Friday, September 11, 2020

Bab 6

 

“Seronok apa? Tersenyum- senyum dari tadi,” perli ibu apabila aku masih lagi tersenyum lebar di dapur. “Macam kerang busuk pun ada!”

“Kakak dari tadi memang macam tu, ibu. Tak tahu kenapa,” kata Dyana.

“Seronoklah tu, buah hati nak datang,” perli ibu.

Perlilah macam mana pun, aku tak kisah sekarang. Aku terlalu bahagia untuk ambil peduli.

“Tapi abang Furqan tak boleh datang. Kakak cakap dia di Johor,” komen Dyana.

“Ya kah? Jadi cuma kita dan keluarga dia saja malam ni? Ibu dah lama tak jumpa dia. Rindu pula ibu pada bakal menantu ibu.”

“Tak apalah ibu. Apa salahnya. Bukan selalu kita dapat berjumpa dengan keluarga dia macam ni. Lain kali ada banyak masa lagi untuk makan dengan Furqan,” pujuk aku.

“Hmm, ya lah,” kata ibu, menghela nafas.

Sekali- sekala terdengar telefon Dyana bergetar. Setiap kali itu jugalah dia mencapai telefon untuk melihat dan menjawab mesej yang diterimanya.

“Siapa?” soalku.

Dyana menjeling aku. “Siapa apa pula?”

“Yang tak habis- habis hantar mesej itulah.”

“Tak ada siapalah! Sibuklah kakak ni!” marah Dyana.

Sekali lagi telefonnya bergetar.

“Siapa Roslan?” soalku, sempat mengerling nama di skrin. “Saya akan tunggu?”

“Kakak!” Wajah Dyana merona merah.

Reaksinya membuatkan aku tergelak. Oh, sedang dilamun cinta rupanya! Comel betul!

“Kenapa?” tanya ibu.

“Ada orang dah jatuh cinta,” usikku.

Dyana melempar sayur yang dipotongnya. Aku mengelak sambil tergelak terkekeh- kekeh.

“Jangan main- main di dapur!” marah ibu, menunjuk senduk yang dipegangnya ke arah kami. Terus kami berdua terdiam.

Seperti jangkaan, cuma Aunty Sofea dan Uncle Hadi yang datang. Furqan tidak muncul- muncul. Walaupun sudah dapat jangka, terselit rasa kecewa. Sibuk betul dengan kerja sampai makan malam dengan keluarga pun susah. Bukan selalu semua orang dapat berkumpul begini. Tapi, selepas ini masih ada banyak masa lagi untuk kami berkumpul. Jadi hari ini biarlah begini.

“Lepas majlis Furqan dan Rania, kita kena bersedia untuk majlis Dyana pula,” usik Aunty Sofea.

“Isy, tak adalah! Saya tak tahu bila lagi,” bantah Dyana.

“Tak kan tak ada calon? Orang cantik macam ni, petik jari pun dapat,” kata Aunty Sofea.

“Petik dah, tak ada pun yang muncul,” balas Dyana.

Habis Roslan tu macam mana? Tapi kalau aku tanya nanti, kemungkinan besar Dyana akan cucuk aku dengan garfu yang dipegangnya itu.

“Salah petik tu. Tak ada calon, beritahu aunty. Nanti aunty tolong carikan,” tawar Aunty Sofea dengan bersungguh- sungguh.

Dyana tergelak kecil. “Tak apalah, terima kasih. Nanti saya cari sendiri.”

“Uncle pun boleh tolong. Ramai pekerja uncle yang tak kahwin lagi,” tawar Uncle Hadi pula.

“Tak mahulah,” kata Dyana, tergelak- gelak.

Aku cuma mendengar dengan tersenyum kecil. Setiap kali mereka berdua berjumpa Dyana, memang mereka suka mengusik Dyana begitu. Mereka bagaikan tertarik dengan Dyana. Malah pertama kali berjumpa, Aunty Sofea tak habis- habis memuji kecantikkan Dyana. Kadang- kadang aku sebagai bakal menantunya ini terasa kecil hati kerana mereka terlalu memberi tumpuan kepada adikku itu. Tapi aku ingatkan diri yang mereka tidak ada niat jahat. Jadi lebih baik jangan berfikir yang bukan- bukan. Lagipun siapa yang tidak tertarik apabila bertemu Dyana?

