Friday, October 30, 2020

Bab 41

 

Aku tidak mahu mengikut kata- kata Nurrul Azzwa tapi bagaimana aku datang juga ke sini? Apa yang aku harapkan sebenarnya?

Tapi biarpun sampai aku masih termangu di dalam kereta. Betulkah dia ada di dalam? Tapi apa aku hendak cakap apabila aku jumpa dengan dia nanti? Tapi sampai bila aku hendak tunggu di dalam kereta.

Hmm, keluarlah!

Aku berjalan perlahan- lahan untuk masuk ke dalam ruang legar. Memandangkan hari ini hari minggu, ramai juga pengunjung yang memenuhi ruang legar ini. Mataku melilau mencari Hazriq tapi bayangnya pun tidak kelihatan. Terasa kecewa pula apabila tidak ternampak dia.

Tapi mungkin dia ada urusan jadi tidak ada di sini. Lebih baik aku tunggu sekejap. Mana tahu nanti dia muncul.

Aku melabuhkan punggung di bangku berdekatan, melihat orang ramai yang lalu- lalang. Hampir satu jam menunggu, aku mula rasa yang kami tidak akan bertemu. Satu jam lagi berlalu selepas itu. Telefon bergetar. Ada pesanan WhatsApp dari Rizal.

 

Buat apa?

 

Tak buat apa- apa.

 

Bohong sunat. Tak apa, kan?

 

Dinner sama- sama nak tak?

 

Boleh.

 

Macam tak ikhlasL

 

Ikhlaslah! Jumpa malam nanti.

 

Aku menghela nafas, melihat sekeliling. Nampaknya aku memang tidak akan berjumpa dengan dia. aku bingkas bangun, berjalan keluar ke kereta. Baik balik dan bersiap- siap untuk jumpa Rizal malam nanti.

Sampai di kereta, lengan bajuku ditarik. Terkejut besar aku. Hampir- hampir aku menjerit kalau bukan kerana sedar siapa yang menarikku. Hazriq berdiri di tepiku dengan nafas yang termengah- mengah.

“Cepatnya awak berjalan! Penat saya kejar!” kata Hazriq.

Nampaknya kami bertemu juga.

 

 

Pada Rizal, aku hantar pesanan yang aku tidak jadi makan malam dengannya. Selepas bertemu Hazriq aku tidak fikir aku boleh keluar makan malam dengan Rizal pula nanti. Hazriq duduk di depanku selepas meletakkan segelas jus oren.

“Minumlah,” katanya.

“Terima kasih,” kataku.

Kami menikmati minuman kami dengan tenang. Aneh bagaimana aku boleh duduk minum dengannya sekarang. Rindunya aku pada suasana ini. Tetapi suasana tenang itu tidak kekal lama.

“Kenapa awak pergi macam tu saja?” tanya Hazriq secara tiba- tiba.

Wah, dia dan Nurrul Azzwa memang sama!

“Saya ingat awak berkahwin masa tu,” jawabku.

“Tapi saya tak kahwin dengan dia. Dan sekarang pun perasaan saya masih sama. Saya masih cintakan awak.”

Aku bagaikan lupa yang lelaki ini memang selalu berterus- terang begini. Tentang cinta, aku juga sama. Tapi bolehkah aku terima cinta dia? Adakah aku dikira perampas jika aku bersama dia? Tapi jika buat begitu, adakah apa yang akan kami buat ini sama seperti Dyana dan Furqan lakukan pada aku? Jadi apa beza aku dan mereka nanti?

“Saya pernah telefon awak selepas saya tidak jadi berkahwin dengan Furqan. Tapi saya diberitahu yang awak dah kahwin dengan Azzwa,” kataku.

“Siapa yang beritahu?” soalnya.

Aku tidak menjawab. Dia dapat mengagak jawapanku.

“Kenapa awak tak tanya saya? Kenapa awak percayakan cakap orang lain?”

