, jadi dia tidak mahu berjumpa
dengan papanya.
Ayni
yang banyak berfikir langsung tidak perasan ada sebuah kereta yang berada di
jalan keluar rumahnya. Dia terus berjalan ke sekolah tanpa pedulikan langsung
kereta itu. Malah kalau dia perasan, dia boleh tahu yang kereta itu mengekori
dia perlahan-lahan. Tapi tuan empunya kereta langsung tidak lakukan apa-apa,
cuma mengekori dari belakang hingga Ayni sampai ke sekolah.
"Dia
datanglah!"
"Memang
jenis muka tebal betul!"
"Kau
dengar tak apa jadi semalam?"
"Dengar!
Dengar! Tapi betulkah?"
"Aku
dengar..."
Dengar
apa? Mesti tidak ada benda yang baik pun. Perkara biasa kalau pelajar sekolah
juga tahu bergosip. Mereka bagaikan tidak ada hiburan lain yang boleh dibuat.
Ayni terus ke kelas, langsung tidak menghiraukan pelajar-pelajar yang
berbisik-bisik sesama mereka. Kalau ada yang ingin disampaikan, baik lakukan
secara berdepan. Ini hanya tahu mengumpat, kononnya dia tidak nampak apa yang
mereka lakukan. Mereka fikir dia buta?
Penakut!
Ayni mendengus. Tapi dia bertekad untuk tidak timbulkan masalah hari ini, jadi
teruskan langkah bagai tidak mendengar mereka.
Razmi
dan dua sahabat baiknya juga ada semasa dia sampai. Mereka berhenti berbual
sebaik saja nampak Ayni. Mata mereka mengikut langkah Ayni sehingga dia duduk
di tempatnya. Sama macam orang lain, Ayni langsung tidak pedulikan mereka. Dia
letakkan buku yang dipegang ke dalam laci meja. Sekali lagi dia dapat rasakan
ada sesuatu di dalam laci mejanya. Cepat-cepat dia keluarkan buku, kemudian
menjenguk. Dia keluarkan sebungkus roti dan air kotak milo.
“Siapa
punya ni? Hari-hari tinggalkan makanan, tak kan hari-hari lupa?” rungut Ayni.
Tak
mungkin ada orang sengaja nak tinggalkan makanan untuk dia. Kelakarlah, tak ada
manusia sebaik itu! Ayni mendengus. Siapa yang nak mainkan dia ni? Ada racunkah
dalam makanan ni? Ayni menguis roti, jauh sedikit daripadanya. Ah, walaupun
memang pelajar sekolah ini nakal, kurang ajar, suka mengeji dan membuli dia.
Tapi tak kan sampai begitu sekali mereka nak kenakan dia.
Tapi
baik jangan dilayan. Nanti seronok mereka lihat dia akhirnya tunjukkan reaksi.
Roti dan air kotak sekali lagi dia letakkan di penjuru meja. Siapa yang nak
ambil, ambillah. Tapi...ada benda lain lagi bersebelahan makanan tadi. Sekali
lagi dia menjenguk, kemudian mengeluarkan sebuah buku nota.
Ini...buku
nota yang baru.
Tapi?
Siapa
punya?
Ayni
berpusing, memerhatikan sekeliling. Tidak ada seorang pelajar pun yang
memerhatikan dia. Semua sibuk berbual atau buat kerja sendiri. Malah tiga badut
dibelakang pun tidak pedulikan dia. Mereka rancak berbual entah apa. Dari gaya
mereka, bagaikan berbual tentang lumba motor dan perempuan. Pasti bukan perkara
yang baik! Ayni tidak mahu tahu!
Ayni
merenung buku nota itu. Apa pula kali ini? Ini... penambahbaikan? Selalunya
cuma ada makanan, sekarang dia tinggalkan minuman dan buku. Adakah selepas ini
dia akan tinggalkan barang kemas, duit atau benda berharga yang lain? Ah,
mengarutlah! Tapi apa niat orang itu lakukan semua ini?
"Ayni
Nasmeen?"
Ayni
mendongak. Bila masa ketua pengawas berdiri di depannya? Ayni cuma mengangguk.
