Saturday, December 12, 2020

Bab 6

             Banyak hal yang berlaku beberapa hari ini, tapi inilah perkara paling besar. Hari kelima digantung persekolahan, Ayni dibawa ke balai polis! Punca dia disoal siasat ialah atas tuduhan memukul orang. Siapa lagi kalau bukan Zam! Jadi lelaki itu akhirnya ke balai polis untuk membuat laporan. Bukan main beria-ia dia menolak untuk ke balai. Cepat betul dia berubah fikiran.

“Menurut pengadu, kamu pukul dia berkali-kali. Tapi dia langsung tak apa-apakan kamu,” kata pegawai polis wanita yang menyoalnya itu.

“Dia cuba sentuh saya, saya cuba pertahankan diri!” jelas Ayni.

“Ada sesiapa boleh jadi saksi kata-kata kamu tu?” tanya pegawai polis wanita itu.

“Ada.” Ayni teringatkan Luqman.

“Sila beri maklumat tentang saksi kamu tu. Boleh kamu hubungi dia?”

Itulah masalahnya. Ayni cuma tahu nama, umur, pekerjaan dan sikap anehnya. Hal-hal lain, Ayni langsung tidak tahu. Bagaimana Ayni hendak cari dia? Macam mana dia boleh tolong Ayni?

“Saya tak tahu di mana nak cari dia,” jawab Ayni dengan jujur.

“Habis macam mana kamu nak buktikan yang dia saksi kamu? Secara jujur saya cakap, situasi sekarang langsung tidak memihak kepada kamu.”

Ayni tahu semua itu tapi apa boleh Ayni buat? Siapa yang boleh tolong Ayni. Kemungkinan besar Ayni akan bermalam di lokap malam ini. Ayni dengar dia perlu diikat jamin untuk keluar. Ayni tidak pasti jumlahnya berapa. Tapi berapa sekalipun dia pasti tidak mampu. Dia tak ada wang!

“Tapi…”

Tapi apa? Ayni hendak mengaku? Sebarang kata-katanya akan dijadikan bukti di mahkamah. Jadi lebih baik dia diamkan diri. Tapi diamkan diri pun tidak membantu. Sekarang dia benar-benar nampak seperti seorang suspek.

Ya Allah, berilah kekuatan pada Ayni! Bantulah Ayni!

Hampir seharian Ayni berada di situ. Ayni tidak tahu hendak hubungi siapa. Arman entah ada atau tidak di rumah. Kalau ada sekalipun, bagaimana Ayni hendak hubungi dia. Kalau dapat dihubungi pun, Ayni tidak pasti dia akan datang atau tidak.

Pegawai polis itu masuk beberapa kali untuk bertanya soalan lagi. Ayni cuba untuk menjawab sebaik mungkin. Tapi seperti yang dia cakap, keadaan tidak memihak kepada dia. Jadi situasinya nampak suram.

“Ada seseorang datang untuk awak,” kata pegawai polis itu tiba-tiba.

“Eh?”

Siapa? Ayni benar-benar ingin tahu. Seorang lelaki yang tidak dikenalinya melangkah masuk, kemudian duduk di sebelah Ayni. Dia tunduk sedikit kepada Ayni apabila melihat Ayni memandangnya tanpa berkelip langsung.

“Maaf saya terlambat datang,” kata lelaki itu kepada Ayni. “Saya peguam kepada Cik Ayni Nasmeen.”

Ayni merenung lelaki itu, terkejut hingga tidak dapat berkata apa-apa. Siapa dia? Bagaimana dia boleh mengaku dia peguam Ayni? Ayni langsung tidak kenal dia! Sejak bila Ayni mampu ada peguam sendiri?

“Nama saya Azhar Shah.”

Siapa? Ayni memang tidak kenal dia! Tapi dia tidak lagi memperkenalkan diri atau bercakap dengan Ayni. Ayni tidak faham apa yang mereka bincangkan selepas itu. Yang dia tahu Zam sudah menarik balik pertuduhan yang dia buat. Katanya ingin selesaikan secara baik di luar mahkahmah. Dia berguraukah? Sekejap buat laporan polis, sekejap batalkan pula. Dia ingat Ayni ada masa untuk main-main seperti ini? Dia ingat seronokkah menunggu di balai polis? Kalau betul hendak tarik balik tuduhan, kenapa tunggu sampai berjam-jam Ayni habiskan masa di sini? Kenapa tidak dari pagi saja?

“Tunggu sekejap ya, ada beberapa prosedur yang perlu kita selesaikan sebelum cik boleh dibenarkan balik,” kata Azhar selepas pegawai polis itu beredar.

“Saya boleh balik?” tanya Ayni seperti tidak percaya.

“Cik nak tidur di sinikah?” tanya Azhar kembali.

Cepat-cepat Ayni menggeleng.

“Jangan risau, semuanya hampir selesai,” kata Azhar, masih dengan raut wajah seriusnya.

“Tapi encik ni siapa?” Cara Ayni bertanya itu seperti dia tidak berterima kasih, jadi buru-buru dia menyambung. “Maksud saya macam mana encik boleh tiba-tiba jadi peguam saya? Saya tak ada hubungi sesiapa pun lagi. Macam mana encik boleh tahu yang saya ada di sini?”

“Bos yang minta saya datang,” jawab Azhar secara ringkas, menolak cermin matanya dengan jari.

“Bos encik siapa?”

Azhar tidak lagi menjawab. Boleh tak jawab saja soalan Ayni itu? Dia menjadikan situasi ini lebih mencurigakan dengan postur duduk tegak dan wajahnya yang sentiasa serius. Tapi seperti yang dijanjikan, Ayni memang dapat pulang selepas itu. Bagaikan tidak percaya selepas seharian dia terasa putus harapan. Azhar mengiringi Ayni hingga ke pintu pagar.

“Terima kasih sebab tolong saya,” kata Ayni dengan penuh hormat.

“Ini permintaan dari bos, pasti saya tunaikan sebaik mungkin,” jawab Azhar.

