Friday, August 28, 2020

Prolog

 Baru- baru ni semua orang jadi panik apabila virus yang tidak dijumpai vaksinnya lagi tersebar dengan meluas. Bilangan mangsa yang dijangkiti meningkat secara mendadak membuat kerajaan mengambil langkah untuk penyekat pergerakan semua orang. Hendak ke mana- mana pun susah. Hendak berjumpa orang pun susah. Hendak beli barang keperluan pun susah. Macam mana hendak bertahan?

Entahlah, Zana tak pernah fikir yang hal itu susah pun.

Mungkin sejak beberapa tahun ini, Zana jarang tinggalkan rumah. Ah, bukan beberapa tahun. Sejak entah berapa lama lagi.

Zana memang tak suka keluar atau jumpa orang lain. Jadi banyak yang Zana lakukan dari rumah saja. Paling Zana bersyukur ialah kewujudan e-banking dan penghantaran. Zaman sekarang, asalkan ada internet, hampir semuanya boleh dilakukan dari rumah. Zana kerja pun dari rumah!

Kerja apa dari rumah?

Zana ialah seorang Youtuber. Istilah itu merujuk kepada seseorang yang memuatnaik video ke laman Youtube. Laman Youtubenya mempunyai pengikut yang ramai. Dan mesti ramai yang pelik macam mana seseorang yang tidak keluar dari rumah mempunyai ramai pengikut. Sebenarnya Zana pun tidak pernah tahu yang ramai yang berminat dengan video- videonya. Bermula dengan video pertama yang dia hasilkan semasa di universiti sehingga video terbaru beberapa hari yang lepas, purata tontonan melebihi ratusan ribu. Walhal video itu cuma mengenai apa yang dia lakukan setiap hari tanpa keluar dari rumah. Selepas dia sedar yang dia boleh jana pendapatan dengan laman Youtubenya, Zana ambil keputusan untuk berhenti kerja dan jadi Youtuber sepenuh masa.

Mungkin minat manusia ini pelbagai. Mungkin juga mereka berminat untuk tahu apa yang seseorang boleh lakukan setiap hari tanpa keluar dari rumah. Tambahan lagi dengan situasi sekarang di mana orang ramai digesa untuk berada di rumah sepanjang masa. Sejak beberapa hari ini pengikut laman Youtube bertambah secara mendadak.

Zana duduk di balkoni, memuatnaik video terbaru apabila terdengar bunyi benda terjatuh di rumah sebelah.

“Hantukah?” bisik Zana.

Rumah sebelah bukannya ada penghuni pun!

Zana bangun, menjenguk ke balkoni sebelah. Tapi ruang penglihatan yang agak terhad membataskan penglihatannya. Selepas seketika, Zana menyerah kalah. Bukannya dia nampak apa- apa pun sejak tadi.

“Khayalan! Hantu tak wujud siang- siang ni!” kata Zana.

Dia kembali ke meja kecil yang digunakannya setiap kali bekerja di balkoni. Cuaca sudah semakin panas, lebih baik dia masuk ke dalam. Zana mengangkat laptop, terus masuk.

Tapi kalau dia menunggu beberapa saat lagi, dia pasti akan berjumpa dengan ‘hantu’ yang berada di rumah sebelah. Seorang lelaki keluar, melihat pemandangan dari balkoni rumah barunya. Kemudian dia berpaling, melihat balkoni rumah sebelah. Dia tidak nampak dengan jelas tapi kelihatan pokok- pokok di tanam sepanjang balkoni itu.

Lelaki itu mengerut dahi. “Balkoni kecil pun tanam macam- macam?”

“Ryzal, tolong sign borang ni dulu!”

Ryzal melihat balkoni itu sekali lagi, kemudian masuk ke dalam rumah. Masih ada banyak yang perlu dia lakukan memandangkan ini hari pertamanya dia masuk secara rasmi ke dalam rumah ini.

Hari itu sepatutnya jadi pertemuan pertama antara seorang gadis yang tidak sukakan dunia luar dan seorang jejaka yang memang terkenal di dunia luar. Tapi situasi begini membuatkan pertemuan itu tergendala.

No comments:

Post a Comment