"Sila
ikut saya," kata ketua pengawas.
Ayni
mencapai beg, bangun untuk menurut. Tapi anehnya, Razmi pun ada bersama. Dia
berjalan jauh sedikit dari Ayni dan ketua pengawas. Ayni diam, berfikir sambil
berjalan. Dia bagaikan sudah dapat mengagak kenapa dia dipanggil. Tapi,
biarlah. Biar dia dengar sendiri dari mulut mereka.
Ketua
pengawas membawa mereka terus ke bilik guru disiplin. Dia mengetuk pintu dengan
perlahan sebelum membuka, meminta agar mereka masuk. Bukan Cikgu Ayub saja yang
ada, tapi pengetua dan Cikgu Haniza pun ada. Ayni masih lagi membisu.
"Duduk,"
kata Cikgu Ayub, menunjuk ke sofa kosong di hadapan mereka.
Mereka
bertiga akur menurut.
"Kamu
tahu kenapa kamu dipanggil?" tanya Cikgu Ayub, memandang terus kenapa
Ayni.
Ayni
cuma menggeleng.
"Semalam
apa kamu yang dah buat?" tanya Cikgu Ayub.
Ayni
cuma membisu. Ayni tidak pasti yang mana satu Cikgu Ayub maksudkan, jadi lebih
baik dia mendiamkan diri. Matanya memandang terus ke mata Cikgu Ayub.
"Kamu
tak mahu cakap apa-apa? Semalam bukankah kamu yang bergaduh dengan Razmi?"
soal Cikgu Ayub lagi. "Masa tu banyak pulak kamu boleh cakap. Sekarang
kenapa kamu diam? Kenapa tak datang ke sini bila Cikgu Haniza minta kamu
datang?"
Sebab
bila bercakap pun tidak ada orang yang akan dengar. Jadi buat apa nak cakap? Sebab
itulah Ayni langsung tidak membuka mulut.
"Ini
bukan kali pertama kamu buat perangai begini. Saya dah pernah beri kamu surat
amaran, kamu lupakah?" soal pengetua pula.
Siapa
yang boleh lupa hal begitu? Tapi Ayni masih lagi diam.
"Masalahnya
sekarang, kesalahan kamu dah jadi berat? Kamu tahu kenapa?" soal Cikgu
Ayub pula.
Ayni
menggeleng.
"Kamu
tahu atau pura-pura tak tahu?" soal Cikgu Ayub dengan nada yang keras.
"Saya
memang tak tahu," balas Ayni.
"Kenapa
kamu toreh tayar motor Razmi?" soal pengetua. "Kamu lupa ada CCTV di
tempat letak motor tu? Memang jelas muka kamu disitu!"
Oh,
sebab itukah? Razmi memandang Ayni, pasti tidak percaya itu kerja Ayni
sebenarnya. Tapi Ayni tidak peduli. Biar dia tahu!
"Kenapa
kamu buat macam tu?" soal pengetua.
"Sebab
dia yang salah," balas Ayni dengan mendatar.
"Salah
apa sampai kamu toreh tayar motor dia? Sebab dia hina kamu semalam? Habis kalau
cikgu denda kamu, kamu nak pancitkan tayar kereta cikgu pulak?" soal
pengetua lagi.
Ayni
mengerut dahi, merenung pengetua. Langsung tidak pernah terlintas difikirannya
untuk buat begitu. Hanya sebab dia pernah berkelakuan begitu, tidak bermaksud
itu perkara biasa baginya.
"Walaupun
memang jelas dah nampak muka kamu di situ, saya masih nak tanya, kamu mengaku
salah?" tanya Cikgu Ayub.
"Ya!"
jawab Ayni tanpa teragak-agak.
Memang
dia bersalah tapi tetap tidak rasa salah dengan apa yang dia buat. Mereka yang
lain bagaikan boleh baca apa yang terlintas di mindanya itu. Pengetua hanya
menggeleng.
"Kali
ini saya akan beri kamu surat amaran lagi. Kamu juga akan digantung sekolah
selama seminggu. Cuba renung balik kesalahan kamu ni. Satu lagi surat, serahkan
pada ayah dan ibu kamu. Saya nak jumpa mereka!" kata pengetua.
