Hujung
minggu, lelaki yang paling comel dalam hidup aku datang ke rumah untuk melawat.
Siapa lagi kalau bukan Danish. Hai, makin comel dia!
“Dah
besar Danish sekarang. Makin comel!” Aku mencuit hidungnya. Danish tergelak-
gelak mengelak jariku.
Aunty
Sofea yang memandang kami tersenyum sayu. Entah apa yang dia fikirkan. Adakah
dia terkenangkan Dyana sekarang?
“Furqan
apa khabar?” tanya ibu.
“Macam
tu lah. Dah enam bulan Dyana meninggal tapi dia masih termenung. Dia tak tunjuk
tapi sesiapa pun boleh perasan yang dia masih bersedih,” jawab Aunty Sofea.
“Semua
orang pun rasa sedih dengan kematian Dyana. Dia anak saya, mestilah saya pun
rasa sedih juga. Tapi kita tak boleh terus bersedih. Arwah pun tak mahu kita
terus macam tu. Furqan mesti belajar untuk teruskan hidup,” nasihat ibu.
“Saya
tahu. Saya pun harap macam tu,” kata Aunty Sofea.
Uncle
Hadi dan ayah yang muncul dari laman mengambil tempat di depan kami. Mereka
pasti ke laman belakang untuk melawat kebun sayur ayah. Selepas dia bersara,
ayah menumpukan lebih banyak masa untuk kebun sayur itu. Sekarang hasilnya
memang menggalakkan. Malah kami tidak perlu membeli banyak sayur untuk di makan
seperti dulu.
“Kamu
apa khabar Rania?” tanya Aunty Sofea.
“Khabar
baik aunty,” jawabku.
Danish
merengek meminta perhatian apabila kami bercakap. Aku menyuap sedikit kek yang
kami sedang makan. Setiap suapan dibalasnya dengan terima kasih, membuatkan aku
tersenyum kepadaku.
“Rania
dah ada teman istimewa?” tanya Aunty Sofea.
Eh,
kenapa tiba- tiba tanya soalan macam ni? Bukan aku saja, semua orang lain
kecuali Danish merenung Aunty Sofea. Mereka juga pasti fikirkan perkara yang
sama.
“Kenapa
aunty?” tanyaku.
Aunty
Sofea memandangku dengan pandangan sukar dimengertikan.
“Aunty
ada permintaan untuk Rania.”
“Permintaan
apa?” tanyaku, mula rasa tidak senang hati.
“Aunty
nak minta kamu kahwin dengan Furqan!”
Terkejut
besar aku! Malah rasanya bukan aku saja yang terkejut. Semua orang lain
menunjukkan reaksi yang sama. Suasana sunyi. Yang kedengaran hanya gelak ketawa
Danish Danish yang berlari di laman apabila bosan tidak dipedulikan kami.
“Kenapa
tiba- tiba aunty cakap macam tu?” tanyaku.
“Bukan
tiba- tiba tapi dah lama aunty fikirkan hal ni. Kamu pun tahu, Danish perlukan
seorang ibu. Tak bolehkah kamu jadi ibu kepada dia? Bukan itu yang Dyana minta
dari kamu?” tanya Aunty Sofea.
Memang
itu yang Dyana mahu tapi untuk mengahwini Furqan, aku tidak fikir aku boleh
lakukannya. Macam mana hendak berkahwin dengan dia jika hatiku milik orang
lain? Lagipun Dyana tak minta aku kahwin dengan Furqan pun.
“Tapi
apa kata Furqan nanti?” tanya ibu yang memerhatikan kami dengan dahi berkerut.
“Tapi
ini untuk kebaikkan dia juga, apa salahnya? Mereka pun pernah bercinta. Mungkin
lepas ni, perasaan lama tu akan berputik balik,” jawab Aunty Sofea.
Oh,
mudahnya dia berkata- kata! Tapi bagi aku yang perlu laluinya nanti, semua ini
tidak masuk akal!
