Wednesday, December 16, 2020

Bab 7

 

“Ini… rumah siapa?”

Ayni berdiri di pintu, melihat saja Luqman yang mengeluarkan kunci. Ayni menjenguk ke sekeliling, tapi masih tidak mahu melangkah masuk.

“Rumah saya!” jawab Luqman.

Tadi dia cakap dia tak akan bawa Ayni ke rumahnya! Jadi dia menipu! Ayni berundur selangkah, kemudian terus berjalan ke lif.

“Wah, nanti! Dengar dulu!” kata Luqman.

“Awak tipu saya!” kata Ayni, enggan berhenti.

Butang turun ditekan berkali-kali. Ah, lambat pula lif ni! Ayni cuba berjalan ke tangga tapi Luqman segera menghalangnya.

“Saya tak tipu!”

Ayni merenung Luqman dengan wajah mencuka.

“Okey… sikit.”

Kali ini Ayni menyilang tangan.

“Banyak sikit! Tapi dengarlah dulu!” Cepat-cepat Luqman menyambung apabila Ayni cuba berjalan lagi.

“Rumah ni memang rumah saya tapi saya tak tinggal di sini,” kata Luqman.

“Awak tinggal di mana?”

“Di rumah yang lain.”

Ayni mengerut dahi. “Berapa banyak rumah yang awak ada?”

“Nanti saya hantarkan senarainya pada awak.”

Dia bergurau atau serius?

“Saya tak mahulah! Saya nak buat apa dengan senarai tu?”

Luqman menjungkit kening. “Bukan awak nak tahu tadi?”

Ayni mengeluh, terasa ingin memicit kepalanya. Dia terlalu letih dengan semua yang berlaku hari ini dan dia masih tidak dapat berehat.

Luqman tersenyum. “Saya tak kan tipu awak, jadi jomlah.”

“Saya tak mahu masuk berdua-duaan dengan awak!” bantah Ayni.

“Ada orang lain dalam rumah tu. Saya minta dia datang bersihkan rumah.”

“Pembantu awakkah?”

Ayni terbayang Azhar yang masih berwajah serius tapi memakai apron dan memegang penyapu bulu ayam di tangan.

Arahan dari bos, pasti saya akan laksanakan sebaik mungkin!

“Bukan, dia memang pembantu rumah. Saya pasti Azhar pun boleh lakukan kerja dengan baik kalau saya arahkan dia buat, tapi dia masih ada banyak dokumen yang perlu disemak di pejabat,” terang Luqman.

Ayni hanya tersengih. Dia masih terkenang Azhar dengan apronnya itu. Ayni akhirnya mengikut Luqman masuk ke dalam rumah. Memang benar ada seorang wanita menunggu mereka di dalam. Wanita itu tunduk dengan hormat apabila nampak Luqman dan Ayni. Sama seperti dengan Azhar, Luqman langsung tidak pedulikan dia.

“Dia akan datang untuk uruskan semua hal setiap hari. Kalau awak perlu beli apa-apa, awak boleh beritahu dia atau beritahu terus kepada saya. Ada dua bilik tidur, jadi awak boleh pilih mana-mana bilik yang awak mahu,” kata Luqman.

Ayni melihat sekeliling. “Tinggal di sini? Awak ni biar betul.”

“Betullah, apa yang tak betul?”

“Berapa lama?” tanya Ayni.

“Seberapa lama yang awak nak. Nak tinggal terus pun boleh. Tak ada masalah dari pihak saya.”

Ayni mengeluh. “Boleh tak jangan bergurau? Saya terlalu letih untuk layan semua ni sekarang.”

Luqman menggeleng. “Tapi saya memang serius!”

“Tapi kenapa? Saya dah tak ingat berapa kali awak tolong saya. Walhal beberapa hari yang lepas, kita langsung tak kenal pun,” soal Ayni.

Beberapa hari yang lepas, mereka cuma berjumpa di kedai makan. Beberapa hari yang lepas, mereka tidak banyak berbual. Dan beberapa hari yang lepas, Ayni pasti Ayni tidak akan ikut Luqman seperti ini. Kalau orang cakap dia akan berada di sebuah rumah dengan seseorang lelaki yang dia baru kenal, mungkin dia akan cakap ia sangat mustahil!

Luqman mengukir senyum. “Mungkin kita pernah kenal. Mungkin awak tak ingat. Mungkin juga ia bukan hal yang penting pun. Jadi tak perlu fikir banyak.”

Lagi sekali dengan jawapan kaburnya. Boleh tak terangkan saja? Seronokkah timbulkan rasa ingin tahu?

“Awak berehatlah. Esok kita berbual lagi,” kata Luqman.

Ayni sendiri terlalu letih untuk berfikir lagi, jadi dia biarkan dulu hal itu. Esok dia akan tanya lagi sampai dapat jawapan. Selepas Luqman dan pembantu rumah itu pulang, Ayni melihat-lihat sekeliling apartmen itu. Semuanya ada. Dari set bilik tidur yang lengkap, hinggalah ke hiasan. Malah makanan juga memenuhi peti sejuk. Tiba-tiba perut Ayni berkeroncong. Ayni boleh makankah? Tapi ini bukan miliknya.

Ayni menggigit bibir, menahan lapar. Akhirnya dia menutup peti sejuk dengan agak kuat. Tidur! Semua masalah akan selesai bila tidur!

Tapi di tempat baru, susah untuk terus tidur. Bila begini barulah dia boleh berfikir dengan tentang kejadian beberapa hari ini. Ke mana Arman menghilang? Bagaimana dia boleh tinggalkan Ayni begitu saja?

Nanti Ayni masih perlu cari bilik sewa. Walaupun niat Luqman baik untuk menolongnya, Ayni tidak boleh ambil kesempatan. Dia tak boleh tinggal di sini selamanya. Ayni tak mahu terus susahkan orang.

Untuk seseorang yang berumur 17 tahun, banyak betul yang Ayni perlu fikir. Ayni menghela nafas, memandang siling yang gelap. Apa akan jadi lepas ni? Ayni sudah tidak tahu hendak fikir apa lagi.

