Wednesday, October 7, 2020

Bab 19

 

Selepas minum, Hazriq membawa aku ke satu kawasan perumahan. Pada awalnya dia hendak menghantarku pulang tetapi aku berkeras untuk berada di kafe itu saja sampai aku dapat fikir hendak ke mana. Hampir lima minit kami bertengkar di kafe! Akhirnya dia memberi cadangan supaya aku mengikutnya.

“For my sake, tolong ikut saya!” kata Hazriq dengan serius.

“For your sake?” Aku menjongket kening.

“Nanti saya risau dan akan telefon awak berkali- kali malam ni. Boleh hilang akal saya nanti.”

Akhirnya aku bersetuju. Lagipun aku percayakan Hazriq. Aku percaya dia tidak ada niat jahat terhadapku.

“Rumah siapa ni?” tanyaku apabila melihat dia membelok masuk ke sebuah rumah.

“Rumah saya!” Dia tersenyum herot.

Boleh aku tukar fikiran sekarang?

Tanpa memperdulikan aku yang berfikir sama ada aku patut larikan diri atau tidak, Hazriq keluar dan memberi salam. Eh, ada orang lainkah di rumah?

Perlahan- lahan aku keluar, mengekorinya dari belakang. Tapi aku berhenti agak jauh dari pintu. Aku tidak pasti sama ada aku patut ikut masuk atau tidak. Tiba- tiba pintu dibuka dari dalam. Seorang wanita yang agak sebaya dengan ibu muncul di pintu.

“Assalamualaikum, ummi!” kata Hazriq, tersenyum girang. Dia terus menyalami wanita itu.

“Waalaikumsalam! Mimpi apa balik malam- malam macam ni?” tanya wanita itu.

“Saya rindukan ummi!” seloroh Hazriq, membuatkan wanita itu tersenyum lebar.

“Ada- ada saja kamu ni!” Wanita itu memandangku. “Ini siapa?”

“Ummi, ini Rania. Sebab dialah saya datang ni,” kata Hazriq. “Rania, ini Hajah Aminah, ummi saya yang paling jelita!”

Hajah Aminah tergelak mendengar kata- kata Hazriq.

“Ada berapa ramai ummi kamu sampai boleh tahu mana paling jelita?” tanya Hajah Aminah kepada Hazriq yang hanya tersengih. “Sudah, masuklah dulu! Kita berbual di dalam!”

Aku mengekori mereka ke ruang tamu. Hazriq duduk di sebelahku. Hajah Aminah sekali- sekala memandang aku dengan penuh tanda tanya. Dia pasti tertanya- tanya tentang gadis yang mengikut anak terunanya pulang malam- malam begini. Sudahlah begitu, gadis itu bertampal di dahi lagi.

“Awak tak tinggal di sini?” bisikku pada Hazriq.

“Tak, sekarang saya tinggal lebih dekat dengan pejabat,” jelas Hazriq.

“Ada sebab apa kamu datang?” tanya Hajah Aminah setelah kami duduk di sofa.

“Rania ada masalah ummi. Sekarang dia tak dapat pulang. Saya nak minta izin ummi untuk benarkan dia bermalam di sini. Esok, pagi- pagi saya akan hantar dia balik ke rumah,”kata Hazriq.

“Masalah apa sampai tak boleh balik?” Hajah Aminah nampak keliru.

Bunyi pintu dibuka membuatkan kami bertiga berpaling. Seorang lelaki masuk sambil memberi salam. Hajah Aminah segera bangun untuk menyambut lelaki itu.

“Lewat abang malam ni,” kata Hajah Aminah.

“Saya jumpa dengan kawan lama di masjid tadi. Biasalah bila dah lama tak jumpa. Itu yang lambat balik,” jawab lelaki itu, kemudian memandang aku dan Hazriq. “Bila kamu balik?”

“Baru sampai walid,” jawab Hazriq, kemudian memandang aku. “Ini walid saya, Haji Akram. Walid, ini Rania, kawan saya.”

Aku hanya tersenyum pada Haji Akram. Dia nampak seperti seorang yang garang. Tetapi telahanku salah apabila lelaki itu tersenyum membalas.

“Anak dara siapa pula yang kamu culik malam- malam ni?” tanya Haji Akram seraya duduk di depanku. Hajah Aminah duduk di sebelahnya. Aku dan Hazriq duduk bertentangan dengan mereka.

“Bukan macam tu walid. Tak kan saya nak culik anak dara orang! Rania ada masalah, sebab tu saya bawa dia ke sini!” jelas Hazriq.

