Wednesday, December 2, 2020

Prolog

 

Pernah dengar cerita keluarga orang paling kaya di kawasan ini? Tak pernah?

Mestilah tak pernah, dia bukan lagi orang yang paling kaya itu! Selepas beberapa generasi yang semuanya orang kaya, tiba-tiba mereka yang di generasi itu jatuh miskin. Harta yang diwarisi dan kononnya boleh dimakan hingga tujuh keturunan itu tiba-tiba lesap!

Ada yang cakap, mereka kena tipu. Bekas orang kaya tidak berapa pandai uruskan perniagaan warisan keluarganya. Hampir semua urusan diserahkan kepada pembantunya. Pembantunya itu akhirnya jadi tamak. Dia lakukan sesuatu yang keji dan rampas kesemua harta bekas orang kaya.

Ada yang cakap keluarga mereka terlalu boros dan tidak pandai uruskan duit. Selalu beli barangan yang mahal dan mewah. Lukisan harga jutaan ringgit pun dibeli! Untuk apa pun tak tahu! Akhirnya duit yang setinggi gunung juga habis dikikis.

Ada yang cakap ada orang yang berdendam dengan mereka. Jadi orang itu yang membuatkan mereka jadi papa kedana. Semua harta bekas orang kaya dirampas oleh orang itu. Bekas orang kaya dan keluarganya diusir dari rumah agam milik mereka. Rumah itu juga dirampas.

Jadi apa yang sudah jadi dengan bekas orang kaya dan keluarganya?

            Ada yang cakap, orang kaya itu hilang akal selepas tiba-tiba miskin. Jadi keluarganya membawa dia pergi ke kawasan yang jauh dari orang. Kata orang, mereka tak mahu ada masalah yang timbul.

Ada juga yang cakap, bekas orang kaya jatuh sakit. Tapi disebabkan keluarganya sekarang sudah miskin, mereka tidak mampu untuk mengubati bekas orang kaya. Hendak minta tolong, tidak tahu pada siapa. Kasihannya dia.

Ada pula yang cakap, disebabkan tidak tahan hidup susah, isteri bekas orang kaya itu lari selepas ceraikan bekas orang kaya. Ada juga yang cakap, dia mengahwini orang kaya yang lain selepas bercerai. Ada sesetengah pula cakap bekas orang kaya kenal orang kaya yang menjadi suami kepada bekas isterinya itu. Bekas isterinya itu tidak lagi menjenguk mereka. Langsung tidak peduli nasib bekas orang kaya atau anak-anaknya. Wah, memang teruk betul dia!

Ada yang cakap, disebabkan hidup mereka susah, anak lelaki orang kaya tidak habis belajar kolej. Dia bekerja untuk menyara keluarga mereka. Tapi memandangkan dia belajar di luar negara sebelum keluarganya jadi miskin, dia berhenti belajar dan bekerja di sana. Macam-macam kerja yang dia buat supaya dia boleh hantar wang untuk sara keluarganya.

Itu cakap itu, ini cakap ini, yang mana betulnya? Ataupun khabar angin? Jadi apa yang betul-betul berlaku?

Wednesday, November 4, 2020

Mini Novel : Rindu

            “Abang ke mana?”

“Abang pergi jumpa dia?”

“Abang memang tak sayangkan saya lagi?”

Soalan- soalan itu antara selalu yang aku pernah tanya kepada Reza. Sepuluh tahun mendirikan rumah tangga, ada saja yang menjadi punca pergaduhan antara kami. Dari sekecil- kecil hal hingga hal yang besar seperti salah faham begini.

Tapi, mesti ada yang bertanya;

“Bagaimana dapat kekal hingga sepuluh tahun kalau selalu bergaduh macam ni?”

Bukan ada pahit semuanya, masih ada kenangan masih antara mereka. Lagipun, aku dan Reza bercinta sejak dari bangku sekolah. Jadi kalau diikutkan, hubungan kami sebenarnya lebih lima belas tahun. Biarpun selalu bergaduh, masing- masing masih ada cara untuk mengekalkan hidup bersama.

Tapi, bagaimana hubungan sebegitu lama jadi begini?

Awal perkahwinan memang tidak banyak masalah. Bergaduh itu biasa. Nama pun suami isteri. Tapi tidak banyak pergaduhan besar. Reza dan aku sama- sama bekerja untuk membina keluarga kami. Tentang anak, aku mahukan keluarga yang besar. Reza langsung tidak ada komen.

“Awak nak macam mana pun tak apa. Saya tak kisah!”