 

 

Ayni bangun lebih awal dari biasa. Perut meragam kerana dia tidak makan langsung hari sebelumnya. Perlukah dia keluar untuk beli makanan?

Mengarut! Dia mana ada duit!

Selepas berfikir panjang, Ayni buka juga peti ais itu. Dia berfikir sama ada hendak gunakan sedikit makanan di dalam peti ais ini. Apa yang paling murah? Dari bahagian beku hingga ke sayur, hanya itu yang nampak paling murah. Ayni goreng telurlah. Sekurang-kurangnya dia mampu untuk bayar balik harga sebiji telur.

Ingat lagi skil memasak Ayni? Telur goreng itu hangit! Ayni menguis-nguis telur itu dengan garfu, menelan liur. Boleh makan lagikah? Bukan salah Ayni, okey! Telur tu yang melekat di belanga. Mungkin Ayni patut masukkan minyak lebih banyak. Bersusah payah Ayni cuba untuk terbalikkan ke sebelah lagi. Itu yang hancur, selain dari berwarna hitam.

Habis sekarang macam mana? Ayni masih perlu makan. Dia menghela nafas. Ah, makanlah! Rasanya tak akan ada masalah. Lagipun ini bukan kali pertama Ayni masak begini. Setakat ini Ayni masih hidup dengan sihat!

Baru hendak mencucuk telur, terdengar loceng pintu. Terpinga-pinga sekejap Ayni. Dia ada tetamukah? Tapi ini bukannya rumah Ayni. Perlahan-lahan dia bangun, mencapai tudung, kemudian ke pintu. Hendak terus bukakah? Entah-entah orang itu salah rumah. Setelah berfikir beberapa kali, akhirnya Ayni membuka pintu juga.

Luqman tersengih lebar. “Assalamualaikum.”

Eh, rupanya dia! Azhar berdiri tegak di belakang Luqman, cuma menundukkan kepala sedikit kepada Ayni.

“Waalaikumsalam. Kenapa awak tak masuk terus? Bukankah awak pun ada kunci? Rumah awak, kan?” tanya Ayni.

“Tapi sekarang ini rumah awak, tak kan saya nak meluru masuk macam tu saja. Awak buat apa? Boleh kita berbual?” tanya Luqman.

Ayni membuka pintu lebih luas, membenarkan dua lelaki itu masuk. Luqman yang melalui meja makan ternampak hasil ‘seni’ Ayni pada pagi itu.

“Apa benda ni?” tanya Luqman dengan hairan.

Alamak! Cepat-cepat Ayni ke meja, mengambil piring itu.

“Tak ada apa-apa!” kata Ayni dengan rasa malu.

“Makanankah?” tanya Luqman.

Ah, jangan tanya lagi! Malulah! Bertambah malu apabila melihat Luqman tersenyum penuh makna.

Tapi bagaikan 180°, senyuman itu terus lenyap apabila Luqman berpaling memandang Azhar dan bercakap dengan serius. “Telefon pembantu rumah tu. Suruh dia datang sekarang. Mulai sekarang dia kena datang lebih awal untuk siapkan sarapan.”

“Baik!” Terus Azhar keluarkan telefon.

Sarapan siapa? Aynikah?

“Nanti!” kata Ayni dengan tiba-tiba.

“Ada apa?” tanya Luqman.

“Awak minta dia siapkan sarapan siapa?”

“Awaklah,” jawab Luqman dengan selamba. “Sepatutnya dia dah siapkan sarapan awak. Awak tak perlu buat apa-apa pun. Tapi sekarang awak masak sendiri. Mungkin saya patut pecat dia!”

Luqman memang nampak serius apabila dia cakap dia mahu memecat pembantu rumah itu!

“Nanti! Kenapa pula awak nak pecat dia? Eh, bukan! Kenapa pula dia patut masak untuk saya? Tapi… maksud saya… kenapa pula awak sediakan pembantu rumah untuk saya? Saya… awak… hesy!” Ayni menggosok kepalanya.

Luqman tergelak. “Bukan semalam saya dah beritahu awak yang dia akan uruskan semua hal di sini? Saya harap awak dapat tinggal di sini dengan selesa.”

Ayni ingat kata-katanya itu, tapi hari ini bila Ayni sudah berehat, barulah dia dapat berfikir dengan baik. Tindakan lelaki ini benar-benar tidak masuk akal! Mula-mula dia sediakan sebuah rumah. Kemudian dia sediakan seorang pembantu rumah. Entah-entah lepas ini dia akan hadiahkan kereta pula pada Ayni.

Sementara menunggu pembantu rumah sediakan makanan, mereka duduk di sofa. Luqman dan Azhar berbincang tentang sesuatu. Ayni pula masih berfikir panjang sambil sekali-sekala mengerling Luqman. Ah, memang sukar untuk menduga apa yang bermain di fikiran lelaki ini sebenarnya.

“Apa yang awak masak tadi tu?” tanya Luqman tiba-tiba.

Kenapa dia masih ingat tentang hal itu? Lupakanlah! Tolonglah lupakan! Tapi Luqman nampak betul-betul berminat, menunggu jawapan dari Ayni dengan sabar.

“Telur goreng,” jawab Ayni.

Luqman mengangguk. “Pertama kali saya nampak telur goreng macam tu.”

Kalau bukan kerana dia nampak serius, pasti Ayni fikir dia menyindir Ayni. Ah, nanti! Mungkin dia memang menyindir!

“Tapi kenapa cuma telur goreng? Bahan tak cukupkah? Nanti saya minta dia tambahkan lagi bahan dapur,” kata Luqman.

“Tak, itu bukan masalahnya,” gumam Ayni.

“Habis kenapa?”

“Nanti saya tak mampu nak bayar balik pada awak. Saya rasa telur itulah yang paling murah.”

“Kenapa pula awak nak kena bayar balik? Awak boleh gunakan apa saja yang ada di rumah ni. Tak perlu bayar apa-apa,” kata Luqman, nampak benar-benar hairan.

Ayni menghela nafas. “Tak bolehlah macam tu. Saya rasa terhutang budi dengan awak.”