“Masalah apa?” tanya Haji Akram.

Hazriq memandang aku. Aku menghela nafas, mengangguk perlahan. Jadi dia ceritakan secara ringkas apa yang telah berlaku. Ada beberapa perkaran yang dia rahsiakan dari ummi dan walidnya. Aku tersentuh kerana dia masih mahu melindungiku tidak kira pada saat ini sekalipun. Jadi secara ringkas, Haji Akram dan Hajah Aminah tahu aku bergaduh dengan adikku tetapi tidak tahu kenapa. Mereka juga tahu yang Dyana ada di hospital sekarang dan ahli keluarga yang lain semuanya ada di sana.

“Hmm, macam tu. Baiklah, kamu berehatlah dulu di sini malam ni. Tenangkan fikiran kamu dulu. Tapi telefon keluarga kamu, maklumkan pada mereka kamu ada di mana. Jangan sampai mereka risau,” kata Haji Akram.

“Betul kata pakcik kamu tu. Pasti ibu kamu tercari- cari kamu nanti,” kata Hajah Aminah pula.

“Baiklah. Terima kasih sebab benarkan saya bermalam!” kataku.

“Tunjukkanlah bilik tetamu untuk dia. Nampaknya dia pun letih dan perlukan rehat,” arah Haji Akram.

“Mari ikut makcik,” kata Hajah Aminah.

Aku bingas bangun mengekori Hajah Aminah. Sempat aku mengerling Hazriq dan tersenyum sebagai tanda terima kasih. Dia sendiri tersenyum membalas. Hajah Aminah membawaku ke tingkat atas. Setelah menunjukkan bilik dan arah kiblat, dia membawa sepasang pakaian dan tuala untuk aku menukar pakaian.

“Ini pakaian kakak Hazriq. Entah muat atau tidak. Tapi badannya lebih kurang badan kamu,” kata Hajah Aminah.

“Terima kasih makcik. Tapi dia tak kisahkah kalau saya pakai pakaian dia?” tanyaku.

“Makcik rasa dia tak akan kisah. Lagipun dia tak tinggal di sini sekarang. Dia ada di Jordan. Lepas kahwin dia menetap di sana. Suaminya mengajar di sebuah universiti di Jordan,” jawab Hajah Aminah.

“Macam tu.”

“Nanti jangan lupa telefon keluarga kamu. Jangan buat mereka risau!” pesan Hajah Aminah.

“Baik, makcik!”

Hajah Aminah meninggalkan aku untuk menguruskan diri. Telefonku sekali lagi bergetar. Aku menggigit bibir, merenung skrin. Nampaknya ibu yang cuba menelefon aku lagi. Belum sempat aku menelefon, ibu yang berbuat begitu terlebih dahulu.

“Assalamualaikum,” sapaku perlahan. Aku tahu ibu akan mula berleter.

Tepat jangkaanku, ibu terus marah- marah tanpa menjawab salamku. “Kamu di mana? Ibu ingat kamu dah pulang tapi di rumah pun tak ada. Ibu telefon pun kamu tak jawab. Kenapa buat macam tu?”

“Maaf ibu tapi janganlah risau. Saya ada di rumah kawan saya sekarang,” jelasku.

“Kawan yang mana? Kenapa pula nak tidur di rumah dia? Balik ke rumah kita saja!”

Aku mengeluh. “Malam ini biar saya tidur di sini saja. Saya nak tenangkan diri dulu. Esok awal- awal pagi saya akan balik.”

Ibu menghela nafas. “Ibu tak berapa suka kamu tinggal di rumah orang yang ibu tak kenal. Tapi ibu boleh faham kenapa.”

“Jadi ibu benarkan?”

“Cuma untuk malam ni. Esok awal- awal pagi ibu nak kamu balik ke rumah.”

“Baik, ibu.”

“Lagi satu, tak perlu risau tentang Dyana. Keadaan dia sudah stabil. Dia dah sedar pun sebelum ibu balik tadi,” kata ibu.

“O-Oh…”

“Jadi tak perlulah risau lagi. Ibu tahu kamu risaukan keadaan dia, kan?” tanya ibu.

“Saya tak risau pun!” Buru- buru aku menjawab.

“Ibu kenal anak- anak ibu. Tak apalah, berehatlah dulu malam ni. Esok pagi kita jumpa. Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam!”

Nampaknya Dyana juga tak apa- apa. Baguslah kalau begitu. Aku menghela nafas. Terasa bagaikan hilang satu tekanan yang menyesakkan sejak tadi.

