Sunday, October 18, 2020

Bab 29

 

‘Tiap- tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan’

-          Al-‘Ankabut, ayat 57

 

Aku tidak pasti bagaimana aku berjalan keluar dari bilik itu. Aku juga tidak pasti bagaimana aku boleh beritahu mereka yang Dyana sudah tidak ada lagi. Segalanya bagaikan mimpi buatku.

Apa yang berlaku seterusnya juga samar- samar bagiku. Yang aku ingat hanyalah aku duduk di kerusi di luar Unit Rawatan Rapi. Ibu dan Aunty Sofea sama- sama menangis sambil berpelukkan. Danish yang sedang didukung oleh Aunty Sofea juga mula menangis walaupun dia mungkin tidak mengerti apa yang berlaku. Ayah sendiri nampak mengalirkan air mata. Uncle Hadi nampak sedih tetapi dia saja tidak menangis.

Furqan pula, menunjukkan reaksi yang paling teruk di antara kami. Lelaki itu terduduk di lantai, menangis semahu- mahunya. Dia memanggil- manggil nama Dyana. Biarpun cuba ditenteramkan oleh ayah dan Uncle Hadi, dia masih lagi tidak berhenti menangis.

Aku tidak tahu sama ada aku menangis atau tidak. Sejak keluar dari bilik itu, aku terus duduk dan tidak berganjak dari kerusi itu. Hendak ke mana, hendak buat apa seterusnya, aku tidak tahu. Aku bagaikan masih belum dapat menerima kenyataan ini.

“Ini semua salah kau!” tengking Furqan secara tiba- tiba.

Aku merenung Furqan, tidak membalas kerana terkejut dengan kata- katanya. Kenapa pula dia kata begitu? Bukan saja aku, mereka yang lain juga sama. Dia yang tadinya menangis semahu- mahunya, tiba- tiba menengking bagaikan singa.

“Apa yang kau dah cakap pada dia? Macam mana dia boleh tiba- tiba mati? Mesti kau dah cakap sesuatu yang sakitkan hati dia, betul tak?” soal Furqan bertalu- talu.

“Aku tak cakap apa- apa pun. Kenapa dengan kau ni?” tanyaku pada Furqan.

“Semua ni salah kau! Sekarang kau dah puas hati?”

“Astaghfirullah, aku tak buat apa- apa pun! Susah sangatkah nak fikir semua tu?” soalku.

“Mana aku tahu! Dia jumpa kau sebelum dia mati. Mesti kau dah cakap apa- apa pada dia. Kalau tak dia tak akan meninggal, kan?”

Dia pasti sudah hilang akal jika sampai begitu sekali dia berfikir.

“Aku tak cakap benda yang bukan- bukan pada dia. Sudahlah, dia dah tak ada. Jangan jadi macam ni!” jelasku walaupun sedar dia tidak akan terima.

Furqan tergelak sinis. Matanya nampak liar. Dia membuatkan aku rasa takut.

“Eh, aku tak rasa ada istilah macam tu dalam hidup kau! Hati kau ni hitam! Entah apa kau dah cakap pada dia. Kalau dia jumpa aku masa tu, mungkin dia masih hidup sekarang!”

PANG! Hampir terjatuh Furqan ditampar sekuat itu. Aku berpaling, melihat tangan ibu yang masih diangkat dekat dengan wajah Furqan. Wajah ibu kelihatan benar- benar marah.

 “Mengucap Furqan! Ingat kepada Allah! Ibu tahu kamu sedih tapi Dyana bukan hanya isteri kamu. Dia anak ibu dan ayah, adik Rania, ahli keluarga kami juga! Kami pun sedih, sama macam kamu. Kematian Dyana langsung tidak ada kaitan dengan Rania,” kata ibu. “Kamu dah lupa pada Qada’ dan Qadar Allah? Kenapa nak letakkan salah pada orang lain?”

Furqan tidak menjawab. Dia duduk bersandar di dinding. Wajahnya benar- benar pucat.Seketika kemudian, beberapa titis air mata menitis di pipi Furqan. Dia mula menangis kembali, walaupun tidak seteruk tadi. Keadaan itu menyebabkan marah ibu reda. Ibu duduk bertentangan dengannya. 