“Habis awak nak macam mana?” tanya Luqman.

“Saya akan cari kerja secepat mungkin. Saya akan bayar balik pada awak dengan segera,” kata Ayni dengan bersungguh-sungguh.

“Awak masih lagi seorang pelajar. Kerja seorang pelajar ialah untuk belajar. Jadi kenapa awak nak bekerja kalau saya boleh tolong awak?” soal Luqman, mengerut dahi.

“Saya tak suka berhutang! Saya seboleh-bolehnya tak mahu berhutang dengan sesiapa pun! Saya tak mahu awak tolong saya juga! Dah banyak awak tolong saya! Saya tak tahu macam mana nak balas balik nanti!”

“Hmm, nampaknya awak memang berkeras tentang hal ni. Tak kira apa saya cakap pun, awak masih nak bayar balik pada saya. Tapi kerja apa yang awak nak buat?”

“Entahlah, saya belum pasti lagi. Tapi susah juga nak dapat kerja sekarang. Mungkin kalau terdesak, saya boleh juga buah pinggang saya untuk langsaikan hutang pada awak, ha ha.”

Ayni cuma bergurau, tak perlulah tengok Ayni dengan serius! Azhar pun sama! Sama saja majikan dengan pekerja!

Luqman menarik nafas panjang. “Macam ni lah. Saya ada satu cadangan, tak tahulah awak akan setuju atau tidak.”

“Cakaplah.”

“Dari awak bekerja entah apa atau jual buah pinggang awak tu, awak boleh bekerja dengan saya. Tunggu saya cakap dulu,” kata Luqman apabila nampak Ayni ingin memprotes. “Hari biasa awak ke sekolah, awak belajarlah. Hari Sabtu, datang ke pejabat saya. Saya akan minta Azhar sediakan kerja untuk awak. Saya akan beri awak elaun untuk setiap jam awak bekerja. Macam mana?”

“Hari Ahad macam mana?”

“Awak masih perlu mengulangkaji.”

Ini lebih baik dari tiada. Lagipun Ayni boleh belajar dan dapatkan pengalaman bekerja dalam masa yang sama. Tak kisahlah berapa elaun yang dibayar, ada juga pendapatan. Kalau tak cukup, Ayni akan cuba cari kerja lain.

“Saya cuba dulu, boleh?”

“Mestilah boleh!” Luqman tersenyum girang. “Hujung minggu ni awak boleh cuba.”

Ayni tersenyum, mengangguk. Memandangkan Luqman pun ada bersama, Ayni mengajak dia bersarapan bersama. Azhar pun Ayni ajak, tapi dia menolak dengan raut wajah yang serius.

Bila makan bersama begini, Ayni teringatkan keluarganya. Dulu, kadang-kala mereka akan makan bersama. Walaupun papa dan mama selalu sibuk, mereka sering cari masa untuk berkumpul. Ayni yang masih muda pada waktu itu rasa teruja setiap kali semua orang dapat berkumpul. Apatah lagi jika mak tok pun ada. Mak tok melayan karenah Ayni dengan penuh sabar. Rindunya Ayni pada mak tok!

Agaknya sebab itulah masa silam dipanggil kenangan. Ia tidak akan dapat diulang, cuma dapat dikenang.

“Kenapa?” tanya Luqman bila nampak Ayni tidak lagi makan. “Awak nak makanan yang lain?”

Ayni menggeleng. “Di mana agaknya papa saya?”

“Saya akan minta orang carikan dia.”

Sekali lagi Ayni menggeleng. “Biarlah, buat masa sekarang saya tak mahu jumpa dia. Selama ini pun, biarpun dia ada tapi dia macam tak ada.”

Luqman hanya mendengar, tidak menjawab.

“Awak tahu tak yang dia perlu jumpa cikgu di sekolah esok? Macam mana saya nak beritahu cikgu yang papa saya tiba-tiba hilang? Agak-agak cikgu akan percaya tak?” kata Ayni, tersenyum tawar.

Ayni mencucuk- cucuk makanan dengan garfu. Seleranya tiba-tiba hilang.

“Saya dah kenyang. Saya minta diri dulu,” kata Ayni.

“Tak banyak pun awak makan,” komen Luqman.

“Saya nak berehat.” Ayni terus masuk ke dalam bilik.

Memang masa silam itu sepatutnya kenangan. Tapi kejamkah kalau Ayni berharap yang masa silam itu dapat diulang? Ayni rindukan kenangan yang tidak dapat digapai itu lagi. Ayni cuma ingin kembali ke masa itu.

Itu… mustahil, kan?

Saturday, December 12, 2020

Bab 6

             Banyak hal yang berlaku beberapa hari ini, tapi inilah perkara paling besar. Hari kelima digantung persekolahan, Ayni dibawa ke balai polis! Punca dia disoal siasat ialah atas tuduhan memukul orang. Siapa lagi kalau bukan Zam! Jadi lelaki itu akhirnya ke balai polis untuk membuat laporan. Bukan main beria-ia dia menolak untuk ke balai. Cepat betul dia berubah fikiran.

“Menurut pengadu, kamu pukul dia berkali-kali. Tapi dia langsung tak apa-apakan kamu,” kata pegawai polis wanita yang menyoalnya itu.

“Dia cuba sentuh saya, saya cuba pertahankan diri!” jelas Ayni.

“Ada sesiapa boleh jadi saksi kata-kata kamu tu?” tanya pegawai polis wanita itu.

“Ada.” Ayni teringatkan Luqman.

“Sila beri maklumat tentang saksi kamu tu. Boleh kamu hubungi dia?”

Itulah masalahnya. Ayni cuma tahu nama, umur, pekerjaan dan sikap anehnya. Hal-hal lain, Ayni langsung tidak tahu. Bagaimana Ayni hendak cari dia? Macam mana dia boleh tolong Ayni?

“Saya tak tahu di mana nak cari dia,” jawab Ayni dengan jujur.

“Habis macam mana kamu nak buktikan yang dia saksi kamu? Secara jujur saya cakap, situasi sekarang langsung tidak memihak kepada kamu.”

