Wednesday, September 9, 2020

Bab 5

 

Hari ini aku betul- betul sibuk. Banyak yang perlu aku siapkan untuk dibentangkan di mesyuarat esok. Semasa aku sibuk beginilah telefonku tidak habis- habis berdering. Mula- mula butik pengantin yang menelefon.

“Furqan belum datang untuk cuba baju pengantin,” kata Resya, pemilik butik.

“Ya kah? Saya dah banyak kali beritahu dia untuk pergi. Nanti saya cakap sekali lagi.”

Pelik juga aku dengan tingkahlaku Furqan. Selepas perlawanan bowling di Terengganu tempoh hari, tiba- tiba dia tidak lagi berminat untuk menyertai aktiviti kelabnya itu. Apabila aku tanya, dia cakap dia hendak fokus pada kerja dan majlis perkahwinan kami yang tinggal dua bulan saja lagi.

Tapi setiap kali berjumpa, aku dapat lihat dia bagaikan banyak berfikir tentang sesuatu. Furqan lebih banyak mendiamkan diri dan termenung. Entah apa yang mengganggu fikirkan dia, risau aku dibuatnya. Mungkinkah dia sebenarnya berasa tertekan dengan majlis perkahwinan kami?

Jika Furqan tidak lagi berminat dengan aktiviti kelab bowlingnya, Dyana pula telah memaklumkan yang dia telah berhenti terus dari kelab itu. Eh, kenapa? Bukankah dia sangat berminat dengan sukan itu? Bukankah dia juga sangat berbakat dan merupakan pemain harapan mereka?

“Sibuk, kerja banyak sangat akhir- akhir ni.”

Itulah jawapan ringkas Dyana. Dia tidak menjawab apabila aku terus mendesak. Tambahan lagi, dia sudah lama tidak pulang ke rumah. Jadi kami juga sudah lama tidak berjumpa.

Pelik aku dengan perangai mereka berdua. Tetapi kalau bertanya pun, masing- masing tidak menjawab. Jadi tidak ada kesudahannya juga nanti.

Selang beberapa ketika, telefon itu berdering lagi. Kali ini Aunty Sofea pula. Kenapa pula ibu Furqan menelefon aku?

“Aunty dah minta dia balik untuk ambil kad undangan. Manalah tahu ada sesiapa yang dia nak jemput ke majlis nanti. Tapi sampai hari ni tak balik- balik. Aunty telefon pun dia tak angkat. Sibuk sangatkah? Kamu telefon dia jawab tak?” leter Aunty Sofea.

“Jawab aunty. Kalau saya tak dapat hubungi dia, saya akan hantar pesanan WhatsApp atau sms. Nanti dia akan telefon saya balik,” jawabku.

Aunty Sofea menghela nafas. “Ya kah? Aunty ingat dia ada masalah. Macam ni lah, nanti kamu beritahu dia yang aunty nak dia balik. Macam- macam betul perangai dia. Majlis dah dekat tapi buat hal pula.”

“Baik, aunty.”

Apa kena dengan Furqan ni? Kalau ibu dia pun kena telefon aku, sudah parah kes ni. Tak pernah pula dia buat perangai macam ni.

Aku mendail nombornya tetapi langsung tidak diangkat. Setelah beberapa kali mencuba, aku akhirnya menghantar pesanan WhatsApp.

 

Assalamualaikum. Saya nak jumpa awak. Sibuk tak?

 

Mesti dia akan membantah nanti kerana dia memang sibuk akhir- akhir ini. Aku berfikir apa yang akan aku katakan jika dia membantah nanti. Selang beberapa minit, dia membalas.

 

Baiklah. Saya ada berdekatan pejabat awak, ada urusan sikit di sini. Dah dekat masa lunch ni. Kita lunch sama- sama?

 

Terkelu aku seketika. Ingatkan dia hendak menolak tadi. Eh, rezeki jangan ditolak! Buru- buru aku mengemas meja dan mencapai tas tangan. Siapa yang tidak teruja kalau pujaan hati ingin berjumpa.

 

 

“Ada apa awak nak jumpa saya?” tanya Furqan.

Kami berjalan beriringan menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke kafe kegemaran aku.

“Pasal baju pengantin. Butik dah telefon tadi, mereka nak ingatkan awak untuk pergi cuba. Kalau lambat nanti tak sempat nak ubahsuai,” jawabku.

“Nantilah saya pergi,” kata Furqan.

“Ibu awak pun telefon. Dia minta awak balik ambil kad kahwin kita.”

