Sunday, October 4, 2020

Bab 17

 

Hujung minggu yang tidak ada kelas digunakan untuk mengulangkaji. Secara jujur aku memang tidak pintar. Jadi aku akan mengambil masa untuk belajar sesuatu perkara. Hampir tengah hari, kepalaku mula pening dengan fakta dan nombor.

Ah, sudahlah! Berehatlah dulu! Paksa diri pun tak guna juga!

Aku bingkas bangun dan turun ke ruang tamu. Kelihatan ibu sibuk ke sana ke mari. Ayah pula langsung tidak kelihatan.

“Ibu buat apa?” tegurku.

“Tengah sediakan bahan- bahan ni. Hari ni nak masak special sikit,” jawab ibu.

“Ada tetamu nak datangkah? Siapa?”

“Adalah.”

Aku cuma mengerut dahi. Berahsia pula ibu! Apabila ibu jawab begitu, pasti seseorang yang penting hendak datang. Itu pun hendak buat kejutan! Pun begitu, aku rajinkan diri untuk membantu ibu. Siap tolong kemaskan rumah dan menjadi supir ke pasar untuk membeli bahan mentah selepas makan tengah hari. Nampaknya istimewa betul tetamu malam ini. Biarpun aku tanya berkali- kali, ibu terus berahsia.

Telefonku bergetar semasa ibu sedang memilih udang untuk dibeli. Hazriq! Nampak namanya pun buat aku teruja. Aku sendiri tidak mengerti kenapa.

“Assalamualaikum,” kataku.

“Waalaikumsalam,” jawabnya. “Awak di mana?”

“Supermarket. Tengah membeli barang dapur sikit.”

“Ada acara istimewakah?”

“Ibu saya nak belikan makanan basah. Katanya ada jamuan sikit hari ni,” jelasku.

“Wah, jamuan! Awak yang masak?”

“Tak, ibu yang masak. Saya tak pandai masak. Saya cuma pandai tolong di dapur,” jawabku.

Hazriq tergelak. “Jujurnya.”

“Memang betul, buat apa nak menipu.”

“Saya pula pandai masak,” kata Hazriq dengan nada bangga.

“Berlagak!” cemuhku.

“Tak adalah. Walaupun skil saya tak sampai sehebat chef, tapi tak ada yang mati keracunan lagi setakat ni!”

Tak berani aku hendak komen yang itu. Aku teringat kali terakhir aku cuba memasak. Nasib baik tidak ada yang dimasukkan ke hospital. Beberapa hari selepas kali terakhir aku memasak, semua yang merasa masakanku sakit perut.

“Saya nak tengok ibu beli apa. Malam nanti kita berbual lagi. Assalamualaikum,” kataku.

“Waalaikumsalam,” balas Hazriq.

Aku memutuskan talian, merenung ibu yang masih tidak habis lagi memilih udang. Dari tadi masih belum selesai? Beza sangatkah udang- udang ni? Sama saja aku tengok.

“Tak siap lagi ibu?” tanyaku, menghampiri ibu.

“Ibu tak pasti nak ambil udang ini ataupun yang itu. Nanti salah pilih pula.”

“Udang mana pun samalah.”

“Tak sama!” bantah ibu. “Biar ibu pilih betul- betul!”

Akhirnya aku biarkan ibu pilih seberapa lama yang dia mahukan. Setengah jam kemudian, barulah dia memilih udang- udang yang dikatakannya berbeza itu dan makanan laut lain yang akan dimasukkan bersama. Macam hendak buat kenduri besar! Setengah jam lagi selepas itu, barulah kami bertolak pulang selepas ibu selesai membeli keperluan lain.

Sebaik pulang, ibu terus sibuk di dapur. Mahu tidak mahu, aku terpaksa membantu memasak. Siapalah tetamu istimewa ini?

“Berapa orang ibu?” tanyaku semasa mengeluarkan pinggan untuk menyiapkan meja makan.

Ibu berhenti mengacau bubur kacang yang akan dijadikan manisan untuk mengira sebentar. “Umm…kita bertiga, kemudian tambah dua orang dan dua orang lagi. Semuanya tujuh orang.”

“Ramainya, ingatkan cuma seorang,” komenku sambil mengeluarkan jumlah pinggan yang secukupnya. “Kawan ibu atau ayah?”

