Aku
terus memerhatikan mereka yang kini sibuk menyiapkan agar pernikahan Dyana dan
Furqan dapat dilangsungkan dengan segera. Imam Hisham juga telah dipanggil
ayah. Sejak tadi, aku duduk berdekatan tangga, tidak tahu apa yang patut aku
lakukan. Segala yang berlaku bagaikan mimpi ngeri.
Ibu
memeluk bahuku. “Rania, jom ke bilik kamu. Ibu tolong kamu tukarkan pakaian.”
Aku
merenung pakaianku. Aku masih lagi berbaju pengantin, lengkap dengan tiara.
Kena tukarkah? Aku langsung tidak terasa untuk bangun dan pergi ke mana- mana.
Tetapi pasti aneh nanti. Bukan aku yang menjadi pengantin hari ini, tetapi
Dyana. Kenapa aku yang bukan pengantin berpakaian sebegini?
“Tak
apa ibu. Saya boleh tukar sendiri.” Perlahan aku menjawab.
Aku
bangun perlahan- lahan dan masuk ke kamarku. Hiasan sebagai kamar pengantin
membuatkan hatiku sekali lagi terasa sakit. Pun begitu aku gagahkan diri untuk
menukar pakaian. Pakaian pengantin dan tiara aku campak ke atas katil. Selesai
bersiap ala kadar, aku keluar ke ruang tamu.
Imam
Hisham yang tadinya datang untuk menyempurnakan akad nikahku, kini masih berada
di sini untuk tujuan yang sama. Cuma pengantinnya saja bertukar. Dia dan ayah
sedang berbual dan telah dimaklumkan tentang apa yang telah berlaku. Sewaktu
aku masuk, matanya sekilas memandang aku. Dia kelihatan simpati.
Bukan
dia seorang. Beberapa orang saudara terdekat yang masih ada juga memandang aku
sekilas. Masing- masing menunjukkan reaksi yang sama.
Tidak
pernah aku terfikir raut wajah simpati akan menyebabkan hatiku akan lebih sakit
begini.
Aku
mengambil tempat di penjuru. Furqan duduk di hadapan Imam Hisham, bersedia
untuk mengangkat akad sekali lagi untuk kali kedua hari ini.
“Aku
terima nikahnya Nur Dyana Asyiekin binti Haji Luqman dengan mas kahwinnya RM80
tunai!”
Sekali
lafaz sahaja, Furqan sah menjadi suami kepada Dyana. Dyana terus menangis,
entah kerana bahagia atau bersalah. Ibu sendiri mula menangis.
Aku?
Entahlah.
Aku tidak mampu menangis. Kalau tadi aku menahan diri dari menangis, sekarang air
mataku bagaikan kering. Kalau tadi hatiku remuk, sekarang aku tidak pasti jika
masih ada cebisannya. Aku merenung Furqan yang melakukan acara membatalkan air
sembahyang.
Sakitnya.
Ya
Allah.
Bantulah
aku, ya Allah.
Bertambah
sakit apabila aku perasan mereka- mereka yang mengerlingku dengan rasa simpati.
Sakit hati tadi bertukar menjadi marah. Kenapa aku masih di sini? Segalanya
terlalu menyakitkan! Jika hari ini sahaja begini, bagaimana dengan esok ketika
kenduri berlangsung? Bagaimana hendak jelaskan kepada tetamu yang pengantin perempuan
telah bertukar? Ramai orang yang aku kenali akan datang esok. Apa yang aku
hendak katakan pada mereka?
Aku
malu.
Aku
bingkas bangun, ingin masuk ke bilik. Aku tidak ingin berada lebih lama di
situ. Kalau boleh aku tidak ingin keluar dari bilik lagi. Terdengar suara Dyana
memanggil namaku tetapi aku tidak menghiraukan dia. Dia mengejar aku hingga ke
depan bilik.
“Kakak,
nanti! Maafkan adik, kakak!” Dyana cuba meraih tanganku tetapi aku cepat- cepat
menepis.
“Jangan
sentuh aku!” Aku menjawab dengan kasar.
Aku
merenung dia dan Furqan yang entah bila mengekori kami dengan rasa marah yang
meluap- luap. Lebih marah apabila Furqan berdiri di hadapan Dyana, seolah- olah
melindungi Dyana daripada aku. Ibu, ayah, Aunty Sofea dan Uncle Hadi mengekori
dari belakang.
“Kakak,
adik minta maaf. Adik tak fikir semua ni akan berlaku.” Dyana menangis teresak-
esok.
“Tak,
jangan salah Dyana! Ini semua salah saya. Awak boleh marah, pukul atau buat apa
saja tapi jangan marahkan dia!” kata Furqan.
“Bukan
salah abang Furqan, adik yang jatuh cinta dengan dia dulu! Kakak marahlah adik,
jangan marah abang Furqan!” teriak Dyana, masih tersedu- sedu tetapi tidak
berganjak dari belakang Furqan.
“Bukan
salah dia!”
“Bukan,
memang salah saya! Dyana tak minta abang jatuh cinta dengan Dyana!”
“Tapi
abang yang jatuh cinta pada Dyana dulu sebenarnya!”
“Kamu
berdua diam!!!” jeritku.