Ya, dari bos awak yang misteri itu!

“Kalau tidak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” kata Ayni.

“Tapi bos dah tunggu di sana,” kata Azhar. “Dia memang menunggu Cik Ayni keluar sejak tadi.”

Eh, dia datang! Ayni terus berpaling, ingin tahu siapa bos yang sangat misteri itu. Luqman keluar dari keretanya, terus berjalan ke arah Ayni.

“Awak okey tak?” tanya Luqman.

Ayni cuma mengangguk, kemudian berpaling kepada Azhar, menunjuk Luqman dengan jarinya. Azhar cuma mengangguk.

“Kerja saya dah selesai. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu. Selamat malam,” kata Azhar dengan penuh hormat.

Luqman langsung tidak memberi respons kepada Azhar. Pandang pun tidak. Tapi Azhar pula terus pulang, bagaikan sudah biasa dengan sikap Luqman itu. Ayni kini merenung lelaki itu dari sudut pandangan yang lain. Ayni sedar dia memang aneh tapi ini sudah semakin aneh. Dia… ketua kongsi gelapkah?

Luqman berpaling kepada Ayni. “Kenapa?”

Ayni cuma menggeleng.

“Dah seharian awak di dalam. Awak laparkah?” tanya Luqman.

Sekali lagi dia menggeleng.

“Betulkah?”

Kali ini dia mengangguk. “Saya… awak yang tolong saya? Betulkah?”

“Hal kecil saja. Awak nak balikkah? Saya hantarkan!” tawar Luqman.

Hal kecilkah hal yang begini? Habis hal mana yang dikira besar? Lelaki ini memang aneh!

“Tak perlulah hantar saya balik, saya boleh balik sendiri. Lagipun dah banyak yang awak tolong saya,” balas Ayni.

“Awak nak balik naik apa? Bas dah tak ada,” kata Luqman.

Dia pun tidak ada duit untuk naik kenderaan lain sebenarnya tapi Luqman tidak perlu tahu.

“Jangan risau, saya ada cara untuk balik,” balas Ayni.

Mungkin Ayni perlu berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer!

“Kalau awak nak berjalan lagi, saya akan ikut dari belakang! Jauh sekalipun, biar saya berjalan kaki dengan awak!”

Macam mana dia tahu apa yang bermain di fikiran Ayni?

“Marilah saya hantarkan. Saya tak tahu kenapa awak selalu tolak permintaan saya untuk hantar awak balik. Kereta saya tak cukup bagus agaknya.” Muncung mulut Luqman.

Ayni menahan diri dari mendengus. Bukan itu masalahnya! Lagipun Ayni tidak pernah peduli tentang kereta dia. Ayni sendiri pun tidak ada basikal sekalipun, jadi bagaimana hendak mengkritik kereta orang lain? Dan keretanya langsung tidak ada masalah! Harga kereta itu mampu tampung hidup Ayni seumur hidup!

“Jomlah, dah lewat ni. Lambat pulak awak sampai rumah nanti,” pujuk Luqman lagi.

Hendak berjalan kaki atau naik keretanya? Ah, lebih baik Ayni cepat sampai ke rumah! Memang Ayni masih curiga dengan dia. Tapi nanti mungkin Ayni berpeluang untuk korek rahsia dia. Entah-entah dia memang benar-benar ketua kongsi gelap!

“Awak betul-betul tak nak makan dulu? Apa yang awak dah makan dalam balai polis tu? Tak kan sedap sangat sampai dah kenyang?” tanya Luqman.

“Saya tak mahu makan,” jawab Ayni.

Dia memang lapar tapi dia mahu segera pulang. Seleranya juga tidak ada lagi. Terlalu banyak yang bermain di fikirannya sekarang.

“Jangan sampai jatuh sakit pulak,” komen Luqman. “Awak-”

Sebelum sempat dia bercakap panjang, Ayni memotong ayatnya terlebih dahulu. “Awak ni sebenarnya siapa?”

“Saya dah pernah cakap-”

“Yang awak ahli perniagaan? Ada bisnes kecil?” soal Ayni dengan tajam.

Luqman menjungkit kening. “Ya, awak ingat lagi? Jadi kenapa?”

“Sekecil mana bisnes awak?”

“Umm…. Cukuplah untuk hidup.”

“Betulkah? Macam mana awak boleh ada peguam pulak? Bisnes awak kecik saja, kan?”

“Dia pembantu saya. Juga peguam syarikat.”

Perniagaan kecil tak perlukan peguam yang bekerja terus di bawah syarikat. Gaji seorang pembantu yang juga seorang peguam bukanlah sedikit. Boleh muflis syarikat itu nanti. Ayni merenung Luqman tajam.

“Saya tak percaya! Saya rasa awak menipu saya!” desis gadis itu dengan marah.

Cepat-cepat Luqman menjawab. “Okey, perniagaan saya tak lah kecil sangat.”

Ayni merenung Luqman. “Ada lagi yang awak tak ceritakan.”

“Seperti apa?” tanya Luqman.

Ah, hendak berterus-terangkah? Tapi Ayni memang ingin tahu!

“Awak ni…” Ayni menelan liur. “Ketua kongsi gelap?”

Terkedu sekejap Luqman. “Hah? Macam mana awak boleh fikir macam tu?”

“Salahkah?”

Luqman tergelak. “Saya bukan ketua kongsi gelap! Macam mana…???”

Wah, dia betul-betul gelak selepas itu! Nampaknya soalan Ayni itu betul-betul kelakar untuk dia. Lama juga Ayni menunggu tawanya reda.

“Hebat juga imaginasi awak!” komen Luqman.

“Jadi awak bukan ketua kongsi gelap?”

“Bukan!” Tersengih Luqman.

“Syarikat awak jalankan perniagaan apa?”

“Import, eksport!”

Ingat cerita P. Ramleekah? Macam dialog di dalam Ali Baba dan 40 orang penyamun tu. Apa perniagaan kanda? Import, eksport. Hmpp!

“Import, eksport apa?”

