Tuesday, September 15, 2020

Bab 7

 

Selesai mesyuarat, semua orang menikmati jamuan yang disediakan. Wah, Zura dan Kak Diba memang benar- benar berminat dengan Hazriq! Dari mula hingga akhir mesyuarat, mereka tidak habis- habis mengerling dia. Entah- entah, mereka langsung tidak tahu apa isi kandungan mesyuarat kami. Tapi bukan mereka berdua saja. Hampir kesemua staf wanita lain juga sama. Hebat betul penangan pengurus dari One Event, Encik Hazriq Hakimi ini.

Memandangkan semua orang sibuk bergosip, aku memilih untuk makan seorang diri. Memang itu yang biasa aku lakukan selama ini. Lagipun aku hampir pasti apa topik perbualan mereka, dan orang itu sedang berjalan ke arahku sekarang.

“Assalamualaikum,” tegur Hazriq. “Boleh join awak tak?”

“Waalaikumsalam. Boleh, duduklah.”

Hazriq melabuhkan punggung di kerusi di sebelahku.

“Jadi awak kerja di sini,” kata Hazriq untuk kali kedua hari ini.

“Ya, betul tu. Dan awak kerja di…situ,” balasku, membuatkan Hazriq tergelak kecil.

“Awak ni memang kelakar,” kata Hazriq.

Kelakarkah? Tapi aku tak buat lawak pun.

“Apa pendapat awak tentang presentation saya tadi?” tanya Hazriq.

“Emm…”

Secara jujur aku tak berapa faham. Tapi aku memang susah untuk faham sesuatu perkara, terutamanya perkara yang rumit seperti tadi. Dan pastinya bukan sebab terlalu fokus pada wajahnya seperti kebanyakkan pekerja lain. Betul! Aku memang mudah hilang fokus kalau sesuatu perkara berlanjutan terlalu lama.

“Hebat! Projek ni pasti berjaya!” kataku, tersenyum palsu.

Habis tak kan aku hendak mengaku?

Hazriq berfikir seketika. “Apa pendapat awak tentang belon helium tu? Sesuai tak?”

Laju aku mengangguk. “Sesuai sangat- sangat!”

 “Patutkah kita letakkan apa- apa di pintu masuk selain dari apa yang saya usulkan tadi?” tanya Hazriq lagi.

Apa yang dia sudah bentangkan tadi? Puas aku mengerah otak untuk berfikir, langsung tidak dapat ingat apa- apa.

“Apa- apa pun boleh. Semua cadangan awak hebat!” kataku.

Hazriq mengerut kening, merenung aku seketika.

“Awak…langsung tak faham apa- apa pun tadi, kan?” tanya Hazriq.

Aku mengambil masa sebelum tersenyum kambing, mengangguk perlahan. Pada mulanya dia merenung aku bagaikan tidak percaya. Tapi tergelak besar Hazriq selepas itu.

“Maaflah, saya memang macam tu. Bukannya presentation awak tak menarik tapi saya memang cepat hilang fokus,” akui aku akhirnya. Malu itu usah dicakap!

Hazriq tersenyum merenungku apabila tawanya reda. “Tak apalah, mungkin juga presentation saya bosan sebenarnya. Sebab tu awak hilang tumpuan tadi.”

Aku tersenyum, menahan malu yang makin menebal. Kenapalah lelaki ini baik sangat? Haish!

“Saya patut belajar presentation yang lebih menarik supaya semua orang boleh faham dan ikut sampai akhir. Ini dikira cabaran untuk diri sendiri,” kata Hazriq, mengomel sendiri.

“Saya saja yang macam tu, orang lain boleh faham,” bantahku.

“Tak apa, itu cabaran untuk saya. Lagipun bidang kerja saya macam ni. Jadi memang patut saya belaja majukan diri untuk masa hadapan,” balas Hazriq.

Positif betul dia. Aku cuma tersenyum, masih terlalu malu untuk memberi lebih banyak komen.