Ayni tahu semua itu tapi apa boleh Ayni buat? Siapa yang boleh tolong Ayni. Kemungkinan besar Ayni akan bermalam di lokap malam ini. Ayni dengar dia perlu diikat jamin untuk keluar. Ayni tidak pasti jumlahnya berapa. Tapi berapa sekalipun dia pasti tidak mampu. Dia tak ada wang!

“Tapi…”

Tapi apa? Ayni hendak mengaku? Sebarang kata-katanya akan dijadikan bukti di mahkamah. Jadi lebih baik dia diamkan diri. Tapi diamkan diri pun tidak membantu. Sekarang dia benar-benar nampak seperti seorang suspek.

Ya Allah, berilah kekuatan pada Ayni! Bantulah Ayni!

Hampir seharian Ayni berada di situ. Ayni tidak tahu hendak hubungi siapa. Arman entah ada atau tidak di rumah. Kalau ada sekalipun, bagaimana Ayni hendak hubungi dia. Kalau dapat dihubungi pun, Ayni tidak pasti dia akan datang atau tidak.

Pegawai polis itu masuk beberapa kali untuk bertanya soalan lagi. Ayni cuba untuk menjawab sebaik mungkin. Tapi seperti yang dia cakap, keadaan tidak memihak kepada dia. Jadi situasinya nampak suram.

“Ada seseorang datang untuk awak,” kata pegawai polis itu tiba-tiba.

“Eh?”

Siapa? Ayni benar-benar ingin tahu. Seorang lelaki yang tidak dikenalinya melangkah masuk, kemudian duduk di sebelah Ayni. Dia tunduk sedikit kepada Ayni apabila melihat Ayni memandangnya tanpa berkelip langsung.

“Maaf saya terlambat datang,” kata lelaki itu kepada Ayni. “Saya peguam kepada Cik Ayni Nasmeen.”

Ayni merenung lelaki itu, terkejut hingga tidak dapat berkata apa-apa. Siapa dia? Bagaimana dia boleh mengaku dia peguam Ayni? Ayni langsung tidak kenal dia! Sejak bila Ayni mampu ada peguam sendiri?

“Nama saya Azhar Shah.”

Siapa? Ayni memang tidak kenal dia! Tapi dia tidak lagi memperkenalkan diri atau bercakap dengan Ayni. Ayni tidak faham apa yang mereka bincangkan selepas itu. Yang dia tahu Zam sudah menarik balik pertuduhan yang dia buat. Katanya ingin selesaikan secara baik di luar mahkahmah. Dia berguraukah? Sekejap buat laporan polis, sekejap batalkan pula. Dia ingat Ayni ada masa untuk main-main seperti ini? Dia ingat seronokkah menunggu di balai polis? Kalau betul hendak tarik balik tuduhan, kenapa tunggu sampai berjam-jam Ayni habiskan masa di sini? Kenapa tidak dari pagi saja?

“Tunggu sekejap ya, ada beberapa prosedur yang perlu kita selesaikan sebelum cik boleh dibenarkan balik,” kata Azhar selepas pegawai polis itu beredar.

“Saya boleh balik?” tanya Ayni seperti tidak percaya.

“Cik nak tidur di sinikah?” tanya Azhar kembali.

Cepat-cepat Ayni menggeleng.

“Jangan risau, semuanya hampir selesai,” kata Azhar, masih dengan raut wajah seriusnya.

“Tapi encik ni siapa?” Cara Ayni bertanya itu seperti dia tidak berterima kasih, jadi buru-buru dia menyambung. “Maksud saya macam mana encik boleh tiba-tiba jadi peguam saya? Saya tak ada hubungi sesiapa pun lagi. Macam mana encik boleh tahu yang saya ada di sini?”

“Bos yang minta saya datang,” jawab Azhar secara ringkas, menolak cermin matanya dengan jari.

“Bos encik siapa?”

Azhar tidak lagi menjawab. Boleh tak jawab saja soalan Ayni itu? Dia menjadikan situasi ini lebih mencurigakan dengan postur duduk tegak dan wajahnya yang sentiasa serius. Tapi seperti yang dijanjikan, Ayni memang dapat pulang selepas itu. Bagaikan tidak percaya selepas seharian dia terasa putus harapan. Azhar mengiringi Ayni hingga ke pintu pagar.

“Terima kasih sebab tolong saya,” kata Ayni dengan penuh hormat.

“Ini permintaan dari bos, pasti saya tunaikan sebaik mungkin,” jawab Azhar.

Ya, dari bos awak yang misteri itu!

“Kalau tidak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” kata Ayni.

“Tapi bos dah tunggu di sana,” kata Azhar. “Dia memang menunggu Cik Ayni keluar sejak tadi.”

Eh, dia datang! Ayni terus berpaling, ingin tahu siapa bos yang sangat misteri itu. Luqman keluar dari keretanya, terus berjalan ke arah Ayni.

“Awak okey tak?” tanya Luqman.

Ayni cuma mengangguk, kemudian berpaling kepada Azhar, menunjuk Luqman dengan jarinya. Azhar cuma mengangguk.

“Kerja saya dah selesai. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu. Selamat malam,” kata Azhar dengan penuh hormat.

Luqman langsung tidak memberi respons kepada Azhar. Pandang pun tidak. Tapi Azhar pula terus pulang, bagaikan sudah biasa dengan sikap Luqman itu. Ayni kini merenung lelaki itu dari sudut pandangan yang lain. Ayni sedar dia memang aneh tapi ini sudah semakin aneh. Dia… ketua kongsi gelapkah?

Luqman berpaling kepada Ayni. “Kenapa?”

Ayni cuma menggeleng.

“Dah seharian awak di dalam. Awak laparkah?” tanya Luqman.

Sekali lagi dia menggeleng.

“Betulkah?”

Kali ini dia mengangguk. “Saya… awak yang tolong saya? Betulkah?”

“Hal kecil saja. Awak nak balikkah? Saya hantarkan!” tawar Luqman.

Hal kecilkah hal yang begini? Habis hal mana yang dikira besar? Lelaki ini memang aneh!