Luqman berfikir sekejap. “Macam-macam.”

Jawapan yang diberi terlalu kabur. Langsung tidak meyakinkan Ayni.

“Tak percayakah?” tanya Luqman.

“Saya dah tak tahu kalau saya nak percaya awak atau tidak,” rungut Ayni dengan perlahan. “Mungkin awak pun sama macam orang lain.”

“Hmm, saya pasti saya tak sama macam orang lain. Apa kata awak percayakan saya? Orang lain mungkin ya, tapi saya pasti tak akan tinggalkan awak,” kata Luqman, membuatkan Ayni terus memandang dia.

Tinggalkan macam mana? Sila jelaskan. Tapi dia tak tahukah dia salah satu yang Ayni tidak dapat percaya sekarang?

“Kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Awak pun bukannya saya kenal sangat,” jawab Ayni.

Luqman pura-pura nampak patah hati. “Bukankah kita dah rapat? Kita pernah jalan kaki bersama-sama!”

Ayni menahan diri dalam mendengus. “Macam tu tak dikira rapat?”

“Kita boleh berkawan baik. Jadi awak boleh sentiasa harapkan saya sebagai kawan baik awak,” cadang Luqman lagi.

“Saya tak mahulah, pakcik!”

Kali ini Luqman benar-benar nampak patah hati. “Saya belum tua lagi! Baru 25 tahun!”

“Lapan tahun lebih tua dari saya!”

“Tapi saya masih dalam lingkungan 20-an!”

“Tetap tua dari saya!”

“Ini tak adil! Buat apa pun saya tak akan dapat jadi sebaya atau lagi muda.” Muncung panjang Luqman. “Ah, saya boleh jadi abang awak!”

“Tak nak! Lagipun saya dah ada abang! Cukuplah!” Ayni menjeling Luqman. “Beria-ia awak nak ada kaitan dengan saya? Jadi itulah, inilah. Kenapa?”

Luqman tersenyum. “Sebab saya memang nak tolong awak.”

“Selama ni pun awak dah tolong. Banyak pulak tu!”

“Tapi awak masih tidak selesa dengan saya. Jadi saya harap, lepas ni awak tak lagi teragak-agak nak terima pertolongan dari saya. Saya ikhlas! Betul!”

Ai, kenapa ‘pakcik’ ini beria-ia nak menolong Ayni? Ayni betul-betul tidak faham. Siapa dia yang tiba-tiba muncul dalam hidup Ayni?

Memandangkan Ayni langsung tidak dapat jawapan atas soalannya, Ayni akhirnya membisu. Dia menghabiskan sisa perjalanan merenung ke luar tingkap.

“Terima kasih sebab tolong saya lagi,” gumam Ayni apabila sampai kereta berhenti di hadapan rumahnya.

“Hal yang saya boleh tolong, saya akan tolong. Jadi tak perlulah ucap terima kasih,” balas Luqman. “Betul awak tak lapar ni? Saya boleh belanja awak makan.”

Ayni cuma menggeleng. Hari ini dia rasakan begitu panjang. Banyak yang bermain di fikirannya. Sekarang dia cuma ingin pulang dan berehat. Luqman cuma menghela nafas panjang.

Di rumah Ayni kelihatan beberapa lampu dipasang. Armankah yang pasang? Ayni ingat dia akan mengurung diri di dalam bilik saja, nampaknya dia keluar juga. Baguslah kalau begitu. Ada banyak perkara yang Ayni ingin bualkan dengan papanya. Sekali lagi dia mengucapkan terima kasih kepada Luqman, kemudian keluar dari kereta.

Perlahan-lahan dia mengheret badannya yang letih ke pintu. Dia mahu segera bersihkan diri dan berehat. Esok dia akan bangun dengan lebih segar dan bersemangat. Tapi mangga pintu jeriji rumahnya tidak dapat dibuka. Ayni mencuba beberapa kali tapi tidak berjaya. Eh, ini mangga baru! Bila pula Arman tukar? Ayni merasa tidak sedap hati.

“Assalamualaikum! Papa! Papa!”

Beberapa kali diulang pun tidak ada jawapan. Akhirnya Ayni mengoncang jeriji rumahnya sekuat hati. Tiba-tiba pintu dibuka dengan kasar. Seorang lelaki yang tidak dikenalinya melangkah keluar.

“Kau buat apa ni?” tengking lelaki itu.

Ayni terperanjat melihat lelaki itu. Siapa dia? Macam mana dia masuk ke dalam rumah Ayni? Kawan papakah? Ini pertama kali dia berjumpa dengan kawan Arman sejak mereka tinggal di rumah Hajah Azizah.

“Saya tak buat apa-apa pun. Saya cuma nak masuk ke dalam rumah saya,” jawab Ayni.

Lelaki itu tergelak. “Rumah kau? Ini bukan lagi rumah kau.”

“Saya tak tipu! Saya memang tinggal di sini!” bantah Ayni. “Papa saya mana? Encik buat apa dalam rumah saya?”

“Papa kau banyak hutang dengan aku! Dia dah jual rumah ni pada aku!”

“Tak mungkin! Ini rumah yang mak tok tinggalkan pada kami! Papa tak mungkin jual!” jerit Ayni.

Cuma ini satu-satunya harta peninggalan mak tok. Cuma ini saja yang tinggal. Tak kan yang ini pun papa jual? Tak kan papa tergamak sampai macam tu? Ayni tak percaya!

“Papa kau dah jual! Kau patut bersyukur yang dia jual rumah ni. Dengan perangai dia tu, entah-entah kau pun dia jual nanti!” balas lelaki itu, tergelak-gelak.

Ayni tidak faham apa yang kelakarnya. Dia mahu Arman berikan penjelasan.

“Mana papa? Saya tak percaya selagi saya tak dengar dia cakap sendiri!”

Lelaki itu tersenyum sinis. “Mana aku tahu! Kau rasa aku ambil peduli ke mana dia pergi? Dia bukan masalah aku pun!”