“Saya patut pergi sekarang. Terima kasih untuk hari ni,” kata Hazriq, merenung rakan sekerjanya yang mula bersiap- siap untuk pulang ke syarikat mereka.

“Sama- sama,” kataku. “Walaupun sebenarnya saya tak buat apa- apa pun.”

Sekali lagi lelaki itu tersengih. “Saya minta diri dulu.”

“Okay,” jawabku. “Jumpa lagi!”

Dia mengangguk. Selepas mereka pulang, aku kembali ke meja. Niatku ingin menyambung kerja yang masih berbaki. Aku masih ada beberapa laporan yang perlu diserahkan sebelum minggu ini tamat.

“Sejak bila kenal dia?” tanya Zura tiba- tiba.

Dari mana pula dia dan Kak Diba muncul? Tiba- tiba sudah duduk di sebelahku.

“Baru kenal. Dia tolong saya masa kereta saya rosak hari tu,” jawabku.

“Oh, macam tu,” kata Kak Diba.

Tidak senang hati aku mendengar nada suaranya. Tambahan pula dia dan Zura sama- sama berpandangan selepas itu, bagai berbicara dalam diam tentang sesuatu yang cuma mereka tahu. Yang pasti ianya pasti berkaitan tentang aku dan Hazriq.

“Dia dan saya memang tak ada apa- apa!” kataku tiba- tiba.

“Kami tahu,” kata Zura.

“Kami tak cakap pun,” tambah Kak Diba.

“Betullah!” bentakku, tidak puas hati dengan nada mereka berdua.

“Kami tahulah,” kata Kak Diba, tersenyum lebar.

“Tak apa, sambunglah buat kerja. Saya pun ada banyak kerja nak dihabiskan,” kata Zura seraya kembali ke mejanya.

Aku cuba kembali fokus kepada kerja tetapi konsentrasiku sedikit terganggu. Kenapa mereka macam anggap aku ada apa- apa dengan Hazriq? Mereka fikir aku akan curang dengan tunang akukah? Ah, sudahlah! Kalau aku terganggu dengan kata- kata mereka, nanti mereka akan anggap telahan mereka benar. Lebih baik bersikap setenang mungkin. Paling penting, lebih baik bersikap tidak ambil peduli.

 

 

“Kenapa tiba- tiba telefon saya?” tanya Furqan.

“Saya rindukan awak,” jawabku.

Furqan tergelak kecil. “Kita baru bercakap semalam.”

“Tapi sekarang saya dah rindukan awak balik.”

Furqan menghela nafas. “Dah kurang rasa rindu awak tu?”

“Sikit.”

“Habis macam mana nak hilang semuanya?”

Aku menggigit bibir. “Entahlah, tiada ubat agaknya.”

“Macam tu pula. Susah nak tolong.”

“Tak apa. Awak sibuk, kan? Pergilah sambung kerja awak. Nanti kita berbual lagi. Saya video call awak bila balik nanti.”

“Sekarang tak boleh?”

“Sekarang saya tengah sembunyi dalam tandas untuk telefon awak.”

Furqan tergelak besar. Hah, rasa lebih tenang selepas berbual dengan Furqan. Cinta memang solusi terbaik! Hanya berbual singkat, aku rasa lapang dada.

Selepas mesyuarat dengan One Event beberapa minggu yang lepas, aku dapat rasakan penerimaan pekerja wanita lain di syarikat aku berubah. Mereka cemburukah aku berbual dengan Hazriq? Tapi kami cuma berbual, bukannya ada apa- apa pun. Aku boleh cuba untuk terangkan hal sebenar tapi besar kemungkinan mereka yakin dengan apa yang mereka percaya selama ini.

Cuma Zura dan Kak Diba yang melayanku dengan sama. Mereka tergelak apabila aku beritahu yang pekerja wanita lain cemburu.