“Tak perlulah hantar saya balik, saya boleh balik sendiri. Lagipun dah banyak yang awak tolong saya,” balas Ayni.

“Awak nak balik naik apa? Bas dah tak ada,” kata Luqman.

Dia pun tidak ada duit untuk naik kenderaan lain sebenarnya tapi Luqman tidak perlu tahu.

“Jangan risau, saya ada cara untuk balik,” balas Ayni.

Mungkin Ayni perlu berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer!

“Kalau awak nak berjalan lagi, saya akan ikut dari belakang! Jauh sekalipun, biar saya berjalan kaki dengan awak!”

Macam mana dia tahu apa yang bermain di fikiran Ayni?

“Marilah saya hantarkan. Saya tak tahu kenapa awak selalu tolak permintaan saya untuk hantar awak balik. Kereta saya tak cukup bagus agaknya.” Muncung mulut Luqman.

Ayni menahan diri dari mendengus. Bukan itu masalahnya! Lagipun Ayni tidak pernah peduli tentang kereta dia. Ayni sendiri pun tidak ada basikal sekalipun, jadi bagaimana hendak mengkritik kereta orang lain? Dan keretanya langsung tidak ada masalah! Harga kereta itu mampu tampung hidup Ayni seumur hidup!

“Jomlah, dah lewat ni. Lambat pulak awak sampai rumah nanti,” pujuk Luqman lagi.

Hendak berjalan kaki atau naik keretanya? Ah, lebih baik Ayni cepat sampai ke rumah! Memang Ayni masih curiga dengan dia. Tapi nanti mungkin Ayni berpeluang untuk korek rahsia dia. Entah-entah dia memang benar-benar ketua kongsi gelap!

“Awak betul-betul tak nak makan dulu? Apa yang awak dah makan dalam balai polis tu? Tak kan sedap sangat sampai dah kenyang?” tanya Luqman.

“Saya tak mahu makan,” jawab Ayni.

Dia memang lapar tapi dia mahu segera pulang. Seleranya juga tidak ada lagi. Terlalu banyak yang bermain di fikirannya sekarang.

“Jangan sampai jatuh sakit pulak,” komen Luqman. “Awak-”

Sebelum sempat dia bercakap panjang, Ayni memotong ayatnya terlebih dahulu. “Awak ni sebenarnya siapa?”

“Saya dah pernah cakap-”

“Yang awak ahli perniagaan? Ada bisnes kecil?” soal Ayni dengan tajam.

Luqman menjungkit kening. “Ya, awak ingat lagi? Jadi kenapa?”

“Sekecil mana bisnes awak?”

“Umm…. Cukuplah untuk hidup.”

“Betulkah? Macam mana awak boleh ada peguam pulak? Bisnes awak kecik saja, kan?”

“Dia pembantu saya. Juga peguam syarikat.”

Perniagaan kecil tak perlukan peguam yang bekerja terus di bawah syarikat. Gaji seorang pembantu yang juga seorang peguam bukanlah sedikit. Boleh muflis syarikat itu nanti. Ayni merenung Luqman tajam.

“Saya tak percaya! Saya rasa awak menipu saya!” desis gadis itu dengan marah.

Cepat-cepat Luqman menjawab. “Okey, perniagaan saya tak lah kecil sangat.”

Ayni merenung Luqman. “Ada lagi yang awak tak ceritakan.”

“Seperti apa?” tanya Luqman.

Ah, hendak berterus-terangkah? Tapi Ayni memang ingin tahu!

“Awak ni…” Ayni menelan liur. “Ketua kongsi gelap?”

Terkedu sekejap Luqman. “Hah? Macam mana awak boleh fikir macam tu?”

“Salahkah?”

Luqman tergelak. “Saya bukan ketua kongsi gelap! Macam mana…???”

Wah, dia betul-betul gelak selepas itu! Nampaknya soalan Ayni itu betul-betul kelakar untuk dia. Lama juga Ayni menunggu tawanya reda.

“Hebat juga imaginasi awak!” komen Luqman.

“Jadi awak bukan ketua kongsi gelap?”

“Bukan!” Tersengih Luqman.

“Syarikat awak jalankan perniagaan apa?”

“Import, eksport!”

Ingat cerita P. Ramleekah? Macam dialog di dalam Ali Baba dan 40 orang penyamun tu. Apa perniagaan kanda? Import, eksport. Hmpp!

“Import, eksport apa?”

Luqman berfikir sekejap. “Macam-macam.”

Jawapan yang diberi terlalu kabur. Langsung tidak meyakinkan Ayni.

“Tak percayakah?” tanya Luqman.

“Saya dah tak tahu kalau saya nak percaya awak atau tidak,” rungut Ayni dengan perlahan. “Mungkin awak pun sama macam orang lain.”

“Hmm, saya pasti saya tak sama macam orang lain. Apa kata awak percayakan saya? Orang lain mungkin ya, tapi saya pasti tak akan tinggalkan awak,” kata Luqman, membuatkan Ayni terus memandang dia.

Tinggalkan macam mana? Sila jelaskan. Tapi dia tak tahukah dia salah satu yang Ayni tidak dapat percaya sekarang?

“Kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Awak pun bukannya saya kenal sangat,” jawab Ayni.

Luqman pura-pura nampak patah hati. “Bukankah kita dah rapat? Kita pernah jalan kaki bersama-sama!”

Ayni menahan diri dalam mendengus. “Macam tu tak dikira rapat?”

“Kita boleh berkawan baik. Jadi awak boleh sentiasa harapkan saya sebagai kawan baik awak,” cadang Luqman lagi.

“Saya tak mahulah, pakcik!”

Kali ini Luqman benar-benar nampak patah hati. “Saya belum tua lagi! Baru 25 tahun!”

“Lapan tahun lebih tua dari saya!”

“Tapi saya masih dalam lingkungan 20-an!”

“Tetap tua dari saya!”

“Ini tak adil! Buat apa pun saya tak akan dapat jadi sebaya atau lagi muda.” Muncung panjang Luqman. “Ah, saya boleh jadi abang awak!”