Jadi papa pun tinggalkan Ayni? Mama dah pergi. Ayman hilang tanpa berita. Sekarang papa pula tinggalkan Ayni.

Semua orang tinggalkan Ayni.

“Awak tak apa-apakah? Kenapa ni?”

Ayni mendongak, melihat Luqman yang memandangnya dengan wajah yang risau.

“Rumah saya…” Ayni tidak tahu bagaimana hendak beritahu Luqman. Dia terasa ingin menangis sekarang.

Luqman merenung lelaki itu dengan tajam. “Kau ni siapa?”

“Kau pulak siapa? Kenapa ramai betul tetamu malam ni? Tapi memandangkan budak ni dah datang, senang sikit kerja aku! Mana beg tu?”

Seorang lelaki lain yang juga berada di dalam rumah, keluar membawa dua buah beg. Beg-beg itu dicampak kepada Ayni. Kalau bukan kerana tindakan pantas Luqman yang menarik Ayni, pasti Ayni sudah terkena beg-beg itu.

“Aku dah masukkan semua barang-barang kau dalam ni. Kau patut berterima kasih pada aku. Sepatutnya aku tak perlu beri apa-apa pun. Rumah ni dah jadi milik aku. Jadi semua yang ada di dalam ni juga milik aku! Tapi papa kau pun dah lari dengan barang dia. Aku rasa kesian dengan kau. Jadi aku bagi juga barang-barang kau. Baik tak hati aku? Ha, sekarang kau berambus!” kata lelaki itu.

Ayni meluru, menghalang jeriji dari ditutup. “Nanti, ini rumah kami! Mak tok yang tinggalkan! Papa tak boleh jual!”

“Dia dah jual pun! Mak tok, mak saudara, moyang kau tinggalkan sekalipun, aku peduli apa? Yang penting sekarang ini memang rumah aku. Papa kau tu pun dah sign surat perjanjian! Kau nak apa lagi?”

“Tapi saya tak setuju! Kami pun waris rumah ni jugak!”

“Eh, budak ni!” Lelaki itu mula naik angin. “Kau nak kena belasah dengan aku, kau cakaplah banyak lagi!”

“Dia cuma bertanya, tak perlu tengking dia. Lagi satu, kalau kau sentuh dia, aku balas balik sepuluh kali ganda!” kata Luqman.

Lelaki terdiam sekejap, terkejut dengan kata-kata Luqman. Saiz badannya lebih besar dari Luqman, kenapa dia harus takut? Tapi dia tak tahu kenapa Luqman sangat menakutkan sekarang.

“A-apa sekalipun aku dapat rumah ini secara sah! Pergi dari sini! Ini bukan lagi rumah kau!” kata lelaki itu.

Dia tidak pedulikan Ayni yang berada di jeriji, sebaliknya terus masuk dan mengunci pintu. Ayni meluru, mengetuk pintu berkali-kali, tetapi lelaki itu langsung tidak peduli. Akhirnya dia terduduk dengan wajah yang pucat. Apa yang berlaku dalam hidupnya bagaikan tiba di kemuncak pada hari ini.

“Kita pergi dulu. Nanti kita selesaikan hal ini,” pujuk Luqman.

“Ini rumah saya,” kata Ayni dengan perlahan.

“Saya tahu,” kata Luqman.

“Papa tak boleh buat macam ni,” kata Ayni lagi.

“Bangun dulu, kita pergi ke tempat lain.”

Ayni memandang Luqman dengan pandangan yang kosong. “Pergi ke mana? Ini rumah saya. Mak tok yang tinggalkan untuk kami.”

“Ya, saya tahu. Jangan risau, awak akan dapat balik rumah awak. Sekarang ikut saya dulu. Awak tak boleh duduk terus di sini. Saya akan cari cara untuk dapatkan rumah awak balik.”

“Tapi ini rumah saya.” Suara Ayni semakin kecil.

Beberapa kali dipujuk, akhirnya Ayni akur, bangun mengikut Luqman. Tapi belum sempat sampai ke kereta dia berhenti.

“Kenapa?” tanya Luqman.

“Kita nak ke mana?” tanya Ayni.

Memandangkan dia masih boleh bertanya begitu, bererti dia masih boleh berfikir dengan waras.

“Saya akan bawa awak ke suatu tempat untuk bermalam.”

“Tak kan… rumah awak?”

Luqman menjungkit kening. “Awak nak ke rumah sayakah? Saya tinggal seorang diri, jadi tak ada masalah.”

Memang itu masalahnya!

“Saya tak mahulah!” bentak Ayni.

Luqman tergelak. “Saya tahulah. Tak kan saya nak bawak balik anak dara ke rumah bujang. Banyak lagi tempat lain.”

Ayni memerhatikan Luqman yang sedang memasukkan beg pakaiannya ke dalam bonet kereta. Kemudian Luqman membuka pintu, menunggu Ayni masuk. Ayni berfikir panjang. Dia berpaling melihat rumah yang kini dimiliki orang lain itu. Bagi orang lain memang itu cuma sebuah rumah. Tapi bagi Ayni itulah harta terakhir peninggalan mak tok. Ini pun akhirnya hilang akibat sikap tidak bertanggungjawab Arman. Papanya memang tak guna! Dia menggenggam tangan, menggigit bibir dengan rasa marah. Kemudian dia berpaling, terus berjalan ke kereta.

“Awak tak perlu cari cara. Saya mahu lakukannya sendiri. Saya tak peduli sepuluh tahun, lima puluh tahun sekalipun, saya pasti akan dapatkan balik rumah dengan apa cara sekalipun!” kata Ayni.

Selepas itu dia masuk ke dalam kereta, duduk mematung. Luqman cuma tersenyum, masuk ke bahagian pemandu. Biarpun kereta berlalu meninggalkan rumah itu, Ayni langsung tidak memandangnya lagi.