Senang saja jawapan dia. Ya lah, yang nak lahirkan tu aku!

“Jangan tunggu lama- lama sangat, cepat- cepat sikit beranak! Mak dah lama teringin nak timang cucu!” pesan mama, emak mentua aku.

“Insya Allah, mak!” balasku.

Tapi, sebulan, menganjak ke tiga bulan, kemudian setahun dan sekarang sepuluh tahun, kami tidak diberikan nikmat itu. Kalau sebulan dua masih boleh memberi alasan. Sekarang aku sudah tidak ada alasan lagi. Senyum dan layanan mama semakin lama semakin pudar untukku. Reza pula anak tunggalnya. Papa meninggal sejak Reza masih kecil lagi. Jadi kepada siapa lagi mama hendak berharap?

“Agaknya kamu terlalu sibuk bekerja?” komen mama.

“Tapi saya dan abang tinggal serumah la, mama,” balasku.

“Habis tu kenapa?” soal mama.

Aku tidak ada jawapan. Mana mungkin aku tahu kenapa. Aku dan Reza pernah melakukan ujian dan memang kami berdua tidak ada masalah. Jadi, kenapa?

“Mungkin tak ada rezeki kita,” pujuk Reza apabila secara tidak sengaja aku mengadu kepadanya pada suatu hari.

“Tapi…”

“Tak ada tapi- tapi! Kita cuba sebaik mungkin, kalau dah ada tu ada! Pedulikan kata orang!” tegas Reza.

Kalau orang lain memang aku akan pedulikan. Tapi ini dari keluarga sendiri. Kalaulah aku boleh beranak dengan mudah, sekarang jugak aku buat! Tapi, macam mana?

Mama yang semakin tidak senang denganku. Akhirnya beberapa tahun yang lepas, mama memperkenalkan seseorang ketika perjumpaan keluarga kami.

“Ini Safia, anak Pakcik Hamdan kamu,” kata mama.

Safia yang cantik manis itu hanya tersenyum apabila mama memperkenalkan dia. Aku dan Reza tidak ada komen. Aku langsung tidak kenal gadis ini. Menurut mama, Pakcik Hamdan ialah bekas jiran mereka. Jadi Safia dan Reza kenal antara satu- sama lain sejak dari kecil lagi.

Mama terus- terusan memuji Safia. Katanya, Safia ialah seorang wanita muda yang berkerjaya. Selain dari cantik, dia juga berkebolehan. Tapi kerana terlalu sibuk bekerja, dia langsung tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga.

“Kami jumpa masa mama pergi country club hari tu. Dah besar panjang macam ni, mama langsung tak kenal dia!” kata mama.

“Abang Reza apa khabar? Lama tak jumpa?” sapa Safia.

“Umm…baik, alhamdulillah,” balas Reza.

Adakah cuma perasaan aku atau Reza seperti gementar sedikit? Bagaimana pun makan malam berlalu dengan tenang selepas itu. Mama memang melayan Safia dengan baik. Terlalu baik sebenarnya.

Reza menjadi semakin pendiam selepas makan malam di rumah mama hari itu. Sepuluh aku tanya, sepatah dia jawab. Kalau sepatah tu, tak payah cakaplah. Kadang- kadang main angguk geleng saja. Selepas beberapa minggu, kami ke rumah mama lagi. Reza nampak keberatan sebenarnya tapi aku paksa dia.

“Mama ada perkara nak cakap.”

Aku lihat raut wajah Reza berubah.

“Mama nak Reza kahwin dengan Safia!” kata mama.

“Mama!”

Pertama kali aku dengar Reza tinggikan suara dengan ibunya. Lelaki itu sentiasa bertutur dengan sopan dengan orang yang lebih berusia, apatah lagi mamanya sendiri.

“Mama nak kamu ada anak! Jadi apa salahnya kamu kahwin dengan Safia?” Mama masih tidak berpuas hati.

“Mama yakin saya boleh dapat anak kalau kahwin dengan Safia? Kalau dia tak beranak jugak, macam mana?” soal Reza.

“Kalau tak beranak jugak, nak buat macam mana! Tak ada rezeki!”

“Jadi tak ada bezanya saya kahwin dengan dia atau tak!” bangkang Reza.

“Isteri kamu pun tak beranak jugak! Jadi tak salah kalau kita cuba cara lain!” tegas mama.

Aku, isterinya yang tidak beranak ini, cuma terdiam mendengar mereka bertengkar. Apa yang boleh aku cakap?