Tapi nasib baiklah selepas itu kami mula berbual tentang persiapan majlis. Memandangkan hampir semua telah siap, tidak ada banyak masalah yang masih tertunda atau belum selesai. Hampir selesai makan malam, telefonku berdering. Semua yang ada di meja memandang aku.

Terpandang nama Furqan di skrin, terus aku menjawab panggilan. “Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Saya ada di depan pagar.”

Eh, dia jadi datang pula! Aku bingkas bangun, meminta diri untuk menekan kunci pagar.

“Siapa datang?” tanya ibu, mewakili yang lain yang kelihatan terpinga- pinga dengan tindakanku.

Aku tersenyum lebar. “Furqan.”

“Jadi pula dia datang,” komen Aunty Sofea.

“Balik awal agaknya,” balas Uncle Hadi.

Aku menuju ke pintu depan, membuka untuk menyambutnya. Furqan yang kelihatan letih, tersenyum apabila melihatku.

“Maaflah saya lambat,” katanya.

“Saya ingatkan awak tak jadi datang. Kami dah mula makan pun,” kataku.

“Saya pun ingat tak sempat juga. Tapi projek kami selesai awal. Semua orang ada?” tanya Furqan.

“Ya,” jawabku sepatah. “Jom!”

Setibanya kami di ruang makan, ibu sudah siap menyediakan tempat untuk bakal menantu kesayangannya ini. Sayang betul ibu dengan Furqan.

“Maaflah saya datang lambat,” kata Furqan.

“Tak apa, kami faham kerja kamu tu. Duduklah makan,” kata ibu.

Furqan membisu, mengambil tempat di sebelahku. Entah kenapa, aku dapat rasakan sesuatu yang kekok antara Dyana dan Furqan. Dyana membisu sejak dia tahu Furqan datang. Furqan pula langsung tidak menegurnya. Sebelum ini mereka berdua pantang berjumpa. Sekarang tengok muka pun tak mahu. Mereka bergaduhkah?

Furqan berbual dengan ayah yang duduk di sebelahnya. Dyana kembali berbual dengan Aunty Sofea tentang pakaian untuk pengapit pengantin yang akan dipakainya nanti. Aku berfikir terlalu banyak agaknya. Mereka mungkin tak ada masalah apa pun.

Selesai makan, aku membantu ibu mengemas dan mencuci pinggan. Dyana menemani Aunty Sofea berbual bersama mereka yang lain.

“Hidangkan kopi ni,” arah ibu yang selesai membancuh kopi panas.

Aku hanya mengangguk, mengangkat talam berisi minuman untuk di bawa keluar. Sampai di ruang tamu, Dyana dan Furqan tidak kelihatan. Ke mana pula mereka?

“Mereka berbual di beranda,” kata Aunty Sofea apabila perasan aku mencari- cari mereka.

Tentang apa pula? Selesai menghidangkan minuman, aku terus menyusul mereka di beranda.

“Saya minta maaf,” terdengar suara Dyana apabila aku dekat dengan pintu yang terbuka.

“Abang yang patut minta maaf,” kata Furqan pula.

Terdengar Dyana menghela nafas. “Bukan salah abang pun. Saya pun bersalah. Kita patut lupakan saja dan teruskan hidup macam tak pernah berlaku apa- apa.” 

  “Bolehkah buat macam tu? Abang tak fikir semudah tu abang dapat lupakan,” bantah Furqan.

“Tapi apa pilihan yang kita ada?”

“Ada! Kalau Dyana tak halang abang-”

“Cuba! Apa sekalipun kita perlu cuba!”

“Sudah dekat sebulan kita cuba tapi berhasilkah? Dyana dapat lupakankah?” tanya Furqan dengan suara yang keras.

Dyana tidak menjawab.

“Imani ada cakap apa- apa?” tanya Furqan.

“Tak ada.”

Apa yang mereka berdua bualkan ni? Perasaan ingin tahu yang membuak- buak membuatkan aku mendekati mereka.

“Kamu berdua berbincang apa?” tanyaku.

Dyana terperanjat melihat aku. “Tak ada apalah, kak.”

“Ya kah? Tak macam tak ada apa pun,” kataku dengan cuak.

“Pasal bowling,” jawab Furqan. “Saya ingat nak main balik.”