Thursday, December 10, 2020

Bab 5

 

Masalah yang tidak akan selesai dalam hidup Ayni, masalah wang yang sentiasa tidak mencukupi. Dan sekarang, Ayni tidak ada kerja lagi. Jadi dari mana akan datangnya wang? Dia perlu cari kerja tetapi dia juga perlu kembali ke sekolah dalam tempoh beberapa hari lagi. Wang penting, pelajaran juga penting. Kalau tidak ke sekolah, bagaimana hendak ubah masa depan? Kalau tidak bekerja, siapa akan sara dia?

Ayni mengeluh untuk sekian kali.

Arman tidak ada di rumah beberapa hari ini. Ayni tidak tahu di mana hendak mencari dia. Risau memanglah risau, tapi ini bukan kali pertama. Ayni sudah mati akal dengan perangai papanya itu. Dia hanya mampu berdoa yang Arman suatu hari nanti akan berubah seperti yang dulu. Menjadi papa yang disanjung dan disayanginya seperti suatu ketika dulu. Kalaulah mama masih ada, mungkin papa tak macam ni.

Hmm, tak usahlah terkenangkan orang yang tidak ada di sini lagi!

Esoknya Ayni keluar mencari kerja lagi. Kalau kali pertama sukar, kali ini lebih teruk. Namanya bagaikan dikenali oleh semua orang di kawasan ini. Jadi bila diperkenalkan diri saja, terus dia tidak diterima. Bagaimana boleh jadi begini dalam masa satu hari? Tak kan Kak Iti yang ceritakan pada mereka? Bagi Ayni, dia bukan orang yang sebegitu.

Tapi itulah yang sebenarnya berlaku. Peniaga di kawasan ini bukanlah ramai. Jadi mereka boleh dikatakan saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Mereka ada kumpulan WhatsApp mereka sendiri untuk memudahkan mereka berhubung. Hanya perlu taip, semua orang ada dapat maklumat dengan segera. Jadi bila perkara begini berlaku, tak perlu beberapa minit pun untuk berita tersebar! Mereka tidak tahu apa yang mereka tahu cuma bahagian kecil dari perkara yang sangat besar. Mereka percaya apa yang mereka dengar tanpa menyiasat hal yang sebenar.

Natijahnya, Ayni pulang ke rumah dengan perasaan hampa hari itu. Langkahnya berat. Upah dari kerjanya di kedai makan Kak Iti makin berkurang. Jika ini berterusan, dia benar-benar akan mati kebuluran satu hari nanti.

Bunyi hon kereta membuatkan Ayni terperanjat. Sebuah kereta hitam berhenti ditepinya. Eh, Ayni kenal pemandunya!

“Dari mana? Jom, saya hantar!” pelawa Luqman.

“Tak apalah, dah dekat pun!” tolak Ayni.

Ayni masih ingat hal semalam. Tak mungkin Ayni berani naik kereta dengan dia lagi!

Luqman mengerut dahi. “Dekat apanya? Jauh lagi ni!”

“Tak apa! Betul!” balas Ayni, pura-pura gelak kecil.

Dalam hatinya tidak habis-habis berdoa agar Luqman segera pergi. Tapi lelaki itu terus matikan enjin kereta dan keluar. Kecut perut Ayni tapi dia pantas pura-pura seperti tidak ada apa-apa. Ada kayu di kawasan ini? Cepat-cepat dia mencari.

“Awak cari apa?” tanya Luqman.

Ayni tergelak lagi. “Tak ada apa-apa. Umm…. awak buat apa di sini? Saya tak pernah nampak awak di kawasan ni pun.”

“Saya ada urusan di kawasan ini,” jawab lelaki itu.

“Oh.”

Suasana tiba-tiba jadi kekok.

“Umm… awak… baliklah dulu. Saya pun nak balik ni. Ok, bye!” kata Ayni, kemudian cepat-cepat berjalan.

Tetapi Luqman mengikutnya dengan mudah. “Eh, saya nak hantarlah! Jom!”

“Tak payah!”

“Tapi jauh lagi rumah awak ni!”

Ayni berhenti, berpaling memandang Luqman. “Kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Kenapa awak beria-ia nak hantar saya balik?”

Apa niat awak? Itu yang Ayni ingin tanyakan sebenarnya.

“Kena ada sebabkah?”

Ayni merenung lelaki itu, tidak percaya. “Siapa yang tolong orang lain tanpa sebab?”

“Saya!”

Ayni mendengus, meneruskan perjalanan.

“Saya betul-betul nak hantar awak!”

“Tapi saya tak nak!”

Luqman mengeluh. “Saya rasa tak senang hati awak jalan kaki balik ke rumah seorang diri, sebab tu saya nak hantar awak. Bukan ada niat lain pun. Kalau awak tak mahu naik kereta, biar saya jalan kaki juga. Saya akan ikut belakang awak sampai awak selamat sampai ke rumah!”

Macamlah Ayni nak percaya dengan dia!

Tapi Luqman memang mengekori Ayni dari belakang tanpa sepatah kata lagi. Ayni pula sudah tidak tahu bagaimana hendak menghalau dia, jadi Ayni biarkan. Tetapi dia keluarkan kunci rumahnya. Cuma itu benda paling tajam yang dia ada. Kalau lelaki itu cuba apa-apakan dia, dia akan cucuk mata lelaki itu dengan kunci rumah ini sekuat hati!

Anehnya lelaki itu hanya mengekori dengan diam. Malah langkahnya mengikut langkah Ayni. Ayni berjalan, dia pun berjalan. Kalau Ayni berhenti, dia pun berhenti. Ayni terfikir untuk berlari, adakah dia juga akan berlari? Langkah demi langkah, mereka sampai ke rumah Ayni. Luqman berhenti di pagar, membiarkan Ayni masuk hingga ke dalam rumah. Kemudian dia berjalan pulang.

Lagi sekali Ayni termangu di pintu. Anehnya lelaki itu. Apa yang dia mahu sebenarnya? Adakah dia benar-benar risaukan Ayni sampai sanggup berjalan menghantar Ayni pulang? Ayni rasa keliru sekarang.