“Tak
eloklah kita buat semua ni tanpa berbincang dengan Furqan. Ini soal hidup dia
juga,” kata Uncle Hadi.
“Saya
nak yang terbaik untuk dia, salahkah
kalau saya buat macam ni? Saya tak nak tengok dia terus murung macam sekarang!”
kata Aunty Sofea.
“Tapi
bukan macam ni caranya! Saya pun nak yang terbaik untuk anak kita tapi kita
kena fikirkan apa yang dia nak juga. Awak pun kena fikirkan pasal Rania juga!”
Aunty
Sofea terdiam mendengar kata- kata Uncle Hadi. Suasana yang ceria tadi kini
bertukar menjadi kekok. Bagaimana tiba- tiba boleh bertukar begini?
“Kamu
tak nak kahwin dengan dia, Rania?” tanya Aunty Sofea.
“Bukan
macam tu aunty tapi saya tak cintakan dia macam dulu lagi aunty. Perasaan saya
dah berubah,” jawabku dengan jujur.
“Tapi
cinta boleh dipupuk balik, kan?” pujuk Aunty Sofea.
“Tapi
aunty-”
Aunty
Sofea segera memotong kata- kataku. “Kamu ada orang yang kamu suka? Sebab tu
kamu tak mahu kahwin dengan Furqan?”
Aku
tidak menjawab. Serba- salah aku jadinya. Aku memang tidak mahu berkahwin
dengan Furqan, kenapa Aunty Sofea tidak faham- faham? Kalau bukan kerana aku
cintakan Hazriq pun, belum tentu aku hendak mengahwini dia.
“Ada
baiknya kita bincang dengan Furqan juga sebelum buat keputusan macam ni. Dan
biarkan dia dan Rania saja yang tentukan sama ada mereka nak berkahwin atau
tidak. Tidak kira apa alasan kita, ini hidup mereka. Kita tak boleh nak ambil
keputusan sesuka hati,” kata ayah.
“Betul
tu! Saya pun tak mahu paksa Rania. Biar dia sendiri tentukan untuk terima atau
tidak,” kata ibu.
Tidak
perlu fikir, aku memang enggan terima! Aunty Sofea kelihatan sugul selepas itu.
Entah berapa lama dia berfikir tentang hal ini. Sebelum pulang, dia menggenggam
erat tanganku.
“Aunty
harap Rania dapat fikirkan hal ni baik- baik. Fikirlah demi Danish juga. Dia
perlukan seorang ibu,” pujuk Aunty Sofea.
Aku
tidak memberi jawapan kepada kata- katanya. Aku memang kasihankan Danish yang
tidak beribu tapi aku tidak fikir menjadi isteri kepada Furqan ialah
penyelesaiannya. Habis apa patut aku buat?
Beberapa
hari berlalu selepas itu. Aku tahu ibu dan ayah tertanya- tanya jawapanku
tetapi mereka tidak bertanya. Barangkali mereka fikir aku perlukan masa untuk
berfikir. Akhirnya ibu yang membuka mulut pada makan malam. Pasti dia penat
menunggu.
“Rania,
kamu ada fikir tentang permintaan Aunty Sofea kamu tu?” tanya ibu.
Ayah
yang sedang makan juga berhenti, memberi tumpuan pada jawapanku.
“Ada
ibu,” jawabku perlahan. “Tapi saya tak fikir saya boleh terima.”
Biarpun
dengan bersolat istikarah dan berdoa, dia masih lagi tidak dapat aku bayangkan
sebagai teman hidupku. Jawapan aku lagi yang aku perlu cari?
“Ibu
dan ayah tak akan paksa kamu. Kalau kamu rasakan itu yang terbaik untuk kamu,
kami akan setuju. Lagipun ini tentang hidup kamu,” nasihat ayah dengan panjang
lebar.