“Ibu pun sedih atas kematian dia, dia anak ibu. Ibu mana yang tak sedih bila anaknya meninggal lebih dahulu darinya. Tapi jangan terus- terusan begini. Dia dah tak ada Furqan. Biarkan dia pergi dengan tenang,” nasihat ibu dengan sebak.

“Kenapa dia tinggalkan saya?” tanya lelaki itu, masih menangis.

“Ini ketentuan Allah, bukannya Dyana minta untuk jadi begini. Kita hanya makhluknya. Sampai masa, kita akan pergi juga. Kita kena terima Qada’ dan Qadar yang ditetapkannya,” nasihat ibu.

Furqan meraup wajahnya dengan kedua tangannya. Tangisannya bagai tidak dapat dihentikan lagi.

Aku sendiri ingin menangis melihat dia. Memang aku sedih dengan pemergian Dyana. tapi bagi Furqan, dia bagaikan kehilangan separuh nyawanya.

“Janganlah menangis lagi. Kuatkan hati kamu. Kamu masih ada Danish. Dia perlukan seorang ayah,” kata ibu.

Furqan tidak membalas. Dia hanya mengangguk, cuba menenangkan diri. Tapi dia masih lagi menangis. Ibu mengesat air mata, bingkas bangun untuk duduk di sebelahku. Dia terus memeluk bahuku.

Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk menempuh dugaan ini. Kuatkanlah hati kami. Kami hanyalah hamba Mu yang lemah.

 

 

Memandangkan Furqan masih lagi belum bertenang, Uncle Hadi dan ayahlah yang menguruskan untuk membawa pulang jenazah Dyana. Jenazahnya akan dihantar ke rumah kami untuk diurus dan dikebumikan. Uncle Hadi dan Aunty Sofea bersetuju supaya jenazah Dyana dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan tempat tinggal kami.

Semasa menunggu proses itu selesai, Danish berlari- lari di koridor. Anak kecil itu nampaknya bosan menunggu. Memandangkan semua orang berada berdekatan kaunter untuk menguruskan hal ini, tinggallah aku dan Furqan untuk menjaga anak itu. Tetapi walaupun Furqan juga ada di situ, dia masih duduk mematung. Tapi sekurang- kurangnya dia tidak lagi menangis. Selepas seketika berlari- lari, Danish tiba- tiba menghampiri aku.

“Mama mana?” tanya anak kecil itu. “Tak bangun lagi?”

Ya Allah, bagaimana aku hendak terangkan kepada dia? Soalan Danish membuatkan aku terasa ingin menangis. Aku menarik nafas, mencari kekuatan. Aku perlu tabah untuk anak ini. Aku sempat mengerling Furqan tapi lelaki itu nampaknya tidak mampu berbuat apa- apa sekarang. Dia masih lagi kelihatan terlalu sedih.

Aku mengangkat Danish, mendudukkan dia di kerusi. Aku cuba tersenyum, walaupun dalam hati aku benar- benar menangis sekarang.

“Mama tidur sayang. Mama tak akan bangun lagi,” jelasku dengan sebak.

“Kejutkanlah, nanti mama bangunlah,” kata Danish Danish.

“Dia tak akan bangun lagi. Mama Danish dah pergi jumpa Allah.”

“Tapi kenapa dia tak bawa Danish? Dia tak sayangkan Danish?” tanya anak itu.

“Dia sayangkan Danish tapi dia tak boleh bawa Danish. Danish kena duduk sini dulu. Sampai masa Danish akan jumpa mama juga,” kataku.

Danish mula menangis. “Tapi bila? Danish nak jumpa mama sekarang!”

Aku kelu, tidak tahu apa yang boleh aku katakan lagi. Tiba- tiba Danish yang diriba aku diangkat oleh sepasang tangan yang kuat. Aku mendongak, melihat Furqan mendukung Danish. Walaupun dia masih kelihatan bersedih, dia nampaknya menguatkan diri. Mungkin dia sudah menerima nasihat ibu. Biarpun Dyana sudah tiada, dia masih ada seorang anak yang memerlukan seorang ayah di sisinya.

 

 

Orang ramai mula memenuhi rumah untuk menziarahi jenazah. Bacaan Surah Yaasin kedengaran dari beberapa kawasan di dalam rumah. Jenazah akan dikebumikan selewat- lewat jam sebelas esok untuk memberi kesempatan kepada sesiapa yang ingin menziarah dan membuat persiapan untuk pengebumian.