 

 

Arman akhirnya pulang juga, tapi terus mengurung diri di dalam bilik. Entah apa yang dia buat Ayni tidak pasti. Surat dari guru disiplin tempoh hari Ayni selitkan ke bawah pintu, dengan harapan Arman akan membaca surat itu. Dia mengetuk pintu beberapa kali tapi tidak ada jawapan dari Arman.

“Papa, surat ni dari cikgu. Cikgu minta papa datang ke sekolah,” kata Ayni. “Papa dengar tak?”

Tidak ada jawapan. Itu yang lebih normal. Kalau tiba-tiba Arman bercakap banyak, Ayni yang rasa Arman bukan papanya lagi. Entah bertukar dengan siapa.

Hari ini Ayni tidak keluar mencari kerja, sebaliknya berfikir panjang sambil menongkat dagu di dapur. Dia terfikir untuk menjual makanan seperti nasi lemak tapi dia segera batalkan niatnya itu. Sebenarnya kelemahan terbesar Ayni ialah dia tidak pandai memasak. Sepanjang bekerja di kedai makan Kak Iti pun dia tidak pernah memasak. Ayni sendiri tidak pasti kenapa dia tidak ada kemahiran itu, walhal mama dan mak tok sangat pandai memasak. Biarpun Ayni cuba mengikut resepi dengan teliti, makanan yang dihasilkannya sangat jauh berbeza dengan contoh yang diberi. Ayni boleh cuba tapi mungkin ada yang akan mati keracunan nanti.

Habis apa sekarang? Ayni masih perlu cari wang. Ah, entah ke berapa kali dia mengeluh hari ini.

Terdengar ketukan di pintu. Ayni merenung ke tangga. Nampaknya papanya tidak ada menunggu sesiapapun datang kerana dia masih mengurung diri di dalam bilik. Lagipun, selain dari penghantar bil elektrik dan air, tetamu yang datang boleh dikira dengan jari. Ayni bingkas bangun, berfikir seketika sebelum membuka pintu. Eh, polis!

“Assalamuaikum. Cik Ayni Nasmeen?”

“Ya?”

“Sila ikut kami ke balai!”

Tuesday, December 8, 2020

Bab 4

 

Di kawasan yang sunyi dan suasana yang menginjak senja, pasti tidak ada maksud yang baik jika seorang lelaki menunggu seorang perempuan begini. Dari perangai Zam Ayni juga boleh tahu, memang tidak ada perkara yang baik sedang bermain di fikirannya. Tapi Ayni sedaya-upaya tidak mahu menunjukkan rasa takut. Jadi dia menarik nafas panjang, menunjukkan raut wajah seberani mungkin.

“Kenapa kau tunggu aku?” soal Ayni.

"Aku masih ada urusan lagi dengan kau!"

"Urusan apa lagi? Sebab kau aku kena buang kerja, tau tak? Jadi sepatutnya aku yang marah sekarang!"

Zam tergelak. "Cakap banyak pulak perempuan ni! Sekejap lagi kau tahulah nasib kau!"

Nasib apa? Dia hendak buat apa? Boleh tak kalau cakap dengan jelas? Tapi Ayni tidak berani untuk bertanya. Raut muka Zam juga cukup menakutkan. Ayni pasti, tidak kira apa pun yang terlintas di fikirannya, pasti bukan hal yang baik. Apatah lagi Zam sedang menghampiri Ayni dengan senyum yang juga menakutkan. Biarpun tidak mahu, Ayni mengundur beberapa langkah ke belakang tanpa sedar. Zam bagaikan gembira melihat reaksi Ayni.

Tidak ada banyak pilihan pun untuk Ayni. Hendak melawan, memanglah kudratnya tidak sekuat Zam. Sekuat mana tenaga seorang perempuan berbanding seorang lelaki? Hendak menjerit juga tidak berguna, tidak ada orang di kawasan ini. Jadi tidak ada orang yang akan menolong dia. Tapi bukan bererti dia perlu mengalah begitu saja. Dari meronta-ronta secara sia-sia, Ayni mendiamkan diri, membiarkan Zam yang tiba-tiba menarik tangannya. Tapi apabila dia berada dekat dengan Zam, dia terus mencucuk sebelah mata Zam dengan sekuat hatinya!

"Aduh!!!" Menjerit lelaki itu.

Siapa yang tidak terasa sakit diperlakukan begitu? Ayni sendiri tidak pasti terukkah kecederaannya, dia hanya tahu yang dia berjaya. Dia membiarkan Zam berguling-guling di atas tanah dengan tangannya menekup mata. Mata Ayni segera melilau, mencari sesuatu yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri. Nampak sebatang kayu, dia segera mencapai kayu itu, kemudian memukul Zam beberapa kali sekuat hatinya. Sekarang bukan matanya saja sakit, badannya juga sakit!

"Kau dah gila! Kau nak bunuh aku?" jerit Zam, berusaha untuk melindungi dirinya.

Tahu pula dia menjerit. Tadi dia hendak buat apa pada Ayni? Ayni yang masih tidak berpuas hati, memukul Zam beberapa kali lagi.

"Kau ingat senang kau nak buli aku? Sebab aku perempuan? Kau nak buat apa tadi? Kau nak rogol aku? Siapa yang gila?" soal Ayni bertalu-talu.

Tapi soalan Ayni itu langsung tidak dapat dijawab oleh Zam. Dia hanya mampu melindungi kepalanya dari terkena kayu yang dihayun oleh Ayni tanpa rasa belas kasihan itu. Dalam fikiran Zam dia terfikir yang mungkin dia akan mati dibelasah perempuan ini hari ini! Perempuan ini sudah hilang akal! Jadi bukannya Ayni yang menjerit, tapi Zam yang akhirnya menjerit meminta tolong.

“Tolong! Tolong!”

Ayni memukul beberapa kali lagi. “Tahu takut? Jeritlah! Jerit! Memang kau patut kena pukul!”

"Sudah! Sudah!"

