Pertemuan antara aku dan Faiz ialah janji temu yang
terakhir yang aku pergi. Selepas itu aku terfikir untuk ‘berehat’ sekejap. Buat
apa pergi kalau aku masih memilih Hazriq. Lagipun aku perlu tumpukan perhatian
pada kerja dan pelajaran. Peperiksaan pun bakal menjelang. Aku perlu
mengulangkaji untuk mengelakkan daripada gagal. Hendak berjumpa dengan Hazriq
seperti biasa pun tidak sempat.
Tapi nasib baik jugalah Hazriq sendiri kebetulan sibuk
dengan kerja. Syarikatnya mendapat beberapa projek besar yang memerlukan dia
merantau ke sana- sini. Kami hanya dapat berbual di telefon atau membuat
panggilan video.
Hmm, rindu untuk menatap wajahnya!
Tapi
hari itu segalanya bagai tidak kena. Dari pagi aku terasa gundah gulana.
Bagaikan ada sesuatu yang akan berlaku.
“Apa
yang kamu menungkan sejak tadi? Bila kamu nak selesai cuci pinggan tu? Bukannya
banyak pun!” tegur ibu.
Aku
cepat- cepat meneruskan mencuci pinggan yang aku buat sejak tadi. Macam mana
aku boleh termenung hingga menggosok pinggan yang sama terlalu lama. Ibu
tergelak melihat tindakan aku, tetapi dia tidak memberi komen.
“Wah!” jeritku apabila pinggan yang aku pegang
jatuh pecah berderai ke lantai.
Ibu
yang berada di dapur juga terkejut. “Berhati- hati sikit buat kerja tu! Cepat
bersihkan. Nanti ada yang terpijak pula!”
Aku
akur menurut kata- kata ibu. Dari tadi ada saja benda yang aku pegang jatuh.
Sekarang pinggan pula. Rasanya baik aku balik ke bilik dan membaca al-quran.
Mungkin hati aku akan lebih tenang sedikit nanti.
Selesai
membersihkan pinggan yang pecah, aku segera berlalu. Separuh jalan, telefon rumah
berdering. Siapa pula yang menelefon?
“Hello!”
kataku.
“Assalamualaikum,
Rania?” jawab suara itu. Seperti suara Aunty Sofea.
“Waalaikumsalam.
Ya, saya! Aunty Sofeakah?”
“Ya!”
“Ada
apa aunty?” tanyaku.
“Rania,
Dyana kemalangan! Keadaannya agak parah!” kata Aunty Sofea dengan nafas
tersekat- sekat.
Hampir
terlepas ganggang telefon.
“Ya
Allah! Dia ada di mana sekarang, aunty?” tanyaku.
Selepas
bertanya tentang maklumat hospital, aku segera berlari mencari ibu.
“Ibu!”
jeritku dengan kuat.
“Kenapa?”
tanya ibu yang terkejut dengan jeritanku.
Bukan
setakat ibu, ayah juga masuk dari pintu belakang dengan tergesa- gesa. Dia juga
terkejut kerana aku jarang menjerit begitu.
“Kenapa
kamu menjerit?” tanya ayah.
“Dyana
kemalangan! Dia ada di Bahagian Kecemasan sekarang!” kataku.
“Astaghfirullah!”
Ibu menekup mulut.
“Jom,
kita ke hospital sekarang!” kata ayah.
Aku
bergegas ke bilik untuk bersiap ala kadar. Aku sempat mencapai beg dan telefon
sebelum berlari turun. Ibu dan ayah telah menunggu di dalam kereta ayah.
Sepanjang
perjalanan masing- masing tidak bercakap sepatah pun. Aku tidak habis- habis
memikirkan pelbagai kemungkinan. Tapi aku segera berisghtifar, cuba menguatkan
semangat. Insya Allah, mungkin dia tak ada apa- apa!
Ketika
kami sampai ke hospital, Uncle Hadi dan Furqan sedang menunggu di luar Bahagian
Kecemasan. Aunty Sofea pula berada di taman yang bertentangan. Dia pasti
menunggu Danish yang sedang bermain- main di taman itu.
