“Lunch?”
Aku
tersenyum memandang lelaki itu. Rizal bersandar di mejaku dengan tersenyum
lebar. Aku mengangguk, segera mengemas meja untuk keluar makan bersama dia.
“Rania,
nak pergi sekali tak?” tanya seorang rakan sekerja yang lain.
“Hang
np ajak dia buat apa? Hang tak nampak Rizal tengah dok tunggu tu? Tak payahlah
kita kacau daun,” balas seorang rakan yang lain sebelum sempat aku menjawab.
“Betoi
jugak no!” balas seorang lagi, sebelum mereka keluar sambil tergelak- gelak.
Aku
cuma tersenyum, enggan membalas. Nanti panjang pula ceritanya. Rizal sendiri
tersengih mendengar kata- kata mereka.
Selepas
selesai, aku mencapai beg tangan. Kami jalan beriringan menuju ke lif. Sejak
aku datang ke utara tanah air ini, kami berdua memang selalu bersama. Ayah
sendiri telah mengamanahkan kepada Rizal supaya menjaga aku sebaik mungkin.
“Kita
hendak makan di mana hari ni? Tempat selalukah? Selalu makan yang sama, dah
jemulah!” sungutku.
“Kalau
macam tu, nak cuba kafe baru buka dekat traffic light tu? Mungkin makanan di
situ boleh tahan,” usul Razif.
“Agak-
agak mahal tak?” tanyaku, risau sedikit. Maklumlah gaji pun lambat lagi.
“Manalah
tahu, kan baru buka. Mana pernah pergi,” jawab Rizal. “Tapi jangan risau, it’s
my treat!”
“Betulkah?”
“Betul!”
“Ini
yang sayang ni,” kataku, tersenyum kepadanya.
“Sebab
belanja saja sayang? Habis selama ni tak sayang?” tanya Rizal dengan wajah yang
jengkel.
Aku
dengan sengaja mengangguk, membuatkan lelaki itu merenungku sebelum dia sendiri
mengukir senyum. Aku tahu dia bukannya boleh marah lama- lama dengan aku.
Memang selalu begitu. Dia sendiri tahu aku memang bergurau.
Setahun
berlalu sejak aku mengambil keputusan untuk berhijrah ke sini. Orang cakap,
masa ialah ubat terbaik untuk segalanya. Tipulah! Kerana aku masih terfikir
Hazriq. Sepatutnya aku memang melupakan dia sepenuhnya. Berkali- kali aku
ingatkan diri yang dia pasti bahagia bersama Nurrul Azzwa sekarang. Mereka
mungkin sudah dikurniakan cahaya mata yang comel seperti mereka.
Majlis
konvokesyenku berlangsung tidak lama selepas aku berhijrah. Teringat janji
Hazriq untuk hadiahkan aku jambangan bunga dari Ferrero Rocher. Memandangkan
kami tidak lagi berhubung, mustahil untuk dia buat begitu. Entah- entah dia pun
sudah lupa janjinya itu.
Hmm,
sudah- sudahlah teringatkan dia!
“Rania!”
“Huh?”
Aku memandang Rizal yang mengerut dahi merenungku.
“Sinilah
kafe tu,” kata Rizal, menunjuk kafe yang dipenuhi pelanggan untuk makan tengah
hari.
“Oh,
ya kah?”
Rizal
tergelak. “Fikir apa? berkali- kali panggil pun tak ada respon. Sudah sampai ke
mana tadi?”
“Balik
Selangor sekejap,” balasku, menonong masuk.
Rizal
mengikut sambil tersenyum gelihati.
“Nasib
baik tahu jalan balik. Ingat nak kena hantar koordinat lokasi tadi.”
Mengata
akulah tu! Aku terus duduk di meja yang kosong tanpa menunggu dia. Rizal yang
langsung tidak terkesan dengan sikapku mengambil tempat di depan.