Tangan Ayni yang memegang kayu dipegang erat oleh seseorang. Rakan kongsi? Jadi dia tidak datang seorang? Memang dasar pengecut! Ayni cuba menarik tangannya untuk melindungi diri dari orang yang baru tiba itu, tetapi pegangan lelaki itu terlalu kuat.

"Pengecut! Dua orang lelaki nak serang seorang perempuan! Kalian memang pengecut!" seranah Ayni, masih enggan mengalah dan menarik tangannya.

"Saya bukan nak serang awak!" kata lelaki yang baru sampai itu. "Saya kenal dia pun tidak! Tapi saya kenal awak!"

“Jangan nak tipu!”

Ayni cuba menarik tangannya beberapa kali tapi tidak berjaya. Jadi dia cuba menendang pula tetapi lelaki itu berjaya mengelak.

“Tak tipu! Saya memang kenal awak! Tak kan awak tak kenal saya?”

"Eh?"

Baru Ayni perasan lelaki ini nampak seperti seseorang yang dia kenal. Masakan tidak, ini lelaki yang selalu datang ke kedai makan Kak Iti. Yang selalu datang dan habiskan masa berjam-jam dengan komputer ribanya.

"Kalau awak terus pukul dia, mati dia nanti. Tak pasal-pasal awak masuk penjara," nasihat lelaki itu.

"Memang puas hati kalau sebab bunuh dia! Dia memang binatang!" balas Ayni, masih lagi rasa marah.

"Aku tak buat apa-apa pun! Kau yang dah gila!" kata Zam. Dia masih lagi berbaring di atas tanah, terlalu sakit untuk bergerak.

"Habis kau nak rogol aku dulu, baru aku boleh bunuh kau? Itu maksud kau?"

Tangan Ayni masih dipegang, jadi dia tidak dapat memukul Zam lagi. Tapi dia terus menyepak lelaki itu berkali-kali. Cepat-cepat Zam berguling, menjauhkan diri daripada Ayni.

"Macam ni lah, kita ke balai polis! Biar polis yang selesaikan masalah ni," kata lelaki itu.

"Baguslah! Biar polis kurung perempuan gila ni!" tempelak Zam.

Ayni tergelak. "Kalau polis kurung aku sebab pertahankan diri, kau tunggu aku keluar. Aku janji aku akan cari cara sampai dapat untuk potong XXX kau tu! Biar kau tak boleh kenakan perempuan lain macam kau cuba buat pada aku! Kau ingat janji aku ni!"

Walaupun matanya masih tidak dapat dibuka, Zam dapat rasa renungan tajam Ayni. Dia dapat rasa yang Ayni betul-betul serius dan akan buat apa yang dia cakap. Pertama kali dalam hidupnya, lelaki itu tiba-tiba rasa takut pada seorang perempuan.

Tapi bukan setakat masalah Zam sekarang. Kalau mereka ke balai polis, semua orang akan tahu yang Zam dibelasah oleh seorang perempuan. Bukan sekali, tapi ini kali kedua dalam masa satu hari. Itu lebih memalukan!

"Saya rasa kita tak perlulah ke balai!" kata Zam tiba-tiba.

Lelaki itu mengerut dahi. "Kenapa pulak? Tadi beria-ia kau nak polis tangkap dia?"

"Tak payahlah! Saya tak mahu buat laporan polis!"

"Habis kau nak buat apa sekarang?"

"Kita lupakan semua ni!"

"Kau cakap dia serang kau. Sekarang kau nak lupakan semua ni macam tu saja?" tanya lelaki itu lagi.

"Ya! Hal kecik, tak payah nak besarkan!"

Ayni sendiri mengerut dahi mendengar kata-kata Zam. Nampak sangat dia menipu! Dia menarik tangan, terasa ingin memukul lelaki itu lagi tapi baru dia sedar yang tangannya masih belum dilepaskan. Terus dia merentap tangannya dengan kuat, menjegil lelaki itu. Buru-buru lelaki itu melepaskan tangan Ayni.

"Kau tak mahu buat laporan polis sebab kau takut kau yang salahkah? Aku mengaku memang aku pukul kau. Kalau polis tangkap pun, aku akan cakap aku pukul kau. Aku tak takut beritahu hal sebenar dan kenapa aku buat macam tu!" kata Ayni.

Kalau Ayni tidak takut, Zam yang rasa takut sekarang!

“Saya boleh jadi saksi kalau awak nak ke balai. Sebab saya nampak dari mula kejadian lagi. Tapi kalau dia tak mahu ke balai sekalipun, rasanya baik kita ke hospital,” kata lelaki itu, kemudian merenung Zam. “Mata kau tu nampak teruk. Entah-entah dah buta!”

Walaupun ayat itu seperti dia ingin menolong, tapi nada lelaki itu langsung tidak menunjukkan dia rasa simpati pada Zam. Mendengar kata-kata lelaki itu membuatkan Zam semakin takut. Dia masih muda, dia tak mahu tiba-tiba jadi cacat! Tapi hendak bangun, matanya masih belum dapat dibuka. Tambahan lagi badannya juga rasa sakit. Dia bagaikan tidak keruan sekarang. Mahu tidak mahu, terpaksa dia merayu kepada lelaki itu.

“Encik tolong hantarkan saya ke hospital. Tolong saya encik. Jangan tinggalkan saya dengan perempuan ni. Mungkin dia akan bunuh saya nanti.”

Ayni terasa ingin tergelak. Tadi bukan main sombong bercakap, sekarang sudah boleh merayu? Lelaki itu menyilang tangan, tidak menjawab permintaan Zam. Sebaliknya dia berpaling melihat Ayni.

“Awak ok tak?” tanya lelaki itu.

“Encik, mata saya tak boleh dibuka ni! Mestilah tak ok!” jawab Zam.

“Aku tak tanya kau!” desis lelaki itu dengan kasar, membuatkan Zam terus tutup mulut. Tapi apabila berpaling kepada Ayni, nadanya itu berubah 100%.  “Awak ok? Saya nampak dia cuba dekat dengan awak tadi. Dia sempat buat apa-apa?”

“Saya ok. Dia tak sempat buat apa-apa lagi,” jawab Ayni.