 “Kamu tengoklah nanti.”

Hesy, masih hendak berahsia! Aku membawa pinggan dan set kutleri untuk di susun di meja. Ayah melintas ketika aku sibuk menghias meja.

“Tak habis lagi buat persiapan?” tanya ayah.

“Ibu tak habis lagi memasak. Saya dah hampir siap ni.”

“Lepas siap, pergi solat dulu. Mereka cakap mereka datang dalam pukul empat nanti.”

“Awal lagilah ayah. Baru pukul dua. Dengan gaya ibu, ingatkan mereka nak datang sekarang!”

Ayah tersenyum. “Macamlah kamu tak tahu perangai ibu kamu tu. Dia kalau ada tetamu nak datang, memang sibuk macam tu.”

Aku cuma tersengih, mengiyakan kata- kata ayah. Selesai menghias meja makan, aku membersihkan diri dan bersolat. Masih ada banyak masa sebelum tetamu- tetamu yang ditunggu akan sampai, jadi aku menghabiskan masa berbual bersama ayah di ruang tamu. Ibu langsung tidak pedulikan kami. Dia masih sibuk ke sana, ke mari biarpun aku sudah tidak nampak apa kerja yang boleh dibuat lagi.

Hampir jam lima petang, terdengar loceng rumah ditekan. Sudah sampaikah? Aku mengekori ibu untuk membantunya menghidang sementara ayah menyambut tetamu yang datang. Terasa teruja juga untuk melihat wajah tetamu yang membuatkan aku penat sepanjang hari ini.

“Pergilah berbual, semuanya dah siap di sini,” usul ibu, menyebabkan aku memandangnya dengan rasa cuak. Sejak bila ibu mahu berbual dengan tetamu dari membantunya di dapur?

“Seganlah ibu,” jawabku.

“Kenapa pula nak rasa segan? Kamu kenal mereka!”

Biar betul? Terasa ingin menjenguk ke ruang tamu tapi pasti tidak sopan kalau aku buat begitu. Aku berpaling memandang ibu sekali lagi tetapi dia tidak memandang ke arah aku. Malah ibu nampak seperti gelisah sedikit.

Ada benda yang tidak kena.

Aku mengangkat dulang yang terisi minuman, mencari alasan untuk ke ruang tamu. Dadaku berdebar- debar memikirkan tetamu- tetamu yang kini sedang berbual dengan ayah. Dari jauh cuma kedengaran suara ayah bercerita tentang sesuatu.  Aku menghela nafas, memberi salam dan melangkah masuk ke ruang tamu.

Semua anak mata memandang aku apabila aku masuk. Aku pula, terhenti di pintu dengan tangan memegang dulang minuman dengan kuat.

Merekakah tetamu yang ditunggu- tunggu itu?

Kenapa ibu dan ayah tidak cakap yang mereka menjemput Aunty Sofea, Uncle Hadi, Furqan dan Dyana? Hendak buat kejutan? Memang kejutan besar. Kejutan yang aku langsung tidak mahu! 

“Kenapa kamu tercegat di situ?” tegur ayah.

Secara jujur aku sedang berkira- kira untuk berpatah balik ke dapur. Malah aku terfikir untuk masuk ke bilik dan tidak akan keluar melainkan mereka balik. Bolehkah kalau aku buat begitu?

Tapi selepas seketika, aku menghela nafas dan meletakkan dulang di meja kopi seperlahan mungkin. Aku tidak menghiraukan pandangan mata mereka. Untung juga mereka sendiri tidak menegurku walaupun masing- masing memerhatikan setiap gerak langkahku sejak aku sampai. Selesai menghidang minuman, aku meminta diri untuk ke dapur.

“Duduklah dulu, aunty dah lama tak jumpa kamu. Rindu rasanya,” pelawa Aunty Sofea.

“Tak apalah, saya nak bantu ibu di dapur,” jawabku perlahan.

“Tak ada apa yang perlu dibuat di dapur, semuanya dah siap.” Ibu tiba- tiba muncul di pintu, melangkah masuk dan melabuhkan punggung di sebelah ayah.

Sekali lagi mereka semua memandang ke arahku, menunggu tindakan aku yang seterusnya. Otakku ligat mencari alasan untuk melarikan diri dari ruang yang menyesakkan ini. Kembali ke dapur tanpa sebab? Minta diri ke bilik? Pergi ke tandas?