Mujur
kami beberapa saat lebih awal. Selepas kami, tidak ada lagi meja kosong di
dalam kafe itu. Memang popular agaknya. Selepas membuat pesanan, aku melayari
sibuk memeriksa email manakala Rizal sibuk dengan telefonnya sendiri. Lambat
betul pesanan kami sampai, mungkin sebab ramai orang.
“Hujung
minggu kita keluar? Ingat nak beli pakaian yang sesuai untuk majlis jamuan
hujung tahun syarikat nanti,” kata Rizal.
“Tak
boleh pergi sendirikah? Tak tahu jalan? Nak kena hantar koordinat tak? Tak pun
boleh guna Waze,” usikku, membuatkan Rizal mencerlung merenungku.
“Perli,
ya?”
Aku
mengangguk, membuatkan lelaki itu semakin geram. Tetapi cuma setakat itu. Dia
memang tak boleh marahkan aku lama- lama.
“Tak
bolehkah?” tanya Rizal sekali lagi.
“Boleh,
mestilah boleh. Ke hujung dunia pun boleh!” jawabku.
Rizal
tersengih. “Nak cari apa di hujung dunia? Ada apa di situ?”
“Tak
tahu, tak pernah sampai,” jawabku, juga tersengih.
Memandangkan
pesanan kami masih belum sampai, Rizal meminta diri untuk ke tandas. Lambat
juga servis kafe ini. Rasanya ini kali terakhir kami berdua akan datang ke
sini. Aku melihat- lihat sekeliling sementara menunggu. Semua meja masih penuh
dengan pelanggan. Ada yang sudah mendapat pesanan mereka. Untunglah mereka,
kami masih kebuluran. Entah bila makanan hendak sampai.
Ada
beberapa pelanggan baru melangkah masuk. Memandangkan kafe masih penuh, mereka
mengambil keputusan untuk ke tempat lain. Seorang dari mereka, seorang gadis
berhenti melihat sekeliling sebelum memandang aku. Lama juga dia buat begitu.
Aku
sendiri tidak dapat pandang ke tempat lain. Dia seperti seseorang yang aku
kenal. Akhirnya dia mendekati aku.
“Cik
Rania Aisyah?”
Aku
terkebil- kebil. Patutlah aku kenal, rupanya dia!
Macam
mana Nurrul Azzwa boleh ada di sini?
Balik
ke pejabat aku asyik termenung. Patutlah orang kaya selalu lari ke luar negara.
Sekurang- kurangnya kebarangkalian mereka untuk bertembung dengan orang yang
mereka enggan bersua muka adalah tipis. Tapi aneh juga. Antara berbilion orang
di Malaysia, aku masih boleh berjumpa dengan dia!
Nurrul
Azzwa tidak pulang begitu saja. Dia berkali- kali minta nombor telefonku hingga
aku akhirnya bersetuju. Sukar menolak permintaan wanita itu apabila dia mahukan
sesuatu.
Tapi
untuk apa dia mahukan nombor telefon aku? Tak kan dia hendak ambil tahu tentang
bekas saingan cintanya ini? Sudah berkahwin dengan lelaki itu pun masih belum
cukupkah? Hendak sakitkan hati aku lagikah?
“Dah
balik ke Selangor lagi?” usik Rizal. Bila masa pula dia sampai ke mejaku.
“Dah
ke planet Marikh pun,” balasku, masih murung.
“Macam
masalah besar pula? Ada apa sebenarnya?” tanya Rizal.
Tak
kan aku hendak ceritakan pada Rizal tentang cintaku yang lalu. Nanti apa pula
kata dia.
“Tak
ada apalah.” Aku segera mengukir senyum. “Nak apa datang ke sini?”
“Saja!”
jawabnya. “Tak boleh?”
“Tak
boleh!” jawabku tapi Rizal hanya tergelak.
“Jangan
selalu termenung. Kalau ada masalah ceritalah.”
Aku
hanya mengangguk. Rizal akhirnya pulang ke mejanya juga. Aku menghela nafas,
melihat kerja yang bertimbun di mejaku. Lebih baik aku siapkan semua ini
daripada termenung. Tapi telefonku bergetar. Ada pesanan WhatsApp.