“Betul?”

“Ya!”

Lelaki itu menghela nafas. “Baguslah kalau macam tu.”

“Tapi kalau awak nampak tadi, kenapa tak datang tolong?”

Tiba-tiba muncul pun boleh timbulkan rasa syak wasangka. Kalau lelaki itu tidak memegang tangannya tadi, Ayni pasti tidak teragak-agak untuk memukul dia juga. Ayni cuma fikir untuk selamatkan diri, hal yang lain semuanya boleh difikirkan kemudian.

Lelaki itu tergelak kecil. “Saya memang nak tolong awak. Tapi tiba-tiba awak pukul dia macam tu. Terkejut juga! Tapi saya rasa bagus juga tindakan awak tu. Jadi saya biarkan awak pukul dia dulu. Itu yang tak datang tolong terus.”

“Oh!”

Ayni rasa malu pula mengenangkan bagaimana dia menjerit bagaikan orang hilang akal tadi. Tapi apa boleh buat. Benda dah jadi pun. Lagipun Ayni langsung tidak rasa bersalah.

“Saya masih di sini! Tolong bawa saya ke hospital!”

Suara Zam membuatkan mereka berdua berhenti berbual.

“Dia macam mana? Nak biarkan?” tanya lelaki itu.

Ayni tidak rasa lelaki itu bergurau. Memang dia terasa ingin membiarkan saja Zam di sini tapi….

Ah, susah masih ada perasaan belas!

“Hantarlah dia ke hospital,” kata Ayni, merenung Zam yang masih menekup sebelah matanya.

“Awak tak mahu ke balai polis untuk buat laporan?” tanya lelaki itu.

“Saya dah cakap tak mahu!” bentak Zam.

“Aku tak cakap dengan kau! Lebih baik kau diam!” Sekali lagi lelaki itu menjawab dengan keras.

Ayni menggeleng. Akhirnya mereka bertiga ke hospital dengan kereta lelaki itu. Ayni sendiri tidak pasti kenapa dia pergi bersama. Selesai mendaftar masuk Zam untuk rawatan, dia minta untuk ditinggalkan di situ. Tanpa berfikir langsung, terus mereka berdua pulang. Lelaki itu berkeras pula mahu menghantar Ayni pulang ke rumah.

“Bahaya biarkan seorang gadis pulang seorang diri malam-malam begini,” kata lelaki itu.

“Tapi awak pun saya tak kenal!” bantah Ayni.

Betul juga. Mereka berbual sekian lama, tapi tidak ada seorang pun yang memperkenalkan diri.

“Saya Luqman,” kata lelaki itu Luqman.

“Saya Ayni,” kata Ayni selepas beberapa ketika.

Selepas beberapa jam, baru mereka tahu nama masing-masing. Ayni memerhatikan Luqman. Lelaki itu nampak seperti jauh lebih tua darinya. Jadi dia patut panggil lelaki itu dengan gelaran yang lebih hormat dan sopan.

“Terima kasih sebab tolong saya tadi pakcik!” kata Ayni.

Tapi Luqman terkedu dengan kata-kata Ayni. “Saya tak setua itu! Saya baru 25 tahun!”

“Oh, yakah! Saya minta maaf,” kata Ayni. “Tapi saya boleh balik sendiri. Masih ada bas ke kawasan rumah saya waktu-waktu begini.”

Secara jujur, Ayni pun tidak pasti sama ada masih ada bas atau tidak. Tapi dia tidak begitu kenal dengan Luqman untuk naik kereta berseorangan dengannya.

“Saya pasti bas dah tak ada masa-masa begini. Saya tak mahu awak merayau seorang diri. Bahaya!”

Yang mana lebih bahaya? Pergi ke stesen bas yang sunyi dan tidak pasti sama ada bas masih ada atau tidak atau menaiki kenderaan dengan seseorang yang dia tidak berapa kenal? Ayni berfikir panjang sebelum akhirnya akur juga. Secara jujur dia memang tidak ada banyak pilihan. Ayni tidak ada wang pun untuk naik kenderaan lain. Tapi kalau lelaki ini pun sama macam Zam, Ayni akan cucuk mata dia!

Sepanjang jalan mereka berdua membisu. Radio pun tidak dipasang. Ayni tidak tahu hendak berbual apa dengan lelaki ini.

“Saya Luqman Hakim, umur 25 tahun. Ada perniagaan kecil sendiri.”

“Huh?”

Tiba-tiba dia perkenalkan diri. Terdiam sekejap Ayni.

Luqman tersengih. “Memandangkan awak masih lagi kekok dengan saya, jadi saya rasa saya patut kenalkan diri. Biar kita saling kenal.”

“Saya…Ayni Nasmeen, umur 17 tahun. Pelajar sekolah.”

“Sekarang kita dah saling kenal,” kata Luqman.

“Tapi kita cuma tahu nama, umur dan pekerjaan,” rungut Ayni. “Kenal apanya?”

“Lebih baik dari tak tahu apa-apa. Macam mana dengan sekolah?” tanya Luqman.

“Ok.”

Cuma Ayni tak pergi ke sekolah beberapa hari ini.

Luqman tahu Ayni bekerja di kedai makan tetapi dia tidak bangkitkan isu itu. Sebaliknya dia bertanya tentang makanan kegemaran dan hal-hal remeh temeh yang langsung tidak ada kena mengena dengan Ayni. Sedar tidak sedar, mereka sampai ke depan rumah Ayni.

“Terima kasih sebab hantarkan saya,” kata Ayni.

Luqman hanya mengangguk. Dia menunggu sehingga Ayni masuk ke dalam rumah sebelum pergi. Ayni tidak terus ke bilik, tetapi berdiri di depan pintu apabila dia sedar sesuatu yang penting. Dia tidak pernah beritahu di mana dia tinggal kepada Luqman. Sepanjang jalan mereka cuma berbual, jadi Ayni tidak tunjukkan arah langsung. Habis bagaimana lelaki itu tahu di mana dia tinggal?