“Oh ya kah?” balasku. “Tak macam pasal bowling pun.”

“Memang kami cakap pasal bowling dari tadi,” kata Furqan.

Pelik betul mereka berdua. Pasal bowling pun bergaduh macam tu. Macam tak kena ayat- ayat mereka.

“Adik pergi tolong ibu dulu,” kata Dyana.

Aku hanya melihat Dyana berlalu. Furqan pula tumpukan perhatian pada kegelapan malam.

“Saya tak sangka awak minat bowling sampai macam tu,” komenku.

“Ya,” balasnya sepatah.

“Jadi Dyana tak benarkan awak main balik?” tanyaku, sedikit keliru dengan apa yang aku dengar tadi.

“Hmm…lebih kuranglah.”

“Kenapa?” tanyaku, langsung tidak faham.

“Adalah. Sebab game kami di Terengganu tu ada masalah. Dah lah, jom berbual dengan yang lain.”

Tanpa menunggu sama ada aku mengikut atau tidak, Furqan terus masuk. Aku pula masih berdiri agak lama di situ. Aneh betul perbualan mereka. Betulkah berbual tentang bowling? Sampai begitu sekalikah? Kalau mereka terlalu sukakan sukan itu, kenapa kedua- duanya berhenti bermain?

 

 

Hujung minggu adalah waktu untuk membeli keperluan. Tambahan pula hari ini hari gaji. Jadi aku keluar awal seorang diri untuk membeli barang. Selesai mengisi troli, aku terus ke kaunter untuk membayar. Aku bercadang nak berjumpa Furqan nanti.

“Tujuh puluh ringgit,” kata juruwang.

Aku meraba beg, mencari dompet. Eh, aneh! Mana dompet aku?

Tidak berpuas hati, aku letakkan beg ke kaunter dan mencari lagi. Jantungku berdegup kencang apabila sedar dompetku tidak ada di dalam beg. Aku tertinggal di rumahkah? Habis macam mana sekarang. Sudahlah ada orang di belakangku, menunggu untuk membayar. Malunya!

“Saya minta maaf, saya tertinggal purse,” kataku dengan perlahan.

Juruwang itu kelihatan tidak berpuas hati. “Jadi cik tak jadi belilah?”

“Nampaknya macam tu lah,” jawabku.

Dia mendengus perlahan, memanggil penyelianya. “Nak cancel payment. Tak jadi beli!”

“Saya minta maaf,” kataku dengan bersungguh- sungguh.

Sebelum sempat penyelianya menekan kekunci, terdengar suara di belakangku. “Tak apa, saya tolong bayarkan!”

Hazriq berdiri di belakangku.

“Eh, tak apalah! Tak payah susah- susah! Saya boleh beli lain kali,” bantahku.

“Tak ada susahnya. Nanti awak bayarkan balik pada saya,” kata Hazriq, seraya menghulurkan beberapa keping wang kertas kepada juruwang.

“Tapi-”

“Tak ada tapinya. Bukannya awak tak kenal saya. Nanti awak bayarkan balik. Tak pun lain kali awak boleh belanja saya makan lagi,” usul Hazriq.

Juruwang itu terus mengambil wang yang dihulurkan oleh Hazriq tanpa menunggu aku bersetuju atau tidak.

“Sekali lagi awak tolong saya,” kataku, bagaikan merungut.

Bukan aku tidak bersyukur tapi rasa tidak selesa asyik terhutang budi.

“Awak cakap macam saya dah selamatkan nyawa awak,” kata Hazriq.

“Lebih kuranglah,” balasku, menarik beg plastik berisi barang untuk dibawa ke kereta. “Awak buat apa di sini?”

“Saya ingat nak beli barang.”

“Mana barangnya?”

Hazriq mengangkat tangan, menunjukkan plastik kecil yang dibawanya. Dia menghantarku hingga ke kereta.

“Macam mana saya nak bayar awak balik? Saya tak ada nombor awak,” kataku.

“Tak ada?”

“Awak tak pernah bagi pun.”

Hazriq berfikir seketika. “Oh, kalau macam tu saya halalkanlah.”

“Jangan nak mengarutlah!”