“Betul
tu, secara jujur ibu tidak kisah dengan siapa kamu kahwin. Ibu cuma harap kamu
akan bahagia. Nanti kamu beritahulah kepada mereka. Jelaskan baik- baik, mereka
akan faham,” nasihat ibu pula.
Aku
mengangguk. Sekurang- kurangnya ayah dan ibu memahami dan menerima apa yang aku
mahu. Nanti biarlah aku berjumpa dengan Aunty Sofea untuk menolak dengan baik.
Aku tidak mahu dia terus berharap yang aku akan terima permintaannya itu.
Tapi
niatku untuk berjumpa Aunty Sofea secara berdepan tidak dapat dilakukan
sepanjang dua minggu ini. Dia dan Uncle Hadi telah pergi ke Johor untuk melawat
Furqan. Mungkin juga mereka hendak berbual perkara ini secara berdepan dengan
Furqan. Harap- haraplah Furqan tidak akan terima.
Tidak
senang duduk juga aku memikirkan yang masalah ini belum selesai. Aku terfikir
juga untuk memberitahu melalui telefon tapi Aunty Sofea kerap menukar topik
apabila dia tahu aku akan menyatakan yang aku hendak menolak. Kadang- kadang
panggilanku pun tidak berjawab.
Hujung
minggu aku bertemu dengan Hazriq. Berkali- kali lelaki itu mendesak agar kami
bertemu tetapi aku tolak atas alasan sibuk dengan kerja. Selepas sebulan, aku
kehabisan alasan.
“Jauhnya,
dah sampai ke mana?” tanya Hazriq dengan tersenyum. “Tak puaskah renung saya?”
“Huh?”
Aku terpinga- pinga.
Rupa-
rupanya aku termenung sambil memandang dia sejak tadi. Badan saja di sini tapi
mindaku melayang entah ke mana. Malunya!
“Kenapa
dengan awak ni?” tanya Hazriq, mengerut dahi.
Aku
memandang wajahnya sekali lagi. Kalau aku tanya pendapat dia, apa agaknya yang
dia akan cakap? Tolakkah? Terimakah? Tapi macam mana kalau dia minta untuk aku
terima saja permintaan Aunty Sofea.
Aku
akan simbah dia dengan jus oren ni!
Dia
bukannya tidak tahu tentang perasaan aku pada Furqan selama ini. Lagipun dia
kan pernah cakap dia penyokong kuat aku. Kalau dia nasihatkan aku untuk terima,
dia memang nak kena! Tapi pendapat seseorang boleh berubah. Apa yang Hazriq
fikir tentang Furqan sekarang? Hmm, betul- betul hendak tahu pendapat dia!
“Awak
nak tahu sesuatu?” tanyaku.
Hazriq
hanya memandang aku, tidak menjawab. Mungkin nadaku itu membuatkan dia
tertanya- tanya tentang apa yang ingin aku ceritakan.
“Apa
dia?” tanya Hazriq apabila aku masih membisu.
“Beberapa
minggu yang lepas, Aunty Sofea dan Uncle Hadi datang ke rumah. Mereka bawa Danish
datang melawat,” kataku.
“Pelik
sangatkah kalau mereka datang? Bukan mereka selalu datang melawat?” Hazriq
mengerut dahi.
“Bukan
itu yang peliknya.”
“Habis
tu?” tanya Hazriq, kali ini nampak tidak berminat apabila ceritaku tidak
menarik perhatiannya. Dia mencapai gelasnya lalu minum.
“Aunty
Sofea nak saya kahwin dengan Furqan,” jawabku.
Wah,
aku suka respon automatik Hazriq! Terbeliak mata dia memandang aku. Hampir
tersembur air yang diminumnya. Dengan selamba aku mencapai tisu lalu dihulurkan
kepadanya. Cepat- cepat lelaki itu mengambil tisu yang aku hulurkan itu.
“Awak
terima?” tanya Hazriq sambil mengesat mulutnya.
