Tuesday, October 6, 2020

Bab 18

 

Aku memegang dahi yang sudah dijahit dan ditampal plaster. Doktor sudah menerangkan keadaanku dan aku dibenarkan pulang. Aku juga diberi cuti sakit untuk satu hari. Sementara menunggu ibu dan ayah yang sedang menunggu keputusan keadaan Dyana, aku duduk di kerusi Bahagian Pesakit Luar. Aunty Sofea dan Uncle Hadi juga ada bersama mereka.

Jamuan yang sepatutnya meriah bertukar menjadi begini akhirnya. Siapa sangka pada penghujung hari, aku dan Dyana terpaksa dibawa ke rumah sakit.

Aku memerhatikan orang ramai yang lalu- lalang. Biarpun waktu melawat sudah hampir tamat, masih ramai orang memenuhi kawasan hospital ini. Lama lagikah Dyana di dalam? Entah bagaimanakah keadaan dia. Diakan sedang hamil, tak elok jika stres seperti tadi. 

Eh…buat apa aku kisah?

Aku meraba tampalan di dahiku. Luka ini masih belum terasa sakitnya. Mungkin kesan dari ubat bius sebelum dijahit masih berbaki. Jam di dinding menunjukkan malam yang semakin lewat. Nasib baik aku diberikan cuti sakit untuk esok. Aku tidak fikir aku dapat pergi bekerja esok dengan apa yang berlaku hari ini.

Mataku mencari ibu dan ayah. Lamanya mereka berada di Bahagian Kecemasan. Aku terfikir- fikir untuk pulang sendiri tapi ibu pasti akan marah jika aku pulang tanpa memberitahu mereka. Baik aku telefon mereka.

Aku mengeluarkan telefon, melarik- larik skrin mencari nombor ibu. Selepas beberapa deringan, ibu akhirnya menjawab.

“Dyana masih di dalam, kamu tunggulah sekejap lagi. Kalau sunyi, datanglah menunggu dengan kami di sini,” kata ibu.

“Tak apalah ibu, saya tunggu di sini saja!” balasku.

“Rania…” keluh ibu.

“Saya nak pergi beli minuman ibu, saya haus!” kataku, cuba menamatkan panggilan. Aku enggan mendengar arahan dari ibu untuk menunggu di bahagian kecemasan bersama- sama dengan yang lain.

“Baiklah kalau macam tu. Tunggu kami sekejap lagi, ya? Nanti ibu telefon bila kami selesai di sini. Ibu tak boleh balik selagi ibu tak tahu keadaan Dyana macam mana tapi ibu tak nak kamu pulang sendiri juga, faham?” kata ibu yang akhirnya akur.

Selepas memutuskan panggilan, aku terus termangu di situ. Terukkah keadaan Dyana sehingga dia mengalami pendarahan? Sudah berapa lama dia berada di Bahagian Kecemasan? Aku asyik teringatkan apa yang berlaku tadi. Jahatkah aku mengeluarkan kata- kata kasar kepada Dyana? Kalau bukan kerana aku melepaskan marahku tadi, pasti keadaan tidak akan jadi seteruk ini. Tidak, bukan salah aku!

Kalau bukan dia…

Tapi…

Tak sebab dia dan Furqan!

Tapi…

Ah, kenapa hati aku rasa tidak tenang?

Aku menggosok tanganku perlahan. Baru aku sedar yang aku sedang menggigil. Aku bingkas bangun, mencari mesin layan diri untuk mendapatkan minuman. Mungkin selepas minum sesuatu, aku akan rasa lebih lega.

Tidak, langsung tidak membantu. Dari Bahagian Pesakit Luar, aku duduk di kerusi batu berdekatan mesin layan diri. Aku mengeluarkan telefon, ingin menelefon atau berbuat sesuatu yang boleh membuatkan hati aku merasa tenang. Tapi hendak telefon siapa? Aku tidak ramai kawan, apatah lagi yang rapat untuk berkongsi masalah begini. Kawanku yang paling rapat ialah Dyana tetapi kami tidak lagi berbual seperti dulu selepas dia mengkhianati aku. Sekarang aku tidak ada sesiapa untuk berkongsi masalahku. Hendak melayari Internet, aku tidak tahu hendak melayari apa sekarang. Lagipun otakku terlalu berserabut sekarang.

Ya Allah, bantulah aku. Tenangkanlah hatiku. Aku benar- benar buntu sekarang!

“Puas hati kau sekarang!”