“Kenapa pula dia telefon awak?” tanya Furqan.

“Sebab dia tak dapat telefon awak,” jawabku.

Furqan diam tidak menjawab.

“Awak matikan telefonkah?” tanyaku.

“Mesti saya tak dengar masa dia telefon,” jawab Furqan.

Selepas itu dia kembali membisu. Pelik aku tengok perangai dia. Aku ingin terus bertanya tetapi aku ternampak kelibat seorang lelaki melintas di depan kami.

“Hazriq!” kataku.

Hazriq berhenti, memandang kami berdua sebelum mengukir senyuman.

“Eh, awak pun ada di sini!” kata Hazriq.

“Pejabat saya dekat dengan kawasan ni. Awak pun selalu ada juga. Dah dua kali saya jumpa awak di sini,” balasku.

“Saya ada urusan, sebab tu saya datang,” kata Hazriq. “Tunang awak?”

“Ya, ini tunang saya, Furqan.” Aku memandang Furqan. “Awak, ini Hazriq. Dialah yang tolong saya masa kereta saya rosak hari tu.”

“Oh, terima kasih untuk hari tu,” kata Furqan, menghulurkan tangannya kepada Hazriq.

“Sama- sama. Hal kecil saja tu,” balas Hazriq, menyambut huluran tangannya.

“Awak baru datang atau awak dah nak balik?” tanyaku.

“Dah selesai kerja pun, jadi nak baliklah ni,” kata Hazriq.

“Kalau macam tu, awak boleh sertai kami makan. Rania pernah cakap nak belanja makan sebagai tanda terima kasih, kan? Jomlah!” ajak Furqan.

“Eh, tak apalah! Saya ikhlas tolong dia hari tu.” Sekali lagi Hazriq cuba menolak.

“Awak ni, kecil hati saya. Saya pun ikhlas nak belanja. Besar jasa awak pada saya hari tu,” kataku.

Hazriq akhirnya akur. “Baiklah kalau macam tu.”

 

 

“Bila majlis perkahwinan kamu berdua?” tanya Hazriq.

“Dalam masa dua bulan lagi,” jawabku. “Jemputlah datang.”

Aku menghulurkan kad undangan kepadanya. Rasanya memang tidak salah kalau aku jemput dia. Hazriq membaca seraya mengangguk.

“Insya Allah. Kalau tak ada apa- apa hal saya akan datang.”

“Bawalah sekali teman wanita dan keluarga awak. Saya jemput mereka semua juga,” kataku.

“Insya Allah,” balas Hazriq.

Selepas itu Hazriq lebih banyak berbual dengan Furqan. Aku mengambil kesempatan untuk melihat- lihat sekeliling kafe yang kini sesak dengan pengunjung yang ingin makan tengah hari.

“Kereta awak rosak apa sebenarnya malam tu?” Tiba- tiba Hazriq bertanya kepadaku.

“Entahlah, saya pun tak pasti,” jawabku.

“Awak tak tanya mekanik?” tanya Furqan, tidak bepuas- hati dengan sikapku.

Aku menjungkit bahu. “Tanya tapi saya tetap tak faham.”

“Macam mana kalau dia tipu awak, awak tak tahu pun,” komen Furqan.

“Tapi saya memang tak faham, saya nak buat macam mana?” soalku.

Furqan menarik muka, ingin memprotes jawapanku. Tetapi dia tidak jadi berkata apa- apa apabila sedar Hazriq sedang melihat.

“Saya kenal selalu juga ke bengkel tu. Owner dia memang baik dan boleh dipercayai. Insya Allah, saya yakin dia tak akan tipu awak,” kata Hazriq, tiba- tiba mencelah.

“Awak kenal dia?” tanyaku.

“Ya. Saya tinggal pun dekat kawasan tu juga. Jadi saya memang pernah pergi bengkel dia beberapa kali. Uncle tu memang baik,” jelas Hazriq.

Furqan tidak memberi komen. Pasti masih ada yang tidak puas di hatinya. Aku membisu, enggan terus bergaduh. Apatah lagi Hazriq ada dengan kami sekarang. Makanan pula sampai pada masa itu, jadi masing- masing tidak lagi banyak berbual seperti tadi.

Selesai makan, Hazriq minta diri. Katanya dia perlu singgah ke pejabat untuk serahkan dokumen. Furqan pula menghantarku pulang ke pejabat.

“Awak macam dah lama kenal dia?” komen Furqan.

“Saya baru kenal dia hari tu,” balasku.

“Macam mana awak tahu dia ada girlfriend?” tanya Furqan.