“Tak!”
jawabku. “Tapi mungkin saya patut terima.”
“Kenapa?”
tanya Hazriq. “Awak cintakan dia lagi?”
“Entahlah.”
Hazriq
menjungkit kening. “Habis tu? Jangan terima! Dia pernah curang dengan awak,
awak dah lupakah?”
“Tapi
manusia boleh berubah,” kataku.
“Dia
tak kan berubah!” bantah Hazriq.
“Macam
mana awak boleh cakap macam tu? Awak bukannya kenal sangat dengan dia pun,”
komenku.
Aku
tidak berhasrat untuk menangkan Furqan tapi respon Hazriq memang mencuit hati
sekarang. Aku menahan diri dari tergelak.
“Sebagai
seorang lelaki, saya boleh tahu tentang lelaki yang lain. Jangan kahwin dengan
dia! Kahwin dengan lelaki yang boleh hargai dan cintakan awak sepenuhnya,” kata
Hazriq dengan penuh yakin.
Macam
siapa? Awakkah? Tapi aku tidak mampu untuk ungkapkan soalan itu. Cukuplah
sekadar bermain di mindaku. Hai, beruntungnya Nurrul Azzwa!
“Tak
ada lelaki yang macam tu untuk saya,” kataku, menghela nafas. Aku segera
menambah sebelum Hazriq membalas. “Tak perlulah risau, saya tak terfikir untuk
terima pun sebenarnya.”
“Betulkah?”
Hazriq nampak lega.
“Ya,
saya berguraulah tadi!”
“Bagus!
Tepat keputusan awak!” Hazriq tersengih lebar.
“Kenapa
awak gembira saya tak mahu kahwin dengan dia?” tanyaku, mengerut dahi.
“O-oh,
sebab saya tak mahu awak buat keputusan yang salah.”
Tergagap-
gagap pula dia. Tapi aku tidak memberi komen. Aku hanya memandang ke luar
tingkap, melihat orang ramai yang lalu- lalang di luar kafe.
“Saya
tak terfikir untuk jadi isteri dia lagi. Antara saya dan dia, dah tak boleh
kembali seperti dulu,” kataku.
“Tapi
itu pendapat awak, bagaimana dengan dia?” tanya Hazriq.
Aku
menjungkit bahu. “Kami dah lama tak berbual. Saya tak tahu apa yang dia fikir.”
“Awak
rasa dia akan terima permintaan ibu dia?”
“Entahlah,
saya tak pasti. Tapi mungkin tidak. Lagipun saya yakin dia masih tak dapat
lupakan Dyana. Belum sampai setahun pun dia pergi,” jawabku.
Betul
tu, cintanya pada Dyana tidak mungkin luput dengan mudah. Aku tahu betapa
mendalamnya cinta lelaki itu kepada adikku.
Telefonku
berdering sejak tadi tapi aku cuma merenung skrin dengan lama. Nombor Furqan
yang terpamer di situ. Baru beberapa hari lepas kami berbual tentang dia. Sudah
lama dia tidak menelefon, jadi aku terasa bagaikan aku bermimpi. Kali terakhir
kami berbual di telefon ialah beberapa tahun yang lepas. Kenapa pula dia
menelefon aku? Peliknya. Akhirnya aku larikkan tangan ke skrin untuk menjawab.
“Assalamualaikum,”
kataku.
“Waalaikumsalam,”
jawab Furqan. “Sibukkah?”
“Tak
adalah sangat. Ada apa awak telefon saya ni?”
“Boleh
kita jumpa hari ni. Saya ada hal penting nak bincangkan dengan awak. Berkenaan
dengan pinangan dari mama tu,” kata Furqan.
Masalah
tidak akan selesai jika melarikan diri. Lebih baik aku selesaikan semua ini
dengan segera.
Aku
menghela nafas. “Kita jumpa di mana?”
No comments:
Post a Comment