“Macam mana saya nak tanya awak kalau saya tak dapat hubungi awak? Bukan sekali tapi berkali- kali saya cuba!”

“Telefon saya hilang! Untuk pengetahuan awak, saya pun cuba cari cara untuk hubungi awak! Sepatutnya saya terus pergi ke rumah awak saja masa tu!” rungut Hazriq.

Dia tidak tahukah Nurrul Azzwa yang simpan telefonnya?

“Awak tahu yang saya cari awak? Saya cuba hubungi awak tapi tak dapat. Akhirnya saya jumpa keluarga awak tapi saya dah terlewat. Awak dah pindah. Keluarga awak pun tak mahu beritahu saya awak ke mana. Mungkin juga sebab mereka tak kenal saya. Saya tak tahu macam mana lagi nak cari awak. Saya hampir hilang akal!”

“Saya minta maaf,” kataku dengan perlahan.

“Rania,” panggil Hazriq, menyebabkan aku memandang dia. “Awak tak cintakan saya lagi?”

Soalan itu bukan mudah untuk dijawab. Aku tahu jawapannya tapi untuk lafazkan, tidak semudah itu.

“Saya bukan perampas,” jawabku dengan suara perlahan.

“Apa yang awak rampas kalau ia memang milik awak.”

“Tapi itu tak bererti yang ia betul!”

Hazriq mendengus. “Habis awak nak tunggu sampai bila? Setahun tak cukupkah? Berapa tahun?”

Secara jujur, aku memang ingin bersama dia. Tapi setiap kali aku ingin menyatakan apa yang sebenarnya berada di dalam hati, bagaikan ada yang menghalang aku.

“Awak dah ada seseorang di sisi awak?” tanya Hazriq.

Aku cuma membisu.

“Boleh berikan nombor telefon awak? Boleh saya hubungi awak? Saya tak mahu awak hilang lagi,” pinta Hazriq.

Aku membisu tidak membalas.

“Rania, jangan buat saya macam ni,” rayu Hazriq.

Telefon Hazriq bergetar. Dia mengerling telefonnya, mengeluh sebelum akhirnya menjawab panggilan. Nampaknya dia diperlukan dengan segera di pameran.

“Saya perlu pergi,” katanya. “Ini kad saya. Kalau boleh, tolonglah telefon saya.”

Aku tidak membalas. Aku takut aku akan lembut hati nanti. Dia akhirnya pergi. Aku memang hendak bersama dia tapi ada sesuatu yang menghalang. Aku merenung kad di atas meja itu. Akhirnya aku menghulurkan tangan, mengambil kad itu lalu dimasukkan ke dalam beg.

 

 

Aku bekerja bagaikan zombi keesokkan harinya. Rakan sekerja lain yang perasan dengan sikapku menjauhi aku. Takut aku naik angin agaknya.

“Lunch?”

Aku mendongak, memandang Rizal yang merenungku dengan dahi berkerut.

“Tak lapar, pergilah sendiri.”

Rizal tidak pergi, sebaliknya duduk di kerusi kosong di meja sebelah.

“Kenapa tak pergi?” tanyaku.

“Tak pergi jugalah!” jawabnya.

Hesy, tak mahu makan sudah! Malas nak layan!

“Ada masalahkah?” tanya Rizal.

Aku hanya menggeleng.

“Kalau ada masalah cakaplah. Selama ni tak tolongkah kalau ada masalah,” pujuk Rizal.

Bukan tidak mahu cakap tapi tidak tahu bagaimana. Telefonku bergetar tiba- tiba. Nurrul Azzwa lagi! Apa lagi yang dia mahu?

“Assalamualaikum,” sapaku.