 

 

Awal pagi lagi aku bangun. Selesai membersihkan diri dan bersolat, aku terus turun ke bawah. Hajah Aminah sudah sibuk di dapur ketika aku turun.

“Awalnya kamu bangun,” komen Hajah Aminah.

“Saya solat Subuh. Lepas tu saya memang tak biasa tidur balik. Makcik memasakkah? Ada apa- apa yang saya boleh tolong?” tawarku.

“Tak payahlah. Duduk saja di situ. Kamukan tetamu. Nanti makcik hidangkan makanan,” kata Hajah Aminah.

“Tak apa makcik, saya dah biasa tolong ibu. Biar saya tolong makcik hari ni,” bantahku. Aku mencapai pisau, memotong menolong sayur untuk dimasukkan ke dalam bihun goreng.

Hajah Aminah tersenyum. “Dah lama tak ada orang di dapur dengan makcik. Anak perempuan makcik dah lama tak balik. Hazriq pula bukannya suka sangat ke dapur. Jadi makcik memang selalu seorang diri macam ni.”

“Hazriq pernah cakap yang dia boleh memasak,” komenku.

“Dia memang boleh memasak. Setakat nak hidup tu memang lepas. Tapi itulah, dia memang tak minat sangat benda- benda macam ni. Kamu pandai memasak tak?” tanya Hajah Aminah.

Aku tersengih, menggeleng. “Tapi saya pandai menolong.”

“Tak apa, perlahan- lahanlah belajar. Makcik mula- mula kahwin dulu pun tak pandai. Nasib baik pakcik kamu tu tak mati keracunan!” seloroh Hajah Aminah.

Aku tergelak kecil. “Ya, makcik!”

Hajah Aminah menghela nafas. “Nanti bila kamu dah balik, sunyi baliklah makcik.”

“Mungkin makcik perlu gesa Hazriq supaya cepat kahwin,” usulku secara bergurau.

“Betul juga!” kata Hajah Aminah dengan serius. “Baik juga kalau dia cepat kahwin dengan Nurrul Azzwa!”

Aku terdiam mendengar kata- kata itu. Entah kenapa, aku rasa terhiris mendengarnya. Aku tidak pasti kenapa. Tapi yang pasti, aku tidak akan dapat berjumpa dengan Hazriq dengan lebih kerap selepas dia menjadi suami orang. Nurrul Azzwa pasti tidak suka suaminya berjumpa dengan wanita lain, biarpun orang itu cuma kawan baik suaminya.

“Bila kamu nak kahwin Rania?” tanya Hajah Aminah.

“Belum ada jodoh lagi makcik!” jawabku.

“Tak ada calonkah?”

Aku tersenyum pahit. “Tak ada.”

“Eh, tak kan tak ada yang suka pada kamu?” tanya Hajah Aminah.

“Tak ada, saya tak laku!” gurauku.

“Hesy, tak mungkinlah! Tak apa, beritahu makcik lelaki yang macam mana yang kamu nak. Makcik tolong carikan,” tawar Hajah Aminah.

Yang macam Hazriq.

Eh, apa yang aku fikir? Nanti Hajah Aminah fikir aku gatal pula!

Apabila sedar Hajah Aminah menunggu jawapanku, aku segera menjawab secara bergurau. “Yang cukup empat syarat itu makcik.”

“Oh, yang macam tu! Nanti makcik carikan untuk kamu.”

Bersungguh- sungguh pula nampaknya Hajah Aminah.

“Tak apalah makcik, saya cuma bergurau. Bagi saya biarlah jodoh saya tu datang sendiri,” kataku.

“Tapi kita kena berusaha juga!” kata Hajah Aminah.

Aku hanya tersenyum. Kalau aku menjawab tak habis juga nanti. Hampir selesai memasak, Hazriq dan Haji Akram muncul. Nampaknya mereka ke surau untuk bersolat bersama- sama.

“Pergi hidangkan minuman ni. Biar makcik siapkan bihun goreng ni,” arah Hajah Aminah.

Aku menurut, membawa minuman ke meja makan. Haji Akram yang nampak aku tersenyum.

“Tetamu pula yang masak,” komen Haji Akram.

“Saya cuma tolong makcik. Pakcik dan Hazriq jemputlah sarapan!” pelawaku.

“Mari Hazriq! Hari ini ada bidadari yang hidangkan makanan untuk kita!” kata Haji Akram dengan tersenyum girang, lalu duduk.

Hazriq yang mengekorinya tersengih apabila nampak wajahku yang merah padam. Tidak pernah aku digelar bidadari oleh sesiapa pun.