“Macam
mana? Doktor ada cakap apa- apa?” tanya ayah.
Uncle
Hadi menggeleng. “Sejak kami sampai tadi, tak ada sesiapa pun beritahu apa- apa
pada kami.”
Ibu
nampak seperti ingin menangis. Dia memandang ke taman, sebelum pergi
mendapatkan Aunty Sofea. Aunty Sofea yang nampak ibu mula menangis perlahan-
lahan. Mereka berpelukkan, sama- sama cuba menenangkan diri masing- masing.
Aku
pula duduk di kerusi menunggu. Aku tidak tahu berapa lama aku merenung,
mengerling pintu, mengharap seseorang akan keluar untuk memberitahu sesuatu
kepada kami. Aku tidak tahu berapa lama masa berlalu sehingga kami mendengar
pengumuman mencari waris kepada Dyana. Semua orang kecuali aku ke kaunter.
Aku
tidak pasti apa yang disampaikan tetapi nampaknya bukan berita yang baik. Ibu
dan Aunty Sofea menangis berpelukkan. Danish yang tidak mengerti mula menangis
apabila mereka berdua menangis. Ayah dan Uncle Hadi nampak sugul. Apa yang
sudah berlaku kepada Dyana?
Furqan
pula lain reaksinya. Sebelum itu dia sendiri nampak kecewa. Tetapi tiba- tiba
matanya mencari aku. Kemudian dia tiba- tiba meluru ke arahku.
“Puas
hati kau! Ini yang kau harapkan, kan?” soal Furqan dengan bengis.
“Apa
maksud kau? Aku harapkan apa?” soalku, tidak mengerti kenapa dia terlalu marah
kepada aku.
“Betul
apa aku cakap, kan? Kau memang bencikan dia. Memang kau harap dia akan mati!”
tengking Furqan.
Dyana
dah meninggal? Soalan itu tidak terluah olehku. Aku merenung Furqan dengan mata
membulat. Terasa air mata mula bergenang.
“Sekarang
dia dah koma! Keadaan dia parah sekarang! Ini yang kau harapkan, betul tak?”
soal Furqan.
Jadi
Dyana belum meninggal. Rasa lega yang timbul itu hilang apabila sedar kenapa
Furqan begitu marah. Sanggup dia fikir aku begitu!
“Kau
dah hilang akal! Aku tak sejahat tu! Kenapa pula aku nak harapkan semua ni jadi
pada dia?” balasku.
“Sudah!”
tengking ibu. “Furqan, jaga sikit mulut kamu. Apa sekalipun, ibu tahu Rania
bukan macam tu. Ibu tahu kamu sedih tapi jangan sampai berperangai macam ni!
Orang tengah tengok kamu berdua ni. Malulah sikit!”
Dia
terdiam. Furqan kembali berdiri berdekatan pintu masuk ke Bahagian Kecemasan
itu. Dia benar- benar nampak tertekan. Aku yang sedar pandangan mata waris-
waris lain yang memerhatikan kami sejak tadi, segera berjalan menjauhi kawasan
itu. Aku duduk di kerusi batu yang berada di taman.
“Kamu
tak apa- apakah?” tanya ibu yang mengekori aku.
Tak
mungkin aku tak apa- apa. Tapi pada ibu aku hanya mengangguk. Ibu memeluk
bahuku.
“Jangan
ambil hati dengan kata- kata Furqan. Dia terlalu sedih sekarang,” nasihat ibu.
“Sampai
hati dia fikir macam tu. Saya tak sejahat itu ibu. Buruk- buruk pun dia tetap
adik saya! Saya tak akan doakan kematian dia,” kataku.
“Ibu
tahu, ibu kenal anak ibu,” balas ibu.
Kami
berdua diam membisu selepas itu. Aku mengerling Bahagian Kecemasan yang berada
agak jauh. Kelihatan Furqan duduk di kerusi dengan tangan meraup kedua- dua
wajahnya.
“Dyana
tak akan apa- apakah ibu? Doktor cakap apa?” tanyaku dengan perlahan.