“Tak nak! Lagipun saya dah ada abang! Cukuplah!” Ayni menjeling Luqman. “Beria-ia awak nak ada kaitan dengan saya? Jadi itulah, inilah. Kenapa?”

Luqman tersenyum. “Sebab saya memang nak tolong awak.”

“Selama ni pun awak dah tolong. Banyak pulak tu!”

“Tapi awak masih tidak selesa dengan saya. Jadi saya harap, lepas ni awak tak lagi teragak-agak nak terima pertolongan dari saya. Saya ikhlas! Betul!”

Ai, kenapa ‘pakcik’ ini beria-ia nak menolong Ayni? Ayni betul-betul tidak faham. Siapa dia yang tiba-tiba muncul dalam hidup Ayni?

Memandangkan Ayni langsung tidak dapat jawapan atas soalannya, Ayni akhirnya membisu. Dia menghabiskan sisa perjalanan merenung ke luar tingkap.

“Terima kasih sebab tolong saya lagi,” gumam Ayni apabila sampai kereta berhenti di hadapan rumahnya.

“Hal yang saya boleh tolong, saya akan tolong. Jadi tak perlulah ucap terima kasih,” balas Luqman. “Betul awak tak lapar ni? Saya boleh belanja awak makan.”

Ayni cuma menggeleng. Hari ini dia rasakan begitu panjang. Banyak yang bermain di fikirannya. Sekarang dia cuma ingin pulang dan berehat. Luqman cuma menghela nafas panjang.

Di rumah Ayni kelihatan beberapa lampu dipasang. Armankah yang pasang? Ayni ingat dia akan mengurung diri di dalam bilik saja, nampaknya dia keluar juga. Baguslah kalau begitu. Ada banyak perkara yang Ayni ingin bualkan dengan papanya. Sekali lagi dia mengucapkan terima kasih kepada Luqman, kemudian keluar dari kereta.

Perlahan-lahan dia mengheret badannya yang letih ke pintu. Dia mahu segera bersihkan diri dan berehat. Esok dia akan bangun dengan lebih segar dan bersemangat. Tapi mangga pintu jeriji rumahnya tidak dapat dibuka. Ayni mencuba beberapa kali tapi tidak berjaya. Eh, ini mangga baru! Bila pula Arman tukar? Ayni merasa tidak sedap hati.

“Assalamualaikum! Papa! Papa!”

Beberapa kali diulang pun tidak ada jawapan. Akhirnya Ayni mengoncang jeriji rumahnya sekuat hati. Tiba-tiba pintu dibuka dengan kasar. Seorang lelaki yang tidak dikenalinya melangkah keluar.

“Kau buat apa ni?” tengking lelaki itu.

Ayni terperanjat melihat lelaki itu. Siapa dia? Macam mana dia masuk ke dalam rumah Ayni? Kawan papakah? Ini pertama kali dia berjumpa dengan kawan Arman sejak mereka tinggal di rumah Hajah Azizah.

“Saya tak buat apa-apa pun. Saya cuma nak masuk ke dalam rumah saya,” jawab Ayni.

Lelaki itu tergelak. “Rumah kau? Ini bukan lagi rumah kau.”

“Saya tak tipu! Saya memang tinggal di sini!” bantah Ayni. “Papa saya mana? Encik buat apa dalam rumah saya?”

“Papa kau banyak hutang dengan aku! Dia dah jual rumah ni pada aku!”

“Tak mungkin! Ini rumah yang mak tok tinggalkan pada kami! Papa tak mungkin jual!” jerit Ayni.

Cuma ini satu-satunya harta peninggalan mak tok. Cuma ini saja yang tinggal. Tak kan yang ini pun papa jual? Tak kan papa tergamak sampai macam tu? Ayni tak percaya!

“Papa kau dah jual! Kau patut bersyukur yang dia jual rumah ni. Dengan perangai dia tu, entah-entah kau pun dia jual nanti!” balas lelaki itu, tergelak-gelak.

Ayni tidak faham apa yang kelakarnya. Dia mahu Arman berikan penjelasan.

“Mana papa? Saya tak percaya selagi saya tak dengar dia cakap sendiri!”

Lelaki itu tersenyum sinis. “Mana aku tahu! Kau rasa aku ambil peduli ke mana dia pergi? Dia bukan masalah aku pun!”

Jadi papa pun tinggalkan Ayni? Mama dah pergi. Ayman hilang tanpa berita. Sekarang papa pula tinggalkan Ayni.

Semua orang tinggalkan Ayni.

“Awak tak apa-apakah? Kenapa ni?”

Ayni mendongak, melihat Luqman yang memandangnya dengan wajah yang risau.

“Rumah saya…” Ayni tidak tahu bagaimana hendak beritahu Luqman. Dia terasa ingin menangis sekarang.

Luqman merenung lelaki itu dengan tajam. “Kau ni siapa?”

“Kau pulak siapa? Kenapa ramai betul tetamu malam ni? Tapi memandangkan budak ni dah datang, senang sikit kerja aku! Mana beg tu?”

Seorang lelaki lain yang juga berada di dalam rumah, keluar membawa dua buah beg. Beg-beg itu dicampak kepada Ayni. Kalau bukan kerana tindakan pantas Luqman yang menarik Ayni, pasti Ayni sudah terkena beg-beg itu.

“Aku dah masukkan semua barang-barang kau dalam ni. Kau patut berterima kasih pada aku. Sepatutnya aku tak perlu beri apa-apa pun. Rumah ni dah jadi milik aku. Jadi semua yang ada di dalam ni juga milik aku! Tapi papa kau pun dah lari dengan barang dia. Aku rasa kesian dengan kau. Jadi aku bagi juga barang-barang kau. Baik tak hati aku? Ha, sekarang kau berambus!” kata lelaki itu.

Ayni meluru, menghalang jeriji dari ditutup. “Nanti, ini rumah kami! Mak tok yang tinggalkan! Papa tak boleh jual!”

“Dia dah jual pun! Mak tok, mak saudara, moyang kau tinggalkan sekalipun, aku peduli apa? Yang penting sekarang ini memang rumah aku. Papa kau tu pun dah sign surat perjanjian! Kau nak apa lagi?”