“Biarlah, bukannya mereka faham pun kalau ceritakan hal sebenar,” kata Zura.

“Lama- lama lupalah,” kata Kak Diba pula.

Masalahnya ‘lama- lama’ tu bila? Memang tertekan apabila sering dijeling tidak kira apa yang aku buat dipejabat. Hazriq pun satu. Setiap kali dia ke pejabat ni, mesti dia akan berbual- bual dengan aku. Tapi tak kan aku nak halang pula? Bukannya dia ada buat salah apa- apa pun.

Hari ini, selepas rasa tertekan apabila diperhatikan sambil mereka berbisik- bisik apabila aku ke pantri untuk minum air, aku mencari tempat untuk menelefon Furqan tanpa gangguan sesiapa pun. Apabila tidak ada tempat yang sesuai, aku ke tandas.

Memandangkan aku sudah rasa lebih tenang sekarang, lebih baik aku kembali ke meja. Duduk di sini lama- lama pun bukannya seronok. Lagipun masa rehat cuma tinggal lagi beberapa minit. Perutku mula berkorongcong, minta diisi. Semasa aku hendak menolak pintu bilik kecil tandas ini, terdengar pintu di buka dan suara berbual- bual. Entah kenapa, aku tidak jadi membuka pintu.

“Tak sangka, kan?”

Tak sangka apa pula? Tapi suara dia macam aku kenal. Zura?

“Itulah! Kakak ingat dia baik sangat. Rupanya gatal!”

Itu macam suara Kak Diba. Mereka berdua bergosip tentang siapa pula?

“Dia dah bertunang tapi masih ada hati untuk layan lelaki lain. Tak sedar diri betul!” kata Zura.

“Orangnya taklah cantik mana tapi boleh pikat lelaki lain dengan senang, hebat juga tu! Bukan sebarang lelaki pula tu,” kata Kak Diba.

“Kakak puji dia pula?” tanya Zura dengan nada tidak percaya.

“Bukan pujilah!”

“Habis tu cakap dia pandai mengorat tu?”

Kak Diba menghela nafas. “Perlilah! Bukan puji!”

“Tapi betul juga. Apa yang menariknya dia sampai lelaki yang handsome macam tu boleh layan dia? Rasanya saya ni lagi cantik dari dia. Tapi Hazriq tu tak pandang saya pun. Asyik melekat dengan Rania bila datang!”

Terpaku aku disitu. Dua orang yang aku fikir memahami dan menyokong rupanya menikam dari belakang. Habis mereka cuma berpura- pura selama ini?

“Dah dia pandai layan, melekatlah. Tunang dia tak tahu kut dia menggatal,” kata Kak Diba.

“Tak tahulah tu, sebab tu tak putus lagi. Kakak rasa tunang dia dapat terima dia kalau tahu perangai dia yang macam ni?”

“Mestilah tak! Lelaki mana yang boleh tahan. Wah, kita dah lambat! Jom, kakak dah lapar ni! Berapa lama lagi kau nak betulkan make-up kau tu?” tanya Kak Diba.

“Dah siaplah kak. Jom!”

Terdengar mereka bergegas keluar. Apabila aku dapat rasakan yang mereka benar- benar pergi, aku akhirnya keluar dari bilik kecil itu. Aku tidak terus keluar, sebaliknya termangu. Dua orang yang paling aku percaya di pejabat ni pun tak boleh diharap. Sama saja macam yang lain. Macam mana aku nak lihat wajah mereka selepas ini?

 

 

Mereka memang pelakon terbaik. Biarpun aku sudah dengar bagaimana mereka mengutuk- ngutuk aku dalam perbualan mereka tempoh hari, mereka masih bersikap seperti biasa apabila berdepan denganku. Mungkin itu kerana mereka tidak tahu yang aku sudah terdengar perbualan mereka.