Assalamualaikum.
Ini Nurrul Azzwa. Boleh kita berjumpa? Saya ada banyak perkara yang ingin
dibualkan.
Kenapa
pula dia hendak jumpa aku? Tak mahulah jumpa dia!
Akhirnya
aku berjumpa dengan dia juga. Aku sudah cakap, susah hendak menolak permintaan
wanita ini. Berkali- kali dia menghantar mesej sampai akhirnya aku bersetuju.
Kami
bertemu di kafe berdekatan tempat aku tinggal. Sebenarnya, aku juga hendak tahu
apa yang dia ingin bualkan sampai beria- ia dia mengajak aku. Apa yang penting
sangat agaknya?
“Awak
masih cintakan dia?”
Wah,
itu soalan pertama yang dia tanya! Bukan hendak bertanya khabar atau
sebagainya. Bulat mata aku merenung wanita itu. Tapi Nurrul Azzwa dengan tenang
menunggu jawapanku sambil menghirup kopinya.
“Saya
rasa itu bukan masalah awak!” desisku.
Maaflah
sekiranya anginku tidak baik sedikit! Aku sudah berusaha keras selama ini untuk
melupakan dia dan mulakan hidup baru. Aku sanggup bawa diri hingga ke utara
untuk mengelak dari berjumpa. Tapi bertemu dengan Nurrul Azzwa sudah
mengingatkan aku kepada beberapa perkara. Paling penting kepada orang yang aku
rindu itu.
“Mungkin
urusan saya jika awak masih cintakan dia,” kata Nurrul Azzwa, masih tenang. Dia
bagaikan tidak kisah dengan nadaku yang kasar tadi.
“Awak
dah kahwin dengan dia, masih tidak cukupkah?” soalku.
“Saya
belum kahwin dengan dia.”
Eh,
aku salah dengarkah?
“Kenapa-”
Nurrul
Azzwa segera memotong. “Kerana dia batalkan majlis perkahwinan kami.”
Apa
yang sudah berlaku? Aku masih ingat dengan jelas yang dia beritahu aku yang
mereka sudah berkahwin. Macam mana sekarang lain pula ceritanya?
Aku
merenung wanita itu, mengharapkan penjelasan. Tapi Nurrul Azzwa seperti biasa,
tidak tergesa- gesa untuk bercerita. Dia mengambil masa untuk menikmati
minumannya sebelum mula berbicara. Hampir hilang sabar aku menunggu dia
memulakan bicara.
“Awak
masih ingat saya yang jawab panggilan telefon awak tu, kan?” Aku mengangguk
mendengar soalannya. “Masa tu keadaan huru- hara disebabkan keengganan Hazriq
untuk mengahwini saya. Majlis sepatutnya sudah diadakan tapi Hazriq dengan
jelas cakap dia tidak mahu menikah. Mereka bergaduh selepas tu! Kemudian Hazriq
terjatuh selepas ditolak oleh walid saya. Telefon yang ada di dalam poketnya
pun jatuh. Saya yang pegang telefon tu selepas tu.”
Apabila
aku tidak memberi komen, Nurrul Azzwa menyambung. “Masa awak telefon, mereka
semua masih belum habis berbincang di ruang tamu. Saya pula berada di kamar
sebab saya nak elakkan dari jumpa sesiapa. Masa tu lah awak telefon. Saya pun
tak tahu dari mana saya dapat keberanian untuk menipu. Mungkin juga sebab saya
rasa marah pada awak. Pada saya, awaklah puncanya.Tapi saya tak menyesal. Saya
nak cuba selamatkan hubungan kami, tak kira apa pun caranya. Kalau buat sekali
lagi lagipun, saya akan ambil keputusan yang sama.”
Pada
ketika itu, terselit rasa marahku dengan Nurrul Azzwa. Kerananya aku kehilangan
Hazriq. Tapi pada masa yang sama juga aku faham kenapa dia begitu. Jika aku
berada di tempatnya, mungkin aku juga akan ambil keputusan yang sama.