Aku merenung Furqan yang duduk berdekatan jenazah Dyana. Sejak pulang dari hospital, di situlah dia berada, tidak henti- henti membacakan Surah Yaasin buat arwah isterinya. Perasaan lelaki itu pasti masih berkecamuk. 

Telefonku tiba- tiba bergetar dengan nama Hazriq terpamer di skrin. Aku segera bingkas bangun untuk menjawab.

“Saya dah sampai di Selangor. Awak ada di hospital mana?” tanya Hazriq.

“Astaghfirullah, saya minta maaf. Saya terlupa nak beritahu awak. Sebenarnya...Dyana dah tak ada. Jenazah dia pun kami dah bawa balik.”

“Innalillahhiwainnailahirajiun.”

Kami berdua sama- sama membisu. Aku berpaling melihat beberapa wanita membaca Surah Yaasin hampir dengan jenazah Dyana. Melihat dia yang kini kaku begitu, mataku berkaca- kaca. Mendengar suaranya membuatkan aku terasa ingin menangis.

“Saya dah hilang dia. Dia dah tak ada,” kataku dengan rasa sebak.

“Sabarlah, Allah lebih sayangkan dia,” kata Hazriq. “Bila dia akan dikebumikan?”

“Esok dalam pukul sebelas.”

“Macam tu. Saya faham awak rasa sedih sekarang tapi saya harap awak banyak- banyakkanlah bersabar.”

“Saya tahu, saya akan cuba.”

“Saya akan cuba datang untuk majlis pengebumian esok.”

“Baiklah.”

Aku menghela nafas, merenung mereka yang masih mengaji. Bagaikan tidak percaya dia telah pergi buat selamanya. Perlahan- lahan aku masuk, duduk berdekatan jenazahnya. Untungnya aku masih lagi dalam keadaan berwuduk, jadi tanganku terus mencapai Surah Yaasin. Perlahan- lahan aku mula membaca.

 

Dyana adikku,

Maafkan kakak kerana menyakiti hati kamu semasa kamu cuba untuk membetulkan kesalahanmu dengan kakak. Kakak khilaf kerana terlalu ego dan hanya berfikir tentang hati kakak yang disakiti. Kakak lupa tentang apa yang lebih penting antara kita. Persaudaraan kita. Hubungan kita. Kamu hanya satu- satunya adik kakak tapi kakak singkirkan kamu hanya kerana seorang lelaki. Sekali lagi maafkanlah kakak. Ini hadiah terakhir kakak untukmu. Damailah kamu di sana. Insya Allah, jika diizinkan, kita bertemu lagi di Padang Masyar nanti.

 

 

Suasana suram dan sayu mengiringi majlis pengkebumian jenazah Dyana. Cuaca yang pada awalnya cerah kini mendung. Aku mengikut hingga ke kawasan perkuburan kerana aku ingin melihat hingga ke akhirnya. Aku juga ingin mengiringi dia ke perjalanan terakhir di dunia ini.

Danish yang didukung Furqan kelihatan resah. Semalam, semasa kami mengaji di sisi jenazah, anak kecil itu beberapa kali menghampiri jenazah Dyana, cuba untuk mengejutkannya. Akhirnya Aunty Sofea yang menangis teresak- esak mendukung anak kecil itu pergi.

Hari ini juga sama. Dia nampaknya tahu mayat yang dikafankan itu jenazah ibunya. Sejak tadi dia asyik merengek. Bila diletakkan ke bawah, dia menerpa ke arah keranda. Akhirnya Furqan terus mendukung biarpun dia merengek berkali- kali.

“Kenapa mama tak bangun?” tanya Danish.

Furqan tersenyum pahit, mengusap kepala anak tunggalnya itu.

“Mama tak akan bangun lagi,” jawab Furqan.

“Kenapa?”

“Mama akan tidur selamanya, mama dah meninggal,” jawab Furqan.

Danish nampak terpinga- pinga. “Meninggal tu apa?”

Furqan tidak menjawab, sebaliknya memeluk erat anaknya. Air matanya tidak mengalir tetapi aku tahu yang dia menangis semahunya di dalam hati.