Ah,
yang akhir itu berat sedikit. Arman bukan setakat tidak lagi menyara keluarga,
dia juga tidak pernah hiraukan persekolahan Ayni lagi. Sama ada cukup atau
tidak kelengkapan atau sama ada Ayni bersekolah atau tidak, dia langsung tidak
ambil tahu. Jadi bagaimana dia hendak serahkan surat itu kepadanya? Kalau
serahkan pun, adakah dia akan peduli?
Hmm,
yang nanti, fikirlah nanti!
"Kamu
nak cakap apa-apa pada Razmi?"
Ayni
langsung tidak pandang Razmi.
"Kamu
tak mahu minta maaf pada dia?" soal Cikgu Haniza.
Ayni
langsung tidak berikan respons.
"Razmi?"
Cikgu Haniza memandang Razmi pula.
Razmi
yang terperanjat kerana tiba-tiba dipanggil memandang Cikgu Haniza, kemudian memandang
Ayni. Renungan tajam gadis itu membuatkan dia terus memandang ke depan.
"Bukan
hal besar pun cikgu! Tak payahlah nak panjangkan cerita!" kata Razmi.
"Tak payahlah nak gantung-gantung sekolah semua ni!"
"Eh,
kenapa pulak? Semalam kamu yang paling marah lepas tengok keadaan motor kamu.
Kenapa tak mahu panjangkan cerita pulak?" soal Cikgu Haniza yang terkejut
dengan jawapan Razmi.
Bukan
dia saja. Selain Ayni, semua yang berada di dalam bilik itu nampak terkejut.
"Macam
mana nak cakap?" Razmi menggaru kepala. "Yang itu, semalam. Hari ni,
saya... dah tak marah pun."
Ayni
menahan diri dari tergelak. Berlakon baik pulak dia! Bukan dia tak tahu, Razmi
ini seseorang yang menyimpan dendam. Dia pernah belasah seorang pelajar lelaki
yang malukan dia selepas sebulan. Itu cuma malukan dia. Ayni sudah rosakkan
harta yang dia paling sayang, motorsikalnya. Jangan kata sebulan, entah-entah
sepuluh tahun pun dia akan ingat! Depan cikgu, pandai pulak tunjuk baik!
Pengetua
menghela nafas. "Jadi kamu maafkan dia?"
Cepat
saja Razmi mengangguk.
"Razmi
pun boleh macam ni, kenapa kamu susah sangat nak minta maaf?" soal Cikgu
Ayub.
Ayni
langsung tidak menjawab. Cikgu-cikgu yang berada di dalam bilik itu nampak
kecewa dengan sikap Ayni. Bagi mereka, Ayni tidak boleh dibiarkan terus begini.
Ayni perlu berubah!
"Cikgu
Haniza, serahkan surat yang berkaitan pada dia. Biarpun Razmi dah maafkan dia,
saya rasa hukuman masih perlu diteruskan. Jadi saya harap ini akan jadi
pengajaran pada kamu kelak. Ubah kelakuan kamu, jaga disiplin kamu. Surat jangan
lupa beri pada penjaga kamu. Saya nak jumpa mereka!" arah tuan pengetua,
sekali lagi mengingatkan Ayni.
Selepas
mengambil surat-surat yang perlu diambil, Ayni cuma mengucapkan terima kasih
pada para guru. Dia terus keluar dari kawasan sekolah. Hukuman gantung sekolah
itu bermula esok, tapi dia tidak berminat untuk belajar hari ini.
Hmm,
apa nak jadi dengan dia? Kena gantung sekolah. Duit pun tinggal beberapa
ringgit saja. Nak balik ke rumah, nanti jumpa papanya lagi macam mana? Ayni
duduk di bahu jalan, termenung panjang. Dia perlu fikirkan sesuatu atau mereka
akan mati kebuluran nanti.
Eh,
nanti! Dia tak perlu ke sekolah selama satu minggu! Baik dia gunakan peluang
ini sebaiknya!
No comments:
Post a Comment