“Amboi abang, hari- hari saya masakkan untuk abang, abang tak pernah pun panggil saya bidadari!” komen Hajah Aminah yang datang membawa semangkuk besar bihun goreng.

“Sebab awak bidadari syurga saya. Saya pernah beritahu, kan?” jawab Haji Akram.

“Itu dulu, masa saya masih anak dara,” kata Hajah Aminah.

“Sekarang pun sama. Tak ada yang berubahnya tentang awak. Dulu dan selamanya awak bidadari syurga saya!”

Berseri- seri Hajah Aminah mendengar kata- kata Haji Akram itu. Dia duduk di sebelah suaminya dan melayani lelaki itu makan dengan mesra.

“Duduklah makan Rania. Nanti Hazriq boleh hantarkan kamu pulang,” kata Hajah Aminah dengan tersenyum.

Aku mengangguk, mengambil tempat di sebelah Hazriq. Sekali- sekala aku mengerling pasangan yang makan dengan mesra itu dengan rasa kagum. Hazriq yang perasan aku melihat mereka mengisyaratkan agar aku makan. Nampaknya ini memang pemandangan biasa untuknya.

 

 

“Kirim salam pada keluarga kamu,” pesan Haji Akram.

“Baik, pakcik!”

Hajah Aminah memelukku. “Kalau senang datanglah lagi.”

“Insya Allah! Terima kasih sebab benarkan saya bermalam semalam.”

“Hal kecil saja tu. Hazriq, hantar anak dara orang pulang baik- baik!”

“Ya, baiklah!”

Aku memerhatikan mereka dari dalam kereta sehingga mereka hilang dari pandangan.

“Keluarga awak memang baik,” kataku pada Hazriq.

“Sebab itulah saya pun orang yang baik.”

Aku tahu dia bergurau tapi apa yang dikatakannya itu juga benar. “Saya tahu.”

“Saya berguraulah,” balas Hazriq.

“Tapi saya tak bergurau. Saya memang maksudnya. Terima kasih,” kataku.

Hazriq tersenyum kecil mendengar kata- kataku. “Sama- sama.”

Hazriq menghantarku hingga ke pagar rumah. Aku melihat rumah yang kelihatan sunyi. Mungkin ibu dan ayah sedang bersarapan.

“Masuklah dulu. Saya tunggu sampai awak berada di dalam,” kata Hazriq.

“Nanti sampaikan salam saya pada ummi dan walid awak. Cakap saya ucapkan terima kasih.”

“Tapi tadi awak dah cakap pun.”

“Berapa kali pun tak cukup.”

“Hmm, ya lah. Masuklah cepat!”

Hazriq memandu pergi apabila aku berada di dalam rumah. Tepat jangkaan aku, ibu dan ayah sedang bersarapan. Mereka saling berpandangan sebelum ibu bangun mendapatkan aku.

“Kepala kamu masih sakit?” tanya ibu.

“Berdenyut sikit. Tapi saya dah makan ubat tahan sakit,” jawabku.

“Marilah sarapan dulu. Nanti kamu berehatlah,” kata ayah.

“Tak apa, saya dah makan tadi dengan keluarga dia. Saya berehat dulu,” kataku.

Ibu menghantarku hingga ke bilik. Aku tahu dia ada banyak yang ingin dia tanyakan tapi dia menahan diri. Dia duduk dibibir katil apabila aku menyelimuti badanku.

“Ibu nak tanya apa yang dah jadi, kan?” tanyaku setelah ibu membisu dengan lama.

Ibu menghela nafas. “Memang begitu niat ibu tapi ibu tak pasti jika sekarang ialah masa yang sesuai.”

Aku diam, tidak membalas.

“Ibu dapat agak apa yang dah berlaku dan ibu tak nak salahkan sesiapa. Tapi ibu harap sangat, demi kebahagian kamu, kamu dapat maafkan mereka. Memang kejam permintaan ibu ni tapi ibu tahu yang kamu tidak akan rasa tenang selagi kamu tak dapat lupakan apa yang dah berlaku. Ibu nak anak ibu bahagia,” kata ibu dengan mata yang berkaca- kaca. 

“Saya tahu saya patut cuba maafkan mereka tapi entah kenapa, hati saya rasa berat sangat,” luahku perlahan.

“Berilah masa pada diri kamu untuk maafkan mereka. Ibu tahu selama ini kamu berusaha untuk tabahkan diri dan cuba hidup seperti biasa. Jika ibu di tempat kamu, belum tentu ibu dapat lakukan sebaik kamu. Jadi jangan rasa bersalah atau rendah diri kalau kamu masih sukar untuk maafkan mereka kerana ibu tahu kamu dah cuba yang terbaik,” Ibu merangkul aku, memelukku erat. “Ibu bangga dengan kamu!”