“Kamu yakin isteri kamu tak mandul?”

“Ya!” jawab Reza.

“Atau kamu yang ada masalah?”

“Tak mungkin!”

“Habis tu kenapa?”

“Saya tak tahu! Jangan timbulkan isu ni lagi!” jawab Reza. “Saya tak mahu bertengkar dengan mama! Saya minta maaf! Saya minta diri dulu!”

Reza bingkas bangun, menarik tanganku. Aku langsung tidak menyalami tangan mama. Sepanjang jalan kami berdua membisu. Hingga ke kamar pun tidak bercakap sepatah pun. Esoknya selepas aku sediakan sarapan dan kami makan tanpa sepatah kata, Reza merenungku.

“Saya tak akan kahwin dengan dia!” katanya.

Aku tidak membalas. Mungkin aku patut katakan sesuatu pada masa itu. Tapi lidahku kelu.

Hal itu tidak tamat di situ. Hampir seminggu, aku melalui kawasan pejabat Reza. Jadi aku ingin lakukan kejutan.

“Dia tak ada,” jawab si penyambut tetamu.

“Sudah lama dia keluar?” soalku.

Mungkin Reza ada urusan di luar.

“Baru saja. Tak sampai setengah jam pun. Apa kata puan cuba hubungi dia.”

Kalau telefon, bukan kejutanlah namanya. Habis hendak buat apa sekarang? Bos pun dah tahu aku kerja setengah hari hari ni. Jadi akhirnya aku merayau seorang diri di kawasan ini. Lagipun kawasan ini agak terkenal, jadi pelbagai premis perniagaan ada di sini. Kafe pun ada. Mungkin aku patut beli sesuatu sebelum pulang.

“Siapa yang beritahu?”

Aku berpaling apabila mendengar suara itu. Reza! Itu…Safia?

“Aunt Naz yang cakap,” jawab Safia.

Aunt Naz itu ialah mama kepada Reza.

Tak, persoalan paling penting kenapa mereka berdua makan berdua di sini?

Saturday, October 31, 2020

Bab 42 (Akhir)

 

“Sah!”

Dengan sekali lafaz, aku sah menjadi isteri kepada Hazriq. Terasa air mataku membasahi pipi. Aku mengerling ibu yang juga nampaknya sama sepertiku. Dia cakap dia tidak akan menangis. Teringat perbualan aku dengan ibu semalam semasa majlis berinai.

“Kali ni nak batalkan lagikah? Alasan apa pula kali ni?” soal ibu, mengusik.

Maaf ibu, aku tidak ada alasan kali ini! Aku memang ingin bersama dengan dia hingga ke akhir hayat. Bukan Hazriq seorang yang menunggu selama ini.

“Bidadari saya, my wife!” bisik Hazriq semasa dia menghampiriku untuk mencium dahi bagi membatalkan air sembahyang.

“My husband!” bisikku membalas dengan wajah merona merah. Hazriq tersenyum lebar mendengar ayatku itu.

Selesai sesi bergambar, kami disekelilingi oleh saudara dan sahabat yang ingin mengucapkan tahniah atas perkahwinan kami. Ramai juga sahabat Hazriq yang datang.

“Tahniah, bro!”

“Congrats!”

“Cepat- cepat dapatkan anak!”

“Nak ubat kuat tak?”

Soalan terakhir itu membuatkan rakannya yang lain ketawa berdekah- dekah. Hazriq membalas komen itu dengan dahi yang berkerut.

“Tahniah!”

Aku terseyum lebar mendengar suara itu.

“Terima kasih sebab datang!” kataku, tersenyum melihat Rizal yang mendekati aku.

“Mestilah datang. Hari ni hari istimewa untuk anak saudara kesayangan,” kata Rizal.

“Oh, sekarang dah jadi kesayangan? Sebelum ni tak?” tanyaku.

Rizal tersengih, mengangguk.

“Dia datang tak?” tanya Rizal.

Aku tidak perlu tanya siapa dia yang dimaksudkannya.

“Tak mungkin dia akan datang!” balasku, tersenyum kecil. Sekuat mana sekalipun Nurrul Azzwa, aku tidak fikir dia sekuat ini.

Selepas pulang dari lapangan terbang tempoh hari, Rizal terus mendesak untuk tahu cerita sebenarnya. Akhirnya aku ceritakan juga. Rizal tidak ada banyak komen tentang hubungan aku dan Hazriq, tapi dia benar- benar berminat untuk tahu tentang lebih lanjut mengenai Nurrul Azzwa. Nampaknya dia memang berminat untuk mengenali gadis itu.

