Friday, October 9, 2020

Bab 20

 

“Eh, kenapa dengan dahi dia?”

“Aku dengar dia bergaduh!”

“Dengan siapa?”

“Aku dengar…”

Mereka memperlahankan suara dan berbual sambil sekali- sekala mengerling aku. Mereka sedang berbisik tentang akukah? Memandangkan cuma aku dan mereka berdua yang berada di dalam lif sekarang, aku teramat pasti mereka sedang berbual tentang aku. Aneh betul mereka ni, mereka ingat aku tak dengarkah? Atau mereka sebenarnya buat begitu dengan sengaja. Lagi satu, mereka asyik cakap mereka dengar itu, dengar ini. Mereka dengar apa dari siapa sebenarnya? Aku tidak ceritakan pada sesiapa pun tentang hal ni. Tak kan ada paparazi yang ikut aku? Aku bukannya artis pun.

Malas untuk menghiraukan mereka, aku terus memandang ke pintu lif, membiarkan mereka bergosip di belakangku. Aku tak mahu ambil tahu. Aku pasti lebih banyak yang tidak benar dari yang benar.

Pintu lif yang dibuka membuatkan aku rasa lega. Semakin lama dengan dua orang perempuan itu, aku terasa semakin sesak nafas. Aku sempat mengerling jam di tangan. Wah, dah lewat! Tergesa- gesa aku berlari masuk ke pejabat.

Zura dan Kak Diba yang berbual- bual berhenti apabila nampak aku. Mereka memandang aku, kemudian berpandangan sesama mereka. Adalah yang mereka sedang katakan dalam diam tu. Tapi aku yakin mereka tidak akan mendekati aku untuk bertanya.

“Rania, apa kena dahi awak?” tanya Encik Anas yang melalui meja aku untuk ke pejabatnya.

“Saya jatuh,” jawabku.

“You’re very clumsy!” komennya.

Aku tersenyum, tidak membalas. Biarlah apa dia hendak fikir, lebih baik aku diam.

“Hati- hati lepas ni, okay?” pesannya.

Aku mengangguk. Puas hati, dia terus berjalan ke pejabatnya.

“Wah, dahi kamu kenapa?” Seorang rakan sekerja lain pula muncul.

Ah, sudah bermulakah? Aku hanya tersenyum menceritakan apa yang berlaku.

 

 

Selain Kak Diba dan Zura yang masih tidak berani mendekati aku, ada ramai yang nampaknya perasaan dengan plaster di dahiku, jadi aku berikan alasan yang sama kepada mereka. Aku cuma cakap aku terjatuh. Entah berapa kali aku ulang cerita yang sama. Kalau tidak memberitahu hal sebenar sepenuhnya, ia tidak dikira menipu, kan? Lagipun mereka tidak perlu tahu apa yang benar- benar berlaku. Biarlah cuma aku, Dyana dan Furqan menyimpan rahsia ini.

 Dyana masih di hospital. Ibu telah menghantar pesanan WhatsApp yang dia akan menziarahi Dyana pagi ini dan bertanya jika aku ingin menyampaikan apa- apa pesanan kepada Dyana. Tanpa berfikir aku terus menolak.

Pesanan apakah yang aku boleh sampaikan pada dia? Bagiku lebih baik kami tidak bersua muka langsung untuk beberapa ketika. Anehnya aku merasa sakit hati apabila memikirkan semula betapa kuatnya hubungan dia dengan Furqan. Malah hubungan mereka bagaikan lebih utuh berbanding ketika aku ialah pasangan lelaki itu. Ah, kenapa aku perlu berperasaan begini? Aku masih menyimpan perasaan pada Furqan?

Apa sebenarnya perasaan aku pada dia sekarang? Aku pasti aku tidak lagi menyintai lelaki itu dengan begitu mendalam seperti dulu. Mungkin yang tinggal hanya sisa perasaan cinta dulu yang menunggu masa untuk hilang.

Sepatutnya aku sudah dapat melupakan dia dan mulakan hidup yang baru. Bukan mudah untuk tidak kelihatan kekok apabila bersua tetapi marahku masih belum reda. Malah setiap kali memandang atau mengingati mereka, hatiku masih terasa disiat- siat.