“Kecederaan Dyana agak parah. Sekarang pun dia
masih tak sedarkan diri. Doktor cakap dia koma, tak tahu bila akan sedarkan
diri. Doktor mungkin akan pindahkan dia ke ICU nanti,” jawab ibu dengan sebak.
Aku
tidak membalas, sekali lagi mengerling ke Bahagian Kecemasan. Furqan tidak lagi
kelihatan. Mungkin dia masuk menunggu berdekatan pintu masuk.
“Doakan
yang terbaik untuk dia, itu saja yang boleh kita lakukan buat masa sekarang,”
nasihat ibu.
Aku
hanya mengangguk mendengar kata- kata ibu. Apa lagi yang aku boleh lakukan
dalam begini melainkan berdoa dan berharap. Moga- moga dia akan selamat.
“Kenapa
suara awak macam ni? Apa yang dah jadi?”
Aku
seperti ingin menangis mendengar suaranya.
“Dyana
kemalangan! Saya ada di hospital sekarang,” jelasku dengan sugul.
“Astaghfirullah,
keadaan dia macam mana?” tanya Hazriq.
“Saya
tak tahu lagi. Doktor cakap keadaan dia parah. Dia belum sedarkan diri lagi,”
jawabku.
“Awak
banyak- banyakkanlah bersabar. Insya Allah, dia tak akan apa- apa,” pujuk
Hazriq.
Aku
tidak menjawab. Air mataku sekali lagi bergenang. Aku benar- benar menyesal
sekarang. Aku diberi banyak peluang untuk membaiki hubungan kami. Bila hampir
kehilangannya begini barulah aku sedar. Bagaimana kalau aku sudah terlewat?
Bagaimana kalau Dyana pergi dengan berfikir yang aku tidak pernah maafkan dia?
“Saya
dah tak tahu nak buat apa. Fikiran saya buntu sekarang,” keluhku.
“Yang
terbaik yang boleh awak lakukan ialah berdoa. Awak bukannya doktor, awak tak
boleh nak masuk untuk merawat dia. Kalau dia sedar, awak boleh cuba untuk beri
semangat kepada dia. Tapi dia masih tak sedarkan diri. Jadi berdoalah, minta
bantuan kepada Allah supaya dia tidak akan apa- apa,” nasihat Hazriq.
Aku
mengangguk biarpun aku tahu dia tak nampak. “Insya Allah.”
“Kalau
boleh saya nak temankan awak di sana.”
“Tak
perlulah, keluarga saya ada. Lagipun mesti mereka akan hairan nanti. Selain
Furqan dan Dyana, semua orang lain tak kenal awak.”
Hazriq
menghela nafas. “Betul juga. Tapi telefon saya kalau ada apa- apa perubahan
nanti.”
“Ya,
baiklah.”
“Jangan
terlalu bersedih! Kuatkanlah semangat awak!”
“Baiklah.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Aku
menghela nafas, menenangkan diri sebaik mungkin. Aku memandang Bahagian
Kecemasan. Furqan masih duduk berdekatan pintu masuk bersama ayah dan Uncle
Hadi. Ibu dan Aunty Sofea tidak kelihatan. Mungkin mereka membawa Danish ke
mana- mana kerana anak kecil itu juga tidak ada di situ.
Ya
Allah, sembuhkanlah dia! Selamatkanlah dia! Itu saja pintaku sekarang.
Dua
hari berlalu, keadaan Dyana masih sama. Sudah beberapa hari kami ‘berkampung’
di hospital ini. Aku sendiri memohon cuti kecemasan untuk berada di sini. Kalau
aku pergi kerja sekalipun, aku tidak pasti aku dapat memberi tumpuan. Mujurlah
syarikat memahami keadaanku.
Setiap
hari Hazriq menelefon, menanyakan keadaanku. Aku tidak rasa dia patut risaukan
aku. Dyana yang sakit, bukannya aku. Dia tidak putus- putus memberi kata
semangat, meminta agar aku tabah tidak kira apa pun. Sukar untuk lakukannya
sebenarnya. Tapi mendengar suaranya aku terasa lebih kuat.