“Sudah
lama dia cuba nak putuskan hubungan tapi saya berkeras. Saya tak dapat terima
yang dia tidak lagi cintakan saya. Jadi semasa dia keluar negara, saya pujuk
kedua keluarga kami untuk adakan majlis pertunangan sebagai kejutan apabila dia
pulang. Memang terkejut betul dia!” kata Nurrul Azzwa, tergelak kecil.
Nurrul
Azzwa menyambung lagi. “Tapi dia masih tidak mahu kembali pada saya. Dia cuba
untuk putuskan pertunangan kami. Dia minta saya putuskan. Katanya tak apa kalau
dia malu. Tapi saya tetap berkeras. Majlis akad nikah itu pun idea saya. Saya
minta adakan majlis lebih awal berbulan- bulan sebelum kenduri dengan harapan
dia tak undurkan diri. Tapi Hazriq berdegil hingga ke akhirnya!”
“Selama
setahun ini, saya cuba pujuk dia. Cinta saya padanya masih sama. Tapi saya
patut tahu, Hazriq sukar untuk berubah. Sekali dia berpaling, dia susah untuk
dia menoleh lagi. Mungkin sebab itu juga saya bencikan awak. Bagaimana awak
boleh buat lelaki itu boleh berhenti menyintai saya? Kenapa dia dapat lupakan
saya?” tanya Nurrul Azzwa.
“Kenapa
awak tanya saya semua itu?” tanyaku.
“Bagi
saya awak orang yang merosakkan hubungan saya dan Hazriq. Sekarang pun saya
masih bencikan awak, awak tahu tak?” tanya Nurrul Azzwa.
Sudah
pasti aku tahu tentang hal itu.
“Saya
tak rampas dia dari awak!” kataku.
“Tapi
awak cintakan dia!” kata Nurrul Azzwa.
“Tapi
saya pernah jelaskan yang saya tak boleh terima dia!” bantahku.
“Ia
tetap tidak mengubah kenyataan yang hatinya berubah disebabkan awak!”
“Habis
apa yang patut saya buat? Saya dah jauhkan diri pun!” kataku, mula rasa tidak
puas hati.
“Saya
tahu,” balas Nurrul Azzwa.
Nurrul
Azzwa mengeluarkan sekeping brosur lalu dihulurkan kepadaku. Aku membaca brosur
itu dengan penuh rasa ingin tahu. Ini berkaitan dengan syarikat Hazriq.
Sekarang One Event sedang menguruskan pameran di Aman Central.
“Hazriq
yang uruskan pameran ni. Sudah seminggu dia ada di sini,” kata Nurrul Azzwa.
Jadi
dia ada di sini sekarang? Begitu dekat denganku!
“Tapi
kenapa awak beritahu saya semua ni?” tanyaku.
“Saya
nak tengok sekuat mana cinta kamu berdua. Betulkah ada jodoh di antara kamu
berdua,” kata Nurrul Azzwa.
“Awak
nak beri musuh awak peluang?” tanyaku dengan sinis.
“Ya,
macam tak percaya, kan?”
Memang
aku tak percaya. Apa pula yang dia cuba mainkan kali ini?
“Tapi
setahun dah berlalu. Perasaan dia mungkin dah berubah,” kataku.
Nurrul
Azzwa tergelak sinis. “Apa yang nak dikisahkan tentang masa? Kenapa? Awak
takut?”
Sebelum
sempat aku membalas, dia menyambung. “Kalau saya dan dia ada perasaan pada
saya. Walau perasaan itu cuma secebis, saya akan berusaha untuk dapatkan dia
kembali. Saya tak akan mengalah dengan mudah. Kalau awak tak berfikiran begitu,
mungkin awak tak sesuai untuk dia sebenarnya.”
Kata-
kata tajamnya itu membuatkan aku terdiam.
“Pergilah
dan lihatlah sama ada kamu berdua boleh bersama,” kata Nurrul Azzwa. “Buktikan
sekuat mana cinta kamu berdua.”
No comments:
Post a Comment