Telefonku bergetar. Ada pesanan WhatsApp dari Hazriq.

 

Assalamualaikum. Saya ada di kawasan pejabat awak. Nak makan tengah hari bersama tak? Saya tunggu di kafe hari tu.

 

Hmm, bolehlah dari aku terus termenung di sini.

 

Okay!

 

Aku mencapai beg, bergegas untuk keluar makan tengah hari.

 

 

Hampir lima belas minit menunggu, batang hidung Hazriq pun belum nampak. Dia telah menghantar pesanan WhatsApp berkali- kali yang dia terperangkap dengan kesesakkan lalu lintas. Ada kemalangan katanya. Siap hantar beberapa keping gambar sebagai bahan bukti takut- takut aku tidak percaya. Macamlah aku ni paranoid sangat. Patutkah aku nasihatkan dia tentang keburukkan memandu sambil menggunakan telefon bimbit? Nanti kalau kemalangan macam mana?

Memandangkan aku sahabat yang baik, aku nasihatkan juga dia supaya berhati- hati memandu. Aku menempah makanan sementara menunggu dia datang. Jadi tidak perlulah dia tergesa- gesa.

Bosan menunggu, aku mengeluarkan telefon untuk melayari Internet. Belum sempat aku melarik skrin, ada panggilan dari ibu. Mungkin dia hendak beritahu keadaan Dyana. Aku menggigit bibir.

Ah, sudahlah! Aku tidak boleh tidak menjawab panggilan dari ibu. Aku menghela nafas, melarik skrin dan menyapa ibu.

“Kenapa lambat jawab telefon?” tanya ibu.

“Ada hal sikit. Kenapa ibu?”

Terdengar ibu menghela nafas. “Ibu baru keluar dari melawat Dyana. Furqan pun ada.”

Lain macam suara ibu nampaknya. Aku tidak memberi komen. Dari cara ibu bercakap, dia seperti ada sesuatu yang ingin dia katakan.

“Kenapa tak beritahu ibu?” tanya ibu.

Dadaku berdebar. “Beritahu apa?”

“Yang Furqan tolak kamu malam itu?”

Lelaki ini! Kenapa dia ceritakan kepada ibu? Dia sudah hilang akal? Ah, aku memang sepatutnya tahu dia sudah hilang akal! Sebab itulah dia boleh curang kepada aku!

“Rania, kamu dengar tak cakap ibu?” tanya ibu dengan suara meninggi.

“Ya, ibu! Saya dengar!”

“Kenapa tak beritahu ibu tentang hal tu?” soal ibu sekali lagi.

“Benda dah lepas pun, tak perlulah kita bincang lagi,” jawabku perlahan.

Bagiku, ia bagaikan sudah lama berlalu. Kalau boleh aku tak mahu ingat lagi bagaimana Furqan dengan marah telah menolak aku apabila aku menampar Dyana, wanita yang dia cintai sekarang. Aku tahu dia dan aku tidak lagi bersama, jadi dia tak perlu fikir tentang aku lagi, kan?

Oh, tiba- tiba hatiku sangat sakit!

“Kenapa pula tak perlu bincang? Apa yang dia buat tu melampau! Nasib baik kamu cuma luka sikit saja. Kalau teruk macam mana?” soal ibu dengan marah- marah.

“Ibu, dia tak bermaksud nak cederakan saya. Lagipun saya yang tampar Dyana dulu. Dia cuma nak pertahankan Dyana.”

Kenapa pula aku hendak mempertahankan dia? Ah, apa kena dengan aku?

“Apa sekalipun, dia tak boleh mengangkat tangan kepada begitu kepada kamu. Dia ingat kamu tak ada mak ayah untuk dibuat sesuka hati? Dan jangan nak mempertahankan dia lagi! Ibu tak faham betul dengan perangai kamu ni!”

Aku sendiri tidak faham kenapa aku hendak mempertahankan Furqan selepas apa yang telah berlaku.

“Furqan yang beritahu ibu yang dia tolak saya malam tu?” tanyaku.

“Dyana yang beritahu! Lelaki tu diam saja walapun dia ada di situ! Kalau Dyana tak buka mulut, sampai bila pun ibu tak tahu!”