Tanpa menjawab salamku, Nurrul Azzwa terus bercakap. “Penerbangan dia akan berlepas dalam tempoh satu jam lagi. Ini peluang terakhir untuk awak. Saya pernah cakap, kan? Buktikan sekuat mana cinta kamu! Kalau awak benar- benar cintakan dia, pergilah dapatkan dia! Jangan jadikan orang lain sebagai alasan. Tapi kalau awak mengalah dan terlepas peluang ini, saya bersumpah akan buatkan dia jatuh cinta dengan saya tidak kira apa cara sekalipun!”

Terus dia letakkan telefon selepas itu. Termangu sebentar aku merenung telefon. Terasa beban yang menghalang aku itu seperti hilang.

Wah, aku perlu cepat!

“Tolong drive saya ke airport!” kataku pada Rizal yang memerhatikan aku sejak tadi. “Secepat mungkin!”

 

 

Tidak sampai setengah jam, aku selamat sampai ke lapangan terbang. Sebab itulah aku minta Rizal hantarkan aku. Kalau aku datang dengan keretaku, entah bila baru aku akan sampai.

            Sepanjang jalan aku cuba untuk menelefon Hazriq, tapi langsung tidak berjaya. Mungkin dia matikan telefon atau berada di luar kawasan. Apa sekalipun, aku merasa semakin cemas. Sebab itulah aku terus meluru masuk sebaik saja Rizal mematikan enjin kereta.

Rizal yang memandu langsung tidak memberi komen. Malah dia keluar mengekoriku ke dalam ruang legar berdekatan Balai Berlepas. Mesti dia tertanya- tanya tapi dia masih mendiamkan diri. Melilau aku mencari Hazriq tapi bayangnya pun tidak kelihatan.

“Kita hendak mencari siapa?” tanya Rizal. “Hendak beli tiketkah?”

Aku tidak menjawab. Kemungkinan besar penerbangan belum berlepas. Tapi bagaimana kalau dia sudah masuk ke dalam Balai Berlepas? Bolehkah aku minta kebenaran untuk mencari dia di dalam? Bagaimana kalau aku minta mereka buat pengumuman untuk memanggil dia, bolehkah begitu?

“Dah banyak kapal yang berlepas,” komen Rizal seorang diri.

Dia sudah pergikah? Aku terlepas diakah? Tak adakah peluang aku dengannya lagi? Mungkin kali ini juga aku terlewat. Aku mengesat air mata, cuba menenangkan diri untuk mencari dia lagi. Tapi bagaimana? Ruang ini bukanlah besar sangat. Kalau kami hendak bertemu, memang bertembung sejak tadi.

“Rania!”

Aku segera berpaling apabila mendengar suara itu. Bagaikan tidak percaya apabila nampak Hazriq berdiri di situ. Hazriq sendiri nampak terkejut melihat aku di sini. Aku segera berlari mendekati dia.

“Macam mana awak tahu saya di sini?” tanya Hazriq.

“Saya ingat awak dah berlepas,” kataku.

“Flight saya delay,” kata Hazriq.

“Oh, ya kah?” kataku.

“Tapi kenapa awak datang?” tanya Hazriq.

“Saya…” Aku menarik nafas, cuba mencari kekuatan untuk menyampaikan apa yang terbuku di dalam hati. “Saya nak beri jawapan kepada awak.”

Hazriq merenungku, kemudian memandang Rizal yang mendekati kami.

“Tentang dia?” tanya Hazriq. “Kalau itu jawapan awak, baiklah saya faham.”

“Apa yang awak faham?” tanyaku, sedikit keliru.

“Dia lelaki yang berada di samping awak sekarang, kan?” Hazriq kelihatan sugul. “Itukah jawapan awak?”

“Bukan dia!” kataku.

“Bukan?”

“Dia paksu saya! Dia anak bongsu opah muda saya!” jelasku.

Hazriq nampak terperanjat. “Eh, paksu awak!”

Rizal yang berada di belakang kami tergelak sambil mengangkat tangan untuk menyapa.

“Awak fikir saya dengan diakah? Mengarut betul!” bentakku.

“Manalah saya tahu!” protes Hazriq. “Habis jawapan apa yang awak nak bagi?”