“Rania, duduklah dulu di sini,” kata ibu.

Aku menggigit bibir. Akhirnya aku terpaksa akur. Lagipun apa alasan yang aku ada. Jadi baik aku selesaikan hal ini sekarang. Tetapi aku memilih untuk tidak duduk di sofa bersama mereka semua, sebaliknya di kerusi rotan berdekatan pintu.

“Kenapa duduk di situ? Marilah duduk di sini,” ajak Aunty Sofea.

“Tak apa aunty, saya nak duduk di sini,” jawabku.

“Rania.” Ibu nampak kurang senang dengan sikapku tapi aku tidak membalas pandangan matanya. Akhirnya ibu mengalah dan berbual bersama mereka.

Dyana kelihatan ceria di samping Furqan yang tidak kurang manis senyumannya. Jubah yang dipakainya meliuk- liuk ditiup angin dari kipas, sekali- sekala menampakkan perutnya yang kini mula menunjukkan kehamilannya yang berusia beberapa bulan. Entah berapa bulan, aku sendiri tidak pasti. Kalau pada hari itu yang menikahi Furqan itu aku, barangkali itulah aku sekarang.

Melihat dia, hatiku selagi lagi terasa dihiris. Dyana dan Furqan kini hidup bahagia tetapi aku masih sukar memaafkan mereka dan mencari kebahagiaan yang baru. Melihat senyuman mereka membuatkan aku terfikir sama ada mereka sudah lupa dan meneruskan hidup. Semudah itu? Wanita yang menangis- nangis semasa hari perkahwinanku yang tidak jadi itu bagaikan tidak pernah wujud.

“Rania apa khabar sekarang? Dah lama kita tak jumpa,” tegur Aunty Sofea.

“Sihat.” Sepatah saja aku menjawab.

‘Kamu masih kerja di syarikat lama kamu?” tanya Uncle Hadi pula.

“Ya.” Lagi sekali aku tidak mampu memberi jawapan yang lebih panjang.

Aku tahu aku membuatkan semua rasa kekok dan kurang selesa tetapi aku tidak dapat lakukan apa- apa. Ibu dan ayah sendiri tahu perasaan aku tetapi mereka sengaja membiarkan kami semua bertemu. Dyana dan Furqan pasti hilang akal jika berfikir aku sudah memaafkan mereka secepat ini.

“Jom ke ruang makan. Hari ni kami masak special untuk kamu semua,” ajak ibu, seraya bangun.

Aku terus bangun tanpa menunggu orang lain dan berjalan ke dapur. Lebih cepat semua ini selesai, lebih cepat aku dapat lari dari sini.

“Kak Zaharah ni tak perlulah susah- susah. Kita pun bukannya orang lain,” tingkah Aunty Sofea yang bangun dan berjalan di sebelah ibu.

“Sebab bukan orang lainlah kena masak special,” jawab ibu.

Masing- masing mengambil tempat di meja. Aku segera duduk di antara ibu dan Aunty Sofea. Aku takut kalau- kalau aku lambat, aku terpaksa duduk di sebelah dua orang itu. Tapi Dyana duduk bertentangan dengan aku. Tak apa, aku akan makan sambil pandang pinggan saja. Jika difikikan balik, aku beria- ia menolong ibu membuat persiapan hari ini ialah untuk menyambut mereka berdua datang bertandang.

Rasa sakit hati pula!

“Abang cakap dia jumpa kakak hari tu,” kata Dyana.

Abang? Oh, sekarang dia cuma dipanggil abang. Aku tidak membalas teguran Dyana, sebaliknya cuma merenung wanita itu dengan tajam. Dyana akhirnya berpandangan mata dengan Furqan sebelum tunduk dan mengusap perutnya. Makin sakit hatiku dibuatnya. Aku terus memandang ke arah lain.

“Dia cakap pasal hari saya jumpa awak dan Hazriq tempoh hari,” jelas Furqan tanpa dipinta.

Kata- kata Furqan itu menyebabkan aku merenungnya pula dengan tajam. Tetapi berbanding Dyana, Furqan membalas pandanganku dengan tenang.

“Rania jumpa siapa? Siapa Hazriq,” tanya ibu dengan nada yang terlalu ceria bagiku.