Jadi bukan Furqan yang beritahu ibu. Entah kenapa, hatiku terasa kecewa. Apa yang aku harapkan sebenarnya? Aku sendiri jadi keliru sekarang.

“Ibu, apa yang berlaku tu cuma kemalangan. Lagipun saya tak faham kenapa Dyana beritahu ibu semua ni,” kataku.

“Sebab ibu berhak tahu! Dyana asyik tanya keadaan kamu. Dia menangis sambil minta maaf. Kalau dia tak cerita, kamu pun nak tutup mulut. Ibu betul- betul tak faham apa nak jadi dengan kamu semua ni!”

Aku diam mendengar leteran ibu. Kalau aku menjawab nanti, pasti dia tidak akan berhenti.

“Perkara ni belum selesai. Kita akan bincang bila kamu balik kerja nanti. Ibu tak dapat maafkan Furqan sebab cederakan kamu. Ibu tak peduli kamu bergaduh macam mana sekalipun dengan Dyana sebab ibu tahu kamu tak akan cederakan dia macam apa yang Furqan dah buat pada kamu. Perbuatan Furqan tu memang melampau!”

“Ibu lupakah saya dah tampar Dyana?” tanyaku, cuba menduga itu.

“Yang tu pun kita bincang kemudian! Jangan balik lewat hari ni. Ibu akan tunggu kamu nanti!”

Habislah aku nanti. Aku menghela nafas. “Baik, ibu!”

“Kita jumpa nanti. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Selepas memutuskan talian, sekali lagi aku menghela nafas. Kenapa Dyana ceritakan apa yang berlaku malam itu pada ibu?

“Saya salah dengarkah? Awak cakap Furqan yang cederakan awak?”

Aku berpaling, melihat Hazriq berdiri di sebelahku dengan wajah menyingga. Lepas satu, nampaknya sudah timbul lagi satu masalah.

 

 

“Kenapa rahsiakan dari saya?” soal Hazriq untuk sekian kalinya. Sejak dia sampai dan dengar perbualan antara aku dan ibu, dia terus- terusan menanyakan soalan itu. Aku pula terus membisu. Makanan yang aku tempah telah di hantar sejak tadi sampai tetapi sampai sekarang langsung tidak disentuh.

“Dia tolak awak depan Dyana?” Hazriq tiba- tiba mengubah soalan tetapi aku masih membisu.

“Dyana tak cakap apa- apa? Dia biar suami dia cederakan awak?” soal Hazriq lagi.

Aku terasa seperti ingin mempertahankan Dyana tapi mulutku masih berat untuk bersuara.

“Eh, apa kena dengan dia? Dah la dia musnahkan hubungan cinta awak, dia macam tak ada perasaan bersalah langsung!” desis Hazriq.

“Bukan macam tu!” kataku tiba- tiba.

Entah kenapa aku rasa marah dengan Hazriq kerana terus mengeji Dyana.

Hazriq tersenyum herot. “Habis tu?”

Senyuman dia membuatkan aku rasa sakit hati. Akhirnya dia berjaya membuatkan aku bersuara.

“Semuanya cuma hal yang kecil. Tapi masing- masing terlalu marah masa tu, hal yang kecil menjadi besar. Saya marahkan Dyana, saya tampar dia. Furqan marah saya tampar Dyana, dia tolak saya. Tapi saya pasti dia tak sengaja nak tolak kuat sangat sampai saya terjatuh macam tu. Semua tu kemalangan!”

Hazriq merenungku. “Tapi itu tak mengubah kenyataan yang awak rahsiakan apa yang dah terjadi dari saya.”

“Sebab saya tak mahu besarkan hal ni. Apa yang berlaku tu, kalau boleh saya nak lupakan.”

Hazriq mengeluh. “Kadang- kadang awak ni baik sangat!”

“Awak cakap macam saya selalunya jahat!” komenku.

“Tak adalah macam tu,” kata Hazriq. “Tapi tak apa. Untuk kali ni saya terima alasan awak tu. Tapi secara jujur, saya akan tumbuk dia kalau saya jumpa dia lagi!”

“Kenapa?” Terkejut aku mendengar kata- kata Hazriq.

“Sebab dia memang melampau! Tak kira apa sekalipun, saya tetap tak dapat terima alasan dia!” kata Hazriq dengan marah.