Aku memandang ibu yang kelihatan tenang. Walaupun wajahnya tidak menunjukkan apa- apa, tapi aku yakin yang dia sebenarnya sangat bersedih. Ibu mana yang tidak merana apabila anaknya meninggal sebelum dirinya. Tapi setenang- tenang dia, air matanya mengalir juga apabila jenazah Dyana diturunkan ke dalam liang lahat.

Aku berpaling apabila sedar seseorang berdiri terlalu dekat denganku.

“Bila awak datang?” bisikku, hairan melihat Hazriq berdiri di sebelahku.

“Tadi,” jawabnya. “Saya nak berada di sini bersama awak. Ini saja yang saya mampu lakukan untuk awak.”

Aku tersenyum tawar. “Terima kasih!”

Dia hanya mengangguk. Kami kembali memberi tumpuan kepada bacaan talkin. Semua orang diam mendengar. Sekali- sekala terdengar esak tangis Aunty Sofea yang tidak dapat menahan kesedihan, biarpun ditenangkan oleh Uncle Hadi.

 

Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

 

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

 

Aku menghela nafas, secara tiba- tiba aku teringat senyumannya. Lesung pipitnya yang dalam menyerlahkan setiap kali dia tersenyum. Gelak tawanya. Senda guraunya. Aku juga teringat pergaduhan kami. Saat- saat terakhirnya. Semuanya bagaikan wayang yang bermain di mindaku.

 

Siapakah Tuhan kamu?

Siapakah Nabi kamu?

Apakah agama kamu?

Apakah kiblat kamu?

Siapakah saudara kamu?

Apakah pegangan iktikad kamu?

Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

 

Aku berpaling apabila terdengar Danish merengek. Furqan segera menenangkan si kecil itu.

 

Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur. Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

 

Aku tidak dapat  mendengar bacaan talkin itu hingga ke akhir. Tiba- tiba air mataku berjujuran. Buru- buru aku beredar ke ruang meletak kenderaan. Kenapa aku menangis pula? Tadi aku masih dapat menenangkan diri.

“Awak tak apa- apa?” tanya Hazriq.

Jadi dia mengikut aku hingga ke sini. Aku hanya menganggukkan kepala kepada soalannya.

“Tiba- tiba saya menangis macam ni!” kataku.

Hazriq hanya mengangguk. Bacaan talkin masih sayup- sayup kedengaran dan sudah sampai ke penghujung.

“Kalau tak mahu tak payahlah kembali ke sana,” kata Hazriq, menghulurkan tisu kepadaku.

Bila pula dia dapatkan tisu? Tapi aku ambil tanpa menyakan soalan itu kepadanya.

“Siapa kata saya tak nak balik? Saya nak baliklah! Saya memang nak balik ke sana,” kataku, masih lagi menangis. “Tapi tak bolehlah kalau macam ni!”

“Ya, saya tahu.”

“Kenapa saya tak boleh berhenti menangis ni?” soalku, terus tersedu- sedu.

“Ya, saya faham,” kata Hazriq dengan sabar. “Tenangkanlah diri awak dulu.”

Aku membisu, cuba mengawal diri, tapi air mataku terus mengalir. Akhirnya hingga tamat bacaan talkin pun aku masih menangis. Selepas itu orang ramai mula meninggalkan kawasan perkuburan. Yang tinggal cuma keluarga kami. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum turut berjalan keluar.

“Saya kena pergi. Ibu mesti cari saya nanti,” kataku, mengesat air mata.

“Baiklah,” kata Hazriq.

“Terima kasih sebab datang ke sini, temankan saya,” kataku lagi.

Hazriq cuma tersenyum kecil. “Awak ni… Hal kecil macam ni, tak perlulah nak ucap terima kasih!”

Aku hanya tersenyum tawar membalas.

“Pergilah, ibu awak dah cari nampaknya.”

Aku berpaling, melihat ibu yang mengeluarkan telefon sambil memandang ke sana- sini. Terus aku bingkas bangun, berjalan menghampiri mereka. Ibu tidak bertanya ke mana aku menghilang, sebaliknya memeluk bahuku. Bibirnya mengukir senyuman biarpun tidak semanis biasa. Aku sempat memandang kubur Dyana yang merah sebelum masuk ke dalam kereta.

 

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

No comments:

Post a Comment