Tak mungkin aku akan ceritakan bagaimana aku sebenarnya boleh tahu!

“Kami pernah berbual,” jawabku samar- samar.

“Hmm…macam tu,” kata Furqan.

Kami kemudian membisu hingga sampai di hadapan bangunan pejabatku.

“Jangan lupa pergi butik. Jangan lupa balik jumpa aunty juga. Nanti dia telefon lagi,” pesanku kepada Furqan.

Lelaki itu tidak membalas, hanya menggangguk. Dia kemudiannya berlalu tanpa berkata apa- apa. Aku termangu merenung dia pergi. Kenapa dengan dia? Apa yang tidak kena sebenarnya?

 

 

Memandangkan Furqan laksanakan juga semua pesanan aku, jadi tidak ada rungutan lagi selepas itu. Aku anggap sikap murungnya itu ialah kerana tekanan. Mungkin dia banyak berfikir tentang perkahwinan kami nanti.

Hari ini aku merayau dengan Dyana untuk mencari sesuatu yang boleh ditambah kepada hadiah untuk tetamu yang datang nanti. Jarang Dyana dapat menemani aku, jadi aku sangat teruja apabila dia bersetuju tadi. Tapi sejak datang, wajahnya murung dan banyak mendiamkan diri.

“Tak sihatkah?” tanyaku pada Dyana apabila dia tidak memberi tumpuan pada perbualan kami.

“Tak adalah,” jawab Dyana.

“Habis kenapa diam dari tadi? Pelik kakak tengok kamu,” komenku.

“Adik penat kak. Kerja banyak sekarang. Cuti pun kurang,” jawab Dyana.

“Ya kah? Dah penat kenapa datang juga? Berehatlah di rumah.”

Dyana mengukir senyuman kecil. “Tak apalah kak. Adik tak tolong kakak sangat pun untuk majlis kakak nanti.”

“Alah hal kecillah.”

“Tak apalah. Jom, kak! Lagipun kita kena balik cepat. Nanti ibu berleter pula,” kata Dyana, memaut lenganku.

Betul juga. Malam ini keluarga aku dan Furqan akan makan malam bersama. Kami perlu pulang awal untuk menolong ibu memasak nanti.

“Abang Furqan datang jugakah?” tanya Dyana tiba- tiba.

“Entahlah. Dia cakap dia ada di Johor sekarang. Tapi dia cakap dia akan cuba balik untuk makan malam dengan kita,” jelasku.

Dyana hanya bergumam membalas. Raut wajahnya nampak sedikit kecewa. Dia hendak berjumpa dengan Furqankah? Sebab itukah dia bertanya?

Tapi kenapa?

“Adik tak tanya dia sendirikah?” tanyaku.

“Kami dah lama tak bercakap. Selepas game di Terengganu hari tu, adik dah tak main bowling lagi. Jadi tak ada sebab untuk berbual macam dulu,” jelas Dyana.

Jadi mereka dah tak berhubung. Mungkin aku tak patut tunjukkan pada Dyana yang aku rasa gembira dengan berita itu. Aku akui aku memang rasa cemburu apabila mereka rapat tempoh hari. Walaupun aku tahu mereka tidak akan mengkhianati aku tapi aku tetap rasa risau. Tapi semua itu sudah berlalu.

Tapi…apa boleh buat? Aku memang tersenyum lebar sekarang.

“Kenapa kakak tersenyum macam tu?” tanya Dyana.

“Tak ada apa, kakak seronok berjalan- jalan dengan kamu macam ni,” jawabku.

“Kakak nak beli apa lagi?” tanya Dyana.

“Aiskrim.”

“Huh?” Dyana kelihatan terpinga- pinga.

“Kakak tiba- tiba rasa nak makan aiskrim. Vanilla. Coklat cair. Tabur kacang di atas.”

Dyana tergelak. “Mana nak cari tu?”

“Jom!” Aku menarik tangan Dyana. “Tak pun kita boleh cuba aiskrim Turki yang glamour tu. Mari kita lawan tarik- tarik dengan dia!”

Dyana hanya tersenyum mengikut. Persiapan untuk majlis perkahwinanku berjalan lancar. Aku akan menjadi isteri Furqan dalam tempoh tidak sampai dua bulan saja lagi. Segalanya menjadi seperti apa yang aku mahukan. Terasa bagaikan dunia ini aku yang punya. Malah rasa bahagiaku memang melimpah ruah sekarang.

Jadi bagaimana aku tidak boleh tersenyum lebar?

No comments:

Post a Comment