“Awak
masih berada di hospital?” tanya Hazriq.
“Ya,”
jawabku. “Nak pulang pun rasa berat hati.”
“Saya
faham situasi awak. Tapi jaga kesihatan awak juga. Jangan sampai awak jatuh
sakit nanti.”
“Tak
perlulah risau, bukannya saya yang terlantar di katil tu.”
“Tapi
saya risau!”
Aku
tersenyum sendiri. “Terima kasih. Tapi betul, janganlah risaukan saya. Insya
Allah, saya tak akan apa- apa.”
Dia
menghela nafas. “Ya, kita berbual lagi nanti. Saya harap ada perkembangan yang
baik tentang adik awak.”
“Saya
pun harap begitu juga,” kataku perlahan.
Keluar
dari ruang menunggu, aku kembali ke Unit Rawatan Rapi di mana Dyana di
tempatkan sekarang. Dari jauh kedengaran suara anak kecil menangis. Semakin
mendekat barulah tahu yang menangis itu ialah Danish.
“Kenapa?”
tanyaku, melihat ibu yang kelihatan resah.
“Danish
tak berhenti- henti menangis sejak tadi. Mesti dia rindukan mamanya,” jawab
ibu.
Aku
memandang anak kecil itu yang menangis di pangkuan Aunty Sofea. Kasihan dia, pasti
dia mencari ibunya. Dia masih terlalu kecil untuk mengerti apa yang telah
berlaku.
Aunty
Sofea cuba sedaya- upaya untuk memujuk tetapi masih tidak berjaya. Aku
menggigit bibir, mencari cara untuk menolong. Anak kecil tidak elok terus
menangis begini. Akhirnya aku menghampiri mereka. Mungkin aku boleh cuba untuk
mendukung dan menenangkan dia.
Aunty
Sofea sendiri nampak terkejut apabila aku hulurkan tangan untuk mendukung Danish.
Sesiapa saja dalam keluarga ini tahu, aku tidak pernah sentuh Danish. Aku hanya
merenung dari jauh. Malah kalau boleh aku elakkan dari bertemu mereka
sekeluarga. Aunty Sofea memandang ibu yang hanya mengangguk. Akhirnya dia
hulurkan Danish kepadaku.
Secara
jujur, aku tidak tahu apa patut aku buat. Aku tidak ada pengalaman menjaga anak
kecil begini. Tapi aku peluk dia erat dan urut belakangnya perlahan- lahan.
“Jangan
menangis. Danish anak yang baik, jangan menangis.”
Berkali-
kali aku ulang. Terasa seperti usaha yang sia- sia pada mulanya. Tapi perlahan-
lahan anak kecil itu berhenti menangis. Eh, berkesan!
Aku
memandang ibu, kemudian Aunty Sofea. Kelihatan air mata bergenang di mata
mereka.
“Mama
mana?” tanya Danish.
Aku
mengesat air matanya, cuba untuk tersenyum. “Mama sakit.”
“Nak
mama,” rengeknya.
“Danish
tak boleh jumpa mama lagi. Mama sakit, mama tidur sekarang,” kataku.
“Kejutkanlah!”
pinta si kecil itu lagi.
“Mama
tidur nyenyak, tak boleh kejutkan. Biar mama tidur, nanti mama akan bangun. Danish
nak mama sihat, kan?”
Anak
kecil itu mengangguk. Dia seperti ingin menangis lagi. Tetapi dia akhirnya
memelukku selepas itu. Aku memeluknya kembali dengan erat sambil mendukungnya
menuju Unit Rawatan Rapi ke bersama ibu dan Aunty Sofea.
Ketiga-
tiga lelaki itu ada semasa kami sampai. Aku memandang Furqan, mengharap dia
mengambil Danish dari tanganku tapi lelaki itu langsung tidak memandang aku.