Hazriq cuma tergelak. Aku menarik pintu untuk memasukkan beg tangan ke bawah tempat penumpang. Ketika itu jugalah dompetku terjatuh dari tepi pintu. Jadi aku memang ada bawa, cuma terjatuh di dalam kereta. Cepat- cepat aku mengeluarkan wang lalu dihulurkan kepadanya.

“Rupanya ada dalam kereta,” kataku pada Hazriq. “Terima kasih.”

“Sama- sama.”

Aku merenung Hazriq seketika. “Dah dua kali awak datang selamatkan saya.”

“Ya kah? Tapi semuanya hal yang kecil, tak perlulah ingat.”

“Ibu saya pesan, kita kena ingat kebaikkan orang.”

Hazriq tersenyum herot. “Kalau macam tu, anggaplah saya macam Power Ranger. Saya akan selamatkan awak lagi kalau awak ada masalah.”

Berkerut dahi aku. “Awak ni macam saya selalu ditimpa masalah pula.”

“Eh, bukan macam tu! Saya tak bermaksud macam tu pun!”

Tapi dengan nasib malangku yang lebih banyak dari nasib baik, entah- entah aku akan perlukan bantuan dia lagi. Aku menarik nafas panjang. Harap- haraplah tidak. Dua kali terhutang budi sudah banyak bagiku.

“Saya nak kena ke tempat lain, jadi saya minta diri dulu,” kata Hazriq, melihat jam di tangannya.

“Baiklah. Terima kasih sekali lagi.”

“Sama- sama sekali lagi,” balasnya, tersenyum.

Aku melihat dia memandu pergi. Hai untunglah bakal isteri dia. Sudahlah tampan, baik pula tu. Nasib baik aku dah ada Furqan. Kalau tidak, aku pun goyah!

 

 

Hari ini syarikat kami akan adakan mesyuarat dengan One Event, sebuah syarikat yang menguruskan acara untuk membuat promosi besar- besaran produk baru yang dilancarkan oleh syarikat. Pekerja bahagian ini tidaklah ramai sangat, jadi hampir semua orang terlibat dalam acara ini.

“Pukul berapa mereka nak datang?” tanyaku yang mula jemu menunggu.

“Pukul sebelas,” balas Zura yang sejak tadi membetulkan solekan di wajahnya.

Aku merenung dia dengan hairan. Aku rasa tidak ada peraturan perlu kelihatan cantik semata- mata untuk mesyuarat nanti. Apabila perasan aku sedang memerhatikan dia, Zura terus merenung aku kembali.

“Pengurus dia sangat hot, okay!” kata Zura.

“Kau dah ada boyfriend,” kataku.

Zura menjungkit kening. “Boyfriend saja pun, bukan serius pun lagi.”

Macam tak percaya pula aku dengan kata- kata dia. Aku berpaling untuk bercakap dengan Kak Diba tapi nampaknya dia juga sama. Eh, tampan sangatkah sampai semua orang terkesan ni? Patutkah aku ingatkan Kak Diba yang dia sudah bersuami?

“Tapi bila kamu semua jumpa dia?” tanyaku hairan.

Kalau ada orang sebegitu kemari, pasti aku akan ingat.

“Kelmarin, masa kau keluar lunch. Dia singgah sekejap. Masa dia nak balik, kami berkongsi lif untuk turun,” jawab Zura.

“Cair kami berdua, kan?” kata Kak Diba. Laju Zura mengangguk.

Tak terkomen aku dengan perangai mereka. Aku ke pantri untuk mendapatkan minuman. Malas aku hendak melayan karenah mereka berdua. Sedang minum, terdengar suara- suara bercakap di luar. Sudah sampai agaknya tetamu yang ditunggu. Aku segera membasuh gelas minuman dan keluar untuk menyambut tetamu. Oh, ramai juga!

“And this is one of our best, Rania!” kata Encik Anas, ketua bahagian memperkenalkan aku yang tergesa- gesa keluar dari pantri.

Perlikah? Aku tahu aku bukanlah antara pekerja terbaik. Malah prestasiku walaupun teruk, bukanlah hebat pun. Tapi aku mengukir senyum walaupun menyumpah- nyumpah dia di dalam hati.

“Eh, awak kerja di sini rupanya?”

Huh? Eh, dia!

“Hazriq!”

Lelaki itu tersengih melihat aku. Wah, kecil betul dunia ini! Tak habis- habis kami bertembung.

No comments:

Post a Comment