Aku mendongak, melihat Furqan berdiri di depanku dengan wajah yang menyingga.

“Kenapa? Apa yang aku dah buat?” soalku.

“Kau boleh tanya lagi? Kau ingat baik- baik, kalau jadi apa- apa pada isteri atau anak aku, aku tak akan maafkan kau!” ugut Furqan.

“Aku tak buat apa- apa pun!” sangkalku.

“Sebab kau dia tertekan! Dyana tu adik kau. Satu- satunya pula tu. Demi ego kau yang tinggi sampai ke langit tu, kau tak mahu maafkan dia. Sekarang dia tak sedarkan diri. Tekanan darah dia naik sebab hal tadi!” kata Furqan.

“Jadi kau salahkan aku sekarang?” tanyaku dengan marah.

“Habis salah siapa lagi?” sindir Furqan. “Lebih baik berdoa untuk mereka berdua supaya tak ada apa- apa. Sekurang- kurangnya ada juga kebaikkan yang tinggal dalam diri kau ni!”

Terus dia pergi selepas itu. Aku pula baru sedar ramai yang memerhatikan pergaduhan kami tadi, membuatkan aku rasa malu dengan apa yang berlaku. Langkah segera aku hayun meninggalkan tempat itu. Aku tidak boleh berada di situ.

 

 

Aku duduk termenung di bangku di dalam 7-Eleven berdekatan dengan hospital. Untung juga ada kedai yang dibuka secara 24 jam seperti ini. Sekurang- kurangnya aku ada tempat untuk dituju sambil memikirkan apa yang aku ingin lakukan seterusnya.

Aku terfikir untuk bermalam di hotel bajet, tapi aku masih perlu untuk berjimat. Masih ada banyak hari sebelum aku menerima gaji yang seterusnya. Hmm, apa patut aku buat sekarang?

Pekerja di dalam premis ini sekali- sekala memandang aku. Apa lagi yang dia tidak puas hati? Mungkin juga sebab aku sudah lama duduk di sini. Tapi aku beli makanan dan minuman sementara duduk. Aku dikira sebagai pelanggan, kan? Entah- entah dia pelik melihat seorang gadis yang bertampal di dahi dan ada kesan darah pada pakaian. Aku segera membetulkan tudung, cuba menyembunyikan tampalan di dahiku.

Telefonku beberapa kali bergetar. Pasti ibu mencari aku. Dia belum tahu tentang pergaduhan kecil antara aku dan Furqan tadikah? Besar kemungkinan Furqan tidak akan beritahu dia. Sejak tadi sudah entah berapa kali ibu cuba menghubungi aku.

Eh, bukan ibu! Hazriq!                    

Tiba- tiba begitu teringin untuk mendengar suaranya. Aku segera melarik skrin untuk menjawab.

“Assalamualaikum,” sapaku.

“Waalaikumsalam.”

Hanya sepatah yang dituturnya tetapi aku terasa ingin menangis dan bercerita tentang apa yang berlaku.

“Jamuan dah tamatkah?” tanya Hazriq.

“Ya.”

“Kenapa awak macam tak ceria? Ada masalahkah?”

Aku menghela nafas, mengesat air mata yang bergenang. “Tak ada apa- apalah. Saya okay.”

“Saya tak percayalah. Apa yang dah jadi?” desak Hazriq. “Rania?”

“Saya…bergaduh dengan Dyana tadi,” jawabku perlahan.

“Awak jumpa dia?”

“Tak, dia yang datang untuk jamuan tu. Aunty Sofea dan yang lain pun datang juga.”

Aku rasa Hazriq mengerti siapa mereka yang lain itu.

 “Macam mana awak boleh bergaduh?”

“Dia jumpa saya di bilik. Kami bertengkar. Sekarang dia ada di hospital.”

“Awak pula, macam mana?” tanya Hazriq.

“Saya tak apa- apa,” jawabku.

Loceng pintu berbunyi apabila ada seorang pelanggan melangkah masuk.

“Itu bunyi locengkah? Awak ada di mana sekarang?” tanya Hazriq.

“7-Eleven yang dekat dengan hospital.”

“Seorang diri?”

“Ya, mereka yang lain berada bersama Dyana di Bahagian Kecemasan.”

“Jadi awak seorang diri sekarang?”

“Ada pekerja 7-Eleven, jadi saya tak seorang diri.” kataku

“Dah malam ni, tak elok awak berada di luar seorang diri. Bahaya juga,” kata Hazriq. Dia kedengaran risau.