Sejak Dyana dimasukkan ke hospital, dia bagaikan hilang arah. Setiap kali ada
kesempatan, dia akan masuk untuk duduk di sisi Dyana. Dia langsung tidak
pedulikan hal lain. Malah aku dapat rasakan dia langsung tidak pedulikan Danish
pun. Mungkin bagi Furqan, tidak ada yang lebih penting melainkan melihat Dyana
sedar sekarang.
Danish
yang nampak papanya mula merengek minta dilepaskan. Sebaik saja aku letakkan
dia ke bawah, dia terus berlari kepada Furqan. Dia memeluk kaki Furqan, cuba
mendapatkan perhatian tetapi Furqan bagaikan masih tidak perasan dengan
kehadirannya. Tangisan anak kecil itu yang tadinya sudah berhenti seperti akan
bermula sekali lagi. Tapi belum sempat dia menangis, Furqan tiba- tiba
memeluknya. Mata Furqan masih terarah ke arah pintu tapi tangannya memeluk erat
Danish Danish.
Aku
menghela nafas, mengalihkan pandangan dari mereka. Sama seperti mereka yang
lain, pandangan aku terarah ke arah pintu masuk di Unit Rawatan Rapi. Sama
seperti mereka juga, aku berharap pada keajaiban.
Hampir
lima hari berada di hospital, akhirnya ada perubahan pada keadaan Dyana. Semasa
aku, ibu dan Aunty Sofea duduk di taman bertentangan Unit Rawatan Rapi menunggu
Danish bermain, ayah dan Uncle Hadi buru- buru menghampiri kami.
“Dyana
dah sedar!” beritahu ayah dengan gembira.
“Ya
Allah, syukurlah,” kata ibu dengan gembira.
“Tapi
doktor cakap keadaan dia belum stabil. Dia cuma beri respon pada soalan yang
doktor tanyakan,” tambah ayah.
“Tapi
ini berita baik, kan? Dia akan sembuh, kan?” tanya Aunty Sofea.
“Entahlah,”
keluh Uncle Hadi. “Susah nak cakap. Tapi kita doakan yang terbaik untuk dia.”
Aku
memandang ke sekeliling, mencari Furqan tetapi aku tidak nampak bayangnya. Dia
sudah tahukah yang Dyana sudah sedarkan diri?
“Mana
Furqan?” tanya ibu sebelum sempat aku membuka mulut.
“Dia
dah masuk ke dalam untuk berjumpa Dyana,” jawab ayah.
“Biarlah
dia. Dia mesti terlalu gembira dengar berita ni,” kata Aunty Sofea.
Siapa
yang tidak gembira dengan berita ini? Selepas hampir seminggu tertekan,
akhirnya ada perkembangan positif tentang keadaan Dyana. Harap- harap keadaan
dia akan menjadi lebih baik selepas ini.
Tetapi
apa yang kami harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Selepas sedar dan memberi
respon kepada soalan yang ditanyakan, dia tiba- tiba kembali tidak sedarkan
diri keesokkan harinya. Kami yang awalnya gembira kembali menjadi sugul.
Furqan yang paling terkesan. Kegembiraan yang
jelas di wajahnya ketika Dyana sedar hilang serta- merta dengan perubahan itu.
Dia kembali merenung pintu masuk Unit Rawatan Rapi bagaikan patung. Hanya
berganjak seketika untuk bersolat dan menguruskan diri sebelum kembali ke sini.
Aku tidak pasti sama ada dia tidur atau tidak. Biarpun berkali- kali
dinasihatkan supaya pergi berehat, dia masih berdegil untuk duduk di situ.
“Rania,
tak apakah kalau kamu tak pergi bekerja?” tanya ibu.
“Tak
apa ibu, saya dapat cuti sehingga Isnin depan,” jelasku.
“Baguslah
macam tu. Risau juga ibu bila kamu terus berada di sini,” kata ibu. “Nanti kamu
baliklah ke rumah untuk berehat. Boleh kamu bawa pulang pakaian untuk di cuci
juga.”
Aku
hanya mengangguk. Terasa berat hati juga untuk pergi tapi seseorang masih perlu
pulang untuk uruskan semua ini. Telefonku bergetar. Terpamer nama Hazriq di
skrin. Dia masih lagi menelefon setiap hari. Aku segera bingkas bangun,
menjauhi mereka untuk menjawab.