“Dia kawan saya.”

“Mereka makan berdua di kafe berdekatan syarikat Rania,” terang si mulut tempayan yang sibuk dengan hal orang.

“Wah, rapat kamu dengan dia tu?” usik ayah.

“Tak adalah ayah. Kami kawan biasa,” kataku perlahan.

“Kawan biasa pun tak apa. Lama- lama luar biasalah, kan?” usik Aunty Sofea pula.

“Betul tu!” usik ibu pula.

“Dia dah ada girlfriend,” kataku.

“Oh, ya kah. Tak apa, ramai lagi orang lain. Jangan risau,” kata Aunty Sofea dengan agak kekok.

Aku diam, tidak membalas usikkan mereka. Tetapi yang menyakitkan hatiku, Furqan dan Dyana berani tersenyum. Tanpa sedar, aku meletakkan garfu dengan kuat ke pinggan. Tersentak semua orang dibuatnya.

“Maaf,” kataku dengan perlahan.

Masing- masing mengabaikan apa yang berlaku dan meneruskan makan seperti biasa. Mereka tidak lagi bertanya tentang Hazriq atau cuba mengusik aku. Sekurang- kurangnya aku dapat makan dengan aman. Aku membantu ibu mengemas meja setelah selesai makan walaupun ditegah ibu. Sebolehnya ibu mahu aku kembali ke ruang tamu dan berbual bersama mereka yang lain. Maaf, aku lebih rela membersihkan meja dan mencuci pinggan mangkuk! Selepas selesai, aku meminta diri ke bilik dengan alasan untuk menunaikan solat Asar. 

Selepas solat, aku terus memerap di bilik. Tidak sampai satu  jam kemudian, terdengar ketukan di pintu. Terjongol wajah yang aku cuba elak. Sepatutnya aku kunci pintu!

“Kalau sudah siap, ibu minta turun ke bawah,” kata Dyana.

Aku tidak menjawab, cuma merenung ke luar tingkap.

Dyana tidak berlalu tetapi terus termangu di pintu. Tanpa dipelawa, dia menjemput dirinya sendiri untuk masuk ke bilikku/ Dia bermain dengan jari sendiri, pasti mencari idea untuk bercakap. Terasa sesak nafas apabila cuma aku dan dia di dalam bilik ini. Ruang itu terlalu kecil untuk kami berdua berada bersama- sama.

“Kalau tak ada apa nak cakap, keluar!” desisku.

“Kakak, adik tahu kakak masih marah,” kata Dyana perlahan.

Aku diam, tidak memperdulikan apa yang ingin dia katakan.

“Tak bolehkah kita kembali macam dulu? Adik rindukan kakak!” Dyana seperti merayu.

“Antara kita, tak akan kembali macam dulu. Sejak kamu berdua khianati aku, kita dah tak boleh berpatah balik lagi. Jadi kalau kau tak ada apa nak cakap dengan aku, kau keluar sekarang!” arahku tanpa sekalipun memandang ke wajah Dyana.

“Kakak, kenapa macam ni?” Dyana mula menangis.

Aku cuma membisu.

“Kakak, cakaplah! Adik sanggup buat apa saja asalkan kakak maafkan adik!”

Aku ingin ketawa mendengar ayat itu.

“Kakak, please!” rayu Dyana.

Aku terus membisu. Dyana mengeluh, kemudian melangkah perlahan- lahan untuk keluar dari bilikku. Tetapi langkahnya mati di depan pintu.

“Kakak, adik tak faham kenapa kakak tak mampu untuk lepaskan abang. Kakak boleh bahagia kalau kakak buat macam tu,” kata Dyana.

“Aku rasa itu bukan urusan kau. Kau langsung tak faham perasaan aku, jadi kau tak ada hak nak soal itu semua. Malah kau tak layak nak kritik aku,” kataku dengan geram.

“Kalau kakak boleh terima yang ini semua takdir, kakak dah boleh bahagia semula.”

Terus aku berpaling memandang Dyana.

“Shut up! Kau keluar sekarang! Makin lama kau di sini, makin sakit hati aku!” tengkingku.

 Serentak dengan itu, pintu bilikku dibuka dan Furqan meluru masuk. Dari gayanya, dia seperti memang sudah lama menunggu di luar bilik. Dia terus berdiri di hadapan Dyana, seperti ingin melindungi dia. Kenapa? Takut aku apa- apakan isteri kesayangan dia?