Aku sendiri tidak memberi sebarang komen. Tapi aku lebih banyak mendiamkan diri apabila berjumpa dengan mereka sejak hari itu. Aku tahu senyuman mereka untukku hanyalah palsu. Menyakitkan hati betul! Aku tidak dapat maafkan mereka berdua. Masih terngiang- ngiang perbualan mereka. Setiap patah butir bicara mereka dapat aku ingat dengan mudah. Jadi bagaimana aku dapat lupakan bagai tidak ada apa pun yang berlaku?

“Rania, hari ni nak join kami lunch?” tanya Zura.

Baik pula dia hari ni. Selalunya tak pernah jemput aku pun.

“Tak, dah ada makanan,” jawabku.

Aku cuma ada sebungkus roti tapi itu lebih baik dari ikut mereka.

“Baiklah kalau macam tu,” kata Zura, mengukir senyum yang sangat manis.

Dia senyum pun aku dah tak dapat percaya. Manisnya ada tapi ikhlas entah ya, entah tidak. Sama saja dengan kawan baiknya tu.

Selepas mereka pergi, aku mengeluarkan roti yang aku bawa. Tapi terasa tidak puas hati pula. Aku tidak cakap pun yang aku tidak mahu keluar, kan? Keluarlah.

Nasib baik aku memang biasa makan seorang diri. Kalau tidak macam mana aku akan dapat bertahan apabila dipulaukan macam ni. Awalnya aku bercadang untuk makan di kafe di bawah bangunan pejabat tetapi kelibat Kak Diba dan Zura membantutkan hasratku. Lebih baik berjalan jauh sedikit dari menghadap muka mereka.

Ramai juga orang di kafe yang aku pilih ni. Hampir kesemua meja penuh semasa aku melangkah masuk. Aku dikira bernasib baik apabila dapat juga untuk duduk. Tidak sampai lima belas minit menunggu hidangan sampai, Hazriq melangkah masuk.

“Awak di sini,” kata Hazriq.

“Awak pun di sini,” balasku.

Asyik bertembung pula kami akhir- akhir ni.

“Penuh pula tempat ni,” rungut Hazriq, seraya melihat jam di tangannya.

“Awak nak makan di sinikah?” tanyaku.

“Ingat macam tu lah. Saya ada hal lepas ni, nak kena terus ke Kuala Selangor. Sebab tu ingat nak makan dulu di sini.” Hazriq menghela nafas. “Tak apalah, saya boleh order take out di mana- mana.”

Aku menggigit bibir, merenung kerusi di depanku yang kosong. Ah, biarlah! Tak kira apa sekalipun, orang akan tetap mengata.

“Duduklah,” kataku. “Memang tak ada orang di depan saya.”

“Tak apakah?” tanya Hazriq.

“Tak apa. Lagipun kita bukannya berdua. Penuh tempat ni,” balasku, cuba kedengaran yakin walaupun aku tahu aku pasti aku terus diumpat yang lain.

Hazriq berfikir seketika, kemudian sekali lagi melihat jam tangannya. Akhirnya dia mengambil tempat di depanku juga. Pada ketika itu jugalah aku terpandang kelibat dua orang teman sepejabat yang melangkah masuk ke kafe ini. Sebelum sempat aku berbuat apa- apa, mereka telah ternampak aku. Dari cara mereka berbisik- bisik sesama mereka sebelum keluar, aku pasti mereka nampak Hazriq juga.

Habislah aku nanti!

“Kenapa makan macam marah?” tanya Hazriq yang pelik apabila melihat aku mencucuk- cucuk makanan dengan garfu sebelum menyuap ke mulut dengan kasar.

“Tak ada apa- apa. Cuma mengenangkan nasib diri di masa hadapan.”

Hazriq tergelak. “Apa yang awak mengarut ni?”

Aku mengukir senyum kelat. “Nothing, really. Awak dah order?”

“Dah.”

“Cepatnya.”