Atas desakan dia juga, aku akhirnya berikan nombor telefon Nurrul Azzwa kepada Rizal. Silap besar aku! Orang pertama yang dimarahinya ialah aku kerana sibuk dengan hidupnya.

“Hanya sebab awak akhirnya bersama dengan Hazriq, awak cuba padankan saya dengan orang lain? Jangan cuba nak sibuk dengan hidup saya!”

Hah, padan muka aku!

Selepas aku, giliran Rizal pula dilanda amarah gadis itu. Rizal diberi kata dua, sama ada jangan mengganggu dia lagi atau dia akan dapatkan sekatan dari mahkamah terhadap Rizal!

Malangnya aku tidak fikir Rizal dapat berundur lagi. Nampaknya dia memang benar- benar sukakan Nurrul Azzwa. Harapan aku cuma satu. Tidak kira apa sekalipun kesudahannya, aku harap mereka berdua akan menemui kebahagiaan mereka satu hari nanti.

“Terima kasih sebab datang!” kata Hazriq, mendekati kami.

“Sama- sama. Tahniah!” balas Rizal.

Hazriq hanya mengangguk, tersenyum kepada Rizal.

“Jadi memandangkan saya dah kahwin dengan Rania, bolehlah panggil paksu,” usik Hazriq.

“Sila jangan! Kalau boleh sila elakkan! Tuanya dipanggil paksu oleh anak saudara yang sebaya,” balas Rizal dengan muka kelat.

Aku tergelak. Memang itu sesuatu yang sensitif untuk Rizal sejak dulu lagi. Rizal kemudiannya meninggalkan kami untuk menyapa ibu dan ayah.

Tetamu seterusnya yang menghampiri kami ialah Furqan dan keluarganya. Danish terus meluru apabila nampak aku. Tangannya yang kecil itu terus memeluk aku. Rindu pada aku agaknya. Lama juga kami tidak berjumpa.

“Mak Yong cantik!” komen anak kecil itu.

“Terima kasih!” balasku, mencuit hidungnya. Terkekeh- kekeh dia ketawa.

“Tahniah!” kata Furqan.

“Terima kasih,” kata Hazriq. “Terima kasih juga sebab datang.”

“Kitakan dah jadi keluarga,” jawab Furqan.

Aunty Sofea memelukku sambil mengucapkan tahniah. Dia mengambil masa mengusap pipiku dengan mata yang berair sebelum meminta diri untuk berjumpa dengan ibu dan ayah. Uncle Hadi mengikutnya tanpa sepatah kata.

“Ini siapa?” tanya Danish.

“Ini suami Mak Yong, panggil Pak Yong,” jelas Furqan.

Danish mengangguk laju bagaikan dia faham. Furqan seperti ingin menyatakan sesuatu tetapi dia akhirnya cuma mengukir senyum. Dia memandang kami berdua dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

“Saya nak jumpa ibu dan ayah dulu. Tahniah sekali lagi!” kata Furqan.

“Terima kasih!” balasku.

Dia mendukung Danish, lalu berlalu pergi. Hazriq berpaling, tersenyum herot memandangku.

“My wife!” katanya.

“Ya?” balasku.

“My wife!” Ulangnya lagi.

Dia panggil aku atau sengaja sebut?

“Kenapa?”

“My wife!”

Okay, sekarang aku benar- benar jengkel! Hari pertama berkahwin, sudah ajak bergaduhkah?

“Ada apa awak panggil saya berkali- kali?” tanyaku dengan raut wajah kurang senang.

“Saya cuma sebut,” jawab Hazriq, tersengih lagi. Langsung tidak terkesan dengan marahku itu.

“Sebab?”

“Saya gembira! Akhirnya awak jadi isteri saya.”

Segembira itukah dia?

“And you, Encik Power Ranger, my husband!” balasku, membuatkan senyumannya makin lebar.

Mudahnya hendak gembirakan hati dia.

“I love you!”

Eh, tiba- tiba buat luahan perasaan pula! Tidak sempat aku membalas, terus menonong dia pergi mencari kawan- kawannya.

Tapi tak apa, masih ada banyak masa selepas ini untuk luahkan ayat itu kepadanya. Terima kasih Ya Allah atas percaturanmu ini. Terima kasih kerana memberi peluang untukku bahagia. Biarpun dia bukan cinta pertamaku, aku harap jadikan dia yang terakhir untukku. Amin Ya Rabbal Alamin.

 

 

Tamat