“Tak perlu risaulah,” kataku.

“Biar saya temankan awak,” tawarnya.

“Tak payahlah, saya tak akan apa- apa,” tolakku dengan baik.

“Tapi saya risaulah! Biar saya temankan awak,” bantahnya.

“Jangan risaukan saya, saya tak akan apa- apa,” ulangku, tersenyum kecil. “Kita berbual lagi nanti, assalamualaikum!”

Aku tidak menunggu responnya. Terus aku letakkan telefon. Aku tidak mahu menyusahkan Hazriq malam- malam begini.

Pekerja itu sekali lagi menjeling aku. Hesy, apa masalah dia? Sudahlah, carilah tempat lain sekarang!

Aku mendengus, bingkas bangun. Sebaik keluar, rintik air mengenai wajahku. Bila pula hujan ni? Nampaknya entah sejak bila hujan turun dengan lebat. Aku segera berjalan di koridor bangunan untuk mengelak dari terkena hujan. Ada hotel bajet berdekatan kawasan ini. Mungkin aku boleh menginap di situ malam ini. Tentang duit perbelanjaan, aku akan cari jalan lain untuk menampung keperluan sehingga gaji yang seterusnya.

 

 

Aku berdiri di depan pintu masuk hotel bajet ini. Wang di dalam dompetku cukup untuk bermalam malam ini. Ah, yang lain fikirlah kemudian! Aku menolak pintu melangkah masuk. Oh, ramai orang juga di lobi! Masih ada bilik kosongkah?

Sebelum sempat sampai ke kaunter, sepasang kekasih yang tiba- tiba masuk terus ke kaunter dengan pantas. Si lelaki memaut pinggang pasangannya dengan erat. Mereka tergelak- gelak. Entah apa yang kelakarnya.

“Tauke, bilik biasa!” kata si lelaki. Pasangannya masih tersenyum girang.

“Nah”! kata tauke, menghulurkan kunci.

Mereka mengambil kunci, kemudian dengan segera berjalan ke tangga. Tangan masing- masing tidak habis- habis meraba tubuh pasangan masing- masing. Kenapa dengan mereka berdua ni? Pelik aku tengok!

Tapi apabila difikirkan balik, pelik juga hotel ni! Orang ramai yang memenuhi lobi ini juga agak ganjil. Ramai yang berpakaian menjolok mata. Ada pasangan yang berbual sambil memegang tubuh pasangan mereka tanpa segan silu. Ada juga beberapa lelaki yang memerhatikan aku dengan senyum gatal.

Eh, hotel ni…

“Amoi mau apa? Mau bilik ka?” Tauke menegur dengan senyuman yang menakutkan aku.

Tanpa sepatah kata, aku terus berlari keluar.

 

 

Jadi begitulah bagaimana aku boleh berteduh di stesen bas sekarang. Secara jujurnya aku memang takut memandangkan kawasan ini agak sunyi. Sesiapa saja yang lalu- lalang nampak mencurigakan untukku. Tapi aku tidak tahu hendak ke mana sekarang.

Telefonku bergetar lagi. Ibukah yang sedang mencariku? Mungkin dia hendak memaklumkan perkembangan keadaan Dyana. Ataupun Hazriq yang menelefon lagi. Yang pasti aku enggan menjawab panggilan dari sesiapa pun sekarang.

Hujan masih renyai- renyai dan cuaca agak sejuk, membuatkan aku menggigil sedikit. Aku segera menggosok tangan, cuba mencari sedikit kehangatan. Ah, ke mana aku hendak pergi sekarang? Tak kan aku hendak menunggu di sini hingga esok? Hendak pula ke rumah, terasa berat hati pula. Mungkin aku boleh berpatah balik ke 7-Eleven tadi. Pedulikan saja pandangan aneh pekerja itu! Yang penting aku selamat.

Seketika kemudian aku terasa seperti ada orang mendekati aku lagi. Serta- merta aku mendongak, melihat Hazriq berdiri di depanku. Aku bermimpikah?

“Macam mana awak boleh ada di sini?” tanyaku dengan hairan.

Dia mendengus. “Dia pula yang tanya soalan tu.”

“Huh?”

Hazriq mengambil tempat di sebelahku. “Awak tak apa- apakah? Kenapa dengan dahi awak?”

Spontan, aku meraba tampalan. “Saya terjatuh masa kami bergaduh tadi.”

“Sakitkah?”