“Tapi saya tak setuju! Kami pun waris rumah ni jugak!”

“Eh, budak ni!” Lelaki itu mula naik angin. “Kau nak kena belasah dengan aku, kau cakaplah banyak lagi!”

“Dia cuma bertanya, tak perlu tengking dia. Lagi satu, kalau kau sentuh dia, aku balas balik sepuluh kali ganda!” kata Luqman.

Lelaki terdiam sekejap, terkejut dengan kata-kata Luqman. Saiz badannya lebih besar dari Luqman, kenapa dia harus takut? Tapi dia tak tahu kenapa Luqman sangat menakutkan sekarang.

“A-apa sekalipun aku dapat rumah ini secara sah! Pergi dari sini! Ini bukan lagi rumah kau!” kata lelaki itu.

Dia tidak pedulikan Ayni yang berada di jeriji, sebaliknya terus masuk dan mengunci pintu. Ayni meluru, mengetuk pintu berkali-kali, tetapi lelaki itu langsung tidak peduli. Akhirnya dia terduduk dengan wajah yang pucat. Apa yang berlaku dalam hidupnya bagaikan tiba di kemuncak pada hari ini.

“Kita pergi dulu. Nanti kita selesaikan hal ini,” pujuk Luqman.

“Ini rumah saya,” kata Ayni dengan perlahan.

“Saya tahu,” kata Luqman.

“Papa tak boleh buat macam ni,” kata Ayni lagi.

“Bangun dulu, kita pergi ke tempat lain.”

Ayni memandang Luqman dengan pandangan yang kosong. “Pergi ke mana? Ini rumah saya. Mak tok yang tinggalkan untuk kami.”

“Ya, saya tahu. Jangan risau, awak akan dapat balik rumah awak. Sekarang ikut saya dulu. Awak tak boleh duduk terus di sini. Saya akan cari cara untuk dapatkan rumah awak balik.”

“Tapi ini rumah saya.” Suara Ayni semakin kecil.

Beberapa kali dipujuk, akhirnya Ayni akur, bangun mengikut Luqman. Tapi belum sempat sampai ke kereta dia berhenti.

“Kenapa?” tanya Luqman.

“Kita nak ke mana?” tanya Ayni.

Memandangkan dia masih boleh bertanya begitu, bererti dia masih boleh berfikir dengan waras.

“Saya akan bawa awak ke suatu tempat untuk bermalam.”

“Tak kan… rumah awak?”

Luqman menjungkit kening. “Awak nak ke rumah sayakah? Saya tinggal seorang diri, jadi tak ada masalah.”

Memang itu masalahnya!

“Saya tak mahulah!” bentak Ayni.

Luqman tergelak. “Saya tahulah. Tak kan saya nak bawak balik anak dara ke rumah bujang. Banyak lagi tempat lain.”

Ayni memerhatikan Luqman yang sedang memasukkan beg pakaiannya ke dalam bonet kereta. Kemudian Luqman membuka pintu, menunggu Ayni masuk. Ayni berfikir panjang. Dia berpaling melihat rumah yang kini dimiliki orang lain itu. Bagi orang lain memang itu cuma sebuah rumah. Tapi bagi Ayni itulah harta terakhir peninggalan mak tok. Ini pun akhirnya hilang akibat sikap tidak bertanggungjawab Arman. Papanya memang tak guna! Dia menggenggam tangan, menggigit bibir dengan rasa marah. Kemudian dia berpaling, terus berjalan ke kereta.

“Awak tak perlu cari cara. Saya mahu lakukannya sendiri. Saya tak peduli sepuluh tahun, lima puluh tahun sekalipun, saya pasti akan dapatkan balik rumah dengan apa cara sekalipun!” kata Ayni.

Selepas itu dia masuk ke dalam kereta, duduk mematung. Luqman cuma tersenyum, masuk ke bahagian pemandu. Biarpun kereta berlalu meninggalkan rumah itu, Ayni langsung tidak memandangnya lagi.

Thursday, December 10, 2020

Bab 5

 

Masalah yang tidak akan selesai dalam hidup Ayni, masalah wang yang sentiasa tidak mencukupi. Dan sekarang, Ayni tidak ada kerja lagi. Jadi dari mana akan datangnya wang? Dia perlu cari kerja tetapi dia juga perlu kembali ke sekolah dalam tempoh beberapa hari lagi. Wang penting, pelajaran juga penting. Kalau tidak ke sekolah, bagaimana hendak ubah masa depan? Kalau tidak bekerja, siapa akan sara dia?

Ayni mengeluh untuk sekian kali.

Arman tidak ada di rumah beberapa hari ini. Ayni tidak tahu di mana hendak mencari dia. Risau memanglah risau, tapi ini bukan kali pertama. Ayni sudah mati akal dengan perangai papanya itu. Dia hanya mampu berdoa yang Arman suatu hari nanti akan berubah seperti yang dulu. Menjadi papa yang disanjung dan disayanginya seperti suatu ketika dulu. Kalaulah mama masih ada, mungkin papa tak macam ni.

Hmm, tak usahlah terkenangkan orang yang tidak ada di sini lagi!

Esoknya Ayni keluar mencari kerja lagi. Kalau kali pertama sukar, kali ini lebih teruk. Namanya bagaikan dikenali oleh semua orang di kawasan ini. Jadi bila diperkenalkan diri saja, terus dia tidak diterima. Bagaimana boleh jadi begini dalam masa satu hari? Tak kan Kak Iti yang ceritakan pada mereka? Bagi Ayni, dia bukan orang yang sebegitu.

Tapi itulah yang sebenarnya berlaku. Peniaga di kawasan ini bukanlah ramai. Jadi mereka boleh dikatakan saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Mereka ada kumpulan WhatsApp mereka sendiri untuk memudahkan mereka berhubung. Hanya perlu taip, semua orang ada dapat maklumat dengan segera. Jadi bila perkara begini berlaku, tak perlu beberapa minit pun untuk berita tersebar! Mereka tidak tahu apa yang mereka tahu cuma bahagian kecil dari perkara yang sangat besar. Mereka percaya apa yang mereka dengar tanpa menyiasat hal yang sebenar.