“Assalamualaikum,”
sapaku.
“Waalaikumsalam.
Apa khabar awak hari ni?” tanya Hazriq.
“Saya
tak apa- apalah awak. Hari- hari awak tanya.”
“Saya
risaukan awak. Menunggu orang sakit ni pun kadang- kadang buat orang yang sihat
tu sakit.”
Aku
menghela nafas. “Insya Allah, saya tak akan apa- apa. Lagipun saya tidur di
ruang menunggu bila ada masa. Keadaan saya jauh lebih baik dari Furqan.”
“Kenapa
pula dengan dia?” tanya Hazriq.
Aku
berpaling, merenung lelaki itu dari jauh. Keadaan dia masih lagi sama. Dia
masih merenung pintu masuk.
“Dia
macam hilang arah sejak Dyana kemalangan. Dia tak mahu ke mana- mana pun. Saya
tak rasa dia berehat pun,” jawabku.
“Begitu.”
Aku
menggigit bibir, merenung kejauhan. “Waktu- waktu begini buat saya sedar betapa
dalamnya cinta mereka. Buat saya rasa sedih juga sebenarnya.”
“Kenapa
pula?”
“Baru
saya tahu dia tak pernah cintakan saya sebagaimana dia cintakan Dyana.”
“Awak
cemburu?” tanya Hazriq.
“Sedikit.”
Hazriq
membisu seketika.“Awak masih lagi cintakan dia?”
“Tak,
tak lagi macam dulu. Cuma cemburu hubungan mereka, itu saja.”
“Saya
faham.”
Aku
mengeluh. “Kenapalah pada waktu- waktu macam ni pun saya boleh terfikir hal
begini?”
“Janganlah
fikir banyak sangat,” nasihat Hazriq. “Awak cuma rasa cemburu pada mereka, itu
biasa.”
Aku
berpaling, melihat Furqan masuk ke dalam Unit Rawatan Rapi. Pasti dia ingin
berada di sisi Dyana.
“Saya
akan balik ke Selangor selewat- lewatnya esok. Boleh saya datang melawat di
hospital?” tanya Hazriq.
“Boleh,
apa salahnya,” jawabku. “Lagipun ramai kawan- kawan Dyana dan Furqan datang ke
hospital beberapa hari ini.”
“Baguslah,
saya jumpa awak nanti,” kata Hazriq.
“Um…okay.”
Selepas
putuskan talian barulah aku terfikir, datang jumpa akukah atau melawat Dyana?
Hesy, jangan fikir banyak! Masa- masa begini pun aku boleh fikir begitu.
Kami
yang berbual di luar terkejut apabila melihat Furqan duduk di kerusi
bertentangan dengan pintu masuk ke Unit Rawatan Rapi. Raut wajahnya bagaikan
dia telah menangis.
“Kenapa
dengan kamu? Apa yang dah jadi?” tanya ayah.
Kami
semua juga mendekat, menunggu jawapan Furqan dengan dada yang berdebar- debar.
“Tiba-
tiba keadaan dia jadi tenat tadi. Doktor sedang cuba untuk selamatkan dia. Tapi
mereka cakap, keadaan dia tak begitu baik. Mereka nasihatkan saya supaya
bersedia untuk sebarang kemungkinan,” kata Furqan dengan sebak.
Suasana
yang tenang tadi bertukar menjadi cemas kembali. Masing- masing panik apabila
mendengar kata- kata Furqan itu.
“Macam
mana boleh jadi macam ni? Bukankah dia dah hendak sembuh?” tanya Aunty Sofea.
“Sabarlah,
bawa bertenang. Doktor tengah cuba sedaya- upaya untuk selamatkan dia,” nasihat
Uncle Hadi.
Ibu
yang membisu sejak tadi tiba- tiba terhenyak duduk.
“Ibu!”
jeritku, menerpa ke arahnya.
“Anak
ibu, anak ibu,” ulang ibu, menangis perlahan- lahan.