“Kamu berdua buat apa dalam bilik aku? Aku nak kamu berdua keluar sekarang!” kataku dengan marah.

“Rania, apa kena dengan awak ni? Dyana cakap baik- baik tapi awak menengking- nengking. Awak dah memang dah banyak berubah!” kata Furqan.

Aku tergelak sinis. “Memang aku dah berubah. Kamu berdualah puncanya. Kamu berdua ni memang tak tahu malu. Lepas semua yang dah jadi, kamu berdua anggap aku boleh lupakan dan hidup macam biasa. Kamu berdua memang dah gila!”

“Apa yang dah berlaku memang takdir, kenapa awak tak boleh terima?” soal Furqan.

“Takdir? Tak ada benda lain kau nak salahkan? Selepas hari tu, kamu berdua asyik salahkan takdir. Eh, memang apa yang berlaku tu takdir tapi kamu berdua yang tentukan takdir kamu macam tu! Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kalau seorang tak melayan, tak menggatal, perut kau tak akan memboyot macam ni!” tengkingku sambil menghampiri mereka sedikit. Aku terlalu marah sekarang.

“Kakak!” Dyana terpana. “Sampai hati kakak cakap macam tu?”

“Kenapa? Apa yang aku cakap tu tak betul? Habis kau nak salahkan takdir lagi? Eh, sudahlah! Dah sampai masa untuk kamu berdua fikir balik semua ni!” kataku.

“Kami tahu memang kami salah. Tapi awak pun patut belajar untuk lupakan dan teruskan hidup, Rania. Sampai bila awak nak biarkan perasaan marah awak menjadi penghalang hubungan awak dengan Dyana? Dia adik awak!” kata Furqan membuatkan perasaan marahku semakin meluap- luap.

“Adik yang dah khianati kakaknya? Dan kau, lelaki yang dah khianati kepercayaan paling besar yang aku pernah bagi kepada lelaki lain! Aku rasa kau tak layak untuk ceramah aku!” sindirku.

Dyana terus mendekati aku. “Kakak, adik tak berniat nak khianati kakak. Abang pun sama. Kami pun sedih dengan apa yang berlaku. Sebab tu kami harap kakak dapat lupakan dan bermula semula. Kakak pun rapat dengan Hazriq sekarang. Kenapa tak belajar menyintai dia?”

Pang!!!

Dyana terus memegang pipinya. Walaupun tanganku terasa perit tapi aku merasa puas hati. Furqan yang tersentak dengan tindakkanku terus menolakku hingga aku terjatuh dan terhantuk pada bucu katil. Berpinar mataku seketika.

“Dyana tak apa- apa?” soal Furqan dengan panik. Aku cuma tampar dia, bukan tikam dia. tak perlulah risau sangat.

Dyana cuma menggeleng. Ibu tiba- tiba masuk.

“Kenapa ni? Apa yang bising- bising sangat?” soal ibu, melihat antara Dyana yang sedang dipegang oleh Furqan dan aku yang duduk di lantai dengan memegang dahi.

“Tak ada apa- apa ibu,” jawabku perlahan. Dahiku mula rasa sakit. Terasa cecair panas mengalir.

“Ya Allah, kenapa dengan dahi kamu?” Ibu nampak benar- benar terkejut. Terus dia berteleku di hadapanku, menarik tanganku untuk melihat sendiri keadaan dahiku yang pastinya terluka.

“Saya terjatuh,” jawabku.

“Habis macam mana sampai berdarah macam ni?” soal ibu, tangannya memegang kawasan lukaku dengan perlahan. Pun begitu, dahiku berkerut menahan sakit.

“Aduh! Sakit! Abang, tolong!”

Aku dan ibu berpaling melihat Dyana yang memegang perutnya. Sebelah tangan Dyana kuat mencengkam lengan Furqan. Dia menyingkap sedikit kain, melihat darah yang mengalir di kakinya. Wajahnya berkerut menahan kesakitan.

“Apa dah jadi ni? Kenapa dengan kamu berdua?” Ibu semakin panik.

“Kita bawa mereka ke hospital,” kata Furqan sambil memegang erat Dyana yang tampak semakin lemah.

No comments:

Post a Comment