“Tak adalah.” Aku menggeleng. “Awak belum jawab lagi. Macam mana awak ada di sini?”

Dia menghela nafas. “Saya cari awaklah. Saya rasa tak senang hati nak biarkan awak seorang diri di luar malam- malam macam ni. Macam mana kalau jadi apa- apa? Nasib baik saya datang. Buat apa awak duduk tempat sunyi macam ni?”

Aku membisu. Panjang pula dia berleter.

Hazriq bingkas bangun. “Jom, kita ke tempat lain! Tempat ni tak berapa sesuai!”

Aku merenungnya seketika sebelum bangun untuk mengikut.

 

 

Kami ke kafe di kawasan berhampiran. Sementara menunggu Hazriq membeli minuman, aku melihat- lihat orang yang lalu- lalang di luar. Nampaknya hujan sudah mula reda. Cermin kafe memantulkan bayangan di dalam kafe. Kelihatan beberapa pelanggan lain memandang- mandang aku sambil berbisik- bisik sesama mereka. Aku segera membetulkan tudung agar tampalan di dahiku tertutup sedikit.

“Minumlah,” kata Hazriq, meletakkan secawan koko panas di depan.

Aku tidak terus minum, sebaliknya memegang cawan. Kehangatnya membuatkan aku rasa lebih selesa.

“Betul awak tak apa- apa?” tanya Hazriq.

“Betul!” jawabku.

Hazriq mengeluh. “Minumlah dulu. Nanti saya hantarkan awak balik.”

“Saya tak mahu balik!” kataku tiba- tiba.

“Kenapa?” tanya Hazriq, nampak terkejut dengan jawapanku.

Aku kembali membisu.

“Apa yang dah jadi sebenarnya? Saya tak fikir ia semudah yang awak katakan tadi. setakat bergaduh tak kan sampai begini,” tanya Hazriq.

Tidak ada yang mudah antara aku, Dyana dan Furqan sekarang. Agaknya betul kata Furqan tadi. Ego aku yang membuatkan kami semua jadi begini.

“Awak?” panggilku perlahan.

“Hmm?”

“Awak rasa…saya ni jahat tak?”

“Kenapa pula awak tanya macam tu? Awak dah bunuh orang tanpa pengetahuan sayakah?” tanya Hazriq dengan dahi berkerut.

“Tak adalah sampai macam tu,” balasku. “Mengarut betul awak ni!”

“Habis tu?”

“Saya rasa saya bukannya orang yang baik. Saya tak dapat maafkan orang dengan mudah. Saya keluarkan kata- kata yang menyakitkan hati tanpa dapat mengawal diri. Saya dah lukai ramai orang tanpa sedar. Tak jahatkah?” tanyaku.

“Bukan, awak cuma manusia biasa. Itu saja.”

“Tapi…saya tahu saya perlu maafkan orang lain. Tapi…tapi saya tak dapat buat macam tu. Saya tak boleh lupakan apa yang mereka dah buat. Setiap kali ingin maafkan mereka, saya akan teringat kembali apa yang dah jadi. Kenapa saya macam ni?”

Hazriq tersenyum kecil. “Kalau saya jadi awak, mungkin saya akan bertindak lebih teruk dari apa pun yang awak pernah buat. Jadi saya tak fikir awak orang yang jahat.”

“Sebab awak tidak berada dalam situasi saya, sebab tu awak tak bertindak macam tu!” kataku.

“Jangan terlalu memperkecilkan diri awak. Pada saya awak seorang perempuan yang mengagumkan! Tak ramai yang boleh bangkit semula seperti awak. Untuk maafkan mereka, beri diri awak masa. Selepas apa yang mereka sudah buat, tak perlu paksa diri awak. Insya Allah, mungkin awak akan maafkan mereka juga nanti. Mereka pun perlu faham hal ni,” nasihat Hazriq.

“Tapi sampai bila?”

Hazriq menjungkit bahu. “Saya tak ada jawapan untuk soalan tu. Tapi nasihat saya, jangan menghukum diri awak sekarang. Awak cuma manusia biasa, jadi awak bukannya sempurna. Awak minumlah dulu. Nanti sejuk minuman awak tu. Ke mana awak hendak pergi nanti, biar kita putuskan kemudian.”

Aku mengangkat cawan, menghirup koko yang mula suam sekarang. Badan terasa lebih panas sekarang. Aku melihat ke luar, hujan nampaknya sudah berhenti.

No comments:

Post a Comment