Aku harap mereka berdua tidak akan bertembung sampai kemarahan Hazriq reda. Cukuplah dengan masalah yang aku ada sekarang.

“Sudahlah, jangan marah lagi. Kita makan dulu. Dah sejuk pun makanan ni,” pujukku.

“Saya marah untuk pihak awak!” kata Hazriq, tapi sekurang- kurangnya dia mula menjamah makanannya.

“Ya, saya ucapkan terima kasih! Sudahlah tu, tak mahu cakap tentang hal ni lagi,” kataku.

Hazriq tidak menjawab, cuma mengangguk. Hesy, marah benar dia! Pertama kali aku nampak dia marah begini. Walaupun aku tidak suka jika dia dan Furqan saling bertumbuk, jauh di sudut hati aku rasa tersentuh dengan apa yang dikatakannya tadi.

 

 

Perjalanan pulang dari kerja agak kekok. Aku dan ayah memang jarang berbual apabila kami cuma berdua. Memandangkan aku sudah tahu yang aku akan dileter oleh ibu dan ayah apabila pulang nanti, suasana di dalam kereta lebih kekok dari biasa. Ayah pasti sudah tahu apa yang sudah terjadi kerana ibu pasti ceritakan kepada dia. Tidak ada rahsia antara mereka berdua. Tapi ayah tidak bercakap apa pun. Jadi aku juga memilih untuk mendiamkan diri dan merenung ke luar tingkap.

Ibu membuka pintu apabila kami sampai. Aku menghela nafas. Apa sekalipun, aku tak fikir aku lakukan kesalahan besar hingga perlu takut untuk mendengar apa yang ingin mereka berdua akan katakan. Ah, ayat sedapkan hati! Aku menarik nafas panjang dan membuka pintu kereta. Lebih baik aku selesaikan semuanya sekarang.

Ibu dan ayah mendengar penjelasan aku tanpa sebarang komen. Aku ceritakan apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka tanpa menyembunyikan apa- apa pun. Aku sebenarnya ingat mereka akan berleter panjang. Tapi ibu cuma akhirnya memberi nasihat agar aku tidak lagi menyembunyikan hal- hal sebegini dari mereka lagi.

“Jangan di sebabkan dia dah tak ada perasaan pada kamu, dia boleh buat sesuka hati. Tak kiralah dia suami kepada Dyana sekalipun, kamu lebih penting kepada ibu. Kamu anak ibu! Ibu tak dapat terima kalau orang sakiti kamu!” leter ibu.

Ayah mengangguk. “Bagi ayah apa yang dia buat tu melampau. Tak kira apa pun alasan dia, dia tak patut naikkan tangan pada kamu!”

“Tentang masalah kamu dan Dyana, nanti kamu selesaikan dengan Dyana. Dia tak perlu masuk campur!”

Tapi masalah itu pun ada kaitan dengan Furqan juga. Mungkin sebab itu dia masuk campur. Tapi kalau aku jawab begitu, pasti mereka akan berleter dengan lebih panjang.

Ibu menghela nafas. “Cukuplah sekali benda macam ni jadi. Ibu tak nak kamu semua bergaduh sampai ada yang cedera lagi. Nasib baik tak jadi apa- apa yang serius! Ibu dah cakap dengan Dyana dan Furqan. Ibu minta mereka faham dengan perasaan kamu.”

Aku membisu, tidak menjawab.

“Kepala kamu masih sakit?” tanya ibu, akhirnya berhenti bercakap tentang hal itu.

“Dah tak apa- apa,” jawabku.

“Esok biarlah ayah hantarkan kamu sehari lagi. Lusa kalau kamu rasa betul- betul sihat, kamu boleh pergi kerja sendiri,” kata ayah.

Aku mengangguk mendengar kata- katanya.

“Pergilah naik tukar pakaian dulu. Nanti turun untuk makan malam sama- sama,” arah ibu.

“Baik, ibu.”

Aku segera bingkas bangun menuju ke bilik. Lega rasanya apabila semuanya sudah selesai. Aku betul- betul ingat mereka akan marah atau kecewa dengan sikapku tempoh hari.

No comments:

Post a Comment