Ayat ibu itu menyebabkan air mata aku kembali mengalir. Aku membalas pelukkannya. Betul kata orang, pelukan ibulah yang paling hangat. Pelukan ibu juga membuatkan aku rasa lebih tenang.

Berikan diriku masa untuk memaafkan mereka. Ibu dan Hazriq cakap perkara yang sama. Tapi betulkah masa boleh merawat luka di hatiku? Berapa lama yang diperlukan untuk melupakan apa yang telah berlaku? Sukar untuk aku menjawab soalan- soalan ini.

 

 

Hari terakhir hujung minggu yang sarat dengan drama ini aku habiskan dengan berehat dikatil. Kepalaku yang awalnya cuma berdenyut- denyut mula melarat sakitnya menjelang tengah hari. Nasib baik ia mula reda apabila malam mengunjung tiba. Kalau tidak terpaksalah aku bercuti esok.

“Esok kamu bekerjakah?” tanya ibu.

“Ya, kepala saya dah tak berapa sakit lagi,” jawabku.

“Kalau sakit jangan paksa diri,” nasihat ayah.

“Saya memang tak apa- apa ayah!”

“Hmm, baguslah. Buat sehari dua ni, biar ayah hantarkan kamu pergi balik ke tempat kerja. Senang sikit hati ayah.”

Kalau aku membantah pun pasti ayah tidak akan setuju. Jadi aku mengangguk saja.

“Esok awal- awal pagi saya nak pergi melawat Dyana. Abang nak pergi sekali tak?” tanya ibu kepada ayah.

Ayah mengeluh. “Kalau diikutkan, memang saya nak ikut awak tapi saya kena pergi kerja esok. Inikan tiga bulan terakhir saya sebelum bersara. Banyak yang perlu saya lakukan untuk penyerahan tugas kepada orang lain.”

“Tak apa, saya boleh ajak Sofea. Sofea ada tawarkan untuk datang jemput saya. Hadi ada mesyuarat, jadi tak dapat datang dengan dia. Jadi dia minta saya temankan dia. Nanti saya beritahu dia yang saya boleh datang dengan dia.”

“Baguslah macam tu,” kata ayah.

Mereka kembali membisu selepas itu. Ibu dan ayah pasti masih memikirkan keadaan Dyana. Dengan usia kehamilannya yang semakin sarat, dia tidak boleh tertekan seperti tadi. Entah kerana aku marahkan dia atau kerana terkejut melihat kepalaku yang berdarah, aku tidak pasti punca sebenar dia begitu tertekan. Dia dan aku tidak boleh berjumpa buat masa sekarang. Keadaan yang sama mungkin akan berulang. Patutkah aku cuba menjauhkan diri dari dia? Tapi dia juga patut cuba menjauhkan diri dari aku.

 

 

Malamnya Hazriq menelefon untuk bertanya khabar.

“Esok awak bekerjakah?” tanya Hazriq.

“Ya, kepala saya dah tak sakit lagi,” jawabku.

“Alhamdulillah, baguslah macam tu!”

“Awak sampaikan tak ucapan terima kasih saya pada ummi dan walid awak?” tanyaku.

“Dah! Tak percayakan sayakah?” tanya Hazriq.

“Bukan macam tu. Saya takut awak terlupa.”

“Samalah!”

“Merajukkah?” usikku.

“Ya!”

Aku tergelak.

“Gelak pula!” komen Hazriq.

“Habis awak nak saya menangis?” tanyaku. “Jangan jawab!”

Hazriq tergelak besar.

“Pergilah berehat, esok kita jumpa untuk makan tengah hari sama- sama,” kata Hazriq.

“Baiklah, selamat malam. Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam. Selamat malam, Cik Bidadari!” kata Hazriq.

Serta- merta terasa wajahku panas.

“Jangan panggil macam tu! Malulah!” bentakku.

“Walid saya panggil awakmacam tu tapi awak tak cakap apa- apa pun.” komen Hazriq.

“Dia lain.”

“Apa yang lainnya?” tanya Hazriq.

 “Tak tahu! Selamat malam!” bentakku.

Terus aku putuskan talian. Tanganku meraup muka. Ya lah, apa yang lainnya? Anehnya. Kenapa perkataan yang sama mengundang emosi yang berbeza bila diungkapkan oleh orang yang berlainan. Kenapa ya?

No comments:

Post a Comment