“Ibu
jangan macam ni. Kuatkan semangat ibu. Insya Allah Dyana tak akan apa- apa,”
nasihatku, memeluk bahunya. Air mataku sendiri mula mengalir perlahan- lahan.
“Betul
tu. Apa sekalipun Allah dah tentukan segala- galanya. Kita sebagai manusia
hanya boleh merancang. Jadi apa yang akan berlaku nanti, kita kena terima
dengan hati yang tabah,” kata ayah.
Ibu
tidak menjawab tapi dia masih menangis. Aku yang masih memeluk bahu ibu turut
menangis. Dalam hati aku tidak putus- putus berdoa agar dia selamat.
Berjam-
jam kami menunggu keputusan dari doktor. Tiba- tiba pintu dikuak, seorang
jururawat keluar.
“Siapa
waris Nur Dyana Asyiekin?” tanya jururawat itu.
Serta-
merta kami semua menghampiri jururawat itu.
“Ada
apa?” tanya ayah.
“Siapa
Rania?” tanya jururawat.
“Saya
Rania. Kenapa?” tanyaku kembali.
“Pesakit
minta untuk jumpa awak. Berkali- kali dia minta untuk jumpa awak,” jawab
jururawat itu.
Aku
memandang ibu dan yang lain, sebelum mengekori jururawat masuk ke dalam. Furqan
seperti ingin mengikut tapi di tahan oleh Uncle Hadi. Tiba di katil Dyana, aku
bagaikan ingin menangis apabila nampak keadaan dia. Kepala, tangan kanan dan
kakinya berbalut. Wayar yang disambung ke pelbagai mesin diletakkan ke
badannya. Aku segera menarik nafas, cuba sedaya- upaya untuk menenangkan diri.
Aku
melabuhkan punggung di kerusi yang berada di sisi katil. Dyana tidak
menunjukkan sebarang tanda yang dia sedar dengan kehadiranku. Aku tidak pasti
apa yang patut aku lakukan. Perlahan- lahan aku hulurkan tangan, memegang
tangannya. Mata Dyana terus terbuka, memandang ke atas.
“Adik,”
panggilku perlahan.
Dyana
berpaling, memandang aku. “Kakak?”
“Ya,
kakak ni. Adik nak jumpa kakak?” tanyaku.
Dia
menangis perlahan- lahan.
“Adik
janganlah menangis,” pujukku. “Insya Allah, adik tak akan apa- apa.”
“Adik…rindu
kakak…macam ni,” katanya.
“Kakak
pun,” kataku. “Maafkan kakak. Kakak dah banyak lukakan hati adik!”
Dyana
menggeleng perlahan. “Bukan salah…kakak.”
Aku
tidak menjawab kerana aku takut air mataku yang aku tahan sejak tadi akan
tumpah.
“Adik…minta…maaf,”
kata Dyana dengan nafas tersekat- sekat.
“Kakak
dah lama maafkan adik,” jawabku dengan sebak.
“Adik
banyak…buat…salah.” Dyana mula menangis dengan lebih kuat.
Melihat
dia menangis begitu, aku akhirnya turut menangis. Jururawat yang bertugas
segera mendekati aku.
“Tak
boleh macam ni. Awak sepatutnya menenangkan dia,” nasihat jururawat itu dengan
lembut.
“Saya
minta maaf. Biar saya keluar dulu,” kataku, segera mengesat air mata.
Belum
sempat aku bangun, Dyana memaut tanganku. Dia menggeleng sambil menangis. aku
segera duduk di sampingnya.
“Adik
jangan macam ni, jangan menangis lagi,” pujukku.
“Jaga…Danish
macam…anak kakak, boleh tak?” pinta Dyana.
Aku
mengangguk, sedaya upaya untuk menenangkan diri. Dyana memandang aku, tersenyum
lemah. Tanpa dibantu, dia mengucap sendiri dengan lancar. Selepas seketika, dia
diam kaku. Monitor di sebelahnya juga menunjukkan garis lurus. Aku terpana.
No comments:
Post a Comment