Natijahnya, Ayni pulang ke rumah dengan perasaan hampa hari itu. Langkahnya berat. Upah dari kerjanya di kedai makan Kak Iti makin berkurang. Jika ini berterusan, dia benar-benar akan mati kebuluran satu hari nanti.

Bunyi hon kereta membuatkan Ayni terperanjat. Sebuah kereta hitam berhenti ditepinya. Eh, Ayni kenal pemandunya!

“Dari mana? Jom, saya hantar!” pelawa Luqman.

“Tak apalah, dah dekat pun!” tolak Ayni.

Ayni masih ingat hal semalam. Tak mungkin Ayni berani naik kereta dengan dia lagi!

Luqman mengerut dahi. “Dekat apanya? Jauh lagi ni!”

“Tak apa! Betul!” balas Ayni, pura-pura gelak kecil.

Dalam hatinya tidak habis-habis berdoa agar Luqman segera pergi. Tapi lelaki itu terus matikan enjin kereta dan keluar. Kecut perut Ayni tapi dia pantas pura-pura seperti tidak ada apa-apa. Ada kayu di kawasan ini? Cepat-cepat dia mencari.

“Awak cari apa?” tanya Luqman.

Ayni tergelak lagi. “Tak ada apa-apa. Umm…. awak buat apa di sini? Saya tak pernah nampak awak di kawasan ni pun.”

“Saya ada urusan di kawasan ini,” jawab lelaki itu.

“Oh.”

Suasana tiba-tiba jadi kekok.

“Umm… awak… baliklah dulu. Saya pun nak balik ni. Ok, bye!” kata Ayni, kemudian cepat-cepat berjalan.

Tetapi Luqman mengikutnya dengan mudah. “Eh, saya nak hantarlah! Jom!”

“Tak payah!”

“Tapi jauh lagi rumah awak ni!”

Ayni berhenti, berpaling memandang Luqman. “Kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Kenapa awak beria-ia nak hantar saya balik?”

Apa niat awak? Itu yang Ayni ingin tanyakan sebenarnya.

“Kena ada sebabkah?”

Ayni merenung lelaki itu, tidak percaya. “Siapa yang tolong orang lain tanpa sebab?”

“Saya!”

Ayni mendengus, meneruskan perjalanan.

“Saya betul-betul nak hantar awak!”

“Tapi saya tak nak!”

Luqman mengeluh. “Saya rasa tak senang hati awak jalan kaki balik ke rumah seorang diri, sebab tu saya nak hantar awak. Bukan ada niat lain pun. Kalau awak tak mahu naik kereta, biar saya jalan kaki juga. Saya akan ikut belakang awak sampai awak selamat sampai ke rumah!”

Macamlah Ayni nak percaya dengan dia!

Tapi Luqman memang mengekori Ayni dari belakang tanpa sepatah kata lagi. Ayni pula sudah tidak tahu bagaimana hendak menghalau dia, jadi Ayni biarkan. Tetapi dia keluarkan kunci rumahnya. Cuma itu benda paling tajam yang dia ada. Kalau lelaki itu cuba apa-apakan dia, dia akan cucuk mata lelaki itu dengan kunci rumah ini sekuat hati!

Anehnya lelaki itu hanya mengekori dengan diam. Malah langkahnya mengikut langkah Ayni. Ayni berjalan, dia pun berjalan. Kalau Ayni berhenti, dia pun berhenti. Ayni terfikir untuk berlari, adakah dia juga akan berlari? Langkah demi langkah, mereka sampai ke rumah Ayni. Luqman berhenti di pagar, membiarkan Ayni masuk hingga ke dalam rumah. Kemudian dia berjalan pulang.

Lagi sekali Ayni termangu di pintu. Anehnya lelaki itu. Apa yang dia mahu sebenarnya? Adakah dia benar-benar risaukan Ayni sampai sanggup berjalan menghantar Ayni pulang? Ayni rasa keliru sekarang.

 

 

Arman akhirnya pulang juga, tapi terus mengurung diri di dalam bilik. Entah apa yang dia buat Ayni tidak pasti. Surat dari guru disiplin tempoh hari Ayni selitkan ke bawah pintu, dengan harapan Arman akan membaca surat itu. Dia mengetuk pintu beberapa kali tapi tidak ada jawapan dari Arman.

“Papa, surat ni dari cikgu. Cikgu minta papa datang ke sekolah,” kata Ayni. “Papa dengar tak?”

Tidak ada jawapan. Itu yang lebih normal. Kalau tiba-tiba Arman bercakap banyak, Ayni yang rasa Arman bukan papanya lagi. Entah bertukar dengan siapa.

Hari ini Ayni tidak keluar mencari kerja, sebaliknya berfikir panjang sambil menongkat dagu di dapur. Dia terfikir untuk menjual makanan seperti nasi lemak tapi dia segera batalkan niatnya itu. Sebenarnya kelemahan terbesar Ayni ialah dia tidak pandai memasak. Sepanjang bekerja di kedai makan Kak Iti pun dia tidak pernah memasak. Ayni sendiri tidak pasti kenapa dia tidak ada kemahiran itu, walhal mama dan mak tok sangat pandai memasak. Biarpun Ayni cuba mengikut resepi dengan teliti, makanan yang dihasilkannya sangat jauh berbeza dengan contoh yang diberi. Ayni boleh cuba tapi mungkin ada yang akan mati keracunan nanti.

Habis apa sekarang? Ayni masih perlu cari wang. Ah, entah ke berapa kali dia mengeluh hari ini.

Terdengar ketukan di pintu. Ayni merenung ke tangga. Nampaknya papanya tidak ada menunggu sesiapapun datang kerana dia masih mengurung diri di dalam bilik. Lagipun, selain dari penghantar bil elektrik dan air, tetamu yang datang boleh dikira dengan jari. Ayni bingkas bangun, berfikir seketika sebelum membuka pintu. Eh, polis!

“Assalamuaikum. Cik Ayni Nasmeen?”

“Ya?”

“Sila ikut kami ke balai!”