“Saya…”

Hesy, rosak rancangan aku untuk luahkan perasaan secara romantik! Apa patut aku buat sekarang?

Ah, cara itu pun boleh! Aku mengeluarkan sekeping kad perniagaan, lalu aku hulurkan kepada Hazriq. Dia mengambil dengan riak wajah penuh tanda tanya.

“Telefonlah saya nanti!” kataku.

“Betul?” Hazriq nampak gembira.

“Ya!” kataku, menelan liur. “Kerap pun tak apa. Saya akan sentiasa tunggu panggilan awak.”

Hazriq diam seketika, memproses kata- kataku. Dia mengukir senyum manis selepas itu.

“Bukan dia di samping awak?” tanya Hazriq.

Aku cuma menggeleng.

“Bolehkah kalau orang itu ialah saya?” tanyanya lagi.

Ah, kenapa tanya macam tu? Malulah! Tapi akhirnya aku mengangguk juga, tersenyum malu.

Hazriq tersengih lebar. “Izinkan ummi dan walid saya ke rumah awak minggu ni? Saya ingin meminang awak secara rasmi.”

“Secepat itu?” tanyaku, terperanjat besar.

“Saya dah lama menunggu. Saya tak mahu menunggu lagi,” katanya.

Sekali aku mengangguk dengan wajah merah padam. Senyuman Hazriq pada masa itu ialah paling manis pernah aku lihat darinya.

Hazriq sempat berbual dan memperkenalkan diri kepada Rizal sebelum akhirnya masuk ke Balai Berlepas. Dia melambai- lambai kami dengan wajah yang ceria.

“Simpan banyak rahsia nampaknya,” komen Rizal.

“Siapa?”

“My favourite niece! Ibu dan ayah kamu tahu tak?” tanya Rizal.

Aku hanya menggeleng, membuatkan Rizal tersengih.

“Tahniah!”

Bukan Rizal yang mengeluarkan kata- kata itu, tapi Nurrul Azzwa. Sejak bila dia ada di sini?

“Nampaknya memang jodoh awak dengan dia.”

Komen itu dituturkan dengan wajah yang tenang tapi aku pasti dia sangat sedih sekarang.

“Terima kasih!” kataku. “Kalau bukan kerana awak, saya pasti tidak datang ke sini.”

Nurrul Azzwa mendengus. “Saya lakukan bukan kerana awak tapi untuk diri saya sendiri. Sekarang saya boleh teruskan hidup tanpa dia.”

Mudahnya dia berkata- kata, tapi aku pasti realitinya tidak semudah itu.

“Saya minta diri dulu, assalamualaikum,” kata Nurrul Azzwa.

“Nanti dulu! Saya Rizal!” kata Rizal.

“Saya tak berminat!” balas Nurrul Azzwa dengan dingin.

Nurrul Azzwa terus berpaling dan berjalan pergi. Aku berpaling untuk memujuk Rizal tetapi lelaki itu merenung Nurrul Azzwa sambil tersengih bagai kerang busuk.

“Dia memang cantik!” komen Rizal.

“Dia tak berminat,” kataku.

“Tak kisah!” kata Rizal.

Hah, sudah!

“Jatuh cinta?” tanyaku, serkap jarang.

“Ya!” jawab Rizal tanpa malu.

Aku tergelak. Macam mana keadaan jadi begini pula?

Rizal berpaling memandang aku. “Jom balik pejabat! You have a lot to tell me! Terutamanya pasal si jelita yang baru pergi tadi!”

Aku hanya mengangguk, menurut langkahnya. Nampaknya aku perlu pulang ke Selangor minggu ini. Balik ke pejabat nanti baik aku perlu isi borang untuk bercuti. Tapi lebih baik jika aku maklumkan pada ibu dan ayah dulu. Terkejut pula mereka nanti.

Hai, anehnya hari ini!

No comments:

Post a Comment