“Saya perlu makan cepat- cepat, jadi saya order makanan yang paling cepat siap. Awak memang selalu makan seorang diri macam ni?” tanya Hazriq.

“Ya, saya tak banyak kawan.”

“Orang macam awak pun tak banyak kawan?”

“Orang macam mana yang macam saya tu?” tanyaku kembali.

“Orang yang kelakar,” jawab Hazriq dengan jujur.

Dia anggap aku macam pelawakkah? Di mana kelakarnya aku?

“Awak rasa saya ni macam pelawakkah?” tanyaku.

Hazriq tergelak kecil. “Tak adalah sampai macam tu. Cuma saya rasa awak ni lucu dan periang. Seronok bersama awak.”

Bab periang tu boleh diterima tapi lucu tu sama saja maksudnya dengan pelawak. Berkerut aku merenung dia. Nasib baik makanan yang dipesannya sampai. Kalau tidak mesti aku akan bertanya lebih banyak.

“Awak nak ke mana nanti?” tanyaku, apabila melihat dia makan dengan secepat mungkin. Takut juga kalau- kalau dia tercekik.

“Pelabuhan Klang. Ada meeting dengan syarikat di sana. Saya perlu singgah beberapa tempat lagi lepas tu.”

“Sibuknya awak,” komenku.

“Dah kerja, nak buat macam mana. Tapi bukan selalu macam ni, kadang- kadang saya memerap di pejabat beberapa minggu. Kadang- kadang, macam ni lah.”

“Kerja awak macam seronok, ke sana, ke sini. Mula- mula tu cemburu juga. Tapi awak sibuk sangat sampai nak tengok pemandangan pun tak sempat,” kataku.

“Pemandangan apa?” tanya Hazriq dengan hairan.

“Laut! Alang- alang dah sampai, tengoklah laut sekejap. Tak nak buat itu pun tak sempat.  Tapi macam awak kata, dah kerja, kan? Rasanya awak terlalu sibuk untuk buat benda- benda macam tu. Nak buat macam mana, kan?” omelku sendiri.

Hazriq hanya tersenyum, tidak membalas. Tidak sampai lima minit, dia habis makan. Cepat betul! Aku yang mula makan lebih dahulu pun masih banyak baki di dalam pinggan. Tapi aku asyik tengok dia makan, jadi memang lambat habislah.

“Terima kasih temankan saya makan,” kata Hazriq.

“Dah nak pergi?” tanyaku.

“Ya, saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Memandu baik- baik tau.”

Sempat dia melambai aku sambil tersenyum. Aku mengerling jam sebelum cepat- cepat menghabiskan makanan. Kemudian aku segera bergegas untuk kembali ke pejabat. Seperti yang aku jangka, sesi merenung, berbisik dan mengumpat aku pun bermula. Cepatnya berita tersebar. Walhal kami semua baru balik dari makan tengah hari.

Aku terus ke mejaku, enggan memperdulikan mereka. Zura dan Kak Diba sendiri bagaikan berbicara dalam diam. Buatlah apa kamu semua suka, aku tak mahu peduli lagi!

Selang beberapa jam bekerja, telefonku bergetar. Nombor siapa ni? Siap hantarkan gambar menggunakan WhatsApp pula. Aku melihat gambar profil. Hazriq! Cepat- cepat aku memuat turun gambar yang dihantar. Gambar laut.

 

Assalamualaikum.Untuk awak. tengok, kali ini saya luangkan beberapa minit untuk tengok pemandangan dan tangkap gambar.

 

Aku tersengih.

 

Waalaikumsalam. Terima kasih!

 

Cemburu tak dengan kerja saya?

 

Kali ini aku tergelak.

 

Sikit.

 

Tak mengakulah tu.

 

Pergilah sambung kerja!

 

Baik, cikgu!

 

Perlilah tu! Aku kembali menyambung kerja dengan senyum lebar di bibir. Zura dan Kak Diba berpandangan melihat aku.

No comments:

Post a Comment