Hampir
saja aku tergelak sinis dengan semua ini. Mendengar luahan hati mereka bagaikan
menonton sinetron. Furqan ialah hero, Dyana ialah heroin dan aku ialah watak
jahat yang sering mengganggu dan memisahkan mereka. Sudah jelas mereka cintakan
satu sama lain. Hati Furqan tidak lagi untukku. Tetapi mendengar luahan hati
mereka begini di hadapan semua orang membuatkan aku rasa ingin termuntah! Tidak
cukupkah mereka menyakiti aku?
“Kamu
berdua dengar sini baik- baik. Memang aku benarkan kamu berdua berkahwin tapi
jangan ingat aku dah maafkan kamu berdua! Sampai mati pun belum tentu aku
maafkan kamu berdua! Semoga Allah turunkan balasan atas apa yang kamu berdua
dah buat pada aku!”
“Kakak!”
Aku
terus masuk ke bilik, terasa lebih puas apabila menghempas pintu di depan
mukanya. Itu cuma perkara yang kecil berbanding apa yang telah dia dan Furqan
lakukan. Mereka berdua memang tidak dapat dimaafkan!
Selepas
itu, aku terus duduk di dalam bilik. Aku tidak lagi peduli dengan apa yang
berlaku, biar mereka uruskan saja apa saja masalah yang timbul.
Jam
di dinding menunjukkan pukul dua pagi tetapi aku masih termenung di atas katil.
Aku telah cuba untuk tidur tetapi mata langsung tidak dapat aku lelapkan.
Otakku terlalu ligat berfikir tentang apa yang berlaku.
Memang
aku telah izinkan mereka bersama, tetapi itu atas permintaan ibu. Hatiku masih
sukar memaafkan mereka. Perasaan marah, kecewa dan sedih berbaur. Semua itu
tidak dapat aku padam dengan mudah.
Ya
Allah, kau bantulah aku mengharungi dugaan ini.
Aku
teringat babak dalam filem Kuch Kuch Hota Hai. Selepas bakal pengantin
menyerahkan bakal isterinya kepada lelaki yang dicintainya, dia menari- nari
meraikan pasangan yang baru itu bersama yang lain dengan rasa gembira. Maaf,
ini bukan cerita Hindustan itu. Ini realiti hidup aku. Jika aku menari, aku
pasti sudah hilang akal pada masa itu!
Aku
tidak mungkin akan rasa gembira pada ketika ini kerana lelaki yang aku cintai
mencintai adik aku sendiri. Malah mereka pernah terlanjur dan Dyana sedang
mengandung. Bagaimana aku dapat meraikan perkahwinan ini dan seronok macam
tidak ada apa yang pernah berlaku?
Aku
bingkas bangun, menghampiri jendela. Kanopi- kanopi yang ditegakkan petang tadi
kelihatan dengan jelas dari jendela bilikku. Esok tetamu yang tidak tahu
tentang drama yang telah berlaku akan berpusu- pusu datang. Mereka pasti ingin
mengucapkan tahniah kepadaku. Lebih pasti, mereka akan mengharapkan adanya
sepasang pengantin yang meraikan hari bahagia mereka. Bagimana boleh aku
jelaskan kepada mereka yang pasangan pengantin itu tidak wujud lagi? Apa yang
mereka akan fikir nanti? Apa yang mereka akan katakan nanti?
Ya
Allah, aku malu.
Aku
memegang bucu meja. Tiba- tiba aku terasa hendak pitam. Segalanya terasa
menyesakkan menyebabkan aku terasa sukar untuk bernafas. Sudah cukup! Aku tidak
mahu berada di sini walau sesaat pun lagi! Aku perlu pergi!
Aku
tergesa- gesa mengeluarkan bagasi paling besar. Pintu almari aku buka dengan
kasar dan aku mencapai pakaian dan keperluan harianku. Aku masukkan semuanya ke
dalam bagasi itu. Aku mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen.
Maaf ibu dan ayah, biarkanlah
saya pergi. Jangan risau, saya tidak akan lakukan sesuatu yang bodoh. Bila
fikiran saya tenang nanti, saya akan hubungi ibu dan ayah. Sekali lagi, saya
minta maaf.
Aku
tinggalkan nota itu di atas meja. Perlahan- lahan aku menarik bagasi, berjalan
keluar dari rumah yang sunyi. Semua orang pasti tidur. Baguslah, lebih baik
begini. Kalau tidak pasti ada yang cuba menahanku dari pergi.
Keretaku
telah aku letakkan agak jauh dari rumah untuk memberi laluan kepada kanopi.
Jadi tidak ada sesiapa pun yang sedar apabila aku menghidupkan enjin. Selesai
memasukkan bagasi kebahagian belakang, aku merenung rumahku sekilas sebelum
masuk ke dalam kereta.
Aku
tidak tahu berapa lama aku memandu atau ke mana arah tujuku. Sedar- sedar aku
sedang melalui Lebuhraya Utara-Selatan ke arah utara. Hendak ke mana? Aku belum
membuat keputusan.
Aku
melihat papan tanda yang menunjukkan aku menghampiri sempadan antara Selangor
dan Perak. Aku masih belum tahu hendak ke mana. Jadi aku terus memandu.
No comments:
Post a Comment